Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Touch ‘n Go eWallet kini sediakan liputan bayaran parkir awam lengkap di Kuala Lumpur dan Selangor

    Touch ‘n Go eWallet kini sediakan liputan bayaran parkir awam lengkap di Kuala Lumpur dan Selangor

    Touch ‘n Go (TnG) mengumumkan orang ramai kini boleh menggunakan eWallet untuk membayar parkir awam tepi jalan di lebih banyak kawasan dengan penambahan Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Seremban (Nilai) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya kepada senarai majlis sedia ada, menjadikan jumlah keseluruhannya 19 majlis.

    Syarikat itu memberitahu, ini menjadikan TnG eWallet sebagai dompet digital pertama di Malaysia yang menawarkan liputan lengkap untuk letak kereta awam di Kuala Lumpur dan Selangor. Majlis perbandaran lain yang menerima bayaran menggunakan TnG eWallet adalah di Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perak and Putrajaya. Senarai majlisnya adalah seperti berikut:

    • Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
    • Majlis Bandaraya Subang Jaya
    • Majlis Perbandaran Kota Bharu
    • Majlis Perbandaran Kota Bharu: Pasir Tumboh
    • Majlis Perbandaran Kuala Langat
    • Majlis Bandaraya Shah Alam
    • Majlis Bandaraya Kuala Terengganu
    • Majlis Daerah Machang
    • Majlis Perbandaran Sepang
    • Majlis Perbandaran Kajang
    • Majlis Perbandaran Kuala Selangor
    • Majlis Perbandaran Selayang
    • Majlis Perbandaran Teluk Intan
    • Perbadanan Putrajaya
    • Majlis Bandaraya Petaling Jaya
    • Majlis Bandaraya Seremban
    • Majlis Bandaraya Seremban (Nilai)
    • Majlis Perbandaran Klang
    • Majlis Perbandaran Ampang Jaya

    Membuat bayaran parkir melalui TnG eWallet adalah mudah. Pengguna cuma perlu tekan pada ikon Parking di bawah senarai “Services” di laman utama, pilih “Pay For Parking Now” untuk meletakkan lokasi serta perincian kenderaan, dan kemudian buat pembayaran yang diperlukan.

     
     
  • Akaun IG Tesla Malaysia muncul, semakin hampir?

    Akaun IG Tesla Malaysia muncul, semakin hampir?

    Akaun Instagram Tesla Malaysia kini telah muncul melalui @teslamotorsmys, sekaligus memberi petunjuk kepada pelancaran di sini yang mungkin akan dilakukan dalam masa terdekat. Walaupun akaun berkenaan tidak ditandai “blue tick” untuk menunjukkannya sebuah akaun rasmi, satu daripada pengikutnya ialah @teslamotorssg, akaun Tesla Singapura, yang juga tidak ditandai dengan “blue tick”.

    Ramai di dalam industri mengandaikan pelancaran jualan di Malaysia jenama ini akan bermula hujung tahun nanti, tetapi jika ia berlangsung lebih awal daripda itu, ia menandakan betapa cepatnya syarikat berkenaan beroperasi dan membuat persiapan yang diperlukan. Berita terawal tentang pelancarannya di sini muncul apabila syarikat tempatan yang terlibat dinamakan semula pada Oktober 2022.

    Pad Mac 2023 pula, Menteri MITI Tengku Zafrul umumkan inisiatif BEV Global Leaders dan pemohon pertama yang diluluskan ialah Tesla Motors, yang dibenarkan untuk menjual kereta di Malaysia tanpa peraturan AP biasa.

    Sebagai sebahagian daripada usaha itu, Tesla Malaysia perlu memasang sekurang-kurangnya 50 unit pengecas pantas DC dengan kuasa pengecasan minimum 180 kW, dan sekurang-kurangnya 30% (15 unit) daripada pengecas ini perlu terbuka untuk kegunaan umum, termasuk EV dari jenama lain.

    Menjelang Mei 2023, komponen Tesla juga telah didaftarkan dengan SIRIM, dan Tesla Malaysia mengadakan hari pengambilan pekerja terbuka pada Jun lalu, dengan lebih 6,000 pemohon terlibat. Kami menjangkakan Tesla Malaysia akan menawarkan Model 3 dan Model Y seperti di pasaran ASEAN lain, yang merupakan model Tesla pemanduan sebelah kanan ketika ini.

