Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MRT: Penutupan sepenuhnya di Lebuhraya Cheras-Kajang pada waktu malam selama sebulan

    MRT_CHERAS

    Beberapa penutupan lorong sepenuhnya akan dilaksanakan di Lebuhraya Cheras-Kajang selama sebulan mulai hari ini, 1 April 2016, bagi kerja-kerja pembinaan projek MRT.

    Menurut laporan Bernama, kerja-kerja penyelenggaran ini melibatkan kilometer 14.4 hingga 14.8 bermula jam 10 malam hingga 5 pagi. Sepanjang penutupan tersebut, sebanyak empat lorong sedia ada akan dikurangkan menjadi dua lorong untuk kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kajang.

    Satu lagi penutupan selama sebulan akan dilaksanakan di laluan susur 702 dan 703 (arah Kajang dan Kuala Lumpur) untuk kerja-kerja pembinaan di stesen MRT Suntex dan Sri Raya iaitu kerja-kerja mengecat. Manakala penutupan di susur 702 ke Hulu Langat pula bagi pemasangan pembentungan paip, dan juga kerja-kerja pembaikian di stesen Suntex.

    Satu lagi makluman, penutupan jalan di kilometer 14 hingga 14.7 selama tujuh hari mulai hari ini bagi kerja-kerja mengecat tanda lorong. Manakala satu penutupan lorong jangka masa pendek pula akan dilaksanakan di Jalan Kuala Selangor (arah-Subang dan arah-Kepong) akan bersambung selama 14 hari, mulai esok 2 April 2016. Penutupan ini bagi kerja-kerja mengecat di stesen MRT Subgai Buloh, akan dilakukan dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

     
     
  • Proton tiada beza tanpa Tun M, kata Hamzah

    tun-mahathir-alami-proton

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Proton tidak akan terjejas setelah pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional tersebut. Kenyataan beliau itu telah dilaporkan oleh The Star.

    “Operasi syarikat tersebut dijalankan oleh pentadbiran dan ahli lembaganya. Jadi bukan menjadi masalah siapa pengerusinya,” kata Hamzah. “Mungkin beliau telah sedar sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan jawatan tersebut kepada orang lain.”

    Apabila ditanya adakah kepimpinan baharu Proton akan mengubah pandangan negatif orang ramai terhadap syarikat berkenaan, Hamzah berkata ia mungkin boleh kearah kedua-duanya. “Mereka yang masih di dalam Proton berfikir ia baik untuk syarikat,” dakwa beliau. Menteri berkenaan menyimpulkan, dipengaruhi politik atau tidak, telah tiba masanya untuk Tun Dr Mahathir meninggalkan Proton.

    Petang semalam, Proton mengumumkan pengerusinya, Tun Dr Mahathir, meletakkan jawatannya serta merta. Bekas Perdana Menteri itu dikatakan menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Datuk Seri Syed Faisal Albar, pengarah urusan kumpulan DRB-Hicom.

    “Kami menghormati niat beliau untuk mengundurkan diri; kami mahu menyatakan penghargaan yang tidak ternilai terhadap sumbangan, komitmen, dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga Penasihat sejak 2003,” melalui kenyataan dari Proton. “Kami juga ingin menyampaikan rasa terima kasih kami dan mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pencipta syarikat pengeluar kereta nasional.”

    Tidak dapat dipastikan lagi sama ada tindakan mengejut yang diambil Tun M ini ada kaitannya atau tidak dengan laporan yang ditulis oleh The Straits Times minggu lalu. Penerbit dari Singapura tersebut melaporkan pergolakan politik antara Tun M dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin menjejaskan Proton dalam permohonan mereka mendapatkan dana segera RM1.5 billion dari kerajaaan.

     
     
  • ETCM umum kenaikan harga untuk model Nissan

    Nissan-Teana-2.0XL-24

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar tunggal kenderaan Nissan di Malaysia hari ini mengumumkan kenaikan harga untuk beberapa model terpilih. Kenaikan harga itu melibatkan sebanyak 2.8% hingga 6.7% berkuat-kuasa 1 April 2016.

