Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • SDAC umum rekod jualan, memperluaskan rangkaian – 8,858 unit Ford Ranger, Everest dijual pada 2023

    SDAC umum rekod jualan, memperluaskan rangkaian – 8,858 unit Ford Ranger, Everest dijual pada 2023

    Sime Darby Auto Connexion, pengedar tunggal bagi kenderaan Ford di Malaysia, telah mengumumkan rekod jualan bagi 2023. SDAC-Ford telah menjual sebanyak 8,858 unit trak pikap Ford Ranger dan SUV Ford Everest pada tahun lalu.

    Ranger generasi semasa dilancarkan pada Julai 2022, bermakna tahun lalu merupakan jualan tahunan penuh yang pertama bagi trak pikap ini. Pasaran kita turut menawarkan Ranger Raptor terkini dalam varian 3.0L V6 petrol, serta 2.0L bi-turbo diesel. Manakala Ranger Platinum pula baru menyertai barisan Ford pada November lalu. Dan Ford Everest pula dilancarkan di sini pada September 2022.

    SDAC-Ford berkata, satu faktor penyumbang penting kepada kejayaan syarikat ialah perkembangan mantap rangkaian pengedar SDAC-Ford untuk menambah baik pengalaman servis Ford. Pada tahun lepas, syarikat ini telah menyempurnakan upacara pecah tanah bagi premis pengedar Ford Signature bernilai RM12 juta yang terletak di Jalan Baru, Seberang Prai.

    SDAC umum rekod jualan, memperluaskan rangkaian – 8,858 unit Ford Ranger, Everest dijual pada 2023

    Kemudahan pusat Ford 3S serba canggih ini dibina di atas kawasan seluas 46,000 kaki persegi, dengan berinspirasikan Ford Signature Corporate Identity dan menyediakan enam belas ruang servis dan empat ruang pameran kenderaan. Pusat ini akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku kedua 2024.

    Dalam langkah strategik untuk mengambil kesempatan daripada pasaran pikap yang berkembang pesat di Malaysia Timur, SDAC-Ford telah meluaskan kehadirannya di seluruh rantau. Memandangkan Sabah merupakan pasaran pikap ketiga terbesar di negara ini, syarikat ini telah melancarkan dua pusat pengedar utama di sana iaitu Ford Kota Kinabalu (Inanam) oleh Boston Auto Dealership, dan Ford Kota Kinabalu (Penampang) oleh Rightpower Corporation. Di Sarawak pula, kini terdapat pengedaran Ford yang terletak di Kota Samarahan.

    “Kami amat berbangga dengan kemajuan yang dicapai tahun lepas, yang merupakan kejayaan hebat bagi SDAC-Ford. Ini jelas membuktikan daya tarikan kenderaan Ford yang memenangi anugerah, disokong oleh kesungguhan dan kegigihan pasukan kami dan sokongan tidak berbelah bagi para pelanggan. Kami yakin bahawa Ford akan terus mempelopori pasaran, dalam masa yang sama, kami akan terus memenuhi komitmen terhadap kecemerlangan dan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada pelanggan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan SDAC-Ford.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Mac – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 21-27 Mac – Masih tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 Mac 2024 tiada perubahan bagi harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada 2 Januari lalu, Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Di mana PADU akan digunakan sebagai komponen utama untuk kerajaan menyalurkan semula subsidi bersasar dan bantuan lain. Pengenalan ini membuka jalan kepada pengagihan subsidi bersasar RON 95, yang dijangka akan mula dilaksanakan pada separuh kedua 2024 ini.

     
     
  • Pengapungan harga petrol RON95, diesel mampu jimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29b

    Pengapungan harga petrol RON95, diesel mampu jimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29b

    Pengapungan mengikut harga pasaran bagi RON95 dan diesel boleh menjimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29 bilion, walau pun ini bermakna harganya dijangka meningkat hingga 64% bagi RON95 dan 61% bagi diesel, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) seperti yang dilaporkan Business Times.

