Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • CFMoto 675NK dilancarkan di Malaysia – enjin tiga silinder 675 cc, suspensi Kayaba boleh laras, RM34k

    CFMoto 675NK dilancarkan di Malaysia – enjin tiga silinder 675 cc, suspensi Kayaba boleh laras, RM34k

    Satu lagi produk terbaru daripada CFMoto, iaitu 675NK kini tiba di pasaran Malaysia dengan dilancarkan pada harga RM33,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam dua warna, iaitu Glacier White dan Tundra Grey, bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Model ini sebenarnya berkongsi banyak persamaan dengan model sports 675 SR-R, tetapi ia datang dengan panel badan yang lebih ringkas sebagai versi naked. Walaubagaimanapun, prestasi masih lagi menjadi keutamaan.

    Menggerakkanya adalah enjin tiga silinder selari DOHC 675 cc berkemampuan 94 hp pada 11,000 rpm dan tork 70 Nm pada 8,250 rpm, disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan serta pacuan rantai. Turut diberi sekali adalah quickshifter yang boleh digunakan untuk menaikkan gear.

    Untuk pengendalian, motosikal ini datang dengan suspensi boleh laras daripada Kayaba, yang terdiri daripada fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock di belakang. Untuk menambahkan lagi stabiliti, di bahagian atas pemegang terdapat steering damper.

    Suspensi ini bersambung dengan rim 17 inci, bersama tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang, sementara tugas membrek pula dijalankan oleh kelengkapan daripada J.Juan, yang termasuk set berkembar dengan angkup empat piston di hadapan dan satu piston di belakang.

    Di bahagian elektronik, 675 NK datang terus dengan ABS dual-channel, sistem kawalan cengkaman dua tahap serta sistem pemerhati tekanan angin tayar, manakala panel instrumen pula terdiri daripada skrin TFT lima inci yang boleh disambung kepada telefon pintar.

    Berat keseluruhan 675NK adalah 189 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 15 liter. Turut disediakan adalah soket pengecas USB-C dan USB-A.

     
     
  • Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Mitsubishi Indonesia mula menyiarkan teaser untuk sebuah model baru yang namanya masih dirahsiakan. Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, kelihatan sebuah helikopter (seperti pengangkut yang digunakan askar) membawa kotak misteri dengan tulisan yang bermaksud “sudah bersedia untuk destinasi baru anda?”

    Kemudiannya untuk keterangan mereka meletakkan pula “sesuatu yang besar akan tiba. Bersedia untuk keterujaannya. Apa kata anda?” Ini memberi pertunjuk bahawa model baru tersebut mungkin bersaiz besar dan dengan pameran Gaikindo Indonesia International Motor Show (GIIAS) bakal berlangsung bulan depan, besar kemungkinan ia akan membuat penampilan sulungnya di sana.

    Kita juga boleh menjangkakan bahawa model misteri ini adalah versi produksi kepada DST Concept, sebuah SUV bersaiz sederhana yang pernah ditampilkan di Pameran Motor Antarabangsa Filipina pada Oktober 2024. Menurut Mitsubishi Motors Corporation (MMC), DST Concept memberi bayangan kepada model SUV tiga baris tempat duduk yang akan dilancarkan di rantau ASEAN seawal tahun 2025, iaitu antara April 2025 hingga Mac 2026 – yang bermakna kita kini berada dalam jangka masa itu.

    Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Presiden dan CEO MMC, Takao Kato sebelum ini pernah berkata, “Mitsubishi DST Concept mewakili SUV tiga baris tempat duduk baru yang akan dilancarkan dalam pelan perniagaan pertengahan kami, Challenge 2025. Model produksi ini akan dipasarkan terutamanya di rantau ASEAN termasuk Filipina bermula tahun fiskal 2025.”

    Tambah beliau, SUV baru ini akan mengikut jejak langkah Xpander, MPV crossover yang berjaya di ASEAN dan kemudiannya mendapat sambutan global, serta Xforce, SUV kompak yang diterima baik sejak diperkenalkan pada tahun fiskal 2023. “Kami mahu menjadikan SUV baharu ini sebagai kenderaan strategik global dengan identiti Mitsubishi yang tersendiri dan mampu memperluaskan kebebasan mobiliti pelanggan kami,” kata Kato.

    Model produksi DST akan menggunakan platform monocoque (bukan berasaskan trak seperti Pajero Sport) dan bukan juga pengganti kepada Xpander atau Xpander Cross. Ia adalah tambahan baru dalam barisan kenderaan utiliti Mitsubishi “untuk pelanggan yang mencari SUV tujuh tempat duduk yang selesa untuk semua penumpang.”

    Mitsubishi Indonesia siar teaser model besar baru – versi produksi bagi SUV DST Concept di GIIAS 2025?

