Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kia dedah kotak gear lapan-kelajuan automatik baharu keluaran sendiri untuk kenderaan pacuan hadapan

    Tidak seperti pengeluar dari Jepun atau dari Eropah yang cenderung menggunakan kotak gear dari pembekal seperti ZF atau Aisin, pengeluar dari Korea – Kia – lebih selesa untuk membina sendiri kotak gear bermula dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan automatik enam-kelajuan yang kini digunakan pada semua kenderaan keluaran mereka. Terbaharu, Kia telahpun mendedahkan transmisi terkini binaan mereka iaitu kotak gear lapan-kelajuan automatik untuk kenderaan pacuan hadapan (FWD 8AT).

    Walaupun dengan nisbah tukaran gear yang lebih banyak, kotak gear lapan-kelajuan ini masih bersaiz sama dengan kotak gear enam-kelajuan terdahulu, dan juga 3.5 kg lebih ringan.

    Sebelum ini, Kia sudahpun membina kotak gear lapan-kelajuan automatik tetapi untuk kegunaan model pacuan belakang – dipadankan pada model mewah seperti K900. Kini, teknologi berkenaan diolah semula agar dapat dipadankan pada kenderaan pacuan hadapan keluaran mereka pula.

    Berbanding kotak gear terdahulu, kotak gear lapan-kelajuan baharu ini dibina lebih kompak dan membolehkan kenderaan memecut dengan lebih lancar dari kedudukan pegun, mencatatkan penggunaan bahan api yang lebih cekap, menambahbaikkan aspek NVH, serta mendapat prestasi pecutan yang lebih baik pada tahap kelajuan tinggi berbanding kotak gear dengan jumlah tukaran gear lebih kecil. Secara keseluruhan, 143 teknologi baharu telah dipatenkan menerusi pembinaan kotak gear baharu ini.

    101635514.jpg

    101635514.jpg

    Unit transmisi baharu dari Kia ini dipadankan dengan pam bendalir paling kecil dalam kelasnya (pam kecil=beban kurang) dan juga unit valve body yang mengawal aliran tekanan bendalir dalam sistem hidraulik dengan binaan lebih mudah menerusi penggunaan solenoid kawalan terus ke klac, berbanding menggunakan beberapa injap kawalan. Langkah ini dapat mengurangkan jumlah keseluruhan dari 20 injap kepada hanya 12 injap. Hasilnya, tukaran gear kini dapat dilakukan lebih pantas dan kecekapan penggunaan bahan api turut meningkat.

    Dengan pertambahan jumlah gear yang diberikan, nisbah antara gear paling tinggi dan gear paling rendah kini meningkat 34% berbanding kotak gear enam-kelajuan sebelum ini, membolehkan penggunaan bahan api lebih jimat dan tahap NVH yang dipertingkat pada gear tinggi serta pecutan dan prestasi memanjat yang lebih baik pada gear rendah.

    Kotak gear ini akan muncul pada model produksi Kia bermula pada model Kia Cadenza 2017, dipadankan bersama enjin 3.3 liter V6 GDI. Selepas itu, ia akan turut dipadankan pada model Kia pacuan hadapan bersaiz sederhana besar dan besar yang lain, dan menjadi asas kepada pembinaan kotak gear lebih moden selepas ini.

    GALERI: Kia Cadenza 2017

     
     
  • ‘Gentleman’s Racer’ diperbuat daripada gentian karbon; enjin Aprilia RSV4 dengan kuasa lebih 200hp

    Custom RSV4-6

    Uniknya sebuah motosikal kustom adalah ia memberikan kebebasan kepada perekanya untuk menyampaikan mesej yang diingini. Bagi Rolf van der Heide dari VanderHeide Motorcycles yang beroperasi di Belanda, beliau mahukan sebuah motosikal paling cantik, lincah, pantas dan boleh digunakan di atas jalan biasa.

    Hasilnya adalah ini, motosikal yang digelar sebagai ‘Gentleman’s Racer’ dan menggunakan enjin empat silinder 1,000cc V4 daripada Aprilia RSV4 yang mampu menghasilkan lebih daripada 200hp secara maksimum.

    Perkara yang lebih menarik adalah penggunaan gentian karbon secara menyeluruh pada motosikal ini termasuk kerangka monocoque satu unitnya, fork hadapan, lengan ayun dan rim.

    Biasanya, kerangka gentian karbon pasti akan memberi masalah, tetapi Rolf berjaya mengatasinya dengan menggunakan suspensi hadapan multi-link unik yang merupakan rekaan tersendiri Rolf.

