Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Ora Good Cat sememangnya sebuah EV yang comel kerana tampil dengan rekaan seperti sebuah Volkswagen Beetle klasik. Dan sudah tentu, pengaruh rekaan tersebut tidak boleh lari dari menerima bayangan imej sebuah Porsche. Jadi ini dia, kit badan untuk Ora Good Cat dari Lumga Bodykit Thailand yang boleh mengubah Ora Good Cat menjadi sebuah Porsche 911 dalam versi yang nampak lebih comel!

    Kit badan ini menampilkan bampar hadapan dengan rekaan seperti bampar Porsche 911 GT3 generasi 991 lengkap dengan ‘senyuman’ pada bahaguan sebelah atas, yang nampak begitu sesuai dengan rekaan lampu hadapan dan juga penutup bonet depan asal Ora Good Cat ini.

    Komponen lain yang turut dibekalkan dalam kit tersebut termasuk skrit sisi, tambahan kemasan diffuser untuk bampar belakang, sepasang sirip sisi palsu untuk kedua-dua fender hadapan, spoiler bumbung belakang dan juga tambahan satu lagi spoiler yang dipasang pada bahagian bawah cermin belakang.

    Lumga Bodykit Thailand boleh ubah EV Ora Good Cat anda jadi Porsche 911 991 GT3 versi comel; RM5.6k

    Secara keseluruhan, kit ini dijual pada harga 42,000.00 Baht, atau sekitar RM5,600 tidak termasuk kos pemasangan. Anda tidak perlu membawa kereta anda ke Thailand untuk memasang kit badan ini kerana Lumga Bodykit menyediakan khidmat jualan atas talian menerusi laman web rasmi mereka, dan ia boleh dihantar ke seluruh dunia.

    Ora Good Cat sudah lebih setahun berada di pasaran Malaysia selepas ia dilancarkan secara rasmi pada November 2022. Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu 400 Pro dengan pek bateri LFP 47.8 kWh untuk jarak gerak 400 km (mengikut kitaran NEDC) dan 500 Ultra dengan bateri lithium 63.1 kWh untuk jarak gerak 500 km. Kedua-dua varian ini digerakkan oleh motor elektrik berkuasa 143 PS dan tork maksima 210 Nm. Ia dijual pada harga RM139,800 untuk model 400 Pro dan RM169,800 untuk 500 Ultra.

     
     
  • Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Rapid Bus bakal menawarkan perkhidmatan bas perantara secara percuma untuk perjalanan ke/dari dua kuil sempena dengan sambutan Thaipusam ini, laporan Bernama. Dua kuil terbabit ialah Kuil Sri Subramaniar Samy di Batu Caves, Selangor, dan kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga di Pulau Pinang.

    Bagi bas perantara percuma di Kuala Lumpur ke Batu Caves, ia telah mula beroperasi sejak 5 pagi tadi hingga tengahmalam pada 26 Januari ini, dengan kekerapan operasi antara 10 hingga 15 minit. Perjalanan akan meliputi laluan BC02, iaitu dari Hab Bas Pasar Seni (platform A8) ke BC03 Batu Caves, dari stesen LRT Gombak ke Batu Caves, dan BC04 dari stesen MRT Kampung Batu ke Batu Caves.

    Rapid Bus tawar perkhidmatan bas perantara percuma di Penang, Batu Caves sempena Thaipusam 24-26 Jan

    Manakala untuk perkhidmatan bas perantara di Pulau Pinang pula, ia telah pun mula beroperasi sejak tengahmalam tadi sehingga jam 2 pagi pada 26 Januari, dengan kekerapan operasi antara 20 hingga 30 minit, dan dari jam 1 pagi hingga 5 pagi. Ia akan meliputi laluan ST01, dari Jeti ke Adventist melalui kuil Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga.

    Selain Rapid Bus, KTM Berhad turut menyediakan perkhidmatan KTM Komuter secara percuma terus ke Batu Caves yang beroperasi 24 jam sejak 23 Januari lalu sehingga 26 Januari ini.