     
     
  • Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023 di M’sia — tambahan kamera undur, skrin sentuh 7-inci; dari RM106k

    Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023 di M’sia — tambahan kamera undur, skrin sentuh 7-inci; dari RM106k

    Isuzu Malaysia kini memperkenalkan secara rasmi Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023 dengan kemaskini penawarannya. Ia juga melibatkan peningkatan harga sebanyak RM1,500: versi manual enam-kelajuan kini dijual pada harga RM105,599.20 atas jalan tidak termasuk insuran, manakala versi automatik dengan harga RM112,999.20.

    Antara tambahan utama yang diberikan ialah ciri kamera undur untuk memudahkan meletak kenderaan dan menjadikan trak pikap ini lebih selamat; kini semua varian Double Cab dilengkapi ciri berkenaan (Standard, Auto Plus, Premium dan X-Terrain). Selain itu, pemegang pintu dan ruang barangan belakang juga kini dalam warna badan.

    Kamera berkenaan memaparkan imej jelas di skrin sentuh tujuh-inci dalam kabin, yang menggantikan versi 2-DIN biasa sebelum ini. Sambungan Bluetooth dan sistem bunyi enam pembesar suara masih dikekalkan. Selain itu, kini juga terdapat dua slot USB di depan, Type A dan Type C, setiap satu.

    Isuzu D-Max 1.9L Standard 2023 di M’sia — tambahan kamera undur, skrin sentuh 7-inci; dari RM106k

    Selebihnya semua masih dikekalkan seperti varian Standard sebelumnya. Antaranya ciri lampu kabus depan, rim 17-inci serta kluster instrumen e-Lumex dengan paparan 4.2-inci, pendingin kawalan manual, kerusi balutan fabrik dan kerusi larasan manual.

    Ciri keselamatan pula terdiri daripada dua beg udara depan, ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kawalan menuruni curam, lampu isyarak kecemasan, sensor undur dan Isofix. Varian Standard manual menerima lampu depan reflektor halogen dan DRL biasa, manakala varian automatiknya datang dengan projektor bi-LED dan DRL LED.

    Enjin masih sama, unit RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder sebaris turbodiesel dengan janaan 150 PS pada 3,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 2,600 rpm. Ini digandingkan bersama transmisi manual atau automatik enam-kelajuan, serta sistem pacuan semua roda. Pilihan warna ada Valencia Orange, Biarritz Blue, Splash White, Mercury Silver dan Onyx Black, dan jamnan lima-tahun/150,000 km adalah standard.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2023 Group T1 untuk AXCR 2023 – model produksi belum lancar, versi rali hampir siap!

    Mitsubishi Triton 2023 Group T1 untuk AXCR 2023 – model produksi belum lancar, versi rali hampir siap!

    Selepas muncul juara dalam penampilan sulungnya di perlumbaan rali Asia Cross Country Rally (AXCR) tahun lalu, pasukan Mitsubishi Ralliart sekali lagi mengesahkan penyertaannya untuk AXCR edisi tahun ini. Seperti sebelum ini, pasukan tersebut diketuai oleh pengarahnya iaitu bekas juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka.

    Pembentukan pasukan juga masih sama di mana pasukan tersebut dimiliki oleh Tant Sport Thailand, dan bantuan teknikal diberikan oleh jurutera dari Mitsubishi Motors Japan. Namun jentera Triton T1 yang digunakan pada tahun lalu kini tidak lagi bertugas, tetapi digantikan dengan trak pikan Triton generasi baharu.

    Trak produksi berkenaan masih lagi belum didedahkan secara rasmi, dan hanya akan membuat kemunculan sulungnya pada 26 Julai ini. Jadi ini menunjukkan bahawa pembangunan trak produksi tersebut berjalan sekali dengan versi yang diubahsuai untuk perlumbaan ini.

    Mitsubishi Triton 2023 Group T1 untuk AXCR 2023 – model produksi belum lancar, versi rali hampir siap!

    Model generasi baharu ini menggunakan platform baharu sepenuhnya yang tidak sama dengan model sedia ada. Platform berkenaan diasaskan dari casis ladder frame yang digunakan pada Nissan Navara (sekutu Mitsubishi di bawah Pakatan Renault Nissan Mitsubishi) tetapi telah menerima kejuruteraan semula dari jenama tiga berlian berkenaan menggunakan kepakarannya dalam menghasilkan kenderaan off-road.

    Untuk berlumba dalam AXCR, model generasi baharu ini masih dibangunkan dengan undang-undang spesifikasi FIA Group T1 seperti model sebelumnya. Jadi bermakna ia masih berkongsi sejumlah besar komponen dan peralatan yang sama seperti model produksi, dan dibekalkan dengan beberapa peralatan perlumbaan.

