Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • 1,203 aduan diselesaikan daripada 5,836 diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Dis – KKR

    1,203 aduan diselesaikan daripada 5,836 diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Dis – KKR

    Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyelesaikan 1,203 aduan daripada 5,836 aduan yang diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Disember 2023, laporan Bernama.

    Aplikasi MyJalan yang dilancarkan pada 24 Ogos tahun ini, telah menerima sejumlah 5,836 aduan setakat ini, manakala 1,532 daripadanya melibatkan jalan yang diselia oleh KKR, dan selebihnya adalah di bawah tanggungjawab pihak berwajib yang lain menurut Menteri KKR Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Daripada 1,532 aduan untuk jalan seliaan KKR, aduan tertinggi melibatkan jalan berlubang iaitu sebanyak 523, sementara jalan rosak dan lampu jalan masing-masing dengan 289 aduan. Manakala aduan berkenaan lampu isyarat sebanyak 161, penandaan jalan (96), halangan (77), papan tanda (34), fasiliti awam (31), kelengkapan jalan (22) dan tanah runtuh (10).

    1,203 aduan diselesaikan daripada 5,836 diterima menerusi aplikasi MyJalan setakat 6 Dis – KKR

    MYJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

    Sebelum ini, Alexander berkata, “Kempen MYJalan dipilih sebagai inisiatif kerajaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memupuk rasa cinta kepada infrastruktur jalan raya yang lama menjadi nadi penggerak rakyat dan ekonomi.

    Aplikasi MYJalan dan advokasi penyenggaraan serta keselamatan jalan raya adalah pengisian utama Kempen MYJalan sebagai langkah memperkenal dan memberi kesedaran kepada rakyat untuk lebih prihatin terhadap aspek penjagaan jalan raya seluruh negara.

     
     
  • Dakwaan subsidi diesel dihapus pada 1 Januari 2024 berita palsu, ujian fleet card masih berjalan-KPDN

    Dakwaan subsidi diesel dihapus pada 1 Januari 2024 berita palsu, ujian fleet card masih berjalan-KPDN

    Baru-baru ini tular dalam media-media sosial satu notis yang memberitahu bahawa mulai 1 Januari 2024 pengguna yang mahu mengisi bahan api diesel tidak lagi menerima subsidi kerajaan kecuali untuk mereka yang mempunyai fleet card sahaja.

    Walau bagaimanapun dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) malam semalam menafikan dakwaan tersebut. Kementerian itu menegaskan apa yang sebenarnya berlaku adalah ia kini sedang melaksanakan projek rintis bagi melihat keberkesanan sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, melibatkan enam syarikat yang menerima kuota bagi skid tank, yang akan tamat tempoh pada 14 Januari ini.

    KPDN turut menjelaskan bahawa projek rintis ini sama sekali tidak melibatkan pengguna kenderaan diesel individu.

    “Proses pengujian ini perlu dilaksanakan bagi melihat kecekapan sistem yang dibangunkan, agar ia benar-benar menepati spesifikasi dan matlamat penyasaran semula subsidi diesel, seperti mana yang dirancang.

    “KPDN berharap agar tidak ada mana-mana pihak menghebahkan sesuatu perkara yang tidak jelas dan boleh mengelirukan orang ramai,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, sebarang pengumuman rasmi berhubung mekanisme pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel akan dibuat kementerian itu dan Kementerian Kewangan, setelah sesi libat urus dan jalanan ujian sistem fleet card dan Sistem MySubsidi Diesel, selesai dilaksanakan.

     
     
  • Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Belum lagi reda kehangatan Malaysian Rally Sprint 2023 yang berlangsung hujung minggu lalu, ini satu lagi berita peminat sukan rali dalam negara – perlumbaan rali rentas negara, Asia Cross Country Rally (AXCR) telah mengesahkan bahawa Malaysia akan menjadi sebahagian dari laluan rali berkenaan pada tahun hadapan, dan satu pasukan rali dari Malaysia juga bakal beraksi dalam perlumbaan itu!

    Ini bukan kali pertama Malaysia menjadi sebahagian dari laluan perlumbaan rali tersebut di mana kita merupakan antara negara pertama menyertai penganjurannya bermula pada edisi pertama pada 1996 sehingga tahun 2000. Kali terakhir Malaysia terlibat sebagai salah satu lokasi rali ini adalah 20-tahun lalu iaitu pada tahun 2003.

    AXCR merupakan rali rentas negara ala-Rali Dakar yang dilangsungkan merentas negara-negara Asia Tenggara dan diselia oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), menyajikan aksi off-road dengan cuaca panas dan lembab merentasi hutan dan kawasan pergunungan.

    Penganjuran rali ini terhenti seketika pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19. Ia kemudiannya disambung semula untuk edisi 2022, menyaksikan pasukan Mitsubishi Ralliart yang secara rasmi kembali berlumba dan memenangi rali dengan perjalanan keseluruhan 1,524 km itu bermula dari Buriram, Thailand dan berakhir di Angkor Wat, Kemboja.

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Manakala pada tahun lalu, perlumbaan ini bermula dari Pattaya, Thailand dan berakhir di Prasat Wat Phou, Laos melibatkan perjalanan sejauh 2,000 km, dan ia dimenangi oleh Toyota Fortuner dari pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia.

    Bagi perlumbaan tahun hadapan, pihak penganjur sudah pun mengesahkan ia akan bermula di Thailand pada 11 Ogos, dan bakal berakhir di Malaysia 17 Ogos 2024. Namun butiran laluan untuk rali ini masih lagi belum didedahkan, dan ia akan diumumkan selepas ini.

    Walau bagaimanapun rali ini dijangka bukan sahaja akan menarik peminat-peminat sukan permotoran tempatan, yang paling penting ia turut disasarkan untuk memperlihatkan lokasi-lokasi alam semula jadi, perkampungan, bandar-bandar, masyarakat dan kepelbagaian budaya di Malaysia yang disifatkan sebagai “Truly Asia“, seterusnya bakal menjana industri pelancongan tempatan.