    Berat keseluruhan ‘Gentleman’s Racer’ hanya 175kg, seterusnya menghasilkan pengendalian dan prestasi yang tiada bandingannya.

    Antara kelengkapan lain ‘Gentleman’s Racer’ adalah termasuk tangki air menghadap belakang, ekzos Hydroform HP Corse ‘Pro Series’, penyerap hentak Öhlins TTX 36 Inline, meter informasi MoTeC C125, tangki minyak berkapasiti 24 liter dan tempat duduk kulit.

    ‘Gentleman’s Racer’ dibuka untuk jualan pada harga USD165,000 bersamaan RM673,967.

     
     
  • Pelumba negara tunjuk aksi membanggakan dalam pusingan pertama FIM Asia Supermoto Championship

    Gabit-Newcastle-2

    Hujung minggu lalu, pusingan pertama perlumbaan FIM Asia Supermoto Championship telah berlangsung di Newcastle Australia dan Malaysia menghantar tiga orang wakil iaitu Muhd Habibullah (Gabit), Khairi Zakaria dan Mohd Al-Amirul Ashshahid (Gaban). Mereka bersaing menentang pelumba dari Australia, Perancis, Jepun, New Zealand, United Kingdom, Sepanyol, Singapura, Indonesia dan Taiwan.

    Pelumba Australia, Luke George menguasai tempat teratas untuk tiga siri yang berlangsung iaitu pusingan kelayakan, perlumbaan pertama dan perlumbaan kedua. Ini seterusnya meletakkan beliau di tempat pertama secara keseluruhan bagi kategori terbuka.

    Tempat kedua keseluruhan juga dinobatkan kepada pelumba Australia, Michael Kirkness tetapi tempat ketiga diduduki oleh pelumba Malaysia berumur 25 tahun, Muhd Habibullah atau lebih dikenali sebagai Gabit. Ini juga adalah kali pertama wakil dari Asia Tenggara berjaya menduduki tempat tiga teratas dalam kategori terbuka.

    Bagi kategori Asia Tenggara pula, Gabit masih menduduki tempat pertama diikuti oleh Khairi dan seterusnya Mohd Al-Amirul yang juga dikenali sebagai Gaban.

    Pusingan ke 2 FIM Asia Supermoto Championship akan berlangsung di Malang, Indonesia pada 8 dan 9 Oktober 2016 diikuti di Pampanga, Filipina pada 19 dan 20 November dan Kuala Lumpur, Malaysia pada 17 dan 18 Disember 2016.

    Berikut adalah keputusan lima tempat teratas bagi kategori terbuka dan Asia Tenggara.

    Kategori Terbuka

    Top 5 FIM Asia Supermoto

    Kategori Asia Tenggara

    Top 5 Asian Class FIM Supermoto

     
     
  • Aplikasi ‘Aduan Jalan KKR v2.0’ mudahkan pengguna buat laporan jalan rosak – tindakan segera 24 jam

    Selepas ini, jika anda ingin melaporkan tentang jalan yang berada dalam keadaan teruk atau rosak, saluran terbaik dan paling mudah ialah melalui aplikasi telefon pintar “Aduan Jalan KKR”. Dibangunkan dan diperkenalkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) buat pertama kali pada Mac 2015, Ogos lalu menyaksikan aplikasi ini menerima peningkatan bagi versi 2.0 dengan ciri-ciri tambahan untuk memudahkan pengguna.

    Ia boleh dimuat turun bagi kedua-dua sistem operasi iOS dan Android, ia menggunakan sistem GPS dan kendalian masa-nyata bagi memproses setiap aduan yang diterima. Selepas mendaftar menggunakan akaun emel atau Facebook dan menyertakan sekali nombor telefon untuk dihubungi, pengguna boleh membuat aduan secara terus dari lokasi yang terlibat dan perincian geografinya akan tertera melalui sistem GPS dan Google Maps yang digunakan.

    Melalui aplikasi ini juga, pengguna boleh membuat laporan atau aduan kerosakan jalan di mana-mana sekali pun, tidak kira bagi jalan persekutuan, jalan negeri mahupun lebuh raya di seluruh negara. Aplikasi pintar ini, yang merupakan sebahagian daripada “Sistem Pengurusan Aduan Kerosakan Jalan” yang diuruskan oleh kementerian berkenaan, menjadi satu platform bersepadu untuk hal-hal berkaitan penyelenggaraan jalan raya.

    Aduan Jalan KKR-3-BM

    Bagi aduan terhadap kerosakan mudah di laluan yang diselia oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), tindakan akan diambil dalam tempoh 24 jam. Bagi aduan yang melibatkan masalah jalan raya yang lebih rumit, tindakan sewajarnya akan diambil dalam tempoh 15 hari.

