Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rafizi jelaskan kerajaan tak tolak laksana semula GST

    Rafizi jelaskan kerajaan tak tolak laksana semula GST

    Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjelaskan bahawa kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan sebelum ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya dalam sidang akhbar di lobi parlimen siang tadi, kerajaan bagaimanapun akan mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.

    “Kerajaan akan berpegang kepada strategi kami dan terbuka untuk melaksanakan apa jua cara bagi mencapai kemampanan fiskal melalui sumber yang lebih luas.

    “Oleh itu, sama ada ia akan menjadi GST, Cukai Keuntungan Modal atau sebarang bentuk cukai langsung dan tidak langsung, kami hanya akan memutuskan berdasarkan kes ke kes atau tahun ke tahun. Sebarang pengumuman berkenaan pengenalan cukai akan dibuat menteri kewangan menerusi pembentangan bajet,” kata menteri berkenaan.

    Minggu lalu Presiden MCA dan bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyuarakan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) perlu diperkenalkan semula kerana banyak pemilik perniagaan menggunakan kelemahan yang ada pada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk mengelak membayar cukai tersebut seterusnya menyebabkan kutipan hasil oleh kerajaan berkurangan.

    GST sebelum ini menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada April 2015, tetapi kemudiannya dibatalkan dan SST diperkenalkan semula pada September 2018 ketika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan. Mac lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan memperkenalkan semula GST dalam masa terdekat kerana tahap pendapatan rakyat Malaysia masih rendah.

     
     
  • Toyota Vios 2023 terima 5 bintang dari ASEAN NCAP

    Toyota Vios 2023 terima 5 bintang dari ASEAN NCAP

    Toyota Vios generasi ke-empat telah menerima penarafan lima-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP), dimana model ini tertakluk kepada protokol penilaian 2021-2025 yang lebih komprehensif.

    Laporan ASEAN NCAP menyatakan bahawa varian yang diuji adalah varian G, diproduksi di Malaysia untuk pasaran Malaysia. Penarafan itu juga digunakan untuk varian lain Vios, yang dikeluarkan di Thailand untuk pasaran Brunei, Indonesia, Laos dan Kemboja.

    Bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Vios menerima 35.25 mata dari 40 mata penuh. Sementara untuk Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP), sedan segmen-B ini menerima 16.64 mata dari 20 mata penuh untuk kategori ini.

    Dengan adanya Brek kecemasan autonomous (AEB) serta sistem bantuan keselamatan termaju yang lain menyaksikan Vios 2023 ini menerima 16.08 mata dari 20 mata penuh bagi kategori bantuan keselamatan (SA), bahkan model ini turut memperoleh 10.73 mata untuk kategori keselamatan penunggang motosikal (MS). Sekaligus memberikan keseluruhan markah sebanyak 78.70 mata untuk Toyota Vios 2023, melayakkannya menerima penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP.

    “ASEAN NCAP berbangga kerana Toyota komited untuk memastikan keselamatan penumpang kenderaan dan pengguna jalan raya lain dengan melengkapkan sedan ini dengan pelbagai teknologi bantuan keselamatan bagi melindungi mereka daripada kejadian yang tidak diduga semasa berada di jalan raya,” kata ASEAN NCAP menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • BMW M1000RR dengan pakej M Competition tiba di Malaysia – RM289,500, kelengkapan dinaik taraf

    BMW M1000RR dengan pakej M Competition tiba di Malaysia – RM289,500, kelengkapan dinaik taraf

    Sekiranya BMW M1000RR yang dilancarkan pada tahun 2021 sebelum ini masih tidak mencukupi, orang ramai kini diberikan satu lagi pilihan yang lebih tinggi iaitu M1000RR dengan pakej M Competition. Ia dijual pada harga RM289,500 tidak termasuk insurans dan penghantaran kepada pelanggan dijangka berlaku pada tahun 2024.

    Melalui pakej M Competition ini, spesifikasi yang sudah sedia tinggi pada M1000RR ditambah lagi dengan lengan ayun aluminium yang 220 gram lebih ringan, tuil brek dan klac M, pelindung tuil brek, rantai M Endurance serta peletak kaki M Competition.

    Selain rim dan panel badan gentian karbon, M1000RR M Competition turut datang pelbagai lagi barang yang menggunakan bahan sama, iaitu pada pelindung tayar hadapan, penyejuk cakera brek, pelindung rantai serta panel tepi tangki.

    BMW M1000RR dengan pakej M Competition tiba di Malaysia – RM289,500, kelengkapan dinaik taraf

    Penggerak M1000RR adalah enjin empat silinder 999 cc yang selain menggunakan tetapan DOHC dan Shiftcam, turut mendapat injap titanium, piston 12 gram lebih ringan, rocker arm lebih kurus dan ringan serta connecting rod titanium. Hasilnya, enjin ini boleh mengeluarkan 212 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm tork pada 11,000 rpm.

    Bagi M1000RR M Competition, panel instrumen TFT 6.5 incinya datang terus dengan M GPS data logger dan laptrigger untuk memberikan informasi terperinci prestasi di dalam litar. Untuk penghadang angin hadapan, pemilik boleh memilih tiga jenis bentuk, sama ada yang gelap, menggelembung atau gelembung gelap.

