Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Banjir kilat melanda laluan Seremban ke Bandar Ainsdale di KM263 arah utara di Lebuhraya PLUS

    Banjir kilat melanda laluan Seremban ke Bandar Ainsdale  di KM263 arah utara di Lebuhraya PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaporkan bahawa insiden banjir kilat sedang berlaku di KM263 (arah utara) di antara laluan Seremban ke Bandar Ainsdale. Ia mendorong pihak PLUS untuk menutup lorong kecemasan, lorong kiri (arah utara) dan lorong kanan (arah selatan) di laluan terbabit, sekaligus menyebabkan kesesakan trafik sejauh 7.2 km.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut memaklumkan terdapat kemalangan melibatkan sebuah lori yang terbalik di laluan yag sama.

    Justeru, PLUS menasihati semua pengguna di laluan terbabit agar memandu lebih berhati-hati selain teruskan bersabar sekiranya anda tersekat dalam kesesakan di lokasi terbabit. Sila patuhi arahan petugas dan papan tanda trafik di lokasi kejadian. Anda juga boleh memilih menggunakan laluan alternatif bagi melancarkan perjalanan anda.

     
     
  • JPJ kini sediakan transaksi guna e-dompet di semua kaunter di seluruh negara – TnG, GrabPay, MAE, Boost

    JPJ kini sediakan transaksi guna e-dompet di semua kaunter di seluruh negara – TnG, GrabPay, MAE, Boost

    Sejajar dengan usaha ke arah perkhidmatan pembayaran tanpa tunai dan berasaskan digital, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) secara rasmi telah melancarkan pilihan pembayaran tanpa tunai bagi perkhidmatannya, dengan menyediakan transaksi menggunakan e-dompet untuk semua urus niaga di kaunter JPJ seluruh negara. Pilihan transaksi menggunakan e-dompet ini adalah melalui aplikasi Touch ‘n Go, GrabPay, MAE atau Boost.

    JPJ memaklumkan bahawa terdapat peningkatan positif dalam penggunaan transaksi tanpa tunai bermula tahun 2024, ketika projek fasa perintis dilaksanakan di JPJ Kuala Lumpur. Sejak itu, pelaksanaan kaedah pembayaran ini diperluas secara berperingkat di seluruh negara, melibatkan pengaktifan 1,183 unit terminal Electronic Data Capture (EDC) serta aplikasi M-Device di semua kaunter JPJ.

    Bagi menjayakan usaha ini, siri latihan intensif turut diadakan untuk pegawai JPJ yang ditugaskan di kaunter dari Februari hingga Mac 2025 bagi memberikan pemahaman menyeluruh berhubung prosedur penerimaan, pelaporan sistem MySikap dan semakan transaksi dalam sistem tersebut.

    JPJ kini sediakan transaksi guna e-dompet di semua kaunter di seluruh negara – TnG, GrabPay, MAE, Boost

    JPJ turut memaklumkan bahawa pada tahun 2024, sebanyak 43.01 juta transaksi tanpa tunai telah direkodkan dengan jumlah kutipan RM4.87 bilion, dan daripada jumlah itu, sebanyak 805 transaksi tanpa tunai berjumlah RM73,109.20 telah dibuat melalui pembayaran e-dompet di kaunter.

    Sementara itu, bagi tahun 2025, jabatan tersebut menyatakan bahawa sehingga 24 Ogos, sebanyak 46.5 juta transaksi tanpa tunai telah direkodkan dengan kutipan sebanyak RM5.6 bilion. Transaksi melalui e-dompet di kaunter dan aplikasi MyJPJ juga telah meningkat kepada 245,626 transaksi, dengan jumlah kutipan sebanyak RM19.6 juta.

    JPJ juga percaya pelaksanaan ini akan terus meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai di semua kaunter. Ia juga menyatakan bahawa inisiatif ini akan mengurangkan kebergantungan kepada wang tunai, meminimumkan risiko keselamatan kewangan dan pada masa yang sama menyokong usaha kerajaan mewujudkan persekitaran kerja tanpa tunai.

     
     
  • Sambungan NPE2 dimuktamad – lebuhraya bertingkat sepanjang 15 km dari Jalan Istana ke Pantai Dalam

    Sambungan NPE2 dimuktamad – lebuhraya bertingkat sepanjang 15 km dari Jalan Istana ke Pantai Dalam

    Satu perjanjian konsesi tambahan (SCA) telah ditandatangani antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dan New Pantai Expressway (NPE) bagi memuktamadkan sambungan lebuhraya atau NPE Extension sepanjang 15 km, serta melanjutkan tempoh konsesi sehingga tahun 2057, menurut kenyataan kementerian tersebut. NPE Extension yang digelar NPE2 ini akan dihubungkan dengan NPE, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Laluan Istana-Kiara (LIKE) yang bakal dibangunkan.

    Diumumkan awal tahun ini, NPE2 merupakan laluan bertingkat sepenuhnya dari Plaza Tol Pantai Dalam ke Persimpangan Jalan Istana melalui Jalan Syed Putra. Pembinaan sambungan lebuhraya tersebut dijadualkan bermula pada suku keempat tahun ini, dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun, menurut IJM.

    IJM turut menyatakan bahawa projek ini merangkumi pembinaan Plaza Tol Syed Putra baharu, walaupun perkara ini sedikit janggal memandangkan ia hanya dijadualkan siap pada tahun 2029, melepasi rancangan kerajaan untuk melaksanakan kutipan tol tanpa palang (MLFF) menjelang 2027. Menteri Kerja Raya juga menyebut bahawa NPE2 akan menyokong pelaksanaan MLFF.

    Sambungan NPE2 dimuktamad – lebuhraya bertingkat sepanjang 15 km dari Jalan Istana ke Pantai Dalam

    NPE Extension akan membantu mengurangkan kesesakan, memendekkan masa perjalanan dan meningkatkan akses ke pusat bandar, di samping menyokong mobiliti harian penduduk serta perniagaan secara bersepadu dengan pengangkutan awam. Dengan pembiayaan yang telah diperoleh dan perancangan yang sedang berjalan, kami akan memulakan pembinaan menjelang suku terakhir 2025,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan IJM, Datuk Lee Chun Fai dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    Dengan menyediakan laluan alternatif, NPE2 dijangka melencongkan sehingga 40% aliran trafik yang kini melalui Jalan Bangsar menuju ke pusat bandar, dan alternatif ini berpotensi mengurangkan masa perjalanan sehingga 25 minit dari Pantai Dalam ke pusat Kuala Lumpur, menurut kenyataan IJM.

