Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kemalangan jalan raya 2015 lebih tinggi – JPJ

    Sand lorry Jalan Duta accident 3

    Jumlah kemalangan jalan raya di negara ini menunjukkan peningkatan tahun lepas selepas angkanya turun pada 2014, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Arifin Che Mat.

    Katanya sepanjang tahun lepas, sebanyak 489,606 kemalangan dicatatkan iaitu peningkatan kira-kira 2.8 peratus berbanding 476,196 pada 2014, laporan Bernama.

    “Jumlah kemalangan jalan raya di negara ini terus mencatat peningkatan dalam tempoh enam tahun sejak 2010 kecuali pada 2014 apabila ia turun 0.2 peratus sebelum meningkat semula tahun lepas,” katanya.

    Arifin berkata 414,421 kemalangan dicatatkan pada 2010, meningkat kepada 449,040 kes pada 2011 diikuti 462,423 (2012) dan 477,204 (2013) sebelum turun 476,196 pada 2014.

    “Kes kemalangan maut turut meningkat sebanyak 32 kes atau 0.48 peratus kepada 6,706 kes pada tahun lepas berbanding 6,674 pada tahun sebelumnya,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau berkata JPJ melaksanakan pelbagai program dan kempen kesedaran serta meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan yang ditetapkan, sekali gus membantu mengurangkan kes kemalangan dan kematian pada masa akan datang.

     
     
  • Lencongan trafik sementara di LDP mulai 4 April

    damansara-puchong-expressway-ldp

    Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) telah mengeluarkan kenyataan hari ini berhubung dengan laluan trafik di persimpangan bertingkat Puchong Jaya, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) akan dilencongkan sementara bagi melancarkan kerja membaik pulih jalan mulai 4 hingga 10 April.

    LITRAK berkata kerja pemulihan jalan di kaki lima akan dijalankan di persimpangan lampu isyarat bagi meningkatkan kemudahan pemanduan, laporan Bernama.

    Kerja pemulihan berkenaan akan memberi kesan kepada pemandu yang datang dari Jalan Puchong (Jalan Klang Lama), Lebuhraya Bukit Jalil dan Puchong Jaya menuju ke persimpangan lampu isyarat berkenaan.

    Papan tanda akan diletakkan bagi memberi panduan kepada pengguna lebuh raya mengenai lencongan trafik berkenaan. Pengguna lebuh raya dinasihat mengikuti arahan papan tanda bagi memastikan lalu lintas yang lancar.

     
     
  • Proton perlu patuhi empat syarat utama untuk terus menerima bantuan kerajaan bagi kelangsungan – MITI

    tokpa-iriz-ev-1

    Selepas membuat keputusan drastik berhubung dengan penukaran pucuk kepimpinan tertinggi Proton Holdings termasuk peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed selaku Presiden Proton, isu ini turut mendapat perhatian Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

    Menterinya Datuk Mustapa Mohamed berkata Proton memerlukan masa yang lama untuk berfikir dan seterusnya melakukan tindakan serta kembali kepada pelan perancangan awalnya sewaktu mula beroperasi dahulu.

    Menurut Mustapa, model perniagaan sedia ada Proton tidak mampan dan kerajaan akan membuat pertimbangan sebelum memberikan lebih banyak bantuan. Di mana katanya, sehingga kini lebih RM13 bilion bantuan termasuk geran dan pelepasan cukai telah diberikan kepada Proton sejak 1983, laporan Astro Awani.

    Tegasnya, perlindungan yang selama ini diberikan kepada Proton, harus dihentikan.

    MITI turut mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara ini termasuk menyebut penguasaan pasaran Proton menurun dari tahap tertinggi 74% pada 1993 ke paras terendah iaitu 15% ketika ini dan Proton tidak mempunyai pasaran yang luas.

    Memetik daripada laporan Berita Harian, Mustapa berkata, “Proton juga menghadapi masalah apabila aset mereka tidak diguna pakai sepenuhnya. Ketika ini syarikat memiliki dua pusat pengeluaran yang beroperasi pada kadar 35% daripada tahap optimum. Keputusan untuk membuka dua pusat pengeluaran mungkin antara kesilapan lampau Proton.