    Kenaikan harga hanya melibatkan empat model CKD iaitu Almera, Grand Livina, X-Gear dan Teana 2.0. Walau bagaimana pun, keputusan kenaikan harga ini tidak melibatkan empat lagi model Nissan iaitu Serena S-Hybrid, X-Trail, NP300 Navara dan NV200, di mana harganya masih kekal seperti sedia ada.

    Screen Shot 2016-04-02 at 8.04.17 PM

    Keputusan untuk menaikkan harga ini berikutan kemerosotan nilai Ringgit yang memberi kesan besar ke atas kos operasi keseluruhan syarikat. Walau bagaimana pun ETCM sentiasa mencari jalan dan menilai peluang untuk mengekalkan harga kenderaan Nissan seperti sekarang demi kepentingan para pelanggannya. Malah, ia menjadi antara syarikat automotif terakhir yang menaikkan harga kenderaan.

    Bukan itu sahaja, ETCM telah mengambil langkah rasionalisasi kos dan menilai semua operasi rantaian bekalan secara keseluruhan untuk mengurangkan kesan kemerosotan nilai Ringgit.

    Mengulas mengenai kenaikan harga tersebut, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng berkata, “Berikutan tekanan berterusan akibat kemerosotan nilai Ringgit sejak beberapa bulan lalu, ETCM telah melaksanakan beberapa langkah perlu untuk mengurangkan impak tersebut. Namun, oleh kerana tukaran wang asing yang tidak memberangsangkan dan peningkatan kos operasi yang berlanjutan, harga beberapa model terpaksa dinaikkan.”

    Dalam masa yang sama, ETCM tetap memberikan jaminan untuk terus menawarkan produk dengan nilai tambah dan kualiti khidmat pelanggan paling tinggi sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna.

     
     
  • MRT : Jalan Bukit Bintang ditutup satu malam 3 April

    12916815_1117755521589181_5484030284341922437_o

    MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan selama satu malam membabitkan laluan sepanjang 100 meter di Jalan Bukit Bintang akan dilakukan pada 3 April ini.

    Menurut syarikat itu dalam kenyataannya hari ini, penutupan laluan antara restoran McDonalds dan Jalan Changkat Bukit Bintang akan dilaksanakan mulai pukul 10 malam hingga 6 pagi untuk kerja mengalihkan kren.

    Berikutan penutupan itu, pengguna jalan raya yang menghala ke Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui lorong di belakang restoran McDonalds dan rumah kedai berhampiran.

    Para pemandu digesa supaya berhati-hati dan mengikut papan tanda yang akan diletakkan di kawasan itu. Malah Pasukan Bertindak Kecemasan MRT akan berada di situ untuk membantu aliran trafik.

     
     
  • Proton Extrema penuh misteri- Proton produksi SUV!

    12903905_10154924435352316_1193811798_o-e1459476104787

    Wow! Satu perkhabaran yang mengejutkan tetapi menguja! Bikin degupan jantung kian kencang! Krikkk..krikkk..krikkkk!

    Selepas menerima foto model crossover kompak Proton, hasil rebadged Maruti Suzuki Vitara Brezza, kemudian kami menerima pula brosur misteri dari pengedar (pemenang Pertandingan Reka Bentuk Proton 2014) Pow Ying Hern, yang mendedahkan tentang SUV Proton ini! Digelar sebagai Extrema, SUV ini dijangka akan dilancarkan pada 1 April, 2017, selepas pelancaran Perdana, Persona dan Saga.

    Tiada perincian lebih lanjut didedahkan, cuma beberapa foto sahaja. Namun ia kelihatan seperti kenderaan kontemporari, dengan lampu utama xenon bersama lampu posisi LED, gril besar dengan Proton Wings (logo tiga-dimensi baharu), skid plate berwarna perak dan lampu nyalaan siang LED.

