Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford Fiesta ST200 bakal tampil di Geneva Motor Show

    Ford_Fiesta_ST200_main

    Ford telah mengesahkan bakal mengambil kesempatan untuk mempamerkan Fiesta ST200 di pentas kegemilangan Geneva Motor Show 2016 ini.

    Digambarkan sebagai “model produksi Fiesta yang paling berkuasa setakat ini,” jentera hatchback ini ditampilkan dengan enjin 1.6 liter EcoBoost empat-silinder yang ditala untuk menghasilkan sehingga 200 hp dan tork puncak 288 Nm. Ledakan kuasa ini membolehkan Fiesta ST200 ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 6.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksima sehingga 230 km/j.

    Di samping peningkatan kuasa enjin, Fiesta ST200 ini turut tampil dengan imej luaran Storm Grey yang unik bersama kaliper brek berwarna merah dan rim aloi hitam pekat 17-inci.

    Ia turut dilengkapi dengan rekaan dalaman yang diperkemaskinikan termasuk menampilkan tempat duduk hadapan Recaro, jahitan kontra berwarna perak, plat ambang iluminasi, dan tali pinggang keledar khas dengan kekemasan perak.

    Menurut Timbalan Presiden Pembangunan Produk Ford Eropah, Joe Bakaj, “Fiesta ST ini benar-benar menambat hati para penggemar dan pengkritik. Namun ST200 menambahkan keterujaan kerana ia memberikan pemandu tahap kuasa dan prestasi yang baharu dan lebih mengagumkan.” Malah beliau juga berkata ST200 ini diibarat “model klasik masa hadapan yang sedang dibangunkan.”

    Fiesta ST200 dijangka bakal memasuki produksi pada Jun ini dan memasuki pasaran Eropah sebelum tirai 2016 berlabuh.

     
     
  • Toyota Rush 7 2016 dilancarkan di Indonesia

    2016-Toyota-Rush-TRD-Indonesia-07

    PT Toyota-Astra Motor (TAM) telah melancarkan model Toyota Rush TRD Sportivo Ultimo dan Rush TRD Sportivo 7 2016 di Indonesia. Dua varian baharu bagi SUV ini menampilkan tujuh-tempat duduk dalam tiga barisan, di mana menurut TAM ia mampu menyaingi model baharu Honda iaitu BR-V yang menguasai pasaran domestik. Manakala varian asas Type G masih terus menawarkan lima-tempat duduk.

    Rush TRD Sportivo 7 (berwarna putih) didatangkan dengan barisan tempat duduk ekstra serta dua tali pinggang keledar ekstra bersama pemegang tangan. Imej luarannya ditampilkan dengan aerokit TRD Sportivo dan pelekat pada kedua-dua sisinya.

    Manakala Rush TRD Sportivo Ultimo merupakan varian spesifikasi tertinggi. Ia berdasarkan model TRD Sportivo 7, tetapi menampilkan jaluran berwarna merah pada gril hadapan, pelekat pada penutup tayar simpanan di belakang, rim dengan rekaan baharu TRD Sportivo dan logo ‘Ultimo’. Ia turut ditawarkan dengan warna baharu iaitu Nebula Blue.

    Elemen yang paling signifikan ditampilkan pada Ultimo ialah suspensi TRD Sportivo, di mana ia dihasilkan secara kerjasama antara jurutera TAM dan TRD Indonesia, yang direka bagi menepati keadaan jalan di negara berkenaan, termasuk keadaan cuaca dan juga penggunaannya. Suspensi TRD Sportivo juga telah ditambah bagi ‘ground clearance’ iaitu sebanyak 200 mm yang memberikan pengendalian lebih selesa.

    Harga yang ditawarkan bermula Rp.245.85 juta (RM77,665) untuk TRD Sportivo 7 M/T hingga Rp.262.45 juta (RM82,750) untuk TRD Sportivo Ultimo A/T. Model facelift Rush bagi pasaran Malaysia dilancarkan pada April tahun lalu.