    “Kira-kira tiga tahun yang lalu, Proton hampir menjalin kerjasama dengan syarikat automotif asing terkemuka namun mereka menarik diri pada saat akhir. Sekiranya kerjasama ini terjalin dan berjalan lancar, Proton kini mungkin berada pada kedudukan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Proton LHD Preve to Chile 11

    Beliau menegaskan, untuk kerajaan terus membantu Proton, empat syarat harus dipenuhi. Ini termasuklah mencari rakan asing strategik baru dan pengurusan syarikat yang lebih baik. Selain itu, syarat lain termasuk tiada campur tangan dalam perniagaan.

    Beliau menegaskan, syarat-syarat lain yang ketat juga akan dikenakan untuk kelangsungan Proton pada jangka masa panjang.

    Tambahnya, dengan situasi harga minyak yang rendah, kerajaan tidak mampu untuk meneruskan bantuan kepada Proton.

    Beliau turut dimaklumkan bahawa terdapat tindakan yang tidak profesional dalam membuat keputusan di Proton. Susulan itu, beliau ingin Proton turut melantik kumpulan pengurusan yang lebih sesuai.

    Kenyataan ini dibuat susulan perbincangan antara MITI dan kumpulan pemimpin tertinggi Proton dalam enam bulan lepas tentang masa depan syarikat. Pelbagai pembentangan telah dilakukan oleh pihak Proton kepada Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Pelan penstrukturan semula itu bertujuan meningkatkan kualiti kereta, merancakkan lagi eksport dan menjadikan Malaysia sebagai hab industri automotif di rantau ini.

    “Susulan pengambilalihan Proton oleh DRB-Hicom Bhd pada tahun 2012, pemilik baharunya bertemu saya dan berkongsi pelan penstrukturan mereka untuk menjadikan syarikat automotif ini lebih kompetitif dan strategi untuk meningkatkan eksport. Bagaimanapun, Proton gagal memenuhi kehendak Dasar Automotif Nasional (NAP) 2009 yang menggariskan bahawa ia harus menjalin kerjasama strategik dengan syarikat asing,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

    Beberapa vendor Proton turut menyuarakan masalah. Berikutan itu kerajaan telah menyuntik sebanyak RM100 juta bagi pinjaman mudah bagi mengurangkan beban vendor. Namun disebabkan tahap pengeluaran dan jualan Proton ketika ini, ramai vendor masih berhadapan dengan masalah dan dikhuatiri akan gulung tikar dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

    Dalam masa yang sama, kerajaan turut menghormati keputusan Tun Dr. Mahathir yang melepaskan jawatan sebagai Presiden Proton bagi memberikan nafas baharu dan membuka potensi sebenar Proton.

    Empat syarat kerajaan kepada Proton :

    1. Proton perlu segera kenal pasti rakan strategik asing.
    2. Syarikat perlu diuruskan secara profesional.
    3. Tiada campur tangan dalam perniagaan.
    4. Langkah tegas tingkatkan daya saing jangka panjang.

     
     
  • Proton Edar lantik Rohime Shafie sebagai CEO baharu

    rohime-shafie

    Selepas berita pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Proton dan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai Presiden Proton, hari ini Proton Edar turut mengumumkan pelantikan baharu bagi CEOnya.

    Rohime Shafie telah diumumkan sebagai CEO baharu Proton Edar bagi menggantikan Norzahid Mohd Zahudi yang sebelum ini memegang jawatan tersebut sejak Oktober 2014. Sebelum ini Rohime bertanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di Proton Holdings.

    Pada 24 Mac lalu, Dato’ Ahmad Fuaad Mohd. Kenali telah dilantik sebagai CEO baharu Proton bagi menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah, berkuatkuasa 1 April 2016.

    Malah Proton turut melantik Timbalan CEO baharu, iaitu Datuk Radzaif Mohamed, yang kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi, Pembuatan & Pengedaran Automotif di DRB-HICOM.

