Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki Raider R150 Fi Malaysia dapat warna baru

    Suzuki Raider R150 Fi Malaysia dapat warna baru

    Dilancarkan kali pertama untuk pasaran Malaysia pada Mac tahun lepas, Suzuki Raider R150 Fi kini diberikan penampilan baru untuk menyegarkannya semula dalam pasaran. Harga terkini yang dikeluarkan oleh Suzuki Malaysia adalah RM8,838 tidak termasuk insurans.

    Raider R150 Fi sekarang ditawarkan dalam dua warna baru, yang dipanggil sebagai Bright Ivory/Titan Black dan Matte Bordeaux Red/Metallic Matte Fibroin Grey bagi menggantikan pilihan warna hitam/merah dan biru gelap sedia ada. Sebelum ini juga, Raider R150 pernah ditawarkan dengan edisi khas Azlan Shah.

    Selain penampilan, bahagian lain motosikal ini tidak berubah, dengan ia masih dipacu oleh enjin empat strok, satu silinder, DOHC 147.3 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair, dan dipadankan bersama transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm tork pada 8,500 rpm.

    Suzuki Raider R150 Fi Malaysia dapat warna baru

    Model ini menggunakan rekaan unik dengan fairing kecil untuk lampu hadapan, dan didatangkan dengan ciri moden seperti lampu jenis LED, meter digital LCD serta pemula enjin elektrik serta tendang. Kunci masih menggunakan unit konvensional yang perlu dicucuk seperti biasa dan bukannya sistem kunci pintar.

    Pada bahagian suspensi, motosikal yang juga dikenali sebagai Satria 150 di beberapa negara lain ini dilengkapi dengan fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang. Kedua-dua brek hadapan dan belakang menggunakan unit cakera tetapi bahagian hadapan mempunyai angkup dua piston. Tiada ABS pada model ini.

    Kelengkapan lain pada Raider R150 Fi adalah tangki bahan api empat liter, rim aluminium 17 inci dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, berat keseluruhan 109 kg serta ruang simpanan kecil di bawah tempat duduk.

     
     
  • Proton S50 2024 tidak akan dilengkapi Apple CarPlay, Android Auto — IHU sedia ada akan dipertingkatkan

    Proton S50 2024 tidak akan dilengkapi Apple CarPlay, Android Auto — IHU sedia ada akan dipertingkatkan

    Kalau ada yang masih berharap yang ciri Android Auto dan Apple CarPlay (AACP) ditawwarkan untuk model Proton, perkara itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat. Model terkini Proton, X90 tidak mempunyai ciri berkenaan, dan begitu juga model sedan SS11 akan datang, yang ketika ini sering dirujuk sebagai Proton S50. Perkara ini disahkan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah ketika sesi pandu uji X90 bersama media minggu ini.

    “Jawapan mudahnya, bukan dalam masa terdekat. Tetapi kami masih sedang mempertimbangkan AACP. Untuk model akan datang SS11 juga masih belum ada ciri ini kelak, tetapi kami tidak mentutup sepenuhnya kemungkinan itu,” ujarnya. Sebaliknya, sistem dan head unit hiburan (IHU) sedia ada seperti yang dilihat pada X90, X70 CKD akan dipertingkatkan dan terus digunakan.

    “Dalam masa yang sama, kami akan terus memperbaiki dan mempertingkat IHU sedia ada seperti yang disedikan untuk X90. Platform sistem berkenaan juga akan ditukar untuk disesuaikan dengan perubahan pantas teknologi yang ada di China ketika ini,” tambah beliau.

    Proton S50 2024 tidak akan dilengkapi Apple CarPlay, Android Auto — IHU sedia ada akan dipertingkatkan

    Jadi, apa yang menghalang Proton daripada menggunakan AACP? Ia tentunya bukan berkaitan hal teknikal (IHU dalam X90 juga canggih dan menarik), bahkan Perodua juga menawarkan AACP untuk Alza AV. Sebaliknya, ia mungkin kerana visi Proton terhadap IHU-nya sendiri.

    Perkara ini tentunya didorong oleh Geely yang berasal dari China, yang mana di sana servis seperti Google, Meta dan mana-mana aplikasi oleh syarikat besar Barat tidak ada di sana — dan China mempunyai aplikasi yang setara yang digunakan, untuk semua itu.

    Bolehkah Proton menempa jalannya sendiri dalam hal ini? Mungkin boleh, tetapi ia akan kembali kepada isu kos dan jumlah jualannya di Malaysia, kerana jumlah itu agak kecil. Menyeleraskan IHU sedia ada untuk kegunaan tempatan adalah jalan yang dipilih buat masa ini buat Proton. Adakah anda tetap merasakan AACP pilihan yang terbaik untk model Proton?

     
     
  • Polis Sabah bagi 30% diskaun saman trafik terpilih sempena Awal Muharram pada 27 hingga 29 Julai

    Polis Sabah bagi 30% diskaun saman trafik terpilih sempena Awal Muharram pada 27 hingga 29 Julai

    Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah sedang menawarkan diskaun sebanyak 30% untuk saman trafik terpilih mulai hari ini sehingga Sabtu, 29 Julai 2023. Kempen ini sempena dengan sambutan Awal Muharram. Pembayaran saman berkenaan boleh dibuat di semua kaunter saman di negeri berkenaan, dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di negeri Sabah, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Tanah mendap di Lebuhraya KL-Karak: Arah ke KL belum dibuka, laluan kontra masih diaktifkan

    Tanah mendap di Lebuhraya KL-Karak: Arah ke KL belum dibuka, laluan kontra masih diaktifkan

    Berkenaan dengan insiden tanah mendap di KM 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Kementerian Kerja Raya (KKR) yang sebelum ini memaklumkan lubang mendap tersebut telah dikambus dengan konkrit, dan kemudian disudahkan dengan turapan tar. Malah laluan dari Kuala Lumpur ke Kuantan juga telah dibuka sejak malam tadi.