    Bahan api bersubsidi iaitu petrol RON 95 dan bahan api diesel Euro 5 B10 dan B20, masing-masing berharga masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter, yang tidak berubah sejak akhir September 2023. Menurut HLIB, pembaharuan subsidi adalah lebih penting sekarang memandangkan ketiadaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) jika sasaran defisit fiskal dalam kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-12 ingin dicapai, ujar laporan berkenaan.

    “Kami membayangkan ini membabitkan bahan api diapungkan ke harga pasaran dan pada masa sama, memberi bantuan tunai kepada mereka yang telah dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran dalam Pangkalan Data Utama (PADU). Langkah pengapungan (harga) bahan api akan membantu mengurangkan defisit fiskal tetapi memberi tekanan ke atas inflasi,” kata HLIB.

    Subsidi dan bantuan sosial (S&SA) di Malaysia telah meningkat hampir tiga kali ganda daripada RM23 bilion pada 2010 kepada jangkaan RM64 bilion pada 2023 (paling tinggi RM67 bilion pada 2022). Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2022, Putrajaya membelanjakan RM55 bilion untuk subsidi pada tahun itu (meningkat 322% dari tahun ke tahun dan 6.5% lebih tinggi berbanding prapandemik). Bahagian terbesar melibatkan sebanyak 82% adalah untuk produk petroleum terutamanya RON95 dan diesel.

    Pengapungan harga petrol RON95, diesel mampu jimatkan subsidi bahan api kerajaan sebanyak RM29b

    “Penurunan harga bahan api secara buatan melalui subsidi telah mendorong penggunaan petrol per kapita Malaysia dan pelepasan pengangkutan menjadi yang tertinggi di ASEAN (tidak termasuk Brunei),” tambah HLIB.

    Business Times turut melaporkan struktur subsidi bahan api semasa tidak mencapai tahap yang betul kerana T20 menikmati subsidi petrol RON 95, berbanding hanya 24% daripada B40 mengikut garis pendapatan.

    Harga siling di bawah harga pasaran sebenar juga membawa kepada masalah penyeludupan (terutamanya berleluasa untuk diesel), menyebabkan kebocoran dana subsidi, katanya.

    Pada November tahun lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mengumumkan bahawa mekanisme subsidi bersasar ditetapkan akan diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada separuh kedua 2024.

     
     
  • Tesla Supercharger di Malaysia – lima lokasi baru di KL, Putrajaya, P.Pinang dan Kuantan, dari Q2 2024

    Tesla Supercharger di Malaysia – lima lokasi baru di KL, Putrajaya, P.Pinang dan Kuantan, dari Q2 2024

    Semasa pelancaran stesen pengecas Supercharger baru Tesla di Gamuda Cove hari ini – paling besar di Asia Tenggara – syarikat itu turut mendedahkan perancangan untuk mengembangkan lagi rangkaian pengecas kenderaan elektrik mereka di Malaysia. Bermula suku kedua tahun ini, lima lagi stesen pengecas DC Supercharger dan AC Destination akan dibuka.

    Ini termasuk dua lokasi baru di Kuala Lumpur, satu di Putrajaya, satu di Seberang Perai, Pulau Pinang dan satu di Kuantan. Tesla tidak menyatakan secara tepat yang mana satu adalah Supercharger, tetapi sumber kami mengesahkan bahawa unit di Perai dan Kuantan adalah pengecas pantas DC.

    Tesla Supercharger di Malaysia – lima lokasi baru di KL, Putrajaya, P.Pinang dan Kuantan, dari Q2 2024

    Pada masa sekarang, rangkaian pengecas Tesla di Malaysia terdiri daripada tujuh stesen pengecas Supercharger (dengan 36 pengecas) dan sembilan Destination Charger (55 pengecas). Kesemuanya beroperasi dengan sistem mudah “plug-in, charge and go” Tesla, dan pembayaran dibuat menggunakan aplikasi Tesla.

    Pengecas Supercharger mengenakan bayaran RM1.25 bagi setiap kWh, dan jika pengecas penuh dan bateri kenderaan juga penuh, anda akan dikenakan bayaran RM4 bagi setiap minit. Sementara itu, pengecas Destination pula masih boleh digunakan secara percuma, sehingga diberitahu kelak.