     
     
  • Toyota Hilux 2016 dibuka tempahan – dari RM90k

    2016-Toyota-Hilux-preview

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan tempahan bagi Toyota Hilux 2016 telah pun mula dibuka. Walau pun tarikh pelancarannya masih belum diumumkan, namun UMWT telah mendedahkan harga bagi Hilux serba baharu ini, di mana ia lebih rendah berbanding harga yang dijangka.

    Bagi satu-satunya varian single cab iaitu 2.4 4×4 manual, ia ditawarkan pada harga RM89,900. Manakala bagi varian double cab iaitu bermula 2.4 4×2 manual, berharga RN91,900, diikuti dengan 2.4 Standard 4×4 manual pada RM99,900.

    Untuk varian 2.4G 4×4 manual pula berharga RM109,900, manakala 2.4G 4×4 automatik pula RM121,900. Bagi varian spesifikasi tertinggi iaitu 2.8G 4×4 automatik pula ditawarkan pada harga RM133,900. Semua harga yang diumumkan yang diumumkan adalah harga atas jalan dengan insurans.

    2016-Toyota-Hilux-price-list-official

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi luarannya, varian Hilux bukan-G didatangkan dengan rim keluli 16- dan 17-inci, manakala 2.4G (manual dan auto) pula menerima rim aloi 17-inci. Bagi varian 2.8G pula menerima rim pilihan 18-inci, termasuk lampu utama projektor LED (varian lain hanya reflektor halogen).

    Pada bahagian dalamnya, ia menampilkan sistem hiburan skrin sesentuh double-DIN 6.1-inci bagi varian G, di samping kemasukan tanpa kunci dan suiz mod pemanduan (Normal, Eco dan Power). Manakala bagi varian 2.4G dan 2.8G (foto dalaman di bawah) menerima tempat duduk pemandu dengan larasan lapan-cara dan tempat duduk balutan kulit upholsterty.

    Bagi varian bukan-G, unit utama double-DIN ditampilkan dengan pemain CD dan hos untuk input. Selain itu, roda stereng teleskopik juga dibaluti kulit.

    2016-Toyota-Hilux-preview-25

    Hanya spesifikasi tertinggi 2.8G automatik 4×4 dan 2.4G automatik 4×4 menerima Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) dan Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC). Varian 2.8G juga menerima tujuh beg udara, sementara varian lain hanya menerima tiga beg udara. Lampu hadapan projektor LED (dengan lampu nyalaan siang LED) juga hanya dilengkapkan pada varian spesifikasi tinggi sahaja.

    Bagi laluan lasak, pacuan 4WD dan penguncian perbezaan turut ditampilkan bagi semua varian kecual 2.4 4×2 manual. Selain itu Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC), VCS dan Bantuan Mula Mendaki pula adalah elemen standard bagi 2.4G dan 2.8G sahaja.

    Jadi apa pendapat anda tentang harga yang ditawarkan untuk Hilux serba baharu ini? Dan varian manakah yang menarik perhatian anda? Atau pun anda lebih tertarik dengan trak pikap lain termasuk Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan Nissan NP300 Navara?

    GALERI: Toyota Hilux 2016 2.8G 4×4 A/T pra-tonton di siri jelajah Toyota WOW 3

     
     
  • Renault Megane RS generasi seterusnya – hatchback lima-pintu, 300 hp, AWD, sistem stereng semua roda

    Renault_Megane_IV_025

    Perincian berkenaan Renault Megane RS generasi seterusnya akhirnya telah muncul. Sumber dari Renault Sport mendedahkan kepada Auto Express, Megane RS baharu kelak adalah sangat berbeza dari model sebelum ini dengan menampilkan kuasa lebih dari 300 hp, sistem stereng semua roda dari Megane GT (gambar diatas) dan hanya hadir dengan varian hatchback lima-pintu.

    Dengan mensasarkan Ford Focus RS sebagai saingan utama, sumber berkenaan menyebut Renault Sport sedang giat berusaha mengekstrak lebih kuasa dari enjin empat-silinder 2.0 liter turbo model tersebut. Megane RS sedia ada mempunyai kuasa setinggi 275 hp, dan generasi seterusnya dikatakan mampu untuk menjana lebih dari 300 hp dalam usaha mereka untuk menyaingi Ford Focus RS.