    Namun demikian, laluan untuk ke arah barat iaitu dari Kuantan ke Kuala Lumpur masih ditutup sehingga kini biar pun pada mulanya ia dikhabarkan akan dibuka pagi ini. Disebabkan penutupan laluan berkenaan, syarikat konsesi Lebuhraya KLK, ANIH Berhad, telah pun mengaktifkan laluan kontra KM65.9 hingga KM67.9 sejak jam 10 pagi tadi.

    Justeru, pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur boleh menggunakan laluan kontra tersebut. Sila ikut papan tanda dan arahan petugas di lokasi berkenaan dan pandu lebih berhati-hati.

     
     
  • Penetapan harga minimum RM100k untuk EV adalah sementara, pasaran akan dibuka pada 2025 – Zafrul

    Penetapan harga minimum RM100k untuk EV adalah sementara, pasaran akan dibuka pada 2025 – Zafrul

    Dalam Bajet 2023, kerajaan telah mengumumkan pengecualian duti import dan eksais yang diberikan kepada kenderaan elektrik bateri (BEV) import sepenuhnya (CBU) dilanjutkan sekali lagi, sehingga 31 Disember 2025. Ia sepatutnya berakhir 31 Disember 2023, tetapi kemudiannya dilanjutkan kepada 31 Disember 2024.

    Sementara pengecualian duti import dan eksais kepada BEV CBU ini bermanfaat bagi pengguna, ia hanya bagi model yang lebih tinggi dan mahal kerana tiada BEV import dengan harga lantai RM100,000 dibenarkan untuk dijual di Malaysia sehingga tempoh pengecualian tersebut berakhir.

    Keadaan ini dinyatakan secara spesifik untuk EV import, di dalam garis panduan keperluan francais AP 2023 oleh MITI. Disebabkan itu, anda boleh lupakan kemungkinan EV bajet seperti Wuling Air dapat ditawarkan dalam pasaran kita pada harga RM50-RM60k dalam masa terdekat ini.

    Penetapan harga minimum RM100k untuk EV adalah sementara, pasaran akan dibuka pada 2025 – Zafrul

    Sementara langkah ini nampak seperti bertentangan dengan usaha kerajaan untuk merancakkan lagi industri EV dalam negara, ia mempunyai logiknya sendiri, terutamanya untuk melindungi perniagaan dalam jangka masa pendek. Walaubagaimanapun, menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, tempoh pelaksanaannya adalah tetap.

    “Buat masa sekarang, kenderaan elektrik dengan harga bawah RM100k dan motosikal elektrik bawah RM12k tidak boleh dijual di Malaysia. Kita tidak boleh lakukan perkara ini selama-lamanya, jadi ia hanya ditetapkan sehingga 2025. Selepas itu, kita perlu buka pasaran,” kata beliau semasa pelancaran Tesla Supercharger minggu lepas.

    Beliau berkata, langkah ini dibuat bagi membenarkan pemain tempatan mempersiapkan diri untuk elektrifikasi. Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik, langkah ini secara asasnya menghalang kenderaan import daripada memberi kesan kepada kenderaan pemasangan tempatan yang dijual bawah RM100k.

    Penetapan harga minimum RM100k untuk EV adalah sementara, pasaran akan dibuka pada 2025 – Zafrul

    “Kami sedang memberikan mereka (pengeluar tempatan) masa bersedia untuk EV. Ada yang bertanya kenapa kita tidak melakukan liberalisasi lebih cepat, tetapi kita perlu melihat kepada gambaran yang lebih besar untuk melindungi industri automotif tempatan buat sementara waktu, supaya peralihan dapat dibuat lebih lancar, kerana ia melibatkan banyak pekerjaan,” kata Zafrul.

    “Saya harap menjelang 2025, syarikat tempatan sudah siap melalui peralihan, kerana teknologi Tesla dan pengeluar China telah menunjukkan bahawa mereka bersedia,” kata Zafrul. Beliau turut menambah bahawa elektrifikasi secara besar-besaran boleh membantu negara mencapai sasaran karbon sifar lebih cepat.

     
     
  • Keputusan kerajaan kekalkan sistem AP satu langkah mundur ke belakang, kata pakar ekonomi

    Keputusan kerajaan kekalkan sistem AP satu langkah mundur ke belakang, kata pakar ekonomi

    Minggu lalu, menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu sekali lagi bahawa kerajaan tidak mempunyai niat untuk menghapuskan sistem AP untuk kenderaan import, meskipun memberikan perlepasan kepada Tesla.

    Beliau berkata, sistem AP akan terus digunakan, meskipun kerajaan telah membenarkan Tesla Motors menjual kereta mereka di Malaysia tanpa mengikut aturan AP yang dikenakan kepada syarikat penjual kenderaan lain di Malaysia. Ini adalah kerana Tesla adalah pemohon pertama yang telah diluluskan untuk inisiatif BEV Global Leaders.