    Bagi aduan yang melibatkan pihak pengendali lain, misalnya operator lebuhraya seperti PLUS dan sebagainya, sistem bersepadu ini akan menyalurkan maklumat aduan berkenaan kepada pihak-pihak berwajib yang sepatutnya untuk tindakan lanjut.

    Aplikasi dan sistem ini menghubungkan pengguna (melalui aduan) dengan pihak bertanggungjawab seperti JKR, kontraktor terlibat serta badan pemantau yang ada bagi memastikan setiap aduan diambil kira dan tindakan sewajarnya diambil.

    Bagi pengguna biasa dan orang awam, apa yang perlu diketahui adalah sistem ini menjadi pengantar untuk memudahkan aduan dibuat hanya melalui hujung jari anda. Urusan selebihnya akan dikendalikan oleh sistem ini dan juga pihak kementerian. Cuma, adalah diharap tiada pengguna yang menyalahgunakan aplikasi ini untuk menghantar aduan palsu.

     
     
  • Toyota C-HR UK dedah harga – lebih mahal dari HR-V

    2016_C_HR_Static_10_BM

    Toyota C-HR yang diperkenalkan dalam bentuk produksi pada Mac lalu, bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Mazda CX-3, dijangka tiba di pasaran Australia pada awal tahun hadapan. Malah ada kemungkinan ia juga akan diperkenalkan di peringkat Asia dalam jangka masa yang lebih kurang sama, mungkin didahului oleh Thailand.

    Crossover ini telah pun menerjah pasaran UK, dan harganya telah pun didedahkan dengan penghantaran pertama dijangka akan dilakukan sebelum hujung tahun. Jika melihat harga yang didedahkan, ternyata ia lebih mahal berbanding pesaing terhampirnya, HR-V.

    Model yang dibuat di Turki ini dijual di UK dengan dua pilihan penjana kuasa iaitu 1.2 liter pengecas turbo petrol dan 1.8 liter sistem hibrid. C-HR merupakan model kedua di Eropah yang menerima enjin turbo yang dikecilkan ke 1.2 liter selepas model Auris dari segmen-C.

    Toyota mendakwa dengan unit 120 hp/185 Nm yang ditawarkan sama seperti kuasa enjin 1.6L N/A tetapi dengan penggunaan bahan api dan emisi yang jauh lebih rendah. Ia akan dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan (FWD) atau auto CVT (FWD/AWD).

    Toyota-C-HR-UK-Prices

    Penjana kuasa elektrik-petrol 124 hp adalah dari Prius baharu tetapi ditala mengikut penggunaannya. Ia memberikan enjin ini mengurangkan 40% kecekapan haba (terbaik bagi unit petrol di peringkat dunia) dan CVT dengan gear yang direndahkan bagi mempertingkatkan kuasa pendikit. Terbaik dalam kelas CO2, hanya FWD auto sahaja.

    Toyota menawarkan tiga trim – Icon, Excel dan Dynamid – dengan 1.2L turbo berharga dari £20,995 (RM114,140) untuk Icon FWD 6MT hingga £27,995 (RM152,196) untuk Dynamid AWD CVT. Malah ia merupakan C-HR yang paling mahal, bersama hibrid bagi pilihan Dynamic.

    Manakala bagi Honda HR-V, yang dijual di UK, dengan varian 1.5L NA i-VTEC (MT dan CVT) dan 1.6L i-DTEC (hanya MT), berharga dari £18,495 (RM100,549) hingga £24,305 (RM132,136). Harga kedua-dua varian HR-V adalah lebih rendah berbanding C-HR, walau pun Toyota memiliki lebih banyak teknologi hamburan kuasa (dan mungkin sebab itu ia lebih mahal) termasuk enjin turbo yang dikecilkan dan penjana kuasa hibrid. Malah C-HR juga didatangkan dengan pilihan AWD, sementara HR-V hanya FWD.

    2016_C_HR_Dynamic_01_BM

    Ini bermakna C-HR ini bukan yang paling murah, biar pun di Eropah tetap ada pilihan bagi HR-V dan CX-3, namun tidak memiliki pilihan turbo. Malah harga C-HR ini juga lebih kurang dengan SUV yang lebih besar iaitu Honda CR-V yang dijual pada harga bermula (RM123,763) hingga £31,035 (RM168,650) di UK.

    Namun mungkin C-HR menawarkan elemen yang lebih menarik dan mampu menjadi daya penarik buat pembelinya. Ini termasuklah kabin berbentuk coupe yang tinggi pada CH-R ini mensasarkan “kualiti deria terbaik dalam kelasnya” dan bakal memberikan “gaya moden yang menghairahkan” yang akan ditawarkan pada barisan dan segmen Toyota.