    GALERI: Toyota Rush facelift di Malaysia

     
     
  • Imej Toyota C-HR versi produksi bocor sebelum penampilan sulungnya di Geneva Motor Show 2016

    Toyota-C-HR-production-4-e1456546285580_BM

    Setelah bertahun dipertonton sebagai SUV konsep, Toyota akhirnya membuat pengumuman rasmi minggu lalu untuk mendedahkan C-HR versi produksi pada Geneva Motor Show 2016 bulan hadapan. Tetapi, gambar SUV ini nampaknya telah bocor di internet sebelum penampilan sulungnya nanti.

    Versi produksi ini masih mengekalkan rekabentuknya yang tersendiri tetapi ia kelihatan kurang agresif berbanding versi konsep. Walaubagaimana pun, muka yang garang, ruang roda yang besar, bumbung yang condong, pintu belakang yang kecil dengan pembuka pintu terselindung dan lampu belakang berbentuk boomerang masih lagi kelihatan.

    Tiada lagi perincian yang disahkan oleh Toyota berkenaan SUV ini selain ianya dibina atas platform TNGA baru Toyota yang sama seperti Prius generasi-keempat. Dapat dilihat lencana hybrid diletak pada bahagian belakang C-HR ini tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia akan dijana dengan unit kuasa sama seperti Prius atau tidak.

    Setelah diproduksi nanti, C-HR bakal memberikan saingan yang sangat sengit untuk Nissan Juke, Mazda CX-3 dan Honda HR-V di Eropah. Dengan rekabentuk yang menarik dan futuristik ini, Toyota bakal mencorakkan persaingan SUV Crossover segmen-C ini keperingkat yang lebih menarik.

    GALERI: Konsep Toyota C-HR di Frankfurt Motor Show 2015


    GALERI: Ujian Prototaip Toyota C-HR

     
     
  • Cadangan membenarkan Mat Rempit berlumba di jalan raya Kuala Lumpur tidak akan dilaksana – Menteri

    2015-mat-rempit-5-e1444095620332a_BM

    Cadangan Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menutup sebahagian jalan di Bandaraya Kuala Lumpur seminggu sekali untuk membenarkan Mat Moto berlumba secara sah mendapat tentangan berterusan, kali ini dari pihak Menteri dan pegawai kerajaan sendiri.

    Dalam laporan The Star, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tong Lai berkata jalan awam bukan tempat yang betul untuk diadakan perlumbaan, kerana ianya merupakan aktiviti yang ekstrem.

    Apa-apa acara perlumbaan perlu diadakan di atas litar perlumbaan yang lengkap dan menepati beberapa ciri keselamatan yang diperlukan, kata beliau, dan cadangan terbabit akan dibincangkan kemudian. “Kelajuan boleh membunuh. Pergi ke litar perlumbaan untuk berlumba dan bukan di kawasan awam,” jelas beliau.

    2015-mat-rempit-3-e1444095369383_BM

    Liow juga turut menyokong cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen memandu, dan mengalu-alukan cadangan yang lebih membina untuk menjadikan jalan raya tempat yang lebih selamat. ” Pelbagai program dijalankan seperti MyLesen untuk membolehkan pengguna jalan raya mendapatkan lesen,” kata beliau.

    Dalam laporan yang lain, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong berkata cadangan untuk membenarkan atau memberikan tempat untuk Mat Rempit berlumba tidak akan dilaksanakan, terutama didaerah tumpuan pusat perniagaan di dalam Kuala Lumpur.

    “Jika ia mendatangkan gangguan dan suasana bising yang sama di kawasan awam, masalah ini akan kekal sama dan orang awam tidak akan berasa gembira. Ia juga akan mendatangkan kesan buruk dan membahayakan kehidupan seharian. Adakah anda mengatakan jika tidak dapat melawan mereka, sertai mereka? saya tidak berfikir sedemikian,” jelas beliau.

    PG01_040114_MAT REMPIT

    Wee menambah Mat Rempit ini perlu diberi pendidikan nilai-nilai murni, daripada membenarkan mereka berlumba.
    Tambahan pula, memberikan tempat untuk mereka berlumba bukan poin yang utama kerana ia bukan keseronokan yang Mat Rempit ini cari.

    “Jika diberi stadium sekalipun untuk mereka, mereka tidak berminat. Mereka mahu aksi mereka ditonton orang ramai dan ini sangat penting bagi mereka, walaupun ianya sangat merbahaya dan berisiko tinggi. Mereka sukakannya. Ini merupakan sikap dan mentaliti kebanyakkan Mat Rempit,” ujarnya.