    Dari segi rekaan, DST menampilkan elemen reka bentuk ‘Gravitas & Dynamism’ yang banyak berkongsi ciri dengan Mitsubishi Xforce, terutama pada bahagian hadapan dan belakang serta bentuk lampu. Kesan seperti kening pada lengkungan roda belakang yang terdapat pada Xforce kini juga kelihatan pada roda hadapan DST berikutan ketinggian badannya.

    Bahagian dalaman pula menampilkan kokpit luas dengan rekaan melengkung yang menghubungkan papan pemuka ke bahagian pintu. Tidak seperti Xforce, rekaan dalam DST ini lebih eksklusif dengan penggunaan bahan lembut premium serta bumbung panoramik besar yang membenarkan cahaya semula jadi masuk. Reka letak skrin berkembar, seperti yang ada pada Xforce, turut digunakan.

    Menariknya, walaupun Mitsubishi terkenal dengan sejarah kejayaan rali lasak seperti Dakar, model DST ini tidak dilengkapi pacuan semua roda (AWD). Sebaliknya, ia menggunakan pacuan roda hadapan (FWD) tetapi dikatakan masih mampu mengharungi pelbagai jenis permukaan jalan. Lima mod pemanduan disediakan untuk menyesuaikan dengan keadaan jalan di ASEAN – Wet, Tarmac, Normal, Gravel dan Mud.

     
     
  • JKR semak laporan penilaian keadaan turapan sebelum mulakan baikpulih Lebuhraya Timur-Barat

    JKR semak laporan penilaian keadaan turapan sebelum mulakan baikpulih Lebuhraya Timur-Barat

    Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang meneliti laporan akhir Penilaian Keadaan Turapan (PCA) bagi perancangan kerja-kerja baikpulih jalan raya, termasuk laluan kritikal seperti Lebuhraya Timur-Barat (JRTB), laporan Bernama.

    PCA adalah penting bagi mengenal pasti bahagian turapan yang rosak dan menentukan kaedah penyelenggaraan yang paling sesuai demi memastikan peruntukan yang ada digunakan secara optimum, kata Ketua Pengarah JKR Datuk Roslan Ismail.

    Bagi laluan Gerik-Jeli di JRTB, PCA telah dijalankan sejak 13 Mac menggunakan teknologi canggih seperti Multi Laser Profiler dan Falling Weight Deflectometer. “Kami memulakan penilaian tersebut pada awal tahun ini, dan kini ia berada di peringkat akhir,” kata Roslan.

    JKR semak laporan penilaian keadaan turapan sebelum mulakan baikpulih Lebuhraya Timur-Barat

    Berdasarkan laporan PCA, JKR akan menggunakan peruntukan sedia ada sebanyak RM55 juta untuk kerja-kerja pembaikan, dan sekiranya jumlah itu tidak mencukupi, ia akan memohon peruntukan tambahan. Sementara itu, Roslan turut menambah bahawa adalah mustahil untuk membaiki keseluruhan laluan dalam tempoh yang singkat disebabkan kos yang tinggi dan kemungkinan gangguan terhadap projek infrastruktur lain.

    Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) sepanjang 215 km telah dikenal pasti sebagai laluan strategik yang sering rosak akibat keadaan cuaca dan trafik yang tinggi, dan Roslan turut menambah bahawa sebarang kerja pembaikan jalan akan dilakukan secara berperingkat bagi mengelakkan pertindihan atau gangguan terhadap projek pembangunan lain yang sedang berjalan.

    Awal bulan ini, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata bahawa peruntukan sebanyak RM55 juta akan digunakan bagi menambah baik Lebuhraya Timur-Barat (JRTB) tahun ini. Beberapa bahagian penting lebuh raya tersebut telah dikenal pasti untuk dinaik taraf, termasuk lokasi kemalangan bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

     
     
  • Aerotrain KLIA kembali beroperasi mulai 1 Julai

    Aerotrain KLIA kembali beroperasi mulai 1 Julai

    Mulai Julai ini, penumpang yang menaiki penerbangan antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan dapat bergerak antara terminal utama dan bangunan satelit dengan menaiki Aerotrain apabila perkhidmatan tren ini kembali beroperasi secara rasmi. Perkara ini disahkan sendiri oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang turut memaklumkan perkhidmatan Aerotrain kini sedang dalam fasa ujian terakhir laporan Malay Mail.

    “Saya gembira untuk mengumumkan bahawa kita sedang memasuki fasa akhir ujian dalam beberapa hari akan datang. Jika semuanya berjalan lancar, kami telah memutuskan untuk membuka semula perkhidmatan tren ini pada jam 10 pagi, 1 Julai,” katanya.