    Malah CH-R diberikan rekaan yang penuh dengan lengkok dan aliran, dan turut dilengkapi dengan skrin sesentuh besar (bersaiz 6.1 inci dengan jam trademark Toyota diletakkan bersebelahan) yang muncul dari bahagian tengah papan pemuka dan dihalakan ke arah pemandu. Konsol tengah juga direka dengan konsep simetrikal.

    2016_C_HR_Detail_16_BM

    Toyota mengatakan jurutera mereka memfokuskan pada kualiti komponen yang terdiri dari butiran, tekstur, bentuk, warna dan pencahayaan pada setiap elemen, termasuk alur jahitan pada tempat duduk. Tempat duduk hadapan yang direka dengan dua tingkat SUV ini menggabungkan rekaan langsing, bahagian atas yang disokong dengan lebih kuat serta bahagian bawah yang lebih kukuh.

    C-HR yang dibina berasaskan platform TNGA (Toyota New Global Architecture) yang berukuran 4,350 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,550 mm tinggi, dengan jarak roda 2,640 mm. Untuk membayangkan saiznya, ia 56 mm lebih panjang dan 23 mm lebih lebar dari HR-V, tetapi 55 mm lebih rendah. Jarak roda CH-R juga 30 mm lebih panjang.

    Toyota mengatakan rekaan C-HR yang garang mencerminkan keazaman presiden syarikat Akio Toyoda untuk membenarkan rekaan yang lebih bebas dan menggalakkan kreativiti kejuruteraan dengan rekaan yang lebih menarik serta memberikan nikmat pemanduan yang lebih mengujakan.

    Model pasaran Australia bakal dilengkap dengan enjin 1.2 liter turbo berkuasa 116 PS dan tork maksima 185 Nm. Ia akan digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada enam kelajuan manual atau CVT automatik, serta pilihan pacuan hadapan atau pacuan semua roda (AWD). Pasaran Jepun pula akan menerima enjin tanpa induksi paksaan 2.0 liter berkuasa 150 PS/193 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan.

    Jika spesifikasi yang sama dijual pada pasaran Malaysia, C-HR adalah 8 PS/21 Nm lebih berkuasa dari Honda HR-V 1.8, tetapi 6 PS/11 Nm kurang dari MAzda CX-3 2.0. Varian hibrid yang menyadur terus unit janakuasa dari Prius turut bakal ditawarkan.

     
     
  • Shell perkenal air mineral edisi terhad Cheeming Boey

    Shell-Boey-4

    Sebagai salah satu langkah untuk meraikan ulang tahun syarikat yang ke 125, Shell melancarkan air mineral edisi terhad, yang dihias dengan kerja seni artis tempatan terkenal, Cheeming Boey.

    Sebelum ini pernah bekerjasama dengan Shell untuk menghasilkan mural di stesen minyak Shell di Johor dan Kelantan, Boey sekali lagi dipilih untuk mengetengahkan seninya untuk orang ramai dalam enam rekaan berbeza pada botol mineral edisi terhad ini yang dijual di stesen minyak Shell Semenanjung Malaysia selagi stok masih ada.

    Kesemuanya mempunyai kisah berkenaan latar belakang Shell di Malaysia dan menggunakan karekter daripada siri buku terkenal Boey iaitu When I was a Kid. Harganya pula cuma 20 sen lebih mahal daripada harga air mineral biasa.

    Menurut Pengurus Kanan Bahagian Runcit Shell Malaysia/ Brunei, Shairan Huzani Husain, kerjasama dengan Boey ini diadakan bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan hasil seni dan mendekati mereka secara lebih dekat.

    Selain air mineral botol edisi terhad ini, Shell juga sedang mengadakan pertandingan khas, dengan kerjasama MPH Bookstores. Dalam pertandingan ini, pelanggan yang membeli buku When I was a Kid di 50 stesen Shell yang terpilih berpeluang untuk memenangi beg kain istimewa yang ditandatangani oleh Boey sendiri. Tarikh tutup pertandingan ini adalah pada 30 November 2016.

    Pada hari sebelumnya, Shell juga mengeluarkan botol minyak pelincir motosikal edisi khas MotoGP.

     
     
  • Laluan kontra di Lebuhraya MEX diteruskan

    MEX-Highway

    Pada penghujung Julai lalu, Maju Expressway Sdn Bhd, pengendali Lebuhraya MEX, telah melaksanakan percubaan laluan kontra di lebuhraya berkenaan dan ia berlangsung sehingga 25 Ogos 2016. Tujuan pembukaan laluan kontra di peringkat percubaan ini adalah bagi usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas ekoran daripada peningkatan aliran trafik di lebuhraya tersebut, sekaligus memberikan manfaat kepada pengguna khususnya semasa waktu puncak.

