Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda Accord facelift di Bangkok 2016

    Honda_Accord-1

    Ia merupakan satu lagi model baharu dari Honda yang bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, selepas Honda Malaysia ‘berkias’ mengenainya baru-baru ini, selain Civic baharu.

    Seperti biasa, Honda akan memperkenalkan model baharu di Thailand terlebih dahulu sebelum gilirannya tiba di Malaysia. Malah Accord facelift juga telah diperkenalkan di negara berkenaan pada bulan lalu, tiga tahun selepas generasi kesembilan dilancarkan di sana.

    Bagi Accord facelift ini, perubahan besar jelas kelihatan pada bahagian hadapan, di mana grilnya mengikut rekaan baharu Honda iaitu bersama palang krom yang lebih besar. Malah gril tersebut bersambung pada lampu utama, dan varian tertinggi (2.0 EL, 2.4 EL) turut menerima padanan lampu utama LED.

    Honda_Accord-22

    Lampu utama LED turut ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED baharu dan lampu kabus LED. Bahagian belakang juga telah diberikan sedikit suntikan baharu termasuk menampilkan tiga tiub LED sport pada lampu belakangnya.

    Menjengah bahagian kabinnya, kelihatan skrin berganda pada bahagian tengah papan pemuka tidak berubah, namun sedikit kelainan ditampilkan dengan mengetengahkan kekemasan gabungan kayuan dan hitam pekat/perak.

    Elemen baharu bagi Accord facelift di Thailand termasuk butang penghidup enjin, butang kawalan penghawa dingin (juga ditampilkan pada Civic baharu), skrin paparan pelbagai-informasi 7.7-inci, sistem audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci bersama Apple CarPlay, MirrorLink untuk telefon bimbit pintar dan Wifi hotspot. Memori bagi tempat duduk pemandu turut ditampilkan.

    Honda_Accord-25

    Tiada berubahan mekanikal bagi Accord 2016 ini dan ia masih dijanakan oleh enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC empat-silinder (155 hp/190 Nm) dan 2.4 liter Earth Dream DOHC i-VTEC empat-silinder (174 hp/225 Nm). Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik torque-converter lima-kelajuan.

    Harga ditawarkan bermula 1.385 juta baht (RM157,526) untuk varian asas 2.0 E, meningkat ke 1.445 juta baht (RM164,350) bagi 2.0 EL. Manakala 2.4 EL pula berharga 1.635 juta baht (RM185,937).

    Terdapat empat warna yang ditawarkan iaitu putih mutiara, perak, kelabu dan hitam dengan dua warna cerah bagi luaran dipadankan dengan tema warna hitam bagi kabin. Manakala kerangka berwarna hitam dan kelabu pula ditampilkan dengan warna beige bagi kabinnya. Seperti biasa, aksesori Modulo turut ditawarkan, seperti yang ditunjukkan pada Accord berwarna putih ini.

    Accord Hybrid facelift dengan Sensing Suite bagi teknologi keselamatan (Adaptive Cruise Control, Collision Mitigation Braking System, Road Departure Mitigation dengan Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist) bakal dilancarkan di Thailand tidak lama lagi.

     
     
  • Yamaha R-15 2016 dilancarkan di Indonesia – RM9k

    2016-Yamaha-R-15-Indonesia-e1458715731905

    Yamaha Indonesia baru saja melancarkan R-15 2016, dengan harga jualan 29.8 juta rupiah (RM9,000). Difahamkan, tiada perubahan pada bahagian mekanikalnya yang masih sama seperti model terdahulu. Namun bagi R-15 2016, ia didatangkan dengan tiga skim warna iaitu Speed Grey, Racing Blue dan Supernova White.

    Menggunakan enjin 149 cc silinder-tunggal cecair-penyejuk yang mampu memberikan kuasa sehingga 16.8 hp dan tork 15 Nm, R-15 2016 ini boleh dikatakan sebagai model sementara menantikan kemasukan model 2017. Popular di kalangan anak muda di Indonesia, R-15 ini turut menampilkan kerangka Deltabox, dengan cakera hadapan dan belakang tetapi tiada ABS.

    Bagi varian berwarna Speed Grey dan Supernova White, ia didatangkan dengan rim aloi hitam, sementara Racing Blue R-15 pula menerima gegelung berwarna biru. Untuk masa yang terhad, Yamaha Indonesia telah menawarkan edisi istimewa R-15 2016 dengan suspensi belakang Ohlins, yang boleh ditempah menerusi laman web rasmi mereka.

    Setakat ini, tiada perkhabaran bila Yamaha R-15 2016 akan dibawa masuk ke Malaysia. Namun dengan model yang lebih kurang sama iaitu Yamaha FZ-150i yang memang ada di pasaran Malaysia, ia berharga RM9,156 termasuk GST, tanpa cukai jalan dan insurans.