    Hatchback berprestasi tinggi dari Renault Sport ini juga bakal dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda (AWD) dan juga sistem stereng semua roda. Untuk sistem transmisi, ketua Reanult Sport, Patrice Ratti, sebelum ini mendedahkan Megane RS baharu ini akan dilengkapi dengan dua pilihan kotak gear sama ada enam-kelajuan manual atau kotak gear klac berkembar EDC auto enam-kelajuan diambil dari Clio RS. Ini akan menyaksikan pertarungan antara Megane RS dan Honda Civic Type-R terhenti setakat ini dengan Megane naik ke persaingan kategori pacuan empat roda menentang Ford Focus RS dan Volkswagen Golf R manakala Civic-R kekal sebagai kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas dalam kategorinya.

    Akhir sekali, walaupun Megane RS buat masa ini hanya hadir dalam model hatchback tiga pintu, sumber tersebut mengesahkan Megane RS selepas ini hanya dijual dalam bentuk badan hatchback lima-pintu, dengan varian tiga-pintu digugurkan terus dalam barisan model. Megane RS ini dilaporkan akan membuat penampilan sulungnya pada suku kedua 2017, dijual pada harga sekitar 30,000 pound sterling (RM168k).

    GALERI: Renault Megane IV GT

     
     
  • VIDEO: ‘Pendengar Enjin’ Ford khas untuk Focus RS

    Proses produksi Ford Focus RS memerlukan sebuah dari sekumpulan enjin empat-silinder 2.3 liter EcoBoost diambil dijadikan sampel untuk ujian bunyi. Seperti dalam video di atas, Ford kini melatih pasukan “pendengar enjin” untuk memastikan enjin yang dipasang pada Focus RS tersebut berada ditahap prestasi terbaik.

    “Pasukan ini tahu bagaimana bunyi sebuah enjin yang telah ditala dengan sempurna dan mereka juga tahu jika terdapat bunyi yang kecil disebabkan ada masalah yang terjadi,” kata Gunnar Herrmann, naib presiden kualiti Ford Eropah. “Mereka seperti doktor yang mempunyai teknologi diagnostik termaju tetapi masih menggunakan stetoskop untuk mendapatkan petunjuk yang pasti tentang kesihatan pesakit,” tambah beliau.

    Juan Carlos, juruteknik kualiti dan penguji enjin produksi di kilang Ford Valencia, adalah salah seorang “pendengar enjin” berkenaan. Di dalam bilik khas istimewa untuk proses tersebut, Carlos menjelaskan “Operator dapat rasa, dan mendengar enjin tersebut. Mereka dapat rasakan dan membuat penilaian pada sesebuah enjin sama ada ia lulus ujian dan seterusnya diterima oleh pelanggan dengan tahap kualiti yang mereka berhak dapat.”

    “Enjin ini amat menakjubkan, ia menghasilkan bunyi yang hebat semasa ujian. Ia kelihatan seperti enjin tersebut mahu melepaskan diri kerana kuasanya,” Carlos menjelaskan bunyi tertentu yang dia jangkakan semasa setiap ujian yang dijalankan. Beliau juga menjelaskan proses mendengar enjin ini adalah penting untuk memastikan setiap enjin berfungsi dengan sempurna, dan menepati sasaran.

    Enjin 2.3 liter EcoBoost ini menghasilkan kuasa 350 PS (unit yang sama menjana Mustang S550), dan tork dicatatkan pada 440 Nm. Dengan fungsi overboost, tork setinggi 470 Nm mampu dilepaskan dalam masa 15 saat. Kuasa yang dihasilkan enjin ini membolehkan Focus RS memecut dari sifar hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat.

    Focus RS menampilkan empat-mod pemanduan iaitu Normal, Sport, Track dan Drift. Fungsi-fungsi mod pemanduan ini akan dijelaskan oleh Ben Collins, pemandu profesional dan ‘The Stig’ asal dari siri TV Top Gear, menerusi video di bawah.