     
     
  • Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread di Thailand – kit badan lebar, kuasa 224 PS, 550 Nm, dari RM197k

    Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread di Thailand – kit badan lebar, kuasa 224 PS, 550 Nm, dari RM197k

    Toyota Motor Thailand melancarkan satu varian baru untuk Hilux, dipanggil sebagai Hilux Revo GR Sport Wide Tread, dengan harga jualan 1.499 juta baht (RM196,868). Jika dibandingkan dengan varian GR Sport sebelum ini di negara jiran itu, varian baru ini mendapat enjin yang lebih berkuasa serta beberapa peningkatan yang dibuat untuk menjadikannya sebagai sebuah trak pikap yang nampak lebih ranggi dan agresif.

    Di bawah bonetnya masih terdapat enjin empat silinder diesel turbo 2.8 liter 1GD-FTV, tetapi kini mampu menghasilkan 224 PS (221 hp atau 165 kW) pada 3,400 rpm dan tork 550 Nm dari 1,600 hingga 2,800 rpm – sama seperti varian GR Sport di Malaysia.

    Sistem suntikan terus commonrail pada enjin ini juga kini boleh menerima tekanan lebih tinggi, iaitu 275 MPa, berbanding 265 MPa sebelum ini, manakala penapis diesel memenuhi keperluan emisi Euro 5. Perubahan lain yang dibuat adalah termasuk pada ECU serta talaan khas untuk enjin dan transmisi.

    Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Tread di Thailand – kit badan lebar, kuasa 224 PS, 550 Nm, dari RM197k

    Berkenaan ciri visual, varian GR Sport pasaran Thailand ini nampak sama dengan varian yang dijual di Australia, termasuk bahagian bampar serta gril hadapannya. Ia kemudiannya ditambah lagi dengan kit widebody yang termasuk kemasan fender yang menambah lebarnya sebanyak 140 mm di hadapan dan 155 mm di belakang. Rim menggunakan unit 17 inci dengan tayar BF Goodrich AT 265/65.

    Kedudukan trak ini juga adalah lebih tinggi, hasil daripada penggunaan penyerap baru dan kelegaan dari tanahnya bertambah 37 mm menjadi 217 mm. Perubahan lain yang dibuat adalah termasuk spring yang ditala semula, stabiliser bar hadapan lebih besar, wishbone depan lebih tebal, tambahan titik kimpal pada casis, brek cakera belakang (sebelum ini dram) dan cakera brek hadapan lebih besar.

    Dengan semua perubahan ini, Hilux Revo GR Sport mencatat ukuran panjang 5,320 mm, lebar 2,020 mm, tinggi 1,880 mm dan jarak roda 3,085 mm. Jarak antara roda kiri dan kanan pula kini menjadi 1,675 mm untuk di hadapan dan 1,705 mm di belakang.

    Di bahagian dalam, varian GR Sport ini menerima sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 10.25 inci baru serta sistem yang boleh disambung kepada Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar. Senarai kelengkapan turut ditambah dengan cermin belakang boleh malap sendiri, pad pengecas tanpa wayar, soket pengecas USB-C untuk penumpang belakang dan corak kemasan baru.

    Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk lampu utama LED bi-beam, lampu kabus LED, tempat duduk balutan suede/kulit, roda stereng dengan tanda GR Sport, kawalan pendingin hawa dua zon, telematik T-Connect, kamera 360 darjah, sistem tanpa kunci, tujuh beg udara serta sistem keselamatan biasa seperti Hill Start Assist, Hill Descent Control, Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking, Blind Spot Monitoring, Lane Departure Warning dan Prevention dan Rear Cross Traffic Alert.

    Meskipun Hilux GR Sport pasaran Malaysia mendapat enjin yang lebih berkuasa, ia tidak mempunyai penampilan yang agresif seperti model yang ditawarkan di Australia dan Thailand ini. Patutkah ia dibawa ke Malaysia?