    Menurut pakar ekonomi, keputusan untuk terus menggunakan sistem AP adalah satu langkah ke belakang. Sementara masih akur bahawa penghapusan skim itu mungkin boleh menyebabkan kerajaan hilang sumber pendapatan yang besar, Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata bahawa penghapusan AP dapat membenarkan saingan sihat antara pengeluar kenderaan tempatan dan juga dari luar – lapor FMT.

    Keputusan kerajaan kekalkan sistem AP satu langkah mundur ke belakang, kata pakar ekonomi

    Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran juga bersetuju, sambil mengatakan bahawa penghapusan AP akan mewujudkan saingan yang lebih baik serta memberi manfaat kepada pengguna. “Penghapusan AP bukan sahaja dapat memberikan pelanggan akses kepada lebih banyak produk pada harga lebih berpatutan, tetapi juga menggalakkan saingan kepada pengeluar tempatan, menekan mereka untuk memperbaiki lagi harga serta teknologi yang ditawarkan,” kata beliau.

    Tambah Ferlito, beliau sedar langkah kerajaan mengecualikan Tesla daripada menggunakan AP dibuat untuk membangunkan industri EV dalam negara, tetapi tertanya mungkinkah ia boleh dilakukan dengan cara berbeza. “Secara prinsipnya ia tidak salah, tetapi saya lebih condong kepada penggunaan cukai jualan yang lain, contohnya,” kata beliau.

    Beliau berkata, pengecualian seperti ini boleh memberikan gambaran bahawa layanan istimewa diberi kepada sesuatu jenama berbanding produk. “Ini mungkin menimbulkan satu isu dalam hubungan kerajaan dengan pengeluar lain yang sudah beroperasi di Malaysia bagi tempoh yang lebih lama,” kata Ferlito.

     
     
  • BYD Dolphin 2023 kini di Malaysia – 44.9 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 490 km; dari RM99,900

    BYD Dolphin 2023 kini di Malaysia – 44.9 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 490 km; dari RM99,900

    BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) telah pun melancarkan model EV keduanya di pasaran tempatan, hatchback elektrik penuh lima-pintu BYD Dolphin. Seperti SUV EV Atto 3, untuk pasaran Malaysia, Dolphin juga dihadirkan dengan dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range. Ia ditawarkan dengan harga bermula RM99,900 bagi Dynamic Standard Range, manakala model spesifikasi penuh Premium Extended Range pula berharga dari RM124,900.

    Dolphin ini memiliki dimensi berukuran 4,290 mm panjang, 1,770 mm lebar, 1,570 mm tinggi dengan jarak roda 2,700 mm. Sebagai perbandingan di dalam segmen hatchback, Honda City Hatchback pula berukuran 4,345 mm panjang, 1,748 mm lebar, 1,488 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,600 mm. Menjadikannya lebih panjang berbanding Dolphin. Manakala jarak kelegaan tanah bagi Dolphin ialah 130 mm.

    Kedua-dua varian diberikan motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan. Model asas Dynamic Standard Range diberikan kuasa hingga 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan tork 180 Nm. Ia membolehkan varian ini dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini juga menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.9 kWh yang berkeupayaan memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.

    Bagi pengecasannya pula, Dynamic Standard Range boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2) dengan kadar maksimum sehingga 60 kW.

    Manakala untuk Premium Extended Range pula, ia menerima kapasiti bateri yang lebih besar dengan kapasiti tenaga 60.48 kWh dan ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km. dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 310 Nm, sekaligus membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam tujuh saat.

    Varian tertinggi ini juga menerima pengecas pantas yang sama dengan Dynamic Standard dan juga pengecas pantas DC (CCS2) dengan kadar maksimum sehingga 80 kW. Dengan menggunakan pengecas pantas DC, status pengecasan pada tahap 30%-80% dapat dilakukan dalam 30 minit. Manakala sokongan V2L adalah standard.

    Untuk sistem suspensi, kedua-dua varian diberikan topang MacPherson untuk bahagian hadapan, manakala untuk belakang pula, Dynamic Standard Range menerima palang torsion dan Multi-link untuk Premium Extended Range. Bagi sistem brek, kedua-duanya menerima cakera ventilated untuk hadapan dan cakera di belakang.

    Bagi luarannya, Dolphin nampak sedikit ringkas di bahagian hadapannya, namun kelihata lebih bergaya pada bahagian belakangnya kerana penampilan jaluran lampu LED yang mempunyai paten tersendiri. Kedua-dua varian dilengkapi dengan ciri standard termasuk lampu utama LED dengan fungsi Follow Me Home dan bantuan lampu tinggi, lampu nyalaan siang LED dan lampu belakang LED. Dynamic Standard Range diberikan roda aloi 16-inci yang dibaluti tayar profil 195/60 R16, manakala Premium Extended Range pula dengan roda aloi 17-inci dengan tayar profil 205/50 R17.

    Begitu juga dengan rekaan bagi bahagian kabinnya, masih kekal ringkas dan tidak sarat dengan ciri kelengkapan dan tidak juga menampilkan rekaan yang futuristik. Ciri standard yang diberikan termasuklah roda stereng tiga-jejari, tempat duduk balutan kulit sintetik dengan larasan manual enam-cara bagi tempat duduk pemandu untuk varian rendah dan automatik bagi model spesifikasi penuh.

