BMW antara pengeluar automotif dari Eropah yang menghasilkan model-model EV yang agak laris dalam pasaran. Namun jenama premium dari Jerman itu tidak pernah menetapkan satu masa untuk beralih sepenuhnya ke teknologi tersebut dan percaya bahawa EV bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian untuk mengekang pencemaran karbon. Dan nampaknya BMW tidak tersilap halatuju kerana beberapa pengeluar automotif dari Eropah sudah mula mengubah cita-cita mereka dengan melambatkan lagi peralihan 100% tersebut.
Dan ketika berlangsungnya mesyurat agung tahunan BMW yang ke-105, pengerusi lembaga pengurusan BMW Oliver Zipse menegaskan sekali lagi bahawa syarikat itu kini dalam laluan yang betul dalam menawarkan model-model dikuasakan oleh bahan api petrol, diesel, dan hibrid disamping penawaran model-model EV termasuk bagi model-model Neue Klasse akan datang.
Selain itu BMW juga menumpukan perhatian terhadap kenderaan berkuasa hidrogen, dengan model pertama dijangka akan dilancarkan pada 2028, di bina dengan kerjasama Toyota.
“Sementara pengeluar lain membalikkan semula haluan atau menyesuaikan strategi mereka, kami berada di landasan yang betul. Malah pembuat dasar mula muncul: kerajaan persekutuan Jerman yang baharu menyokong pendekatan luas terhadap teknologi, manakala Suruhanjaya Eropah berusaha untuk menjadikan Eropah lebih berdaya saing. ‘Perjanjian Perindustrian Hijau’ akhirnya mempertimbangkan perlindungan iklim dan ekonomi seiring. Itu adalah perkara yang baik, “kata Zipse.
“Kami mengambil serius matlamat politik yang bercita-cita tinggi tetapi kami tidak percaya pada peraturan berat sebelah teknikal yang mengehadkan bekalan. Prinsip yang sama terpakai kepada ekonomi kitaran. Di sini juga, hanya pendekatan yang komprehensif dapat membolehkan dan merangsang pelaburan. Kerana, dengan hanya satu teknologi, e-mobiliti membawa ke jalan buntu – yang kini jelas. Perbezaannya terlalu besar, walaupun hanya dalam Eropah” tambah beliau.
Perbezaan yang dimaksudkan oleh Zipse adalah keperluan pengguna dan juga keadaan setempat di mana BMW berada. Contohnya di Belgium yang menawarkan insentif, menyaksikan kenderaan-kenderaan elektrik dan hibrid menjadi kereta-kereta baharu yang popular dalam masa singkat, mencapai bahagian pasaran lebih dari 60% pada 2024. Ia berbeza dengan Itali di mana model-model EV hanya terjual 4% dari jumlah jualan kereta baru tahun lalu.
“Adakah itu salah produk? Sudah tentu tidak. Adakah kerana pelanggan? Sudah tentu tidak. Persoalan yang paling penting ialah: bagaimana kita boleh mengurangkan CO2 dengan berkesan? Sudah tentu bukan dengan berfikir secara hitam dan putih. Menyokong satu penyelesaian tidak semestinya bererti menentang yang lain. Pendekatan kami membuktikan kali ini dan sekali lagi – dan kekal berkesan. Kita semua perlu menggunakan lebih banyak peluang, dibimbing oleh strategi untuk masuk, bukan keluar” jelasnya.
“Matlamat politik mesti mencerminkan realiti pasaran – dan juga berdaya maju untuk perniagaan. Pelaburan global sudah pun melihat ke hadapan untuk 2030, dan terutamanya 2035. Itulah sebabnya kajian semula sasaran EU yang akan datang akan menjadi sangat penting untuk membuat keputusan. Ini adalah peluang kami untuk memperbaiki sistem. Eropah memerlukan industri automotif dan pembekal yang berprestasi tinggi. Kami berjuang untuk ini dan menolak perkembangan negatif,” kata Zipse lagi.
Model-model dengan teknologi elektrifikasi BMW Group dilihat meyakinkan pada 2024 dengan peningkatan sebanyak 4.8% bagi mencapai angka 593,150 unit, dan momentum tersebut masih dibawa pada suku pertama tahun ini. Untuk empat bulan pertama 2025, BMW Group telah menjual sebanyak 157,487 unit model-model yang menerima teknologi elektrifikasi, atau 28.5% lebih banyak dari tempoh sama tahun lepas.