    Tambahnya, pelarasan jajaran baharu ini juga akan melengkapi fungsi penyuraian trafik pada laluan sedia ada di NPE dengan mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di Jalan Pantai Dalam, Jalan Bangsar, Jalan Syed Putra dan Jalan Istana, di samping meningkatkan lagi keberkesanan serta daya tahan keseluruhan rangkaian lebuhraya.

     
     
  • Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Dalam temubual bersama paultan.org baru-baru ini, pengarah urusan Stellantis ASEAN iaitu Isaac Yeo mendedahkan bahawa dua jenama yang sudah tidak beroperasi di Malaysia iaitu Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Alfa Romeo merupakan jenama automotif dari Itali, manakala Jeep adalah jenama SUV dari Amerika Syarikat di mana kedua-duanya sebelum ini di miliki oleh Fiat Chrysler Automobiles (FCA), dan kini berada di bawah Stellantis iaitu kumpulan automotif yang terbentuk hasil gabungan FCA dan Groupe PSA.

    Menurut Yeo, kedatangan semula dua jenama ikonik ini ke Malaysia kelak bukanlah secara besar-besaran dan bukan diuruskan secara terus oleh Stellantis Malaysia yang kini sedang menumpukan perhatiannya terhadap jenama Leapmotor, serta mengatur semula jenama Peugeot di sini. Sebaliknya Alfa Romeo dan Jeep akan diuruskan oleh entiti berbeza yang disifatkan sebagai ‘sistem model hibrid’ mengoperasikan perniagaan ‘gaya butik’ yang sesuai untuk menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil.

    “Kami akan membawa Jeep dan Alfa di bawah sistem model hibrid. Saya percaya kedua-dua jenama ini, dalam masa dua tahun seterusnya, akan mempunyai asas pelanggan, tetapi saya mahu kekalkan dalam masa dua tahun kepada perniagaan gaya butik. Saya tidak akan memasuk ke pasaran besar-besaran,” kata Yeo.

    Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Walau bagaimanapun model perniagaan tersebut mungkin hanya untuk jangka masa pendek, dan mungkin Stellantis akan mengambil alih sepenuhnya semula selepas dua tahun.

    “Sebabnya juga adalah kerana produk saya untuk generasi seterusnya akan berevolusi – dalam masa dua tahun saya akan mempunyai barisan model yang banyak. Kedua-duanya adalah jenama-jenama ikonik yang lama, jadi ada minat yang besar tetapi dalam masa yang sama turut ada banyak keraguan, jadi saya mahu kekalkan ia kecil dan mudah diurus berbanding terus kearah mod NSC (syarikat jualan nasional) penuh”, jelas Yeo.

    Sepanjang temubual ini, Yeo kerap menggunakan perkataan ‘relevan’ yang membayangkan sasaran utama Stellantis Malaysia buat masa sekarang adalah untuk kekal bersaing secara kompetitif dengan bergantung kepada jenama EV baharunya dari China, disokong oleh dua jenama dalam pasaran nic.

    “Saya ada banyak jenama untuk dimainkan, tetapi saya perlu bersedia dengan setiap jenama tersebut. Untuk kami sekarang, Leapmotor adalah tumpuan, dan gaya butik untuk Jeep dan Alfa Romeo. Ini akan membolehkan saya kekal relevan. Saya tak perlu untuk berada di atas, hanya perlu relevan, tetapi saya akan membuat penampilan semula,” jelas Yeo.

    Jadi apa model-model yang boleh dijangka akan ditawarkan di Malaysia dari dua jenama ikonik ini? Buat masa sekarang Alfa Romeo mempunyai dua model utama iaitu kembar sedan Giulia dan SUV Stelvio, diikuti model-model lebih kecil iaitu SUV Tonale dengan saiz seperti BMW X1, serta SUV EV kompak digelar sebagai Junior yang tentunya akan bersaing dengan Volvo EX30 sekiranya ia dilancarkan di sini.

    Manakala untuk Jeep, sudah tentu model ikoniknya iaitu Wrangler pasti ditunggu peminatnya di sini. Jenama ini juga mempunyai SUV yang lebih sesuai digunakan setiap hari seperti Compass dan juga Cherokee generasi ke enam yang kini digerakkan oleh unit rangkaian kuasa hibrid elektrik dengan enjin 1.6 liter turbo. Jeep juga sudah ada SUV EV untuk pasaran global iaitu Wagoneer S.

    Dengan strategi yang sudah dinyatakan bahawa dua jenama ini akan menjual kenderaan dalam jumlah yang kecil, sudah tentu ia tidak akan dijual dalam versi pemasangan tempatan (CKD) di sini, dan bakal diimport sepenuhnya (CBU). Jadi sudah tentu harganya juga lebih tinggi dari jenama-jenama Jepun, dan juga jenama dari Jerman yang turut telah mempunyai fasiliti produksi CKD di Malaysia.

    Alfa Romeo dan Jeep bakal kembali ke Malaysia tidak lama lagi – terap jualan gaya butik dengan jumlah kecil

    Namun pasti ada sahaja pengguna yang mahukan sesuatu yang unik dan ditawarkan oleh dua jenama dengan warisan sejarah tersendiri ini, tambahan pula ia datang dengan sokongan khidmat selepas jualan dari pengeluar rasmi, membolehkan kedua-duanya ‘relevan’ dalam pasaran tempatan.

    Sebelum keluar dari pasaran Malaysia sebelum ini, kali terakhir Alfa Romeo berada dalam pasaran tempatan diuruskan oleh Sime Darby. Syarikat itu telah mendapat hak pengedaran Alfa Romeo sejak 2005, namun hanya pada 2009 Sime Darby Auto Italia melancarkan model-model seperti 159, GT, Brera dan Spider, tetapi hanya bertahan sehingga 2013.