    BYD Dolphin 2023 kini di Malaysia – 44.9 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 490 km; dari RM99,900

    Selain itu, ia juga diberikan sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, pendingin hawa automatik, panel instrumen digital lima-inci, cermin pandang belakang dengan fungsi kelam secara manual dan penapis udara PM2.5. Walau bagaimana pun, Premium Extended Range menerima pengecas tanpa wayar untuk telefon pintar, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan bumbung kaca panoramik sebagai ciri tambahan.

    Untuk hiburan pula, kedua-dua varian diberikan skrin sesentuh pintar boleh pusing 12.8-inci, enam pembesar suara, navigasi satelit, sokongan Apple CarPlay, bantuan suara dan dua unit port USB (type A + type C) untuk konsol tengah dan dua unit lagi di belakang.

    Bagi aspek keselamatan, kedua-dua varian menerima enam beg udara, cagak Isofix, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem brek pintar, ABS, EBD, sistem brek parkir elektronik, sistem kawalan cengkaman, kawalan kestabilan elektronik (ESC), amaran membuka pintu, paparan pandangan 360-darjah, penderia parkir ultrasonic untuk hadapan (dua unit) dan belakang (tiga unit).

    Bukan itu sahaja, ia juga diberikan sistem keselamatan aktif seperti kawalan kelajuan adaptif (ACC), brek autonomous kecemasan (AEB), peninjau titik buta (BSD), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran dan penghindaran penukaran lorong (LCW), sokongan kekal lorong (LKS), amaran pelanggaran hadapan (FCW) dan bantuan kekal lorong kecemasan (ELKA).

    Untuk warna luaran dan dalaman pula, Dynamic Standard Range diberikan dua pilihan iaitu Urban Grey (kelabu + hitam untuk kabin) dan Sand White (coklat + hitam untuk kabin). Manakala Premium Extended Range diberikan tiga pilihan warna iaitu Atlantis Grey dengan padanan Delan Black (kelabu + hitam untuk kabin), Surf Blue dengan Urban Grey (biru + hitam untuk bumbung) dan Ski White dengan Urban Grey (kelabu + hitam untuk kabin). Malahan rekaan dan warna rim juga berbeza mengikut warna luaran.

    Hatchback EV ini didatangkan bersama waranti selama enam-tahun atau 150,000 km, dengan waranti bateri pula selama lapan-tahun atau 160,000 km. Kami ulang sekali lagi, ia ditawarkan dengan harga bermula RM99,900 bagi Dynamic Standard Range, manakala model spesifikasi penuh Premium Extended Range pula berharga dari RM124,900.

    Bagi yang berminat untuk melihat Dolphin 2023 secara lebih dekat (pastinya juga bersama Atto 3), anda boleh kunjungi acara BYD Ocean Series anjuran BYD SDM pada 28 hingga 30 Julai ini bertempat di kawasan parkir terbuka di pusat membeli-belah One Utama, Petaling Jaya.

    GALERI: BYD Dolphin Dynamic Standard Range

    GALERI: BYD Dolphin Premium Extended Range

     
     
  • Lubang mendap di Lebuhraya Karak sudah dibaiki – laluan ke Kuantan dibuka malam tadi, arah KL pagi ini

    Lubang mendap di Lebuhraya Karak sudah dibaiki – laluan ke Kuantan dibuka malam tadi, arah KL pagi ini

    Ini kemaskini rasmi untuk pembaikkan lubang besar yang terjadi di KM 66.1 Lebuhraya KL-Karak akibat mendapan tanah. Pengendali lebuhraya tersebut iaitu Anih Berhad telah membuat pengumuman sekitar pukul 11.30 malam semalam menyatakan bahawa laluan dari Kuala Lumpur ke Kuantan kini sudahpun dibuka semula.

    Walau bagaimanapun, Anih menambah “bagi pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur masih perlu menggunakan laluan alternatif buat masa ini.”

    Manakala menerusi kemaskini yang dibuat pada akaun Facebook Kementerian Kerja Raya pada pukul 11 malam semalam, laluan arah timur menuju ke Kuantan dijangka akan dibuka semula pada tengah malam tadi, sementara laluan arah barat menuju ke Kuala Lumpur dijangka dibuka pada pukul 7 pagi ini. Walau bagaimanapun sehingga pukul 9.30 pagi ini masih belum ada pengesahan dari Anih berkenaan pembukaan semula laluan arah barat berkenaan.

    Foto di bawah telah disiarkan dalam hantaran Kementerian Kerja Raya, dan dapat dilihat lubang mendap tersebut telah dikambus dengan konkrit, dan kemudian disudahkan dengan turapan tar. Berdasarkan laporan dari Malaysia Rail Link (MRL), lubang mendap yang terjadi pada malam 25 Julai dengan diameter hampir 10 meter itu adalah disebabkan Terowong 2 Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang runtuh. Sehingga kini tiada kemalangan jiwa dilaporkan susulan insiden tersebut.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2024 — gaya Beast Mode, enjin 4N16 2.4L turbodiesel 204 PS/470 Nm, lebih premium

    Mitsubishi Triton 2024 — gaya Beast Mode, enjin 4N16 2.4L turbodiesel 204 PS/470 Nm, lebih premium

    Mitsubishi hari menampilkan buat pertama kali untuk peringkat global model terbaru generasi ke-enam trak pikap Triton 2024 di Bangkok, Thailand. Selepas sembilan tahun dengan model ketika ini berada dalam pasaran, akhirnya pengeluar Jepun berkenaan memperkenalkan sebuah model yang serba baru luar dan dalam, yang meletakkan Triton dalam tahapnya yang tersendiri, sekali lagi.