     
     
  • MRT: Penutupan sepenuhnya di Lebuhraya Cheras-Kajang pada waktu malam selama sebulan

    MRT_CHERAS

    Beberapa penutupan lorong sepenuhnya akan dilaksanakan di Lebuhraya Cheras-Kajang selama sebulan mulai hari ini, 1 April 2016, bagi kerja-kerja pembinaan projek MRT.

    Menurut laporan Bernama, kerja-kerja penyelenggaran ini melibatkan kilometer 14.4 hingga 14.8 bermula jam 10 malam hingga 5 pagi. Sepanjang penutupan tersebut, sebanyak empat lorong sedia ada akan dikurangkan menjadi dua lorong untuk kedua-dua arah Kuala Lumpur dan Kajang.

    Satu lagi penutupan selama sebulan akan dilaksanakan di laluan susur 702 dan 703 (arah Kajang dan Kuala Lumpur) untuk kerja-kerja pembinaan di stesen MRT Suntex dan Sri Raya iaitu kerja-kerja mengecat. Manakala penutupan di susur 702 ke Hulu Langat pula bagi pemasangan pembentungan paip, dan juga kerja-kerja pembaikian di stesen Suntex.

    Satu lagi makluman, penutupan jalan di kilometer 14 hingga 14.7 selama tujuh hari mulai hari ini bagi kerja-kerja mengecat tanda lorong. Manakala satu penutupan lorong jangka masa pendek pula akan dilaksanakan di Jalan Kuala Selangor (arah-Subang dan arah-Kepong) akan bersambung selama 14 hari, mulai esok 2 April 2016. Penutupan ini bagi kerja-kerja mengecat di stesen MRT Subgai Buloh, akan dilakukan dari jam 11 malam hingga 5 pagi.

     
     
  • Proton tiada beza tanpa Tun M, kata Hamzah

    tun-mahathir-alami-proton

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Proton tidak akan terjejas setelah pengunduran Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional tersebut. Kenyataan beliau itu telah dilaporkan oleh The Star.

    “Operasi syarikat tersebut dijalankan oleh pentadbiran dan ahli lembaganya. Jadi bukan menjadi masalah siapa pengerusinya,” kata Hamzah. “Mungkin beliau telah sedar sudah sampai masanya untuk beliau melepaskan jawatan tersebut kepada orang lain.”

    Apabila ditanya adakah kepimpinan baharu Proton akan mengubah pandangan negatif orang ramai terhadap syarikat berkenaan, Hamzah berkata ia mungkin boleh kearah kedua-duanya. “Mereka yang masih di dalam Proton berfikir ia baik untuk syarikat,” dakwa beliau. Menteri berkenaan menyimpulkan, dipengaruhi politik atau tidak, telah tiba masanya untuk Tun Dr Mahathir meninggalkan Proton.

    Petang semalam, Proton mengumumkan pengerusinya, Tun Dr Mahathir, meletakkan jawatannya serta merta. Bekas Perdana Menteri itu dikatakan menyerahkan surat perletakan jawatannya kepada Datuk Seri Syed Faisal Albar, pengarah urusan kumpulan DRB-Hicom.

    “Kami menghormati niat beliau untuk mengundurkan diri; kami mahu menyatakan penghargaan yang tidak ternilai terhadap sumbangan, komitmen, dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga Penasihat sejak 2003,” melalui kenyataan dari Proton. “Kami juga ingin menyampaikan rasa terima kasih kami dan mengiktiraf peranan Dr Mahathir sebagai pencipta syarikat pengeluar kereta nasional.”

    Tidak dapat dipastikan lagi sama ada tindakan mengejut yang diambil Tun M ini ada kaitannya atau tidak dengan laporan yang ditulis oleh The Straits Times minggu lalu. Penerbit dari Singapura tersebut melaporkan pergolakan politik antara Tun M dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin menjejaskan Proton dalam permohonan mereka mendapatkan dana segera RM1.5 billion dari kerajaaan.

     
     
  • ETCM umum kenaikan harga untuk model Nissan

    Nissan-Teana-2.0XL-24

    Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM), pengedar tunggal kenderaan Nissan di Malaysia hari ini mengumumkan kenaikan harga untuk beberapa model terpilih. Kenaikan harga itu melibatkan sebanyak 2.8% hingga 6.7% berkuat-kuasa 1 April 2016.