     
     
  • Saladin Mazlan kembali ke Thai minggu ini untuk pusingan ke-4 Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023

    Saladin Mazlan kembali ke Thai minggu ini untuk pusingan ke-4 Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023

    Pelumba rali lagenda negara, Saladin Mazlan akan kembali ke Thailand minggu ini bagi menyertai pusingan keempat yang juga merupakan pusingan terakhir Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023, yang akan berlangsung di Kanchanaburi bermula 16 hingga 17 September ini.

    Saladin memandu untuk pasukannya iaitu Saladin Rallying dan masih akan dibantu juruarah dari Thailand yang baru sahaja menjuarai Asia Cross Country Rally (AXCR) 2023 bulan lalu, Ittipon Simaraks. Jentera yang akan digunakan juga masih sama iaitu Subaru Impreza WRX GC8, bagi membolehkan Saladin bertanding dalam kategori utama Super 4WD.

    Pasukan Saladin Rallying juga masih menampilkan seorang lagi pelumba muda iaitu Ibrahim Saladin. Ibrahim yang baru berumur 21-tahun merupakan anak kepada Saladin Mazlan akan memandu Proton Satria Neo dalam kategori Super 1600, akan dibantu oleh juruarah yang sudah lama bergandingan dengan ayahnya iaitu Arish Qutb.

    Kedua-dua Saladin dan Ibrahim menyertai Kejohanan RAAT Rali Thailand 2023 ini bermula pusingan ketiga yang berlangsung di Wilayah Lopburi, utara Bangkok. Walaupun sudah 12 tahun tidak bertanding dalam mana-mana rali peringkat antarabangsa, dan 25 tahun tidak berlumba secara kompetitif di atas permukaan gravel, Saladin masih berjaya muncul juara kategori Super 4WD dan naib juara keseluruhan dengan memandu Subaru Impreza WRX Version 3 yang berusia 27-tahun, disediakan oleh Secret Service Garage (SSG) dari Malaysia itu.

    Manakala bagi Ibrahim yang kurang bernasib baik terlibat dalam kemalangan pada SS ke-4 ketika berada di kedudukan ke-9 dalam kelasnya, memaksanya menamatkan rali ini lebih awal. Rali berkenaan berlangsung dalam cuaca yang tidak menentu, menjadikan laluan SS basah, licin dan berlecak akibat hujan yang turun, menyebabkan hanya 41 kereta dari 65 kereta berjaya menamatkan perlumbaan.

    Untuk perlumbaan pusingan ketiga ini, pasukan Saladin Rallying masih menerima tajaan dari Northwestern Energy dengan kedua-dua kereta menampilkan livery perlumbaan dengan grafik syarikat tersebut. Selain itu, penaja lain seperti Crescent Gears Solution, MAD Composites dan QED Suspension turut menjalankan kerja-kerja R&D dan tingkat taraf bagi kedua-dua kereta rali pasukan Saladin Rallying ini.

    Manakala untuk Proton Satria Neo yang dipandu Ibrahim Saladin, ia kini sudah dilengkapi dengan set suspensi binaan pengeluar suspensi prestasi tinggi tempatan iaitu Fawster Suspension. Bagi perlumbaan terakhir di Kanchanaburi ini, ia akan berlangsung selama dua hari melibatkan enam SS dengan jarak sejauh 75 km, diadakan di sekitar kawasan latihan ketenteraan di wilayah tersebut.

    Pengurus pasukan Saladin Rallying, Nik Ammar Mohamed menetapkan sasaran podium untuk setiap kategori yang ditandingi pasukannya selepas pelbagai perkara yang dipelajari menerusi pusiangan sebelum ini, selain berharap acara ini akan berjalan lancar dan kedua-dua kereta dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat.

     
     
  • Petron Fuel UP & Sweep with MyDebit – menangi barangan runcit, ganjaran Petron Miles hingga RM200k

    Petron Fuel UP & Sweep with MyDebit – menangi barangan runcit, ganjaran Petron Miles hingga RM200k

    Petron sedang menganjurkan peraduan Petron Fuel UP & Sweep with MyDebit yang membuka peluang kepada para pelanggan setianya untuk memenangi bekalan barangan runcit atau ganjaran mata Petron Miles bernilai sehingga RM200,000.

    Peraduan ini bermula sejak 1 September lalu dan berakhir pada 30 November 2023. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah membuat pembayaran dengan menggunakan kad MyDebit untuk mengisi minyak petrol di mana-mana stesen Petron dengan RM50 secara kumulatif dan jangan lupa untuk meleretkan sekali kad Petron anda atau menggunakan aplikasi Petron. Menurut Petron, tiada tahanan RM200 jika menggunakan kad MyDebit untuk berbelanja di stesen minyak ini.

    Kemudian, jangan lupa untuk mengambil gambar resit pembayaran dan imbas kod QR untuk penyertaan. Hantarkan penyertaan anda itu menerusi aplikasi WhatsApp di talian +6019 930 9305 dengan mesej “MyDebit”. Mudah bukan?

    Banyak hadiah menarik menunggu pemenang peraduan Petron Fuel UP & Sweep with MyDebit ini. Hadiah utama berupa barangan runcit bernilai RM3,000, manakala hadiah bulanan berupa mata ganjaran P-Miles bernilai RM300 setiap satu.