    Pada bahagian belakang pula, ia ditampilkan dengan ekzos dan lampu belakang yang nampak lebih teratur serta padanan roda 19-inci. Kabinnya pula agak menarik, dengan papan pemuka dan tempat duduk berwarna coklat, serta banyak kekemasan perak bagi memberikan penampilan yang lebih elegan.

    Klik untuk besarkan imej

    Dijangkakan Extrema akan dijanakan oleh enjin baharu Proton iaitu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan-terus TGDI – dengan konfigurasi paling berkuasa, yang mampu menghamburkan kuasa 180 hp dan tork 250 Nm. Mungkin dengan pacuan roda-hadapan dan semua-roda, dipadankan dengan transmisi baharu CVT.

    Apa pendapat anda tentang langkah Proton yang ingin memperkenalkan model sebegini di pasaran? Adakah ia langkah yang tepat atau pun sebenarnya masih belum tiba masanya lagi. Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • SPYSHOTS: SUV Suzuki Vitara Brezza berlogo Proton

    Proton-Suzuki-Vitara-Brezza-3_BM

    Hari ini kami menerima gambar yang agak mengujakan iaitu sebuah Suzuki Vitara Brezza dengan logo Proton. Biar betul? Adakah Proton bercadang untuk memasarkan model rebadge SUV tersebut dalam pasaran Malaysia? Anda perlu terus bersama kami kerana hanya kami sumber utama yang bakal memperoleh tarikh pelancaran model ini.

    Gambar yang diberikan kepada kami oleh penyumbang tetap Theophilius Chin, jadi keasliannya tidak perlu dipersoalkan. Gambar tersebut menunjukkan dua buah Vitara Brezza yang hampir standard, tetapi dipakai dengan logo Proton di bahagian hadapan dan turut mempunyai pelekat cukai jalan Malaysia.

    Kami hanya memberikan foto beresolusi rendah buat masa sekarang, sebagai menghormati ‘orang dalam’ yang masih kekal tidak mahu dikenali. Setelah dilihat dalam imej beresolusi tinggi, kami boleh mengesahkan pelekat cukai jalan tersebut adalah sah sehingga 1 April, 2017.

    Jadi, apa pendapat anda tentang crossover kompak Proton ini? Tuliskan pendapat anda pada ruangan komen di bawah.

    GALERI: Maruti Suzuki Vitara Brezza

     
     
  • Semua model Lexus Malaysia kini dilindungi pakej waranti baharu lima-tahun, tanpa had perbatuan

    Lexus 5 YEARS37cmX26.1cm7

    Pengumuman waranti baharu oleh UMW Toyota bukan sahaja untuk jenama Toyota, Lexus Malaysia juga diumumkan turut memberikan pakej waranti lima tahun tanpa had perbatuan untuk semua model jualan mereka bermula 1 April 2016. Pakej waranti tersebut menggantkan pakej waranti tiga-tahun/100,000 km sebelum ini.

    Pakej waranti Lexus kini setara dengan pakej waranti BMW Malaysia, tetapi BMW turut menawarkan pakej servis berkala percuma selama lima-tahun/100,000 km. Setakat ini Mercedes-Benz menawarkan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan, manakala Audi Malaysia pula menawarkan waranti empat-tahun/120,000 km.

    Seperti juga pakej waranti yang lain, untuk kekal sah, kereta yang dilindungi waranti tersebut mestilah diservis mengikut terma dan syarat pengeluar – untuk Lexus, ia perlu diservis setiap 10,000 km atau enam bulan (yang mana sampai dahulu) oleh pusat servis Lexus bertauliah. Pakej waranti sepanjang lima tahun tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak UMW Toyota Motor.

    Lexus 5 YEARS37cmX26.1cm7

    “Kenderaan yang dibawa masuk oleh pengimport kenderaan yang lain tidak akan menikmati pakej waranti ini. Oleh itu, adalah lebih baik untuk membeli kenderaan yang diimport oleh pengedar bertauliah seperti UMW Toyota, di mana kenderaan tersebut akan dilindungi dengan waranti penuh lima-tahun, memberikan pelanggan ketenangan fikiran,” kata Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor.