    Manakala untuk Jeep, ia sebelum ini dijual secara rasmi di Malaysia oleh DRB-Hicom antara 2014 hingga 2017, dan pernah mempunyai ibu pejabat yang besar di Glenmerie dengan menawarkan empat model utama.

     
     
  • JPJ eBid: VPS dan QRW bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukannya untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur dan Sarawak bakal dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WP Kuala Lumpur, VPS bakal dibuka bidaannya bermula 1 September. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 September. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 September 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QRW, bakal dibuka bidaan mulai 2 September. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 6 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 7 September 2025.

    Jadi, sekarang ini anda boleh menjimatkan masa dan wang ringgit dengan membida sendiri nombor pendaftaran yang anda hajati tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner). Tak susah pun untuk membidanya dan anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk tujuan bidaan ini.

     
     
  • smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Anak syarikat Proton, Pro-Net Sdn Bhd selaku pengedar rasmi kenderaan elektrik jenama smart di Malaysia bakal memperkenalkan sebuah lagi model terbaru jenama itu untuk pasaran tempatan dalam tahun ini juga, iaitu model smart #5. Ini merupakan model ketiga smart untuk pasaran Malaysia, sejak pengenalan smart #1 pada November 2023 dan juga smart #3 pada Julai 2024.

    Dipertontonkan kepada wakil media awal minggu ini, smart #5 menjadi model jenama itu yang besar di sini, setakat ini — ia sebuah SUV elektrik dalam segmen C yang akan menjadi pesaing kepada beberapa model baru SUV elektrik yang lain dalam kelas yang sama seperti Zeekr 7X yang baru sahaja dilancarkan minggu lalu, Tesla Model Y, Xpeng G6, BYD Sealion 7, BMW iX3 dan Mini Countryman SE.

    smart #5 2025 dibangun menggunakan platform SEA3/PMA2+ (antaranya sama dengan Zeekr 7X) dan mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 4,695 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,705 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,900 mm. Sekadar perbandingan dengan model Honda CR-V, model popular segmen C bukan-EV itu mempunyai ukuran 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar, 1,681 mm tinggi dengan jarak roda 2,701 mm — dua model ini mempunyai panjang yang hampir sama, tetapi jarak roda yang sedikit berbeza. Seperti kebiasaan penawaran bagi model elektrik, ukuran dimensinya akan sedikit besar berbanding ukuran bagi segmen yang sama bagi model bukan-EV.

    Untuk pasaran Malaysia, bakal ada tiga varian yang akan diperkenalkan nanti: smart #5 Pro, Premium dan juga Brabus. Untuk tujuan preview ini, hanya dua varian yang ditunjuk, iaitu Premium dan Brabus — dengan beberapa perkara yang masih sedang diperhalusi bagi tahap akhir untuk penawaran tempatan.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Spesifikasi utama yang membezakan setiap varian adalah seperti berikut:

      smart #5 Pro

    • Binaan EV: 400V
    • Output motor elektrik: 340 PS (335 hp dan 250 kW) dan 373 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 6.9 saat
    • Laju maksimum: 200 km/j
    • Bateri: 76 kW lithium iron phosphate (LFP)
    • Range (WLTP): 465 km
    • Pengecasan AC: 11 kW; 10-80% dalam masa 8.5 jam
    • Pengecasan DC: 150 kW; 10-80% dalam masa 30 minit
    • smart #5 Premium

    • Binaan EV: 800V
    • Output motor elektrik: 363 PS (358 hp atau 267 kW) dan 373 Nm; RWD
    • 0-100 km/j: 6.5 saat
    • Laju maksimum: 200 km/j
    • Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 590 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit
    • smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

      smart #5 Brabus

    • Binaan EV: 800V
    • Output motor elektrik depan: 224 PS (221 hp atau 165 kW) dan 270 Nm
    • Output motor elektrik belakang: 421 PS (416 hp atau 310 kW) dan 440 Nm
    • Keseluruhan output sistem: 646 PS (637 hp atau 475 kW) dan 710 Nm; AWD
    • 0-100 km/j: 3.8 saat
    • Laju maksimum: 210 km/j
    • Bateri: 100 kWj nickel cobalt manganese (NCM)
    • Jarak (WLTP): 540 km
    • Pengecasan AC: 22 kW; 10-80% dalam masa 4.5 jam
    • Pengecasan DC: 400 kW; 10-80% dalam masa 15 minit

    Dari segi rekaan, berbanding dengan dua model smart sebelum ini, smart #5 menampilkan rekabentuk berkotak dan tegap. Model sebelumnya memiliki rekabentuk yang sangat berbeza — begitu juga dengan wajah depan antara mereka yang saling tak sama — dengan membawakan imej lengkung yang sangat sinonim dengan tanggapan meluas terhadap sesebuah kenderaan EV secara umum.

    Wajah depan smart #5 juga unik dengan adanya empat lampu kecil di sepanjang garis lebar kereta ini, yang dilengkapi dengan lampu utama matrix LED Cyberlight, dengan DRL dalam bentuk yang bujur sama seperti lampu kecil yang dinyatakan itu.

    Imej rekaan yang sama ini turut dihadirkan untuk bahagian belakang; empat lampu kecil berkenaan juga ada di sana. smart #5 dari belakang juga kelihatan tegap dan lebar dengan bahagian cermin dan tiang D yang yang tebal dan tegak.

    Yang membezakan penampilan antara varian ialah rekaan bampar. Pro dan Premium menggunakan rekaan yang sama, dengan bahagian apron bawah ada tiga jalur menegak, yang diletak di belakang skid plate warna badan dengan jalur melintang. Turut ada ialah bukaan udara sebenar bersegi di sudutnya.

    Bampar untuk varian Brabus pula tampil lebih garang, terutama bahagian bawahnya, lengkap dengan perincian merah bagi menandakan aspirasi sportnya. Perincian merah ini turut menghiasi bahagian lain untuk versi Brabus, misalnya landasan di bumbung dan angkup brek.

