Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan pihaknya telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi melaksanakan laluan kontra yang membabitkan tiga lokasi sebagai langkah segera mengatasi masalah kesesakan jalan raya di ibu negara.

    Bakal dilaksanakan mulai 3 Julai ini, laluan kontra itu melibatkan laluan Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya iaitu dari arah selatan ke Kuala Lumpur, Jalan Maharajalela ke Taman Connaught dan Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak, laporan Bernama.

    Laluan kontra di Tol Plus Sungai Besi ke Persimpangan Besraya adalah sepanjang 2.4 km manakala pemanjangan laluan kontra dari Jalan Maharajalela ke Taman Connaught melibatkan jarak sepanjang 4 km.

    Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    “Pembukaan laluan kontra di kedua-dua laluan itu dibuka kepada semua jenis kenderaan persendirian kecuali motosikal,” katanya.

    Manakala laluan kontra Jalan Ampang dari Ampang Point ke Jalan Tun Razak melibatkan jarak 3 km khusus untuk kenderaan pengangkutan awam iaitu bas sahaja. Di mana tiada kenderaan persendirian dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksana jika ada kenderaan lain melaluinya.

    Jelas beliau, pembukaan ketiga-tiga laluan kontra itu bermula 6 pagi hingga 9 pagi bagi waktu pagi manakala pukul 5 hingga 7 petang bagi sesi petang.

    Tiga laluan kontra akan dibuka mulai 3 Julai ini bagi atasi isu kesesakan trafik di Kuala Lumpur – Loke

    “Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan menyediakan satu garis panduan untuk memastikan laluan kontra itu dilaksana dengan baik dan selamat. Tiada tempoh tertentu untuk laluan ini (ditutup) kerana kita akan lihat keberkesanannya, ada (laluan kontra) di Jalan Cheras masih dibuka sejak 20 tahun lepas dan sukar ditutup,” katanya.

    Beliau berkata perbincangan termasuk dengan ahli akademik sedang dilaksana bagi mencari punca utama kesesakan jalan raya selain menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam. Tambahnya, kajian DBKL mendapati terdapat enam juta kenderaan bergerak di ibu negara setiap hari.

    “Penggunaan pengangkutan awam ketika ini hanya satu juta atau 15% sehari berbanding enam juta atau 85% bagi kenderaan,” katanya.

     
     
  • Volvo Car Malaysia masukkan semua model Pure Electric dalam senarai model yang dijual dalam talian

    Volvo Car Malaysia masukkan semua model Pure Electric dalam senarai model yang dijual dalam talian

    Selepas melancarkan platform jualan dalam talian mereka tahun lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) kini mengumumkan bahawa mereka ingin mengembangkan lagi usaha untuk menjual kenderaan secara terus kepada pelanggan dengan memasukkan semua model Pure Electric di dalam senarai.

    Dengan itu, sesiapa yang berminat untuk membeli sama ada model C40 atau XC40 Recharge Pure Electric kini boleh melakukan urusan secara terus dengan VCM. Melalui platform dalam talian itu, anda boleh melihat stok yang ada, jangkaan tempoh penghantaran, harga, memilih pengedar dan membuat bayaran secara selamat.

    “Sejak pengenalan platform jualan dalam talian ini, perjalanan pelanggan kami untuk memiliki sebuah Volvo telah bertambah baik secara dramatik melalui ketelusan dan paparan stok yang ada. Bermula hari ini, kami menawarkan semua model Pure Electric dalam platform ini dan akan berusaha untuk memasukkan lebih banyak model Volvo yang lain tidak lama lagi,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

    Sebagai bonus, pelanggan yang membuat tempahan sebarang model Pure Electric dari 1 Mei hingga 30 Jun tahun ini akan layak menerima baucar wallbox RM7,000 dan insurans Volvo Car Insurance selama setahun. Anda boleh melayari laman jualan dalam talian VCM melalui pautan ini.