     
     
  • Volkswagen Golf 1.4 TSI facelift dilancarkan – 150 PS, kunci pintar, butang penghidup enjin, dari RM151k

    Volkswagen Malaysia secara rasminya telah memperkenalkan model Golf facelift bagi pasaran tempatan. Ia tampil dengan beberapa ciri yang dipertingkatkan dan harga yang lebih berpatutan. Hadir dengan dua varian iaitu Golf Comfortline berharga RM150,635 dan Golf Highline pula RM160,635. Kedua-duanya adalah harga atas jalan dan tanpa insurans, malah ia adalah lebih mampu milik berbanding Golf TSI terdahulu yang dijual pada harga RM163,888.

    Varian Highline (seperti di dalam gambar) menampilkan roda aloi 17-inci “Madrid” dan lampu hadapan yang direka semula dengan lebih elemen krom (pada posisi lampu nyalaan siang LED bagi model lama). Manakala bahagian belakang pula hadir dengan sepasang lampu baharu yang seiras dengan Golf R dan menyerlahkan lagi gaya agresifnya.

    Ciri baharu yang terdapat pada Golf facelift ini termasuklah sistem kunci pintar KESSY yang menampilkan butang penghidup enjin yang diletakkan pada konsol tengah (bersebelah tombol gear), dan juga tempat duduk hadapan baharu yang lebih sporty dibaluti dengan fabrik bermotif “Mel Stripe” untuk ‘cengkaman’ yang lebih baik. Jadi, pemandu boleh duduk dengan lebih selesa ketika memandu.

    Turut ditampilkan pada varian Highline ini ialah Bantuan Parkir untuk membantu pemandu memarkir kenderaan pada kedudukan sisi, dan Bantuan Rehat yang akan memberi amaran jika ia mengesan pemandu memandu dalam keadaan mengantuk. Ia dapat mengesan tahap konsentrasi pemandu dengan menilai penggunaan pedal dan stereng secara pintar.

    Golf facelift ini didatangkan dalam enam warna berbeza iaitu Limestone Grey, Sunset Red, Pure White, Deep Black, Pacific Blue dan Tungsten Silver.

    Bagi penjana kuasanya, ia dipadankan dengan enjin petrol 1.4 liter TSI empat-silinder pancitan-terus pengecas turbo yang dipertingkatkan. Menjadikan kuasanya sebanyak 150 PS, iaitu lebih 10 PS berbanding model terdahulu. Manakala kuasa tork maksimum boleh dicapai sehingga 250 Nm pada 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear Direct Shift Gearbox (DSG) tujuh-kelajuan yang membolehkan jentera ini memecut dari 0-100km/j dalam masa 8.2 saat dengan pecutan maksimum 216 km/j.

     
     
  • GALERI: Nissan NP300 Navara Sportech di Bangkok

    Navara_Sportech-2

    Satu lagi trak pikap yang penuh sporty dipamerkan di Bangkok Motor Show 2016. Hujung tahun lalu, Nissan Thailand telah mengumumkan ketibaan pakej aksesori Sportech bagi NP300 Navara di negara berkenaan. Di mana pakej aksesori ini pastinya mampu menyerlahkan lagi gaya ranggi NP300 Navara.

    Pakej Sportech ini termasuk untuk bampar hadapan, bedliner, palang sport dengan logo Sportech, lampu kargo LED dan logo Sportech di bahagian belakang. Gaya penuh sporty ini turut dipertingkatkan dengan penampilan gril sarang lebah dan “smoked chrome” pada gril dan bampar belakang. Selain itu terdapat antena sirip jerung pada bahagian bumbung dan rim aloi 18-inci dengan rekaan unik dua-tona.

    Pek ini mempunyai beberapa pilihan warna iaitu hitam, biru gelap, putih mutiara dan oren, dengan kos tambahan 40,000 baht (RM4,550).

    Navara baharu ini secara rasminya telah pun dilancarkan di Malaysia pada November 2015. Ia adalah model CBU yang diimport dari Thailand dan mempunyai enam varian yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu manual, single cab, double cab E manual asas, SE manual, SE auto, V auto, dan VL auto, dengan harga atas jalan bermula RM79,000 hingga RM120,800 (tanpa insurans).

    Baca ulasan pandu uji Nissan NP300 Navara di sini.

     
     
  • Keluar awal untuk elak kesesakan trafik – Ku Nan

    Jam_03

    Menteri Wilayan Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan), mencadangkan agar pengguna jalan raya keluar awal pagi untuk tempat kerja atau mana jua destinasi.

    Selain itu, Ku Nan turut mencadangkan, pengguna jalan raya harus mengenal pasti laluan mereka bagi waktu puncak dan bukan puncak untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, laporan The Sun.

    “Kita sering menggunakan alasan terlewat untuk ke destinasi kerana masalah kesesakan trafik. Tetapi jika kita tahu masa (puncak dan bukan puncak), pastinya kita akan keluar lebih awal. Jadi kita harus tahu bagaimana menguruskan masa,” ujarnya. Beliau menambah, orang ramai patut menggunakan pengangkutan awam jika hendak ke mana-mana destinasi dalam bandar.

