Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • DBKL tawar diskaun saman sepanjang Feb ini

    Bernama-DBKL-saman

    Sempena dengan Hari Wilayah pada 1 Februari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan tawaran diskaun untuk semua saman kereta dan motosikal sepanjang Februari ini, laporan Malay Mail Online.

    DBKL berkata, saman yang dikenakan dari RM100 hingga RM300 akan dikurangkan ke kadar tetap RM50 dan RM30, bergantung pada saman asalnya.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz, inilah masa yang paling sesuai untuk menyelesaikan saman tertunggak. “Selepas ini, ia akan menjadi RM100 atau RM150, jadi selesaikannya sekarang,” ujarnya kepada pihak media semalam.

     
     
  • Proton bakal rebadge Suzuki Ertiga MPV – kit CKD didatangkan dari Indonesia, bermula Q2 2016

    GIIAS-Suzuki-Ertiga-Facelift-1_BM

    Suzuki Ertiga telah disahkan menjadi salah satu model yang bakal ditukar logonya (rebadged) ke Proton dengan kerjasama pengeluar kenderaan nasional tersebut dengan Suzuki. Menurut laporan berita dari Indonesia yang memetik kenyataan Suzuki Indomobil Sales (SIS) berkata Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk komponen terurai (knocked down) dan kemudian akan dipasang semula (CKD) mulai suku kedua (Q2) tahun 2016.

    “Ini merupakan hasil daripada kerjasama antara Suzuki dan Proton, di mana Osamu Suzuki (Presiden Suzuki Motor Corp, Jepun) umumkan tahun lalu,” ujar Timbalan Pengarah Urusan SIS, Davy Jeffry Tuilan memberitahu Kompas Otomotif semalam.

    Beliau menambah, SIS akan mengeksport sebanyak 1,500 unit Ertiga kepada Proton setiap bulan, iaitu menyamai 18,000 unit setahun, seganda daripada jumlah eksport Suzuki Indonesia sendiri iaitu dari Rp 2 trilion ke Rp 4 trilion. Produksi bagi kit komponen terurai untuk Malaysia ini akan dimulakan pada Mei ini di kilang SIS yang terletak di Cikarang. Proton turut mengumumkan model kerjasama Proton-Suzuki ini akan memasuki pasaran sebelum 2016 berakhir.

    GIIAS-Suzuki-Ertiga-Facelift-7_BM

    Pada masa ini, Suzuki mengeksport Ertiga dari Indonedia ke beberapa negara Asia termasuk Filipina, Thailand, Vietnam dan Brunei dalam versi CBU. Walau bagaimana pun, eksport ke empat pasaran berkenaan dianggarkan sebanyak 400 unit pada setiap bulan. Selain itu, Suzuki turut memproduksi Mazda VX-1 dan Ertiga (rebadged) untuk pasaran Indonesia.

    Suzuki Ertiga muncul buat pertama kali di India pada tahun 2012, sebelum MPV tujuh tempat duduk itu diproduksi di Indonesia. Ia memiliki ukuran jarak roda 2,740 mm (Perodua Alza 2.750 mm, Proton Exora 2,730 mm) dan dijanakan oleh enjin 1.4 liter dengan kuasa 92 PS dan tork 130 N,. Motor K14B ini dipadankan dengan kotak gear manual lima-kelajuan dan automatik empat-kelajuan.

    Model Ertiga facelift telah dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2015 pada Ogos 2015, dan pada Disember lalu, Suzuki telah memperkenalkan varian Ertiga Dreza dengan imej yang unik dan pertambahan elemen lain.

    GALERI : Suzuki Ertiga Facelift di GIIAS 2015

     
     
  • PLUS guna teknologi Turapan Anti-Gelincir di 10 laluan susur – kurangkan 50% risiko kemalangan sejak 2010

    PLUS_BM3

    Penggunaan teknologi Turapan Anti-Gelincir (Anti-Skid Pavement) di beberapa laluan susur di persimpangan bertingkat serta lain-lain lokasi di lebuh raya PLUS berjaya mengurangkan risiko kemalangan di kawasaan tersebut sebanyak 50%.