    Mitsubishi masih belum mengumumkan spesifikasi enjin untuk Triton generasi baharu ini, namun untuk perlumbaan enjin tersebut dibangunkan bersama HKS. Bagi versi sebelum ini, enjin 2.4 liter DOHC MIVEC Turbodiesel yang digunakan untuk perlumbaan tersebut tidak menghasilkan sebarang kuasa tambahan, tetapi ia menerima sentuhan blueprinting dari HKS yang memberikan respon yang lebih baik.

    Selain itu Triton 2023 Group T1 ini juga menerima unit LSD dari Cusco pada gandar hadapan dan belakang, set penyerap hentak boleh laras dari Cusco bagi disesuaikan dengan laluan off-road sepanjang rali berkenaan, set rim aluminium aloi dari Work bersama tayar Yokohama Geolander M/T G003.

    Pasukan Mitsubishi Ralliart sudahpun menjalankan ujian ketahanan terhadap trak pikap tersebur dari 19 hingga 23 Jun lalu. Ujian yang dibuat di laluan off-road berhampiran Taman Negara Khao Yai, Thailand tersebut menghidangkan suasana dan keadaan yang menyerupai laluan yang akan digunakan di perlumbaan sebenar AXCR nanti.

    Dalam ujian selama lima hari serta dengan jarak 800 km berkenaan, bukan hanya ketahanannya diuji, malah pasukan Mitsubishi Ralliart turut dapat melakukan talaan muktamad yang akan digunakan dalam perlumbaan sebenar kelak.

    “Diasaskan dari kekuatan, prestasi pengendalian, kestabilan di atas permukaan jalan yang lasak, dan keselesaan asal Triton serba baharu, ia ditambahbaik pada jentera rali sebenar. Selain itu, pengecas turbo turut telah ditambahbaik bagi meningkatkan respon untuk kesemua peringkat tahap rali dari rpm rendah hingga tinggi, menghasilkan jentera rali berkuasa yang mampu dikendali dalam apa jua keadaan jalan,” kata Hiroshi Masuoka.

    “Kami telah menjalankan ujian ketahanan dengan litar yang lebih sukar berbanding keadaan rali sebenar, tetapi jentera yang diuji mampu dipandu sekitar 800 km tanpa masalah besar, meyakinkan kami bahawa prestasinya adalah melangkaui jangkaan dan bakal memberikan gelaran juara untuk kali kedua berturut-turut,” tambah Masuoka-san lagi.

    AXCR 2023 akan bermula pada 13 Ogos sehingga 19 Ogos nanti. Berbanding tahun lalu yang menyajikan laluan sekitar 1,700 km, tahun ini semua peserta harus menghabiskan pengembaraan dalam jarak sejauh 2,000 km.

    Sebanyak enam peringkat laluan perlu ditempuhi oleh kesemua pelumba yang bermula di Pattaya, Thailand, dan akan merentas Pachinburi, Surin, Ubonratchani seterusnya menuju ke sempadan Laos. Dua peringkat lagi akan dilangsungkan di Laos dan perlumbaan akan berakhir di Pakse juga di Laos.

     
     
  • EMOS perkenal jaminan dua tahun tanpa had batuan bagi motosikal Kawasaki yang dipasarkan di Malaysia

    EMOS perkenal jaminan dua tahun tanpa had batuan bagi motosikal Kawasaki yang dipasarkan di Malaysia

    Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) selaku pengedar rasmi motosikal Modenas memperkenalkan jaminan dua tahun tanpa had batuan bagi semua motosikal Kawasaki dan Modenas yang dijenamakan semula (dari Kawasaki) yang didaftarkan bermula dari 1 Julai 2023.

    Program jaminan baru ini menggantikan jaminan dua tahun atau 20,000 km yang digunakan sebelum ini, dan ia masih mempunyai terma dan syarat yang sama seperti jaminan pengilang standard sebelum ini. Sebagai tambahan, pemilik juga boleh menikmati perkhidmatan bantuan 24 jam bersama jaminan ini.

    “Dengan menghapuskan sekatan jarak daripada jaminan sedia ada, pengguna kami akan dapat menikmati pengalaman tunggangan dengan bebas dan tenang. Program ini juga dibuat sebagai tanda keyakinan daripada Modenas kepada semua
    penggunanya di luar sana terhadap kualiti setiap produknya,” kata ketua pegawai eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

    Bagi yang mempunyai pertanyaan lanjut, anda boleh melayari laman web www.kawasaki.com.my, menghubungi talian bebas tol 1800-880-008 atau hantar WhatsApp ke +60195708135.