    Pemilik Lexus sedia yang masih dilindungi waranti tiga tahun juga boleh mendapatkan perlindungan dua-tahun tambahan tanpa had perbatuan melalui pembelian pakej tersebut dengan hanya sekali bayaran dan bergantung pada model. Pelanggan yang membeli pakej ini juga akan menerima pakej servis percuma dari Lexus.

    Tawaran untuk pembelian pakej waranti tambahan berkenaan hanya sah sehingga 30 September 2016, jadi jika anda berminat, hubungi segera wakil servis Lexus pilihan anda untuk mendapatkan harga sebenar pakej waranti ini.

     
     
  • UMW Toyota mengumumkan perlindungan waranti lima-tahun untuk semua model Toyota di Malaysia

    Toyota five year warranty

    Berita baik untuk peminat dan pemilik Toyota. UMW Toyota kini telah memperkenalkan pakej waranti lima-tahun untuk semua model jualan mereka bermula 1 April 2016. Pakej tersebut juga menyebut perlindungan waranti lima-tahun itu diberikan tanpa batasan perbatuan kecuali untuk model Hilux dan Hiace yang dihadkan pada 150,000 km.

    Pakej waranti pengeluar baharu ini menggantikan pakej waranti tiga-tahun atau 100,000 km sebelum ini, meletakkan pakej waranti UMW Toyota setara dengan Honda Malaysia yang menawarkan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan untuk semua modelnya. Edaran Tan Chong Motor walau bagaimanapun masih kekal dengan pakej waranti tiga-tahun/100,000 km untuk semua model Nissan yang dijual oleh mereka.

    Walaupun dihadkan pada 150,000 km, Hilux dan Hiace masih lagi menjadi kenderaan komersial yang mempunyai perlindungan waranti paling lama dalam pasaran. Toyota Hilux misalnya, mempunyai kadar perbatuan yang dilindungi waranti lebih 50,000 km dan dua tahun lebih lama berbanding Ford Ranger, Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max dan Nissan Navara.

    Waranti tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak UMW Toyota, dan bukan oleh syarikat insuran lain. Waranti lima-tahun berkenaan juga adalah diberikan kepada unit kenderaan yang dijual, bermaksud kenderaan tersebut masih lagi dilindungi waranti walaupun sudah dijual kepada pemilik lain dalam jangka masa lima tahun itu. Sudah tentu bergantung kepada terma dan syarat, unit kenderaan terbabit perlu diservis mengikut jadual oleh wakil servis Toyota yang bertauliah bagi membolehkan perlindungan waranti tersebut kekal sah.

    8457_04 5yearsW_PressAd_TheStar_37cmX26.1cm

    Untuk nota, kenderaan yang dibeli bukan untuk kegunaan persendirian seperti teksi, kereta sewa, dan digunakan untuk mengangkut barangan tidak tertakluk pada waranti lima-tahun ini. Ia masih kekal dengan waranti tiga-tahun/100,000 km sebelum ini.

    Pemilik Toyota sedia ada yang masih dengan waranti yang sah dan diservis mengikut terma perlindungan waranti tetapi kenderaan mereka didaftarkan sebelum 1 April 2016, mereka masih boleh menikmati pakej waranti tambahan dua-tahun serta tambahan had perbatuan 10,000 km (sehingga 110,000 km) dengan pembelian pakej waranti tersebut.

    Harga untuk pakej waranti tambahan itu masih belum lagi diumumkan, tetapi ia akan berbeza untuk setiap model. Pelanggan yang membeli pakej tersebut juga akan menerima pakej servis ‘MaxCheck Advance’ secara percuma. Tawaran untuk menaiktaraf pakej waranti sedia ada ini hanya sah sehingga 30 September 2016, jadi jika anda berminat, hubungi wakil servis pilihan anda untuk mendapatkan harga sebenar pakej waranti ini.

