Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Mazda CX-60 2023 dilancarkan di Filipina – 3.3T hibrid ringkas, 8AT, AWD; dari RM231k; bakal tiba di M’sia?

    Mazda CX-60 2023 dilancarkan di Filipina – 3.3T hibrid ringkas, 8AT, AWD; dari RM231k; bakal tiba di M’sia?

    Mazda CX-60 telah pun diperkenalkan di pasaran ASEAN buat pertama kalinya dan Filipina dipilih sebagai lokasi pertamanya untuk rantau ini. Untuk negara berkenaan, ia ditawarkan dengan dua varian, dengan harga bermula PHP2.79 juta (sekitar RM231k). SUV ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada hujung Mac lalu dan merupakan model pertama bagi Mazda yang dibangunkan dengan Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan platform enjin hadapan yang diletakkan secara menegak dengan bentangan pacuan roda-belakang.

    Dengan harga permulaan itu, yang sama dengan CX-9 tiga-barisan tempat duduk di sana, varian asasnya, 3.3L 8AT AWD HEV Turbo dijanakan enjin 3.3 liter pengecas turbo enam-silinder sebaris petrol yang digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda i-Activ.

    Turut digelar penjana kuasa e-Skyactiv G, enjin ini dipacukan oleh sistem hibrid ringkas 48-voltan M Hybrid Boost yang menampilkan motor elektrik/generator antara enjin dan kotak gear. Di mana ia dijanakan oleh bateri lithium-ion 0.33-kWh, dan kuasa keseluruhannya mencecah 284 PS dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan tork 450 Nm dari 2,000 hingga 3,500 rpm.

    Turut ditawarkan di Filipina ialah varian 3.3L 8AT AWD HEV Turbo-D Sport yang dijual pada harga PHP2.89 juta (about RM238.8k). Ia turut diberikan penjana kuasa hibrid ringkas, automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, tetapi enjin e.-Skyactiv 3.3 liter enam-silinder sebaris turbodiesel ini menghamburkan kuasa cecah 254 PS pada 3,750 rpm dan 550 Nm dari 1,500 hingga 2,400 rpm.

    Mazda CX-60 2023 dilancarkan di Filipina – 3.3T hibrid ringkas, 8AT, AWD; dari RM231k; bakal tiba di M’sia?

    kedua-dua varian mempunyai angka kelajuan maksimum yang sama iaitu 219 km/j, tetapi versi petrol lebih pantas bila memecut dari 0-100 km/j dengan hanya 6.9 saat berbanding versi diesel dengan catatan 7.3 saar. CX-60 diberikan Mi-Drive secara standard yang menawarkan empat mod pemanduan (Normal, Sport, Off-Road dan Towing), bersama Off-Road Traction Assist, Kinematic Posture Control dan sistem berhenti melahu i-Stop.

    Untuk pengetahuan anda, model CX-60 berada di posisi di atas CX-5. Ia memiliki ukuran 4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak rodanya cecah 2,870 mm, serta CX-60 lebih besar berbanding CX-5, tetapi lebih pendek sebanyak 195 mm dan lebih sempit sebanyak 50 mm serta jarak rodanya lebih pendek cecah 170 mm. Kedua-dua SUV ini berkapasiti lima-tempat duduk dan menawarkan ruang but cecah 570 liter dengan kedudukan tempat duduk belakang normal.

    Varian CX-90 juga diberikan sentuhan gaya luaran yang berbeza pada bahagian gril, dengan versi petrol lebih sporty diberikan kemasan jenis palang hitam berkilat, sementara versi diesel pula dengan struktur honeycomb hitam berkilat. Selain itu, luaran varian diesel juga menampilkan serlahan krom hitam pada pemegang pintunya, berbanding warna yang sama dengan badan untuk varian petrol.

    Mazda CX-60 2023 dilancarkan di Filipina – 3.3T hibrid ringkas, 8AT, AWD; dari RM231k; bakal tiba di M’sia?

    Imej “dark” pada versi diesel dilengkapkan dengan penampilan roda aloi aluminium 20-inci dengan kemasan hitam metalik, sementara versi petrol bersama kemasan potongan berlian untuk rekaan aloinya. Di dalamnya pula, varian petrol menerima kulit Nappa hitam dan kemasan perak, manakala diesel dengan kulit Nappa tan yang dipadankan bersama quilted Leganu suede serta kemasan graphite dan gunmetal. Lain-lain ciri untuk kedua-dua varian adalah lebih kurang sama.

    Kit standard untuk CX-60 termasuklah lampu utama LED adaptif, lampu nyalaan siang LED, bumbung suria kaca panoramik, liftgate bukaan elektrik dengan akses bebas-tangan, tempat duduk larasan kuasa dengan pengaliran bersama fungsi memori untuk bahagian pemandu, kawalan suhu dwi-zon dengan corong belakang, sistem masuk/keluar pemandu, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin.

    Selain itu, ia turut diberikan sistem infotainmen Mazda Connect yang disambungkan dengan skrin sesentuh 12.3-inci dan menawarkan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto dengan wayar serta sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara. Ia turut diberikan kluster instrumen digital 123-inci dan juga paparan head-up 10.4-inci dengan fungsi windshield-projected.

    Bermaz Auto Philippines menawarkan tujuh warna iaitu Rhodium White, Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Jet Black, Sonic Silver, Machine Gray dan Deep Crystal Blue. Walau bagaimana pun, jika memilih Machine Gray akan dikenakan kos tambahan sebanyak PHP16,800 (RM1,388), manakala Soul Red Crystal dan Rhodium White pula dengan tambahan PHP22,400 (RM1,850).

    Risalah spesifikasi Mazda CX-60 2023 untuk Filipina; klik untuk besarkan

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, CX-60 didatangkan ciri standard dengan tujuh beg udara, kamera 360-darjah, kawalan menurun bukit dan ciri pasif termasuk ABS, DSC, bantuan mula mendaki dan banyak lagi. Sementara itu, i-Activsense pula merangkumi Sokongan Brek Pintas (AEB) hadapan dan belakang, amaran ketibaan lorong, pemantuan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang, sistem pemantauan pemandu dan kepekaan perhatian pemandu.

    CX-60 juga mewakili Mazda untuk menerjah premium termasuk bersaing dengan BMW X3 yang ditawarkan pada harga dari PHP3.89 juta (sekitar RM321k) di Filipina.