     
     
  • Penutupan jalan pada waktu malam di Lebuhraya Kajang Silk dilaksanakan pada 26-27 Mei 2023

    Penutupan jalan pada waktu malam di Lebuhraya Kajang Silk dilaksanakan pada 26-27 Mei 2023

    Klik untuk besarkan

    Ini ada makluman buat pengguna Lebuhraya Kajang Silk. Prolintas selaku pengendali lebuhraya terbabit telah mengumumkan penutupan jalan sementara di kedua-dua arah ke Kajang dan Putrajaya di Sungai Ramal berhampiran Food Valet dan JB Autoworld pada 26-27 Mei 2023 dari jam 10 malam hingga 6 pagi.

    Ia adalah bagi memberi laluan kepada aktiviti pemasangan struktur jejantas pejalan kaki baharu. Struktur jejantas tersebut akan siap dipasang dalam tempoh seminggu.

    Penutupan jalan pada waktu malam di Lebuhraya Kajang Silk dilaksanakan pada 26-27 Mei 2023

    Klik untuk besarkan

    Sepanjang penutupan jalan itu, pengguna yang menuju ke arah Putrajaya perlu membelok ke kiri selepas stesen minyak Shell bersebelahan N9 Food Court dan menggunakan jalan dalam selari dengan lebuh raya sehingga anda melepasi lokasi penutupan jalan tersebut.

    Bagi yang menuju ke Kajang/Cheras, ia melibatkan lencongan besar menerusi Bangi. Keluar dari susur E18 dan menuju ke Seksyen 9 Bandar Baru Bangi dan terus ke arah padang golf dan Econsave. Kemudian belok ke kiri di Jalan Reko dan kembali semula ke Lebuhraya Kajang Silk.

    Sila teliti laluan alternatif seperti mana yang dipaparkan pada gambarajah di atas, dan amalkan pemanduan selamat. Patuhi isyarat trafik dan papan tanda yang terletak di lokasi berkenaan.

     
     
  • Proton buka pusat 3S baharu di Puncak Jalil

    Proton buka pusat 3S baharu di Puncak Jalil

    Proton bersama rakan pengedarnya, Atiara Johan Group, telah pun melancarkan pusat 3S baharu yang terletak di Puncak Jalil. Dikendalikan oleh anak syarikat Atiara Johan, Jaya Johan Sdn Bhd, pusat 3S baharu itu menerapkan teknologi mesra alam dengan dilengkapi sistem solar.

    Ia juga menempatkan bilik pameran yang luas untuk keselesaan pelanggan yang ingin mendekati model Proton pilihan mereka, memperbaharui insuran serta ruang menunggu untuk pelanggan, ruang hidangan makanan dan minuman. Selain itu, ia turut menyediakan 10 ruang servis yang mampu menampung kapasiti sehingga 60 kereta sehari dan pusat alat ganti untuk memberikan perkhidmatan yang pantas.

    Perkhidmatan perantara untuk menghantar dan mengambil turut disediakan bagi kemudahan pelanggan yang tinggal berdekatan dan ingin pulang ke rumah atau dibawa ke tempat lain semasa menunggu kereta mereka diservis.

    Eric Moo, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Atiara Johan, berkata bahawa pusat 3S baharu ini
    terletak dengan strategik berdekatan dengan Bukit Jalil dan Taman Equine, menjadikannya mudah
    bagi pelanggan di kawasan-kawasan ini untuk melawat dan menghantar kereta mereka untuk servis
    dan pembaikan.

    “Kami mengalu-alukan pelanggan jauh dan dekat untuk berkunjung ke premis baharu kami ini. Walaupun ia merupakan pusat 3S, kami juga menyediakan kerja-kerja mengecat badan kenderaan dengan sokongan pusat 4S Atiara Johan Sdn Bhd di Puchong,” ujarnya.

    “Pelanggan juga dijamin akan mendapatkan perkhidmatan menyeluruh yang berkualiti untuk semua keperluan kenderaan anda kerana ia dilengkapi dengan teknologi terkini dan mesin-mesin yang ditingkatkan,” kata Kok Kam Chyuen, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Johan Sdn Bhd.

    Pusat 3S baharu ini terletak di T 59674, Persiaran Puncak Jalil, Taman Puncak Jalil, PJU 6, 43300 Seri Kembangan. Ia merupakan cawangan ketiga Proton bagi Atiara Johan Group yang turut memiliki pusat 1S dan 4S Proton di Puchong.