     
     
  • JPJ WPKL keluarkan 1,286 saman dalam ‘Ops Khas Motosikal’ – tiada lesen, cukai jalan kesalahan utama

    JPJ WPKL keluarkan 1,286 saman dalam ‘Ops Khas Motosikal’ – tiada lesen, cukai jalan kesalahan utama

    Sebanyak 1,286 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dalam ‘Ops Khas Motosikal’ yang dibuat bermula 27 Jun bersempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, timbalan pengarah JPJ WPKL, Erick Jusiang memberitahu bahawa kesalahan tiada lesen dan cukai jalan tempoh menjadi penyumbang utama, dengan masing-masing berjumlah 535 dan 237 notis.

    Dalam laporan yang disiarkan oleh Bernama, beliau turut dipertik berkata bahawa kesalahan lain yang terlibat adalah termasuk memandu tanpa insurans sah (204 notis), nombor plat tidak mengikut spesifikasi (535 notis) dan tiada cermin sisi (58 notis).

    Operasi ini turut melibatkan kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), menyaksikan 68 warga asing ditahan dan dua kes berkaitan dengan dadah.

     
     
  • Bekas pereka lagenda Volvo, Peter Horbury meninggal dunia di China pada usia 73 tahun minggu lalu

    Bekas pereka lagenda Volvo, Peter Horbury meninggal dunia di China pada usia 73 tahun minggu lalu

    Pereka automotif dari Britain, Peter Horbury dilaporkan meninggal dunia pada usia 73 tahun minggu lalu ketika melakukan lawatan kerja ke China.

    Horbury memulakan kerjayanya di Chrysler UK pada era 70’an, namun namanya memuncak ketika mengetuai studio rekaan Volvo bermula pada tahun 1991 dengan merubah rekaan ‘berkotak’ Volvo kepada rupa yang lebih dinamik dengan tema ReVolvolution.

    Kehadiran Horbury ke Volvo dilihat telah mengubah rekaan seperti pada model Volvo 850 kepada rekaan seperti pada S60 generasi pertama. Beliau juga merupakan individu yang bertanggungjawab menghasilkan model crossover dan SUV Volvo seperti model generasi pertama V70 XC dan juga XC90, serta model-model coupe Volvo seperti C70 dan C30.

    Selepas Volvo dimiliki oleh Geely, skop tugas Horbury bertambah besar dengan dilantik sebagai naib presiden rekaan global di Geely Auto Group, dan perlu mengetuai jaringan studio-studio rekaan Geely di seluruh dunia, termasuk di Shanghai, China; Gothenburg, Sweden; Barcelona, Spain; California, USA; Kuala Lumpur, Malaysia dan Coventry, England.

    Sentuhan Horbury dapat dilihat pada banyak model-model Geely termasuk SUV segmen-C Geely Boyue, yang selepas itu dijelmakan sebagai Proton X70.

    Namun pada 2021 Peter Horbury mengambil keputusan untuk ‘separa bersara’ dengan melepaskan jawatan berkenaan kepada bekas ketua pereka Bentley, Stefan Sielaff dan beliau hanya bertugas sebagai naib presiden rekaan Group Lotus, iaitu jenama kereta sport British yang juga kini bernaung di bawah Geely.

     
     
  • Prolintas agih daging korban kepada 600 keluarga asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2023

    Prolintas agih daging korban kepada 600 keluarga asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2023

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) hari ini menyumbang dan mengagihkan daging lembu kepada 600 keluarga asnaf dan kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar jajaran enam lebuh raya kendaliannya di Lembah Klang sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

    “PROLINTAS sentiasa prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Di kesempatan Aidiladha ini, kami
    berkongsi rezeki dengan mengagihkan daging ibadah korban kepada keluarga asnaf dan kurang
    berkemampuan seperti yang digalakkan dalam agama Islam,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah.

    Ini merupakan satu daripada inisiatif aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) berterusan syarikat di bawah teras komuniti bagi meringankan beban golongan memerlukan ketika musim perayaan ini. Agihan itu dijalankan secara berperingkat sepanjang Aidiladha dan hari-hari Tasyrik kepada 100 keluarga di Flat PKNS Kampung Baru, Kuala Lumpur berdekatan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur dan 100 keluarga dari PPR Taman Bukit Subang berhampiran Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).

    Prolintas agih daging korban kepada 600 keluarga asnaf sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2023

    “Kami telah bekerjasama dengan persatuan-persatuan penduduk bagi mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan untuk menerima agihan daging korban tersebut,” kata beliau lagi.