    Ini adalah maklum balas Tengku Adnan dalam persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan dari Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, yang bertanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai pelan pembangunan yang lebih terancang untuk mengurangkan kesesakan trafik.

    Teresa memberikan perbandingan perancangan dalam bandar Kuala Lumpur dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Selangor, yang menurutnya mempunyai kawalan trafik yang lebih terancang. Menjawab soalan itu, Ku Nan berkata, pelan pembangunan di KL adalah “lebih baik berbanding Selangor”. Apa pendapat anda mengenai perkara ini? Kongsikan pendapat anda bersama kami menerusi ruangan komen di bawah.

     
     
  • Sultan Johor mahu Tambak Johor segera digantikan dengan jambatan baharu bagi kurangkan kesesakan

    johor causeway jam bernama pix

    Sultan Johor menggesa pelbagai pihak yang berkepentingan agar mempertimbangkan idea bagi menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan.

    Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berharap rakyat Johor dan Singapura dapat sama-sama memberikan idea bagaimana untuk memperbaiki laluan trafik di Tambak Johor sepanjang 1,056 meter itu, laporan The Star.

    “Saya berasa kasihan dengan ribuan rakyat Malaysia dan Singapura yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang sungguh teruk setiap hari. Ia bertambah teruk pada hujung minggu dan musim perayaan. Malah ramai juga yang sanggup berjalan kaki menyeberangi tambak untuk ke Singapura kerana tidak sanggup berhadapan dengan kesesakan yang sangat teruk itu,” ujarnya.

    Sultan Ibrahim turut bertitah, seandainya Singapura tidak bersetuju dengan pembinaan terowong, jambatan bangkok harus dipertimbangkan.

    “Saya sangat yakin, jika anda bekerja dengan Singapura, mereka akan merimanya dengan situasi ‘menang-menang’ untuk kedua-dua negara, tetapi anda perlu memberikan alasan terbaik bagi menggantikan Tambak Johor,” tambahnya lagi.

    Idea untuk menggantikan Tambak Johor dengan sebuah jambatan telah dicadangkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 5 Jun 1996. Malaysia mahu membina jambatan bengkok setinggi 25 meter di atas paras laut yang ketinggiannya turun secara perlahan menuju perbatasan antarabangsa di Selat Johor menyambungkannya terus dengan bahagian tambak sebelah Singapura. Jambatan Bengkok ini, sekiranya siap kelak, akan menjadi sebuah jambatan ikonik berbetuk ‘S” di dunia, meningkatkan reputasi Johor Bahru sebagai pintu masuk selatan utama bagi tanahair.

    Walau bagaimana pun, selepas beberapa siri perbincangan dilakukan oleh kedua-dua negara, sehingga kini gagal mencapai kata putus.

    Menurut Sultan Ibrahim, apa gunanya sekiranya ada sambungan jalan yang baharu, tetapi kesesakan teruk masih berlaku. “Kedua-dua negara perlu mengenepikan perbezaan pendapat dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah sebegini,” ujarnya, sambil menambah projek ini seharusnya telah lama siap sejak bertahun yang lalu.

    Dalam masa yang sama, Sultan Ibrahim turut mengulas mengenai sambungan sistem aliran transit (RTS) dari Singapura ke Johor Bahru yang perlu dipertingkatkan kerana ia dilihat mampu membantu mengurangkan kesesakan di laluan Tambak Johor apabila ramai pengguna yang memilih untuk menaiki RTS.

     
     
  • GALERI: Toyota Fortuner TRD Sportivo di BIMS 2016

    Toyota_Fortuner_TRD-2

    Toyota Fortuner TRD Sportivo sedang dipamerkan di Bangkok Motor Show (BIMS) 2016 yang kini rancak berlangsung. Terdapat beberapa perubahan luaran termasuk bampar hadapan dan belakang yang direka semula dengan gril krom gelap, filem hitam pekat di bahagian bumbung (8,000 baht untuk kereta putih mutiara, hitam hanya salah satu pilihan warna luaran), krom gelap pada plat belakang, logo TRD Sportivo dan corong ekzos.

    Selain itu, ia turut menampilkan rim TRD hitam enam-jejari 20-inci yang dibaluti tayar 265/50 Dunlop. Malah sistem brek juga telah dipertingkatkan termasuk menampilkan suspensi TRD Sportivo dengan sistem pegas dan penyerap hentak yang lebih tahan lasak.

    Pada bahagian kabinnya, SUV tujuh-tempat duduk ini menerima sistem audio JBL dengan 11-speaker, unit utama skrin sesentuh dengan navigasi, tempat duduk balutan kulit berwarna hitam/merah dengan jahitan merah, balutan kulit merah pada panel pintu, kekemasan kulit dan jahitan merah pada papan pemuka, kekemasan “carbon kevlar” pada stereng dan tombol gear, butang penghidup enjin dan rantai kunci TRD merah.