    Buat masa ini, Bermas Motor (pengedar rasmi Mazda di Malaysia) belum mengesahkan adakah CX-60 akan dibawa ke pasaran tempatan mahu pun tidak. Walau bagaimana pun, jika ia dibawa masuk ke Malaysia, sudah tentu CX-90 lebih mahal berbanding CX-5 dan CX-8 (SUV tiga barisan tempat duduk). Seperti harganya di Filipina iaitu PHP2.79 million (RM231k) bagi CX-60, manakala varian tertinggi CX-5 pula RM183,760.40 dan CX-8 mencecah RM213,122.80.

    GALERI: Mazda CX-60 2022

     
     
  • Yamaha Tracer 9 GT pasaran Malaysia kini ditawarkan dalam dua warna baru – RM70k tidak termasuk beg

    Yamaha Tracer 9 GT pasaran Malaysia kini ditawarkan dalam dua warna baru – RM70k tidak termasuk beg

    Yamaha Tracer 9 GT yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada November tahun 2021 kini diberikan pembaharuan grafik dengan sekarang ditawarkan dalam warna Pure White dan Midnight Black. Harga cadangan yang dikeluarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) adalah RM69,998 tidak termasuk insurans.

    Selain penampilan, bahagian lain serta kelengkapan motosikal ini tidak diubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit tiga silinder Crossplane 3 berkapasiti 890 cc dengan jumlah kuasa 117 hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 7,000 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan klac jenis assist and slipper.

    Unit IMU digunakan untuk mengawal sistem elektronik pada motosikal ini, termasuk mod tunggangan (semuanya ada empat mod), Cruise Control, Traction Control (tiga tahap), Slide Control (tiga tahap), Wheelie Control (tiga tahap) dan pilihan manual untuk melaras semua ciri ini pada tahap yang dimahukan.

    Untuk brek, di hadapan Tracer 9 GT menggunakan set berkembar cakera 298 mm manakala di belakang terdapat cakera 245 mm. Sistem ABS disediakan dalam dua mod yang boleh ditukar oleh penunggang sementara rim pula adalah unit 17 inci dengan tayar 120/70 dan 180/55.

    Di bahagian kokpit terdapat panel paparan TFT-LCD yang berbentuk petak dan dibahagikan kepada dua. Informasi berkenaan laju, tahap rpm, tahap minyak dan kedudukan gear ditunjukkan di bahagian kiri manakala bahagian kanan terdapat paparan seperti jarak perjalanan, suhu dan pelbagai lagi. Semua lampu model ini menggunakan unit LED.

    Sebagai versi GT, suspensi Kayaba yang terdiri daripada fork USD 41 mm dan monoshock di belakangnya boleh dilaras sepenuhnya secara elektronik dan diberikan dengan quickshifter serta pemanas tangan. Walaubagaimanapun, beg barangan tidak didatangkan sekali dan dijual sebagai pilihan tambahan.

     
     
  • Suzuki Jimny Rhino Edition tiba di Malaysia – RM175k

    Suzuki Jimny Rhino Edition tiba di Malaysia – RM175k

    Satu varian baru bagi Suzuki Jimny dilancarkan oleh Naza Eastern Motors untuk pasaran Malaysia, iaitu Jimny Rhino Edition. Model ini hanya terhad kepada 30 unit dan dijual pada harga RM174,900 tidak termasuk insurans.

    Jimny Rhino Edition datang dengan warna badan utama Pure Pearl White, dan diserlahkan dengan pelekat berwarna hitam, kelabu dan merah di tepi dan atas hud. Anda juga akan dapat melihat tulisan ‘Real Offroader’ di bahagian tepi kenderaan.

    Konsep Rhino atau badak sumbu ini sebenarnya sudah digunakan pada Jimny SJ generasi kedua lebih 40 tahun dulu dan sekarang ia diterapkan kepada model terkini. Selain pelekat dengan bentuk binatang tersebut, ia juga digunakan sebagai lencana di bahagian belakang Jimny ini.

    Kelengkapan istimewa lain yang diberikan pada Jimny Rhino Edition ini adalah termasuk gril khas tanpa kemasan menegak di bahagian tengahnya, cermin sisi krom, penahan lumpur warna merah dengan tulisan Jimny, pelindung differential depan dan belakang, serta penghadang angin.

    Bagi pemilik Jimny generasi keempat sedia ada, mereka juga boleh mendapatkan kit Rhino yang memberikan kelengkapan sama seperti Jimny Rhino Edition, dijual oleh Naza Eastern Motors pada harga RM15,000 melalui pengedarnya di Petaling Jaya.

    Suzuki Jimny Rhino Edition tiba di Malaysia – RM175k

    Bahagian mekanikal Rhino Edition ini masih sama seperti Jimny biasa, iaitu menggunakan enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter VVT bersama transmisi automatik empat kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa, menghasilkan kuasa 100 hp pada 6,000 rpm dan 130 Nm pada 4,000 rpm.

    Senarai kelengkapan lain juga adalah sama, seperti lampu utama LED, rim 15 inci, skrin sesentuh tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay, dua pembesar suara, pendingin hawa automatik satu zon, dua beg udara, ABS, Brake Assist, Stability Control, Hill Start Assist dan Hill Descent Control.

     
     
  • Hayden Haikal dinobat juara keseluruhan Junior Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand!

    Hayden Haikal dinobat juara keseluruhan Junior Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand!

    Pelumba muda touring car negara, Hayden Haikal telah mencapai sasarannya untuk menjadi juara keseluruhan Idemitsu Super Turbo Championship 2023 untuk kelas Junior (enjin NA berkapasiti sehingga 1,550 cc) di Thailand, selepas memenangi dua perlumbaan terakhir dalam pusingan ketiga kejohanan tersebut yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

    Sebelum bermulanya perlumbaan bagi pusingan ketiga dan juga terakhir untuk musim 2023 tersebut, Hayden sudahpun mendahului carta pungutan mata dengan kelebihan satu mata berbanding pesaing terdekat dengan mendominasi siri ini, menang 3 dari empat perlumbaan yang telah berlangsung pada pusingan pertama dan kedua.

    Penguasaan Hayden diteruskan pada perlumbaan pusingan terakhir yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 17 dan 18 Jun lalu, dengan memenangi kedua-dua Race 1 dan Race 2. Ini membolehkan Hayden yang memandu Toyota Vios bernombor #437 pasukan Wing Hin Motorsport berkenaan mengutip 88 mata dengan menang 5 dari 6 perlumbaan secara keseluruhan.