    “Kami akan berhubung dengan komuniti tempatan dan juga memberikan mereka pengalaman untuk terlibat dalam sukan permotoran kerana ramai penduduk-penduduk kampung ini merupakan kali pertama mereka melihat acara seperti ini, dan ini juga dapat menunjukkan kecantikan dalam setiap negeri,” kata Remus Xin, promoter global untuk AXCR dalam sesi sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur sebentar tadi.

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Beliau turut menambah, para peserta rali dan juga pasukan turut akan berhubung dengan sekolah-sekolah tempatan sepanjang laluan rali bagi menjalankan pelbagai sesi amal dan juga aktivit ramah mesra.

    Bagi pasukan Malaysia yang ditubuhkan untuk menyertai rali ini, tiga orang pemandu berpengalaman dan seorang penunggang dalam kategori motosikal sudah disahkan dalam majlis yang sama. Ia akan diketuai oleh dua legenda rali negara iaitu ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh dan Saladin Mazlan untuk kereta pertama dan kedua, serta seorang pemandu wanita yang kini sedang meningkat naik, Leona Chin.

    Manakala untuk kategori motosikal, pasukan negara akan diwakili oleh Tommy Lee – pelumba touring car yang bukan sahaja hebat di litar, malah kini aktif dengan pengembaraan motosikal rentas negara.

    Barisan pelumba yang diumumkan ini dijangka bakal memberikan saingan yang sengit dalam perlumbaan tersebut di mana bagi Saladin dan Karamjit, kedua-duanya pernah menyertai pusingan Kejohanan Rali Dunia (WRC) paling lasak di dunia iaitu Safari Rally di Kenya.

    Asia Cross Country Rally kembali ke Malaysia untuk edisi 2024; Karamjit & Saladin ketuai pasukan negara!

    Saladin menyertai Safari Rally pada pada tahun 2000 memandu untuk pasukan Subaru Rally Team Japan, menghabiskan perlumbaan tersebut di tempat ke-13 dari 55 penyertaan, dan menduduki tangga ke-4 dalam kategori Group N. Manakala Karamjit Singh pula datang ke WRC Safari Rally pada tahun 2002 dengan pasukan Proton PERT, menghabiskan perlumbaan ditangga ke-10, dan juara bagi kelas Group N.

    “Apa yang saya mahu katakan, ia akan menjadi pengalaman yang menakjubkan untuk kami bertiga dengan Saladin dan Leona di sini, ketiga-tiga kami tak sabar untuk bersaing dalam acara ini dan sudah tentu untuk membanggakan Malaysia. Dan kami berharap untuk pulang dengan trofi kemenangan,” kata Karamjit Singh.

    Walaupun sudah berusia 61 tahun, Karamjit masih lagi kompetitif dengan membawa pulang tiga trofi juara di pusingan keempat Kejurnas Rally Sprint Indonesia serta pusingan ketiga dan keempat Kejurnas Rally Indonesia pada 2022, ketika itu bersama mendiang Jagdev Singh sebagai juruarah.

    “Kami sudah menyertai rali sejak sekian lama, dan saya rasa dengan pengalaman kami, saya dan Karamjit dalam Safari Rally iaitu rali yang istimewa sejauh lebih dari 1,000 km, kami sudah pun berhadapan dengan macam-macam cabaran. Saya rasa pengalaman ini sudah cukup buat kami,” kata Saladin Mazlan.

    Juara AXCR 2022 pasukan Mitsubishi Ralliart (kiri) dan juara AXCR 2023 pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia (kanan)

    Selepas 12 tahun menyepi dari sebarang kejohanan rali peringkat antarabangsa, Saladin dilihat mula aktif semula tahun ini dan bertanding di pusingan ketiga dan keempat dalam Kejohanan Rali Thailand RAAT 2023. Walaupun berlumba dengan kereta lama dan kurang berkuasa berbanding pelumba-pelumba lain, beliau masih mampu menghabiskan kedua-dua rali berkenaan dalam kedudukan podium.

    “Sebagai pelumba wanita saya mahu menginspirasikan lebih ramai wanita untuk keluar dan menerokai pelbagai pengalaman dan pengembaraan baharu,” kata Leona Chin. Dia yang kini berusia 37 tahun sudah pun berlumba sejak berumur 18-tahun, menyertai pelbagai disiplin perlumbaan termasuk perlumbaan litar, drift, Gymkhana dan rali. Untuk AXCR 2024 ini Leona dijangka akan digandingkan dengan juruarah wanita bagi membentuk satu krew wanita sepenuhnya.

    Walau bagaimanapun jentera dan livery perlumbaan bagi pasukan Malaysia ini masih belum dimuktamadkan. Menurut pengurus pasukan, James Leong, kesemua itu akan diumumkan dalam sidang media yang akan dibuat pada masa akan datang. Namun James tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan pengeluar-pengeluar rasmi seperti pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia dan Tant Sports Thailand bersama Mitsubishi Ralliart, dan semua peluang kerjasama seperti itu masih terbuka.

     
     
  • Pusat 4S Chery terbesar di M’sia dibuka di Medini, JB

    Pusat 4S Chery terbesar di M’sia dibuka di Medini, JB

    Selepas membuka bilik pameran 4S di Kuantan, Chery Malaysia melebarkan lagi sayapnya ke selatan tanahair dengan membuka pusat 4S terbesar di Malaysia setakat ini. Pusat 4S berkenaan, dikendalikan oleh Gagner Auto, terletak di Medini, Johor Bahru.

    Sebagai pusat 4S, fasiliti di Medini ini dilengkapi dengan pusat sehenti bagi jualan, alat ganti, penyelenggaran dan juga perkhidmatan mengetuk dan mengecat badan kenderaan. Chery berkata bangunan [usat 4S ini menampilkan rekaan mesra-alam sekitar dan menggunakan peralatan cekap tenaga.