     
     
  • MBSA umum bayaran parkir di kawasan jajahannya kini boleh dibuat menerusi aplikasi JomParking

    MBSA umum bayaran parkir di kawasan jajahannya kini boleh dibuat menerusi aplikasi JomParking

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan pengguna kini boleh membayar kadar parkir di kawasan jajahannya dengan menggunakan aplikasi JomParking.

    Jika anda pengguna baharu bagi JomParking, ini ada berita baik untuk anda. Sempena dengan kerjasama MBSA, terdapat kod promo untuk pengguna baharu. Muat turut aplikasi ini dari Google Play atau App Store, daftar dan gunakan kod promo JPFREE untuk mendapatkan 100 token percuma.

    Sebelum ini, jiran sebelah Shah Alam, iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya telah mengumumkan kadar bayaran parkir dua jam boleh dibuat menerusi Touch n Go eWallet, selain aplikasi Setel. Terdahulu, ia hanya membenarkan penggunakan aplikasi Smart Selangor Parking dan Flexi Parking sahaja. Selain itu, JomParking juga digunakan sebagai salah satu aplikasi pembayaran parkir di jajahan MBSJ.

     
     
  • Toyota Alphard dan Vellfire 2023 – imej dari brosur rasmi bocor sebelum didedahkan secara rasmi Jun ini

    Toyota Alphard dan Vellfire 2023 – imej dari brosur rasmi bocor sebelum didedahkan secara rasmi Jun ini

    Model generasi baharu untuk MPV ikonik Toyota iaitu kembar Alphard dan Vellfire dilaporkan bakal didedahkan pada bulan Jun ini. Namun laman Car and Drive dari Jepun memberikan laporan yang lebih istimewa – ia disertakan dengan imej bocor model baharu tersebut yang didakwa diambil dari brosur rasmi.

    Berdasarkan imej berkenaan, Alphard masih tampil dengan gril hadapan bersaiz besar. Ia diapit dengan lampu hadapan yang direka dengan jalur LED nyalaan siang bina dalam yang nampak serasi dengan gril berkenaan. Manakala pada bahagian sisi bampar ia diberikan kemasan berbentuk-J yang menempatkan lampu kabus.

    Manakala untuk Vellfire, ia seperti biasa tampil lebih sporty dengan garis-garis lebih tajam. Vellfire menerima gril dengan jalur-jalur krom melintang, manakala lampu nyalaan siangnya pula direka dengan jalur tunggal yang tebal. Perumah lampu kabus pula direka lebih besar sebagai liang udara palsu.

    Alphard dan Vellfire generasi baharu diasaskan dari platform Toyota New Global Architecture (TNGA) dari varian GA-K. Ia tampil dengan rekaan tiang-A seperti kembar lebih kecil Noah dan Voxy, dengan panel direka lebih ke hadapan dan diberikan cermin suku sisi hadapan lebih besar bagi memberikan visual dari kabin lebih baik.

    Secara asasnya, bentuk badan Alphard dan Vellfire ini baharu ini menyerupai varian lebih mewahnya iaitu Lexus LM yang sudahpun didedahkan pada April lalu. Pada model generasi sebelumnya, Alphard, Vellfire dan LM bukan sahaja berkongsi kerangka badan, malah diberikan unit rangkaian kuasa yang sama – dijangka konsep yang sama akan diteruskan pada model generasi baharu ini.

    Sedikit perincian lain pada Alphard sudah tersebar dari imej sesi latihan produk sebelum ini. Ia termasuk bahagian lampu belakang yang kini direka lebih nipis bersama grafik LED seiras lampu nyalaan siang hadapan, serta bahagian dalaman dengan skrin infotainmen bersaiz besar pada papan pemuka, skrin sesentuh untuk penumpang belakang, dan juga bumbung panaromik untuk kabin belakang.

    GALERI: Pembentangan produk Toyota Alphard 2023 yang bocor sebelum ini

     
     
  • Toyo Open Country A/T 3 kini di Malaysia — tayar AT untuk SUV, 4×4 dan trak; 14 saiz; harga dari RM500

    Toyo Open Country A/T 3 kini di Malaysia — tayar AT untuk SUV, 4×4 dan trak; 14 saiz; harga dari RM500

    Ketika pengenalan tayar Proxes Sport 2, Toyota Malaysia turut membuat penampilan pertama bagi tayar Toyo Open Country A/T III (OPAT3) untuk pasaran tempatan. OPAT3 ini merupakan tayar semua permukaan untuk SUV, 4×4 dan trak pikap, dan model generasi terbaru ini menampilkan alun sisi yang dipertingkat untuk memberikan cengkaman lebih baik di permukaan mencabar.