    Jelas beliau, sistem tersebut kini berada dalam fasa akhir ujian, yang melibatkan simulasi langsung pelan tindak balas kecemasan (ERP) dan kakitangan berkaitan. Beliau menambah bahawa keselamatan sentiasa menjadi keutamaan utama. “Keselamatan adalah sangat penting. Sebab itulah kami mengambil masa untuk menjalankan pelbagai ujian. Ujian-ujian ini dipantau sepenuhnya oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

    Aerotrain KLIA kembali beroperasi mulai 1 Julai

    Loke turut berkata sistem bas perantara sedia ada akan terus beroperasi bagi menyokong sistem Aerotrain sehingga prestasinya mencapai tahap optimum. “Apabila semuanya beroperasi pada tahap optimum, pihak pengurusan (Malaysia Airports Holdings Berhad) akan menentukan sama ada untuk menghentikan atau mengekalkan perkhidmatan bas tersebut,” katanya.

    Beliau berkata Aerotrain, yang telah digantung operasinya sejak Mac 2023 susulan kerosakan, kini sedang menjalani fasa akhir ujian yang melibatkan simulasi langsung pelan tindak balas kecemasan (ERP) serta beberapa perkara berkaitan.

    Dengan masa perjalanan kurang daripada dua minit, setiap set Aerotrain terdiri daripada tiga gerabak dengan kapasiti penumpang sebanyak 90 orang setiap satu, menjadikan jumlah kapasiti 270 orang bagi setiap perjalanan. Pada waktu puncak, dua tren akan beroperasi, manakala hanya satu tren akan beroperasi pada waktu bukan puncak antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi.

     
     
  • Lexus IS 500 Climax Edition 2025 dilancarkan di Jepun – edisi selamat tinggal hanya 500 unit, brek Brembo

    Lexus IS 500 Climax Edition 2025 dilancarkan di Jepun – edisi selamat tinggal hanya 500 unit, brek Brembo

    Model Lexus IS generasi sedia ada sudahpun berada sekitar 12 tahun dalam pasaran. Dan setelah beberapa fasa facelift diberikan kepada siri model yang masih belum beralih ke platform Toyota New Global Architecture (TNGA) itu, Lexus mengambil keputusan untuk menghentikan produksi untuk kedua-dua IS 500 dan IS 300 di Jepun pada November ini.

    Untuk itu, Lexus melancarkan model edisi khas sebagai ucapan selamat tinggal terhadap IS generasi ketiga ini, berasaskan IS 500 dan dikenali sebagai Climax Edition. Lexus IS 500 Climax Edition ini hanya akan dihasilkan sebanyak 500 unit, dan dijual pada harga 9.5 juta yen (sekitar RM277k), atau sejuta yen (RM29k) lebih mahal dari Lexus US 500 F Sport Performance biasa.

    Model ini masih dijana oleh enjin V8 2UR-GSE 5.0 liter NA berkuasa 481 PS dan tork maksima 535 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan SPDS (Sport Direct Shift) yang hanya memacu roda belakang. Namun apa yang berbeza, versi Climax Edition datang standard dengan sistem brek Brembo pada sebelah depan yang menampilkan cakera berdiameter 380 mm, angkup aluminium enam-omboh dalam kemasan merah dan juga pad brek dengan daya geseran tinggi.

    Selain itu model istimewa ini juga menerima set rim aloi forged 19-inci dari BBS dalam kemasan hitam matte dan juga badan yang dilayangkan dengan warna Neutrino Grey. Perincian-perincian ini semua sebenarnya sama dengan apa yang ditawarkan pada Lexus IS 500 Ultimate Edition yang telah dilancarkan di pasaran Amerika Utara.

    Pada bahagian dalaman pula IS 500 Climax Edition ini diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT-LCD lapan-inci yang menampilkan grafik selamat datang ‘Climax Edition’ isitimewa. Kabin model ini juga menerima tema hitam-merah dengan diberikan roda stereng dan tombol gear yang dibalut dengan kulit asli, serta upholsteri gandingan material Ultrasuede dan kulit sintetik L-tex pada tempat duduk dalam kemasan hitam-merah.

    Ia juga hadir dengan tali pinggang keledar merah, plat kemasan bendul pintu khas, jam analog berdasakan GPS dengan serlahan merah ukiran laser dan juga plak ‘Climax Edition’ yang dilekat pada konsol tengah.

     
     
  • Siri plat khas ‘PETRA’ yang masih berbaki dibuka untuk jualan melalui portal MySikap – JPJ

    Siri plat khas ‘PETRA’ yang masih berbaki dibuka untuk jualan melalui portal MySikap – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan baki jualan untuk Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ‘PETRA’ dibuka menerusi portal MySikap bermula hari ini.

    NPI PETRA ini pernah dibuka bidaan menerusi JPJeBid pada awal Oktober 2024. Ia merupakan inisiatif kerajaan dalam menyokong agenda sifar karbon melalui peralihan tenaga dan transformasi air menjelang 2050. Singkatan PETRA ini juga adalah sinonim dengan penjenamaan yang ingin diketengahkan melalui promosi dan kesedaran serta kepentingan agenda peralihan tenaga.