    Sementara itu, sumbangan sama juga diagihkan kepada 100 keluarga di Flat Taman Sri Lembayung Seksyen 25, Shah Alam berdekatan Lebuhraya Kemuning Shah-Alam (LKSA), 100 keluarga yang tinggal di Kampung Sungai Ramal Dalam, berhampiran Lebuhraya Kajang SILK, 100 keluarga dari Gugusan Semarak, Seksyen 4, Kota Damansara dekat Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) serta 100 lagi keluarga yang tinggal di PPR Desa Tun Razak, berdekatan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

     
     
  • Mercedes-Benz G500 Final Edition – G-Class bukan AMG terakhir dengan enjin V8, terhad 1,500 unit

    Mercedes-Benz G500 Final Edition – G-Class bukan AMG terakhir dengan enjin V8, terhad 1,500 unit

    Mercedes-Benz mengambil keputusan menghentikan penggunaan enjin V8 pada G500 dan mengeluarkan versi akhir yang dipanggil sebagai G500 Final Edition. Dikeluarkan terhad hanya 1,500 unit, model ini muncul 30 tahun selepas pengeluar Jerman itu menggunakan enjin V8 buat pertama kali pada G-Class.

    Secara mekanikal, enjin V8 4.0 liter twin turbo pada model Final Edition ini sama sahaja dengan enjin G500 biasa, menghasilkan kuasa 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan tork 610 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan, serta sistem pacuan semua roda.

    Antara sentuhan istimewa yang dibuat pada model Final Edition ini adalah termasuk rim AMG 20 inci yang datang dalam warna sama ada sama seperti warna badan atau hitam, bergantung kepada warna kereta – ada tiga pilihan iaitu Obsidian Black Metallic, Opalith White Magno dan Olive Magno.

    Bagi setiap warna, Mercedes-Benz akan mengeluarkan 500 unit G500 Final Edition, dan semuanya akan mempunyai tulisan serta logo ‘Final Edition’ pada pemegang pintu. Turut diberikan adalah pancaran logo G serta tulisan ‘Stronger Than Time’ pada cermin sisi, sementara penutup roda ganti dihias dengan kemasan krom. Menambah lagi ciri eksklusifnya, pembeli juga akan menerima kain pelindung kereta khas.

    Di dalam kenderaan ini anda akan menemui tulisan ‘Final Edition’ pada kemasan tepi pintu yang menyala, serta pemegang pintu. Kunci model ini juga dilekatkan dengan plak khas yang dibuat daripada syiling perak asli.

    Kelengkapan lain yang datang bersama model ini adalah pakej Superior Line, sistem bunyi Burmester, Active Multicontour Seat Package Plus serta pakej kulit penuh Manufaktur yang memberikan balutan kulit Nappa pada hampir semua bahagian termasuk ruang barangan dan lapik bumbung.

     
     
  • Ferrari SF90 XX Stradale dan Spider didedah – terhad hanya 1,398 unit, lebih berprestasi, kuasa 1,030 PS

    Ferrari SF90 XX Stradale dan Spider didedah – terhad hanya 1,398 unit, lebih berprestasi, kuasa 1,030 PS

    Ferrari mempunyai satu bahagian dipanggil sebagai Ferrari XX Programme, yang menghasilkan kereta khas untuk kegunaan litar seperti FXX-K Evo, FXX Evo dan 599XX. Kereta yang dikeluarkan melalui program ini bagaimanapun tidak boleh digunakan atas jalan biasa, dan hanya boleh dipandu atas litar sahaja.

    Ini bagaimanapun sudah berubah apabila SF90 XX Stradale dan SF90 XX Spider diperkenal, menjadi dua kereta pertama XX Programme yang boleh diguna atas jalan biasa. Mengambil asas daripada SF90 Stradale dan SF90 Spider sedia ada, kedua-dua model ini dijadikan lebih berkuasa, ringan dan aerodinamik untuk meningkatkan prestasinya.

    Seperti model keluaran istimewa Ferrari yang lain, SF90 XX akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu cuma 799 unit untuk Stradale dan 599 unit untuk Spider. Walaubagaimanapun, semasa berita ini ditulis, semua 1,398 unit sudah ditempah dan penghantaran kepada pelanggan akan bermula suku kedua tahun depan.

    Kereta yang dibeli oleh pelanggan yang bertuah ini akan menggunakan penggerak plug-in hybrid seperti SF90, yang terdiri daripada gabungan enjin V8 4.0 liter twin turbo dengan tiga motor elektrik. Untuk SF90 XX, enjin V8 ini mendapat kuasa yang lebih tinggi, iaitu 797 PS (786 hp atau 586 kW) dan tork 804 Nm, berbanding 780 PS/800 Nm pada SF90 biasa.