    Toyota_Fortuner_TRD-20

    Turut ditampilkan ialah panel meter dengan merah dan karbon, bersama logo TRD Sportivo pada MID dan logo TRF pada permukaan speedo. Scuff plate dengan logo TRD dan karpet TRD. Memang cukup banyak logo TRD di bahagian luar dan dalam SUV ini.

    Fortuner TRD Sportivo ini hanya didatangkan dengan enjin 2.8 liter 1GD-FTV turbodiesel dengan hamburan kuasa 177 hp dan tork 450 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan. Pembeli boleh memilih sama ada 2WD (pacuan roda-belakang) atau “Sigma4” 4WD. Harganya bermula 1.679 juta baht (RM191,358) hingga 1.769 juta baht (RM201,636).

    Toyota Fortuner baharu direncana bakal dilancarkan di Malaysia tahun ini, bersama Hilux baharu, dan kemungkinan besar kita juga akan menerima varian TRD Sportivo. Apa pun nantikan perkembangan selanjutnya.

     
     
  • SMSParkir bakal dilaksanakan di Johor mulai 1 April

    handicap-oku-abuse-parking-lot

    Dijangkakan sejumlah 500,000 penduduk di Johor bakal memanfaatkan SMSParkir iaitu sistem pembayaran dan penguatkuasaan pintar berasaskan teknologi terkini hasil ciptaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Pengarah Pusat Inovasi dan Komersial UTM, Prof Dr Sevia M.Idrus, sistem itu dibangunkan hampir enam tahun sebagai usaha meningkatkan keberkesanan operasi tempat letak kereta.

    “Sistem ini membolehkan orang awam membayar parkir menggunakan Sistem Khidmat Ringkas (SMS) atau menggunakan aplikasi mudah alih bagi mengelakkan kesukaran pembayaran seperti menggunakan kupon,” katanya.

    Sevia turut menjelaskan teknologi ini akan dilesenkan kepada sebuah syarikat komunikasi dan teknologi, Zen Trillion Sdn Bhd., yang kini merupakan rakan kongsi UTM untuk tujuan pengkormersilan.

    Ssebagai permulaan, sistem parkir baharu ini akan dilaksanakan di kawasan parkir di bawah pengurusan Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT) bermula 1 April ini melibatkan 30,000 tempat letak kereta.

    “Pengguna hanya perlu menghantar maklumat nombor pendaftaran kenderaan, lot parkir dan tempoh parkir menggunakan kod pendek lima digit. Setiap penghantaran akan disahkan oleh pelayan SMSParkir sebelum kredit telefon pengguna ditolak berdasarkan caj pakir yang ditetapkan,” katanya.

    Katanya SMS peringatan akan dihantar beberapa minit sebelum parkir tamat dan pengguna juga tidak perlu membuat membuat pendaftaran awal untuk menggunakan perkhidmatan ini.

    Bayaran tempat letak kereta melalui telefon ditawarkan kepada pelanggan syarikat telekomunikasi (Celcom) di peringkat permulaan tidak lama lagi.

    Katanya kemudahan ini turut dapat diperolehi pengguna yang membayar menggunakan kemudahan aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun secara percuma oleh pengguna telefon pintar.

    “Bagi pihak MJBT pula, sistem ini dijangka meningkatkan kecekapan penguatkuasaan saman dan kompaun parkir di mana mereka dapat memantau dengan lebih mudah menggunakan telefon pintar,” kata Sevia.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Saga 2016 hampiri detik pengenalan

    20160322_095018

    Kali ini spyshot yang kami terima dari pembaca Yow Hong Chieh. Foto daripada bahagian belakang ini menyaksikan model Proton Saga 2016 ini masih dilitupi sedikit penyamaran, namun masih jelas kelihatan bentuknya.

    Kelihatan rekaan lampu belakang tiga-dimensi, tetapi tidak dipastikan adakan ia mengekalkan pencahayaan LED Saga FL dan FLX. Malah kelihatan juga lampu kabus belakang pada bahagian bampar, menampakkan bampar juga hadir dengan rekaan baharu. Bukan itu sahaja, rekaan tiang-C baharu jelas kelihatan, bersama pemegang pintu dari Iriz.

    Tiada pandangan dari bahagian hadapan. Namun kalau mengikut spyshot yang pernah diterima sebelum ini, ia banyak mengekalkan elemen yang ada seperti mana model sedia ada, termasuk bonet dan pintu hadapan serta cermin pintu. Walau bagaimana pun, Saga baharu ini dijangka tampil dengan lampu utama yang dibentuk semula, dan ada spoiler dagu seperti mana yang ada pada model baharu Proton bermula Preve.