    Untuk mendapatkan NPI ‘PETRA’ ini, anda perlu mendaftar akaun di MySikap, namun bagi pengguna sedia ada, anda boleh log masuk ID anda dan kemudian pergi ke Menu ‘Kenderaan’. Seterusnya, klik pada Menu ‘Tempahan Nombor Pendaftaran’ dan pilih ‘Nombor Pendaftaran Istimewa’.

    Klik untuk besarkan

    Kemudian, klik pula bahagian ‘Siri dan Nombor’ untuk memilih baki nombor plat khas ‘PETRA’ ini. Senarai baki nombor boleh dilihat menerusi paparan ‘Nombor Pendaftaran Yang Ingin Dibeli’.

    Selepas anda membuat pilihan nombor yang berkenan, anda boleh terus ke bahagian pembayaran dan menggunakan transaksi tanpa tunai sama ada menggunakan kad debit/kredit atau pun pembankan dalam talian. Selesai sahaja membuat pembayaran, jangan lupa cetak resit pembayaran.

     
     
  • JPJ tangguh selenggara pusat data pada 20-22 Jun 2025 – semua perkhidmatan beroperasi seperti biasa

    JPJ tangguh selenggara pusat data pada 20-22 Jun 2025 – semua perkhidmatan beroperasi seperti biasa

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengumumkan kerja-kerja penyelenggaraan perkakasan keselamatan rangkaian di pusat data JPJ di Cyberjaya yang sepatutnya dilaksanakan pada 20 hingga 22 Jun, jam 10 malam hingga 6 pagi, ditangguhkan pada tarikh lain.

    Ini bermakna semua capaian ke sistem perkhidmatan JPJ beroperasi dan berjalan seperti biasa. Dan orang ramai boleh berurusan untuk perkhidmatan yang berkaitan di semua perkhidmatan di Kaunter JPJ Negeri, cawangan dan UTC, portal MySikap (awam & rakan niaga), Integrasi Bersama Agensi & Rakan Niaga, Vehicle Entry Permit(VEP) (portal serta pembayaran), Road Charge (RC) melalui e-Wallet, aplikasi MyJPJ, JPJ Mobile, JPJeBID dan juga kios JPJ yang akan beroperasi seperti sedia kala.

     
     
  • MBSA tawar diskaun saman parkir 30% pada 22 Jun dalam acara Hari Mesra MBSA di Elmina Lakeside Mall

    MBSA tawar diskaun saman parkir 30% pada 22 Jun dalam acara Hari Mesra MBSA di Elmina Lakeside Mall

    Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengumumkan diskaun 30% bagi saman parkir, yang akan ditawarkan pada hari Ahad ini (22 Jun) sempena acara Hari Mesra MBSA di Elmina Lakeside Mall, Elmina City. Acara ini akan berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam.

    MBSA juga bakal melancarkan program parkir percuma untuk warga emas dalam acara tersebut. Inisiatif ini yang dinamakan Golden Parking telah diumumkan pada akhir bulan lalu dan dikhaskan kepada individu berumur 60 tahun ke atas. Pemohon perlu merupakan pembayar cukai kepada MBSA dan hanya satu kenderaan (di bawah nama warga emas tersebut) dibenarkan untuk didaftarkan.

    Jika anda layak, anda boleh mengisi borang secara digital melalui kod QR yang disediakan, atau hadir sendiri ke Wisma MBSA, Seksyen 14, Shah Alam. Permohonan boleh dibuat dari pukul 9 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja, cuma jangan datang pada waktu rehat iaitu dari 1 tengah hari hingga 2 petang, atau 12.15 tengah hari hingga 2.45 petang pada hari Jumaat.

    MBSA memaklumkan bahawa tiada tarikh tutup bagi pendaftaran – ini bukan tawaran terhad. Manakala bagi diskaun saman pada hari Ahad ini, ia merupakan peluang baik untuk menyelesaikan saman sekiranya anda berada di kawasan berhampiran.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV – lebih 800 unit telah terjual di Malaysia hanya selepas empat bulan dilancarkan

    Jaecoo J7 PHEV – lebih 800 unit telah terjual di Malaysia hanya selepas empat bulan dilancarkan

    Omoda | Jaecoo Malaysia hari ini mengumumkan bahawa lebih 800 SUV Jaecoo J7 PHEV telah terjual hanya dalam masa empat bulan selepas model berkenaan dilancarkan ke pasaran tempatan Februari lalu. Malah baru-baru ini juga jenama berkenaan telah meraikan 100 orang pelanggan yang menerima SUV masing-masing.

    “Kami menghargai pengguna awal kami dan berharap untuk menyampaikan lebih banyak unit Jaecoo J7 PHEV kepada isi rumah yang pandai menilai dalam mencari SUV premium yang boleh pergi jauh,” kata naib presiden Omoda | Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    “Dengan satu tangki penuh bahan api dan bateri yang dicas penuh, pemilik boleh membuat perjalanan lebih 1,300 km (NEDC) dengan mudah tanpa perlu berhenti untuk mengisi minyak atau mengecas semula. J7 PHEV mewakili yang terbaik dari kedua-dua dunia – membolehkan pemanduan elektrik sepenuhnya di bandar dengan jarak perjalanan elektrik yang luar biasa sejauh 106 km (NEDC) dan perjalanan jarak jauh yang sangat cekap,” tambahnya.