    Dari segi penggayaan, Mitsubishi menggelarnya sebagai Beast Mode: Triton baru ini tampil lebih tegap, besar dan menonjol berbanding model lamanya. Ini dapat dilihat dari wajah depannya, yang walaupun masih kekal dengan sentuhan Dynamic Shield, ia lebih canggih dengan rekaan gril besar dan lampu LED untuk lampu utama dan juga DRL (yang jalurnya terletak atas sekali).

    Dari sisi juga Triton nampak lebih maskulin dengan garis badan lurus di depan dan belakang badannya. Lengkung bahagian tayar juga tampil maskular dan bersegi, tiada lagi lengkung bulat seperti selalu. Lebih penting, Triton 2024 adalah trak pikap yang lebih besar — jarak antara roda misalnya diberikan pertambahan 130 mm berbanding yang lama. Ini sekaligus memberikan kelebihan keselesaan di dalam.

    Untuk ruang kabin, ia terasa lebih premium dengan semua permukaan rekaan dan kelengkapan yang ada. Skrin besar di tengah memudahkan kendalian sistem infotainmen, begitu juga dengan suis kawalan pendingin di bawahnya, semua hadir dengan kejelasan dan mudah untuk dioperasi.

    Dengan kabin lebih luas, Mitsubishi juga yakin yang trak pikap ini lebih selesa untuk penumpang, serta memberikan pemanduan dengan prestasi yang juga lebih mengujakan yang pernah ada untuk sebuah trak pikap. Selain itu, di dewan pelancarannya di Bangkok juga, Triton baru ini ditampilkan dalam versi atau aplikasi fungsi yang berbeza. Ada model standardnya, ada juga unit yang telah dimodifikasi untuk keperluan komersial dan ada juga yang untuk tujuan kosmetik yang ranggi. Tak ketinggalan, model versi sebenar untuk tujuan rali musim akan datang.

    Untuk pasaran Malaysia, model ini dijangka akan diperkenalkan sebelum hujung tahun hadapan. Apa pandangan anda tentang model ini? Cukup banyak pembaharuan yang penting dan diperlukan?

     
     
  • Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 27 Julai-2 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Bagi minggu bertarikh 27 Julai hingga 2 Ogos 2023, Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Mitsubishi Delica D:5 Ralliart – MPV lasak untuk pusat operasi bergerak pasukan Ralliart di AXCR 2023!

    Mitsubishi Delica D:5 Ralliart – MPV lasak untuk pusat operasi bergerak pasukan Ralliart di AXCR 2023!

    Apa yang membuatkan satu-satu pasukan lumba itu cool bukan hanya jentera lumba dan juga pemandu yang hebat, kadang-kala ia turut disebabkan oleh kenderaan sokongan yang dibawa.

    Begitu juga dengan pasukan Mitsubishi Ralliart yang akan bertanding di Asia Cross Country Rally 2023 bulan hadapan – pasukan itu bukan hanya boleh berbangga dengan jentera rali serba baharu yang diasaskan dari Mitsubishi Triton 2024 dan juga barisan pemandu rali antara yang terhebat di Asia, malah mereka turut akan turun dengan ‘pusat operasi bergerak’ menggunakan MPV Mitsubish Delica D:5 yang diubahsuai!

    Menurut Mitsubishi dalam kenyataan yang dikeluarkan, pengarah pasukan yang juga bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka bersama pasukan jurutera serta kru pasukan tersebut akan mengembara bersama sepanjang rali berkenaan menggunakan MPV ini.

    Mitsubishi Delica D:5 Ralliart – MPV lasak untuk pusat operasi bergerak pasukan Ralliart di AXCR 2023!

    Seperti yang disebut tadi, MPV ini akan berperanan sebagai ‘pusat operasi bergerak’ untuk segala kerja-kerja termasuk menganalisa keadaan perlumbaan, merancang strategi sehingga memberikan sokongan teknikal di service park. Selain itu, versi istimewa ini juga dihasilkan sempena ulangtahun ke-55 Delica, yang sebelum ini pernah hadir ke pasaran Malaysia ketika ia masih dalam bentuk van.

    Mitsubishi Delica D:5 ini tidak ditawarkan di pasaran Thailand, jadi ia mungkin dibawa terus dari Jepun. Dalam spesifikasi JDM, Delica D:5 hanya ditawarkan dengan satu pilihan enjin iaitu unit 2.2 liter turbodiesel DI-D empat silinder berkuasa 170 hp dan tork maksima 392 Nm.

    Kuasa berkenaan dialirkan ke kotak gear lapan kelajuan automatik, dan bagi memberikan kebolehan off-road sebenar kepada MPV ini, ia dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang diberikan tiga mod iaitu 2WD, 4WD dan Lock seperti sebuah SUV yang direka untuk kegunaan lasak.

    Untuk mempertingkatkan kebolehan off-road, Delica D:5 Ralliart ini diberikan set suspensi lebih tinggi dari JAOS serta set roda sama seperti jentera rali Triton T1 2023 yang berlumba iaitu rim aluminium aloi Work Crag bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.

    Ia juga diberikan pelbagai kelengkapan kembara off-road yang lain termasuk rak bumbung yang lengkap dengan enam lampu sorot, tangga pada pintu tailgate belakang untuk akses ke rak bumbung dan lampu tambahan pada bahagian atas cermin depan.