     
     
  • Polis bakal tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 1-4 Feb 2024 sempena Putrajaya Open Day 2024

    Polis bakal tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 1-4 Feb 2024 sempena Putrajaya Open Day 2024

    Sempena dengan Putrajaya Open Day 2024 (POD2024), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk pembayaran saman trafik terpilih selama empat hari iaitu pada 1 hingga 4 Februari 2024, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Di mana kaunter pembayaran trafik tersebut akan dibuka di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya, memberikan peluang kepada orang ramai untuk membayar saman trafik dengan diskaun yang ditawarkan itu.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Puttrajaya atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Kecuaian pemandu dan penunggang motosikal dikatakan menjadi faktor penyebab bagi hampir 90% kemalangan jalan raya di Pahang. Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pahang Supt Kamarulzaman Jusoh @ Mohd Daud, data itu berdasarkan kaji selidik yang dilakukan.

    Menurut Kamarulzaman, antara faktor kecuaian termasuklah sikap gopoh dan tidak mematuhi peraturan lalu lintas antaranya memotong di garisan berkembar dan selekoh.

    “Kebanyakan penunggang motosikal menunggang laju kemudian keluar masuk simpang serta menukar arah lorong tanpa mengambil kira keberadaan kenderaan lain,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Selain itu,katanya, faktor cuaca dan keadaan permukaan jalan yang beralun turut menyumbang kepada kemalangan jalan raya di negeri ini.

    “Pahang negeri yang luas dan keadaan bentuk muka buminya yang kebanyakan berbukit antaranya di Bentong, Cameron Highlands, Raub, Kuala Lipis malah kita di Pantai Timur kerap menerima hujan dan dalam keadaan hujan lebat sekalipun, terdapat pengguna masih memandu laju,” jelasnya.

    Hampir 90% punca kemalangan jalan raya di Pahang disebabkan kecuaian, kes naik 4.8% pada 2023 – polis

    Beliau turut memaklumkan jumlah kemalangan jalan raya di Pahang pada 2023 mencatatkan peningkatan 4.8% kepada 23,591 kes berbanding 22,511 kes tahun sebelumnya, dengan Kuantan merekodkan kes tertinggi diikuti Bentong, Temerloh, Maran dan Rompin.

    “Kemalangan jalan raya di Pahang turut meragut nyawa 492 individu pada tahun lepas berbanding 447 individu pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 10.1%. Ia membabitkan kereta mencatatkan angka sebanyak 16,989 kes manakala motosikal 3,355 kes dengan selebihnya lain-lain kenderaan.

    “Antara kawasan hotspot kemalangan dikenal pasti antaranya di laluan bypass di Kuantan, Rompin ke Muadzam Shah, Rompin ke Pekan, Kuala Lumpur-Karak dan Kuala Lipis,” katanya.

    Beliau turutmenambah sebanyak 153,369 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2023. Manakala lebih RM5 juta kutipan kompaun dan bayaran denda mahkamah berkaitan kesalahan trafik telah diperoleh pada tahun lepas.

    Beliau yang bakal bersara wajib pada 27 Januari ini selepas 38 tahun menabur bakti dalam pasukan polis turut menitipkan pesanan buat pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan antaranya jangan terburu-buru ketika berada persimpangan lampu isyarat dan laluan berselekoh.

     
     
  • PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

    PANDU UJI: Toyota GR Corolla 2023 – jentera rali jalan raya praktikal; lebih baik, lebih pantas dari GR Yaris?

    Jika kita sebut tentang jentera rali jalan raya Toyota, sudah tentu apa yang terpacul di minda adalah Toyota GR Yaris bukan? Projek GR Yaris ini hanya diketahui sekitar bulan April 2019 selepas Toyota dilihat menguji prototaip ujian menggunakan kerangka badan Yaris generasi ketiga, dan model produksi sebenar membuat kemunculan sulung pada Januari 2020 semasa berlangsungnya Tokyo Auto Salon tahun itu.