    Buat masa ini perincian teknikal belum didedahkan, namun Saga mungkin akan menggunakan enjin Iriz iaitu 1.3 liter VVT dan pilihan transmisi iaitu manual lima-kelajuan atau CVT. Malah Proton telah mengumumkan enjin 1.0 liter dan 1.2 liter tiga-silinder mungkin ditampilkan bagi model akan datang iaitu menjelang akhir 2017. Malah enjin 1.0 liter pengecas turbo juga mungkin ditampilkan.

     
     
  • Toyota Hilux TRD Sportivo baharu lebih sporty diperkenalkan di Bangkok Motor Show 2016

    Hilux_TRD-2

    Toyota Motor Thailand telah pun memperkenalkan varian Toyota Hilux Revo TRD Sportivo baharu di Bangkok Motor Show 2016 yang sedang rancak berlangsung. Kit luaran dan dalaman yang sporty telah ditampilkan pada varian Hilux Double Cab Prerunner, Smart Cab Prerunner dan Smart Cab 4×2. Walau bagaimana pun, harganya masih belum didedahkan.

    Antara elemen tambahan yang ditampilkan temasuklah bampar hadapan spesifikasi TRD dengan gril hadapan krom dan hitam. Selain itu, elemen standard lain termasuklah rim aloi enam-jejari 17-inci dan bampar belakang TRD Sportivo. Sebagai tambahan, pembeli juga boleh mendapatkan elemen pilihan termasuk skirt hadapan TRD Sportivo, lampu nyalaan siang LED, palang sport unik dan bedliner serta pelekat TRD Sportivo.


    Bagi bahagian dalamnya pula, varian spesifikasi tertinggi TRD Sportivo menampilkan tempat duduk balutan sintetik, manakala papan pemuka dan panel pintu dibaluti dengan material karbon yang berkualiti tinggi dengan kekemasan merah. Malah jahitan merah dan kulit sintetik juga melitupi bahagian kabin, termasuk roda stereng, tuil gear, brek parkir dan kotak konsol tengah.

    Malah suspensi TRD Sportivo juga ditampilkan, selain itu aspek mekanikal lain masih kekal sama.

     
     
  • Bas Muafakat Johor – perkhidmatan bas percuma mulai April ini, Pasir Gudang dan Kulai lokasi pertama

    2016-johor-muafakat-free-bus

    Kerajaan negeri Johor akan memulakan perkhidmatan bas percuma yang diberi nama Johor Muafakat, mulai pertengahan April ini. Ia akan dimulakan di daerah Pasir Gudang dan Kulai terlebih dahulu. Sebanyak 30 buah bas akan digunakan dalam perkhidmatan ini.

    Bagi yang ingin menggunakan perkhidmatan bas percuma ini, hanya satu saja cara dan yang paling mudah dilakukan iaitu daftar untuk mendapatkan kad keahlian yang boleh dimohon menerusi www.basmuafakatjohor.com.

    Kos kad keahlian dikenakan sebanyak RM10 setahun untuk dewasa dan RM6 bagi warga emas, tetapi ia adalah percuma untuk orang kurang upaya, pelajar berusia antara tujuh hingga 17 tahun dan kanak-kanak di bawah usia enam tahun, menurut laporan The Malay Mail.

    Dengan peruntukan tahunan sejumlah RM11 juta daripada empat majlis perbandaran tempatan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah.

    2016-johor-muafakat-free-bus-routes-1
    2016-johor-muafakat-free-bus-routes-2

    Klik untuk besarkan imej

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Latiff Bandi, langkah ini diambil oleh kerajaan negeri untuk mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh rakyak ekoran kenaikan kos taraf hidup, terutamanya yang tinggal di bandar dan pekan besar.

    “Dengan perkhidmatan bas percuma ini, kami menjangkakan rakyat dapat mengurangkan perbelanjaaan sebanyak RM150 sebulan. Walau pun ia bukanlah jumlah yang besar, namun sekurang-kurangnya membantu mengurangkan beban yang mereka tanggung,” ujar Latiff.

    Bas Muafakat Johor ini juga akan memilki skim warna yang berbeza untuk membezakan operasi setiap daerah. Malah setiap bas juga dilengkapi dengan kemudahan WiFi secara percuma dan sistem CCTV.

    “Kami telah melantik dua buah syarikat bas iaitu Handal Indah Sdn Bhd dan Maju Bus Service, yang memiliki rekod terbaik di Johor untuk mengendalikan perkhidmatan ini,” ujar Latiff lagi.

    Perkhidmatan bas percuma ini bukanlah yang seumpamanya di Johor. Dua tahun lalu, majlis bandaraya juga telah memperkenalkan bas percuma di bawah inisiatif “Johor Bahru Di Hati Ku” dengan mempunyai enam unit bas beroperasi.