    Tayar OPAT3 ini menggantikan model Open Country A/T Plus, dengan aspek utama yang diberikan peningkatan ialah kendalian permukaan kering, dengan manfaat untuk cengkaman off-road. Carta sesawang Toyo juga menunjukkan ada peningkatan kebisingan: perkara yang memang perlu dijangka untuk tayar AT.

    Menurut pengeluar dari Jepun ini, indeks cengkaman OPAT3 di kawasan sentuhannya naik mencecah 41% berbanding model OP Plus yang digantikannya: ini sebuah penambahbaikan yang signifikan. Indeks cengkaman ini dikira daripada corak elemen yang berkesan untuk cengkaman dalam kawasan sentuhan antara tayar dan permukaan.

    Ini semua disumbangkan oleh rekaan corak bunga, yang menerapkan corak kebisingan rendah, cengkaman off-road yang lebih baik dan perlindungan daripada kerosakan akibat penembusan batu. Turut ada ialah blok cengakaman. Jika diteliti corak bunga tayar ini, boleh kelihatan blok dan alun zig zag — ia memperbaiki cengkaman daripada kesan bucunya, serta yang kedua mempertingkat prestasi off-road.

    Tayar AT Toyo terbaru ini, yang dipasang pada kenderaan demo Mitsubishi Triton dan Toyota Hilux GR Sport — turut menampilkan ciri rekaan dinding sisi yang khas untuk lebih ketahanan dan perlindungan daripada kerosakan luaran. Tayar Open Country A/T III ditawarkan dalam 14 saiz, dari 15 hingga 20-inci, dengan harga bermula dari RM500 hingga RM1,200 sebuah.

     
     
  • Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

    Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

    Pelumba touring car muda negara Hayden Haikal terus menggungguli siri Kejohanan Idemitsu Super Turbo 2023 di Thailand dengan memenangi Race 2 dan tempat keenam dalam Race 1 pada pusingan kedua perlumbaan tersebut yang berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buriram pada 19 hingga 21 Mei lalu.

    Hayden yang baru berumur 18-tahun memandu Toyota Vios bernombor #437 pasukan Wing Hin Motorsport jelas mendominasi kategori Junior siri berkenaan- kelas dengan enjin NA berkapasiti sehingga 1,550 cc – dengan memenangi tiga dari empat perlumbaan musim 2023 yang sudah berlangsung setakat ini. Malah Hayden turut menjadi antara pencabar kepada jentera-jentera turbo yang lebih berkuasa dalam kategori lebih tinggi.

    Namun untuk mencapai keputusan cemerlang ini bukan satu tugas mudah buat Hayden. Vios yang dipandunya mengalami kemalangan pada sesi latihan bebas pada hari Jumaat. Tetapi dengan usaha pasukannya yang berjaya memperbaiki kereta berkenaan hanya dalam masa tiga jam, Hayden berjaya mencatatkan masa ketiga terpantas pada sesi kelayakan pada hari yang sama.

    Hayden Haikal menang perlumbaan kali ketiga Idemitsu Super Turbo Championship 2023 di Thailand

    Cabaran getir terus dihadapi oleh Hayden di mana dia berhadapan dengan masalah transmisi apabila perlumbaan sudah masuk ke babak pertengahan, dan ketika itu dia sedang mempertahankan kedudukan pendahulu perlumbaan dalam kategori Junior dan ke-12 secara keseluruhan.

    Dengan hanya gear lima yang berfungsi, Hayden masih dapat menamatkan perlumbaan 12 lap di litar sepanjang 4.554 km itu di tempat ke-6 dalam kategorinya serta ke-21 secara keseluruhan!

    “Saya dapat bersaing dengan baik dengan pendahulu kelas dan saya berjaya menjarakkan diri darinya sehinggalah tiba-tiba kereta yang saya pandu tidak boleh diturunkan gear dari gear 5. Syukur kami dapat menyelesaikan masalah tersebut untuk perlumbaan kedua pada hari Ahad,” kata Hayden.