    Namun sedarkah anda, sebelum GR Yaris kecoh diperkatakan, idea untuk penghasilan GR Corolla sebenarnya telah berlegar terlebih dahulu. Naib presiden jualan dan pemasaran Toyota Australia, Sean Hanley telah menyebut ura-ura Toyota bakal membangunkan hot-hatch ini pada April 2018, iaitu hanya selepas sebulan Corolla generasi ke-12 dalam versi hatchback diperkenalkan buat kali pertama.

    Ini kerana kerangka Corolla yang diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) tersebut begitu berpotensi untuk dihasilkan dalam versi prestasi tinggi kerana ia begitu tegar, menampilkan pusat graviti yang rendah, serta menggunakan sistem suspensi jenis double wishbone yang jitu pada bahagian belakang.

    Perkara yang sama turut disebut beberapa eksekutif Toyota selepas itu sehinggalah pada Februari 2019, penolong ketua pereka Toyota, Toshio Kanei mengesahkan Corolla hatchback lebih berkuasa dengan lencana Gazoo Racing akan dibina dan ia akan disumbat dengan enjin 1.6 liter turbo digandingkan bersama sistem pacuan semua roda.

    Ketika Kanei memberitahu perkara tersebut, dunia masih belum mengetahui apa-apa berkenaan enjin G16E-GTS yang akhirnya menjadi enjin produksi 1.6 liter tiga-silinder turbo paling berkuasa di dunia dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four yang dibangunkan oleh Toyota, sehingga kedua-dua gandingan itu didedahkan menerusi GR Yaris pada Januari 2020. Nampak tak? Toyota dah lama rancang, tapi kita yang lalai.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Kesesakan lalulintas di Kuala Lumpur, terutamanya di pusat bandar bukanlah masalah baru. Namun, kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan masalah itu dan sedang terlibat dalam perbincangan dengan pihak berkepentingan untuk mencari jalan bagi mengatasinya.

    Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa, jalan penyelesaian terhadap masalah ini sedang diteliti oleh pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Begitu juga dengan jawatankuasa kabinet untuk kesesakan lalulintas yang telah juga menyerahkan beberapa cadangan berkaitan masalah ini, lapor Bernama.

    Dengan kira-kira 1.3 juta hingga 1.5 juta kenderaan direkodkan memasuki ibu negara setiap hari, beliau menambah masalah berkenaan boleh diatas sekiranya lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam untuk masuk ke pusat bandar.

    “Kesesakan berlaku ketika waktu puncak dari 6 pagi dan juga ketika waktu pulang kerja. Kami juga tahu yang menjadi punca pada kebiasaannya melibatkan mereka yang menggunakan kenderaan sendiri untuk tujuan kerja. Jadi, saya menggesa agar lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan tersebut,” ujarnya.

    Kerajaan komited selesai masalah kesesakan trafik KL

    Tahap kesesakan di Kuala Lumpur juga pernah direkodkan. Tahun lalu, Indeks Trafik TomTom memberi petunjuk bahawa pada 2022, pemandu di KL menghabiskan masa selama 159 jam di atas jalan ketika waktu puncak di pusat bandar, 75 jam daripadanya disebabkan kesesakan. Ia juga menganggarkan pemandu membelanjakan RM1,023 untuk minyak (RM221 kerana kesesakan) dan mengeluarkan 833 kg CO2 (180 kg disebabkan kesesakan).

    Pada Mei 2022, DBKL memaklumkan pihaknya telah menjalankan kajian terperinci tentang bagaimana untuk mengurangkan kesesakan lalulintas di KL dan menjelaskan perhatian akan diberi kepada beberapa aspek tertentu termasuk koordinasi lampu isyarat dan sistem pengurusan parkir, yang mengganggu aliran trafik.

    Satu lagi penyelesaian adalah dengan mengenakan caj kesesakan, tetapi ini masih jauh untuk dapat dilaksanakan, kerana dikhabarkan hanya akan dikenakan selepas MRT3 siap dibina pada 2030. Struktur yuran untuk dikenakan kepada kenderaan yang memasuki ibu kota juga akan dinilai selepas projek pengangkutan awam itu selesai sepenuhnya.