     
     
  • Isuzu D-Max BEV Concept ditunjuk – bateri 66.9 kWh, tork 325 Nm, CKD Thailand, masuk pasaran tahun 2025

    Isuzu D-Max BEV Concept ditunjuk – bateri 66.9 kWh, tork 325 Nm, CKD Thailand, masuk pasaran tahun 2025

    Isuzu telah menunjukkan model konsep elektrik bateri pertama mereka, yang nanti akan dipertontonkan kepada umum semasa Bangkok International Motor Show hujung bulan ini. Ia adalah sebuah trak pikap yang dipanggil sebagai D-Max BEV dan dikatakan “dibangunkan untuk memenuhi keperluan komersial dan penumpang yang luas sambil mengekalkan prestasi gagah sebuah trak pikap.”

    Versi produksi bagi model ini akan dilancarkan di beberapa negara Eropah terpilih seperti Norway pada tahun 2025. Selepas itu, ia akan memasuki pula pasaran United Kingdom, Australia, Thailand dan negara lain bergantung kepada keperluan serta kematangan infrastruktur mengecas kenderaan elektrik (EV) negara tersebut.

    Berkenaan rekaan, trak pikap ini mendapat beberapa tanda rekaan unik untuk membezakannya dengan model diesel seperti gril hadapan yang tertutup terus serta bahagian bawah bampar yang diubah dengan lebih banyak bahagian yang berwarna hitam. Turut boleh dilihat adalah kemasan biru di bahagian gril serta lampu hadapan.

    Untuk penggerak, D-Max BEV ini menggunakan pek bateri serta sistem pengurusan EV daripada Elf dan dipasang pada bahagian tengah casis ladder frame. Pek bateri ini mempunyai kapasiti tenaga 66.9 kWh dan menggerakkan dua motor elektrik – satu di setiap gandar – dengan yang di hadapan berkemampuan 54 PS (54 hp atau 40 kW) dan tork 108 Nm.

    Motor di belakang pula lebih berkuasa, mampu mengeluarkan 122 PS (121 hp atau 90 kW) dan 217 Nm, dan apabila digabungkan, secara keseluruhannya mampu menghasilkan 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan 325 Nm. Menurut Isuzu, D-Max BEV ini menyediakan pacuan empat roda sepanjang masa, mampu mencapai laju maksimum lebih 130 km/j, boleh menarik beban sehingga 3.5 tan dan membawa barang sehingga 1,000 kg.

    Meskipun tidak dinyatakan secara jelas dalam siaran akhbar, laman Headlightmag mengatakan bahawa D-Max BEV ini akan dikeluarkan di Thailand untuk pasaran eksport pada tahun hadapan. Perincian lain seperti waktu mengecas, kemampuan mengecas dan harga masih belum diketahui.

     
     
  • 556,055 saman pandu lebih had laju dikeluarkan pada 2023; belum ada cadangan naikkan had laju – Loke

    556,055 saman pandu lebih had laju dikeluarkan pada 2023; belum ada cadangan naikkan had laju – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan sebanyak 556,055 notis saman telah dikeluarkan pada tahun 2023 bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang dikesan oleh Kamera Perangkap Had Laju (AWAS) di seluruh negara.

    Jelasnya lagi, lokasi yang telah merekodkan ramai memandu melebihi had laju adalah di KM382.8 Behrang, Perak (arah selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan iaitu 98,911 notis telah dikeluarkan di antara bulan Jun hingga Disember 2023, laporan Berita Harian.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai statistik kesalahan melanggar kamera perangkap had laju di seluruh negara dan adakah kementerian bercadang menaikkan had laju kepada 120km/j.

    Tambahnya, buat masa ini kerajaan belum bercadang untuk meningkatkan had laju di negara in dan ia masih kekal pada kadar 110 km/j.

    “Berhubung dengan had laju, buat masa ini, Kementerian Pengangkutan dan pihak kerajaan secara amnya, belum bercadang untuk meningkatkan had laju dan masih ditetapkan kekal 110km/j. Untuk makluman, bidang kuasa untuk menetapkan had laju ini bukannya di bawah Kementerian Pengangkutan, tetapi ia adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

    Bermula Ogos 2023, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) berkata, saman ‘ekor’ akan dihantar terus ke rumah pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan memandu melebihi had laju. Penguatkuasaan berkenaan dilaksanakan terhadap kesalahan memandu laju bagi pengeluaran notis K170A di semua lebuh raya termasuk jalan persekutuan.