    Hayden berhadapan cabaran sengit dari pelumba tempatan, Warunyoo Sangla dalam perlumbaan hujung minggu lalu yang memimpin kedua-dua perlumbaan pada peringkat awal. Namun Hayden mampu memintas Waruyoo dalam kedua-dua perlumbaan tersebut untuk menjadi juara, sementara pelumba Thai berkenaan kekal di tempat kedua.

    Kemenangan Hayden dalam perlumbaan tersebut merupakan kejayaan yang bersejarah buatnya, bukan hanya kerana ia kejuaraan peringkat antarabangsa pertama yang dimenanginya, malah ia dikecapi hanya dalam penyertaan musim pertamanya dalam kejohanan tersebut.

    “Saya berasa sangat gembira kerana (kemenangan juara keseluruhan di Thailand) ini telah menjadi salah satu sasaran saya sejak saya mula berlumba di Thailand tahun lalu. Saya rasa sangat lega kerana telah menang akhirnya, selepas hampir menjadi juara dalam Thailand Super Eco Series tahun lepas”, kata Hayden.

    Hayden Haikal dinobat juara keseluruhan Junior Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand!

    Hayden masih lagi berlumba dalam Thailand Super Eco Series untk musim 2023, dan dilihat berpotensi untuk mengecapi gelaran juara keduanya di Thailand tahun ini menerusi siri perlumbaan tersebut.

    “Hampir semua kredit perlu diberikan kepada pasukan Wing Hin Motorsport yang bertungkus lumus bagi menempatkan Vios yang memenangi kejuaraan ini di atas grid dan percaya kepada saya untuk mendapatkan kejayaan bagi kempen perlumbaan pertama mereka di Thailand. Sangat hebat rasanya apabila dapat membalas jasa mereka untuk semua kerja keras yang telah dicurah dengan memenangi gelaran juara,” tambah Hayden.

     
     
  • Lebuhraya CSR Pakej 5A dan 5B dibuka mulai 25 Jun; 500k kenderaan dijangka melaluinya Aidiladha ini

    Lebuhraya CSR Pakej 5A dan 5B dibuka mulai 25 Jun; 500k kenderaan dijangka melaluinya Aidiladha ini

    Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad mengesahkan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (Central Spine Road atau CSR) akan mula dibuka kepada pengguna pada 25 Jun 2023. Di mana laluan berkenaan melibatkan keseluruhan jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5B dan sebahagian jajaran jalan di dalam CSR Pakej 5A, melalui susur keluar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub.

    “Kerja-kerja pembinaan berkenaan dijangka siap pada hujung tahun ini, tetapi saya mengarahkan Jabatan Kerja Raya, menyegerakan arahan kepada kontraktor menyiapkannya sebelum Aidiladha. Ini kerana kita mengambil kira lebih 500,000 kenderaan akan melalui laluan itu, terutama perantau dari Kelantan pada hari raya ini,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.

    Tambah beliau, pembinaan lebuh raya sepanjang 17 kilometer tersebut dijangka akan menjimatkan perjalanan pengguna selama 40 minit, kerana tidak perlu lagi melalui bandar Raub.

    “Walaupun lebuh raya tersebut belum siap sepenuhnya, kita harap pembukaan susur keluar ini akan memberi keselesaan kepada pengguna, terutama dari Pantai Timur,” katanya sambil menambah satu lagi seksyen yang berhampiran lebuh raya berkenaan, akan dibuka pada September depan melalui susur keluar persimpangan kawasan perindustrian Raub.

    Pembinaan Lebuhraya CSR dari Kuala Krai, Kelantan ke persimpangan Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) melibatkan laluan sepanjang 306.8 kilometer dengan kos RM7.3 bilion. Ia membabitkan enam pakej dengan empat daripadanya iaitu lebih 200 kilometer terletak dalam Pahang bermula dari Kampung Relong di Kuala Lipis.

     
     
  • Perodua perlu tambah ABS dan ESC pada Axia E, jangan abai keselamatan asas – Wee Ka Siong

    Perodua perlu tambah ABS dan ESC pada Axia E, jangan abai keselamatan asas – Wee Ka Siong

    Bekas menteri pengangkutan, Dr. Wee Ka Siong menggesa Perodua menambah ciri-ciri asas pada model paling murahnya iaitu Axia generasi pertama dalam varian E yang dilancarkan semula minggu lalu, dijual pada harga atas jalan RM22,000.

    Beliau memuji usaha Perodua yang sentiasa memikirkan keperluan dan memahami kesukaran rakyat dengan mengeluarkan kenderaan mampu milik, namun ia perlulah dilengkapi sistem keselamatan asas seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) atau Anti-Lock Braking System dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) demi keselamatan pengguna dan orang ramai.

    Wee menyatakan bahawa beliau faham banyak isi rumah berpendapatan rendah terhimpit dalam kewangan mereka, tetapi mengurangkan spesifikasi keselamatan kenderaan bukanlah penyelesaiannya

    “Namun, janganlah kita berkompromi apabila ia menyentuh soal keselamatan pemandu, penumpang termasuk pengguna jalan raya yang lain. Spesifikasi tertentu seperti ABS, ESC dan Agihan Brek Elektronik – EBD (subsistem kepada ABS dan ESC) tidak boleh diketepikan sama sekali hanya kerana mahu menjadikan kenderaan tersebut sebagai ‘kereta rahmah’,” katanya dalam satu hantaran Facebook yang dibuat semalam.

    Perodua perlu tambah ABS dan ESC pada Axia E, jangan abai keselamatan asas – Wee Ka Siong

    Beliau turut menambah bahawa kerajaan mesti mencari lebih banyak cara untuk membantu mereka yang terhimpit dengan beban kewangan ini, dan menawarkan kenderaan dengan spesifikasi keselamatan yang dikurangkan bukalah pilihan.

    Menurutnya, kajian telah menunjukkan bahawa ESC dan teknologi anti-gelincir lain bagi kenderaan boleh menghalang kira-kira 40 peratus kematian dan pelanggaran daripada kemalangan akibat hilang kawalan.

    “Itulah sebabnya Kementerian Pengangkutan (MOT) di bawah pentadbiran Tan Sri Liow Tiong Lai sebagai Menteri sebelum ini mewajibkan semua kereta baharu memiliki ESC mulai 1 Jun 2018.

    “Sejak berdekad, ABS dan ESC terbukti sebagai teknologi penting; yang dapat mengurangkan kemalangan. Semakin hari, kos untuk ciri ini juga telah berkurangan.