    Jika anda perhatikan dari dekat, di bahagian cermin depan, belakang dan sisi kereta ini ada didatangkan dengan ikon panda yang comel — antaranya yang sedang minum kopi dan tidur. Mungkin ini melambangkan ikon haiwan yang sangat terkenal di China, atau memberi bayangan bahawa smart #5 ini tetap membawa semangat “comel” yang sama dalam pendekatan rekaannya.

    Sentuhan lain yang menunjukkan smart #5 ini adalah sebuah SUV EV premium adalah seperti tingkap pintu tanpa bingkai, bumbung panoramik kaca yang luas (1.7 meter dengan penghadang matahari kuasa elektrik), pintu ruangan barang belakang kuasa elektrik, lambang di rim yang kekal rata (untuk Premium) serta sensor NFC di tiang B untuk digunakan dengan kad kunci atau telefon pintar dengan aplikasi.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Di dalam, elemen rekaan bujur yang nampak diluar diteruskan dengan ketara. Papan pemuka yang rapat ke cermin depan, dalam sekali lihat nampak seperti skateboard deck; saiznya besar terbentang di tengah dengan menempatkan dua skrin sentuh bersaiz 13-inci AMOLED 2.5K. Menurut smart, rekaan papan pemuka ini sebenarnya mengambil ilham daripada tie clip.

    Skrin utama di tengah adalah untuk kegunaan fungsi infotainmen, dengan skrin yang kedua di depan penumpang depan menempatkan fungsi yang dikurangkan dan bertujuan untuk kendalian dan penggunaan media. Untuk pemandu, tersedia kluster instrumen digital 10.3-inci dan juga head-up display 25.6-inci dengan augmented reality.

    Sistem kereta ini dikuasakan oleh cip AMD V2000, yang turut melibatkan storan sebesar 256 GB dan memori 24 GB — sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto juga disediakan, berserta dengan capaian terhadap ChatGPT, bantuan suara digital dan kemaskini perisian over-the-air (OTA). Seperti juga #1 yang hadir dengan avatar musang dan #3 dengan avatar cheetah, #5 kini menggunakan avatar singa.

    Satu lagi penawaran yang memikat bagi Premium dan Brabus adalah sistem bunyi dari Sennheiser, dengan output puncak 2,000 watt, audio AMBEO 3D (tetapan 7.1.4), Dolby Atmos serta dengan 20-pembesar suara dengan satu daripadanya akan turun-naik dari bahagian papan pemuka. Selain itu, ada juga sistem lampu ambient dengan 256-warna yang menawarkan 36 tetapan pencahayaan.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Kemasan ruang kabin smart #5 ini juga sangat menarik, dengan 90% daripadanya terdiri daripada material permukaan lembut, termasuklah kulit Nappa (Premium) dan gentian mikro Dinamica (Brabus). Walaupun untuk varian Premium yang ditunjukkan ini menggunakan balutan kulit warna coklat, versi yang akan dijual di pasaran tempatan nanti adalah dengan warna hitam.

    Bagi aspek praktikaliti, smart #5 ini menyediakan ruang but seluas 630 liter (termasuk 110 liter di bawah lantai), dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan merebahkan kerusi. “Frunk” juga memberikan ruang tambahan: bagi Pro dan Premium yang dipacu roda belakang, 72 liter tersedia, sementara untuk Brabus dengan pacuan semua roda, 40 liter tersedia di depan. Selain itu, ada 34 ruang storan lain untuk kereta ini.

    Kamera yang ada untuk #5 juga lebih baik daripada model #1 dan #3: kini resolusinya lebih tinggi. Unit di depan kini 8-megapiksel (berbanding 1.7 megapiksel), sementara empat lagi kamera yang membolehkan paparan sekeliling kini 3 MP (daripada 1.3 MP). #5 juga datang dengan kamera belakang 3MP yang tiada untuk dua model sebelumnya itu.

    Untuk sistem keselamatan, kamera berkenaan berserta lima radar dan 12 penderia ultrasonik akan memberi input kepada cip Nvidia Drive OrinX untuk membolehkan fungsi pencegahan pintar kereta ini, seperti AEB depan dan belakang, bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar adaptif, pengesan titik buta, amaran perlanggaran depan dan banyak lagi.

    smart #5 ditunjuk di Malaysia — hingga 646 PS, 590 km WLTP, 800V, cas 400 kW, 10-80% dalam masa 15 minit

    Kelengkapan standard untuk varian Pro antaranya termasuklah kerusi balutan kulit buatan untuk kerusi dan kemasan pintu, lampu tinggi automatik, pintu ruang kargo kuasa elektrik, tiga mod pemanduan (Eco, Comfort dan Sport), lampu ambient 256-warna, serta tujuh beg udara.

    Premium pula menerima tambahan antaranya pintu kargo belakang larasan sensor kaki, pemegang pintu terselindung dan bercahaya, lampu LED di bahagian sill plates, kulit Nappa (stereng, kerusi, kemasan pintu), lampu tinggi adaptif, larasan lampu utama automatik, lampu kedudukan dinamik dan fungsi tambahan untuk lampu ambient.

    #5 Brabus pula menerima tambahan mod pemanduan Snow, Sand, Mud, Rock, Adaptive dan Brabus. Ia juga datang dengan suspensi sport (ada suspensi udara untuk pasaran China) dan simulasi bunyi enjin.

    Untuk Premium, ada empat pilihan warna di berikan: Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby dan Saturn Beige (dalam gambar) — semuanya dengan bumbung warna Eclipse Black dan warna kabin Shadow Black. Brabus juga menerima warna bumbung dan kabin yang sama, tetapi dengan pilihan warna badan luarannya terdiri daripada Atom Grey Matte (gambar), Meta Black dan Digital White.

    Untuk harga, belum ada sebarang petunjuk diberikan. Melihat kepada penawar sedia ada smart di Malaysia dengan model #1 (antara RM169,000 hingga RM249,000) dan #3 (RM175,000 hingga RM255,000), sebagai model flagship tentulah #5 ini akan lebih mahal.