    Segalanya dicurahkan pada Race 2 hari berikutnya di mana Hayden berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kedua dalam kelasnya dan ke-8 secara keseluruhan. Nasib menyebelahi Hayden kali ini apabila pemenang perlumbaan kemudiannya dikenakan penalti kerana melanggar peraturan, membolehkan Hayden diisytihar sebagai juara Race 2 dalam kategorinya.

    Siri Idemitsu Super Turbo Championship untuk musim 2023 sudahpun bermula pada Mac lalu, dan musim ini merupakan penyertaan pertama buat Hayden dalam kejohanan tersebut. Dengan menang tiga dari empat perlumbaan, Hayden kini mendahului carta pungutan mata juara keseluruhan dalam kelas Junior.

    Pusingan ketiga dan juga yang terakhir untuk Idemitsu Super Turbo Championship 2023 ini akan berlangsung pada 16 hingga 18 Jun nanti, juga di Litar Antarabangsa Chang.

    “Kami akan bersatu semula, dan dengan pengalaman serta pelajaran yang ditimba minggu ini, fokus kami kini adalah mensasarkan kemenangan keseleuruhan kejuaraan,” kata Hayden.

    Di Malaysia, Hayden merupakan bintang muda yang menyerlah dalam siri perlumbaan Vios Challenge Toyota Gazoo Racing Festival, dan pernah menjadi juara kategori Sporting dan Super Sporting, menewaskan pelumba-pelumba yang jauh lebih berpengalaman.

     
     
  • Toyo Proxes Sport 2 dilancar di Malaysia — tayar UHP generasi kedua, 31 saiz 18″ hingga 20″, dari RM700

    Toyo Proxes Sport 2 dilancar di Malaysia — tayar UHP generasi kedua, 31 saiz 18″ hingga 20″, dari RM700

    Toyo Tires kini telah memperkenalkan tayar Toyo Proxes Sport 2 untuk pasaran Malaysia, sebuah tayar ultra prestasi tinggi (UHP) sebagai lanjutan kepada penawaran Toyo Proxes Sport. Model baru ini dipertingkatkan kemampuan breknya serta prestasinya ketika basah.

    “Proxes Sport 2 dioptimumkan untuk janaan enjin tork tinggi, untuk memberikan kendalian mengujakan untuk semua pemandu lincah. Melalui komitmen kami untuk inovasi dan kecemerlangan, kami yakin siri tayar ini akan menjadi pilihan utama bagi pemandu yang menginginkan tayar ultra prestasi tinggi,” ujar Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia, Tan Song Chye.

    Proxes Sport 2 diberikan penambahbaikan di tiga bahagian — kompaun asymmetric baru, rekaan struktur baru dan rekaan corak bunga baru. Ini menjadikan kemampuannya jarak brek dalam keadaan keringnya ialah 4% lebih pendek berbanding Proxes Sport, sementara jarak brek dalam keadaan basah pula 16% lebih pendek berbanding model lama.

    Kompaun bunga asymmetric yang ada di separuh bahagian dalam tayar ini berbeza berbanding kompaun bahagian paling luar. Menggunakan Teknologi Nano Balance Toyo, sebahagian paling dalam menerima rekaan matrik polimer anjal dan silika penyuraian tinggi, sementara sebahagian luarnya menerima rekaan matriks polimer elastik dan silika terkumpul dengan kawalan penyuraian.

    Idea di sebalik corak kompaun asymmetric itu ialah untuk mempunyai kompaun yang anjal untuk bahagian dalam serta kompaun keras di bahagian luar. Yang di dalam meningkatkan sentuhan dengan permukaan jalan, sementara yang di luar memperkukuhkan bentuk ketika bebanan berat. Dengan ini, kendalian dan membrek dapat ditambah baik.

    Toyo Proxes Sport 2 dilancar di Malaysia — tayar UHP generasi kedua, 31 saiz 18″ hingga 20″, dari RM700

    Kompaun corak asymmetric berkenaan disokong oleh struktur lebih kuat, menampilkan lapisan atas yang lebih keras dan lingkaran keras maksimum. Corak ini juga menerapkan rekaan taper dinamik dengan alun sisi yang memperbaiki prestasi membrek dengan menekan tekanan bucu alun ketika membrek. Ini memberikan sentuhan permukaan dengan agihan sekata dan mempertingkatkan kekerasan blok.