    Dalam majlis pelancaran pusat 4S berkenaan, Chery turut mengambil kesempatan mempertontonkan Omoda E5 untuk wilayah selatan. Versi elektrik bagi SUV Omoda 5 itu telah pun dipertontonkan kepada pihak media minggu lalu menjelang pelancarannya yang direncanakan berlangsung pada suku pertama (Q1) 2024.

    Pesaing bagi BYD Atto 3 Extended Range ini diberikan bateri lithium logam fosfat berkapasiti 61 kWj. Ini membolehkan SUV ini bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP, dengan kuasa disalurkan ke motor elektrik hadapan dengan kuasa 201 hp dan tork maksima 340 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam 7.6 saat.

    Pusat 4S Chery terbesar di M’sia dibuka di Medini, JB

    Bateri tersebut boleh dicas dengan sistem AC 9.9 kW atau pengecas pantas DC80 kW yang boleh memenuhkan kuasa dari 0-85% dalam masa 35 minit. Ia juga boleh berfungsi sebagai “powerbank bergerak” untuk membolehkan pelbagai peralatan elektrik beropersi menerusi sistem V2L 3.3 kW.

    “Dengan kemasukan Chery ke wilayah selatan Malaysia, yang mempunyai pusat 4S terbesarnya di Medini, kami percaya ini akan menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan, memupuk kemajuan ekonomi, alam sekitar dan teknologi. Dengan pelancaran Omoda E5 kami yang akan datang, kumpulan Chery menyokong kepada persekitaran yang lebih mampan, merangsang pelaburan dalam pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui sambil mempromosikan integrasi bandar pintar,” kata Lee Wen Hsiang, Timbalan Presiden Chery Malaysia.

    Selain daripada mengembangkan rangkaiannya, Chery juga telah mengumumkan ketibaan sub-jenama Jaecoo yang akan datang, yang akan dilancarkan tahun depan. Model Jaecoo pertama untuk pasaran Malaysia ialah J7, dan dua unit pemanduan sebelah kanan SUV itu sedang diuji di Malaysia.

    GALERI: Chery Omoda E5 di Malaysia

     
     
  • Rombakan kabinet saksikan Fadillah Yusof dinamakan sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam

    Rombakan kabinet saksikan Fadillah Yusof dinamakan sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam

    Hari ini, perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rombakan kabinet, setahun selepas ‘kerajaan perpaduan’ memerintah. Peralihan jawatan yang sudah dijangka dan dibincangkan ramai ini menyaksikan beberapa muka baru dalam kabinet serta beberapa kementerian yang mempunyai portfolio besar dipecahkan kepada dua.

    Antara yang berkenaan dengan industri automotif adalah pelantikan Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam. Dua jawatan lain beliau, iaitu sebagai timbalan perdana menteri kedua dan menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak masih dikekalkan.

    Peralihan tenaga dan daya guna awam adalah satu portfolio baru yang diasingkan daripada kementerian sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim. Sebelum ini dipegang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad, beliau sekarang dinamakan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam. Jika mengikut nama kementerian tersebut, kenderaan elektrik mungkin berada di bawah pengawasan Fadillah – bersama kita saksikan.

    Rombakan kabinet saksikan Fadillah Yusof dinamakan sebagai menteri peralihan tenaga dan daya guna awam

    Melihat kepada bahagian lain, Datuk Armizan Mohd Ali kini diangkat menjadi menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup bagi menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia Julai lalu. Sementara itu, Dr Zaliha Mustafa kini bukan lagi menteri kesihatan (diganti dengan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad) dan ditukar kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk Wilayah Persekutuan.

    Pelantikan yang bakal menarik banyak tumpuan adalah CEO KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang dilantik sebagai menteri kewangan II. Anwar yang masih merupakan menteri kewangan menyatakan, beliau kini mempunyai bantuan daripada ‘pasukan yang kuat dan profesional’.

     
     
  • Daftar dalam laman web PADU untuk subsidi bahan api, cara alternatif untuk kawasan pedalaman

    Daftar dalam laman web PADU untuk subsidi bahan api, cara alternatif untuk kawasan pedalaman

    Nampaknya rakyat Malaysia perlu mendaftar secara dalam talian melalui laman web Pangkalan Data Utama (PADU) bagi mengetahui sama ada mereka layak untuk mendapat subsidi bahan api bersasar atau tidak. Ini terlihat melalui satu muatan dalam X (Twitter) yang menunjukkan gambar poster yang diambil di kawasan pameran kementerian kewangan di acara Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani hujung minggu lalu.

    Dalam salah satu gambar itu juga tertulis selain kemas kini dalam talian melalui laman PADU (akan dilancar bulan depan), mereka yang berada di kawasan pedalaman dan tidak mempunyai akses internet boleh mendaftar dan membuat kemas kini secara manual di tempat seperti pejabat daerah/penghulu/MPKK/PBT, Pusat Ekonomi Digital atau Pusat Internet Desa.

    Bulan lalu, menteri ekonomi, Rafizi Ramli berkata bahawa mekanisme subsidi bersasar akan dilaksana selepas pusat pengumpulan data PADU mula beroperasi Januari tahun depan. Ada tiga mekanisme yang kemungkinan besar akan digunakan untuk melaksanakan subsidi bersasar untuk petrol dan diesel ini tahun depan.

    Pertama adalah dengan mengikut kelayakan pendapatan boleh belanja bersih kepada individu menerusi pendekatan perlindungan sosial. Seterusnya adalah isi rumah melalui pendekatan hibrid iaitu perlindungan sosial dan bantuan sosial, dan kemudian yang terakhir, isi rumah dan individu menggunakan kaedah kad subsidi.

    Menurut perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November lalu, subsidi bersasar untuk diesel hanya akan dilaksana di kawasan Semenanjung Malaysia sahaja, sementara di Sabah dan Sarawak walaupun tiada subsidi ini, diesel akan dijual pada harga subsidi, sementara harga diesel di Semenanjung akan dinaikkan mengikut harga semasa.