    Perodua perlu tambah ABS dan ESC pada Axia E, jangan abai keselamatan asas – Wee Ka Siong

    “Ingatlah bahawa kenderaan yang tidak selamat bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya lagi dalam hantaran tersebut.

    Wee berkata beliau difahamkan bahawa spesifikasi Axia E adalah berdasarkan kelulusan yang diberikan di bawah NCAP pada tahun 2014.

    “Tetapi zaman telah berlalu, dan kita mempunyai pengetahuan serta kepakaran yang lebih baik dalam bidang ini,” katanya dan menambah beliau berharap Perodua melihat semula spesifikasi Axia E yang datang bukan sahaja tanpa ABS, EBD, dan ESC, malah ia juga tiada central lock untuk mengunci keempat-empat pintu kenderaan secara automatik.

    Perodua perlu tambah ABS dan ESC pada Axia E, jangan abai keselamatan asas – Wee Ka Siong

    Wee turut menyatakan bahawa beliau bimbang sekiranya spesifikasi Axia E ini akan dijadikan rujukan pengeluar lain dalam menawarkan model-model mampu milik dalam pasaran tempatan dengan mengabaikan ciri-ciri keselamatan yang paling asas.

    “Semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan, kami mewajibkan ABS untuk motosikal atas 150cc. Adakah pengeluar akan mencari jalan untuk mengurangkan lagi kos motosikal baharu dan menghapuskan ABS?

    “Saya membangkitkan kebimbangan ini dengan harapan Kerajaan akan memastikan kenderaan terus mengekalkan ciri keselamatan asas ini dalam kenderaan penumpang baharu. Jangan pula kita bergerak ke belakang dalam perkara penting seperti ini,” katanya lagi.

     
     
  • Suzuki V-Strom 800DE tiba di Malaysia – RM60,800

    Suzuki V-Strom 800DE tiba di Malaysia – RM60,800

    Selain GSX-8S, Suzuki hari ini juga melancarkan sebuah lagi model baru untuk pasaran Malaysia, iaitu V-Strom 800DE. Rupa ikonik model adventure ini masih dapat dilihat, termasuk dengan paruh hadapannya, tetapi sudah diterap dengan kelengkapan moden termasuk lampu LED bertingkat di hadapan.

    Fokus utama pada model ini adalah penggerak yang dikatakan serba baru, iaitu enjin dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah serta pengimbang yang dipanggil sebagai Suzuki Cross Balancer. Kuasa enjin ini tidak didedahkan, dan ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac Suzuki Clutch Assist System (SCAS).

    Empat mod tunggangan disediakan pada V-Strom 800DE, iaitu Active (A), Basic (B), Comfort (C) dan Gravel. Mod A adalah yang paling agresif dan C paling santai, sementara Gravel pula sesuai untuk tunggangan offroad kerana ia masih membenarkan tayar belakang tergelincir sedikit tanpa mengurangkan kuasa.

    Sistem kawalan cengkaman Suzuki Traction Control System (STCS) pada motosikal ini juga boleh dipilih dalam empat mod, ataupun ditutup terus, sementara ABS disediakan dalam dua mod, bersama tambahan pilihan untuk ditutup terus bagi roda belakang.

    Suspensi Showa dengan jarak gerak 220 mm dipasang pada V-Strom 800DE, dan ia terdiri daripada fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock dengan tabung gas serta tombol pelaras pra beban di belakang. Apabila dipadankan dengan rim spoked 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, motosikal ini menyediakan jarak kelegaan dari tanah 220 mm dan tinggi tempat duduk 855 mm.

    Suzuki V-Strom 800DE tiba di Malaysia – RM60,800

    Meskipun mempunyai karekter lasak, V-Strom 800DE masih diberikan ciri canggih seperti skrin TFT lima inci serta quickshifter yang diberikan secara standard. Selain daripada itu, ia juga dilengkapi tangki bahan api 20 liter, soket pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras tiga tahap (manual).

    Berat keseluruhan motosikal ini adalah 230 kg, sementara barangan lain seperti beg barangan, pemanas tangan, lampu kabus, tongkat tengah serta pelindung bawah enjin dijual secara berasingan sebagai aksesori pilihan.


     
     
  • Suzuki GSX-8S dilancar untuk pasaran Malaysia – import terus dari Jepun, 776 cc, harga RM50,800

    Suzuki GSX-8S dilancar untuk pasaran Malaysia – import terus dari Jepun, 776 cc, harga RM50,800

    Model naked kelas pertengahan Suzuki, yang diperkenalkan kali pertama kepada dunia sewaktu EICMA hujung tahun lalu, iaitu GSX-8S kini sudah dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dengan harga RM tidak termasuk insurans. Model ini akan bersaing dalam pasaran antaranya dengan Kawasaki Z650, Yamaha MT-07 dan Aprilia Tuono 660.

    Kuasa penggerak GSX-8S datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik. Kotak gear enam kelajuan bersama sistem pacuan rantai digunakan untuk menyalurkan kuasa kepada roda belakang, dan rim menggunakan saiz 17 inci.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, manakala bentuk badannya pula mengikuti model yang lebih besar iaitu GSX-S1000. Model baru ini menyediakan tiga mod tunggangan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm bersama angkup empat piston Nissin di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Berat keseluruhan GSX-8S adalah 202 kg, dan tempat duduknya mempunyai ketinggian 810 mm, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 14 liter. Motosikal ini juga datang dengan sistem kawalan cengkaman dengan pilihan tiga mod dan juga boleh ditutup sepenuhnya.

    Semua tiga warna GSX-8S ini ditawarkan untuk pasaran Malaysia, iaitu Pearl Cosmic Blue, Pearl Tech White dan Metallic Matt No.2/Glass Sparkle Black. Setiap pembelian datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.


     
     
  • Puspakom perkenalkan program PAR untuk elak pelanggan tertipu dan dimanipulasi orang tengah

    Puspakom perkenalkan program PAR untuk elak pelanggan tertipu dan dimanipulasi orang tengah

    Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) telah memperkenalkan program Wakil Pelanggan Yang Diluluskan oleh Puspakom (Puspakom Approved Customer Representative atau PAR) sebagai langkah untuk memperkukuhkan integriti dan mengekalkan tahap amalan tertinggi di dalam semua urusan perniagaan.

    Langkah ini dilaksanakan agar semua operasi syarikat dapat dijalankan secara telus, professional dan saksama selaras dengan peraturan dan undang-undang yang termaktub.