     
     
  • Vespa 946 Dragon diperkenal – model kedua konsep kalendar China, hanya 1,888 unit dikeluarkan

    Vespa 946 Dragon diperkenal – model kedua konsep kalendar China, hanya 1,888 unit dikeluarkan

    Vespa sekali lagi memperkenalkan versi istimewa untuk model 946, dan kali ini dipanggil sebagai 946 Dragon. Ia sebenarnya adalah model 946 kedua yang dikeluarkan oleh Vespa mengikut konsep tahun kalendar China, dan yang pertama adalah 946 10 Anniversario (RM100k di Malaysia) dengan motif arnab pada tahun lepas.

    Mengikut kalendar China itu, tahun ini adalah tahun naga, dan 946 yang dikeluarkan mengikut konsep tersebut dengan terdapat pelekat naga warna hijau bertekstur yang ditampal dari hadapan hingga ke belakang badan motosikal berwarna emas cair.

    Menjadikan edisi kali ini lebih istimewa, Vespa turut mengeluarkan beberapa aksesori yang menggunakan konsep sama, bermula untuk motosikal, terdapat beg barangan buatan Itali yang boleh diletakkan di rak belakang, serta helmet open face.

    Satu lagi adalah barangan fesyen, iaitu jaket varsity, yang juga menggunakan konsep warna dan grafik naga yang sama, dibuat atas jaket yang menggunakan kain gabungan kulit Nappa, kapas serta bebulu (wool).

    Hanya 1,888 unit Vespa Dragon ini akan dikeluarkan untuk seluruh dunia, dan bahagian mekanikalnya tidak berubah dengan masih dipacu oleh enjin empat strok satu silinder 150 cc, dan diberikan dengan kelengkapan seperti panel paparan LCD, lampu depan dan belakang LED serta rim 12 inci di depan dan belakang.

     
     
  • Ora 07 lancar di Malaysia Q1 2024 – tetapan satu dan dua motor, kuasa sehingga 408 PS, jarak gerak 640 km

    Ora 07 lancar di Malaysia Q1 2024 – tetapan satu dan dua motor, kuasa sehingga 408 PS, jarak gerak 640 km

    Great Wall Motor Malaysia (GWM) telah membuat pengesahan bahawa Ora 07 akan dilancarkan pada suku pertama tahun 2024. Sebelum ini, kenderaan elektrik itu cuma ditunjuk dalam teaser, tanpa sebarang perincian lain.

    Selain daripada itu, GWM Malaysia juga memberitahu, Ora 07 akan tiba dalam dua versi, iaitu yang menggunakan tetapan satu motor elektrik dengan jarak gerak 640 km dan juga yang menggunakan dua motor elektrik dengan pacuan semua roda dan jarak gerak 550 km.

    Jarak gerak (NEDC) ini menyamai dua varian yang dijual di Thailand, yang mana kedua-duanya menggunakan bateri ternary lithium 83.5-kWh. Di Thailand, pilihan variannya bermula dengan Long Range yang mempunyai motor elektrik hadapan dengan kuasa 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 340 Nm, kemudiannya diikuti varian Performance dengan kuasa keseluruhan 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 680 Nm.

    Tiada sebarang maklumat disiarkan berkenaan dengan harga buat masa ini, tetapi jika melihat kepada pasaran Thaland, Ora 07 dijual antara 1.299-1.499 juta baht (RM172k-RM199k). Apabila dilancarkan nanti, Ora 07 akan menjadi EV kedua jenama itu di Malaysia, mengikuti langkah Good Cat.

    “Kami teruja untuk membawa Ora 07 ke Malaysia, menguatkan lagi komitmen kami untuk menyediakan kepada pelanggan pilihan pengangkutan yang terbaik dan mesra alam,” kata pengarah urusan GWM Malaysia, Cui Angi.