    Ia adalah atas inisiatif dan saranan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk menampung peningkatan aliran trafik daripada Putrajaya, Cyberjaya dan Seri Kembangan menuju Kuala Lumpur.

    Ekoran laluan kontra tersebut mendapat impak positif ke atas aliran trafik di laluan utama lebuh raya berkenaan, Maju Expressway telah mengambil keputusan untuk meneruskannya.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, laluan kontra tersebut telah menyumbang kepada masa perjalanan yang lebih singkat iaitu 10 minit lebih cepat daripada masa perjalanan biasa. Purata jumlah kenderaan yang menggunakan laluan kontra tersebut adalah 3,000 buah sehari dari pukul 6.30 pagi sehingga 9 pagi.

     
     
  • Grab anjur kempen ‘Bangga Jadi Rakyat Malaysia’

    Grab Proud to be Malaysian 3

    Mahu berjimat daripada membayar tambang perkhidmatan Grab? Apa yang perlu anda lakukan ialah hanya menyanyikan lagu “Saya Anak Malaysia” (nyanyian asal Dr Sam) dengan cara yang tersendiri dan imbuhannya, tambang percuma untuk anda.

    Grab Malaysia telah mengumumkan, pada 8 dan 9 September ini, kenderaan GrabCar dan MyTeksi terpilih yang menyertai kempen ‘Bangga Jadi Rakyat Malaysia’ ini memberikan pilihan kepada para penumpangnya iaitu membayar tambang pengangkutan tersebut dengan menyanyikan beberapa rangkap lagu tersebut. Liriknya boleh didapati di dalam kereta berkenaan, dan juga laman web rasmi Grab.

    Kempen ‘Bangga Jadi Rakyat Malaysia’ anjuran Grav ini turut mengutamakan keselamatan di antara pemandu dan penumpangnya. Ia turut menampilkan butang PDRM pada aplikasi pemandu yang boleh berhubung terus dengan balai poilis berhampiran jika terdapat kecemasan dan juga Share My Ride iaitu membolehkan penumpang berkongsi lokasi yang ingin dituju bersama kenalannya.

    Grab Proud to be Malaysian 2

    Lain-lain aspek keselamatan yang turut diperkenalkan termasuklah perlindungan insurans kemalangan untuk pemandu dan penumpang, kamera di dalam kereta bagi pemandu wanita dan juga program latihan untuk para pemandu bagi mengendalikan situasi kecemasan. Grab turut bekerjasama dengan Persatuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah bagi melatih para pemandu berkenaan dengan kemahiran bantuan kecemasan.

    “Sebagai jenama Malaysia, kami berasa berbesar hati dan berbangga dapat memperkenalkan perkhidmatan ini kepada rakyat di seluruh Asia Tenggara dan ini juga antara langkah yang diambil untuk memperluaskan kesedaran mengenai keselamatan,” ujar Ketua Grab Malaysia Jaygan Fu.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Type-R generasi terbaharu sedang membuat ujian jalan raya di Sepanyol!

    Honda Civic Type R Hatch Spy-01

    Honda Civic generasi kesepuluh versi hatchback dalam bentuk produksi sudah pun didedahkan bulan lalu dan kini sebuah Civic hatchback yang kelihatan jauh lebih agresif kelihatan sedang diuji di Sepanyol. Tidak sukar untuk diagak, Civic dengan karekter yang begitu ekstrem, tentunya dari varian Type-R!

    Liang kemasukan udara bersaiz besar pada setiap sisi bampar hadapan kekal pada bampar versi Type-R ini tetapi ditambah dengan liang melintang pada bahagian hujung dan lampu kabus juga dialihkan sedikit. Pada bahagian bawah bampar Civic ini dilengkapi dengan spoiler penuh. Ia masih menggunakan lampu LED sama seperti varian 1.5L VTEC Turbo, namun penutup hud Type-R ini turut diberikan liang udara.

    Keempat-empat ruang roda turut dilebarkan, menyaksikan fender hadapan dapat diberikan liang sisi atas kerja pelebaran berkenaan. Turut kelihatan, roda aloi berdiameter 19-inci dari Civic Type-R generasi sedia ada (FK2R) dipadankan pada model ujian ini. Cakera brek bersiaz besar bersama angkup brek turut dapat dilihat disebalik rim berkenaan. Skirt sisi yang lebih labuh dipadankan bagi melengkapkan sudut ini.