     
     
  • Tiada lanjutan kempen Bayaran Kompaun Trafik MBPJ

    mbpj-pay-traffic-summons-campaign-2016

    Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohd Azizi Mohd Zain, mengesahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak akan melanjutkan tarikh akhir kempen Bayaran Kompaun Trafik yang diberi kadar diskaun. Ia telah pun dilancarkan sejak 1 Disember tahun lalu dan berakhir hari ini.

    Menerusi laporan The Sun, Mohd Azizi berkata, orang ramai telah diberikan masa yang cukup untuk menyelesaikan bayaran trafik tertunggak tersebut. MBPJ juga mempunyai sistem operasi yang berfungsi sepenuhnya dan mampu mengatasi aliran masuk orang ramai yang membayar kompaun berkenaan.

    “Saya telah mengarahkan jabatan perbendaharaan untuk membuka semua kaunter bayaran, dan jika perlu kaunter tambahan juga akan dibuka untuk urusan pembayaran kompaun trafik tersebut,” ujarnya.

    Pihak berkuasa tempatan tersebut juga telah membuka kaunter bayaran pada hujung minggu untuk memberikan peluang kepada orang ramai menyelesaikan saman trafik masing-masing dengan kadar diskaun yang diberikan. Hari ini, 29 Februari, merupakan hari terakhir bagi membayar kompaun trafik dengan kadar diskaun.

    Menurut Mohd Azizi lagi, bagi yang gagal menyelesaikan bayaran saman tersebut, nama mereka akan diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tindakan selanjutnya.

     
     
  • Imej awalan prototaip Honda Civic Hatchback tersebar

    Honda-Civic-Hatchback-Prototype-leak-3_BM

    Civic generasi ke-10 yang dikatakan Civic terbaik pernah di bina Honda belum lagi dilancarkan di Malaysia, tetapi pelbagai berita sensasi berkaitan prestasi serta pelbagai variannya berterusan tersebar di peringkat global. Terkini, gambar Civic varian hatchback yang dikhabarkan akan dipertontonkan prototaipnya di Geneva Motor Show 2016 minggu hadapan telah bocor di alam maya. Gambar yang telah disiarkan oleh pihak CarScoop tersebut memperlihatkan bahagian belakang kereta tersebut direka dengan ‘overhang’ yang pendek.

    Civic ini mungkin bakal dijadikan platform untuk Civic Type-S seperti diumumkan Honda sebelum ini yang bakal berhadapan saingan seperti Volkswagen Golf GTI dan Ford Focus ST. Manakala persaingan di peringkat yang lebih tinggi melibatkan Golf R dan Focus RS akan diambil oleh Civic Type-R.

    Honda telah mengesahkan Civic Hatcback dengan spesifikasi standard akan masuk ke pasaran Eropah pada awal 2017 dijana enjin petrol VTEC Turbo 1.0 liter (127 hp/200 Nm) dan enjin petrol VTEC Turbo 1.5 liter (201 hp/260 Nm). Seperti juga untuk pasaran Civic sedan di Amerika Syarikat, model hatchback ini berkemungkinan akan dilengkapi sama ada dengan kotak gear CVT auto atau manual enam-kelajuan.

     
     
  • Perodua Alza Infinite Concept, kereta konsep Perodua untuk KLIMS 2010 disalah anggap sebagai Alza baharu

    Berikutan gambar viral Perodua Alza baharu yang disebarkan melalui media sosial baru-baru ini, sebenarnya MPV tersebut bukanlah Perodua Alza baharu. Gambar yang diambil dengan kain penutup hitam disekeliling kereta tersebut kelihatan seperti baru dibuka seolah-olah ianya gambar ‘spyshot‘ yang telah ‘bocor’ ke alam maya.

    Kereta tersebut sebenarnya ialah Perodua Alza Infinite Concept yang dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2010, bersama kereta konsep Perodua Bezza.