    Menurut Ferrari, peningkatan kuasa ini dapat dilakukan dengan membuat polishing pada laluan udara dan ekzos, piston baru, pembentukan kebuk pembakaran khas serta peningkatan nisbah mampatan. Sementara itu, motor elektriknya pula diberikan boost tambahan.

    Peningkatan utama lain pada bahagian penggerak adalah kotak gear klac berkembar lapan kelajuan yang sekarang datang dengan logik penukaran daripada Daytona SP3, manakala salur yang menyambungkan bahagian intake dengan kabin telah direka semula untuk memberikan bunyi yang lebih memuaskan.

    Melalui perubahan mekanikal ini, SF90 XX secara keseluruhannya mampu menghasilkan kuasa 1,030 PS (1,016 hp atau 747 kW) dan melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.3 saat. Laju maksimum bagaimanapun adalah lebih rendah berbanding SF90 biasa, menjadi 320 km/j disebabkan perubahan aerodinamik yang dibuat.

    Pada kelajuan 250 km/j, SF90 XX boleh memberikan daya tolak ke bawah (downforce) sebanyak 530 kg, jauh lebih tinggi berbanding 390 kg pada SF90 biasa. Kunci utamanya adalah pada sayap belakang baru, yang digabungkan bersama spoiler aktif asal SF90.

    Ferrari SF90 XX Stradale dan Spider didedah – terhad hanya 1,398 unit, lebih berprestasi, kuasa 1,030 PS

    Splitter hadapan juga adakah khas untuk model ini, dan ia dijadikan lebih besar untuk menghantar angin kepada bahagian bawah yang direka semula dengan diffuser lebih besar dan penjana vortex. Anda juga akan dapat melihat bukaan udara S pada bonet yang dapat menarik angin panas daripada radiator dan membantu meningkatkan daya tolak ke bawah sebanyak 20%.

    Demi mendapatkan dinamik kenderaan yang maksimum, pelbagai teknologi digunakan pada kereta ini, termasuk Ferrari Dynamic Enhancer 2.0 dan tambahan ABS Evo Controller daripada model 296 GTB. Sistem ini mempunyai tiga yaw sensor yang boleh membaca dinamik kenderaan secara lebih tepat dan menghantar data ke unit kawalan untuk sebarang campur tangan jika perlu. Brek yang lebih besar juga dipasang pada kenderaan ini.

    Demi mendapatkan rasa lebih seperti kereta lumba, bahagian kokpit mendapat barang-barang yang lebih ringkas dan banyak diperbuat daripada gentian karbon. Turut digunakan adalah Alcantara pada beberapa bahagian, manakala alas kaki pula dibuang terus. Tempat duduk juga menggunakan rangka gentian karbon, tetapi ia masih boleh dilaras.

    Secara keseluruhannya, SF90 XX Stradale mencatat berat 1,560 kg, manakala Spider lebih berat, iaitu 1,660 kg disebabkan mekanikal bumbungnya. Menurut Autocar, SF90 XX Stradale dijual pada harga bermula 770,000 euro (sekitar RM3.9 juta) manakala versi Spider dijual pada 850,000 euro (sekitar RM4.3 juta).

     
     
  • Jalan Alor di KL ditutup pada lalu lintas setiap hari dari 6 petang hingga 3 pagi mulai 1 Julai 2023 – DBKL

    Jalan Alor di KL ditutup pada lalu lintas setiap hari dari 6 petang hingga 3 pagi mulai 1 Julai 2023 – DBKL

    Jalan Alor yang menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong di Kuala Lumpur, akan ditutup pada lalu lintas setiap hari jam 6 petang hingga 3 pagi mulai 1 Julai ini. Malah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah meletakkan papan tanda peringatan di kawasan berkenaan.

    Ini bermakna sepanjang jalan yang popular dengan pelbagai port makan itu bakal menjadi lokasi membeli-belah untuk pejalan kaki pada setiap malam. Sebelum ini, terdapat satu lorong sempit untuk meletak kereta pada waktu malam bagi orang ramai yang menjamu selera di sepanjang Jalan Alor. Namun, kini lebih selamat kerana jalan terbabit bakal bebas dari laluan trafik.