    Buat masa sekarang Jaecoo J7 PHEV merupakan model dengan sistem plug-in hybrid paling mampu milik dijual di Malaysia, dengan harga atas jalan ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insuran RM158,800.

    Jaecoo J7 PHEV – lebih 800 unit telah terjual di Malaysia hanya selepas empat bulan dilancarkan

    Berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, model dengan bantuan elektrikfikasi ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Super Hybrid System (SHS), menggandingkan enjin petrol 1.5 Turbo GDi kitaran Deep Miller yang menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm. Dengan kuasa tork gergasi, SUV seberat 1,795 kg ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh BYD berkapasiti 18.3 kWj, dengan kemampuan menerima pengecas AC 6.6 kW (0-100% dalam masa 4 jam) dan juga pengecas pantas DC sehingga 40 kW (30%-80% dalam masa 20 minit).

    Ini membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 88 km dalam kitaran ujian WLTP, serta membekalkan kuasa untuk kegunaan lain menggunakan sistem V2L dengan menyediakan kapasiti sehingga 3.3 kW.

     
     
  • Kerajaan belum ada rancangan perkenalkan semula GST, kewangan rakyat belum bersedia — PM

    Kerajaan belum ada rancangan perkenalkan semula GST, kewangan rakyat belum bersedia — PM

    Kerajaan Madani sekali menegaskan bahawa tidak ada sebarang perancangan untuk memperkenalkan semual cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam masa terdekat. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ini adalah kerana julat pendapatan sebahagian besar rakyat Malaysia masih terlalu rendah, lapor New Straits Times.

    Mengulangi apa yang dikatakan pada Oktober lalu, beliau menjelaskan walaupun GST merupakan sistem yang cekap dan telus, adalah tidak sesuai untuk ia dilaksanakan semula sekarang, memandangkan ia akan menjadi beban kepada kelompok berpendapatan rendah, terutamanya mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

    “Walaupun ada yang merasakan itu sebuah pendakatan yang adil, ramai warga berpendapatan rendah yang akan terkesan dengannya walaupun ada diberikan beberapa pengecualian. Walaupun kita mengecualikan barangan seperti beras dan gula, kelompok berkenaan masih perlu menanggung cukai bagi barangan dan perkhidmatan lain, termasuk pengangkutan awam. GST akan memberi kesan kepada semua aspek kehidupan harian mereka,” jelas beliau.

    Kerajaan belum ada rancangan perkenalkan semula GST, kewangan rakyat belum bersedia — PM

    Beliau yang juga menyandang jawatan Menteri Kewangan berkata tahun lalu, GST hanya akan dilaksanakan semula selepas julat gaji minimum beranjak sekitar RM3,000-RM4,000, yang mencadangkan bahawa ia mungkin akan dilaksanakan semula bukan dalam masa terdekat.

    GST pertama kali diperkenalkan pada April 2015 pada kadar 6% (yang telah mengurangkan harga bagi sesetengan kenderaan ketika itu) tetapi kemudiannya dihentikan pada 2018 selepas Pakaran Harapan mengambil alih kuasa, dan digantikan dengan cukai jualan dan cukai perkhidmatan 10%. Sejak itu, perlaksanaan semula GST selalu disebut-sebut.

     
     
  • Volkswagen pertimbang keluarkan ID2 R – versi prestasi AWD bagi hatch elektrik, motor dalam roda

    Volkswagen pertimbang keluarkan ID2 R – versi prestasi AWD bagi hatch elektrik, motor dalam roda

    Volkswagen kini sedang mempertimbangkan untuk membangunkan versi prestasi tinggi bagi model elektrik kompak ID 2, dikenali sebagai ID 2 R. Menurut laporan Autocar, model ini berkemungkinan menjadi yang pertama daripada Volkswagen menggunakan motor dalam roda (in-wheel motors) sebagai sebahagian daripada sistem pacuan semua roda (AWD).

    Model ID 2 R ini dijangka akan berada di atas ID 2 GTI – model konsep yang diperkenalkan pada tahun 2023 – dari aspek prestasi. Ia akan mengekalkan motor pacuan hadapan dan sistem elektronik kuasa dari ID 2 GTI, tetapi ditambah dengan dua motor kawalan bebas di roda belakang, memberikan sistem pacuan semua roda tanpa menjejaskan ruang but.

    Autocar turut memetik kata dari sumber dalaman Volkswagen Wolfsburg, yang memberitahu bahawa pembangunan model R ini sedang dilakukan dengan kerjasama rakan teknikal dari Balkan, dipercayai sebagai pakar dalam teknologi motor ringan berprestasi tinggi jenis in-wheel.