    Lampu boomerang pada bahagian belakang masih lagi kelihatan sama seperti model biasa, namun seperti juga Civic Type-R sebelum ini khususnya bermula dari generasi FD, ia dipadankan dengan spoiler belakang bersaiz besar. Honda memadankan dua bilah pada bahagian atas pintu tailgate belakang dipercayai untuk tujuan aliran udara yang lebih baik. Berbanding model biasa yang hanya dilengkapkan dengan tip ekzos berkembar, versi Type-R ini dilengkapi dengan tiga-tip ekzos pada bahagian tengah.

    Honda Civic Type R Hatch Spy-07

    Berberapa imej yang dirakam turut memperlihatkan sedikit unsur Type-R asli pada bahagian dalaman, iaitu tempat duduk hadapan jenis bucket dengan balutan fabrik berwarna merah.

    Honda Civic Type-R FK2R generasi sedia ada dijana oleh enjin 2.0 liter suntikan terus petrol DOHC VTEC Turbo berkuasa 310 PS/400 Nm, dipadankan dengan pilihan hanya transmisi enam-kelajuan manual. Ia mampu memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 5.7 saat dan kelajuan maksima dicatatkan pada 269 km/j.

    Walaupun dilengkapi dengan sistem suspensi torsion beam pada bahagian belakang, pengendalian FK2R disifatkan antara yang terbaik dalam kelasnya. Seperti yang diketahui, generasi terbaharu hatchback ini mengambil sepenuhnya suspensi jenis multilink pada bahagian belakang dari versi sedan, dan ini merupakan satu petanda Type-R generasi seterusnya bukan sahaja bakal tampil berkuasa, malah dapat dibayangkan akan mempunyai kebolehan pengendalian yang jauh lebih baik.

    Tiada lagi maklumat bilakah varian Type-R ini akan membuat kemunculan sulung, tetapi tidak mustahil jika Honda akan melakukan kejutan pada Paris Motor Show hujung bulan ini.

     
     
  • Land Rover Discovery 2017 diperkenalkan 28 Sept ini

    new-discovery-tease

    Land Rover Discovery baharu direncana bakal melakukan penampilan perdana pada 28 September ini iaitu sempena Paris Motor Show 2016. Sebelum memperkenalkannya secara rasmi, Land Rover telah menyebarkan imej teaser pertamanya ini.

    Walau bagaimana pun, tiada perincian penuh disebarkan mengenai Discovery baharu ini. Namun menurut Ketua Rekaan Land Rover, Gerry McGovern berkata, “Discovery baharu ini mentafsirkan semula SUV bersaiz besar. Malah rekaaan dan kejuruteraannya memiliki revolusi bagi DNA Discovery bagi memberikan gaya yang versatil dan keupayaan premium bagi sebuah SUV.”

    Jika menerusi pandangan hadapannya, imej Discovery baharu ini memang banyak diambil daripada model konsep Discovery Vision 2014. Malah ia menampilkan ciri yang lebih lembut dan elegan, namun masih mengekalkan sentuhan yang ranggi dan berketerampilan.

    100022lrover-a

    Malah bahagian kokpitnya pula dikatakan telah direka semula dan menampilkan beberapa elemen baharu termasuk skrin sesentuh 10.2-inci dan sistem infotainmen InControl Touch Pro.

    Pada bahagian bawah hudnya pula, kemungkinan ia akan menawarkan penjawa kuasa petrol empat-silinder dan diesel enam-silinder. Walau bagaimana pun, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai SUV ini, ia akan diperkenalkan pada malam pembukaan Paris Motor Show 2016 iaitu 28 September ini.

    GALERI: Spyshot Land Rover Discovery baharu

     
     
  • LPT2 pertingkat aspek keselamatan, elak kemalangan

    LPT2_highway

    Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur 2, LPT 2 Sdn Bhd memandang serius aspek keselamatan pengguna lebuh raya itu susulan kerapnya berlaku kemalangan sejak ia dibuka 31 Jan tahun lalu.

    Bernama melaporkan, Pengurus Besar LPT2 Husni Md Yusuf berkata, sejak pihaknya mengambil alih pengurusan operasi lebuh raya itu daripada kerajaan Terengganu sejak 15 Julai lalu, pelbagai langkah telah diambil untuk meningkatkan tahap keselamatan.

    “Antaranya adalah membaik pulih bahu jalan secepat mungkin di lokasi yang dikenal pasti, serta menjalankan kerja menaik taraf turapan jalan di 10 lokasi secara berperingkat mulai bulan ini. Selain itu, LPT2 juga secara berterusan mengadakan pemantauan dan membaik pulih pagar lebuh raya yang rosak di sepanjang lebuh raya sepanjang 10 kilometer untuk keselamatan orang ramai,” jelas beliau.