     
     
  • Stesen Tesla Supercharger di Gamuda Cove – enam unit SC dan 18 unit DC, terbesar di Asia Tenggara

    Stesen Tesla Supercharger di Gamuda Cove – enam unit SC dan 18 unit DC, terbesar di Asia Tenggara

    Tesla Malaysia telah mengumumkan pembukaan bagi stesen Supercharger terkini kendaliannya di Gamuda Cove, dengan majlis pelancarannya disempurnakan hari ini. Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

    Terletak di kawasan tempat letak kereta di Discovery Park, Persiaran Cove Central, stesen ini menempatkan enam unit Supercharger (SC) dan 18 unit Destination Charger (DC), menjadikannya sebagai stesen Supercharging terbesar di Asia Tenggara buat masa ini.

    Lokasi di Gamuda Cove boleh diakses sepanjang hari, dan tiada caj tempat letak kereta dikenakan. Kadar Supercharging adalah seperti biasa iaitu RM1.25 per kWj, dengan bayaran idle RM4 seminit apabila menggunakan 100% stesen Supercharging, untuk mengelakkan pengguna sengaja meletakkan kereta tanpa dicas. Sementara itu, pengecas DC adalah percuma untuk digunakan bagi pemilik Tesla, sehingga notis selanjutnya.

    Turut didedahkan dalam majlis pelancaran tersebut ialah pengalaman pengecasan lebih lancar oleh syarikat ini, iaitu dengan menggunakan aplikasi Tesla membolehkan pembayaran Supercharging diproses secara automatik melalui kaedah pembayaran dalam aplikasi. Setelah ditentukan, pengguna hanya “plug-in, charge and go” dengan pembayaran diproses secara automatik, memudahkan proses pengecasan tanpa kerumitan.

    Syarikat ini juga berkata kerjasama dengan Gamuda Land mewakili satu langkah ke hadapan dalam meningkatkan kebolehcapaian dan kemudahan mengecas EV di kawasan tersebut.

    Dengan penambahan lokasi pengecasan di Gamuda Cove ini, rangkaian pengecasan Tesla di Malaysia kini merangkumi tujuh stesen Supercharging dengan menawarkan sejumlah 36 Supercharger, dan sembilan lokasi pengecas DC yang kini mempunyai 55 unit pengecas.

    Dalam majlis pelancarannya, turut didedahkan akan ada lebih banyak pengecas bakal beroperasi menjelang suku kedua tahun ini, dengan lima lokasi dinyatakan, termasuk Kuantan, Prai di Pulau Pinang, Putrajaya dan dua lagi tempat yang belum disebutkan iaitu terletak di sekitar Kuala Lumpur.

     
     
  • BYD laksana produksi percubaan EV Thai; pembinaan kilang pemasangan Indonesia bermula bulan depan

    BYD laksana produksi percubaan EV Thai; pembinaan kilang pemasangan Indonesia bermula bulan depan

    Pengeluar kereta China, BYD dilaporkan telah memulakan ujian produksi bagi kilang pengeluarannya di Thailand, dengan pengeluaran besar-besaran akan bermula bulan hadapan, laporan Car News China reported.

    Pada September 2022, BYD dilaporkan telah membeli sebidang tanah seluas 96 hektar di Rayong, Thailand bagi pembinaan kilang EV yang disasarkan mampu mengeluarkan sejumlah 150,000 unit EV setahun mulai April tahun ini. Bulan hadapan pula, BYD merancang untuk memulakan pembinaan bagi kilang pemasangannya di Indonesia pula, seperti dilaporkan Car News China.

    Pembinaan kilang BYD di Thailand bermula 10 Mac, di mana kini pengeluaran percubaan yang disebutkan di atas sedang dilaksanakan. Salah satu model yang dikeluarkan daripada kilang itu ialah Atto 3, yang telah diperkenalkan sebagai unit pemanduan sebelah kanan.

    BYD laksana produksi percubaan EV Thai; pembinaan kilang pemasangan Indonesia bermula bulan depan

    Buat masa ini, BYD menjual Atto 3, Dolphin dan Seal di Indonesia, dan ketiga-tiga model ini turut dirancang akan dipasang di kilangnya di sana.