    Menurut CEO PLUS, Mohammad Fuad Khusairi, teknologi ini telah diaplikasikan sejak tahun 2010 lalu dan sehingga kini 10 lokasi telah pun diaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Buat setakat ini, lokasi terbabit ialah persimpangan Rawang, persimpangan Bangi, persimpangan Kajang, persimpangan Bertam, persimpangan USJ KM9.0, persimpangan Seafield KM5.4 (Ramp B), persimpangan Seafield KM5.4 (arah selatan), persimpangan Shah Alam (Ramp D), persimpangan Ayer Hitam KM80.22 dan persimpangan Yong Peng KM94.50.

    “Ia diperkenalkan di laluan yang kritikal dan sejak digunakan, kami berjaya mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan-kawasan terbabit sebanyak 50%,” ujar Fuad.

    Menurut Fuad, penggunaan bahan Turapan Anti-Gelincir tersebut meningkatkan lagi kadar geseran di antara permukaan jalan dan tayar kenderaan. Kadar geseran yang tinggi memberikan lebih cengkaman dan seterusnya mampu mengelakkan kenderaan tergelincir apabila mengambil selekoh di laluan susur teruta,anya ketika hujan.

    Beliau berkata demikian dalam satu taklimat kepada wakil-wakil media di Persimpangan Bertingkat Kajang hari ini.

    “Sehingga kini PLUS telah membelanjakan kiri-kira RM5.5 juta untuk mengaplikasikan teknologi Turapan Anti-Gelincir ini. Berdasarkan kajian dan rekod kami, teknologi dari Jerman ini boleh diyakini dan akan terus membantu mengurangkan jumlah kemalangan di lokasi-lokasi tertentu,” ujar Fuad.

    Turapan Anti-Gelincir ini merupakan sejenis lapisan khas ‘sealant coating’ untuk memperkuatkan lagi cengkaman antara agregat (batu baur) di atas permukaan jalan. Fuad berkata, lebih tinggi Nilai Anti Gelinciran (SRV) bagi material ini, ia akan membuatkan permukaan jalan lebih kesat.

    Tambah Fuad lagi, “Walau pun lapisan khas ini kelihatan berkilat seolah-olah terdapat tumpahan minyak dan licin. namun sebenarnya ia membantu menguatkan lagi kadar cengkaman dan mampu mengelakkan kenderaan tergelincir ketika melalui selekoh.”

    Ketika ditanya media, adakah turapan ini akan kekal, Fuad menjawab, “Setiap lima tahun kami perlu menurapnya semula, ini kerana percikan air mampu mengurangkan kesan geseran. Malah kami akan memantaunya dari masa ke masa bagi memastikan turapan ini berfungsi dengan baik. Jika terdapat rekahan pada bahagian turapan, biasanya kami akan menggunakan serbuk kayu untuk menutupinya terlebih dahulu sebelum menurapnya semula dengan teknologi ini.”

    Fuad turut berkata, teknologi ini juga mungkin akan diperluaskan di beberapa lokasi lain jika diperlukan. Tetapi PLUS juga mungkin akan menggunakan teknologi lain selain Turapan Anti-Gelincir ini. “Kena ikut kesesuaian keadaan, mungkin teknologi atau material lain akan digunakan,” ujarnya.

    Teknologi Turapan Anti-Gelincir ini turut digunakan secara meluas di Jerman, Jepun, Korea, Australia, Switzerland dan beberapa negara lain. Selain lebuh raya, ia turut digunakan pada permukaan jambatan dan landasan kapal terbang.

    Walau bagaimana pun, Fuad turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya amalkan pemanduan berhemah dan mengikut had kelajuan yang ditetapkan, selain memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

     
     
  • Proton mampu akses pasaran secara lebih luas dengan TPPA, sekatan yang minimum – PEDA

    Proton_Iriz_002_BM

    Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang bakal ditandatangani oleh Malaysia tidak lama lagi turut memberikan keyakinan kepada Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA). TPPA yang turut disertai 12 negara dikatakan mampu menyediakan akses pasaran yang lebih luas untuk Proton.