    Sekadar mencari bayangan harga dengan membandingkan harga model-model pesaingnya seperti dinyatakan pula: Zeekr 7X (RM179,800 hingga RM226,800), Xpeng G6 (RM168,820 hingga RM188,820) dan BYD Sealion 7 (RM184,500 hingga RM200,500) dengan Tesla Model Y pula lebih mahal (RM195,450 hingga RM242,450).

    smart #5 Premium 2025

    smart #5 Brabus 2025

     
     
  • Harga minyak 28 Ogos-3 Sept – diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Harga minyak 28 Ogos-3 Sept –  diesel di semenanjung, RON97 dinaikkan masing-masing tiga sen seliter

    Seperti biasa, petang Rabu sebegini mesti ramai yang menantikan pengumuman Kementerian Kewangan (MOF) tentang harga runcit petrol dan diesel untuk minggu seterusnya.

    Untuk minggu bertarikh 28 Ogos hingga 3 September 2025, harga runcit petrol RON97 dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, menjadi RM3.16 seliter berbanding RM3.13 seliter pada minggu sebelumnya. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, masih dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Untuk harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia, ia juga dinaikkan sebanyak tiga sen seliter menjadi RM2.88 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Pada 23 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga runcit bagi petrol RON 95 akan diturunkan ke RM1.99 seliter apabila penyasaran subsidi dilaksanakan kelak. Perincian penuh mengenai penyasaran subsidi bahan api itu bakal diumumkan menjelang akhir September 2025, katanya menerusi ucapan ‘Penghargaan Buat Rakyat Malaysia’.

    Manakala pada 26 Ogos, Menteri MoF II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, “Pada masa ini, kerajaan berada di fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan bagi subsidi petrol RON95 bersasar, dengan perbincangan bersama semua pihak berkepentingan yang relevan. Ini termasuk meneroka pelbagai mekanisme pelaksanaan, seperti menguji penggunaan MyKad, e-dompet, dan aplikasi syarikat minyak, bagi memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan cekap serta tidak menyulitkan rakyat.”

     
     
  • Proton eMas 7 kini datang dengan penutup ruang kargo, pemilik sedia ada juga akan diberi percuma

    Proton eMas 7 kini datang dengan penutup ruang kargo, pemilik sedia ada juga akan diberi percuma

    Seperti yang diumumkan ketika pelancaran model kemaskini Proton eMas 7 2025 bulan lalu, SUV EV berkenaan kini telahpun menerima penutup ruang kargo belakang (tonneau cover). Aksesori ini bukan hanya diberikan pada eMas 7 yang baru keluar dari bilik pameran sahaja, malah pemilik-pemilik eMas 7 sedia ada turut akan menerima aksesori yang berharga RM300 ini secara percuma.

    Menurut Proton ketika pelancaran eMas 7 2025 tempoh hari, tambahan penutup ruang kargo ini adalah hasil maklum balas yang diberikan oleh pelanggan. Proton memberikan penutup berkenaan dengan kemasan fabrik seakan gentian karbon, dan ia disulam dengan loga ‘Proton eMas’ pada bahagian hujung kanan aksesori tersebut.

    Walaupun kemasannya nampak seperti aksesori aftermarket kerana tidak sepadan dengan kemasan-kemasan dalaman standard eMas 7 ini, ia menampilkan fungsi yang baik untuk ‘menyembunyikan’ barang-barang yang disimpan dalam but belakang dari pandangan luar cermin, untuk privasi lebih baik.

    Tingkat taraf ini mungkin akan diberikan pada model EV kedua Proton dengan saiz lebih kecil iaitu eMas 5. Namun ia mungkin tidak akan ditawarkan terus ketika pelancarannya nanti dan hanya akan diberikan secara percuma selepas beberapa tempoh.

    Antara peningkatan lain yang turut diberikan pada eMas 7 2025 ini termasuk kemaskini OTA yang memberikan fungsi Apple CarPlay yang boleh digunakan sama ada menggunakan wayar atau tidak, dan juga fungsi Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki (Low-Speed Pedestrian Warning), di mana bunyi ‘lagu lori aiskrim‘ sedia ada sudah boleh dimatikan, atau diganti dengan dua pilihan bunyi baharu iaitu Space Walk atau Galactic Note.

    Bagi pengguna Android, Proton sebelum ini telah mengumumkan bahawa fungsi Android Auto bakal boleh digunakan pada suku keempat tahun ini, juga akan dibuat menerusi kemaskini secara OTA.

     
     
  • Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan, CRF250 Rally 2025 kini sudah tiba di Malaysia dengan dijual pada harga RM28,599 tidak termasuk insurans. Harga ini masih sama seperti CRF250 Rally yang dilancarkan pada tahun lepas.

    Melalui siaran akhbar yang diedarkan kepada media, model ini tidak diberitahu menerima sebarang peningkatan kecuali warna baru yang dipanggil sebagai Extreme Red, bersama tempat duduk yang berwarna biru.

    Tetapi jika anda perhatikan lebih teliti, panel tepi berhampiran ekzos berubah sedikit, sama seperti CRF300 Rally 2025 yang diperkenalkan untuk pasaran luar dan lampu penunjuk arah hadapan dan belakang juga kini menggunakan unit LED yang lebih nipis.

    Honda CRF250 Rally 2025 tiba di Malaysia – RM28.6k

    Kemudiannya, CRF300 Rally 2025 juga menerima penambah baikan sistem penyejukan serta suspensi yang ditala semula. CRF250 Rally pasaran Malaysia bagaimanapun masih belum dapat dipastikan sama ada menerima penambah baikan sama atau tidak.

    Bahagaian lain tidak berubah, dengan CRF250 Rally masih dipacu oleh enjin satu silinder DOHC 249 cc dengan sistem suntikan bahan api, menghasilkan kuasa 25 hp pada 9,000 rpm dan tork 21.9 Nm pada 6,500 rpm. Ia disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac assist & slipper serta pacuan rantai.

    Sebagai sebuah motosikal yang dicipta untuk kegunaan lasak, CRF250 Rally datang dengan tetapan rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, dipegang oleh masing-masing fork teleskopik Showa 43 mm serta monoshock Showa dengan sambungan Pro-Link.