     
     
  • Mekanisme naiktaraf lesen B2 ke B penuh sedang diperhalusi termasuk had umur, tempoh pemilikan

    Mekanisme naiktaraf lesen B2 ke B penuh sedang diperhalusi termasuk had umur, tempoh pemilikan

    Kerajaan sedang memperhalusi mekanisme bagi pelaksanaan cadangan naik taraf lesen memandu kelas B2 untuk motosikal kepada B penuh secara automatik. Perkara ini dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Menurut beliau, antara perkara yang perlu dipertimbangkan adalah tempoh masa memiliki lesen Kelas B2 dan had umur yang dibenarkan bagi melaksana cadangan terbabit, laporan Bernama.

    “Perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat terperinci dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam masa terdekat.

    “Apa yang kami bincangkan tadi (semalam), ada tempoh tertentu dari segi umur iaitu pemohon itu mesti berumur 35 tahun ke atas, keduanya memegang lesen B2 untuk satu tempoh yang tertentu, baru layak untuk mendapat B penuh. Perkara ini kita akan muktamadkan bila bermesyuarat dengan JPJ dan JSPT,” katanya.

    Mekanisme naiktaraf lesen B2 ke B penuh sedang diperhalusi termasuk had umur, tempoh pemilikan

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan berkaitan cadangan menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B penuh secara automatik pada sesi libat urus bersama Persatuan Motosikal Malaysia semalam. Sesi berkenaan turut dihadiri Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

    Mengenai had umur yang sesuai untuk membenarkan lesen terbabit dinaik taraf secara automatik, Ahmad Zahid berkata, antara dipertimbangkan ialah pada usia 35 tahun.

    Sementara itu, Loke pula memaklumkan keputusan untuk menaik taraf lesen Kelas B2 kepada B penuh tidak mudah kerana statistik JSPT menunjukkan jumlah mangsa kemalangan raya membabitkan golongan terbabit adalah dalam kalangan 16 hingga 35 tahun.

    “Kita lihat data, kalau mereka yang baru dapat lesen B2 diberi lesen B, dia akan bertindak sewenang-wenangnya, kalau berumur sedikit mungkin lebih berpengalaman selain ada tanggungjawab kepada keluarga dan sebagainya,” katanya.

    Pada Ogos lalu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata pihaknya akan membawa cadangan untuk menaik taraf lesen memandu motosikal bagi kelas B2 kepada B secara automatik ke Kementerian Pengangkutan untuk penelitian. Beliau berpendapat tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.

     
     
  • Beberapa jalan di KL ditutup berperingkat mulai 9 malam ini hingga 26 Jan sempena Thaipusam – Polis

    Beberapa jalan di KL ditutup berperingkat mulai 9 malam ini hingga 26 Jan sempena Thaipusam – Polis

    Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Allaudeen bin Abdul Majid, Ketua Polis Kuala Lumpur telah mengumumkan bahawa beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur bakal ditutup dan dilencongkan secara berperingkat sempena Perarakan Chariot Thaipusam. Di mana perarakan tersebut bermula di Kuil Sri Mariamman di Jalan Tun H.S Lee bermula pada jam 9 malam ini dan dijangka sampai ke Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves pada 4 petang esok (24 Januari). Kemudian perarakan pulang akan bermula jam 4 petang pada 26 Januari 2024.

    Jalan yang terlibat ialah Jalan Tun H.S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang, Jalan Mushi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Jalan Raja Laut, Jalan Bella, Jalan Sri Amar, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh Lama (Batu Lima), Jalan Ipoh menuju ke Bulatan Batu Caves (Jalan Salah dari MRR2), susur dari MRR2 dan Batu Caves.