    Menurut Presiden PEDA, Armin Baniaz Pahamin, jawatankuasa PEDA secara sebulat suara menyokong TPPA memandangkan kenderaan Proton boleh menembusi negara peserta secara bebas dengan sekatan yang minimum, laporan Bernama.

    “Pasaran tempatan sebenarnya akan mendapat manfaat melalui penetapan harga yang lebih kompetitif hasil daripada ekonomi bidangan yang dicapai,” katanya.

    Beliau berkata, tanpa TPPA, Proton akan berdepan sekatan import yang ketat ke atas kenderaanya.

    Ujarnya lagi, “Kami yakin TPPA akan meliberalkan sekatan ini dan ia akan menjadikan lebih mudah untuk mengekport kereta kita ke negara anggota berkenaan begitu juga bagi syarikat asing memasuki Malaysia.” katanya.

     
     
  • MINI Countryman Park Lane – hanya 88 unit, RM254k

    2016-mini-countryman-park-lane-malaysia-price-001

    MINI Malaysia telah memperkenalkan edisi istimewa bagi model Countryman. MINI Countryman Park Lane, tampil dengan jaluran ala jentera lumba, dijual pada harga bermula RM253,888 dan hanya terhad sebanyak 88 unit di Malaysia sahaja.

    Diperkenalkan di peringkat global di Geneva Motor Show 2015 lalu, MINI Countryman Park Lane ini turut didatangkan dengan gaya yang dipertingkatkan berbanding dengan varian standard bagi Countryman Cooper S yang berharga RM243,888.

    Antara peningkatan gaya yang ditampilkan ialah padanan warna Earl Grey bagi kerangka luarannya, digabungkan dengan kekemasan Oak Red pada bahagian bumbung, perumah cermin sisi dan jaluran ala perlumbaan. Manakala rim aloi Turbo Fan Dark Grey bersaiz 18-inci turut menyerlahkan lagi gaya sporty jentera ini. Malah ia juga dilengkapi dengan pakej MINI ALL4 Exterior termasuk elemen badan berwarna perak pada bahagian hadapan dan belakang serta side sill.

    Sebagai tambahan, bahagian kabin juga didatangkan dengan logo eksklusif “Park Lane” termasuk pada bahagian kokpit. Manakala kekemasan Oxide Silver pula terbentang pada bahagian kokpit dan bingkai pintu, sementara Cross Stripe Grey pula digunakan untuk sisi di sekeliling konsol tengah. Kesemua ini merupakan barangan eksklusif bagi Countryman Park Lane. Ia juga didatangkan bersama Carbon Black pada bahagian pintu dan konsol tengah.

    Seperti sebelum ini, MINI Countryman ini turut dilengkapi dengan pakej Pencahayaan Sekeliling dan sistem hiburan MINI Visual Boost dengan skrin paparan LCD 6.5-inci. Ia turut menawarkan navigasi MINI Streetwise, Sport Instruments, Force Meter dan aplikasi MINI Vital Statistics.

    Countryman Park Lane ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter empat-silinder MINI TwinPower turbo yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 190 hp dan tork 240 Nm yang mampu dipertingkatkan sehingga 260 Nm. Jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.8 saat dan kelajuan maksimum pula 212 km/j. MINI mendakwa ia menggunakan bahan api sekitar 7.5 liter per 100 km.

    Untuk pengetahuan anda, Countryman Park Lane mendapat nama dari pinggir bandar UK di mana terletaknya bilik pameran MINI yang paling terkenal. Countryman merupakan model ketiga yang diberikan gelaran Park Lane.

    Setiap pembelian Countryman Park Lane ini akan didatangkan dengan waranti empat tahun tanpa had perbatuan dengan pakej Servis Berjadual Percuma.