     
     
  • Honda BR-V terima penarafan 5-bintang dari ASEAN NCAP dengan ESC, 72% pematuhan bagi COP

    Screen Shot 2016-04-01 at 9.20.04 AM

    Jika anda tertunggu-tunggu ketibaan Honda BR-V di Malaysia, ada satu perkembangan terkini mengenai model crossover ini berkaitan dengan keselamatan. Hari ini, ASEAN NCAP telah mengeluarkan keputusan ujian bagi BR-V, dan ia boleh dianggap sebagai berita gembira untuk pembeli prospektif.

    Di mana BR-V dengan konfigurasi tujuh- dan lima-tempat duduk (bergantung pada pasaran), telah menerima penarafan lima-bintang, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

    Walau bagaimana pun, bagi mencapai syarat-syarat yang ditetapkan oleh ASEAN NCAP, di mana Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dikehendaki bagi menerima penarafan, crossover terbabit hanya akan menerima dua penarafan sahaja bergantung pada varian yang ditentukan.

    Bagi BR-V yang didatangkan tanpa ESC dan pengingatan tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, penarafan empat-bintang bagi AOP bakal diberikan (dengan jumlah markah masih 14.79). Manakala bagi varian tertinggi BR-V yang dilengkapi dengan teknologi itu pula menerima penarafan lima-bintang bagi AOP. Dua beg udara hadapan, Isofix dan tali penambat teratas (top tether) adalah standard untuk semua varian.

    Screen Shot 2016-04-01 at 9.19.46 AM

    Menurut ASEAN NCAP, BR-V menerima markah yang lebih tinggi berbanding model SUV lain yang diuji iaitu Subaru XV (14.31, lima-bintang), Mitsubishi Pajero Sport (12.08, empat-bintang), Toyota Rush (12.47, empat-bintang) dan Haval M4 (9.64, tiga-bintang).

    Daripada model yang disenaraikan, hanya Rush dan M4 sahaja yang menerima keputusan lebih baik dari BR-V bagi kategori COP dengam pematuhan 82% dan 79%.

    Honda BR-V bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Tidak dinafikan ia memiliki banyak kelebihan termasuk varian spesifikasi tertinggi yang banyak menampilkan pilihan dengan elemen keselamatan. Cuma, apa yang menjadi persoalan, bila ia bakal dilancarkan dan bagaimana dengan harganya.

    GALERI: Honda BR-V ketika dipandu uji di Jepun

     
     
  • Penunggang motosikal dilarang guna lorong laju?

    FW302026_SG14_301013_JELAJAH

    Penunggang motosikal di Malaysia mungkin bakal dilarang menggunakan lorong laju atau memotong di lebuh raya, berdasarkan permintaan dari Kementerian Pengangkutan. Menurut The Sun Daily, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Karpawi, kementeriannya akan membuat permohonan kepada pihak berkuasa lalu lintas untuk menguatkuasakan larangan ini tanpa tertangguh.

    Aziz berkata, penguatkuasaan ini perlu dilakukan memandangkan kadar kemalangan jalan raya di kalangan penunggang motosikal kian membimbangkan. “Penunggang motosikal sepatutnya tidak menggunakan lorong laju atay lorong kanan,” ujarnya kepada pemberita dalam pelancaran kempen keselamatan jalan raya “Visibility Makes a Difference” untuk penunggang motosikal oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Linda Group.

    Turut disebut, satu perbincangan akan dilakukan di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk menentukan implementasi dan penguatkuasaan ini. Mengikut statistik, sejumlah 62% kematian daripada 6,706 kemalangan jalan raya pada tahun 2015 membabitkan penunggang motosikal iaitu sebanyak 4,203 kes. Ia meningkat sebanyak 32 kes berbanding tahun sebelumnya.

    Penunggang motosikal perlu mempertingkatkan lagi tahap keselamatan mereka, ujar Aziz. “Ramai di antara mereka yang kerap melanggar undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu isyarat merah, menunggang laju melebihi had kelajuan, menukar lorong tanpa menggunakan lampu isyarat membelok, memotong kenderaan lain tanpa berhemah, berlumba di jalan raya dan banyak lagi,” ujarnya.