    Hal ini adalah susulan kebimbangan orang ramai mengenai kadar kemalangan yang sering berlaku di LPT2. Husni dalam pada itu memohon kerjasama orang ramai supaya tidak merosakkan pagar di sepanjang lebuh raya tersebut kerana ia boleh mengakibatkan ternakan dan haiwan liar memasuki laluan berkenaan dan membahayakan keselamatan pengguna.

    “Semua pengguna juga dinasihatkan sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan, memandu dengan lebih berhati-hati serta pastikan memandu dalam keadaan cergas dan mendapatkan rehat yang mencukupi terutamanya pada musim hujan ketika ini,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supt Shahrum Hashim pula berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mencari kaedah terbaik untuk meningkatkan keselamatan di lebuh raya itu.

    Pihaknya telah mempertingkatkan rondaan dan pemantauan yang berterusan di sepanjang LPT 2 bagi memastikan trafik berjalan lancar dan pengguna mematuhi undang-undang dan had laju yang dibenarkan.

    “Kami juga mengadakan operasi had laju dan cara ini kita dapat lihat pengguna lebuh raya semakin berhati-hati dan kadar kemalangan juga semakin berkurangan berbanding setahun yang lalu,” katanya.

    Selain itu, kemudahan di setiap kawasan R&R disepanjang laluan berkenaan turut akan diperlengkap bagi membolehkan pengguna berehat dan lebih selesa ketika di dalam perjalanan.

     
     
  • SPYSHOT: Proton Ertiga spesifikasi asas sedang diuji?

    proton-ertiga-spy-wilson-1-BM-850x489

    Sekali lagi gambar-gambar “Proton Ertiga”, sebuah MPV yang dikeluarkan dengan kerjasama antara Proton dan Suzuki yang akan dilancarkan Oktober nanti, muncul ke ruang awam. Ia dikirimkan oleh pembaca laman ini, Muhammad Mirza dan Wilson Teoh dan menunjukkan model berkenaan yang sedang diuji. Tiga versi render Proton Ertiga juga pernah kami laporkan sebelum ini.

    Dengan pelekat penyamaran, unit dengan plat “B 2291 A” itu hanya menggunakan rim besi biasa dan tidak mempunyai lampu kabus di tengah pada bahagian belakangnya seperti yang pernah disaksikan sebelum ini. Ini mungkin memberi petunjuk bahawa ia mungkin model dengan spesifikasi paling asas bagi MPV berkenaan.

    Seperti juga sebelum ini, bahagian depan unit yang sedang diuji ini kelihatan menawarisi rupa dari model Ertiga dengan wajah baharu (facelift), yang dipamerkan tahun lalu ketika pameran GIIAS di Indonesia. Setakat ini, masih belum pasti adakah MPV itu nanti akan menjadi model rebadge secara terus atau akan diberikan perubahan reka bentuk oleh Proton sendiri.

    Bagaimanapun, bahagian belakang unit ini kelihatan seperti model Ertiga sebelum versi facelift. Ini boleh menjadi satu lagi petunjuk; Proton boleh memilih apa yang jenama itu mahu untuk diperkenalkan pada MPV ini kelak. Rim 15 inci aloi adalah dari versi terkini Ertiga.

    Suzuki Indomobil Sales (SIS) menjangkakan tempahan 1,500 unit sebulan daripada Proton. Januari lalu, SIS mendedahkan bahawa Ertiga akan dieksport ke Malaysia dalam bentuk dileraikan (knocked down). Kilang di Indonesia itu juga sudah bersedia untuk memenuhi permintaan daripada Proton.

     
     
  • 151 saman dikeluarkan bagi Op Samseng Jalanan

    PDRM-4

    Op Samseng Jalanan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang diadakan di Plaza Tol Puchong Barat, Lebuhraya Damansara-Puchong dari Sabtu hingga pagi semalam menyaksikan 151 saman dikeluarkan, lapor Bernama.

    Ketua Polis Subang Jaya, ACP Mohamad Azlin Sadari berkata operasi yang bermula sejak 10 pagi Sabtu dan berakhir enam pagi semalam disasarkan untuk membanteras gangster jalanan, mengesan motosikal curi dan individu-individu yang dikehendaki di sekitar kawasan berkenaan.

    Tambah beliau lagi, polis menjalankan pemerikasaan terhadap 253 orang dan menahan empat individu yang positif ujian methamphetamine dan tetrahydrocannabinol.