    Set mud-flap dan juga kemasan overfender diberikan pada setiap ruang roda. Rupa Delica D:5 ini dilengkapkan dengan grafik badan merah-hitam Ralliart yang seiras dengan jentera rali pasukan tersebut.

    GALERI: Mitsubishi Delica D:5 di Tokyo Motor Show 2019

    GALERI: Mitsubishi Triton Group T1 generasi baharu untuk AXCR 2023

     
     
  • WCE: Jajaran Seksyen 6 dijangka siap sepenuhnya Oktober ini – Bukit Raja/Kapar-Assam Jawa, 21.8 km

    WCE: Jajaran Seksyen 6 dijangka siap sepenuhnya Oktober ini – Bukit Raja/Kapar-Assam Jawa, 21.8 km

    Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi mengesahkan Seksyen 6 bagi Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini.

    Seksyen 6 ini bermula dari Persimpangan Bertingkat Bandar Bukit Raja (Utara)/Kapar ke Persimpangan Bertingkat Assam Jawa (sambungan terus ke penghujung Lebuhraya LATAR) . Ia melibatkan jajaran sepanjang 21.8 kilometer.

    “Keseluruhan pembinaan lebuhraya WCE buat masa ini telah mencapai kemajuan 88%. Pembinaan lebuhraya ini dijangka dapat memberikan impak positif yang signifikan terhadap kemajuan ekonomi dan komuniti setempat.

    “Saya berharap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi WCE dapat memastikan pembinaan siap mengikut jadual dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menangani sebarang masalah yang timbul agar kemudahan infrastruktur penting ini dapat dinikmati segera oleh pengguna lebuh raya sebagai pilihan alternatif terutama di musim perayaan dan hujung minggu,” kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    WCE: Jajaran Seksyen 6 dijangka siap sepenuhnya Oktober ini – Bukit Raja/Kapar-Assam Jawa, 21.8 km

    Beliau berkata demikian selepas meninjau kemajuan kerja-kerja pembinaan Seksyen 6 di Plaza Tol Assam Jawa, Kuala Selangor, hari ini.

    Tambahnya, projek pembinaan WCE mengalami kelewatan disebabkan beberapa faktor termasuklah proses pengambilan tanah dan sebagainya. Berkenaan dengan sistem kutipan tol bagi Seksyen 6 ini, beliau berkata, ia akan diumumkan kelak. Namun, beliau menjelaskan, plaza tol di sepanjang lebuhraya ini juga akan bersedia untuk melaksanakan sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF).

    Jajaran Seksyen 6 ini dibina menggunakan standard R6 dengan dua lorong dua hala yang dijangka akan dapat mengubah landskap pengangkutan di kawasan tersebut dengan penjimatan masa perjalanan antara bandar-bandar utama sekitar Klang, Shah Alam, Puncak Alam dan Kuala Selangor.

    WCE: Jajaran Seksyen 6 dijangka siap sepenuhnya Oktober ini – Bukit Raja/Kapar-Assam Jawa, 21.8 km

    “Dengan adanya jajaran Seksyen 6 ini, ia dapat memendekkan masa perjalanan dari Klang ke Kuala Selangor/Ijok sehingga 30 minit,” tambahnya lagi.

    Ia juga dijangka memberi manfaat besar dalam merancakkan industri pelancongan di kawasan ini serta membantu menarik lebih ramai pelancong ke destinasi pelancongan seperti Kuala Selangor, Jeram, Bandar Warisan Batu Arang, Sky Mirror serta Taman Kelip-Kelip, Kampung Kuantan.

    Manfaat Lebuhraya WCE ini juga akan dirasai oleh usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) serta peniaga tempatan sebagai jaringan hubungan pengangkutan yang lancar, aktiviti perniagaan akan menjadi lebih mudah dan dapat meningkatkan jualan serta keuntungan perniagaan selari dengan pertambahan pengunjung ke kawasan tersebut, sekaligus dapat menambah peluang pekerjaan.

     
     
  • Lebuhraya KL-Karak dijangka dibuka 7 malam ini – runtuhan terowong 2 ECRL jadi punca tanah mendap

    Lebuhraya KL-Karak dijangka dibuka 7 malam ini – runtuhan terowong 2 ECRL jadi punca tanah mendap

    Pagi tadi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi telah melawat lokasi tanah mendap di KM66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (Karak), berhampiran Plaza Tol Bentong. Mwnerusi tinjauan tersebut, beliau berpuas hati dengan tindakan pantas yang diambil oleh pihak konsesi lebuhraya berkenaan, ANIH Berhad, dalam membaikpulih kerosakan berkenaan.

    Beliau turut berkata, laluan berkenaan dijangka dibuka semula kepada pengguna pada jam 7 malam ini, namun tertakluk kepada penilaian akhir pihak jurutera Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH sendiri.

    Menurut laporan awal pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tanah mendap di KLK itu berpunca daripada tuntuhan terowong 2 ECRL (Tunnel 2). Tanah mendap seluas 9.5 meter lebar dan 10 meter panjang itu telah berlaku di atas permukaan terowong iaitu di laluan arah timur KLK yang berada 13 meter di atas terowong berkenaan.

    Lebuhraya KL-Karak dijangka dibuka 7 malam ini – runtuhan terowong 2 ECRL jadi punca tanah mendap

    “Pihak kontraktor telah pun mengambil tindakan dengan menimbus kawasan mendapan dengan konkrit sejak malam tadi. Kerja-kerja turapan pula akan dimulakan selepas konkrit keras.