     
     
  • Honda CR-V 2.0 2WD kini didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit – kos ekstra RM1k, jadi RM143k

    CR-V-2WD-Leather-Seats_BM

    Honda Malaysia telah mengumumkan menerusi laman sosial Facebook bahawa Honda CR-V 2.0 2WD kini telah didatangkan dengan tempat duduk balutan kulit. Model generasi keempat yang dilancarkan pada 21 Januari tahun lalu, ketika itu merupakan satu-satunya varian tempatan yang ditawarkan dengan tempat balutan fabrik. Manakala varian 2.0 4WD dan 2.4 4WD pula memang ditawarkan dengan tempat duduk balutan kulit.

    Namun ia bukannya percuma, sebaliknya dengan kos tambahan bernilai RM1,000, ini bermakna CR-V 2WD kini ditawarkan dengan harga atas jalan RM142,900 termasuk insurans.

    Honda CR-V 2.0 2WD ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 155 PS pada 6,500 rpm dan tork 190 Nm pada 4,300 rpm. KUasanya disalurkan ke roda hadapan untuk varian 2WD ini, menerusi kotak gear automatik lima-kelajuan. Honda mendakwa penggunaan bahan apinya adalah sekitar 13 km/liter untuk 2.0 2WD dan 12.25 km/liter untuk 2.0 4WD.

    GALERI: Honda CR-V 2.0 2WD

     
     
  • Posisi jualan kenderaan tahun 2015 mengikut jenama

    Driven-Web-Series-2015-Episode-2_-001

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut menyebarkan data jumlah keseluruhan jualan kenderaan untuk tahun 2015. Secara keseluruhannya, tahun 2015 menyaksikan sebanyak 666,674 jualan telah terjual. Di mana, daripada jumlah itu, Perodua telah menduduki tangga ke atas dengan jumlah sebanyak 213,307 unit kenderaan telah terjual sepanjang tahun lalu, sekali gus menguasai pasaran sebanyak 32%. Manakala Proton menduduki tempat kedua dengan 102,175 unit terjual dan menguasai pasaran sebanyak 15.3%.

    Honda pula turut menunjukkan peningkatan dengan berada tempat ketiga setelah berjaya mencatatkan jualan sebanyak 94,902 kenderaan penumpang. Diikuti oleh Toyota dengan jumlah 93,902 unit terjual (termasuk kenderaan komersil). Manakala Nissan pula di tempat kelima dengan sejumlah 47,235 unit terjual. Mazda pula berada di tempat ke enam dengan jualan sebanyak 14,325 unit kenderaan.

    Bagi Ford yang menduduki tempat ke lapan yang berjaya mengalahkan Mitsubishi di tangga ke sembilan dengan masing-masing mencatat jualan sebanyak 12,130 unit dan 11,076 unit. Diikuti oleh Mercedes-Benz (ke 10, 11,034 unit), Volkswagen (ke-11, 6,405 unit), BMW (ke-12, 7,515 units) dan Hyundai-Inokom (ke-13, 6,286 unit).

    Bagi kenderaan komersil pula, Toyota mendahului carta dengan jualan sebanyak 28,465 unit, dan diikuti Isuzu dengan 12,224 unit. Manaka Ford pula mencatat jualan sebanyak 9,264 unit dan berada di tempat ketiga.

    Sila semak carta di bawah untuk data jualan kenderaan 2015 :

    MAA-2015-sales-data-01-2-byBrand_BM

     
     
  • Honda Malaysia berada di posisi pertama dalam segmen kenderaan bukan-nasional tahun 2015

    Honda-HR-V-Drive-Langkawi-42_BM

    Honda Malaysia telah mengumumkan jualan keseluruhannya pada tahun 2015 iaitu mencecah 94,902 unit, sekali gus meletakkan jenama ini pada posisi nombor satu dalam segmen kenderaan bukan-nasional, pertama kali dalam sejarah, meninggalkan UMW Toyota di tempat kedua iaitu 97,760 unit.