    Toyo Proxes Sport 2 ini datang dalam 31 saiz dari 18-inci hingga 20-inci, merangkumi tayar untuk kereta segmen C hinggalan kelas eksekutif kompak premium, seperti yang ditunjukkan oleh model kenderaan yang digunakan untuk demonstrasi — BMW 3 Series, Mercedes-Benz C-Class dan Lexus IS. Harga pula bermula antara RM700 hingga RM1,300 setiap satu.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia pada April 2023 turun 41%

    Jualan kenderaan di M’sia pada April 2023 turun 41%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan untuk bulan April 2023, menyaksikan sejumlah 46,583 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli. Ini melibatkan penyusutan sebanyak 41% berbanding bulan Mac 2023 dengan mencatatkan jualan sebanyak 78,849 unit.

    Tidak menghairankan apabila Mac 2023 mencatatkan jumlah tertinggi memandangkan semua syarikat kereta berusaha untuk memenuhi tempahan yang dibuat dalam tempoh pengecualian cukai jualan. MAA turut berkata jumlah jualan bulan lalu turut terdorong dengan cuti Hari Raya serta hari bekerja yang lebih pendek.

    Berbanding bulan yang sama pada tahun lalu, April 2023 mencatatkan jumlah yang lebih rendah sebanyak 19%, manakala April 2022 pula dengan jualan sebanyak 57,606 unit. Walau bagaimana pun, jualan keseluruhan industri setakat ini bagi tahun 2023 adalah sebanyak 239,183 unit berbanding 217,452 unit pada 2022. Untuk bulan Mei 2023, MAA menjangkakan jumlah jualan lebih tinggi berbanding April 2023 disebabkan isu rantaian bekalan yang semakin berkurangan dan tempoh hari bekerja yang lebih panjang.

    Untuk produksi pula, April 2023 menyaksikan sejumlah 41,160 unit kenderaan dipasang, lebih rendah berbanding 76,069 unit yang direkodkan pada Mac 2023. Malahan jumlah produksi pada bulan lalu juga kurang berbanding tempoh yang sama pada April 2022 yang menghasilkan sebanyak 54,734 unit. Bagi jumlah keseluruhan produksi setakat ini, sehingga akhir April 2023, ia merekodkan sejumlah 239,554 unit, lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu sebanyak 208,894 unit.

     
     
  • Siri pendaftaran FF catat kutipan RM34.2 juta, tertinggi sejak JPJeBid dilancarkan – RM950k untuk FF 8

    Siri pendaftaran FF catat kutipan RM34.2 juta, tertinggi sejak JPJeBid dilancarkan – RM950k untuk FF 8

    Siri nombor pendaftaran dari Putrajaya, FF, yang dibuka bidaannya menerusi JPJ eBid baru-baru ini telah berjaya menjana hasil kutipan tertinggi dalam sejarah nombor pendaftaran JPJ dengan jumlah RM34,296,327.

    Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, seramai 34,032 orang telah menyertai bidaan bagi siri tersebut dan seramai 8,348 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

    “Ini menunjukkan satu sistem atas talian yang telus boleh menjana hasil yang lebih tinggi untuk kerajaan. JPJ akan terus berusaha untuk memperluaskan dan menambahbaik perkhidmatan digital untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” kata Loke menerusi sidang media di Parlimen pagi ini.

    Menurut beliau, nombor pendaftaran FF 8 menerima nilai bidaan tertinggi mencecah RM950,000, diikuti dengan FF 9 bernilai RM911,999. Manakala nombor pendaftaran FF yang turut menerima bidaan tertinggi ialah FF 3 (RM639,000), FF 2 (RM638,000) dan FF 7 (RM633,000).

    Bagi nombor pendaftaran FF 199, ia menerima 34 bidaan iaitu tertinggi dalam bidaan FF, disusuli dengan FF 51 dengan 32 bidaan. Manakala FF 155, FF 555 dan FF 1688 masing-masing dengan 29 pembida.