    Jangan lupa untuk menyertai peraduan Petron Fuel UP & Sweep with MyDebit ini, manakala tahu, anda bakal diumumkan sebagai salah seorang pemenang bertuah. Maklumat lanjut sila layari www.petron.com.my.

     
     
  • Pasukan khas siasat dakwaan “Kertas JPJandora” berkaitan nombor pendaftaran kereta klasik — Loke

    Pasukan khas siasat dakwaan “Kertas JPJandora” berkaitan nombor pendaftaran kereta klasik — Loke

    Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke umumkan penubuhan pasukan khas untuk menyiasat tuduhan salah laku di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan pendaftaran nombor plat bagi kenderaan klasik. Ini adalah susulan daripada pendedahan aktiviti berkenaan oleh kumpulan Edisi Siasat dalam aplikasi Telegram, yang mendakwa nombor pendaftaran klasik berkenaan telah dihidupkan semula dan dan dijual dengan harga ratusan ribu ringgit, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Dokumen setebal 28-muka surat itu, yang turut dikenali sebagai “Kertas JPJandora”, telah disertakan, mengandungi senarai nombor pendaftaran sejak tahun 2007 dan mengikut negeri, yang didakwa telah dihidupkan semula dan didaftarkan untuk pemilikan. Hantaran itu mendakwa, ia dijual dengan harga yang sangat tinggi, sama ada untuk individu atau syarikat, dan didalangi oleh pegawai JPJ sendiri.

    Loke berkata beliau telah memberi penekanan terhadap perkara itu selepas mesyuarat kabinet dan memaklumkan bahawa pasukan khas yang terdiri daripada ahli dari unit integriti Kementerian Pengangkutan, akan menyiasat tuduhan tersebut dan mencadangkan penambahbaikan untuk lebih telus bagi proses pendaftaran nombor plat kenderaan klasik.

    Beliau menambah, pasukan khas itu juga akan memerlukan penglibatan penuh JPJ, memandangkan jabatan itu mempunyai maklumat dan capaian terhadap pertuduhan salah laku yang sedang disiasat itu. “Sudah tentu, penglibatan JPJ dalam pasukan khas itu sangat diperlukan, kerana mereka ada maklumat, data dan sebagainya. Jika tanpa penglibatan JPJ, bagaimana untuk kami akses maklumat berkaitan,” jelasnya.

    Beliau menambah, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Rospiagus Taha, yang telah dinamakan untuk menyertai pasukan khas itu, baru saja dilantik ke jawatan berkenaan pada 19 Jun lalu, dan tidak mempunyai kepentingan di dalam perkara yang disiasat ini. “KP JPJ yang ada ini masih baru, sedangkan masalah yang sedang disiasat ini bermula sejak 2016,” tambahnya.

     
     
  • Runtuhan cerun tambak punca jalan mendap di KM118.2-KM117.8 LPT1, laluan kontra diaktifkan – LLM

    Runtuhan cerun tambak punca jalan mendap di KM118.2-KM117.8 LPT1, laluan kontra diaktifkan – LLM

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengesahkan kejadian mendapan tanah yang mengakibatkan rekahan jalan di KM 118.2 hingga KM117.8 (Lanchang) arah Kuala Lumpur di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), dipercayai berpunca daripada runtuhan cerun tambak di kawasan kerja tebatan banjir.

    “ANIH Berhad selaku syarikat konsesi LPT1 telah memaklumkan bahawa kegagalan tambakan Projek Tambatan Banjir di lebuhraya berkenaan menjadi punca kejadian jalan mendap berkenaan. Ia terjadi apabila cerun tambak (fill slope) di kawasan berkenaan runtuh. Pihak konsesi juga memaklumkan hujan lebat telah berlaku sejak tiga hari kebelakangan ini.

    “Bagi memastikan keselamatan pengguna lebuhraya dan kelancaran aliran trafik, pihak LLM dan ANIH mengambil pendekatan untuk menutup keseluruhan lorong arah barat dan mengaktifkan laluan kontra sejak petang semalam (10 Sept),” kata LLM menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Runtuhan cerun tambak punca jalan mendap di KM118.2-KM117.8 LPT1, laluan kontra diaktifkan – LLM

    Tambahnya, sebagai langkah jangka masa pendek, syarikat konsesi telah mengarahkan pihak kontraktor untuk menutup kawasan rekahan dengan kanvas bagi mengawal hakisan. Penanda enapan (settlement marker) akan dipasang bagi memantau pergerakan tanah dan aktiviti penyiasatan tanah (soil investigation) secara komprehensif akan dilaksanakan segera.

    “Adalah dimaklumkan bahawa laluan ini masih boleh dilalui oleh semua kenderaan dan para pengguna diminta untuk berhati-hati serta mematuhi papan tanda lalu lintas. Walau bagaimana pun, sekiranya tiada keperluan mendesak, pengguna dinasihatkan untuk mengelak laluan ini bagi mengelakkan kesesakan,” kata LLM lagi.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, pihaknya sudah meneliti laporan awal kejadian berkenaan. “Saya telah mengarahkan LLM dan pihak yang terlibat untuk laksana segera kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kawasan mendap. Saya juga telah menghubungi Ketua Pengarah Lembaga LLM dan mahu satu laporan penuh dikemuka dengan segera selain pemantauan di sekitar kawasan mendapan bagi mengenalpasti kemungkinan risiko mendapan lain.