    “Bagi langkah pembaikan jangka panjang, satu siasatan menyeluruh akan dilaksanakan oleh kementerian menerusi Agensi Lembaga Lebuhraya Malaysia dengan kerjasama pihak terlibat. Pemantauan berterusan turut dilaksanakn bagi mengesan jika ada pergerakan atau kegagalan bawah tanah di lokasi kejadian,” katanya,

    Kejadian mendapan tanah di lokasi berkenaan berlaku ira-kira jam 8.30 malam tadi yang telah menyebabkan penutupan kedua-dua arah lebuhraya berkenaan. Namun kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa.

    Lebuhraya KL-Karak dijangka dibuka 7 malam ini – runtuhan terowong 2 ECRL jadi punca tanah mendap

    Sepanjang penutupan laluan berkenaan, semua pengguna yang ingin ke Kuala Lumpur dari Kuantan diarahkan keluar ke Persimpangan Bentong Timur dan masuk semula ke Persimpangan Bentong Barat. Manakala bagi yang datang dari Kuala Lumpur dan ingin ke arah Kuantan pula, diminta keluar ke Persimpangan Bentong Barat dan masuk semula ke Persimpangan Bentong Timur. Pengguna juga akan dilencongkan ke persimpangan Central Spine Road (CSR).

    Bagi pengguna yang datang dari arah Pantai Timur dan menggunakan CSR, boleh meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. Untuk pengguna yang ke Gua Musang perlu keluar ke Bentong Barat dan masuk semula melalui persimpangan CSR.

     
     
  • Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

    Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

    Serentak dengan pendedahan sulung peringkat global bagi model generasi baharu Mitsubishi Triton di Thailand hari ini, sayap perlumbaannya iaitu Mitsubishi Ralliart turut memperkenalkan secara rasmi jentera rali baharu pasukan tersebut yang diasaskan dari model produksi Triton 2024 berkenaan, untuk perlumbaan Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun ini yang akan berlangsung bulan hadapan.

    Seperti Triton pasukan Ralliart yang menjuarai AXCR tahun lalu, jentera rali generasi baharu ini turut dibina berdasarkan spesifikasi FIA Group T1 bagi melayakkannya bertanding dalam perlumbaan kembara rentas negara tersebut. Jadi bermakna ia masih berkongsi sejumlah besar komponen dan peralatan yang sama seperti model produksi, dan dibekalkan dengan beberapa peralatan perlumbaan.

    Model generasi baharu ini dipadankan dengan enjin turbodiesel 4N16 2.4 liter DOHC yang menjana 204 PS dan tork maksima 470 Nm. Enjin berkenaan telah dibina semula oleh HKS, tetapi sama seperti Triton Group T1 2022, enjin tersebut hanya diberikan sentuhan blueprinting bagi memberikan respon lebih baik serta menampilkan jumlah kuasa yang sama seperti versi produksi sebenar.

    Penutup hud hadapan, sepasang pintu belakang dan juga bed kargo belakang jentera rali ini diperbuat dari gentian karbon. Ia turut dipasang dengan unit snorkel bagi membolehkan ia ‘menyelam’ merentasi sungai, manakala bed belakang diberikan sepasang tayar gantian dan unit winch elektrik.

    Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

    Pada sebelah dalam ia turut dilengkapi dengan rollcage, tempat duduk bucket Bride bersama tali pinggang keselamatan, pemadam api dan juga pelbagi kelengkapan keselamatan perlumbaan lain.

    Menurut Mitsubishi, walaupun saiz model generasi baharu ini lebih besar, dengan pelbagai ubahsuai komponen yang dibuat membolehkan beratnya lebih kurang sama dengan jentera rali Triton AXCR tahun lalu.

    Selain itu Triton 2023 Group T1 ini juga menerima unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang, set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan, set rim aluminium aloi dari Work bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.

    Pasukan Mitsubishi Ralliart sudahpun menjalankan ujian ketahanan terhadap trak pikap tersebur dari 19 hingga 23 Jun lalu. Ujian yang dibuat di laluan off-road berhampiran Taman Negara Khao Yai, Thailand tersebut menghidangkan suasana dan keadaan yang menyerupai laluan yang akan digunakan di perlumbaan sebenar AXCR nanti.

    Dalam ujian selama lima hari serta dengan jarak 800 km berkenaan, bukan hanya ketahanannya diuji, malah pasukan Mitsubishi Ralliart turut dapat melakukan talaan muktamad yang akan digunakan dalam perlumbaan sebenar kelak.

    Seperti tahun lalu, pasukan Mitsubish Ralliart untuk AXCR 2023 diketuai oleh pengarahnya iaitu bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka. Manakala tugas prinsipal pasukan dipikul oleh Chayut Yangpichit dari Tant Sport Thailand. Pembentukan pasukan juga masih sama di mana pasukan tersebut dimiliki oleh Tant Sport Thailand, dan bantuan teknikal diberikan oleh jurutera dari Mitsubishi Motors Japan.

    Bagi barisan pemandu, juara AXCR 2022 Chayapon Yotha dari Thailand masih akan memandu untuk pasukan Mitsubishi Ralliart bagi edisi AXCR tahun ini, dibantu oleh juruarahnya juga dari Thailand iaitu Peerapong Sombutwong. Turut kekal adalah pemandu rali sensasi dari Indonesia iaitu Rifat Sungkar yang akan memandu sebuah lagi Triton T1 untuk memburu kejuaraan AXCR 2023.