    Alza tersebut menerima kit badan yang lebih lebar, rim yang besar dan direndahkan ketinggiannya. Gril hadapan dan liang kemasukan kelihatan lebih menonjol apabila garisan pada keliling gril tersebut diwarnakan dengan warna oren, begitu juga warna pada roda dan diffuser belakang. Pada bahagian belakang, tulisan ‘Perodua’ besar dengan jarak lebar ditempatkan di atas ruang plat nombor pendaftaran.

    Pada bahagian dalaman, pihak Perodua telah menggantikan kesemua tiga baris tempat duduk asal dengan tempat hanya empat duduk jenis bucket, serta bahagian penumpang paling belakang diletakkan dengan pembesar suara dan tablet. Papan pemuka dan roda stereng dibalut dengan bahan seperti alcantara. Terdapat juga suis penghidup jenis ‘push start‘ di bahagian kanan jejari roda stereng.

    Jika ini merupakan produksi baru Perodua Alza, sanggupkah anda membeli MPV yang pada asalnya mempunyai tujuh-tempat duduk ini dengan hanya empat tempat duduk serta ruang kargo yang penuh dengan pembesar suara?

    Perodua Alza dilancarkan pada November 2009, facelift terbaru model ini telah masuk ke pasaran sejak Januari 2014.

     
     
  • Lebuhraya Pan Borneo diharap kurangkan kemalangan

    Pan-Borneo-highway-02_BM

    Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sarawak dan Sabah mampu membantu mengurangkan kadar kemalangan maut di negara ini.

    Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof, pembinaan lebuh raya itu sudah tentu akan menambah baik jalan raya di Sarawak yang keadaannya beralun disebabkan dibina di atas laluan tanah berpaya dan tanah gambut, laporan Bernama.

    Selain berpunca daripada sikap pemandu, keadaan jalan raya dan kenderaan turut menjadi penyumbang kepada kemalangan.

    “Kita harap dengan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ini, sebahagian besar daripada masalah jalan beralun dapat diselesaikan dan seterusnya membantu mengurangkan kemalangan maut,” katanya.

    Projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,663 kilometer yang menelan belanja RM29 bilion itu akan menjadi laluan utama menghubungkan Sarawak dan Sabah.

    Abd Ghafar turut berkata sekiranya tiada tindakan diambil untuk mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya menjelang 2020, jumlah kematian yang diunjurkan lebih 6,000 orang dijangka meningkat kepada lebih 10,000 orang di seluruh negara.

    Beliau berkata sasaran JKJR melalui pelan keselamatan jalan 2014-2020 adalah mengurangkan kadar kematian kepada 5,000 orang atau lebih rendah.

     
     
  • Pemakaian tali pinggang keledar, topi keledar perlu dikuatkuasa secara tegas dan berterusan – MIROS

    Rear_Seat_belt-003-850x566

    Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar perlu dikuatkuasa secara tegas dan berterusan untuk mencegah kemalangan maut, menurut laporan Bernama.

    Katanya lagi, untuk mencapai kesan jangka panjang, tindakan penguatkuasaan yang berterusan terhadap pemakaian tali pinggang keledar dan topi keledar perlu ditingkatkan serta lebih menonjol menerusi publisiti.

    Lee turut meminta pemasaran sosial dipertingkatkan dengan memberi tumpuan terhadap inisiatif advokasi serta program berasaskan komuniti kepada pengguna jalan raya mengenai faedah memakai tali pinggang keledar dan topi keledar.

    gempak-mufors-road-safety-campaign 39

    Tambahnya lagi, pendidikan keselamatan jalan raya juga perlu untuk pelajar sekolah serta kurikulum lesen memandu.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggalakkan pengeluar kenderaan memasang peringatan memakai tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan dan belakang.

    Menurut Lee, pada 2014, MIROS membuat kajian mengenai pemakaian tali pinggang keledar di seluruh negara dan hasilnya mendapati pemandu mencatat kadar pematuhan 81.7% diikuti penumpang hadapan dan belakang yang masing-masing merekodkan 68.1 dan 86%.

    Sementara itu, katanya kajian dibuat MIROS pada 2015 mendapati kadar pemakaian topi keledar di Malaysia adalah 73%.

     
     
  • Laluan skyway untuk haiwan liar bakal dibina di LPT2

    LPT2_PTBM

    Cadangan Kementerian Kerja Raya untuk membina laluan skyway di beberapa lokasi yang menjadi tumpuan binatang liar melintas jalan di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), disambut baik oleh kerajaan Terengganu.