    Sementara itu, pembinaan bagi kilang BYD di Indonesia dijangka akan bermula pada bulan hadapan, menurut Menteri Pelaburan negara berkenaan, Bahlil Lahadalia. Di mana BYD telah melabur sebanyak US$1.3 bilion (RM6.2 bilion) untuk projek pembinaan kilang pemasangannya di sana.

    Sama seperti kilangnya di Thailand, kilang BYD di Indonesia juga akan menghasilkan kapsiti pengeluaran mencecah 150,000 unit kereta setahun. Menurut laporan, pengeluaran di Indonesia dan Thailand akan membolehkan BYD untuk mengembangkan pasarannya hingga ke Asia Pasifik.

     
     
  • Stesen Shell di R&R Lebuhraya PLUS ditutup pada 20-22 Mac untuk diselenggara – 12 tengahmalam-6 pagi

    Stesen Shell di R&R Lebuhraya PLUS ditutup pada 20-22 Mac untuk diselenggara – 12 tengahmalam-6 pagi

    Untuk pengguna Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan stesen minyak Shell di beberapa lokasi di lebuhraya ini akan ditutup dari jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi.

    Ia melibatkan stesen minyak Shell di R&R Tapah arah utara dan R&R Machap arah selatan yang akan ditutup pada 20 Mac. Manakala pada 21 Mac pula, penutupan stsen minyak Shell melibatkan R&R Pagoh arah utara dan Senai (U)-Skudai arah selatan. Pada 22 Mac pula, ia melibatkan Hentian Sebelah Tangkak arah selatan dan Hentian Sebelah Kulai arah utara.

    Justeru, pengguna lebuhraya berkenaan dinasihatkan untuk merancang perjalanan termasuk memastikan kenderaan anda mempunyai bekalan minyak yang mencukupi.

     
     
  • Xpeng G6 di Thailand – Standard/Long Range RWD, lancar Q3 2024; harga jangkaan RM200k-RM230k

    Xpeng G6 di Thailand – Standard/Long Range RWD, lancar Q3 2024; harga jangkaan RM200k-RM230k

    Baru minggu lepas Xpeng dilaporkan merancang untuk memasuki pasaran Asia Tenggara menerusi pasaran Thailand, Singapura dan juga Malaysia. Ternyata pengeluar EV dari China ini tidak mahu membuang masa, dengan mendedahkan harga jangkaan bagi SUV elektrik G6 untuk pasaran Thailand. Di mana pertama kali ia dikeluarkan bagi unit pemanduan sebelah kanan, yang dirancang akan dilancarkan pada suku ketiga (Q3) tahun ini.

    Menurut Headlight Magazine, G6 akan ditawarkan di Thailand dengan dua varian, kedua-duanya pacuan roda belakang (RWD). Model Standard Range dijangka ditawarkan pada harga 1,5XX,000 baht (sekitar RM200,000), sementara varian Long Range pula berharga 1,7XX,000 baht (sekitar RM230,000). Sebagai perbandingan, pesaing utamanya, Tesla Model Y, bermula pada 1,749,000 baht (RM229,700), meningkat ke 2,049,000 baht (RM269,200) untuk model Long Range pacuan semua-roda.

    Kedua-dua varian dijanakan oleh motor belakang yang sama, mampu menghasilkan 296 PS (218 kW) dan tork 440 Nm, membolehkan G6 ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.6 saat bagi Standard Range dan 5.9 saat untuk Long Range, dengan kelajuan tertinggi cecah 202 km/j. Setakat ini, tiada petunjuk adakah versi pacuan semua-roda dwi-motor dengan kuasa 487 PS dan 660 Nm juga bakal dibawa masuk ke pasaran ASEAN.

    Xpeng G6 di Thailand – Standard/Long Range RWD, lancar Q3 2024; harga jangkaan RM200k-RM230k

    Walau bagaimana pun, terdapat perbezaan utama daripada sudut saiz bateri. Model asas diberikan bateri lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 66 kWh yang memberikan jarak gerak hingga 580 km. Sementara itu, Long Range pula menerima unit nickel cobalt manganese (NCM) berkapasiti 87.5 kWh dengan jarak gerak hingga 755 km. Kedua-dua angka ini berdasarkan kitaran CLTC, jadi ia dijangka kurang jika melibatkan pemanduan harian.