    Satu lagi implementasi yang patut dilaksanakan bagi keselamatan penunggang motosikal ialah mewajibkan pemakaian vest lut sinar. “Penunggang motosikal harus boleh dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain. Penglihatan membawakan perbezaan. Pada masa ini, kami sedang melakukan program advokasi untuk menggalakkan mereka memakai vest lut sinar atau jaket yang berwarna terang,” tambah Aziz lagi.

     
     
  • Harga bahan api April 2016: semua melibatkan kenaikan harga, RON 95 kini RM1.70

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Selepas beberapa bulan harga bahan api turun, kini ia naik semula. Harga bagi bulan April 2016 melihatkan peningkatan bagi ketiga-tiga bahan api utama iaitu RON 95, RON 97 dan diesel.

    Bagi April ini, RON 95 berharga RM1.70 seliter (menyaksikan kenaikan sebanyak 10 sen berbanding bulan Mac), RON 97 pula RM2.05 seliter (naik 10 sen), diesel RM1.55 seliter (naik 20 sen) dan diesel Euro 5 RM1.65 seliter (naik 20 sen). Seperti sebelum ini, RON 100 Petron Blaze masih RM2.60 seliter.

     
     
  • Video awalan Honda Civic 2016 disiar sebelum pengenalannya di Indonesia minggu hadapan

    Show Who You Really Are

    Posted by HONDAISME on Wednesday, 30 March 2016

    Sebelum ini sebuah Honda Civic 2016 dilihat tanpa apa-apa penyamaran di Indonesia, menandakan sedan segmen-C generasi kesepuluh tersebut akan menerjah pasaran Indonesia tidak lama lagi. Kini, Honda Indonesia telah menyiarkan secara rasmi video awalan Civic baharu tersebut di laman facebook mereka. Model tersebut dijangkakan akan membuat penampilan sulungnya di Indonesia International Motor Show minggu hadapan.

    Video berdurasi 16 saat berkenaan memberikan gambaran awal berkenaan ciri-ciri yang bakal diterapkan pada Civic spesifikasi Indonesia, yang bakal diproduksi oleh kilang Honda di Karawang, bersama CR-V, Mobilio, Jazz, dan lain-lain.

    Antara ciri yang saksikan adalah paparan instrumen TFT LCD, penghawa dingin automatik, sistem kunci pintar dan lampu hadapan LED-penuh. Beberapa babak dalam video tersebut juga mendedahkan roda aloi seiras dengan roda aloi spesifikasi tertinggi di Thailand iaitu Civic Turbo RS.

    Dalam pasaran Thai, Civic ditawarkan dengan pilihan enjin NA 1.8 liter SOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo, kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT auto yang menggantikan kotak gear automatik lima-kelajuan torque converter sebelum ini.

    Sejumlah empat varian ditawarkan iaitu 1.8E, 1.8 EL, Turbo dan Turbo RS untuk Civic spesifikasi Thailand. Manakala untuk pasaran Filipina pula, hanya varian 1.8 E dan Turbo RS ditawarkan.

    Mengikut trend tersebut, kami jangkakan Civic spesifikasi Indonesia akan turut sama seperti apa yang terdapat di Thailand dan Filipina, begitu juga untuk pasaran Malaysia kelak. Civic serba baharu ini dikhabarkan akan melakukan penampilan sulungnya di Malaysia sebagai sebuah model pemasangan tempatan yang diproduksi oleh kilang Honda di Pegoh, Melaka. Walau bagaimanapun bila ianya akan dilancarkan masih lagi belum diketahui.

    GALERI: 2016 Honda Civic Turbo RS di Bangkok International Motor Show

     
     
  • Tun Mahathir letak jawatan sebagai pengerusi Proton

    Press Conference with YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad and Dato' Abdul Harith Abdullah

    Proton telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PROTON, berkuatkuasa serta merta. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton.