    Menurut laporan Bernama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau Negeri Terengganu Ir Rosli Othman berkata perkara ini akan dirundingkan bersama beberapa pihak berkenaan sebelum melaksanakannya.

    “Pada dasarnya Menteri Besar Terengganu bersetuju dengan cadangan pembinaan laluan udara itu namun kajian rapi mengenainya akan dilakukan terlebih dahulu oleh pihak berkenaan, termasuk membabitkan kos yang besar bagi tujuan pembinaan tersebut.

    “Beberapa pihak seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Kerja Raya akan melakukan kajian mengenai cadangan pembinaan itu,” katanya.

    Walau bagaimana pun, beberapa aspek juga perlu dikaji termasuk lokasi cadangan pembinaan laluan udara yang menjadi tumpuan haiwan liar di LPT2 yang sepanjang 180 kilometer itu.

    Cadangan pembinaan laluan udara itu dicadangkan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof ketika melawat LPT2 baru-baru ini.

    Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

    Dalam perkembangan berkaitan Rosli berkata LLM melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pagar untuk memastikan pagar di sepanjang LPT2 tidak diroboh atau dirosakkan penternak haiwan.

    Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan mengadakan sesi penerangan kepada semua penternak haiwan supaya tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran di LPT2 atau berdepan tindakan kompaun.

     
     
  • Volkswagen Cares untuk pelanggan dilancarkan

    Volkswagen Cares Programme-06

    Volkswagen Malaysia telah melancarkan program Volkswagen Cares yang pertama iaitu satu siri bengkel kereta secara percuma yang eksklusif untuk para pemilik kenderaan Volkswagen. Ia dianjurkan di Volkswagen Wearnes Sg Besi dan telah dihadiri oleh 12 orang pemilik kenderaan Volkswagen.

    Program Volkswagen Cares dibangunkan sebagai usaha untuk meningkatkan dan menambah baik pengalaman pemilikan pelangan Volkswagen. Program percuma ini akan dianjur dan dijalankan oleh para pengedar Volkswagen yang mengambil bahagian untuk para pelanggan masing-masing.

    Sesi pada hari ini dikendalikan oleh Alex Chen, Pengurus Servis, Simon Chin, Penolong Pengurus Wearnes Automotive dan Charles Lim, Pengurus Besar perkhidmatan selepas jualan Wearnes Automotive.

    Sesi yang terdiri daripada dua bahagian itu melibatkan silibus yang bersifat teori. Ia merangkumi aspek keselamatan, tip-tip menjimatkan bahan api, langkah-langkah keselamatan anak-anak yang betul serta apa yang perlu dilakukan dalam situasi kecemasan.

    Malah, penerangan lanjut mengenai perbezaan ciri yang ada pada kenderaan Volkswagen dan bagaimana ia boleh digunakan sepenuhnya untuk manfaat para pemiliknya juga ada diberikan. Demonstrasi secara amali berkaitan tip-tip penyelenggaraan dan pemeriksaan mudah turut ditunjukkan oleh juruteknik selepas jualan yang terlatih.

    Selain itu, topik mengenai keselamatan dan penjimatan bahan api turut dibawakan. Begitu juga dengan aspek keselamatan seperti kawalan kelajuan, ABS, EBD dan ESP, turut diperbincangkan.

    Pengarah Urusan Volkswagen Group Malaysia, Armin Keller berkata, “Volkswagen Malaysia berbesar hati untuk mengumumkan inisiatif ini. Kami percaya dengan memperkasakan para pemilik dengan pengetahuan, kesedaran dan ilmu yang betul bersama usaha Volkswagen, kami mampu meningkatkan pengalaman pemilikan mereka secara keseluruhannya.”

     
     
  • GALERI: Mazda CX-5 2016 facelift 2.5L 2WD CKD

    2016-Mazda-CX-5-2.5L-2WD-facelift-1_BM

    Mazda CX-5 facelift CKD kini telah tiba di bilik pameran. Untuk varian 2.5L 2WD sedikit perubahan dilakukan untuk menyegarkan kembali model ini dalam pasaran.