    Walau bagaimana pun, untuk yang ingin ke Jalan Alor dengan memandu sendiri, anda boleh datang dari arah jalan sehala di sepanjang Jalan Changkat, dan terus ke Jalan Bukit Bintang untuk keluar ke kawasan itu. Manakala e-hailing boleh menurunkan penumpang di hujung Jalan Alor dan pelanggan boleh berjalan kaki sahaja untuk ke ‘port’ yang ditujui di sepanjang jalan terbabit.

     
     
  • PDRM tubuhkan Team Black Mamba bagi bantu aliran trafik dan kurangkan kesesakan sepanjang Aidiladha

    PDRM tubuhkan Team Black Mamba bagi bantu aliran trafik dan kurangkan kesesakan sepanjang Aidiladha

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah menubuhkan Team Black Mamba bagi membantu aliran trafik dan mengurangkan kesesakan sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidiladha ini, laporan Sinar Harian.

    Team Black Mamba ini sebenarnya dijenamakan semula bagi Team Task Force JSPT yang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Unit Risikan dan Operasi atau dikenali sebagai Skuad 42, menurut Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim.

    Di mana ia merupakan satu unit yang dilatih khas dan mempunyai kemahiran dalam menjalankan banyak tugas melibatkan pelbagai elemen dalam JSPT.

    “Team Black Mamba terdiri daripada dua pegawai kanan dan 22 anggota dengan menggunakan aset motosikal berkuasa tinggi. Antara tugas yang dijalankan adalah risikan tentang segala elemen yang melibatkan jenayah trafik, menjalankan operasi terancang, menjalankan tugas-tugas mengiring, membuat pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan.

    “Pengguna juga diingatkan supaya sentiasa menitik berat aspek keselamatan dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan dan mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain. Penguatkuasaan dan kekerapan pemantauan sekali gus memberikan tumpuan dalam usaha memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya lagi.

     
     
  • 19 lokasi di Lebuhraya PLUS jadi litar haram mat rempit – lebih 200 operasi membanteras sejak 2021

    19 lokasi di Lebuhraya PLUS jadi litar haram mat rempit – lebih 200 operasi membanteras sejak 2021

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengenalpasti sebanyak 19 laluan dan lokasi di Lebuhraya Utara-Selatan yang sering menjadi ‘port’ mat rempit untuk berlumba haram.

    Lokasi berkenaan membabitkan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Jambatan Pulau Pinang, Laluan Juru-Sungai Dua, Laluan Sungai Petani Selatan-Bertam, Laluan Pendang-Gurun, Laluan Alor Pongsu- Bandar Baharu dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH).

    Turut tersenarai laluan Senawang-Seremban, laluan Ayer Hitam-Machap, sekitar Hentian Sebelah Kulai (arah Selatan), laluan Skudai-Bukit Amber, Persimpangan Dato’ Onn-Persimpangan Pandan, Persimpangan Bukit Indah- Persimpangan Nusa Bayu, sekitar kawasan Bandar Pulai Jaya, laluan Bukit Raja-Shah Alam, laluan Sungai Besi- Bangi, laluan Nilai-Seremban, laluan Kuala Kangsar-Rawat & Rehat (R&R) Sungai Perak dan sekitar laluan Plaza Tol Ipoh Utara.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Malaysia Bhd Mohd Yusuf Abdul Aziz, pihaknya memandang serius aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di Lebuhraya PLUS, laporan Harian Metro.

    Jelasnya, PLUS dan agensi penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi penguatkuasaan berkaitan aktif menjalankan operasi membanteras aktiviti lumba haram dan samseng jalanan di kalangan penunggang motosikal membabitkan beberapa laluan utama di lebuh raya PLUS.

    “Pasukan Plus kini aktif menyertai operasi bersama dengan agensi penguatkuasaan. Ia membabitkan penyertaan anggota PLUSRonda serta kakitangan operasi dan keselamatan trafik yang bertugas di pejabat seksyen kami sepanjang Lebuhraya PLUS,” katanya.

    Secara purata, lebih 200 operasi bersama dijalankan sejak 2021 merangkumi operasi Op Bersepadu, Op Halangan, Op Lorong Kecemasan, Op Rempit dan sebagainya.

    “Daripada jumlah itu, 10 operasi bersama agensi penguatkuasaan dijalankan sejak Januari lalu sebagai usaha membanteras mat rempit, lumba haram dan samseng jalan di Lebuhraya PLUS.

    19 lokasi di Lebuhraya PLUS jadi litar haram mat rempit – lebih 200 operasi membanteras sejak 2021

    Sejak awal tahun, PLUS bersama agensi penguatkuasaan giat mengadakan operasi bersama membabitkan di Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Juru-Sungai Petani Selatan, Senawang-Seremban dan di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH),” tambahnya.