    Dengan binaan elektrik 800-voltan, kedua-dua model mampu menyokong penggunaan sehingga 280 kW bagi pengecas pantas DC, membolehkan G6 menambah hingga 300 km dalam hanya 10 minit pengecasan. Berukuran 4,753 mm panjang, 1,920 lebar dan 1,650 mm tinggi dengan 2,890 mm bagi jarak roda, G6 lebih tinggi sebanyak 26 mm berbanding Model Y (4,751 mm panjang, 1,921 mm lebar).

    Xpeng G6 di Thailand – Standard/Long Range RWD, lancar Q3 2024; harga jangkaan RM200k-RM230k

    Kit kelengkapan standard bagi pasaran Thai termasuk pencahayaan luaran LED penuh, roda aloi 20-inci, pemegang pintu flush pop-out , tingkap tanpa bingkai, pintu port pengecasan bukaan kuasa, kluster instrumen digital 10.2-inci, skrin sesentuh infotainmen 14.96-inci, tempat duduk hadapan larasan kuasa, sistem bunyi dengan 18 pembesar suara, bantuan parkir, bumbung kaca panoramik, tailgate bukaan kuasa, bilah pengelap cermin belakang dan enam beg udara. Penderia lidar juga akan diberikan, meningkatkan keupayaan bagi pemanduan autonomous.

    Bagi pasaran Malaysia, G6 bakal dibawa masuk oleh Bermaz Auto, yang juga merupakan pengedar jenama Mazda, seperti mana yang diumumkan pada minggu lalu. Pengenalan untuk pasaran tempatan dijangka berlangsung tidak lama selepas ia tiba di pasaran Thailand dan Singapura (dijangka pada separuh kedua tahun ini).

     
     
  • Hasil kutipan plat lesen disalur terus ke Kumpulan Wang DiSatukan, bukan ke MOT – Anthony Loke

    Hasil kutipan plat lesen disalur terus ke Kumpulan Wang DiSatukan, bukan ke MOT – Anthony Loke

    Kementerian Pengangkutan tidak mendapat keuntungan daripada inisiatif pembiayaan yang diperoleh daripada hasil jualan plat kenderaan, sebaliknya pergi ke Kumpulan Wang DiSatukan, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, laporan Bernama.

    Menurut Loke, jumlah hasil jualan nombor plat tahun lalu mencecah RM311.8 juta, dan ia termasuk hasil jualan nombor pendaftaran khas (NPI), yang mencecah RM21 juta. Penjualan nombor pendaftaran khas bermula sejak 2019, dan tawaran bidaan bermula pada 2023, dengan siri plat M_M.

    “Bagaimanapun bagi tahun 2024, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2024, sebahagian jualan NPI akan diperuntukkan kepada golongan yang kurang berkemampuan,” kata Loke semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam bagi menjawab soalan dari Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar).

    Jelasnya, menerusi sebahagian daripada jualan NPI itu, kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi kelas B2, e-hailing dan teksi, yang memberi manfaat kepada 40,000 belia daripada keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, katanya, sebanyak 100,000 topi keledar termasuk topi keledar kanak-kanak dapat dibekalkan dan diagihkan secara percuma kepada keluarga yang kurang berkemampuan.

    Hasil kutipan plat lesen disalur terus ke Kumpulan Wang DiSatukan, bukan ke MOT – Anthony Loke

    Bagi jualan dari plat pendaftaran siri GOLD, ia telah merekodkan keuntungan sebanyak RM17 juta setakat ini, katanya lagi.

    “Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, GOLD 1 (plat pendaftaran) telah dibida oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dengan nilai RM1.5 juta. Separuh daripada hasil tersebut dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan bagi tujuan pelaksanaan inisiatif yang dinyatakan,” sambung Loke.