    Pada bahagian luaran, gril pada bampar hadapan telah digantikan rekaan baharu lima-bar, diapit dengan lampu hadapan LED automatik bersama sistem lampu hadapan adaptif. Lampu nyalaan siang LED dan juga lampu kabus yang lebih kecil.

    Rim 17-inci pada model CBU terdahulu kini digantikan dengan rim aloi 19-inci dibaluti tayar 225/55R19. Tetapi untuk unit CKD ini, hanya rim berwarna perak ditawarkan berbanding rim dua-ton untuk pasaran negara lain. Pada bahagian belakang perubahan yang dapat disaksikan adalah pada lampu belakang LED baharu.

    2016-Mazda-CX-5-2.5L-2WD-facelift-4_BM

    Pada bahagian dalaman, sebahagian besar ciri-cirinya tidak berubah. Tetapi model ini telah dilengkapi dengan sistem infotaimen MZD Connect dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci dan suis Commander Control. Sistem infotainmen ini juga dilengkapi juga dengan sistem navigasi.

    Ciri mewah yang ditampilkan termasuk tempat duduk larasan elektrik (pemandu sahaja), serta lampu dan penggilap cermin automatik. Kini trim pada papan pemuka datang dengan warna perak (berbanding hitam pekat sebelum ini). Terdapat balutan kulit pada trim di sekeliling unit MZD Connect dan barisan suis penghawa dingin, pedal penukar gear dan brek parkir elektronik juga kini direka semula.

    CX-5 2.5L facelift ini dijana dengan enjin petrol 2.5 liter SkyActiv-G empat-silinder pancitan bahan api terus, berkuasa 184 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 250 Nm pada takat 3,250 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv Drive (dengan penukar mod Sport), memacu roda hadapan.

    2016-Mazda-CX-5-2.5L-2WD-facelift-16_BM

    Untuk ciri keselamatan, CX-5 kekal dengan enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, pemantau tekanan angin tayar, isyarat berhenti kecemasan, Kawalan Stabiliti Dinamik (DSC) dan kawalan cengkaman.

    Mazda CX-5 2.5L 2WD dijual pada harga RM154,766.70 (solid) dan RM155,166.70 (metalik). Model 4WD turut ditawarkan dengan harga RM166,266.70 (solid) dan RM166,666.70 (metalik). Model CKD ini dijual dengan harga RM10,000 lebih murah jika dibandingkan dengan model CBU.

    Untuk mereka yang ingin membeli model 2.0L, dua varian ditawarkan iaitu GL and GLS, dengan harga yang seperti sebelum ini – RM128,375.50 (solid) dan RM128,775.50 (metalik), kini berharga RM142,375.50 (solid) dan RM142,775.50 (metalik). Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    GALERI: Mazda CX 2016 facelift 2.5L CKD

     
     
  • Mitsubishi Outlander di Malaysia – CBU, 2.4L, RM167k

    Outlander_Ext_02

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini telah mengambil kesempatan untuk mempertontonkan SUV Mitsubishi Outlander serba baharu sebelum pelancaran sebenar pada April hadapan. Dalam masa yang sama turut mengesahkan tempahan bagi SUV ini telah dibuka secara rasmi.

    Outlander SUV ini didatangkan dengan harga pengenalan atas jalan eksklusif RM166,720.00 (termasuk GST dan tanpa insurans) bagi kenderaan yang ditempah dan didaftarkan sebelum 31 Mei 2016. Ia juga ditawarkan dengan pakej waranti selama lima tahun atau 100,000 km, yang mana tiba terlebih dahulu.

    Hanya terdapat dalam varian 4WD, kenderaan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dipadankan dengan enjin petrol 2.4 liter Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control (MIVEC) yang memberikan kuasa maksimum 169 hp pada 6,000 rpm dan kuasa tork maksimum 222 Nm pada 4,100 rpm.

    Kuasa dari enjin dihantar ke keempat-empat roda menerusi kotak gear automatik CVT dan sistem pacuan empat-roda Mitsubishi Multi-Select. Sistem tersebut membolehkan pemandu memilih tiga mod pemanduan iaitu 4WD ECO, 4WD Auto, dan 4WD lock. Gandingan enjin dan sistem transmisi ini mampu membuatkan Outlander 2016 ini mencapai kecekapan bahan api 12.8 km/l jika mod 4WD Eco dipilih.