    “Pelan kontigensi/mitigasi yang dilaksana di laluan mendap sentiasa dipantau setiap masa bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya. Pengguna jalan LPT dinasihat untuk mengelak/menangguhkan dari melalui laluan itu buat sementara waktu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

     
     
  • Porsche Cayenne facelift 2024 sudah boleh ditempah di Malaysia – ‘buatan Kulim’, bermula RM599,999

    Porsche Cayenne facelift 2024 sudah boleh ditempah di Malaysia – ‘buatan Kulim’, bermula RM599,999

    Porsche Malaysia mengumumkan bahawa model facelift 2024 untuk SUV Porsche Cayenne kini sudah pun boleh ditempah oleh pelanggan bagi pasaran tempatan. Model tersebut adalah versi dipasang secara tempatan (CKD) menerusi fasiliti Sime Darby di Kulim, Kedah (yang juga merupakan fasiliti pertama Porsche di luar Jerman), dengan harga bermula RM599,999.

    “Dengan salah satu tingkat taraf produk yang paling ekstensif dalam sejarah Porsche, kami tidak sabar untuk menunaikan lebih banyak impian kereta sport di Malaysia dalam masa yang sama menyediakan yang terbaik dari segi kualiti, prestasi, dan juga pengalaman pemanduan secara keseluruhan dengan Cayenne pemasangan tempatan,” kata CEO Sime Darby Auto Performance, Christopher Hunter.

    Porsche Cayenne facelift 2024 ini dijana oleh enjin petrol v6 3.0 liter turbo yang menghasilkan kuasa 355 PS dan tork maksima 500 Nm. Kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dan sistem pacuan semua roda.

    Porsche Cayenne facelift 2024 sudah boleh ditempah di Malaysia – ‘buatan Kulim’, bermula RM599,999

    Antara perincian standard yang dibekalkan bagi model pasaran Malaysia ini termasuk cruise control adaptif, pintu yang ditutup secara lembut dan juga pakej Sport Chrono – kesemua perincian ini merupakan ciri opsyen untuk pasaran lain.

    Ia juga datang standard dengan lampu hadapan LED matrix, suspensi adaptif PASM, Power Steering Plus, rim aloi Cayenne Design berdiameter 20-inci, serta Park Assist untuk hadapan dan belakang bersama fungsi Surround View.

    Pada sebelah dalam model facelift ini diberikan sedikit perubahan di mana tombol gear telah dialih ke bahagian papan pemuka bagi memberikan ruang storan yang lebih dan panel kawalan sistem pendingin hawa pada konsol tengah. Pemandu diberikan panel instrumen digital dengan skrin lengkung 12.6-inci, manakala sistem infotainmen pula hadir dengan skrin 12.3-inci PCM Display.

    Untuk kelengkapan kabin, Cayenne facelift ini dilengkapi dengan tempat duduk hadapan comfort dengan larasan elektrik 14-hala bersama fungsi memori, serta logo Porsche yang dicetak pada perehat kepala. Ia juga menerima pelindung matahari kawalan elektrik untuk tingkap belakang, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W dan juga sistem bunyi surround dari Bose.

    Untuk pelanggan yang mahukan lebih lagi, model facelift CKD ini turut ditawarkan dengan perincian lain yang boleh dipilih dari katalog Porsche Tequipment, antaranya rim aloi Cayenne Exclusive Design 21-inci dan Sport Design 22-inci, sistem infotaimen tambahan untuk penumpang belakang dan lain-lain.

    Tempahan untuk Porsche Cayenne facelift 2024 CKD ini (dan juga model-model Porsche yang lain) boleh dibuat menerusi platform digital jenama berkenaan. 250 pelanggan pertama yang meletakkan tempahan mereka akan menerima kunci yang datang menampilkan warna yang sama dengan warna badan SUV mereka.

    Seperti sebelum ini, varian-varian lain Porsche Cayenne iaitu Cayenne E-Hybrid, Cayenne S, dan Cayenne Turbo E-Hybrid masih ditawarkan dalam versi yang diimport sepenuhnya (CBU).

     
     
  • Kia rancang bina kilang produksi ASEAN pertamanya di Thai dengan sasaran kapasiti tahunan 250,000 unit

    Kia rancang bina kilang produksi ASEAN pertamanya di Thai dengan sasaran kapasiti tahunan 250,000 unit

    Menurut laporan Maeil Business News Korea, Kia sedang mempertimbangkan untuk membina fasiliti pengeluaran ASEAN pertamanya di Thailand dengan kapasiti tahunan sebanyak 250,000 kenderaan.

    Memetik pelbagai sumber dalam industri automotif Thailand, saluran berita itu berkata Kia kini sedang berbincang dengan kerajaan tempatan mengenai kilang baharu itu, dengan perjanjian pelaburan dijangka ditandatangani akhir tahun ini. Jika dibina, kemudahan Kia di Thailand akan menjadi usaha pertama pengeluar kereta Korea Selatan itu untuk membina kilang luar negara baharu dalam beberapa tahun selepas kilangnya di India siap pada 2018.

    Selain di negara asalnya dan India, Kia juga mempunyai kemudahan pengeluaran di China, Mexico, Slovakia, Amerika Syarikat – kilang Thailand akan menjadi pangkalan pengeluaran global keenamnya di luar Korea Selatan.