    Kenaikan harga hanya melibatkan empat model CKD iaitu Almera, Grand Livina, X-Gear dan Teana 2.0. Walau bagaimana pun, keputusan kenaikan harga ini tidak melibatkan empat lagi model Nissan iaitu Serena S-Hybrid, X-Trail, NP300 Navara dan NV200, di mana harganya masih kekal seperti sedia ada.

    Screen Shot 2016-04-02 at 8.04.17 PM

    Keputusan untuk menaikkan harga ini berikutan kemerosotan nilai Ringgit yang memberi kesan besar ke atas kos operasi keseluruhan syarikat. Walau bagaimana pun ETCM sentiasa mencari jalan dan menilai peluang untuk mengekalkan harga kenderaan Nissan seperti sekarang demi kepentingan para pelanggannya. Malah, ia menjadi antara syarikat automotif terakhir yang menaikkan harga kenderaan.

    Bukan itu sahaja, ETCM telah mengambil langkah rasionalisasi kos dan menilai semua operasi rantaian bekalan secara keseluruhan untuk mengurangkan kesan kemerosotan nilai Ringgit.

    Mengulas mengenai kenaikan harga tersebut, Pengarah Eksekutif ETCM, Dato’ Dr Ang Bon Beng berkata, “Berikutan tekanan berterusan akibat kemerosotan nilai Ringgit sejak beberapa bulan lalu, ETCM telah melaksanakan beberapa langkah perlu untuk mengurangkan impak tersebut. Namun, oleh kerana tukaran wang asing yang tidak memberangsangkan dan peningkatan kos operasi yang berlanjutan, harga beberapa model terpaksa dinaikkan.”

    Dalam masa yang sama, ETCM tetap memberikan jaminan untuk terus menawarkan produk dengan nilai tambah dan kualiti khidmat pelanggan paling tinggi sebagaimana yang diharapkan oleh pengguna.

     
     
  • MRT : Jalan Bukit Bintang ditutup satu malam 3 April

    12916815_1117755521589181_5484030284341922437_o

    MMC-Gamuda KVMRT Sdn Bhd telah mengeluarkan kenyataan berhubung penutupan selama satu malam membabitkan laluan sepanjang 100 meter di Jalan Bukit Bintang akan dilakukan pada 3 April ini.

    Menurut syarikat itu dalam kenyataannya hari ini, penutupan laluan antara restoran McDonalds dan Jalan Changkat Bukit Bintang akan dilaksanakan mulai pukul 10 malam hingga 6 pagi untuk kerja mengalihkan kren.

    Berikutan penutupan itu, pengguna jalan raya yang menghala ke Jalan Pudu dan Jalan Bukit Bintang dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui lorong di belakang restoran McDonalds dan rumah kedai berhampiran.

    Para pemandu digesa supaya berhati-hati dan mengikut papan tanda yang akan diletakkan di kawasan itu. Malah Pasukan Bertindak Kecemasan MRT akan berada di situ untuk membantu aliran trafik.

     
     
  • Proton Extrema penuh misteri- Proton produksi SUV!

    12903905_10154924435352316_1193811798_o-e1459476104787

    Wow! Satu perkhabaran yang mengejutkan tetapi menguja! Bikin degupan jantung kian kencang! Krikkk..krikkk..krikkkk!

    Selepas menerima foto model crossover kompak Proton, hasil rebadged Maruti Suzuki Vitara Brezza, kemudian kami menerima pula brosur misteri dari pengedar (pemenang Pertandingan Reka Bentuk Proton 2014) Pow Ying Hern, yang mendedahkan tentang SUV Proton ini! Digelar sebagai Extrema, SUV ini dijangka akan dilancarkan pada 1 April, 2017, selepas pelancaran Perdana, Persona dan Saga.

    Tiada perincian lebih lanjut didedahkan, cuma beberapa foto sahaja. Namun ia kelihatan seperti kenderaan kontemporari, dengan lampu utama xenon bersama lampu posisi LED, gril besar dengan Proton Wings (logo tiga-dimensi baharu), skid plate berwarna perak dan lampu nyalaan siang LED.