    “Lazimnya, ramai pelanggan Puspakom menggunakan khidmat ”runner” atau orang tengah bagi urusan pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan. Bagaimana pun, ada segolongan orang tengah yang memanipulasi, mengenakan caj perkhidmatan yang tinggi dan memberi maklumat palsu kepada pelanggan. Pelanggan kemudiannya membuat aduan bahawa Puspakom tidak telus, dan ini telah memberi persepsi buruk terhadap imej syarikat.

    “Bagi mengatasi isu-isu negatif dan amalan tidak beretika oleh sesetengah orang tengah ini, sistem PAR diperkenalkan. Melalui sistem PAR, Puspakom membuat saringan latar belakang akan dijalankan bagi semua runner dengan kerjasama pihak berkuasa . Mereka yang lulus saringan akan didaftar sebagai PAR,” kata CEO Puspakom, Shukor Ismail.

    Tambahnya, walau bagaimanapun, pihaknya masih mengalu-alukan orang ramai untuk hadir sendiri ke pusat pemeriksaan Puspakom. Malahan inisiatif ini tidak berniat untuk menafikan hak pelanggan untuk hadir sendiri ke cawangan Puspakom.

    Semua pelanggan yang ingin menggunakan khidmat orang tengah juga digalakkan untuk mendapatkan khidmat PAR melalui senarai PAR di laman web Puspakom iaitu www.puspakom.com.my.

     
     
  • Toyota sedang bangunkan model prestasi GR EV dengan transmisi manual, klac dan bunyi enjin

    Toyota sedang bangunkan model prestasi GR EV dengan transmisi manual, klac dan bunyi enjin

    Pengerusi Toyota, Akio Toyoda mengesahkan bahawa sayap perlumbaan syarikatnya iaitu Toyota Gazoo Racing kini sedang membangunkan kereta prestasi dengan unit rangkaian kuasa elektrik penuh (EV) tetapi diberikan karekter seperti sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalaman yang memberikan perincian seperti bunyi enjin dan juga kotak gear manual lengkap dengan pedal klac.

    Bercakap kepada Autocar ketika perlumbaan Le Mans 24 Jam yang berlangsung hujung minggu lalu, Akio menyatakan bahawa dia sendiri terlibat dengan pembangunan model tersebut bagi memastikan ia memenuhi kriteria yang dimahukan, iaitu ia perlu seronok untuk dipandu seperti barisan model-model GR sedia ada termasuk GR86, GR Yaris, GR Corolla dan GR Supra.

    “Yang penting bukan unit rangkaian kuasa apa dipadankan pada kereta tersebut, tetapi tahap keseronokan pemanduannya tidak kira apa unit rangkaian kuasa yang diberikan. Saya sebenarnya berpeluang untuk memandu uji BEV GR yang sedang kami bangunkan baru-baru ini. Saya masih tidak tahu sama ada kereta itu akan dipasarkan atau tidak, tetapi keutamaan untuk menghasilkan kereta sebegini adalah ia perlu seronok untuk dipandu, tidak kira apa unit rangkaian kuasa yang digunakan,” kata Akio.

    Toyota sedang bangunkan model prestasi GR EV dengan transmisi manual, klac dan bunyi enjin

    Beliau turut menyatakan bahawa kereta tersebut akan dibangunkan dengan menerapkan banyak karekteristik sebuah kereta dengan enjin pembakaran dalaman, termasuk mempunyai pedal klac, kotak gear dan juga bunyi seakan enjin kereta sebenar.

    “Perbezaan terbesar antara BEV lain dengan unit yang sedang kami bangunkan adalah, apabila anda di dalam GR BEV, anda akan dengar bunyi enjin, walaupun anda tidak boleh bau petrol. Akan ada transmisi manual dan juga klac. Jika anda letakkan seseorang dalam kereta dan suruh dia pandu dan teka unit rangkaian kuasa yang diberikan, mereka tidak akan boleh memberikan jawapan tepat,” kata Akio.

    “Sama ada ia dibawa ke pasaran atau tidak, apa yang syarikat cuba lakukan adalah untuk meneroka idea apa yang tidak boleh kami hilang walaupun ia telah dijelmakan kepada BEV.

    “Saya boleh katakan dengan bangga ini merupakan contoh bagaimana Toyota telah berubah kepada sebuah syarikat di mana ahli-ahlinya boleh melihat idea yang kedengaran menarik, menghasilkan kereta dari idea mereka dan selepas itu bawanya untuk dipandu uji,” tambah Akio

    Sebelum ini divisi mewah Toyota iaitu Lexus ada mendedahkan unit prototaip EV yang dipadankan dengan kotak gear manual lengkap dengan pedal klac. Prototaip tersebut bukan sahaja menampilkan tuil yang membolehkan pemandu memilih bunyi enjin palsu yang dihasilkan seperti bunyi V8 atau empat-silinder sebaris, malah ia juga mempunyai takometer untuk membaca rpm dan memberikan kesan seakan “enjin mati” sekiranya pedal klac tidak dilepaskan dengan betul.

    Apa yang diperkatakan oleh Akio Toyoda berkenaan mungkin berkaitan dengan teknologi yang didedahkan oleh Lexus ini. Menurut Ketua Jurutera Lexus Electrified, Takashi Watanabe ketika mendedahkan teknologi berkenaan, bunyi enjin palsu yang dihasilkan akan disalurkan ke dalam kabin, tetapi ia tidak boleh didengar di luar.

    “Kami mahu pastikan kami akan terus menawarkan produk untuk peminat,” kata Watanabe.

     
     
  • Jualan Volkswagen Arteon di Amerika Syarikat akan dihentikan tahun depan; jualan rendah, tidak untung

    Jualan Volkswagen Arteon  di Amerika Syarikat akan dihentikan tahun depan; jualan rendah, tidak untung

    Volkswagen mengumumkan bahawa jualan untuk coupe empat-pintu iaitu Volkswagen Arteon akan dihentikan di Amerika Syarikat tahun hadapan, selari dengan halatuju syarikat untuk menaikkan keuntungan jenama berkenaan, lapor Motor1.

    Arteon mencatatkan jumlah jualan yang agak rendah dan jatuh hampir 69% pada 2022, iaitu hanya 1,742 unit terjual di Amerika Syarikat sepanjang tahun lalu. Untuk rekod, Volkswagen berjaya menjual sebanyak 301,000 unit kenderaan di AS untuk tahun 2022.

    Walaupun jualan Arteon di negara berkenaan mencatatkan peningkatan lebih dari 1,000% untuk suku pertama 2023 berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah berkenaan hanyalah mewakili sebanyak 528 unit.