    “Polis KL ingin menasihati pengguna jalan raya agar elakkan dari menggunakan laluan terbabit dan patuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan terkawal,” kata Allaudeen menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Beberapa jalan di KL ditutup berperingkat mulai 9 malam ini hingga 26 Jan sempena Thaipusam – Polis

    Semalam, Polis Selangor turut mengumumkan penutupan tujuh jalan di sekitar Batu Caves yang bermula malam tadi sehingga 28 Januari ini. Ini termasuklah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves MRR2 dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

    Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan KTM Komuter bakal menawarkan tambang percuma kepada para pengguna Komuter Lembah Klang pada 24 hingga 25 Januari ini sempena Thaipusam. Jadi orang ramai yang ingin ke Batu Caves, digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.

     
     
  • JPJ eBid: KFT dan RAU akan dibuka untuk bidaan

    Untuk yang bakal mendapat kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri nombor pendaftaran yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KFT, bakal dibuka bidaan mulai 25 Januari 2024 dan ia berlangsung selama lima hari iaitu sehingga jam 10 malam pada 29 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 30 Januari. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perlis pula, RAU, bidaannya akan dibuka pada 10 Februari. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 14 Februari. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 15 Februari 2024 ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup mulai 10 malam ini hingga 28 Jan sempena Thaipusam – IPK Selangor

    Tujuh jalan sekitar Batu Caves ditutup mulai 10 malam ini hingga 28 Jan sempena Thaipusam – IPK Selangor

    Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan telah mengumumkan sebanyak tujuh jalan di sekitar Batu Caves akan ditutup mulai 10 malam ini (22 Januari) hingga 28 Januari 2024 bagi memastikan kelancaran lalu lintas sepanjang perayaan Thaipusam yang berlangsung pada 25 Januari ini. Walau bagaimana pun, katanya, penutupan jalan terbabit bergantung kepada situasi semasa keadaan lalu lintas.

    “Jalan yang ditutup sepanjang tempoh itu adalah simpang tiga Jalan Bunga Raya menghala ke Jalan Batu Caves, lampu isyarat Jalan Station (Batu Caves Bypass), susur dari arah bulatan Batu Caves MRR2 dan Jalan Perusahaan menghala ke Kuil Batu Caves.

    “Selain itu, susur dari arah Gombak menghala ke Kuil Batu Caves, simpang tiga Jalan SBC 8 (jalan lama Batu Caves) dan simpang tiga lampu isyarat Sri Batu Caves menghala keluar ke MRR2,” katanya menerusi sidang media sebentar tadi.

    Beliau turut berkata, hebahan berkaitan penutupan jalan akan disiarkan melalui papan kenyataan elektronik dari arah bulatan Batu Caves menghala ke Gombak dan menerusi laman rasmi Facebook Polis daerah Gombak dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

    “Laluan alternatif yang dicadangkan oleh pihak polis akan dikemas kini melalui platform media sosial yang dinyatakan dari semasa ke semasa. Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya menggunakan laluan alternatif dan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas,” katanya sambil menambah dianggarkan antara 1.5 juta hingga dua juta pengunjung dijangka akan menghadiri perayaan Thaipusam di Batu Caves.

    Tambah beliau, seramai 1,600 pegawai dan anggota polis dari pelbagai jabatan di seluruh kontinjen Selangor akan bertugas dalam Op Palu 2024 di zon sekitar Batu Caves. “Sebarang kegiatan ataupun aktiviti yang mengganggu lalu lintas dan perhimpunan yang melanggar undang-undang akan dikenakan tindakan serta merta. Pengunjung yang membawa kenderaan sendiri perlu meletakkan kenderaan di tempat yang dibenarkan,” katanya lagi.

    Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan KTM Komuter bakal menawarkan tambang percuma kepada para pengguna Komuter Lembah Klang pada 24 hingga 25 Januari ini sempena Thaipusam. Jadi orang ramai yang ingin ke Batu Caves, digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekitarnya.

     
     
  • PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) memaklumkan pihaknya bakal memulakan siasatan berkaitan sistem tol multi-lane free-flow (MLFF). Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin menjelaskan bahawa ahli jawatankuasa itu sebulan suara bersetuju untuk menjalankan prosiding berkaitan pengurusan pelaksanaan MLFF oleh Kementerian Kerja Raya, lapor The Edge.