     
     
  • Polis berjaya kutip bayaran saman RM5.6j sepanjang 3 hari acara Setahun Bersama Kerajaan Madani

    Polis berjaya kutip bayaran saman RM5.6j sepanjang 3 hari acara Setahun Bersama Kerajaan Madani

    Sempena dengan acara Setahun Bersama Kerajaan Madani yang berlangsung selama tiga hari pada hujung minggu lalu di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip perolehan sebanyak RMRM5,614,100 hasil pembayaran saman trafik.

    Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada hari pertama penganjuran acara terbabit iaitu 8 Disember 2023, sebanyak RM1,365,940 bayaran saman trafik telah diterima oleh pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur.

    Polis berjaya kutip bayaran saman RM5.6j sepanjang 3 hari acara Setahun Bersama Kerajaan Madani

    Jumlah tersebut meningkat pada hari kedua penganjuran iaitu mencecah RM1,977,210. Manakala pada hari terakhir penganjuran acara pula, sebanyak RM2,270,950 telah berjaya dikutip.

    Menurut KDN, diskaun saman PDRM sebanyak 50% mendapat sambutan yang hangat serta dapat memudahkan orang awam untuk melakukan semakan dan pembayaran saman. Sebanyak 14 kaunter bayaran saman telah dibuka pada acara berkenaan. Malah untuk kelancaran, PDRM turut memberikan baucar kepada orang ramai yang mahu membayar saman secara dalam talian dengan kadar diskaun melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM.

     
     
  • Honda City kini dengan potongan harga RM8,000 — varian E dan V, tawaran sehingga 31 Disember 2023

    Honda City kini dengan potongan harga RM8,000 — varian E dan V, tawaran sehingga 31 Disember 2023

    Jika anda mengintai untuk memiliki Honda City, bulan lalu Honda Malaysia telah mengadakan promosi khusus penjawat awam dengan penjimatan keseluruhan hingga RM8,000. Kini, sebagai sebahagian daripada tawaran jualan hujung tahunnya, potongan RM8,000 itu diberikan untuk “semua” pelanggan dan tidak hanya terhad kepada penjawat awam sahaja.

    Menurut Honda Malaysia, promosi berkenaan kini diberikan juga untuk pekerja SME (industri kecil dan sederhana). Walaupun bukanlah untuk semua, pekerja sektor awam dan SME mengisi sebahagian besar sektor pekerjaan di Malaysia, jadi rujuk perunding jualan anda untuk mengetahui sama ada anda layak atau tidak untuk menikmati promosi ini.

    Apa pun, promosi ini hanya untuk model City E dan V sahaja. Jumlah penjimatan RM8,000 ini datang dalam bentuk rebat tunai serta filem penapis haba Ecotint percuma bernilai RM2,200 untuk kedua-dua varian tersebut.

    Ini diskaun yang agak besar juga untuk kereta popular segmen B berkenaan, dan tawaran seperti ini belum pernah diberikan untuk model Honda City. Tawaran yang perlu dimanfaatkan sekiranya anda ingin memiliki Honda City. Untuk melayakkan anda, mudah sahaja — kereta tersebut perlu didaftarkan sebelum 31 Disember 2023. Jadi, jangan tunggu lagi.

     
     
  • Renault 5 E-Tech 2024 – rupa model produksi sebenar EV diinspirasikan hot-hatch klasik terdedah di internet

    Renault 5 E-Tech 2024 – rupa model produksi sebenar EV diinspirasikan <em>hot-hatch</em> klasik terdedah di internet

    Lebih dua tahun lalu Renault telah pun menghasilkan model konsep yang digelar sebagai Renault 5 Prototype, iaitu hatchback EV yang diinspirasikan dari hot-hatch lagendanya pada era 80’an, Renault 5 Turbo. Akhir bulan lalu pembuat kereta dari Perancis berkenaan sudahpun mengesahkan bahawa versi produksi Renault 5 EV berkenaan bakal dilancarkan ketika berlangsungnya di Geneva Motor Show 2024 pada hujung Februari dengan nama Renault 5 E-Tech.

    Dan sebelum ia didedahkan secara rasmi, nampaknya rupa sebenar model berkenaan sudah pun tertiris menerusi lukisan paten yang didaftarkan dan disiarkan oleh Organisasi Harta Intelek Dunia (WIPO). Seperti yang anda boleh lihat, kebanyakkan rekaan dari model konsep sebelum ini diserapkan pada versi produksi, dan ia sudah tentu menyerupai versi asli Renault 5 yang mula diperkenalkan sejak 1972.

    Antara perincian yang membuatkan hatchback EV ini menyerupai versi klasiknya adalah profil sisinya, dan juga rekaan lampu hadapan serta belakang. Ia juga ditambah dengan elemen rekaan lebih moden seperti tiang-A dan bumbung yang diwarnakan hitam bagi memberikan rupa seakan bumbung terapung.

    Renault 5 E-Tech 2024 – rupa model produksi sebenar EV diinspirasikan <em>hot-hatch</em> klasik terdedah di internet

    Namun berbeza dengan Renault 5 asli yang tampil dengan badan tiga-pintu, versi produksi Renault 5 EV ini dihasilkan dengan badan lima-pintu. Walau bagaimanapun Renault telah mengalihkan pembuka pintu belakang ke bahagian bingkai cermin dan sekaligus ‘menyembunyikan’ kewujudan pintu tersebut.

    Versi produksi Renault 5 EV ini juga nampaknya diberikan dua port pengecas yang terletak pada kedua-dua belah fender hadapan. Ia juga hadir dengan set roda menampilkan rim aloi bersaiz besar bersama rekaan jejari yang hampir sama seperti model konsep sebelum ini.

    Menerusi perincian rasmi awalan yang telah didedahkan oleh Renault sebelum ini, Renault 5 EV ini akan dibekalkan dengan pek bateri 52 kWj yang membolehkan ia bergerak sejauh 400 km dengan sekali cas berdasarkan kitaran ujian WLTP. Ia juga direka sebagai sebuah kereta kompak yang sesuai digunakan dalam bandar dengan panjang keseluruhan hanya 3,920 mm.