     
     
  • GALERI: Honda Civic 2016 di Bangkok Motor Show


    Dari Kiri-Kanan: Civic Turbo RS, Civic 1.8 E

    Honda Thailand mengambil kesempatan mempamerkan Civic 2016 di Bangkok Motor Show yang sedang berlangsung walau pun telah melancarkan model berkenaan awal bulan ini. Malah ia turut mendapat perhatian ramai dan dianggap sebagai antara model yang signifikan dipamerkan di Impact Muang Thong Thani.

    Mempamerkan empat varian, dengan satunya adalah dilengkapi dengan kit badan Modulo. Tidak seperti pasaran di Amerika Syarikat, enjin asas bagi pasaran Asia ini ialah 1.8 liter i-VTEC empat-silinder dengan kuasa 141 hp pada 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada 4,300 rpm. Malah ia juga menampilkan pilihan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan kuasa 173 hp pada 5,500 rpm dan tork 220 Nm antara 1,700 dan 5,500 rpm. Kedua-dua enjin dipadankan dengan Transmisi boleh laras berterusan (CVT) yang menggantikan kotak gear auto lima-kelajuan.

    Honda-Civic-Thai-Grades

    Pada bahagian luarannya, ia diberikan penggayaan yang lebih segar termasuk menampilkan elemen standard termasuk lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED dan rim aloi 16-inci. Bagi 1.8 EL pula terdapat lampu kabus dan pemegang pintu krom. Manakala varian Turbo pula menerima roda 17-inci dan dua ekzos, sementara bagi RS pula dipadankan dengan lampu utama LED sepenuhnya, lampu kabus LED, bampar hadapan yang lebih sporty dan gril (dengan bar hitam pekat bersambung dengan lampu utama) dan spoiler belakang.

    Di bahagian dalamnya, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin adalah standard, bersama Kawalan Penghidup Enjin yang juga ada pada Accord facelift. Turut dilengkapi dengan penghawa dingin automatik, roda stereng pelbagai fungsi, brek parkir elektronik, paparan tengah lima-inci dan sambungan Bluetooth. Ia turut menampilkan tempat duduk balutan fakrik berwarna beige dengan jaluran kelabu di tengahnya.

    Civic_15RS-14

    Bagi varian 1.8 EL, ada pertambahan elemen termasuk kawalan kelajuan, lampu utama automatik, Walk Away Auto Lock (yang boleh mengesan kunci bergerak jauh dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik), tempat duduk pemandu berkuasa dengan pelarasan lapan-cara, kulit upholstery, paparan instrumen LCD TFT, sistem hiburan skrin sesentuh tujuh-inci dengan Apple CarPlay dan Siri Eyes Free, sistem bunyi lapan-speaker dan kamera undur.

    Bagi model Turbo pula, ia menerima bilah pengilap cermin automatik, tempat duduk penumpang hadapan berkuasa dengan empat-cara pelarasan dan kawalan suhu dua zon. Manakala untuk Turbo RS pula, elemen tambahan yang ditampilkan ialah cermin pandang belakang anti-silau, pedal penukar gear di belakang roda stereng dan pedal aloi.


    Dari Kiri-Kanan: Civic Turbo RS, Civic 1.8 E

    Kit keselamatan standard pula termasuk dua beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA) dan Bantuan Mula Mendaki. Hanya model Turbo RS menerima enam beg udara, pengingatan pemakaian tali pinggang penumpang hadapan dan Honda Lane Watch.

    Harga bermula 869,000 baht (RM100,800) untuk model asas 1.8 E, manakala 1.8 EL pula 959,000 baht (RM111,200), 1,099,000 baht (RM127,500) untuk Turbo dan 1,199,000 baht (RM139,100) bagi varian tertinggi Turbo RS.

    Baru-baru ini, ada laporan dari Australia menyebut, Civic sedan serba baharu akan tiba di negara kanggaru itu sebelum pertengahan tahun ini, diikuti dengan versi hatchback awal 2017. Apa yang lebih menarik lagi ialah kedua-dua model telah sah akan diproduksi di Thailand. Malah tidak mustahil juga hatchback lima-pintu itu akan dibawa masuk ke Malaysia. Malah bentuk kerangka baharu ini juga telah dipertontonkan di Geneva Motor Show baru-baru ini dan imej paten bagi Civic 2017 juga telah tersebar.

    GALERI: Honda Civic Turbo RS 2016

    GALERI: Honda Civic 1.8 E 2016

     
     
  • Johor harap dapat implementasi VEP mulai Jun ini

    johor causeway jam bernama pix

    Permit Masuk Kenderaan (VEP) bagi kenderaan asing kini sedang dalam peringkat ujian, dan dijangka akan diimplementasi menjelang Jun ini, laporan The Star.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad, insfrastruktur bagi projek ini diuji di Tambak Johor dan Link Kedua.

    “Kami sedang menantikan kod pintar bagi penyerahan kad pengenalan gelombang radio (RFID) untuk melaksanakan VEP ini,” ujarnya.