    Jelas Ermieyati, selain meminta pengendali lebuhraya untuk menyediakan perincian berkaitan pelaksanaan sistem tersebut, PAC juga akan memanggil wakil daripada Kementerian Kerja Raya dan juga Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

    Beliau juga menambah, prosiding berkenaan akan dilakukan di bawah Peraturan Tetap 77(1)(d), Arahan Perbendaharaan 301 Tahun 2023, dan Seksyen III Perkara 11 (b) Pekeliling Am Bilangan 2 (1982), tetapi tidak menyatakan punca yang membawa kepada siasatan terhadap MLFF ini.

    PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    MLFF ialah sistem tol tanpa palang yang direncanakan untuk menggantikan sistem kutipan tol berpalang sedia ada. Ia menggunakan sistem radio-frequency identification devices (RFID) bersama dengan sistem automated number plate recognition (ANPR).

    Sebelum ini, pelaksanaannya dijadualkan bermula pada 2025, namun seperti diumumkan pada Mac tahun lalu, ia akan dipercepatkan dengan fasa percubaannya akan dilakukan di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan juga DUKE tak lama selepas itu.

    Pada Julai tahun lalu pula, Menter Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau berharap akan mendapat persetujuan lebih cepat daripada syarikat pengendali lebuhraya supaya MLFF ini dapat dilaksanakan pada penghujung 2024. Projek berkenaan menelan kos RM3.46 bilion.

    PAC bakal siasat projek sistem tol MLFF — panggil syarikat konsesi, Kementerian Kerja Raya dan LLM

    Pada Disember tahun lalu pula, sebanyak 32 syarikat konsesi lebuhraya memprotes langkah kerajaan yang menganugerakan projek MLFF ini secara langsung kepada sebuah syarikat swasta. Konsesi berkenaan mendakwa “perjanjian pelantikan” dengan KJS-SEP Synergy itu, sebuah syarikat berkaitan dengan YTL Corporation, untuk projek berkenaan telah dilakukan tanpa mengambil pandangan dan maklum balas daripada syarikat konsesi lebuhraya, yang akan menanggung kos itu nanti.

    Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) menyatakan telah menghantar surat bantahan kepada Kementerian Kerja Raya, dengan memaklumkan bahawa langkah berkenaan telah melanggar persetujuan berasingan syarikat-syarikat terlibat dengan kerajaan. Konsesi berkenaan menambah yang mereka tidak mahu pihak ketiga yang akan mengutip tol bagi pihak mereka kerana akan berlaku ketirisan dan memberi kesan kepada kutipan tol secara keseluruhannya, terutama kerana syarikat swasta tersebut tidak mempunyai pengalaman dan rekod berkaitan hal tersebut.

     
     
  • Produksi Mazda 6 di Jepun akan dihentikan pada pertengahan April ini; Malaysia juga selepas ini?

    Produksi Mazda 6 di Jepun akan dihentikan pada pertengahan April ini; Malaysia juga selepas ini?

    Mazda telah mengumumkan bahawa produksi untuk model segmen-D Mazda 6 bakal berakhir di Jepun tidak lama lagi. Secara spesifiknya, produksi domestik untuk kedua-dua versi badan Mazda 6 iaitu sedan dan wagon tersebut bakal ditamatkan pada pertengahan April nanti.

    Buat masa sekarang pelanggan yang berminat untuk membeli model berkenaan masih boleh menempahnya, tetapi produksinya tetap akan dihentikan sebaik sahaja jumlah produksi yang dirancang untuk tahun ini telah tercapai.

    Mazda 6 sedia ada merupakan model generasi ketiga yang telahpun diproduksi sejak 2012. Di Jepun model ini turut dikenali sebagai Mazda Atenza, dan angka produksi kesemua generasi di Jepun telahpun mencapai 226,437 unit sehingga akhir Disember 2023.

    Perkara ini telah didedahkan oleh pegawai eksekutif Mazda yang bertanggungjawab untuk jualan domestik Jepun iaitu Kazuyoshi Todo, dan beliau turut menyatakan bahawa peranan Mazda 6 selepas ini akan diganti oleh model-model SUV CX jenama itu.