    Renault 5 E-Tech 2024 – rupa model produksi sebenar EV diinspirasikan <em>hot-hatch</em> klasik terdedah di internet

    Renault 5 EV ini akan menggantikan tempat Renault Zoe yang sudahpun berada dalam pasaran sejak 2012. Menurut laporan Motor1, model ini diasaskan dari platform AmpR Small, iaitu platform EV yang diasaskan dari platform CMF-B Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi. Dan bagi mengurangkan kos pengeluarannya, ia akan berkongsi 70% komponen yang sama seperti Renault Clio.

    Laporan itu juga menyebut model ini turut akan menampilkan konfigurasi suspensi jenis multilink di belakang bagi memberikan pengendalian yang tajam, malah versi prestasi dengan lencana Alpine turut akan dihasilkan. Berbanding Zoe yang diberikan 12 unit modul bateri, model penggantinya ini hanya akan menampilkan empat modul bateri bersaiz besar yang 15 kg lebih ringan.

    Dalam perincian awalan yang diumum sebelum ini juga Renault telah menyatakan bahawa hatchback ini akan dijual pada harga sekitar €25,000 (RM126k). Memandangkan Zoe sememangnya dijual oleh TC Euro Cars di Malaysia, mungkin Renault 5 ini turut akan dibawa ke pasaran tempatan kelak?

    GALERI: Renault 5 Prototype 2021

     
     
  • Tiada diskaun saman JPJ di bawah pentadbiran Loke – saman untuk mendidik; tak adil bagi yang bayar awal

    Tiada diskaun saman JPJ di bawah pentadbiran Loke – saman untuk mendidik; tak adil bagi yang bayar awal

    Mesti ramai yang mengharapkan JPJ juga akan memberikan diskuan saman menerusi penganjuran “Setahun Dengan kerajaan Madani” hujung minggu lalu, namun pastinya hampa. Ini kerana Menteri Pengangkutan Anthony Loke masih mengekalkan pendirian untuk tidak memberikan diskaun saman.

    Loke berkata, JPJ yang berada di bawah seliaan kementeriannya, tidak mengamalkan polisi dalam pemberian diskaun saman sejak tahun. 2018, ketika beliau menerajui kementerian bermula tahun 2018 hingga 2020. Ahli Parlimen Seremban itu berkata, saman adalah bertujuan untuk mendidik, dan memberikan diskaun juga adalah tidak adil bagi mereka yang membayarnya lebih awal.

    “Kami mengamalkan dasar ini sejak 2018 semasa saya menjadi Menteri Pengangkutan. Kemudian, saya juga membatalkan lebih RM4 juta saman kamera AES , dan ia mendapat sambutan yang baik. Kami ingin menghantar mesej kepada orang ramai bahawa saman adalah untuk mendidik. Jika kita beri diskaun, ia tidak adil kepada mereka yang membayarnya dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya pada majlis tersebut di Bukit Jalil, lapor Bernama.

    Loke menambah JPJ sebagai agensi yang bertanggungjawab untuk keselamatan jalan raya, tidak akan berkompromi dalam isu ini, dan kabinet serta Ketua Setiausaha Serajaan Tan Sri Mohd Zuki Ali telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

    “Semalam, saya dapati orang ramai datang ke kaunter JPJ (pada majlis itu) untuk mendapatkan diskaun saman dan mereka kecewa, dan saya memohon maaf atas salah faham mengenai isu itu,” kata Loke. Pasti ada yang beranggapan JPJ akan memberikan diskaun pada majlis itu, sama seperti PDRM dengan tawaran 50%. Walau bagaimana pun, untuk pengetahuan anda, PDRM berada di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

     
     
  • ECRL: Pemasangan landasan pertama dirasmikan oleh YDP Agong; capai kemajuan 56% setakat Okt 2023

    ECRL: Pemasangan landasan pertama dirasmikan oleh YDP Agong; capai kemajuan 56% setakat Okt 2023

    Pemasangan Landasan Pertama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah pun dirasmikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah lbni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AI-Musta’in Billah di tapak Stesen ECRL Seksyen 10 di Gebeng, Kuantan, Pahang. Turut mengiringi baginda, Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

    Perasmian yang disempurnakan Al-Sultan Abdullah itu menandakan titik permulaan yang penting untuk pemasangan landasan sepanjang 94 kilometer dari stesen Bandar Pelabuhan Kuantan (KPC) di Gebeng, di sini ke Dungun, Terengganu.

    Pemasangan landasan itu dijangka mengambil masa antara tiga dan empat bulan untuk dilengkapkan. Selepas itu, projek itu akan disambung untuk memasang landasan dari stesen KPC ke Temerloh dan menuju ke arah utara di Dungun ke Kota Bharu, dan diakhiri dengan Temerloh ke Jalan Kastam, Selangor, laporan Berita Harian.

    ECRL: Pemasangan landasan pertama dirasmikan oleh YDP Agong; capai kemajuan 56% setakat Okt 2023

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementeriannya menerusi Jabatan Kerja Raya (JKR) secara tidak langsung turut terlibat dalam projek ini melibatkan kerja-kerja pembinaan jambatan, penambatan, pemasangan cerucuk selain pembinaan stesen-stesen ECRL.

    Manakala Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula memaklumkan sehingga kini 23,000 pekerja terbabit dalam melaksanakan kerja di 1,900 tapak pembinaan sepanjang jajaran, manakala kerja pengorekan terowong menggunakan kaedah gerudi dan letup, telah mencapai penembusan 26 terowong sehingga kini.

    “Pengorekan Terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) dengan kombinasi kaedah gerudi, letup serta mesin pengorek terowong, telah mencapai kedalaman hampir enam kilometer bagi kedua-dua bahagian terowong dan dijangka mencatat penembusan pada suku kedua 2025,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Tambahnya, bagi peringkat kerja jejambat ECRL yang meliputi panjang 145 km, sehingga kini pemasangan rasuk jejambat telah disempurnakan pada jarak lebih 60 km.