    Pada bahagian belakang pula, ia ditampilkan dengan ekzos dan lampu belakang yang nampak lebih teratur serta padanan roda 19-inci. Kabinnya pula agak menarik, dengan papan pemuka dan tempat duduk berwarna coklat, serta banyak kekemasan perak bagi memberikan penampilan yang lebih elegan.

    Klik untuk besarkan imej

    Dijangkakan Extrema akan dijanakan oleh enjin baharu Proton iaitu 1.5 liter pengecas turbo dan suntikan-terus TGDI – dengan konfigurasi paling berkuasa, yang mampu menghamburkan kuasa 180 hp dan tork 250 Nm. Mungkin dengan pacuan roda-hadapan dan semua-roda, dipadankan dengan transmisi baharu CVT.

    Apa pendapat anda tentang langkah Proton yang ingin memperkenalkan model sebegini di pasaran? Adakah ia langkah yang tepat atau pun sebenarnya masih belum tiba masanya lagi. Kongsikan pendapat anda bersama kami.

     
     
  • SPYSHOTS: SUV Suzuki Vitara Brezza berlogo Proton

    Proton-Suzuki-Vitara-Brezza-3_BM

    Hari ini kami menerima gambar yang agak mengujakan iaitu sebuah Suzuki Vitara Brezza dengan logo Proton. Biar betul? Adakah Proton bercadang untuk memasarkan model rebadge SUV tersebut dalam pasaran Malaysia? Anda perlu terus bersama kami kerana hanya kami sumber utama yang bakal memperoleh tarikh pelancaran model ini.

    Gambar yang diberikan kepada kami oleh penyumbang tetap Theophilius Chin, jadi keasliannya tidak perlu dipersoalkan. Gambar tersebut menunjukkan dua buah Vitara Brezza yang hampir standard, tetapi dipakai dengan logo Proton di bahagian hadapan dan turut mempunyai pelekat cukai jalan Malaysia.

    Kami hanya memberikan foto beresolusi rendah buat masa sekarang, sebagai menghormati ‘orang dalam’ yang masih kekal tidak mahu dikenali. Setelah dilihat dalam imej beresolusi tinggi, kami boleh mengesahkan pelekat cukai jalan tersebut adalah sah sehingga 1 April, 2017.

    Jadi, apa pendapat anda tentang crossover kompak Proton ini? Tuliskan pendapat anda pada ruangan komen di bawah.

    GALERI: Maruti Suzuki Vitara Brezza

     
     
  • Semua model Lexus Malaysia kini dilindungi pakej waranti baharu lima-tahun, tanpa had perbatuan

    Lexus 5 YEARS37cmX26.1cm7

    Pengumuman waranti baharu oleh UMW Toyota bukan sahaja untuk jenama Toyota, Lexus Malaysia juga diumumkan turut memberikan pakej waranti lima tahun tanpa had perbatuan untuk semua model jualan mereka bermula 1 April 2016. Pakej waranti tersebut menggantkan pakej waranti tiga-tahun/100,000 km sebelum ini.

    Pakej waranti Lexus kini setara dengan pakej waranti BMW Malaysia, tetapi BMW turut menawarkan pakej servis berkala percuma selama lima-tahun/100,000 km. Setakat ini Mercedes-Benz menawarkan waranti empat-tahun tanpa had perbatuan, manakala Audi Malaysia pula menawarkan waranti empat-tahun/120,000 km.

    Seperti juga pakej waranti yang lain, untuk kekal sah, kereta yang dilindungi waranti tersebut mestilah diservis mengikut terma dan syarat pengeluar – untuk Lexus, ia perlu diservis setiap 10,000 km atau enam bulan (yang mana sampai dahulu) oleh pusat servis Lexus bertauliah. Pakej waranti sepanjang lima tahun tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak UMW Toyota Motor.

    Lexus 5 YEARS37cmX26.1cm7

    “Kenderaan yang dibawa masuk oleh pengimport kenderaan yang lain tidak akan menikmati pakej waranti ini. Oleh itu, adalah lebih baik untuk membeli kenderaan yang diimport oleh pengedar bertauliah seperti UMW Toyota, di mana kenderaan tersebut akan dilindungi dengan waranti penuh lima-tahun, memberikan pelanggan ketenangan fikiran,” kata Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor.