    Produksi Mazda 6 di Jepun akan dihentikan pada pertengahan April ini; Malaysia juga selepas ini?

    Sebelum jualan di Jepun dihentikan, Mazda 6 sudahpun tidak lagi dijual di Amerika Syarikat bermula 2021 dan di UK sejak 2023.

    Tahun lalu Mazda ada menyebut bahawa ia mungkin akan menghasilkan model generasi baharu Mazda 6 dengan bentangan enjin hadapan pacuan belakang menggunakan platform model-model Large Product baharu seperti CX-60 dan CX-90, namun sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi sama ada rancangan tersebut diteruskan atau tidak.

    Untuk pasaran Malaysia, kita baru sahaja menerima model kemaskini Mazda 6 ini pada Oktober tahun lalu, dan ia turut ditawarkan dalam versi istimewa 20th Anniversary Edition dan juga versi wagon Touring. Kita sememangnya menerima Mazda 6 yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, jadi dengan dengan produksi yang dihentikan mungkin Bermaz juga akan menghentikan jualan model ini tidak lama lagi?

     
     
  • Honda Transalp XL750 bakal tiba di Malaysia pada harga bawah RM65k? Enjin 755 cc, meter TFT, HSTC

    Honda Transalp XL750 bakal tiba di Malaysia pada harga bawah RM65k? Enjin 755 cc, meter TFT, HSTC

    Pilihan motosikal adventure kelas pertengahan di Malaysia nampak seperti akan bertambah apabila salah sebuah syarikat pengedar rasmi motosikal berkuasa tinggi (Big Wing) Honda di Malaysia, iaitu Fast Bikes Motorcycles Malaysia mula menyiarkan “sesi meracun” berkenaan Transalp XL750 di laman media sosial.

    Meskipun tiada kenyataan rasmi daripada Fast Bikes mahupun Boon Siew Honda (BSH) sama ada model ini akan betul-betul tiba atau tidak, ia boleh diambil sebagai petunjuk kerana sudah beberapa kali motosikal tersebut dimuat naik dan mereka yang berminat sudah boleh berhubung dengan pengedar tersebut.

    Malahan, Fast Bikes turut memberi bayangan harga apabila ditanya oleh netizen. Antara ayat yang diberi adalah, “Insyaallah, RM65k siap boleh beli box.” Dan juga, “RM80,000 free CB250R sebijik.”

    Jika melihat kepada pasaran negara jiran seperti Thailand, Transalp dijual pada harga 389,000 baht (RM51,586), dan 36,000 baht (RM4,774) lebih murah berbanding X-ADV 750 (425,000 baht/RM56,360). Mengikuti perbandingan sama dengan mengambil harga rasmi (oleh BSH) X-ADV di Malaysia (RM68,899), lingkungan harga bawah RM65k itu nampak logik.

    Walaubagaimanapun, ini semua sekadar jangkaan awal. Harga sebenarnya masih belum diketahui dan ia boleh berubah kerana bergantung kepada banyak perkara yang juga boleh berubah pada bila-bila masa.

    Untuk imbasan kembali, Transalp XL750 adalah sebuah motosikal adventure yang diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada September tahun 2022, dan ia menggunakan enjin dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Jika tiba di Malaysia nanti, ia akan bersaing dengan antaranya Yamaha Tenere 700 dan Suzuki V-Strom 800 DE, yang dijual pada harga masing-masing RM69,988 dan RM60,800.

    Walaupun dijual lebih murah berbanding Tenere 700 (di Eropah), Transalp membawa kelebihan dengan antaranya dilengkapi empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS.

    Ia juga datang dengan meter TFT, suspensi Showa (fork SFF-CATM 41 mm dengan pelarasan pra beban dan monoshock dengan pelarasan pra beban), rim spoked 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang serta tangki bahan api 16.9 liter.

    GALERI: Honda Transalp XL750

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025