    Landasan ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor membabitkan pembinaan 20 stesen, merangkumi 10 stesen penumpang serta 10 stesen gabungan penumpang dan kargo, dengan tujuh di Pahang, Terengganu (enam stesen), Kelantan (dua stesen) dan Selangor (lima stesen). Jajaran ECRL ini bermula di Kota Bharu dan berakhir di Pelabuhan Klang,Selangor. Projek ini menelusuri empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

    Setakat Oktober 2023, pembinaan projek mega ECRL ini telah mencapai kemajuan sebanyak 56% dan menurut Loke, perkembangan ini adalah selari dengan jadual penyiapan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor pada Disember 2026.

    Laluan rel sepanjang 665 km yang dianggarkan bernilai RM50.27 bilion menghubungkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, dijangka mula beroperasi pada Januari 2027.

     
     
  • Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    Satu-satunya perlumbaan rali yang dilangsungkan di Malaysia tahun ini iaitu Rally Sprint 2023 yang dianjurkan oleh Rally Sprint X-One telahpun berlangsung dengan jayanya hujung minggu lalu. Perlumbaan yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang tersebut bermula pada malam 9 Disember dan berakhir pada petang 10 Disember.

    Bilangan pelumba untuk Rally Sprint kali ini dilihat meningkat di mana ia bukan hanya menarik minat muka-muka biasa dalam disiplin rali di Malaysia, malah penyertaan yang mencecah 31 kereta untuk kali untuk turut melihat pelumba-pelumba litar dan Gymkhana turut mendaftar untuk perlumbaan rali 100% di atas permukaan tar tersebut.

    Kesemua kereta yang bertanding dibahagikan kepada empat kelas utama iaitu P9 (kapasiti enjin sehingga dan termasuk 1,400cc), P10 (lebih dari 1,401cc sehingga dan termasuk 1,600cc), P11 (lebih dari 1,601 cc sehingga 2,000 cc), dan P12 (lebih dari 2,000 cc 4WD).

    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    Tambah menarik pihak penganjur juga menambah empat kategori istimewa bagi mempromosikan lagi sukan ini kepada lebih ramai pelumba iaitu Classic Cup (untuk kereta lebih berusia), Junior Cup (untuk pelumba muda), Ladies Cup (untuk pelumba wanita) dan juga Rookie Cup.

    Bagi Rookie Cup, ia adalah kategori yang diwujudkan untuk pelumba yang benar-benar baharu iaitu tidak pernah berlumba dengan lesen perlumbaan yang dikeluarkan oleh MAM sebelum ini, dan kereta yang digunakan tidak perlu dilengkapi rollcage tetapi kapasiti enjin dihadkan di bawah 1,400 cc serta hanya dipadankan dengan kotak gear automatik atau CVT.

    Pemandu rali Malaysia yang pernah menyinar di peringkat antarabangsa, Saladin Mazlan boleh dikatakan mendominasi hampir sepenuhnya Rally Sprint kali ini. Dari sembilan SS yang disediakan, Saladin menang lapan SS (dari SS 1 hingga 7 dan SS 9) membolehkannya menjadi juara keseluruhan dengan menghabiskan rali ini dengan masa 29 minit 48 saat.

    Beliau mewakili pasukannya sendiri, Saladin Rallying berpasangan dengan juruarah lamanya, Arish Qutb dan memandu kereta yang diberi nama “MINI Deus”. Ia adalah jentera prototaip yang dibina menggunakan casis space frame, disumbat dengan enjin 2.0 liter turbo dan digandingkan dengan sistem pacuan semua roda, kemudian ‘disorokkan’ disebalik badan MINI klasik. Jadi ini turut membolehkan Saladin turut ‘menyapu’ trofi bagi kelas P12 dan jentera 4WD terpantas dalam rali ini.

    Manakala tempat kedua pula adalah milik pelumba yang sinonim dengan pelumbaan litar khususnya siri Malaysia Speed Festival (MSF), Zahid Latif. Beliau memandu jentera kelas P9 iaitu Daihatsu Mira L5 dua pintu asli pasukan Kie Garage dan dibantu oleh juruarah Kamal Shukri menamatkan rali ini dengan masa 31 minit 9 saat.

    Zahid dilihat bersaing hebat dengan seorang lagi pemandu rali berpengalaman negara, Haji Sutan Mustafa yang memandu Subaru Impreza WRX GDB khususnya pada SS 3 hingga 7, namun malang bagi Haji Sutan kerana keretanya mengalami kerosakan di SS9 dan gagal menamatkan perlumbaan.

    Manakala dalam SS 8, Zahid terus mengukuhkan kedudukannya dengan mencatatkan masa lebih pantas dari Saladin dan memenangi Leg 2 secara keseluruhan. Selain dari trofi ke tempat kedua secara keseluruhan, Zahid turut membawa pulang piala kemenangan untuk kelas P9 dan FWD.

    Podium terakhir untuk Rally Sprint 2023 ini adalah milik pelumba wanita yang seringkali mengugat pelumba-pelumba lelaki dalam disiplin Gymkhana iaitu Ng Aik Sha. Beliau berpasangan dengan Norsharina Nor Ramlie sebagai juruarah, yang juga sebenarnya pelumba yang begitu sinonim dengan litar Sepang.

    Dengan memandu Honda Civic EG, Aik Sha dan Sharina yang mewakili pasukan Estrada Motorsport turut menggondol trofi juara kelas P10 juara bagi kategori Ladies Cup dan naib juara FWD.

    Antara yang mencuri perhatian dalam Rally Sprint kali ini adalah juara kategori Junior iaitu Muhammad Iqbal Ahmad Suji. Iqbal yang bermula sebagai pelumba Simulator sebelum ini sudah pun mula memandu kereta lumba sebenar, dan kali ini merupakan penampilan pertamanya dalam perlumbaan rali.