    Jualan Volkswagen Arteon  di Amerika Syarikat akan dihentikan tahun depan; jualan rendah, tidak untung

    Menurut CEO Volkswagen Passenger Cars Thomas Schäfer, syarikatnya kini mahu mengurangkan kerumitan pada barisan model yang dijual bagi mencapai keuntungan yang lebih tinggi. Syarikat itu juga mahu mengoptimakan kapasiti pada kilang bagi mengurangkan masa menunggu pelanggan yang sudah menempah kereta masing-masing.

    Buat masa sekarang Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) masih lagi menawarkan model Arteon ini pada pasaran tempatan dengan satu varian tunggal iaitu Arteon R-Line. Malah selepas jualan Passat dihentikan di sini pada Januari lalu, Arteon menjadi satu-satunya model Volkswagen empat pintu dengan but belakang yang ditawarkan di bilik pameran Volkswagen di Malaysia.

    Dengan “demam SUV” turut melanda pasaran Malaysia, agaknya berapa lama lagi Arteon boleh bertahan di sini?

     
     
  • Audi e-tron GT 2023 dilancar di M’sia – jarak gerak EV cecah 458 km, 646 PS; 0-100km/j 3.1s; dari RM588k

    Audi e-tron GT 2023 dilancar di M’sia – jarak gerak EV cecah 458 km, 646 PS; 0-100km/j 3.1s; dari RM588k

    Jika anda pernah menonton filem Avengers: Endgame, mesti perasan jentera yang dipandu oleh Tony Stark bukan? Itulah Audi e-tron GT dan hari ini, sedan sport elektrik penuh tersebut telah pun dilancarkan di Malaysia, menyertai Q8 e-tron yang berada dalam barisan model e-tron yang dibawa masuk oleh PHS Automotive Malaysia’s (PHSAM).

    Pernah dinobatkan sebagai Kereta Prestasi Dunia 2022, ia pertama kali diperkenalkan pada Februari 2021 dan dibangunkan menerusi platform J1, yang berkongsi dengan Porsche Taycan. e-tron GT ini berukuran 4,989 mm panjang, 1,964 mm lebar, 1.414 mm tinggi dan jarak rodanya pula 2,900 mm. Barisan e-tron GT ini turut ditawarkan dengan beberapa varian dengan ciri kelengkapan yang tidak kurang hebatnya.

    Untuk model paling asas, e-tron GT quattro ditawarkan pada harga atas jalan RM587,990 tanpa insurans. Ia diberikan penjana kuasa elektrik pacuan-semua roda dengan motor elektrik pada setiap gandar, dengan satu di bahagian hadapan dipadankan bersama transmisi kelajuan-tunggal, sementara unit di belakang diberikan kotak gear dua-kelajuan.

    Audi e-tron GT 2023 dilancar di M’sia – jarak gerak EV cecah 458 km, 646 PS; 0-100km/j 3.1s; dari RM588k

    Dengan gabungan tersebut, ia memberikan jumlah keseluruhan kuasa mencecah 476 PS (469 hp atau 350 kW) dan tork 630 Nm, sekaligus membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 245 km/j. Jika memerlukan ledakan kuasa yang lebih padu, terdapat mod boost yang boleh memyalurkan sehingga 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 640 Nm, jadi jentera boleh dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat.

    Motor elektrik berkenaan dijana oleh bateri lithium-ion dengan kapasiti tenaga kasar cecah 83.7 kWh yang memberikan jarak hingga 458 km mengikut standard WLTP. Untuk pengecasan, e-tron quattro menyokong maksimum AC input (Type 2) berkapasiti 11 kW, dengan pengecassan penuh mengambil masa sekitar sembilan jam. Sekiranya menggunakan pengecas pantas DC dengan input maksimum 270 kW, ia boleh memenuhkan bateri dari 5-80% dalam masa hanya 22.5 minit.

    Kelengkapan standard yang ditampilkan untuk varian ini termasuk roda aloi aerodynamic module style lima-jejari hitam 20-inci, controlled dampers (bukan suspensi udara), sistem bunyi e-tron sport, Audi drive select, lampu utama dan lampu belakang LED dengan isyarat membelok dinamik, pakej penampilan Hitam, bumbung suria panoramik, elemen dalaman kulit, roda stereng flat-bottomed tiga-jejari, upholstery kulit perforated , tempat duduk hadapan sport dengan larasan kuasa berserta fungsi memori untuk bahagian pemandu dan kawalan suhu tiga-zon.

    Audi e-tron GT 2023 dilancar di M’sia – jarak gerak EV cecah 458 km, 646 PS; 0-100km/j 3.1s; dari RM588k

    Untuk aspek hiburan pula, ia diberikan MMI Navigation plus dengan sistem MMI touch , yang merangkumi paparan skrin sesentuh 10.1-inci yang juga boleh digunakan bersama Android Auto dan Apple CarPlay menerusi antara muka telefon pintas Audi. Lain-lain paparan termasuklah kokpit maya 12.3-inci (kluster instrumen digital).

    Bagi sistem bantuan pemandu dan keselamatan, e-tron GT quattro didatangkan dengan ciri standard termasuk lapan beg udara, Audi pre sense untuk bahagian hadapan dan belakang (termasuk AEB), kawalan kelajuan adaptif (dengan pengehad kelajuan, efficiency assist swerve assist dan bantuan membelok), amaran ketibaan lorong, pemantauan titik buta serta bantuan trafik lintasan hadapan dan belakang.

    Jika ingin menaik taraf senarai kelengkapan, anda boleh menempah e-tron GT quattro dengan Pakej Dinamik yang membawakan peningkatan harga hingga RM661,990. Untuk ciri premium ini, anda bakal menerima lampu utama matrix LED dengan teknologi lampu laser, paparan utama, bumbung gentian karbon serta brek keluli dengan salutan tungsten carbide tahan lasak (lebih kurang sama dengan sistem Porsche Surface Coated Brake) dan kaliper brek merah.

    Klik untuk besarkan

    Peningkatan lain turut melibatkan elemen dalaman dalam kulik Nappa atay gentian mikro Dinamica serta sistem bunyi premium Bang & Olufsen. Untuk pengecas onboard AC, ia turut meningkatkan kapasiti pengecasa hingga 22 kW, mengurangkan masa pengecasan penuh sekitar 4 jam.

    Jika e-tron GT quattro tidak cukup menarik untuk anda, bolehlah mempertimbangkan varian tertinggi RS e-tron GT pula. Ia ditawarkan pada harga RM787,990 dan pecutan dari 0-100 km/j hanya dalam 3.6 saat!