    Dalam kenyataannya, PROTON berkata, “Kita menghormati hasrat Yang Amat Berbahagia Tun untuk berundur. Malah kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan, komitmen dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga sebagai Penasihat sejak tahun 2003. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Tun Dr. Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional.”

    Pada 24 April lalu, Proton turut mengumumkan perlantikan Dato’ Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) baharu, yang menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah, berkuatkuasa 1 April ini.

     
     
  • Isu berkenaan aplikasi perkongsian kenderaan dan pemandu teksi akan diselesaikan tidak lama lagi – PM

    Tesla_Najib_02

    Berikutan penentangan pemandu teksi dan pengendali aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikan konflik antara dua pihak tersebut. Isu berkenaan telah mendorong pemandu teksi mengadakan bantahan jalanan disepanjang Jalan Bukit Bintang selasa lalu, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

    Najib berkata kepentingan untuk kedua pihak iaitu pengguna dan pengendali teksi akan dipertimbangkan apabila jalan penyelesaiannya diumumkan kelak tidak lama lagi, setelah kerajaan meneliti pelbagai cadangan.

    Menerusi catatan terbaharu di dalam blognya, Perdana Menteri berkata, “Saya faham dan mengambil berat berkenaan masalah dan rasa tidak puas hati pemandu-pemandu teksi ini yang berpunca dari servis Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.”

    Beliau juga turut menambah isu tersebut bukan hanya berlaku di Malaysia malah di serata dunia. Beberapa negara di dalam dunia seperti Perancis dan Indonesia, masih lagi bergelut dengan isu ini. Sesetengah negara telah pun mengharamkan terus servis aplikasi tersebut secara keseluruhannya.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Najib berkata kerajaan akan menimbangkan pelbagai faktor sebelum hadir dengan jalan penyelesaian. Ini termasuklah elemen inovasi, persaingan dan lain-lain lagi. “Dalam era canggih dan inovasi, kita perlu mengekalkan rentak dengan pembangunan teknologi,” tambah beliau.

    Tambahan lagi, beliau mengalu-alukan persaingan antara pemandu teksi dan servis perkongsian kenderaan berdasarkan aplikasi tersebut, menjadikan ia sebagai batu loncatan ke arah meningkatkan mutu servis mereka kepada orang awam dan bukan dijadikan sebagai penghalang.

    “Saya harap tidak ada pihak yang mengikut emosi mereka sendiri dan mengambil langkah drastik seperti memulakan demonstrasi jalanan yang akan hanya memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan imej mereka. Ia tidak akan membawa apa-apa faedah, terutamanya untuk pengguna perkhidmatan teksi,” kata Najib.

     
     
  • GrabCar M’sia sedia bekerjasama dengan kerajaan

    StarWarsGrabCar-e1450774455652

    Syarikat pengendali aplikasi teksi GrabCar, Grab Malaysia, telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dan mematuhi peraturan bakal digubal.

    Menurut Pengurus Negara Grab Malaysia, Jaygan Fu, pihaknya komited membantu mana-mana kementerian atau agensi bagi menaik taraf industri teksi di negara ini, laporan Berita Harian.

    “Kami mengalu-alukan peluang untuk menyumbang idea, cadangan dan maklum balas kepada pembuat dasar dalam usaha mentransformasi industri teksi, baik membabitkan pemandu atau penumpang.

    “Grab komited memastikan pemandu menjalankan tugas secara amanah di samping menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

    Semalam Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyarankan agar pengusaha dan pemandu teksi supaya memperbaiki perkhidmatan masing-masing untuk bersaing dengan Grabcar dan Uber. Katanya, terdapat banyak aduan dari orang ramai termasuk pelancong yang diterima berhubung dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi termasuk tidak menggunakan meter, suka memilih laluan sendiri dan tidak menjaga kebersihan.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Selasa lalu, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian iaitu Uber dan GrabCar dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

    Hari ini pula, pemandu teksi menyeru agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memfailkan injunksi menentang Uber dan GrabCar sebelum mereka mempertimbangkan untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut beroperasi.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025