    Iqbal memandu Proton Satria bagi mewakili pasukan JR Speed Suci Muci Racing Team, dibantu oleh jururah Shazwan Akiff Shahrol turut menggondol tempat ketiga dalam kelas P10.

    Dua orang pelumba kategori Rookie juga tidak kurang hebatnya – juara kelas ini iaitu pasangan Gan Yee Wei dan Tan Chee Wei dari pasukan Piston Project Jr Team yang hanya memandu Perodua Bezza berjaya berada di tempat ke-18 keseluruhan, manakala naib juara iaitu Farid Adley dan Wan Muhammad Akshah yang memandu Perodua Kembara menamatkan perlumbaan di tempat ke-28 keseluruhan.

    Manakala bagi kategori klasik, ia dimenangi oleh Mohd Syu’aib Hassan yang dibantu jururah Allan Cham Wei Lun dari pasukan Pit Stop TV Rally Team. Proton Saga generasi pertama kategori P10 yang digunakan oleh pasangan ini berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-20 secara keseluruhan.

    Berikut adalah keputusan untuk setiap kelas dan kategori:

    Kelas P12

    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Saladin Mazlan & Arish Qutb
    Saladin Rallying, MINI Deus

    2. Faidzal Alang & Zamri Muhamat
    Darsa Lube Consortium Rally Team, Mitsubishi Lancer Evo

    3. Jasni Jaafar & Mohd Ridzuan Zakaria
    Saladin Rallying, Subaru Impreza WRX GC8

    Kelas P11

    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Mohd Shafiq Shamsuddin & Shasha Farina Mohd Shapie
    Race Rally KL, Toyota Vios

    2. Dinie Nazmie & Radin Mohd Saleh Shah
    RNR Sport Speed Garage, Toyota Vios

    3. Mitch Chong & Shafiq Bakhtiar
    Geng Kampong Racer, Proton Satria

    Kelas P10
    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Ng Aik Sha & Norsharina Nor Ramlie
    Estrada Motorsport, Honda Civic EG

    2. Azmeer Yusri Yusoff & Syahmie Ruzainie
    Race Rally KL X Piston Project, Suzuki Swift Sport ZC32S

    3. Muhammad Iqbal Ahmad Suji & Shazwan Akiff Shahrol
    JR Speed Suci Muci Racing Team, Proton Satria

    Kelas P9
    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Zahid Latif & Kamal Shukri
    Kie Garage, Daihatsu Mira L5

    2. Muhammad Khairul Nizam & Shahrol Zainal
    JR Speed Suci Muci Racing Team, Proton Iriz

    3. Chan Sook Ping & Gan Chew Hoon
    Geng Kampong Racer, Proton Iswara

    Classic Cup
    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Mohd Syu’aib Hassan & Allan Cham Wei Lun
    Pit Stop TV Rally Team, Proton Saga

    2. Musa Sahbardin & Mohd Irwan Shah
    Sam Autotuned Racing Team, Proton Saga

    3. Mahadi Husin & Aideel Husairry
    SIR 2 Motorsport, Proton Saga

    Junior Cup
    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Muhammad Iqbal Ahmad Suji & Shazwan Akiff Shahrol
    JR Speed Suci Muci Racing Team, Proton Satria

    2. Ibrahim Saladin & Suresh Sharma
    Saladin Rallying, Proton Satria Neo

    3. Shaik Irsyad & Shaik Ahmad Nazri
    Twin Speed Rally, Proton Satria

    Ladies Cup
    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Ng Aik Sha & Norsharina Nor Ramlie
    Estrada Motorsport, Honda Civic EG

    2. Chan Sook Ping & Gan Chew Hoon
    Geng Kampong Racer, Proton Iswara

    Rookie Cup
    Rally Sprint 2023 gegar MAEPS – pertembungan pelumba rali, litar & Gymkhana; Saladin Mazlan juara!

    1. Gan Yee Wei & Tan Chee Wei
    Piston Project Jr Team, Perodua Bezza

    2. Farid Adley & Wan Muhammad Akshah
    Yetza Garage, Perodua Kembara

     
     
  • BYD Seal dipertonton di Malaysia — dijangka tiga varian, lancar Q1 2024, harga anggaran dari RM180k

    BYD Seal dipertonton di Malaysia — dijangka tiga varian, lancar Q1 2024, harga anggaran dari RM180k

    Setahun lalu, BYD Seal pertama kali ditunjukkan di sini. Hari ini, model EV itu sekali lagi dipertontonkan di Malaysia dalam acara BYD 1st Anniversary: Beyond Dreams Celebration bertempat di Bukit Kiara Indoor Arena hujung minggu ini. Dalam penampilan kali ini, unitnya lebih dekat dengan apa yang akan dilancarkan untuk pasaran tempatan, tak lama lagi, dijangka pada suku pertama 2024.

    Seal mempunyai ukuran dimensi 4,800 mm panjang, 1,875 mm lebar dan 1,460 mm tinggi, dengan jarak antara roda 2,920 mm, ia dibangun menggunakan e-platform 3.0 BYD, sama seperti Atto 3 dan Dolphin. Ia diposisikan sebagai pesaing kepada segmen yang sama dengan BMW i4 dan Tesla Model 3.

    Tidak seperti model Atto 3 dan Dolphin, Seal menggunakan platform binaan elektrikal 800V sama seperti EV yang lebih mewah misalnya Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT. Dijangka ada tiga varian bakal ditawarkan untuk Malaysia, seperti juga yang dilihat ditawarkan untuk pasaran Singapura, Thailand dan Australia, pasaran di mana Seal sudah mula dijual.

    BYD Seal dipertonton di Malaysia — dijangka tiga varian, lancar Q1 2024, harga anggaran dari RM180k

    Varian paling asas ialah Dynamic Standard Range pacuan belakang, dengan sebuah motor elektrik dengan janaan 201 hp (204 PS atau 150 kW) dan 310 Nm. Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 7.5 saat. Bateri pula menggunakan jenis lithium-iron phospate (LFP) 61.4 kWh Blade yang memberikan jarak 460 km (kitaran WLTP).