    Ia terhasil adengan gandingan motor elektrik yang mampu meledakkan kuasa tertinggi mencecah 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan tork 830 Nm. Bagi pilihan “asas”, mod boost boleh meningkatkan kuasa hingga 646 PS (637 hp qtqu 475 kW), jadi pecutan 0-100 km/j dalam hanya 3.3 saat. Ia juga menawarkan jarak EV cecah 447 km dengan bateri berkapasiti tenaga yang sama seperti e-tron GT quattro.

    Klik untuk besarkan

    Bagi ciri kelengkapannya, ia hampir sama dengan e-tron quattro termasuk ditampilkan dengan Pakej Dinamik. tetapi ada ciri spesifik lain termasuk roda aloi concave module lima-jejari-berkembar hitam 21-inci, kulit Nappa/upholstery gentian mikro Dinamica, pakej penggayaan karbon Glossy, perumah cermin luaran karbon, pedal keluli tahan karat, serlahan dekoratif matte Carbon Twill , illuminated glossy carbon scuff plates dan headliner gentian mikro Dinamica hitam.

    Varian ini juga menerima sistem pemanduan yang lebih signifikan, termasuk controlled rear differential lock untuk sistem pacuan semua-roda quattro, stereng roda-belakang dan sistem suspensi udara adaptif.

    Setiap pembelian e-tron GT didatangkan dengan waranti standard dua-tahun dan bantuan tepi jalan lima-tahun. Pelanggan juga boleh membeli Audi Assurance Package (AAP) yang menambahkan lagi waranti kenderaan selama tiga-tahun/ Bateri EV juga diberikan waranti selama lapan-tahun/160,000 km.

    Berikut merupakan pecahan harga bagi barisan Audi e-tron GT:

    • Audi e-tron GT quattro – RM588,790; RM600,790 dengan AAP
    • Audi e-tron GT quatrro dengan Pakej Dinamik – RM667,790; RM679,790 dengan AAP
    • Audi RS e-tron GT – RM793,790; RM808,790 dengan AAP

    GALERI: Audi RS e-tron GT 2023

    GALERI: Audi e-tron GT quatrro dengan Pakej Dinamik

     
     
  • Hayden Haikal sasar juara keseluruhan Kejuaraan Thailand Junior Idemitsu Super Turbo minggu ini

    Hayden Haikal sasar juara keseluruhan Kejuaraan Thailand Junior Idemitsu Super Turbo minggu ini

    Pelumba touring car muda negara, Hayden Haikal akan ke Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand hujung minggu ini dengan sasaran untuk menjadi juara keseluruhan untuk siri Kejohanan Thailand Junior Idemitsu Super Turbo 2023.

    Kejohanan tersebut sudahpun masuk ke pusingan ketiga yang juga terakhir minggu ini, dan tugas Hayden sebenarnya hampir selesai kerana dia kini mendahului carta pungutan mata untuk pelumbaan kategori Junior (enjin NA berkapasiti sehingga 1,550 cc) dengan kelebihan 1 mata berbanding pesaing terdekatnya.

    Pelumba yang baru berumur 18-tahun dan memandu Toyota Vios bernombor #437 pasukan Wing Hin Motorsport dari Malaysia itu sebelum ini jelas mendominasi kejuaraan tersebut, dengan memenangi tiga dari empat perlumbaan dalam dua pusingan bagi musim 2023 ini.

    Hayden cuma menghabiskan perlumbaan di tangga keenam pada Race 1 pusingan kedua, itu pun kerana Vios yang dipandunya mengalami kerosakan transmisi. Kotak gear Vios yang dipandunya tiba-tiba tersekat pada gear lima ketika Hayden mendahului perlumbaan, namun dia berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam walaupun dengan kereta yang hanya menpunyai gear lima.

    “Saya mempunyai peluang yang baik untuk menang (kejuaraan keseluruhan dalam kelas) dan saya mensasarkan untuk menang kedua-dua perlumbaan. Ia tidak mudah, saya hampir pasti tentang itu, tetapi ia perlu dilakukan sekarang atau ia tidak akan dicapai,” kata Hayden.

    Sekiranya Hayden berjaya memperolehi gelaran juara keseluruhan minggu ini, ia akan menjadi kemenangan bersejarah kerana ini hanya merupakan penyertaan musim pertamanya dalam kejohanan tersebut.

    “Pemandu dan juga kereta dari Thailand adalah sangat kompetitif, tetapi dengan mencapai keputusan seperti ini dalam tahun pertama kami bersaing dalam kejohanan baru sudah pun menjadi pencapaian yang baik. Semua pujian sepatutnya adalah untuk pasukan kerana kerja keras, komitmen dan usaha bagi memastikan kami bukan hanya kompetitif, tetapi terus dalam posisi untuk merebut kejuaraan.” katanya lagi.

    Hayden Haikal sasar juara keseluruhan Kejuaraan Thailand Junior Idemitsu Super Turbo minggu ini

    Sebelum ini Hayden sudahpun pernah berlumba di Thailand, bermula dengan Thailand Super Series Super Eco Championship 2022. Dia berjaya bergelar naib juara dalam kejohanan itu tahun lalu, dan meneruskan perlumbaan dalam kejohanan yang sama pada tahun ini, serentak dengan Kejohanan Idemitsu Super Turbo.

    Bagi anda yang mahu menonton dan memberikan sokongan kepada Hayden hujung minggu ini, anda tidak perlu ke Thailand kerana siaran langsung perlumbaan tersebut akan disiarkan menerusi laman Facebook rasmi Super Turbo SEA Zone Challenge pada PAUTAN INI.

    Ia akan bermula pada pukul 12.50 pm pada hari Sabtu (17 Jun) untuk Race 1 dan pukul 3.05 pm pada hari Ahad (18 Jun) untuk Race 2.

     
     
  • Audi Q8 e-tron 2023 dilancarkan di M’sia — jarak EV hingga 487 km, pilihan Sportback; harga dari RM384k

    Audi Q8 e-tron 2023 dilancarkan di M’sia — jarak EV hingga 487 km, pilihan Sportback; harga dari RM384k

    PHS Automotive Malaysia (PHSAM) hari ini melancarkan secara rasmi model elektrik Audi Q8 e-tron. Model ini hadir dalam dua bentuk badan, dengan setiap satunya dalam dua varian berbeza. Bermula dengan varian paling asas Q8 e-tron advanced 50 quattro, harga yang ditawarkan ialah bermula RM383,990.