    Volkswagen pertimbang keluarkan ID2 R – versi prestasi AWD bagi hatch elektrik, motor dalam roda

    “Sistem ini bakal menggabungkan agihan tork pintar, kawalan yaw berasaskan brek dan mod pemanduan dinamik – memberikan “prestasi dan pengendalian seperti kereta hyper-hatch“, tanpa saiz besar dan kos tinggi sistem motor dwi-konvensional,” kata sumber itu kepada Autocar.

    Walaupun begitu, laporan tersebut menyebut bahawa modifikasi besar terhadap platform MEB Plus (asas ID 2) tidak diperlukan sekiranya Volkswagen memilih untuk menggunakan motor belakang konvensional sebagai alternatif. Sebagai perbandingan, ID 2 GTI dijangka menghasilkan sekitar 290 PS, manakala versi ID 2 R dengan tiga motor elektrik berkemungkinan melepasi 400 PS.

    Penggunaan motor dalam roda membolehkan sistem pacuan belakang dipasang terus dalam roda, menjadikan model AWD lebih kompak tanpa perlu pengorbanan ruang atau struktur. Teknologi ini juga membolehkan Volkswagen menghasilkan kereta dengan pacuan hadapan (FWD), belakang (RWD) atau semua roda (AWD) atas platform sama – dengan perubahan perkakasan yang minimum.

     
     
  • Volvo EX90 6-tempat duduk untuk isi pasaran MPV — EM90 dari asas Zeekr 009 tiada untuk Malaysia

    Volvo EX90 6-tempat duduk untuk isi pasaran MPV — EM90 dari asas Zeekr 009 tiada untuk Malaysia

    Walaupun MPV merupakan segmen yang popular di sini, Volvo menjelaskan yang syarikat itu tidak akan menawarkan MPV sulung keluarannya untuk pelanggan di Malaysia, memandangkan Volvo EM90 tidak akan diperkenalkan di sini. Menurut Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia & Thailand, Chris Wailes, model elektrik yang berkongsi platform dengan Zeekr 009 akan kekal sebagai produk di pasaran spesifik.

    “Kami tiada perancangan untuk membawa EM90, kerana ia memang direka untuk China. Kami jelaskan sejak awal lagi,” jelasnya dalam satu sesi wawancara dengan media permotoran Malaysia. Bagaimanapun, syarikat itu akan meneroka bagaimana ia dapat menawarkan pelanggan di sini dengan sesuatu yang hampir sama, dengan memanfaatkan pendekatan dan gaya berbeza.

    “Akankah ada sesuatu seperti ini ditawarkan? Ya, sudah tentu, selagi ada permintaan terhadapnya. Namun ada cara lain yang akan kami ambil untuk itu dengan barisan kenderaan sedia ada di pasaran ini. Ia mungkin akan diperkenalkan pada tahun depan,” jelasnya.

    Volvo EX90 6-tempat duduk untuk isi pasaran MPV — EM90 dari asas Zeekr 009 tiada untuk Malaysia

    Volvo EX90 – version 6 places

    Apa yang dimaksudkan di sini adalah untuk menggabungkan kepelbagaian ruang dalaman sebuah model mewah jenama itu yang sedia ada dengan menzahirkan praktikaliti sebuah SUV melalui konfigurasi kerusi rehat yang mudah. Dengan merujuk kepada sambutan memberangsangkan bagi model EX90 enam-tempat duduk di Thailand, yang mengatasi versi tujuh-tempat duduknya, itu menjadi petunjuk yang mungkin juga akan diperkenalkan di sini pada 2026 nanti.

    “Di Thailand, kami memikirkan tentang hal ini juga, jadi kami perkenalkan versi enam-tempat duduk untuk model EX90 ketika dilancarkan di Thailand, dan itu kini menjadi EX90 nombor satu. Ramai yang mahukan enam-tempat duduk, dan mereka yang membeli kereta ini pernah memiliki MPV sebelum ini,” jelas beliau.

    “Pada asasnya, ia memberikan struktur yang sama seperti MPV, dengan empat kerusi kapten dan adanya ruang laluan untuk ke belakang. Kerusi kanak-kanak boleh diletakkan di situ, dan semua orang boleh muat dengan selesa. Dengan tujuh-tempat duduk itu tidak akan dapat dicapai, kerana anda perlu menolak ke depan kerusi barisan kedua untuk akses ke bahagian belakang,” ujarnya.

    Volvo EX90 6-tempat duduk untuk isi pasaran MPV — EM90 dari asas Zeekr 009 tiada untuk Malaysia

    Wailes yakin dengan pendekatan SUV itu akan memberikan manfaat lain. “Pembeli lebih menghargai kedudukan kenderaan yang lebih tinggi, dan mereka juga ada sistem pacuan empat-roda. Jadi, jika cuaca hujan dan air naik, itu tidak menjadi masalah, kerana kedudukan kenderaan mereka lebih tinggi,” jelasnya.