     
     
  • Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel berdasarkan sistem PADU – Salahuddin Ayub

    Pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 dan diesel berdasarkan sistem PADU – Salahuddin Ayub

    Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini akan digunakan untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

    Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pangkalan data bersepadu itu akan meneliti semua data sedia ada bagi membolehkan subsidi bersasar berkenaan diberikan kepada sasaran yang tepat, laporan Harian Metro.

    “Kabinet sudah bincang isu subsidi bersasar RON95 dan diesel yang akan dilaksanakan tahun depan. Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sudah dimaklumkan, segera teliti semua data daripada pelbagai agensi kerajaan supaya dapat disepadukan dengan sistem PADU yang dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

    “Ia bagi selaras semua data pelbagai agensi kerajaan yang ada. Apabila kita kuat kuasakan subsidi bersasar ini, kita akan pastikan ia benar-benar tepat sasarannya, tiada ketirisan. Itu yang kita harapkan,” katanya.

    Pada Khamis lalu, beliau telah mengesahkan bahawa kerajaan dijangka melaksanakan pemberian subsidi bersasar untuk bahan api petrol RON95 dan diesel mulai awal tahun hadapan

    Katanya, keputusan itu dicapai menerusi perbincangan pada MTEN pada Rabu lalu, dan ia akan dimulakan secara berperingkat dimulakan dengan bahan api diesel terlebih dahulu.

     
     
  • KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Kaedah pemilikan kenderaan secara ‘sambung bayar‘ sudah lama digunakan dalam masyarakat dan membawa pelbagai insiden yang menyebabkan ramai pihak teraniaya, sama ada pada pihak pemilik asal atau pembeli.

    Justeru, Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam sekali lagi menegaskan bahawa sebarang kontrak yang ditandatangani bagi tujuan sambung bayar kenderaan adalah tidak sah.

    Menurutnya dalam laporan Sinar Harian, di bawah perjanjian sewa beli yang dimeterai antara pemunya dengan penyewa, terdapat satu syarat di mana penyewa tidak boleh menjual kenderaan tersebut tanpa kebenaran pemunya dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Sewa Beli 1967 iaitu memfraud pemunya.

    Ingin diingatkan di sini pemunya adalah bermaksud bank atau institusi kewangan yang memberikan pembiayaan kenderaan, manakala penyewa pula adalah pelanggan yang membeli kenderaan tersebut menerusi pembiayaan dari pihak bank.

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Azman menjelaskan walau bagaimanapun penyerahan hak-hak di bawah perjanjian sewa beli adalah dibenarkan di bawah Seksyen 12 Akta Sewa Beli 1967 dengan kebenaran pemunya.

    “Sekiranya penyewa berniat untuk menyerahkan haknya ke atas kenderaan di bawah perjanjian sewa beli, penyewa terbabit hendaklah merujuk dan memaklumkan niatnya kepada pihak pemunya (institusi kewangan) bagi mendapatkan kebenaran serta kelulusan pemunya.

    “Seterusnya jika pemunya bersetuju, perjanjian sewa beli di atas nama penyewa tidak akan ditamatkan tetapi dokumen ‘assignment’ disediakan oleh bank untuk ditandatangani oleh penyewa asal, bank dan penyambung bayar dengan mengekalkan hak serta liabiliti penyewa asal sepanjang tempoh assignment berkuat kuasa dengan syarat penyambung bayar tiada dalam senarai hitam institusi kewangan,” katanya.

    Beliau kemudiannya menerangkan bahawa istilah ‘sambung bayar’ yang sering digunakan sekarang disifatkan sebagai penyerahan hak milik kenderaan dan kepentingan penyewa kepada mana-mana orang tanpa kebenaran serta kelulusan pemunya (institusi kewangan) di dalam satu perjanjian sewa beli yang masih berkuat kuasa.

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Menurutnya lagi, pada kebiasaannya aktiviti sambung bayar ini berlaku di luar pengetahuan pemunya (institusi kewangan) di mana penyewa akan membuat rundingan secara terus bersama pihak penyambung bayar akan niatnya untuk ‘menjual’ kenderaan yang masih tertakluk di bawah suatu perjanjian sewa beli.

    “Penyambung bayar pula hanya perlu menyediakan bayaran pendahuluan yang kecil dan menyambung bayaran ansuran bulanan kepada pemunya bagi pihak penyewa.