    Penawaran variannya diikuti oleh Q8 e-tron S line 55 quattro (RM474,990), Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro (RM389,990) dan Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro (RM484,990).

    Q8 e-tron merupakan SUV bersaiz besar dengan ukuran dimensi 4,915 mm panjang dan 1,937 mm lebar, dengan jarak antara roda 2,928 mm. Model ini bersaing antara lain dengan model BMW iX, yang 38 mm lebih panjang dan 30 mm lebih lebar, dan jarak antara roda 72 mm lebih panjang. iX di yang dijual di sini, xDrive 40, memberikan 322 hp, 630 Nm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan jarak 425 km.

    Audi Q8 e-tron 2023 dilancarkan di M’sia — jarak EV hingga 487 km, pilihan Sportback; harga dari RM384k

    Bagi model paling asas Audi Q8 e-tron advanced 50 quattro, ia dikuasakan oleh sepasang motor elektrik yang membekalkan sebanyak 340 PS (335 hp atau 250 kW) kuasa dalam mod boost, serta 664 Nm tork. Kotak gearnya menggerakkan semua empat roda, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa enam saat. Laju maksimum ialah 200 km/j.

    Motor elektrik berkenaan menerima kuasa daripada bateri lithium-ion dengan kapasiti 95 kWh (89 kWh boleh diguna). Jarak perjalanan yang dinyatakan untuk EV ini ialah 410 km dengan kitaran WLTP dan kadar penggunaan tenaganya didakwa 24.0 kWh bagi 100 km digabungkan. Pengecas AC 11-kW (Type 2) mampu mengecas penuh baterinya dalam masa 9.15 jam, sementara pengecas pantas DC (CCS2) pula menyokong sehingga 150 kW maksimum, dengan kadar pengecasan 0-80% (SoC) dalam masa 28 minit.

    Antara kelengkapan yang ada untuk model ini ialah rim 20-inci Graphite Gray dengan lima jejari serta suspensi udara adaptif. Kelengkapan luaran lain termasuk lampu LED, lampu belakang gabungan LED, bantuan lampu tinggi dan pek penggayaan hitam berkilat. Di dalam, kerusinya menerima balutan kulit mono.pur 550, papan pemuka juga balutan kulit buatan, butang hitam berkilat dan perincian ala aluminium.

    Audi Q8 e-tron 2023 dilancarkan di M’sia — jarak EV hingga 487 km, pilihan Sportback; harga dari RM384k

    Ia juga datang dengan kokpit maya Audi plus (kluster instrumen dengan skrin 12.3-inci) dan sistem infotainmen MMI Navigation plus dengan maklum balas MMI. Yang terakhir ini terdiri daripada paparan skrin sentuh beresolusi tinggi, dengan bahagian atasnya menampilkan unit 10.1-inci untuk sebahagian besar kawalan fungsinya. Bahagian bawahnya pula unit paparan 8.6-inci untuk kawalan pendingin dan ciri lain.

    Melengkapi ciri untuk model asas ini ialah antaramuka telefon pintar, Android Auto dan Apple CarPlay, lapan beg udara, kerusi depan larasan elektrik dengan fungsi memori untuk pemandu, kawalan pendingin empat zon, pintu belakang larasan kuasa, Audi pre sense depan dan belakang (termasuk AEB), kawalan melayar adaptif (dengan penghad kelajuan), amaran penukaran lorong, peninjau titik buta serta amaran lintasan trafik depan dan belakang.

    Q8 e-tron S line 55 quattro yang dijual pada harga RM456,000 menerima lebih banyak kelengkapan. Antaranya, ia menggunakan tahap kemasan dalaman dan luaran S line dan sistem janaan yang menghasilkan sebanyak 408 PS (402 hp atau 300 kW) dan 664 Nm dengan pacuan semua roda.

    Audi Q8 e-tron 2023 dilancarkan di M’sia — jarak EV hingga 487 km, pilihan Sportback; harga dari RM384k

    Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat, dengan laju maksimum yang sama. Baterinya berkapasiti lebih besar dengan 114 kWh (106 kWh boleh guna) yang menjadikan jarak perjalanannya 481 km. Untuk pengecasan, AC boleh hingga kadar 22 kW, dengan pengecasan penuh dalam masa enam jam. Pengecasan pantas DC pula dinaikkan kepada 170 kW, dan kadar 0-80% dalam masa 31 minit.

    Tambahan kelengkapannya pula melibatkan rim 21-inci turbin lima-jejari, balutan kerusi kulit Valcona, lampu utama LED matrix, gril Singleframe dengan pencahayaan, bumbung kaca panoramik, scuff plate S line dengan lampu, stereng tiga-jejari, ioniser dan aroma pengudaraan, pintu dengan bantuan kuasa serta cermin luaran maya (kamera yang menggantikan cermin sisi).

    Untuk versi Sportback-nya pula, ruang but dikurangkan sedikit menjadi 528 liter. Q8 Sportback e-tron advanced 50 quattro hadir dengan sistem janaan yang sama seperti varian dengan bentuk badan biasa yang dinyatakan awal tadi — dengan angka prestasi juga sama, tetapi jarak perjalanan yang sedikit lebih baik, 415 km. Kelengkapan lainnya juga sama dengan versi bukan-Sportback.

    Jika ada perbezaanya, itu melibatkan suspensi udara sport, rim 20-inci Graphite Gray lima-jejari Aero, kulit Volcona, lampu LED Matrix, pakej Black Styling, angkup brek merah dan perincian Matte Brushed — semua ini tidak ditawarkan untuk Q8 e-tron advanced 50 quattro.

    Untuk Q8 Sportback e-tron S line 55 quattro pula, sistem janaan tetap sama dengan versi bukan-Sportback, dengan jarak yang sedikit lebih menjadi 487 km. Pengecas AC 22 kW dan DC 170 kW juga sama. Sedikit membezakan kelengkapannya ialah rim 21-inci Black Metallic lima-jejari Aero.

    Audi Q8 e-tron Advanced 50 Quattro 2023

    Audi Q8 e-tron S Line 55 Quattro 2023

    Audi Q8 Sportback e-tron Advanced 50 Quattro 2023

     
     
  • JPJ eBid: PQW dan VLA sedang dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Pulau Pinang, PQW, telah pun dibuka bidaan sejak 15 Jun 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 19 Jun ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 20 Jun 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula, VLA, bidaannya juga sedang dibuka sejak semalam, 16 Jun 2023 ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 20 Jun 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 21 Jun ini.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025