    Hyundai Motor, yang merupakan ‘abang’ kepada Kia telah pun memulakan produksi tempatannya di Indonesia pada tahun lalu, dan syarikat induk bagi kedua-duanya, Hyundai Motor Group, melihat Indonesia dan Thailand sebagai pasaran yang memiliki potensi untuk perkembangan dan jumlah yang tinggi.

    Data yang diperoleh dari Persekutuan Automotif ASEAN mendedahkan pada separuh pertama 2023, Indonesia telag mendahului jualan dengan 505,985 unit (naik 6.5% setakat ini), diikuti dengan Thailand dengan 406,131 unit (turun 5%) dan Malaysia dengan 366,037 unit (naik 10.3%).

     
     
  • Mazda 3 IPM bakal tiba di M’sia? Skrin besar, Apple CarPlay tanpa wayar, ACC Stop/Go; dari RM149k

    Mazda 3 IPM bakal tiba di M’sia? Skrin besar, Apple CarPlay tanpa wayar, ACC Stop/Go; dari RM149k

    Mazda 3 generasi keempat bakal menerima kemaskini di Malaysia, dengan pengedar tempatan kini mula mengiklankannya di media sosial. Model berkenaan akan diimport sepenuhnya dari Jepun, dan perubahan yang terlibat nampaknya selari dengan pengumuman kemaskini produk yang dilakukan oleh Mazda pada April lalu.

    Menurut satu hantaran dari pengedar, Mazda 3 akan mengekalkan penawaran varian yang sama, dengan versi Sedan datang dalam varian Mid, High dan High Plus. Untuk hatchback pula, ia juga datang dengan tiga varian — Mid, High Plus dan Ignite Edition.

    Perubahan bagi Mazda 3 IPM (kod dalaman untuk kemaskini minor modelnya) akan melibatkan ini:

    • Slot USB-C menggantikan USB-A (semua varian)
    • Tambahan paparan infotainmen 10.25-inci (varian High ke atas)
    • Tambahan pengecas tanpa wayar Qi (varian High Plus ke atas)
    • Sokongan Apple CarPlay tanpa wayar (dari High Plus ke atas)
    • Mazda Radar Cruise Control (MRCC) kini dengan fungsi Stop/Go (dari High Plus ke atas)
    • Sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara (Ignite Edition sahaja)

    Mazda 3 IPM bakal tiba di M’sia? Skrin besar, Apple CarPlay tanpa wayar, ACC Stop/Go; dari RM149k

    Untuk setiap varian, kelengkapan standard kekal sama bagi kedua-dua bentuk badan ini. Ini bermakna, kelengkapan bagi varian Mid adalah sama, tidak kira untuk sedan atau hatchback, dan sama situasinya untuk tahap varian yang setara bagi kedua-dua bentuk badan tersebut. Untuk senarai kelengkapan penuh, itu perlu tunggu pengumuman ketika Mazda 3 IPM ini mula dijual di sini.

    Jika berdasarkan hantaran media sosial yang sama, Mazda 3 yang dikemaskini itu akan menyaksikan kenaikan harga antara RM5,000 hingga RM6,000 (daripada apa yang diumumkan Julai lalu). Ini senarai harga atas jalan, tidak termasuk insuransnya:

    • Mazda 3 1.5L Mid Sedan/Hatchback 2023 — RM149,320
    • Mazda 3 2.0L High Sedan 2023 — RM156,059
    • Mazda 3 2.0L High Plus Sedan/Hatchback 2023 — RM166,059
    • Mazda 3 2.0L Ignite Edition Hatchback 2023 — RM175,059

    Mazda 3 mungkin akan mengekalkan barisan enjin SkyActiv-G yang digunakan, dalam versi 1.5 liter yang menjana 118 hp pada 6,000 rpm dan 153 Nm tork pada 4,000 rpm dan juga unit 2.0 liter yang menghasilkan 162 hp pada 6,000 rpm dan 213 Nm tork pada 4,000 rpm. Kedua-duanya digandingkan bersama tranmsisi automatik SkyActive-Drive enam-kelajuan, pacuan roda depan.

    Pengedar juga memaklumkan mereka sudah mula mengambil tempahan untuk Mazda 3 IPM. Dengan semua kemaskini dan pertambahan kelengkapan ini, adakah Mazda 3 lebih menarik penawarannya berbanding model pesaing? Sekurang-kurangnya, hanya Mazda 3 yang datang dengan versi hatchback, sedangkan yang lain tidak.

     
     
  • BMW F800 GS, F900 GS dan F900 GS Adventure 2024 diperkenal – pelbagai pembaharuan, kuasa bertambah

    BMW F800 GS, F900 GS dan F900 GS Adventure 2024 diperkenal – pelbagai pembaharuan, kuasa bertambah

    BMW F900 GS 2024

    Sementara ramai yang menunggu ketibaan R1300 GS, BMW Motorrad nampaknya membuat kejutan dengan memperkenalkan terlebih dahulu model baru F800 GS, F900 GS dan F900 GS Adventure. Model kembara kelas pertengahan ini menerima peningkatan antaranya suspensi Showa, lebih ringan serta lebih berkuasa.