    Outlander_Ext_27

    Imej hadapan Outlander ini direka dengan konsep ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi yang terbaharu yang menampilkan elemen krom yang menghubungkan lampu hadapan dan lampu kabus serta liang kemasukan hadapan. Mengikut trend kereta baharu di pasaran, Outlander ini dilengkapi lampu hadapan LED berserta lampu nyalaan siang LED bina dalam, bumbung matahari dan roda aloi 18-inci dua-tona yang dibaluti tayar bersaiz 225/55R18.

    Pada bahagian dalam pula, ditampilkan sistem infotainmen dengan skrin sesentuh, dan suis kawalan penghawa dingin dua-zon diletakkan di bahagian tengah papan pemuka. Suis kawalan sistem infotainmen, telefon dan kawalan kelajuan turut dilengkapi pada roda stereng Outlander serba baharu ini.

    Bagi pengendalian yang lebih sporty, pedal penukar gear turut ditampilkan. Kesemua tempat duduk dibaluti kulit rona hitam. Tiada sistem brek parkir elektronik ditampilkan pada model ini, Outlander masih lagi menggunakan tuil brek tangan konvensional.

    Outlander_Int_19

    Outlander baharu ini menyediakan ruang kargo yang agak besar berkapasiti 1,608 liter (setelah tempat duduk barisan ketiga dilipat). Ia juga menampil pintu tailgate belakang yang berfungsi secara elektronik.

    Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi dengan semua ciri terkini termasuk tujuh-beg udara, Kawalan Stabiliti Aktif (ASC),Kawalan Aktif Mula Terjahan (ASTC) Bantuan Mula Mendaki (HSA), ABS berserta EBD dan Bantuan Brek (BA). SUV ini juga dilengkapi sistem kunci pintar yang membolehkan pengguna membuka kunci pintu dan menghidupkan enjin dengan butang penghidup tanpa mengeluarkan kunci dari poket.

    Tiga pilihan warna disediakan iaitu Merah Metalik, Putih Mutiara dan Kelabu Metalik. Jadi, adakah Outlander baharu ini menarik perhatian anda? Kongsikan bersama kami dalam ruangan komen di bawah.

     
     
  • Subaru Forester 2016 CKD mula diproduksi di Malaysia – dua varian dijadualkan untuk Q2 2016

    Subaru Forester facelift CKD production Malaysia begins

    Fuji Heavy Industries (FHI) telah mengumumkan produksi bagi model facelift Subaru Forester unit CKD akan dimulakan di kilang Tan Chong, Segambut.

    Forester kini menyertai model crossover XV, yang diproduksi di tempat yang sama sejak Disember 2012. TCS merancang untuk memasang sejumlah 10,000 unit Forester setahun. Berdasarkan imej di atas, unit CKD ini bakal menerima model 2.0 liter NA dengan dua varian iaitu 2.0i dan 2.0i-P.

    Pada November 2015, Forester facelift dengan penyamaran, dikesan sedang diuji di jalan raya di Malaysia, menambahkan lagi desas-desus mengenai model ini yang akan dilancarkan di sini. Forester facelift diperkenalkan di Tokyo Motor Show 2015 lalu.

    Perubahan pada model facelift ini hanya sederhana, terdapat beberapa peningkatan elemen berbanding model sedia ada. Bagi luarannya, ia hanya diberi sedikit gaya yang berbeza pada gril hadapan dengan bampar baharu (2.0i-P dilihat mengekalkan bampar hadapan varian sebelum ini XT), lampu nyalaan siang berbentuk-C serta lampu belakang dan roda yang diberi penambah baikan.

    Untuk bahagian dalam, ia dilengkapi dengan panel instrumen baharu bersama paparan pelbagai-informasi LCD berwarna. Selain itu, terdapat beberapa elemen yang dipertingkatkan termasuk menampilkan material kulit. Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem navigasi SD dan fungsi memori untuk tempat duduk pemandu.

    Bagi sudut mekanikalnya, Forester turut menambah baik casis AWD dan NVH bagi pengendalian yang lebih dinamik dan selesa. Peningkatan ini termasuk memantapkan lagi casis, menggunakan kaca pintu yang lebih tebal dan menambah baik kotak gear Lineartronic CVT.