    Syarikat ini berkata, angka tersebut adalah peningkatan sebanyak 22% berbanding jumlah kenderaannya yang didaftarkan pada tahun 2014, iaitu bersamaan dengan 77,485 unit. Secara keseluruhannya, Honda berada di posisi ketiga iaitu selepas syarikat pembuat kenderaan nasional, Perodua dan Proton.

    Secara spesofiknya, City merupakan model bagi Honda yang mencatat jualan paling tinggi, menyumbang sebanyak 40% daripada jumlah keseluruhan jualan. Ini diikuti dengan HR-V, yang dilancarkan pada Februari tahun lalu, yang memecah rekod dengan tempahan sebanyak 7,000 unit pada bulan pertama, dengan 21% dan diikuti oleh Jazz iaitu sebanyak 18%. Honda Malaysia turut menambah, City, Jazz dan CR-Z telah mengekalkan kedudukan masing-masing dalam segmen yang diwakili pada tahun lalu.

    Menurut CEO dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, “Kami memulakan tahun 2015 dengan sasaran jualan yang agak mencabar iaitu sebanyak 85,000 unit. Dan berjaya melepasi sasaran sebanyak 12% iaitu 10,741 unit jualan. Terima kasih kepada semua pelanggan Honda kerana terus menyokong dan mempercayai produk kami.”

     
     
  • MAA ramal jualan kenderaan akan susut sebanyak 2.5% pada 2016, disebabkan garis panduan sewa beli yang lebih ketat, jumlah pinjaman lebih kecil

    2016-maa-performance-press-con-001_BM

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mendedahkan ramalan bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi jualan kenderaan bagi tahun 2016. Dengan kejayaan rekod tinggi pada tahun 2015 iaitu sejumlah 666,674 unit kenderaan didaftarkan, pihak MAA percaya terdapat beberapa faktor yang mungkin akan menjadi penghalang untuk mencapai rekod yang memberangsangkan itu.

    Prestasi pada tahun lalu (2015) ialah bersamaan dengan meningkatan sebanyak 0.03% (187 unit) berbanding pada tahun sebelumnya iaitu 666,487 unit kenderaan terjual. Walau bagaimana pun MAA menjangka tahun 2016 ini hanya 650,000 unit kenderaan bakal dijual, iaitu menyusut 2.5% berbanding pada tahun lalu. Di mana penurunan tersebut akan bermula pada Januari 2016.

    Datuk Aishah Ahmad, Presiden MAA berkata, pihak bank akan meneruskan syarat pinjaman sewa beli yang lebih ketat, sekali gus akan menjejaskan hasil jualan Januari dan bulan-bulan seterusnya.

    2016-maa-performance-aishah-ahmad-press-con-024_BM

    “Pihak bank akan memperketatkan lagi syarat pinjaman ini, bahkan mungkin juga sukar untuk mendapatkan pinjaman sebanyak 90% seperti sekarang. Mungkin jumlah pinjaman menjadi antara 65% hingga 70%, membuatkan pembeli perlu membayar wang pendahuluan dengan jumlah yang besar. Malah tempoh pembayaran balik juga dipendekkan ke tujuh tahun, dan bukannya sembilan tahun seperti dulu,” katanya.

    Bagi ramalan TIV tahun ini iaitu 650,000 unit, ia merangkumi 575,250 kenderaan penumpang dan 74,750 kenderaan komersil.

    Jika dilihat daripada rajah TIV tahun 2015, ia turut dipengaruhi beberapa faktor. Paling nyata ialah syarat pinjaman sewa beli kenderaan yang ketat, di samping keadaan ringgit yang lemah, tekanan pertumbuhan ekonomi global, harga minyak mentah yang tidak menentu dan banyak lagi.

    Malah dengan keadaan sekarang, MAA turut meramalkan pengguna akan menangguhkan hajat membeli kenderaan baharu. Malah golongan yang berpendapatan rendah juga akan lebih ketara terjejas ekoran bank yang mengetatkan kelulusan pinjaman. “Kadar permohonan pinjaman yang ditolak mungkin boleh meningkat sehingga 30% ke 50%, bergantung pada jumlah pinjaman yang dimohon,” ujar Aishah.