    Semua tiga GS siri F ini menggunakan enjin sama, iaitu unit dua silinder selari bersama padanan transmisi enam kelajuan. Pada F900 GS dan F900 GS Adventure, ia mampu menghasilkan 105 hp at pada 8,500 rpm dan tork 93 Nm pada 6,750 rpm, sementara pada F800 GS, kuasanya berkurang sedikit menjadi 87 hp pada 6,750 rpm dan tork 91 Nm pada 6,750 rpm.

    Turut diberikan secara standard untuk ketiga-tiganya adalah ABS Pro serta Dynamic Traction Control dengan dua mod tunggangan. Bagi yang mahukan lebih lagi, mereka perlu mendapatkan pilihan tambahan Ride Modes Pro yang memberikan tiga lagi mod iaitu Dynamic, Enduro dan Enduro Pro.

    BMW F800 GS, F900 GS dan F900 GS Adventure 2024 diperkenal – pelbagai pembaharuan, kuasa bertambah

    BMW F900 GS Adventure 2024

    Sistem Keyless Ride juga disediakan sebagai pilihan tambahan, sementara semua informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT-LCD 6.5 inci. Semua lampu model ini menggunakan LED, tetapi F900 GS dan F900 GS Adventure mendapat reka bentuk lampu serba baru.

    Satu perubahan besar pada F900 GS adalah pengurangan berat sehingga 14 kg, yang dapat dicapai melalui penggunaan tangki bahagn api plastik serta bahagian belakang baru. Berat yang dicatat adalah 219 kg, dengan bahan api tersedia dalam tangki 14.5 liternya. F900 GS Adventure pula datang dengan tangki bahan api 23 liter, dan beratnya menjadi 246 kg.

    Tinggi tempat duduk biasa bagi F900 GS dan F900 GS Adventure adalah 875 mm, tetapi pilihan tempat duduk yang lebih rendah dan tinggi (805 mm-890 mm) juga ada disediakan. Untuk F800 GS pula, tinggi tempat duduk biasanya adalah 815 mm dan ia datang dengan tangki bahan api 15 liter dan mencatat berat 227 kg.

    BMW F800 GS, F900 GS dan F900 GS Adventure 2024 diperkenal – pelbagai pembaharuan, kuasa bertambah

    BMW F800 GS 2024

    Kelengkapan baru lain pada F900 GS dan F900 GS Adventure adalah fork hadapan USD boleh laras sepenuhnya daripada Showa, yang menjadikan jarak gerak di hadapan 230 mm, sementara monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan di belakang menyediakan jarak gerak 215 mm. F800 GS pula masih menggunakan fork teleskopik biasa tanpa pelarasan dan monoshock dengan pelarasan pra beban sahaja.

    Sesuai dengan karekter yang lebih menghala kepada tunggangan offroad, F900 GS dan F900 GS Adventure dipasang dengan rim 12 inci di hadapan, dan 17 inci di belakang, sementara F800 GS pula cuma menggunakan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Sistem brek adalah sama untuk tiga model ini, terdiri daripada cakera berkembar 305 mm dengan angkup dua piston di hadapan, dan cakera 265 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Kelengkapan standard lain bagi F900 GS, F900 GS Adventure dan F800 GS 2024 ini adalah pelindung enjin, pemanas tangan, pelindung tangan serta soket kuasa 12 volt dan USB.

     
     
  • Nissan Navara Black Edition kini di Malaysia – pakej penggayaan dan aksesori untuk V dan VL, dari RM153k

    Nissan Navara Black Edition kini di Malaysia – pakej penggayaan dan aksesori untuk V dan VL, dari RM153k

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah memperkenalkan Nissan Navara Black Edition baru untuk pasaran Malaysia, di mana ia menggunakan aksesori inspirasi daripada varian Pro-4X, tetapi diletakkan pada varian VL dan V.

    Naik taraf ini ditawarkan sebagai satu pakej, yang berharga RM14,700 untuk VL dan RM13,500 untuk V. Kedua-dua pakej ini memberikan kemasan lengkuk roda dua tona warna, serta kemasan pada gril dan cermin sisi yang berwarna hitam.

    Bagi pakej untuk varian V, ia termasuk sekali dengan rim 17 inci warna hitam, serta barangan dalam Premium Package termasuk balutan tempat duduk kulit serta filem penapis haba V-Kool.

    Sementara itu, pakej Black Edition untuk VL pula diberikan dengan Protection Package, yang termasuk pelindung tangki minyak, pelindung takung minyak enjin, plet tepi pintu, dashcam, visor pintu serta filem penapis haba V-Kool. Rim 18 inci standard bagi VL dikekalkan.

    Pakej Black Edition ini tidak melibatkan sebarang perubahan pada enjin, yang bermakna Navara varian V dan VL kekal dipacu oleh unit empat silinder 2.5 liter diesel turbo berkuasa 190 PS (187 hp) dan 450 Nm, digabungkan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan serta sistem pacuan empat roda. Senarai kelengkapan lain juga tidak berubah.

    Menurut ETCM, mereka sekarang memberikan pakej Black Edition bersama kad petrol RM800 kepada pembeli Navara V dan VL secara percuma untuk bulan ini. Pada masa sekarang, Navara V dijual pada harga RM134,800 manakala VL pula RM146,900. Apabila tawaran ini berakhir, Navara V dengan pakej Black Edition akan menjadi RM148,300 manakala VL Black Edition RM161,600.