    Tugas membrek dijalankan oleh unit cakera tunggal 296 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 220 mm dengan angkup satu piston di belakang. Sistem ABS diberikan secara standard dan ia boleh ditutup dengan butang khas yang disediakan berhampiran panel meter LCD. Secara keseluruhannya CRF250 Rally ini mencatat berat 153 kg dan datang dengan tangki bahan api 12.8 liter.

     
     
  • Jetour Malaysia sudah terima lebih 2,000 tempahan, 1,000 unit diserah, 30 pengedar menjelang hujung 2025

    Jetour Malaysia sudah terima lebih 2,000 tempahan, 1,000 unit diserah, 30 pengedar menjelang hujung 2025

    Jetour Malaysia mengumumkan telah mencatat kejayaan membanggakan sejak memulakan pemasangan tempatan model SUV mereka pada Jun lalu, dengan lebih 2,000 tempahan diterima dan lebih 1,000 unit model Dashing serta VT9 telah pun diserahkan kepada pelanggan.

    Seiring dengan perkembangan ini, syarikat itu menyasarkan untuk menambah jumlah pengedarnya di seluruh negara kepada 30 menjelang akhir tahun 2025, berbanding 20 cawangan yang beroperasi ketika ini.

    Ketika ini, rangkaian pengedaran Jetour merangkumi beberapa lokasi strategik termasuk Bukit Jalil, Klang, Cheras, Sungai Long, Setia Alam, Kepong, Damansara, Puchong, Glenmarie, Jalan Kuching, Ampang, Ipoh, Pulau Pinang, Alor Setar, Johor Bahru dan Melaka. Kesemua cawangan ini menawarkan perkhidmatan lengkap yang meliputi jualan, servis, alat ganti serta kerja-kerja badan dan cat kenderaan.

    Bagi memperluas lagi capaian jenamanya di Malaysia, Jetour merancang untuk membuka cawangan baru di lokasi-lokasi seperti Petaling Jaya, Seri Kembangan, Putrajaya, Sunway, Kota Damansara, Seremban, Sungai Petani, Bayan Lepas, Kuantan, Temerloh, Bentong, Kota Bharu, Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Selain itu, cawangan tambahan juga akan dibuka di Kepong, Ipoh dan Melaka.

    Model Jetour Dashing yang ditawarkan bermula dari harga RM110,000 dan VT9 dari RM119,000, kedua-duanya dipasang di kilang Berjaya Assembly yang terletak di Tampoi, Johor dengan keluasan 640,000 kaki persegi. Jetour Malaysia sebelum ini turut mengumumkan pelan pelaburan tambahan berjumlah RM1.4 bilion untuk memperkenalkan lebih banyak model pemasangan tempatan (CKD) serta RM216 juta bagi menubuhkan pusat penyelidikan dan pembangunan serantau di Asia Pasifik

     
     
  • iCaur 03 bakal dilancar di Malaysia pada 9 Sept ini – varian 2WD, AWD; jangkaan harga RM145k-RM155k

    iCaur 03 bakal dilancar di Malaysia pada 9 Sept ini – varian 2WD, AWD; jangkaan harga RM145k-RM155k

    iCaur Malaysia telah mendedahkan bakal melancarkan model elektrik (EV) pertamanya untuk pasaran Malaysia iaitu iCaur 03 pada 9 September ini. Model SUV EV tersebut pernah dipertontonkan buat pertama kalinya menerusi acara Malaysia Autoshow tahun lalu tapi diperkenalkan sebagai Jaecoo J6.

    Untuk pasaran Malaysia, iCaur 03 akan ditawarkan dengan dua varian, dan harga jangkaanya dari RM145,000 untuk 03 2WD, manakala 03 iWD pula dijangka bermula RM155,000.

    Dengan ukuran panjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm dan tinggi 1,715 mm, serta jarak roda 2,715 mm, model 03 ini tampil dengan penampilan yang mengagumkan, dan bagi yang menggemari bentuk kotak serta maskulin, ia pasti menarik perhatian anda.

    iCaur 03 bakal dilancar di Malaysia pada 9 Sept ini – varian 2WD, AWD; jangkaan harga RM145k-RM155k

    Bagi varian 03 2WD, ia dijanakan oleh motor belakang dengan output 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork 220 Nm, yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Kuasa motor ini dibekalkan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) 65.69 kWh, yang mampu memberikan jarak perjalanan sekitar 426 km mengikut standard NEDC (atau sekitar 355 km mengikut WLTP).

    Untuk 03 iWD pula, seperti namanya, ia dilengkapi dengan sistem pacuan semua-roda dwimotor, terdiri daripada motor gandar hadapan 95 PS (94 hp atau 70 kW) dengan tork 165 Nm, digabungkan dengan motor gandar belakang yang sama seperti varian 2WD (184 PS/220 Nm). Gabungan ini menghasilkan jumlah output sistem sebanyak 279 PS (275 hp atau 205 kW) dan tork 385 Nm. Konfigurasi ini membolehkan 03 dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.5 saat, dengan kelajuan maksimum 150 km/j.

    Varian iWD turut dilengkapi bateri LFP berkapasiti sedikit lebih besar, iaitu 69.8 kWh, yang menawarkan jarak perjalanan 418 km mengikut NEDC (atau 342 km mengikut WLTP, sama seperti model jenama sub-Chery, Jaecoo J6). Kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC sehingga 80 kW, yang boleh mengecas bateri daripada 30% hingga 80% yang mengambil masa sekitar 30 minit. Bateri ini juga menyokong pengecasan AC sehingga 6.6 kW.

    Perincian dan spesifikasi untuk pasaran Malaysia hanya akan didedahkan pada pelancarannya pada 9 September ini. Cuma apa yang kami tahu, antara ciri bagi kelengkapannya adalah termasuk iRoad dengan enam mod pemanduan, skrin sesentuh infotainmen 15.6-inci dan panel instrumen digital 9.2-inci serta sistem bunyi Infinity dengan 12-pembesar suara.