    Beliau juga menggesa orang ramai supaya hanya membida nombor plat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan mengingatkan agar tidak membeli daripada sumber pihak ketiga bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

    “Jika anda berhasrat untuk membida, gunakan sistem e-bidaan JPJ kerajaan, [dan] elakkan saluran pihak ketiga. Meningkatkan kesedaran adalah penting kerana kami menyasarkan hasil untuk menyumbang kepada dana kerajaan, membolehkan kami melaksanakan lebih banyak inisiatif untuk membantu rakyat,” kata Menteri Pengangkutan itu.

     
     
  • JPJ eBid: ANL dan QAB_J bersedia untuk dibida

    Bagi yang bakal menerima kenderaan baharu yang ditempah, bolehlah mencari siri nombor pendaftaran menerusi platform dalam talian, JPJ eBid. Ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Ia melibatkan penawaran siri baharu dari Perak iaitu ANL, sudah boleh dibida sejak 17 Mac lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 21 Mac ini. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 22 Mac 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak pula, QAB_J, bidaannya pula bakal dibuka mulai 25 Mac dan akan berakhir jam 10 malam pada 29 Mac ini. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Mac 2024.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor pendaftaran yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • KPDN sita 268 topi keledar Arai tiruan dalam serbuan

    KPDN sita 268 topi keledar Arai tiruan dalam serbuan

    Satu serbuan yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang telah membawa kepada rampasan sebanyak 268 topi keledar jenama Arai tiruan di sebuah premis di Bukit Mertajam.

    Menurut laporan Harian Metro, pengarah KPDN negeri, S Jegan yang terlibat dalam serbuan itu berkata, topi keledar itu menggunakan jenama TSR tetapi mempunyai grafik dan tanda karya seni daripada jenama terkenal dari Jepun, iaitu Arai.

    “Tindakan itu didapati satu kesalahan yang melanggar Akta Hak Cipta 1987 dan sitaan dibuat terhadap kesemua barangan terbabit bagi tindakan lanjut,” kata S Jegan.

    Semua topi keledar yang dirampas itu membawa nilai keseluruhan RM70,240.

     
     
  • Pulau Pinang pertimbang laksana parkir terhad 2 jam

    Pulau Pinang pertimbang laksana parkir terhad 2 jam

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang membuat pertimbangan untuk melaksanakan parkir terhad mengikut jam di beberapa kawasan, serta mengadakan waktu khas untuk kenderaan berat mengangkat atau menurunkan barang, demi mengurangkan kesesakan trafik di dalam pulau tersebut.

    Perkara ini dilaporkan oleh The Vibes, dan MBPP juga dikatakan mempunyai perancangan untuk memasang lampu isyarat pintar di laluan Tanjung Tokong-Tanjung Bungah serta berhampiran kawasan bulatan Bayan Baru menjelang bulan Julai nanti. Datuk bandar Pulau Pinang, Datuk Anthony Rajendran berkata, pulau itu memerlukan beberapa pendekatan bagi menangani kesesakan trafik.

    Beliau turut menambah bahawa satu lagi cara untuk mengatasi masalah tersebut adalah dengan menambah pengangkutan awam, tetapi sekarang masih menunggu infrastruktur baru siap, termasuk untuk sistem LRT yang dicadangkan. Buat masa ini, peraturan trafik perlu dikemas kini.

    Pulau Pinang pertimbang laksana parkir terhad 2 jam

    Langkah tersebut akan dimulakan dengan cadangan MBPP untuk mengehadkan tempoh letak kereta di kawasan majlis tertentu di George Town, dan pemilik yang meletakkan kenderaan melebihi tempoh tersebut akan dikenakan saman, kata Rajendran. Sebagai tambahan, kenderaan berat juga tidak akan dibenarkan masuk untuk menaikkan dan menurunkan barang pada waktu puncak.

    Sementara itu untuk lampu isyarat pintar yang disebutkan pula, ia dikatakan dapat menyuraikan trafik dengan lebih cekap, dan mengatasi waktu menunggu yang lama di kawasan tersebut.

    “Tidak ramai tahu bahawa pengangkutan awam di sekitar Pulau Pinang kebanyakannya adalah percuma untuk rakyat Malaysia. Orang awam perlu menggunakan lebih banyak pengangkutan awam berbanding memandu ke dalam bandar yang mungkin keadaannya adalah sesak,” tambah Rajendran.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025