     
     
  • Lotus Emeya didedahkan – sedan hyper GT EV AWD dengan kuasa sehingga 905 hp, 0-100 km 2.78 saat!

    Lotus Emeya didedahkan – sedan hyper GT EV AWD dengan kuasa sehingga 905 hp, 0-100 km 2.78 saat!

    Lotus dah ada hypercar EV iaitu Evija dan juga SUV EV Lotus Eletre. Dan sekarang portfolio jenama kereta British yang bakal beralih 100% kepada kuasa elektrik ini dikembangkan lagi dengan pengenalan sedan hyper EV yang dikenali sebagai Lotus Emeya. Model yang sebelum ini hanya dikenali dengan kod Type 133 ini membuat kemunculan sulung globalnya di Bandar New York, Amerika Syarikat.

    Emeya merupakan Grand Tourer empat-pintu, dan dengan kuasa yang begitu besar dibekalkan, Lotus menggelarkan ia sebagai sebua hyper GT. Menurut Lotus, model ini juga merupakan penawaran baharu dari mereka bagi berhadapan dengan model seperti Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT, yang menggabungkan semua warisan sejarahnya dan juga teknologi terkini bagi menghasilkan prestasi pada tahap sebuah kereta sport.

    Walau bagaimanapun, tidak semua perincian teknikal didedahkan pada pengenalan sulung ini, dan ia akan diumumkan pada suku keempat tahun ini kelak. Namun, kebanyakkan spesifikasi pada Emeya ini adalah sama seperti Eletre termasuk digerakkan dengan dua motor elektrik yang memacu semua roda, dengan tork diagih menggunakan sistem pintar ICC binaan Lotus.

    Lotus Emeya didedahkan – sedan hyper GT EV AWD dengan kuasa sehingga 905 hp, 0-100 km 2.78 saat!

    Juga walaupun tidak diumum semasa pendedahan ini, Emeya mungkin akan ditawarkan dengan varian yang sama seperti Eletre iaitu bermula versi asas S sehingga varian tertinggi S.

    Versi paling berkuasa Emeya dibekalkan dengan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 905 hp (675 kW) dan tork maksima 985 Nm. Ini cukup bagi membolehkan hyper GT ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.78 saat dan mencapai kelajuan maksima 256 km/j.

    Kuasa untuk varian asas belum diumumkan, dan seperti disebut tadi ia mungkin sama dengan Eletre S yang berkuasa 605 hp dan tork maksima 710 Nm.

    Manakala untuk bateri, Emeya dibekalkan dengan unit sedikit lebih kecil iaitu 102 kWj berbanding unit berkapasiti 112 kWj pada Eletra. Namun Lotus menyatakan bahawa jarak gerak tidak akan terjejas dan ia dijangka hampir sama dengan Eletra yang mampu bergerak sejauh 600 km dengan satu cas penuh bateri menurut kitaran WLTP.

    Lotus Emeya didedahkan – sedan hyper GT EV AWD dengan kuasa sehingga 905 hp, 0-100 km 2.78 saat!

    Juga seperti Eletre, Emeya juga diasaskan dari platform Electric Premium Architecture (EPA) yang dibangunkan Lotus menampilkan asas sistem elektrikal 800-volt. Ini membolehkan ia di cas selama 5 minit untuk mendapatkan jarak gerak 150 km menggunakan pengecas DC 350 kW, dan kadar cas 10% hingga 80% dapat dicapai dalam masa 18 minit.

    Lotus belum mengumumkan berat sedan ini, namun ia dijangka lebih ringan dari Eletre yang ditimbang dengan berat 2,500 kg, dan versi R mencapai 2,640 kg. Dari segi saiz, Emeya sebenarnya adalah 36 mm lebih panjang dari Eletre dengan ukuran 5,139 mm. Ia juga adalah 106 mm lebih lebar dari SUV itu dengan ukuran 2,241 mm.

    Dari segi rupa, jelas boleh dilihat unsur ‘adik-beradik’ yang ada pada Emeya dan Eletre. Emeya menerima lampu hadapan LED matriks dua tingkat berbanding hanya satu baris pada Eletre, dan ia turut menerima gril hadapan dengan liang udara aktif sama seperti SUV itu.

    Ia juga diberikan lip udara hadapan aktif bagi memberikan lebih downforce pada kelajuan tinggi untuk mendapatkan pengendalian dan kestabilan lebih baik. Lotus menyatakan rekaan ini juga akan memberikan rasa lebih baik pada sebelah hadapan.

    Tidak cukup dengan itu, diffuser udara aktif turut dipadankan pada bampar belakang yang didakwa dapat memberikan aliran udara lebih baik pada sebelah bawah. Ia digandingkan bersama spoiler belakang yang juga mempunyai sayap aktif berkembar, dengan saiz 100 mm lebih lebar dari spoiler Eletre bagi menawarkan downforce lebih dari 215 kg.

    Emeya juga ditawarkan dengan suspensi udara kawalan elektronik seperti Eletra yang mampu membaca keadaan jalan raya di hadapan sepantas 1,000 kali sesaat bagi membolehkan ia melaras tetapan untuk memastikan penumpang berada dalam keadaan paling selesa.