    Selain itu, ia juga didatangkan dengan bantuan pemanduan ADAS Tahap 2.5, antaranya merangkumi lane assist, adaptive cruise control dan traffic jam assist.

    Selain EV 03, iCaur turut merancang untuk melancarkan tiga lagi modelnya di pasaran Malaysia pada tahun ini, dengan dua lagi model ialah 03T, iaitu versi 03 yang lebih lasak dan sporty, serta V23, yang dijangka ditawarkan pada harga hampir sama dengan 03 dan 03T.

    GALERI: iCAUR 03 iWD yang dipertontonkan di Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: PRW dan BSN dibuka untuk bidaan

    Tahun 2025 makin menghampiri pengakhirannya, makin banyak syarikat pengeluar kenderaan mengadakan pelbagai promosi jualan menarik termasuk menawarkan diskaun dan rebat tunai untuk model baharu mereka. Mungkin anda ada berhajat untuk memiliki kenderaan baharu, jadi inilah masa yang sesuai untuk membelinya. Bagi yang sudah menempah kenderaan baharu, ini ada siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang dan Selangor dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Pulau Pinang, PRW, sedang dibuka bidaannya sejak 25 Ogos lalu. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 29 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 30 Ogos 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BSN, bakal dibuka bidaan mulai 9 September. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 13 September, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 September 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia dan P.UP perkenalkan servis pengecasan mudah alih bagi EV untuk pemilik EQ

    Mercedes-Benz Malaysia dan P.UP perkenalkan servis pengecasan mudah alih bagi EV untuk pemilik EQ

    Mercedes-Benz Malaysia bersama dengan Power-Up (P.UP) oleh Nazamax Malaysia, telah memperkenalkan pelan MB Platinum 5, sebuah program langganan pengecasan mudah alih eksklusif untuk pemilik Mercedes-Benz EQ.

    Perkhidmatan ini menyediakan pengecasan EV mudah alih mengikut permintaan pemilik, yang akan digerakkan ke lokasi pelanggan menggunakan sebuah van. Servis P.UP ini menyediakan pengecasan pantas sehingga 120 kW terus ke lokasi pengguna, membolehkan ia selesai dengan cepat dan mudah.

    Pelan MB Platinum 5 menawarkan lima sesi pengecasan setiap bulan (sehingga 80% SoC), yang setiap satunya disertakan dengan cucian kereta, vakum dan pengilatan tayar, sepanjang tempoh langganan sama ada satu, enam atau 12 bulan. Pelan itu turut termasuk yuran servis dan parkir percuma hingga RM5 setiap sesi.

    Mercedes-Benz Malaysia dan P.UP perkenalkan servis pengecasan mudah alih bagi EV untuk pemilik EQ

    Pelanggan boleh menempah melalui aplikasi P.UP, dengan van akan dihantar terus ke lokasi EV mereka — sama ada di rumah, tempat kerja atau destinasi lain — untuk lebih kemudahan dan menjimatkan masa.

    “Dalam usaha kita memperkukuh mobiliti elektrik di Malaysia, kami komited untuk memperkaya pengalaman pemilikan keseluruhan bagi semua pelanggan EV kami. Kerjasama dengan P.UP memperluas visi kami untuk menyediakan bukan hanya kenderaan berteknologi canggih, tetapi juga servis penyelesaian menyeluruh yang memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang,” jelas Timbalan Presiden Khidmat Pelanggan, Mercedes-Benz Malaysia & SEA II, Edmin Naidoo.

    Perkhidmatan percubaannya telah dimulakan di Pulau Pinang pada September 2024, dan kini tersedia di Lembah Klang dengan tiga unit van. Ia akan dilancarkan juga di Johor Bahru pada suku pertama 2026, dan diperluas ke seluruh Semenanjung pada separuh kedua tahun depan.

     
     
  • Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-68!

    Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-68!

    MSF Merdeka Race kembali lagi untuk edisi ke-8, dan untuk tahun 2025 ini Malaysia Speed Festival (MSF) sekali lagi mendapat sokongan dari jenama petrol nasional, Petronas Primax. Bagi acara tahun ini, cabaran bagi perlumbaan utama bertambah mencabar di mana ia menampilkan perlumbaan sebanyak 111-lap berbanding 99 lap tahun lalu dan 88 lap pada 2024!

    Dengan menggunakan keseluruhan Litar Antarabangsa Petronas Sepang sepanjang 5.534 km, ini bermakna pertarungan dalam perlumbaan utama MSF Super Turismo Merdeka 111 Endurance tersebut dijangka akan berlangsung selama lima-jam tanpa henti.

    Enam kelas akan dipertandingkan dalam MSF Super Turismo Merdeka 2025 ini, di mana pemenang keseluruhan akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM5,000; tempat kedua keseluruhan RM3,000, dan tempat ketiga keseluruhan RM2,000. Manakala untuk setiap kelas, pemenang tempat pertama menerima RM3,500, diikuti RM1,500 untuk tempat kedua dan RM1,000 untuk tempat ketiga.

    Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-68!

    Untuk peminat motosikal, perlumbaan MotoMSF Superbikes pula akan menampilkan pertarungan endurance sebanyak 33-lap, berbanding hanya 12-lap pada tahun lalu. Perlumbaan yang dijangka akan berlangsung selama 90 minit ini akan menyaksikan setiap pasukan akan menampilkan dua motosikal dan dua orang penunggang yang perlu membuat pitstop mandatori, menjadikan ia satu perlumbaan yang mengikut format endurance sebenar.

    Pemenang keseluruhan MotoMSF Superbikes akan menerima hadiah wang tunai bernilai RM8,000; tempat kedua menerima wang tunai RM5,000, ketiga RM3,000, keempat RM2,000, kelima RM1,5000.

    “Kami berbesar hati untuk mengumumkan bahawa Petronas Primax meneruskan penglibatan mereka dalam MSF Merdeka Race sebagai Rakan Media. Ini digabungkan dengan sokongan rakan kongsi lama kami yang lain EXN Lube, Rennplatz, Vision Motorsports, Momentum Autosport, dan bateri kereta Energizer; dengan tayar rasmi kami untuk MSF SuperTurismo adalah GITI Tires MotoMSF Superbikes adalah Pirelli,” Prinsipal MSF Adian Yein Khalid.