    Volvo EX90 yang diperkenalkan di Malaysia April lalu hanya ditawarkan dalam varian Ultra Twin tujuh-tempat duduk. EV berkenaan mempunyai output sistem sebanyak 517 PS (510 hp atau 380 kW) dan 910 Nm, dengan jarak sehingga 623 km WLTP. Ia dijual dengan harga RM442,888 atas jalan belum termasuk insurans.

    Volvo EM90 di Auto China Beijing 2024

     
     
  • Volvo Car Malaysia akan terus jual kombinasi kenderaan mild hybrid, PHEV, EV mengikut permintaan

    Volvo Car Malaysia akan terus jual kombinasi kenderaan mild hybrid, PHEV, EV mengikut permintaan

    Meskipun Volvo secara global sedang menuju ke arah menjadi pengeluar kereta elektrik sepenuhnya, Volvo Car Malaysia tetap menegaskan bahawa gabungan model elektrik dan hibrid masih diperlukan dalam jangka masa pendek hingga sederhana.

    Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia & Thailand, Chris Wailes berkata, syarikat masih komited untuk menjadi jenama kenderaan elektrik (EV), namun akan kekal fleksibel bergantung kepada keperluan pasaran semasa di setiap negara.

    “Mulai sekarang, semua model baru yang kami lancarkan akan menjadi elektrik sepenuhnya. Strategi ini tidak berubah. Namun, kami perlu kekalkan pilihan seperti mild-hybrid dan plug-in hybrid (PHEV) kerana permintaan pelanggan berbeza-beza,” katanya.

    Volvo Car Malaysia akan terus jual kombinasi kenderaan mild hybrid, PHEV, EV mengikut permintaan

    Wailes menjelaskan, sasaran Volvo untuk memastikan sekurang-kurangnya 50% daripada jualan global adalah EV menjelang 2025 masih berada di landasan yang betul dan menjelang 2030, semua model akan menjadi kenderaan elektrik sepenuhnya. Namun begitu, beliau mengakui kadar penerimaan EV berbeza mengikut negara.

    Beliau juga sedar, jika terlalu tegas dengan satu hala tuju sahaja, mereka mungkin kehilangan pegangan pasaran, “yang mana itu adalah tidak masuk akal, sedangkan kita sudah sedia ada teknologi dan masih boleh membekalkan kepada pelanggan yang masih mahu membeli kenderaan Volvo, tapi masih dalam fasa peralihan kepada mild-hybrid atau PHEV, kepada BEV. Kami tidak akan lesap dalam PHEV dan mild-hybrid.”

    Wailes menambah, masih ada pelanggan yang lebih gemar model hibrid ringkas, dan selagi ada permintaan, model itu akan terus ditawarkan. “Tidak kira lah besar atau kecil, jika ada pelanggan yang mahu membeli model itu dan hanya akan membeli kenderaan mild-hybrid, kami akan kekalkan kereta tersebut” ujarnya.

    Volvo Car Malaysia akan terus jual kombinasi kenderaan mild hybrid, PHEV, EV mengikut permintaan

    Namun, data menunjukkan trend pasaran semakin memihak kepada PHEV dan EV. Lebih 80% jualan Volvo tahun lalu terdiri daripada model PHEV dan EV sepenuhnya. Wailes turut melihat bahawa PHEV memainkan peranan penting sebagai ‘jambatan’ antara kereta petrol/diesel dan EV.

    “Lebih 50% pemandu PHEV menggunakan mod elektrik sepenuhnya untuk perjalanan harian ke tempat kerja. Ini memberi mereka pengalaman menggunakan EV, tetapi dengan bantuan sokongan daripada enjin,” katanya.

    Beliau juga mengakui bahawa EV mungkin belum sesuai untuk semua orang hari ini, tetapi keadaan itu akan berubah dalam masa terdekat. “Orang ramai tidak semestinya perlu ubah gaya hidup mereka untuk guna EV. Sebaliknya, mereka hanya perlu faham bagaimana mereka menggunakan kereta setiap hari. Dari situ, mereka akan tahu sama ada EV sesuai atau tidak,” katanya.

     
     
  • BMW M340i xDrive M Sport Pro pasaran Malaysia dapat tambahan kelengkapan, harga RM388,800

    BMW M340i xDrive M Sport Pro pasaran Malaysia dapat tambahan kelengkapan, harga RM388,800

    BMW Malaysia memberi kemas kini kepada M340i xDrive M Sport Pro 2025, yang merupakan versi facelift kedua (LCI2) bagi G20 yang dilancarkan pada Januari lalu. Enam bulan selepas pelancarannya, model 3 Series paling tinggi selepas M3 ini menerima beberapa penambahan ciri baru, selari dengan pembaharuan pada model 320i dan 330i baru-baru ini.