    Di bawah hudnya, dijangkakan ia bakal memilih enjin petrol 2.0 liter aspirasi-natural (150 PS/198 Nm) yang dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT. Pilihan pengecas turbo yang lebih berkuasa turut ditawarkan, dengan kuasa 240 PS dan tork 350 Nm.

    Subaru Forester pemasangan tempatan dijangka akan dijual mulai suku kedua (Q2) tahun ini di Malaysia, Thailand dan Indonesia, antara Mac-Mei 2016. Pada majlis memulakan produksinya. Timbalan Presiden FYO Jun Kondo berkata, “FHI akan meneruskan kerjasama dengan Tan Chong International untuk menambah baik jualan Subaru di rantau Asia.”

     
     
  • Disiplin yang tinggi dan 5S faktor kejayaan Perodua

    PGM-Opening-1_BM

    Walaupun Proton lebih dominan dengan gelaran pembuat kereta nasional, Perodua sebagai ‘anak kedua’ mendahului pasaran kereta tempatan selama 10 tahun sehingga sekarang. Walaupun sangat selesa dengan kedudukan kini, tiada tanda-tanda Perodua akan ‘goyang kaki’ dan berpuas hati dengan kedudukan mereka sekarang yang dibuktikan melalui sasaran jualan yang semakin meningkat, begitu juga dengan rekod jualan.

    Apa kelebihan utama Perodua yang membuatkan ia kompetitif? Di samping mengetahui apa yang majoriti pembeli kereta di Malaysia mahu, kecekapan dari rakan kongsi Perodua iaitu Daihatsu turut menyumbang kepada kelebihan tersebut. Kecekapan yang dibawa ialah disiplin, dan ia membolehkan syarikat tersebut berkembang dengan pesat di dalam industri, kata Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd (PCSB) Yasumitsu Morita.

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    PCSB yang menguruskan operasi pengeluaran Perodua masih lagi mengembangkan pangkalan mereka di Sungai Choh, Rawang. Terdapat dua kilang di sana, di mana kilang lama memproduksi Myvi dan Alza, dan kilang baharu Perodua Global Manufacturing memasang Axia. Dijalankan dengan asas yang sama daripada segi teknologi dan proses seperti Daihatsu Kyushu iaitu kilang utama Daihatsu di Jepun, PGM yang berharga RM1.3 bilion telah mula beroperasi sejak ogos 2014. Tetapi ia hanya dilancarkan secara rasmi bulan lalu.

    Morita-san berkata kilang Perodua telah mempraktiskan Dojo, yang bermaksud “rumah untuk latihan”, bagi menjaga kualiti dan standard servis. Beliau juga berkata syarikatnya mengimplimentasikan organisasi 5S ditempat kerja yang terdiri daripada lima perkataan Jepun iaitu seiri (sisih), seiton (susun), seiso (sapu), seiketsu (seragam) dan shitsuke (sentiasa amal), untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selesa untuk semua.

    2015_Perodua_Myvi_Facelift_Premium_X_vs_Advance_-01_BM

    Percaya pada prinsip kepimpinan melalui teladan, “Saya dan Zainal akan menunggu seawal 7.30 pagi untuk menyambut pekerja kami di pintu masuk utama,” kata beliau merujuk kepada Timbalan Presiden PCSB Zainal Abidin Ahmad, yang juga hadir sebagai pensyarah kepimpinan yang dijalankan oleh Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di Universiti Teknologi Malaysia KL.

    Amalan sedemikian adalah sebahagian inisiatif Perodua untuk mengekalkan disiplin, dan ia akan menghasilkan kejayaan, kata Morita-san seperti yang dilaporkan Bernama. Beliau juga menasihati para pelajar agar berfikiran terbuka, sedia untuk menerima perubahan dan percaya dengan kebolehan diri sendiri untuk mencapai kejayaan.

    Tahun lalu, Perodua merekodkan jualan tahunan tertinggi dengan 213,300 unit, bersamaan sekitar 32% dalam bahagian pasaran di Malaysia. Perodua mensasarkan 216,000 untuk 2016, dan jika berjaya dicapai, ia merupakan rekod tertinggi untuk mereka.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025