    Dipertengahan ialah Premium Extended Range yang juga dengan motor tunggal pacuan belakang, tetapi dengan janaan output dan bateri yang lebih tinggi. Motornya menghasilkan 308 hp (313 PS atau 230 kW) dan 360 Nm, manakala kapasiti baterinya pula ialah 82.5 kWh LFP yang memberikan 570 km jarak perjalanan.

    Varian paling tinggi ialah Performance AWD. Dengan dua motor menjana kuasa 215 hp/310 Nm ditambah kepada unit motor di belakang dengan 308 hp/360 Nm — dengan output keseluruhan 523 hp (530 PS atau 390 kW) dan 670 Nm. Ia menggunakan bateri yang sama, 82.5 kWh seperti Premium ER, dengan jarak perjalanan 520 km mengikut kitaran WLTP.

    Untuk pengecasan, Seal paling asas menyokong AC Type 2 sehingga 7 kW — dengan 8.6 jam diperlukan untuk cas penuh — serta pengecasan DC (CCS2) sehingga 110 kW. Premium ER dan Performance AWD juga menampilkan pengecas AC Type 2 7 kW, dengan pengecasan 0-100% mengambil masa 15.2 jam, manakala pengecasan DC mampu menampung sehingga 150 kW, dengan hanya 37 minit diperlukan untuk mendapatkan kadar bateri dari 10-80%.

    Ketika ini belum ada sebarang pengesahan tentang harganya, namun penasihat jualan di acara tersebut menyatakan Seal akan dijual bermula harga sekitar RM180k untuk varian Dynamic, dengan Premium ER mungkin sekitar RM200k dan Performance sekitar RM220k.

     
     
  • Shah Rukh Khan terima sebuah Hyundai Ioniq 5

    Hyundai Motor India Ltd telah menyerahkan unit ke-1,100 model EV Ioniq 5 kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan yang juga merupakan duta kepada jenama kenderaan Korea Selatan itu sejak 25 tahun lalu, lapor The Times of India. Untuk pasaran di sana, Ioniq 5 merupakan model flagship yang ditawarkan ketika ini.

    “Menjadi ahli keluarga Hyundai Motor India yang paling lama, perjalanan selama 25 tahun kami bersama adalah sangat bererti, baik kepada saya dan juga jenama ini. Kami telah berkongsi banyak pengalaman bersama. Jenama Hyundai juga sudah menjadi seperti keluarga untuk saya, dan saya berbangga untuk terus bekerjasama dengan jenama kenderaan yang sangat dipercayai seperti Hyundai,” ujarnya.

    Hyundai Ioniq 5 dilengkapi dengan bateri 72.6 kWh yang menyediakan jarak sejauh 631 km. Motor elektriknya dipasang di belakang, dengan janaan kuasa sebanyak 214 hp dan 350 Nm tork. Pengecas pantas DC 150 kW mampu mengecas baterinya dari 0-80% dalam masa 21 minit, sementara dengan pengecas 50 kW akan memerlukan masa sejam untuk itu.

     
     
  • BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun diperkenal di Malaysia — terima bodykit luaran baru, RM173,888

    BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun diperkenal di Malaysia — terima bodykit luaran baru, RM173,888

    Sime Darby Beyond Auto kini telah memperkenalkan BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun, dengan hanya 500 unit model berkenaan ditawarkan sempena ulangtahun pertama jenama itu di Malaysia. Tiada sebarang perubahan mekanikal terlibat, dengan model edisi terhad ini yang menggunakan varian Atto 3 Extended Range diberikan peningkatan kosmetik dan pakej body kit eksklusif.

    Ditawarkan dengan warna badan Boulder Grey atau Ski White, model edisi terhad ini dipasangkan dengan lip bampar depan baru, panel bampar depan, perumah cermin sisi hitam, spoiler belakang, panel pemijak sisi serta diffuser belakang. Selain itu bingkai tingkap sisi juga diberikan kemasan hitam, begitu juga dengan bahagian panel tiang C.

    Dilancarkan setahun lalu, Atto 3 datang dalam dua varian, Standard Range dengan bateri 49.92 kWh yang menawarkan jarak 410 km (NEDC, 345 km WLTP) dan Extended Range dengan bateri 60.48 kWh, yang memberikan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun diperkenal di Malaysia — terima bodykit luaran baru, RM173,888

    Kedua-duanya menampilkan sistem janaan yang sama, dengan sebuah motor elektrik di depan yang memberikan sebanyak 204 PS dan 310 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat.

    Atto 3 menggunakan binaan 400V dan menyokong pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW serta pengecasan DC (CCS2), dengan kadar maksimum sama ada 70 kW (SR) atau 80 kW (ER). Dengan kadar yang lebih tinggi, pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    Di dalam, semuanya kekal sama, dengan adanya skrin sentuh boleh pusing 12.8-inci (paparan portrait dan landskap) serta sunroof panoramik hinggalah kepada kerusi balutan kulit buatan, pendingin automatik dan kamera 360-darjah.

    Selain ini, Atto 3 Extended Range menampilkan ciri pintu ruang barangan belakang elektronik, sistm audio dengan lapan pembesar suara dengan bunyi “Dirac DH”, penapis kabin PM 2.5 serta pengecasa tanpa wayar. Varian berkenaan juga menggunakan rim 18-inci dengan profil tayar 215/55, serta ada juga lampu suasana pelbagai warna di pemegang pintu, berbanding hanya satu warna bagi Standard Range.

    BYD Atto 3 Edisi Terhad Ulangtahun dijual pada harga RM173,800 dan boleh didekati di acara BYD 1st Anniversary: Beyond Dreams Celebration di Bukit Kiara Indoor Arena hujung minggu ini. Jualannya juga telah dimulakan, dengan syarikat itu menyatakan serahan kepada pelanggan akan dilakukan pada awal 2024.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025