    “Selain itu, 230 motosikal turut diperiksa, di mana 51 daripadanya disita di atas beberapa kesalahan termasuk motosikal curi, menggunakan nombor pendaftaran palsu, tiada lesen dan cukai jalan,” tambah beliau.

    Operasi berkenaan melibatkan enam pegawai dan 38 anggota dari Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman. Ia turut disertai oleh lima pegawai dengan 18 anggota dari Ibupejabat Polis Subang Jaya serta lapan anggota polis bantuan dari Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak).

     
     
  • BMW 1 Series Sedan eksklusif untuk pasaran China – lebih perincian didedahkan sebelum dilancarkan

    Laman automotif Auto Home dari China telah mendedahkan lebih perincian berkenaan BMW 1 Series sedan yang bakal dipasarkan hanya untuk China dan dipebiu buat pertama kali pada Guangzhou Auto Show 2015 dan telah diperkenalkan secara rasmi buat pertama kali Julai lalu.

    Tiga varian bakal di tawarkan untuk pasaran China iaitu 125i Sport (berwarna biru), 120i Luxury (berwarna kelabu) dan varian asas 118i (berwarna putih). Model 120i dan 125i bakal dijana oleh enjin 2.0 liter petrol dengan bantuan pengecas turbo, menghasilkan 192 hp pada 120i dan 239 hp pada 125i. Manakala untuk model 118i pula, ia akan dibekalkan dengan enjin 1.5 liter petrol turbo berkuasa 136 hp.

    Angka-angka kuasa ini kelihatan sepadan dengan angka kuasa dari enjin B48 yang dipadankan pada MINI Cooper F56. Kesemua enjin ini dijangka bakal dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari ZF, dan kemungkinan turut ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Model 1 Series ini juga dibina berasaskan platform UKL yang turut digunakan sebagai asas binaan model MINI, jadi ini merupakan sedan BMW pacuan hadapan yang pertama.

    Maklumat dari sumber baharu ini juga mendedahkan dimensi sedan 1 Series ini berukuran 4,456 mm panjang, 1,803 mm lebar dan 1,446 mm tinggi. Jarak rodanya pula diukur dengan panjang 2,670 mm, 20 mm lebih pendek berbanding 1 Series hatchback pacuan belakang yang dijual untuk pasaran Malaysia.

    Gambar-gambar yang didedahkan turut memperincikan perbezaan antara varian. Ciri seperti lampu hadapan, kemasan krom, lampu kabus, lampu belakang, kemasan pada cermin sisi, penderia keselamatan dan paparan ‘head-up’ antara yang dipericinkan. Pilihan untuk rim juga ditawarkan denga opsyen yang begitu luas bermula saiz 16-inci hingga 18-inci.

    Walaupun model ini telah membuat kemunculan sulungnya sebelum ini, ia hanya akan dilancarkan di China pada awal 2017 nanti. Sedan 1 Series ini dibina dengan kerjasama bersama rakan kongsi BMW di China iaitu Brilliance Auto, dan akan diproduksi di China bersama X1 dan 2 Series Active Tourer yang turut diproduksi secara tempatan.

     
     
  • PANDU UJI: Subaru Levorg 1.6 GT-S cukup berkarakter

    Subaru_Levorg_Ext-3

    Awal Ogos ini, Motor Image Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Subaru di Malaysia, telah pun memperkenalkan model Levorg di pasaran tempatan. Model wagon yang diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU) ini ditawarkan dengan varian asas 1.6 GT-S, tidak seperti di negara jiran, Thailand, yang terdahulu melancarkan model ini di sana dengan dua varian iaitu 1.6 GT dan 1.6 GT-S.

    Kami sempat memandu ujinya selama beberapa hari untuk mengetahui sejauh mana kehebatan wagon ciptaan Subaru ini. Untuk pengetahuan, nama Levorg diambil dari singkatan LEgacy, reVOlution, touRinG, dan pembinaan wagon ini diasaskan dari platform WRX. Walau bagaimana pun, ia banyak berkongsi ciri dengan WRX, namun ia bukanlah WRX versi wagon. Sebaliknya ia adalah ‘stand alone model’ dan miliki karakteristik yang tersendiri.

    Levorg dijana oleh enjin boxer 1.6 liter turbo empat-silinder dengan sistem suntikan bahan api terus, berupaya menghasilkan kuasa maksimum 170 PS bermula 4,800 hingga 5,600 rpm serta tork maksima 250 Nm pada tahap 1,800 rpm hingga 4,800 rpm.

    Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT dengan enam-kelajuan dan kuasa disalurkan ke semua roda menerusi sistem Symmetrical All-Wheel Drive Subaru.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.13 (+0.03)
Last Updated Sep 18, 2025