    Dengan anggaran MAA bagi tahun 2016, mungkin ada faktor positif yang bakal menyumbang memacukan lagi jualan lebih dari 600,000 buah kendeaan. Antara faktor penyumbang tersebut ialah pengenalan beberapa projek infrastruktur besar, seperti peningkatan dan pembangunan lebuh raya baharu seluruh negara.

    2016-maa-performance-tiv-projection-1_BM

    MAA juga percaya kempen promosi yang lebih utuh dan kompetitif oleh syarikat pengeluar kenderaan juga mampu membantu mengekalkan dan memacu perkongsian pasaran mereka dengan menyumbangkan prestasi yang lebih kukuh pada tahun 2016. Malah dengan pengenalan model baharu pada tahun ini juga dilihat mampu menambahkan lagi angka jualan kenderaan.

    MAA turut memberikan ramalan ringkas untuk tahun 2017 hingga 2020. Tanpa penjelasan yang tepat, MAA percaya industri automotif Malaysia akan terus berkembang dengan lebih konsisten melebihi apa yang diramalkan untuk tahun 2016, iaitu pada kadar antara 2.2% hingga 3.0% setiap satu tahun.

    Jika ramalan ini tepat, TIV Malaysia bagi jualan kenderaan mampu mencecah 700,000 pada 2019, dan akan terus memberikan prestasi yang lebih tinggi menjelang tahun 2020.

     
     
  • MAA umum Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) 2015 bagi angka jualan di Malaysia – 666,674 unit

    MAA-2015-TIV_BM

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan angka rasmi bagi Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi 2015, yang dianggap sebagai tahun penuh cabaran bagi industri automotif Malaysia. Walau bagaimana pun, angka yang diumumkan ini ternyata sedikit tinggi iaitu 666,674 unit berbanding 666,487 unit pada tahun 2014.

    Menurut kenyataan dari MAA, meskipun dilanda pelbagai isu dan cabaran, angka yang tercatat ini jelas berbeza daripada apa yang pernah diramalkan oleh sesetengah penganalisis. Malah ia juga dilihat sebagai petanda industri automotif tempatan mampu pulih dan telah menghasilkan prestasi yang memberangsangkan.

    Menerusi jadual angka jualan terbut, menunjukkan prestasi pada bulan Disember 2015 dengan jualan sebanyak 13,309 unit atau 23.7% iaitu lebih tinggi daripada bulan sebelumnya. Malah setakat ini, ia merupakan jumlah bulanan tertinggi bagi tahun lalu.

    2015-Mkt-Share-Perodua_BM

    Menurut MAA, prestasi yang kukuh pada bulan Disember disumbangkan oleh kempen promosi yang agresif oleh pemain industri yang tahun kewangan mereka berakhir pada 31 Disember. Tambahan pula, kebanyakan pengedar turut menawarkan pelbagai insentif sempena Krismas dan Tahun Baru bagi menambahkan lagi sasaran jualan tahunan mereka.

    Selain itu, faktor kenaikan harga mulai Januari 2016 turut mendorong orang ramai untuk menempah dan membeli kenderaan bagi mengelakkan harga yang lebih tinggi. Pada Oktober 2015, UMW Toyota Motor mula mengumumkan harga baharu bagi kenderaan Toyota dan Lexus iaitu antara 4% hingga 16% mulai Januari 2016. Ia disusuli oleh Honda Malaysia yang turut mengumumkan kenaikan harga.

    Pada awal bulan ini, Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen dan Audi telah mengeluarkan harga baharu yang mengalami peningkatan. Malah Proton juga akan menuruti jejak langkah yang sama selepas Tahun Baru Cina ini. Namun buat setakat ini, Perodua pula masih mengekalkan harga yang sama.

     
     
  • KTM Komuter beroperasi 24 jam sempena Thaipusan

    ktm-komuter-2

    Sempena dengan perayaan Thaipusam ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) menyediakan perkhidmatan KTM Komuter 24 jam selama empat hari bermula 22 hingga 25 Januari ini.