    Katanya lagi, buat masa ini, pihaknya sedang mengenal pasti cara pengedaran bagi tag RFID ini kepada pemilik kenderaan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, setiap lorong di laluan pemeriksaan itu akan dilengkapi dengan kamera dan alat pengesan bagi mengesan plat pendaftaran kenderaan dan tag RFID terbabit. Malah palang di laluan pemeriksaan tidak akan dibuka jika RFID mengesan plat pendaftaran kenderaan tidak ada dalam sistem. Ini bagi mengelakkan RFID digunakan oleh kenderaan yang tidak didaftarkan melalui sistem berkenaan.

    Hasni turut berkata, setiap kenderaan yang masuk ke negara ini akan dikenakan bayaran sebanyak RM20 dan ia boleh dibayar menerusi kad Touch n’ Go.

    “Kami berharap projek ini dapat berjalan dengan lancar dan tidak lagi ditunda. Berkenaan dengan hasil kutipan dari VEP, ada sejumlah bahagian yang akan diserahkan kepada kerajaan tempatan untuk kerja-kerja penyelenggaran jalan,” ujarnya lagi.

    Setakat ini, sebanyak 120,000 pemilik kenderaan Singapura telah mendaftar. Katanya lagi, pihaknya tidak akan menawarkan sebarang diskaun bagi rakyat Singapura yang kerap berulang-alik ke negara Malaysia, dan juga tiada caj khas pada hujung minggu mahu pun cuti umum.

    Bagi kebanyakan rakyat Malaysia yang bekerja di negara berkenaan, kebanyakannya menggunakan plat pendaftaran Singapura kerana mahu mengelakkan bayaran VEP sebanyak S$35 (RM105) sehari. Manakala bagi motosikal pula dikenakan bayaran sebanyak S$4 (RM12).

    Di Singapura, setiap kenderaan asing yang memasuki negara berkenaan akan diberikan kadar percuma untuk 10 hari. Malah tiada VEP dikenakan pada hujung minggu. VEP juga dikecualikan antara jam 5 petang dan 2 pagi, Isnin hingga Jumaat.

     
     
  • Kenstomoto Demolisher – Benelli TnT600 modifikasi kustom oleh pereka kenderaan Malaysia Kenny Yeoh

    Kenstomoto Demolisher Benelli TnT600-2

    Motorsikal yang dimodifikasi mahu pun kustom, bergantung pada “gaya” dan “rupa” yang dikehendaki oleh perekanya. Bagi Kenstomoto Demolisher, pereka kenderaan Malaysia, Kenny Yeoh, inginkan sesuatu yang kelihatan seperti “Zaku“, kenderaan tentera dari siri animasi Mobile Suit Gundam.

    Bermula dengan Benelli TnT600 2013, Yeoh menerima amanat dari pelanggannya untuk “buat seperti apa yang dimahukan” bagi sportsbike 600 cc ini. Memerah segenap idea untuk merealisasikan apa yang ada di benaknya, Yeoh mahu menjadikan motosikal tersebut seperti apa yang diingini.

    Tanpa mengusik bahagian enjin dan kotak gearnya, Yeoh turut menukar sub-frame belakang dan unit utamanya. Dengan menggunakan sumber tempatan, Yeoh menggantikan lampu utamanya dengan unit projektor kustom yang disertakan dengan lampu nyalaan siang. Malah kluster instrumen juga telah diposisikan lebih rendah, atas sedikit daripada bahagian lampu, bagi menampakkan gaya cyclopean seperti bahagian topi keledar Zaku.

    Malah Yeoh turut mereka set kustom bagi pemegang lampu supaya kelihatan sama seperti unit OEM. Indikator bagi gear juga ditempatkan pada perumah kustom bahagian handlebar dan palang yang ada turut digantikan dengan set yang mudah dikepit pada bahagian sepit udang (fork).

    Bagi bahagian belakangnya pula, sub-frame telah dipendekkan dan digandingkan bersama gentian kaca kustom. Untuk kualiti kerja yang kelihatan lebih baik, tiada ruang atau pembentukan beralun kelihatan. Tempat duduk hadapan original dikekalkan, sekarang dibaluti material kulit.

    Bahagian pemegang rantai juga telah direka semula dan sesuai dengan jenama motor ini iaitu Kenstomoto, potongan laser pada setengah bahagian belakang. Malah bahagian roda juga dibiarkan, dengan kekemasan baharu warna hitam dan merah serta jaluran ala Itali pada tepi roda.

    Bahagian ekzos yang besar telah disingkirkan, digantikan dengan alur kustom yang diletakkan di bawah swing-arm pivot dan sisinya. Sentuhan terakhir yang dilakukan adalah bagi topi keledar atas permintaan pelanggan terbabit, yang tertera logo dan jenama Kenstomoto.