    Petronas-MSF Merdeka Race 2025 bakal tampil pertarungan sengit 111-lap pada Hari Merdeka ke-68!

    “Memang sentiasa menjadi tradisi kamu untuk meningkatkan cabaran setiap tahun dan itulah yang kami lakukan dengan perubahan format dalam MSF SuperTurismo dan MotoMSF Superbikes tahun ini. Walaupun MSF terus mengutamakan perlumbaan mampu milik dan mampan untuk orang ramai, kami sama-sama komited untuk memastikan perkara ini dilakukan dengan cara yang tersusun dan progresif bagi bakat peserta kami, dan akan terus meningkatkan bakat peserta kami.”

    Selain dari perlumbaan utama MSF SuperTurismo, perlumbaan-perlumbaan sokongan kereta dan motosikal lain turut akan diadakan dalam MSF Merdeka Race 2025. Ia termasuk perlumbaan 40-minit untuk empat kelas iaitu SuperSeries; Tuner Production; SkillDRVN one-make race; dan Campro Cup, serta perlumbaan 75 minit+1 lap untuk Saga dan Myvi Cup.

    Manakala untuk motosikal MSF turut menampil perlumbaan unik American V-Twin Cup by Prodigy Racing yang disertai oleh motosikal-motosikal Amerika Syarikat seperti Harley Davidson dan Indian Motorcycle.

    Seperti namanya, aksi-aksi perlumbaan MSF Merdeka Race 2025 ini akan bermula pada sambutan Hari Kemerdekaan negara iaitu pada Ahad, 31 Ogos bermula dengan perlumbaan American V-Twin Cup dan pukul 11 pagi, diikuti MotoMSF Superbikes 33-lap bermula pukul 12 tengah hari. Perlumbaan utama MSF SuperTurismo Merdeka 111-lap pula akan bermula pada pukul 5 petang.

    Bagi anda yang berminat untuk menyaksikan perlumbaan ini dari dekat, tiket masuk yang lengkap untuk akses ke paddock dan pit dijual pada harga RM35, dan ia dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 11 malam. Tiket dijual ketika hari perlumbaan, dan khas untuk pengguna aplikasi Setel, anda boleh membeli tiket dengan menggunakan mata ganjaran sebanyak 2,500 mata.

    Bagi kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, masuk adalah percuma. Pelbagai barangan rasmi dan juga trak makanan disediakan ketika perlumbaan berlangsung.

     
     
  • iCaur Glenmarie dilancarkan – cawangan pengedaran pertama untuk jenama ini di Malaysia dan di dunia!

    iCaur Glenmarie dilancarkan – cawangan pengedaran pertama untuk jenama ini di Malaysia dan di dunia!

    iCaur Malaysia mencatatkan satu kejayaan yang membanggakan apabila melancarkan pusat pengedaran pertamanya di Malaysia, iCaur Glenmarie, yang juga merupakan wakil pengedaran pertama di dunia. Pusat pengedaran ini dikendalikan oleh Absolute Motor Sdn. Bhd selaku pengedar rasmi iCaur di Malaysia.

    iCaur Glenmarie seluas 18,912 kaki persegi ini direka sebagai hab gaya hidup serba lengkap, memenuhi pengalaman pemilikan yang penuh bertenaga. Ia menyediakan ruang pameran yang mampu menempatkan lima unit kereta, ruang rehat pelanggan yang mesra dengan Wi-Fi, kopi dan pastri percuma, ruang penghantaran khas, serta dua petak pengecasan EV persendirian. Berbeza daripada mana-mana pengedar kenderaan lain, ia juga menampilkan iCaur Arcade iaitu zon permainan khas untuk pelanggan dan pengunjung.

    Dari segi teknikal, iCaur Glenmarie menempatkan pusat servis selepas jualan dengan tiga petak servis serta satu petak khusus untuk penyesuaian. Sorotan tambahan termasuk bengkel khusus, kapasiti servis bulanan sehingga 300 kenderaan, dan pasukan seramai 30 kakitangan yang berkemahiran tinggi.

    Emily Lek selaku Timbalan Presiden iCaur Malaysia berkata, “Dalam tempoh kurang daripada empat bulan sejak penampilan sulung kami di Malaysia Autoshow 2025, iCaur telah meninggalkan kenangan yang tidak dapat dipadamkan di Malaysia, dengan menyampaikan mesej yang ringkas tetapi mendalam — Born to Play.

    “iCaur Glenmarie mencerminkan semangat itu, berdiri sebagai pengedar pertama bukan sahaja di Malaysia malah di dunia, serta menetapkan hala tuju untuk jenama yang menyerlahkan keperibadian dan ekspresi diri — disampaikan melalui model kenderaan yang berkeupayaan tinggi, berteknologi maju, serta ekosistem pelengkap yang menggalakkan pengembaraan pada setiap langkah,” tambahnya.

    Pengarah Urusan Absolute Motor, Andy Yap, pula berkata, “Menawarkan rekaan unik dan kejuruteraan yang hebat, komitmen teguh kami untuk menjadi pengedar iCaur pertama di Malaysia dan di dunia yang mencerminkan keyakinan kukuh terhadap jenama ini serta janji terhadap mobiliti mampan yang turut selari dengan gaya hidup para pemiliknya.”

    Menjelang pertengahan September ini, iCaur Malaysia dijangka akan mempunyai 18 pusat jualan dan sembilan pengedar penuh di seluruh negara, dengan Absolute Motor juga bakal mengembangkan dengan membuka cawangan tambahan dalam beberapa bulan akan datang.

    Terletak di lokasi strategik, iCaur Glenmarie boleh dikunjung di alamat No.12, Jalan Pendaftar U1/54, Kawasan Perindustrian Temasya, Shah Alam, Selangor. Ia beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada setiap Isnin hingga Sabtu, dan 9 pagi hingga 5 petang pada hari Ahad. Manakala pusat servisnya pula dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang pada setiap hari Isnin hingga Sabtu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025