    Dalam satu kenyataannya hari ini, perkhidmatan tren tanpa henti itu melibatkan 953 perkhidmatan tambahan dengan kekerapan yang membabitkan laluan antara Batu Caves ke Seremban dan laluan Rawang ke Pelabuhan Klang, laporan Bernama.

    Di mana KTM Komuter akan melanjutkan waktu operasinya selepas waktu perkhidmatan sedia ada dengan menyediakan tren tambahan antara pukul 12 tengah malam hingga 5.30 pagi, dengan kekerapan pada setiap sejam pada 22 dan 23 Januari. Manakala pada 24 dan 25 Januari kekerapan tren dipertingkatkan lagi kepada setiap 20 minit.

    KTM Berhad berkata, perkhidmatan ini disediakan bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khasnya kepada yang beragama Hindu serta pelancong untuk berkunjung ke Batu Caves semasa perayaan berlangsung.

     
     
  • Nissan X-Trail kini dengan warna merah sempena CNY

    Nissan_Xtrail_red_BM

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) telah mengumumkan warna baharu bagi model Nissan X-Trail sempena dengan kedatangan Tahun Bahru Cina (CNY) iaitu merah yang dikenali sebagai Flaming Red yang membuatnya nampak lebih menyerlah.

    Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Dengan memperkenalkan pilihan warna ini, kami percaya ia menambah kemeriahan untuk Nissan X-Trail sempena sambutan CNY. Apabila memandu sebuah X-Trail berwarna merah, digabungkan pula dengan penggayaan premium, kemampuan off-road dan teknologi tercanggih, ia memberi kenyataan bagi mempamerkan personaliti yang bertenaga, tidak takut menyahut cabaran dan dinamik.”

    X-Trail boleh didapati di pasaran tempatan dalam dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Model tertingginya, 2.5L 4WD dikusakan oleh enjin QR25DE-k2 dengan Twin CVTC yang mampu menawarkan kuasa maksimum 171PS pada 6,000rpm dan tork 233Nm pada 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

    Ditawarkan dalam unit terhad, Nissan X-Trail dengan warna Flaming Red ini ditawarkan pada harga RM159,164.06 untuk 2.5L 4WD dan RM136,976.96 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk GST tanpa insurans di Semenanjung Malaysia). Nissan X-Trail ini hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

     
     
  • Puspakom lanjut waktu operasi sempena CNY

    puspakom-1

    Demi memenuhi permintaan yang dijangka tinggi menjelang perayaan Tahun Baru Cina (CNY) tidak lama lagi, Puspakom bersedia melanjutkan waktu operasi di cawangan-cawangannya.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mohammed Shukor Ismail berkata, “Kami telah membuat persediaan awal dan rapi bagi menghadapi kemungkinan peningkatan jumlah kenderaan yang datang untuk pemeriksaan di Puspakom.”

    Waktu operasi akan dilanjutkan pada hari Sabtu, 23 dan 30 Januari 2016, dari jam 8 pagi hingga 5 petang di cawangan-cawangan yang berikut:

    Puspakom_CNY_PTBM

    Sambungnya lagi, “Para pelanggan yang mempunyai tarikh luput pemeriksaan yang jatuh pada tarikh tersebut atau cuti umum CNY boleh mengambil kesempatan ini untuk membuat perancangan awal untuk pemeriksaan kenderaan mereka.”

    Malah sempena CNY ini juga, Puspakom turut menawarkan perkhidmatan Pemeriksaan Kenderaan Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection-VVI) Percuma mulai 17 sehingga 29 Januari 2016. Ia meliputi 25 peringkat pemeriksaan untuk semua pemilik kenderaan persendirian.

    Pemilik kenderaan boleh menghantar kenderaan masing-masing untuk diperiksa di semua cawangan Puspakom di seluruh negara kecuali di cawangan Shah Alam, Mak Mandin dan Kota Bharu.