    Sebagai pereka kenderaan, Yeoh mempunyai kelebihan untuk mendapatkan komponen tempatan dan mesin bagi membuat komponen yang direka, yang sukar untuk didapati oleh kebanyakan pembuat model kustom ini kerana kos yang agak tinggi. Hanya memberikan tumpuan pada rekaan dan penggayaaan komponen, beliau tidak menyentuh bahagian mekanikal kerana mengakui enjin dan mod prestasi bukanlah kepakarannya.

    Mementingkan kualiti melebihi kuantiti, Yeoh hanya memfokuskan satu projek kustom dalam satu masa dan memilih pelanggan yang tepat untuk kerja-kerja sebegini. Kenstomoto merupakan jenama sendiri Yeoh, dan dia bekerja keras demi pengiktirafan. Bagi Demolisher, ia adalah rekaan Malaysia sepenuhnya, dan menggunakan komponen yang bersumber tempatan dan luar negara.

    Buat masa ini, Yeoh sedang membina kit bagi Kawasaki ER-6N, yang boleh ditempah menerusi laman Facebook Kenstomoto. Ia dibina mengikut kehendak pelanggan, yang disasarkan akan diperkenalkan di penganjuran Art of Speed 2016 pada Mei ini yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

    GALERI: Benelli TnT600S 2016

     
     
  • Subaru Forester 2016 dilancarkan di Malaysia 14 April ini, harga bermula RM144k, RM19k lebih murah

    2016-Subaru-Forester-Malaysia-price

    Susulan pelancaran Subaru Forester 2016 bagi pasaran Asia Tenggara di Bangkok Motor Show 2016 semalam, Pengarah Eksekutif Tan Chong International, Glenn Tann, telah memaklumkan kepada kami berkenaan harga SUV ini.

    Menurutnya, model facelift Forester ini akan dilancarkan di Malaysia pada 14 April 2016, denga dua model CKD iaitu 2.0i dan 2.0i-P dan satu varian CBU dari Jepun iaitu 2.0 XT.

    Model asas Forester 2.0i akan dijual pada harga RM144,160, diikuti dengan 2.0i-P pada RM153,700. Kedua-dua varian dijanakan oleh enjin FB20 2.0 liter empat-silinder aspirasi-natural (150 PS/198 Nm).

    Manakala model CBU sedia ada 2.0i-L pula berharga RM163,590 (model baharu 2.0i dan 2.0i-P lebih murah sebanyak RM19,430 dan RM9,890).

    Bagi yang inginkan hamburan kuasa yang lebih, varian XT dengan enjin FA20 2.0 liter turbo empat-silinder turut kini ditawarkan dengan harga RM210,940, iaitu meningkat sebanyak RM2,830. Semua harga yang disebut adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan cukai jalan.

    Kami juga diberitahu, terdapat diskaun istimewa sebanyak RM3,000 akan turut ditawarkan apabila SUV ini dilancarkan di Malaysia. Namun ia adalah untuk tempoh waktu yang terhad. Pilihan warna pula termasuk putih, hitam, perak, gangsa dan kelabu.

    Forester baharu juga menerima penaiktarafan, termasuk X-Mode baharu yang sesuai untuk kegunaan off-road. Selain dari ciri X-Mode, sistem suspensi juga telah ditingkat taraf untuk meningkatkan lagi kebolehan pengendalian Forester ini. Cross member hadapan direka dengan lebih keras, sistem pegas dan penyerap hentak baharu juga ditala semula serta jajaran roda belakang telah ditukar untuk memastikan Forester memberikan pengendalian yang lebih hebat.

    Bagi aspek keselamatan pula, Forester baharu ini dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin dan sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA. Kelengkapan keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

    2016-Subaru-Forester-2.0-XT-16

    Lampu hadapan LED-penuh hanya ditawarkan untuk varian 2.0i-P dan XT sahaja bersama lampu kabus jenis mentol biasa. Lampu LED tersebut juga menampilkan ciri Lampu Hadapan Responsif Stereng di mana ia akan menyuluh mengikut arah putaran stereng. Varian 2.0i hanya dilengkapi dengan reflektor halogen berbanding DRL LED.

    Roda aloi baharu juga sebahagian dari pakej facelift baharu Forester. Varian XT dipadankan dengan roda aloi bersaiz 18-inci dibaluti tayar 225/55R18, manakala dua lagi varian dibekalkan dengan roda aloi bersaiz 17-inci dibaluti tayar 225/60R17.

    Kemasan dalaman menerima lebih banyak balutan kulit, plastik hitam berkilat dan juga panel krom pada bahagian seperti panel pintu, papan pemuka, liang penghawa dingin dan panel kawalan tengah. Balutan kulit adalah standard untuk semua varian. Kadar NVH juga telah dipertingkat selepas crossover ini dilengkapkan dengan material kedap bunyi tambahan dan tingkap yang lebih tebal.

    Subaru Forester 2.0 XT 2016

    Subaru Forester 2.0i-P 2016

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025