    “Kebiasaannya, persetujuan antara penyewa dengan pihak penyambung bayar akan dimeterai melalui suatu kontrak bertulis atau berjabat tangan sahaja,” jelasnya.

    Azman menyatakan antara sebab berlakunya aktiviti sambung bayar adalah penyewa tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan, penyambung bayar dalam senarai hitam institusi kewangan, penyambung bayar tidak perlu menyediakan wang pendahuluan yang banyak selain proses pembelian kenderaan yang mudah.

    KPDN tegaskan sebarang kontrak ‘sambung bayar’ untuk pembelian kenderaan adalah tidak sah

    Beliau menjelaskan pembelian kereta sambung bayar ini bukan sahaja menyukarkan institusi kewangan untuk mengesan kenderaan jika pihak penyambung bayar gagal membayar ansuran bulanan kenderaan, malah penyewa juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

    “Selain itu, penyewa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 38 Akta Sewa beli 1967 dan boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

    “Ini juga berkemungkinan mengakibatkan berlaku penipuan sekiranya pihak penyambung bayar gagal membuat bayaran ansuran kepada institusi kewangan seperti yang telah dipersetujui dan boleh menyebabkan nama penyewa disenarai hitamkan,” katanya.

    Azman turut menyatakan penyewa juga mungkin akan menerima saman di atas kesalahan-kesalahan yang tidak dilakukan dan boleh disabitkan dengan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh pihak penyambung bayar.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANA kini dibuka untuk dibida

    JPJ eBid: Siri ANA kini dibuka untuk dibida

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia sudah pun boleh dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANA, telah pun dibuka bidaan sejak 20 Mei 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 24 Mei ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 25 Mei 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Jualan Daihatsu Rocky/Toyota Raize dihentikan di Jepun; kesalahan ketika ujian keselamatan dikesan

    Jualan Daihatsu Rocky/Toyota Raize dihentikan di Jepun; kesalahan ketika ujian keselamatan dikesan

    Susulan kes salah laku Daihatsu dalam ujian keselamatan terhadap model-model berasaskan platform DNGA sebelum ini melibatkan model-model termasuk Toyota Vios, Perodua Axia dan Toyota Yaris Cross, pakar penghasilan kereta kompak Jepun yang bernaung di bawah Toyota tersebut menjalankan siasatan dalaman lanjut berkenaan proses perolehan pensijilan R95 itu.

    Siasatan itu kemudiannya telah menemui bahawa ada lagi salah laku dalam ujian telah dilakukan membabitkan kembar Toyota Raize Hybrid dan Daihatsu Rocky Hybrid. Kedua-dua model berkenaan didapati menjalani ujian UN R135 yang tidak sempurna.

    Bagi ujian ini, kenderaan berkenaan perlu diuji dalam pelanggaran sisi dengan tiang pada kedua-dua sisi. Apa yang terjadi dalam ujian kali ini adalah Daihatsu hanya membuat ujian pelanggaran tersebut pada sebelah sisi penumpang. Ujian untuk sebelah sisi pemandu pula tidak dibuat, sebaliknya ia hanya menggunakan data dari keputusan pelanggaran bahagian penumpang untuk mendapatkan kelulusan ujian itu.

    Jualan Daihatsu Rocky/Toyota Raize dihentikan di Jepun; kesalahan ketika ujian keselamatan dikesan

    Sejumlah 78,440 kenderaan melibatkan 22,329 unit Rocky Hybrid dan 56,111 unit Raize Hybrid terlibat dalam insiden ini. Buat masa sekarang, jualan kedua-dua model berkenaan dihentikan sementara waktu di Jepun, dan langkah seterusnya yang akan diambil masih sedang dibincangkan.

    Seperti yang disebut di atas, insiden kali ini hanya melibatkan model yang menerima unit rangkaian kuasa hybrid yang tidak dijual pada pasaran ASEAN. Namun pada September tahun lalu, Perodua ada menawarkan 300 unit Ativa Hybrid yang sebenarnya merupakan Rocky Hybrid JDM yang di bawa dari Jepun untuk satu program langganan khas untuk pelanggan terpilih.

    Buat masa sekarang Perodua masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan status Ativa Hybrid berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025