    Beliau turut berkata, PLUS komited dan akan terus berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan untuk mengadakan operasi membanteras aktiviti sedemikian dengan lebih kerap.

    “Langkah akan dilakukan secara berterusan demi memastikan keselamatan pengguna lebuh raya. Orang ramai yang melihat kegiatan samseng jalanan boleh berkongsi maklumat melalui talian PLUSLine 1800-88-0000 selain melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.

     
     
  • BYD Dolphin dilancar di Thailand 6 Julai — hingga 60.48 kWh, 490 km, 204 PS; Malaysia seterusnya?

    BYD Dolphin dilancar di Thailand 6 Julai — hingga 60.48 kWh, 490 km, 204 PS; Malaysia seterusnya?

    Harga jualan bagi BYD Dolphin di Thailand akan diumumkan minggu depan, 6 Julai sempena pelancaran rasminya. Serahan pula akan dimulakan dari 17 Julai, menurut laporan Headlightmag. Model EV berkenaan mula ditunjuk di sana ketika Bangkok International Motor Show, dan akan ditawarkan dalam dua varian.

    Pilihan paling asas ialah Standard Range yang menampilkan sebuah motor elektrik di depan yang membekalkan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dan 180 Nm tork: pecutan 0-100 km/j dalam masa 12.3 saat. Varian ini menggunakan bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) yang dibangunkan oleh BYD sendiri, dengan kapasiti tenaga 44.92 kWh — memberikan jarak 410 km dengan standard NEDC.

    Untuk pengecasan, Standard Range menyokong input maksimum 7 kW untuk AC, sementara untuk DC dengan 60 kW, disertakan sekali ciri vehicle-to-load (V2L) untuk menjadi sumber kuasa bagi peranti dan aksesori lain. Menurut laporan yang sama, varian Standard Range hadir dalam pilihan warna badan tunggal.

    BYD Dolphin dilancar di Thailand 6 Julai — hingga 60.48 kWh, 490 km, 204 PS; Malaysia seterusnya?

    Varian paling tinggi pula ialah Extended Range yang menerima dwi-warna badan serta kapasiti bateri yang lebih besar, 60.48 kWh. Ini memberikan jarak perjalanan sehingga 490 km, dengan motor elektrik yang lebih berkuasa yang membekalkan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan 310 Nm: 0-100 km/j dalam tujuh saat. Untuk pengecasan AC, ia dalam kadar yang sama dengan varian rendah, tetapi untuk DC kadarnya mampu menampung sehingga 80 kW — sokongan V2L adalah standard.

    Dari segi kelengkapan, Dolphin hadir dengan lampu utama LED adaptif, cermin sisi dengan pemanas, pilihan rim 16 atau 17-inci, kluster instrumen digital lima-inci, material kulit buatan, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 12.8-inci, sokongan Apple CarPlay, sistem tanpa kunci, pendingin automatik, bumbung kaca panoramik dan pengecas telefon tanpa wayar.

    Ciri keselamatan pula terdiri daripada sistem pasif biasa (ABS, kawalan cengkaman, ESC) dan disertai oleh ciri aktif seperti kawalan melayar adaptif, brek autonomous kecemasan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik belakang serta amaran dan penghindaran penukaran lorong.

    BYD Dolphin dilancar di Thailand 6 Julai — hingga 60.48 kWh, 490 km, 204 PS; Malaysia seterusnya?

    Dolphin juga pernah dipertontonkan di Malaysia Disember tahun lalu, dan dijangka akan dilancarkan di sini pada suku ketiga 2023. Di China, harga jualan Dolphin berada di bawah Atto 3 dan sebelum ini dijangka dijual sekitar 799,999 baht (sekitar RM105k) di Thailand. Atto 3 pula dijual 1.0999 juta baht (sekitar RM144k) di sana.

    Jangkaan harga paling menarik untuk Dolphin di Malaysia ialah RM100k, yang meletakkannya sebagai pesaing paling dekat Neta V, yang ketika ini menjadi model EV paling mampu milik di Malaysia dengan harga RM99,800.

     
     
  • JPJ eBid: Siri SJ dibuka bidaan mulai 1 Julai

    JPJ eBid: Siri SJ dibuka bidaan mulai 1 Julai

    Anda sedang mencari siri nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu yang bakal tiba di rumah anda? Ini ada satu lagi pilihan menarik. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan siri plat nombor pendaftaran, SJ, yang bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Sabah, SJ ini bakal dibuka bidaan pada 1 Julai 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 5 Julai. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 6 Julai 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025