    Antara yang ditambah adalah termasuk sistem pemerhati tekanan angin tayar (TPMS), upholsteri Sensatec menggantikan kulit asli Vernasca, butang kawalan dengan kemasan galvanik, Adaptive Cruise Control dengan fungsi gerak dan henti serta Parking Assistant Plus – kini dengan kamera 360 darjah, berbanding hanya parkir automatik sebelum ini.

    Masih dipasang di dalam negara (CKD) di Kulim, BMW M340i xDrive ditawarkan pada harga RM388,800. Jika dipilih dengan pakej jaminan lima tahun dan servis percuma BSRI, harganya meningkat kepada RM415,200, yang mana adalah lebih mahal RM3,000 berbanding sebelum ini, namun masih RM8,000 lebih murah berbanding edisi terhad 50 unit Edition 50 Jahre.

    Dari segi reka bentuk luaran, tiada perubahan ketara. Ia masih hadir dengan lampu utama LED adaptif bersama fungsi pembantu lampu tinggi dan lampu M Lights Shadowline (lampu utama digelapkan), pakej aerodinamik M, dua muncung ekzos, spoiler belakang M, rim M bersaiz 19 inci serta brek M Sport dengan angkup berwarna merah.

    Bahagian dalaman kini menggunakan upholsteri kulit sintetik Sensatec dan menggunakan tempat duduk sport, tali pinggang keledar M, kemasan dalaman aluminium Rhombicle Anthracite, pelapik bumbung gelap M, stereng kulit M tiga batang dengan penanda tengah, serta BMW Curved Display – panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci yang menggunakan sistem BMW OS 8.5. Sistem audio 16 pembesar suara Harman Kardon dan bumbung suria juga dikekalkan.

    Dari aspek prestasi, tiada perubahan – enjin B58 3.0 liter turbo enam silinder sebaris masih mengekalkan kuasa 387 PS dan tork 500 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Pecutan 0-100 km/j kekal pada 4.4 saat, dengan kelajuan maksimum 250 km/j. Suspensi adaptif M dan differential sport M turut dikekalkan. Pilihan warna luaran adalah Alpine White, Black Sapphire, Arctic Race Blue dan M Brooklyn Grey, manakala pilihan warna dalaman terdiri daripada Tacora Red atau Black.

     
     
  • Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Peugeot 2008 versi yang dikemaskini telah dilihat di Malaysia, seperti gambar yang dikongsikan di laman Facebook Peugeot Citroen Club Malaysia. Ia menunjukkan unit 2008 tersebut dengan trade-plate, dan seperti sedang bergenti di kawasan rehat lebuh raya.

    Ini kelihatan seperti versi model enjin pembakaran dalaman bagi crossover segmen B tersebut, mengenakan penampilan facelift untuk wajah depannya yang mirip pada versi model elektriknya e-2008, yang juga sudah pernah dilihat di Malaysia tahun lalu.

    Sudut bamparnya dijangka akan menampilkan DRL tiga-garis seperti e-2008, sementara grilnya hadir dengan corak kemasan menegak, berbeza daripada versi melintang sebelum ini.

    Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Bahagian belakangnya pula menegaskan bahawa ini adalah model dengan enjin biasa: corong ekzos serta bucu bawah bampar yang tidak ada pada model e-2008. Untuk pasaran luar, tiga pilihan enjin ditawarkan, terdiri daripada dua unit 1.2 liter tiga-silinder petrol dan seunit enjin diesel 1.5 liter empat-silinder. Untuk Malaysia, kemungkinan versi petrol yang akan ditawarkan.

    Mungkin juga ia dari versi yang menjana kuasa paling tinggi iaitu PureTech 130, dengan output 136 PS dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan; untuk Malaysia, versi automatik tentunya. Ini bersamaan dengan model yang ditawarkan di Malaysia ketika ini, dengan enjin 1.2 liter Puretech turbocas petrol yang menjana 130 PS/230 Nm dan diganding bersama transmisi automatik enam-kelajuan.

    Peugeot 2008 facelift dilihat di M’sia — bakal dilancar?

    Untuk ruang dalaman, kemungkinan kelengkapan yang ada akan sama dengan versi e-2008. Ini termasuklah kluster instrumen digital 10-inci, skrin sentuh infotaimen 10-inci (yang lama tujuh-inci), Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, warna baru untuk lampu ambient lapan warna dan tiga slot USB-C; dua di depan, satu di belakang.

    Masih belum disahkan bila sebenarnya Peugeot 2008 facelift ini akan diperkenalkan di Malaysia. Dengan versi elektrik e-2008 dirancang untuk dilancarkan di sini, kemungkinan versi enjin biasanya juga akan diperkenalkan sekali — kerana Peugeot 2008 sebelum ini memang sudah dipasang di Gurun, dan bakal diikuti oleh model elektriknya, dengan kemungkinan bateri buatan tempatan juga.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025