    Pemilik Lexus sedia yang masih dilindungi waranti tiga tahun juga boleh mendapatkan perlindungan dua-tahun tambahan tanpa had perbatuan melalui pembelian pakej tersebut dengan hanya sekali bayaran dan bergantung pada model. Pelanggan yang membeli pakej ini juga akan menerima pakej servis percuma dari Lexus.

    Tawaran untuk pembelian pakej waranti tambahan berkenaan hanya sah sehingga 30 September 2016, jadi jika anda berminat, hubungi segera wakil servis Lexus pilihan anda untuk mendapatkan harga sebenar pakej waranti ini.

     
     
  • UMW Toyota mengumumkan perlindungan waranti lima-tahun untuk semua model Toyota di Malaysia

    Toyota five year warranty

    Berita baik untuk peminat dan pemilik Toyota. UMW Toyota kini telah memperkenalkan pakej waranti lima-tahun untuk semua model jualan mereka bermula 1 April 2016. Pakej tersebut juga menyebut perlindungan waranti lima-tahun itu diberikan tanpa batasan perbatuan kecuali untuk model Hilux dan Hiace yang dihadkan pada 150,000 km.

    Pakej waranti pengeluar baharu ini menggantikan pakej waranti tiga-tahun atau 100,000 km sebelum ini, meletakkan pakej waranti UMW Toyota setara dengan Honda Malaysia yang menawarkan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan untuk semua modelnya. Edaran Tan Chong Motor walau bagaimanapun masih kekal dengan pakej waranti tiga-tahun/100,000 km untuk semua model Nissan yang dijual oleh mereka.

    Walaupun dihadkan pada 150,000 km, Hilux dan Hiace masih lagi menjadi kenderaan komersial yang mempunyai perlindungan waranti paling lama dalam pasaran. Toyota Hilux misalnya, mempunyai kadar perbatuan yang dilindungi waranti lebih 50,000 km dan dua tahun lebih lama berbanding Ford Ranger, Mitsubishi Triton, Isuzu D-Max dan Nissan Navara.

    Waranti tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh pihak UMW Toyota, dan bukan oleh syarikat insuran lain. Waranti lima-tahun berkenaan juga adalah diberikan kepada unit kenderaan yang dijual, bermaksud kenderaan tersebut masih lagi dilindungi waranti walaupun sudah dijual kepada pemilik lain dalam jangka masa lima tahun itu. Sudah tentu bergantung kepada terma dan syarat, unit kenderaan terbabit perlu diservis mengikut jadual oleh wakil servis Toyota yang bertauliah bagi membolehkan perlindungan waranti tersebut kekal sah.

    8457_04 5yearsW_PressAd_TheStar_37cmX26.1cm

    Untuk nota, kenderaan yang dibeli bukan untuk kegunaan persendirian seperti teksi, kereta sewa, dan digunakan untuk mengangkut barangan tidak tertakluk pada waranti lima-tahun ini. Ia masih kekal dengan waranti tiga-tahun/100,000 km sebelum ini.

    Pemilik Toyota sedia ada yang masih dengan waranti yang sah dan diservis mengikut terma perlindungan waranti tetapi kenderaan mereka didaftarkan sebelum 1 April 2016, mereka masih boleh menikmati pakej waranti tambahan dua-tahun serta tambahan had perbatuan 10,000 km (sehingga 110,000 km) dengan pembelian pakej waranti tersebut.

    Harga untuk pakej waranti tambahan itu masih belum lagi diumumkan, tetapi ia akan berbeza untuk setiap model. Pelanggan yang membeli pakej tersebut juga akan menerima pakej servis ‘MaxCheck Advance’ secara percuma. Tawaran untuk menaiktaraf pakej waranti sedia ada ini hanya sah sehingga 30 September 2016, jadi jika anda berminat, hubungi wakil servis pilihan anda untuk mendapatkan harga sebenar pakej waranti ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025