Awal bulan ini pengedar Mazda di Malaysia iaitu Bermaz sudahpun membuka tempahan untuk SUV generasi baharu dengan platform pacuan roda belakang CX-60 – ia bakal ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) hanya dalam satu varian, tetapi spesifikasi penuhnya belum lagi didedahkan. Namun spesifikasi tersebut terdedah dalam satu hantaran di media sosial.
Sama seperti beberapa perincian yang telah disiarkan oleh beberapa pengedar Mazda sebelum ini, CX-60 pasaran Malaysia dijual hanya dalam varian 2.5G 2WD High. Ia menerima enjin SkyActiv-G 2.5 liter empat silinder NA berkuasa 191 PS dan tork maksima 261 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan yang hanya memacu roda belakang, atau spesifikasi yang sama seperti yang ditawarkan di Singapura.
Jadi model pasaran Malaysia ini tidak menerima enjin enam-silinder generasi baharu Mazda yang ditawarkan di negara jiran seperti Indonesia dan Filipina, serta tidak ditawarkan dengan sistem pacuan semua roda.
Untuk perincian lain, CX-60 pasaran Malaysia ini datang standard dengan rim aloi 20-inci, lampu-lampu LED, penderia parkir hadapan dan belakang, kunci automatik walkaway, bumbung suria panaromik, dan juga pintu tailgate belakang berkuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuh.
Pada bahagian dalaman pula ia menerima paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci, tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori pada sebelah pemandu, upholsteri kulit hitam, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 12.3-inci bersama sokongan Apple Carplay tanpa wayar (mungkin bersama Android Auto), sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara dan pengecas telefon pintar tanpa wayar.
CX-60 pasaran Malaysia ini juga nampaknya datang dengan Driver Personalisation System di mana ia boleh menyimpan profil beberapa pemandu berbeza memudahkan larasan-larasan asas dibuat sekiranya kereta ini dikongsi oleh beberapa orang. Ia juga diberikan Kinematic Posture Control iaitu sistem kawalan brek yang akan menstabilkan semula kenderaan di selekoh tajam.
Untuk keselamatan pula spesifikasi yang tertiris ini menunjukkan bahawa CX-60 pasaran Malaysia menerima lapan-beg udara, kamera 360 darjah dengan pandangan telus cahaya, serta sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang menampilkan fungsi seperti lampu hadapan LED adaptif, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong, pemantau perhatian pemandu, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, dan juga bantuan lebuhraya.
Lima pilihan warna badan ditawarkan untuk CX-60 ini iaitu Soul Red Crystal, Jet Black, Zircon Sand, Platinum Quartz dan Rhodium White.
Ketika tempahannya dibuka, Bermaz sudahpun mengumumkan bahawa harga jangkaan atas jalan tanpa insuran bagi SUV ini adalah RM200,510.40, dan ia akan turut menerima filem penapis cermin Activ-e serta perlindungan waranti selama lima-tahun atau 100,000 km, dan juga pakej penyelengaraan percuma.
Walau bagaimanapun semua yang kami paparkan ini hanyalah untuk rujukan dan panduan kerana kesemua perincian yang disahkan hanya akan diumumkan ketika pelancarannya nanti. Pelanggan dijangka akan menerima kereta yang ditempah pada September tahun ini, jadi pelancarannya dijangka akan dibuat lebih awal dari itu.
GALERI: Mazda CX-60 di KLIMS 2024