     
     
  • JPJ Selangor sita 65 kenderaan klon sejak 2015

    JPJ_Roadblock1

    Sindiket kenderaan klon nampak gayanya makin berleluasa di negeri Selangor. Malah semalam, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor telah mengeluarkan kenyataan telah menyita 65 buah kenderaan klon di negeri ini sejak 2015.

    Menurut Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib kenderaan klon yang disita termasuklah kereta jenis BMW, Volkswagen, Toyota dan Subaru.

    Kenderaan ini diseludup masuk (ke Malaysia) dari Singapura oleh sindiket tertentu yang turut beroperasi di laman sosial terutama Facebook berikutan terdapat permintaan oleh pembeli di negara ini, laporan Bernama.

    “Kenderaan klon ini ditawarkan semurah RM4,000 ke RM5,000 bagi kereta jenis Toyota dan setiap harga yang ditawarkan itu adalah berbeza mengikut jenama serta jenis kenderaan berkenaan,” katanya.

    Nazli berkata kenderaan tersebut tidak mempunyai dokumen sah selain menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang didaftarkan di Malaysia.

    “Nombor pendaftaran yang digunakan oleh kenderaan klon ini ada yang masih aktif dan sah di jalan raya. Ada juga nombor pendaftaran yang digunakan tidak aktif atau telah dilupuskan pendaftaran oleh pemiliknya,” katanya.

    Beliau berkata JPJ bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenalpasti individu yang terlibat dalam sindiket kereta klon tersebut untuk tindakan selanjutnya.

    Nazli meminta kerjasama orang ramai yang memiliki kenderaan klon untuk menyerahkannya kepada JPJ kerana katanya memiliki kenderaan klon merupakan kesalahan di bawah Akta JPJ 1987.

     
     
  • Perodua belum ada perancangan untuk menaikkan harga Axia, Myvi dan Alza buat masa ini – Aminar

    Perodua_Axia_Standard_vs_Advance_-001_BM

    Awal tahun ini menyaksikan kenaikan harga bagi model-model di bawah jenama Honda, Toyota, Lexus, Kia, Peugeot, Citroen dan Audi. Malah Proton juga telah mengumumkan kemungkinan bakal mengambil langkah yang sama selepas Tahun Baru Cina ini. Namun, bagi Perodua, buat masa ini mereka masih belum ada perancangan untuk mengikuti jejak langkah yang sama.

    Menurut Presiden dan CEO Perodua Datuk Aminar Rashid Salleh, syarikatnya akan cuba bertahan untuk mengekalkan harga sedia ada selama yang termampu. Walau bagaimana pun, beliau turut berkata, kenaikan harga mungkin tidak dapat dielakkan sekiranya situasi pertukaran mata wang asing semakin parah.

    “Kami akan terus memantau sehingga ia memberikan kesan yang tidak dapat dielakkan, selepas itu, kami akan mengkaji semula (kenaikan harga). Setakat ini, belum ada perancangan mengenainya,” ujarnya ketika ditemui dalam sesi reviu prestasi tahunan syarikat semalam.

    2015_Perodua_Myvi_Facelift_Premium_X_vs_Advance_-01_BM

    Selain harga dan kos, beliau terus menyebut sebab apa Perodua wujud. “Kami sentiasa kembali ke dasar, bahawa objektif penubuhan Perodua adalah untuk menyediakan kenderaan-kenderaan berkualiti dan mampu milik. Sama ada kami menaikkan harga atau tidak, ia bergantung kepada banyak faktor. Kami sangat sensitif mengenainya,” beliau menambah.

    Aminar juga mendedahkan bahawa pengguna sekarang semakin memilih untuk memiliki kelainan bagi model Perodua. Meskipun begitu, Perodua menjangka permintaan untuk kereta-keretanya menjadi lebih kukuh pada tahun ini dan telah mensasarkan sebanyak 216,000 unit pada tahun ini.

    Perodua telah mencatatkan rekod jualan sebanyak 213,300 unit pada tahun lalu dengan penguasaan pasaran sebanyak 32%, menjadikannya sebagai pendahulu pasaran automotif Malaysia sejak sedekad yang lalu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 25, 2024