    Rifat sekali lagi akan dibantu juruarah dari Thailand Chupong Chaiwan. Tahun lalu Rifat menamatkan AXCR 2022 dikedudukan kelima setelah berhadapan beberapa cabaran getir termasuk tayar Triton yang dipandunya pecah pada SS kedua, dan turut menyebabkan kerosakan pada casis.

    Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

    Manakala Sakchai Hantrakul dari Thailand yang memandu Triton T1 ketiga pasukan Mitsubishi Ralliart tahun lalu telah digugurkan, dan digantikan dengan pemandu Jepun, Katsuhiko Taguchi. Berumur 51 tahun, Katsu Taguchi merupakan pemandu berpengalaman dan telah dinobatkan sebagai juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) untuk musim 1999 dan 2010, serta juara kategori Group N di Jepun pada 2007.

    Taguchi juga sangat berpengalaman dalam laluan SS di Asia Tenggara kerana selain memandu untuk pasukan rasmi Mitsubishi Ralliart, dia juga pernah memandu Proton Wira 4WD Evo III untuk pasukan Proton PERT dalam Kejohanan Rali Malaysia serta rali-rali antarabangsa lain pada era 90’an.

    Apa yang menarik lagi, pasukan Mitsubishi Ralliart tahun ini juga dilengkapi dengan ‘pejabat bergerak’ menggunakan MPV Mitsubishi Delica D:5. Menurut Mitsubishi, Masuoka-san dan juga pasukan jurutera serta kru pasukan tersebut akan mengembara bersama sepanjang rali berkenaan menggunakan MPV itu.

    Mitsubishi Triton Group T1 untuk Asia Cross County Rally 2023 didedahkan – bakal juara lagi tahun ini?

    Segala kerja-kerja termasuk menganalisa keadaan perlumbaan, merancang strategi sehingga memberikan sokongan teknikal di service park akan dibuat di dalam MPV yang mempunyai kebolehan merentas laluan lasak tersebut. Lebih perincian berkenaan Mitsubishi Delica D:5 Ralliart ini pada PAUTAN INI.

    “Kami sangat teruja kerana dapat bertanding dengan Triton serba baharu, yang telah direka bentuk semula sepenuhnya dan menampilkan peningkatan ketara untuk setiap aspek,” kata Hiroshi Masuoka.

    “Jentera rali Triton ini telah menjalani ujian ketahanan sepanjang lebih 2,000 km di Jepun dan Thailand tanpa masalah besar, dan kami telah mengesahkan bahawa ia memberikan prestasi yang lebih baik daripada model tahun lepas dalam setiap peringkat, dari peringkat laluan atas permukaan tanah berkelajuan tinggi sehingga permukaan berlumpur kelajuan rendah.

    “Kami akan sertai dengan tiga kereta rali, setiap satunya bersaing untuk merebut kejuaraan keseluruhan, dan kami mahu sekali lagi bergelar juara dan kekal di atas podium untuk kemenangan berturut-turut,” tambah Masuoka lagi.

    AXCR 2023 akan bermula pada 13 Ogos sehingga 19 Ogos nanti. Berbanding tahun lalu yang menyajikan laluan sekitar 1,700 km, tahun ini semua peserta harus menghabiskan pengembaraan dalam jarak sejauh 2,000 km.

    Sebanyak enam peringkat laluan perlu ditempuhi oleh kesemua pelumba yang bermula di Pattaya, Thailand, dan akan merentas Pachinburi, Surin, Ubonratchani seterusnya menuju ke sempadan Laos. Dua peringkat lagi akan dilangsungkan di Laos dan perlumbaan akan berakhir di Pakse juga di Laos.

    GALERI: Sesi ujian jentera rali Mitsubishi Triton Group T1 generasi baharu untuk AXCR 2023

     
     
  • Honda Genio terima penampilan baru di Indonesia

    Honda Genio terima penampilan baru di Indonesia

    Skuter popular di negara jiran, iaitu Honda Genio telah diberikan penampilan baru untuk model tahun 2023. Ia merangkumi tiga warna baru untuk varian CBS-ISS dan tiga lagi warna serta grafik baru untuk varian CBS. Di negara itu, Genio dijual pada harga bermula 19.1 juta Rupiah atau bersamaan RM5,797.

    Pembaharuan yang diberikan tahun ini cuma merangkumi warna dan grafik sahaja, sementara bahagian lain semuanya masih lagi sama. Genio dipacu oleh enjin satu silinder SOHC 110 cc, dengan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan kuasa maksimum 9.0 PS pada 7,500 rpm dan tork 9.3 Nm pada 5,500 rpm.

    Dilengkapi dengan brek cakera di hadapan dan dram di belakang, Genio tidak masih tidak dilengkapi ABS, tetapi menggunakan sistem Combined Brake System (CBS) termasuk untuk varian permulaan. Varian yang lebih tinggi pula mendapat sistem Idling Stop System (ISS) yang boleh membantu penggunaan bahan api.

    Datang dengan rim 12 inci hadapan dan belakang, dibalut tayar masing-masing bersaiz 100/90 dan 110/90, Genio menawarkan tunggangan yang lincah, bersama kemudahan seperti ruang simpanan bawah tempat duduk serta soket pengecas di poket hadapan.

    Skuter ini mencatat berat keseluruhan 93 kg, dan dilengkapi fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak di belakang, lampu utama LED, tangki bahan api 4.2 liter serta panel meter digital dengan penunjuk Eco.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025