    Rekaan kabin sedan ini turut menampilkan rupa yang hampi sama seperti Eletre, termasuk skrin terapung OLED HD penuh pada bahagian tengah bersama sistem audio KEF 3D surround Dolby Atmos. Ia juga datang dengan kemasan-kemasan yang diperbuat dari aluminium PVD, Alcantara, fabrik ultra PU dan kulit Nappa

    Selain itu, ia juga menerima juga material-material kitar semula mewah iaitu sisa kapas yang diambil dari industri fesyen dan pakaian bagi digunakan untuk upholsteri dalam kabin. Lotus menyatakan material ini bukan hanya dapat mengecilkan tapak karbon, malah ia juga lebih ringan berbanding kulit.

    Produksi Lotus Emeya ini akan bermula tahun hadapan, dan ia pelanggan di Malaysia yang berminat dengan sedan ini sudah boleh bersedia kerana tempahannya dijangka akan dibuka pada lewat 2024. Harga dan perincian lain akan didedahkan kemudian.

    GALERI: Gambar rasmi Lotus Emeya 2024

     
     
  • Gentari, Sarawak Energy lancarkan stesen pengecas EV pertama di Kuching; dua pengecas 180 kW DC

    Gentari, Sarawak Energy lancarkan stesen pengecas EV pertama di Kuching; dua pengecas 180 kW DC

    Gentari telah melebarkan rangkaian stesen pengecas EV kendaliannya dengan pengenalan stesen pengecas EV pertama di Sarawak dengan kerjasama Sarawak Energy. Kemudahan itu terletak di ICOM Square di Kuching, Sarawak.

    Stesen pengecasan EV itu terletak di lokasi tumpuan semasa di mana pengguna mempunyai akses ke pusat beli-belah, restoran dan bangunan pejabat. Ia menyediakan tiga kemudahan pengecas, dengan dua daripadanya membekalkan kadar pengecasan sehingga 180 kW DC, menjadikannya kemudahan pengecasan yang terpantas dengan kapasiti paling besar bagi pengecas awam yang ada di Borneo ketika ini.

    Akses kepada stesen ini adalah 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan akan memulakan tempoh percubaannya sepanjang September. Melalui rangkaian EV Gentari, pengguna EV di Kuching juga boleh memanfaatkan rangkaian Gentari yang lain, yang terdiri daripada 600 kemudahan pengecasaan di seluruh negara melalui aplikasi Setel dan JomCharge.

    Gentari, Sarawak Energy lancarkan stesen pengecas EV pertama di Kuching; dua pengecas 180 kW DC

    “Pengenalan ini, yang pertama daripada banyak lagi di masa hadapan, membuktikan perkembangan penting di sini berkaitan rangkaian EV. Dengan memperkenalkan keupayaan pengecasan pantas 24/7, kami tidak hanya memberikan keyakinan berkaitan jarak perjalanan, tetpai juga memudahkan peralihan kepada EV untuk mereka yang mahu,” ujar Timbalan CEO Gentari, Shah Yang Razalli.

    “Sebagai penyedia tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia, kami komited dalam usaha elektrifikasi ini. Ini juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 negeri Sarawak melalui sokongannya untuk menyah-karbon sektor pengangkutan,” jelas CEO Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Haji Sharbini Suhaili.

    Jun lalu, Gentari dan Sarawak Energy menandatangani persetujuan kerjasama strategik untuk meningkatkan penggunaan EV di Sarawak melalui pembinaan rangakain pengecas EV yang menyeluruh di negari itu, dengan matlamat untuk mempromosi penyelesaian mobiliti hijau serta menggalakkan pengangkutan rendah karbon di Sarawak.

     
     
  • Siri nombor pendaftaran khas M_M raih kutipan RM20j! – M1M terima bidaan tertinggi bernilai RM622k

    Siri nombor pendaftaran khas M_M raih kutipan RM20j! – M1M terima bidaan tertinggi bernilai RM622k

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) Siri M_M yang telah dibuka pada 31 Ogos hingga 4 Sept lalu telah berjaya meraih kutipan sebanyak RM20, 091, 970! Siri M_M ini adalah sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang ke-66.

    Berdasarkan rekod bidaan, M1M merupakan NPI yang menerima bidaan tertinggi iaitu mencecah RM622,000. Diikuti dengan M5M yang menerima bidaan bernilai RM500,000 dan M8M dengan harga RM450,000. Manakala M9M pula dibida dengan harga RM402,004, dan M6M pula bernilai RM350,000.

    “Jumlah penyertaan bagi siri M_M adalah seramai 25, 033 pembida dan 6, 872 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing. Lima nombor yang paling banyak dibida ialah M101M iaitu seramai 39 pembida, diikuti M155M (33 pembida), M51M (32 pembida), M313M (31 pembida) dan M39M (28 pembida).

    “Hasil bidaan M_M yang membawa maksud ‘Malaysia Merdeka’ telah mendapat sambutan daripada pelbagai pihak bagi menunjukkan semangat dan menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2023,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut JPJ lagi, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida, mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat keputusan bidaan rasmi dikeluarkan.

    Siri nombor pendaftaran khas M_M raih kutipan RM20j! – M1M terima bidaan tertinggi bernilai RM622k

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025