Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • GALERI: Art of Speed 2025 pamer pelbagai kenderaan ubah suai dan modifikasi, dalam dan luar negara

    GALERI: Art of Speed 2025 pamer pelbagai kenderaan ubah suai dan modifikasi, dalam dan luar negara

    Tahun ini Art of Speed (AOS) kembali lagi dengan berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) hari ini dan esok bermula 10 pagi hingga 7 malam melibatkan pelbagai aktiviti untuk pelbagai golongan.

    Daripada tiga dewan utama yang terlibat, Dewan A adalah yang paling meriah, terutamanya untuk penggemar dunia buah suai dan kustom motosikal serta juga kereta. Bukan setakat dari dalam negara, beberapa jentera dari luar turut serta dalam acara ini termasuk dari Thailand, Jepun dan Australia.

    Masuk melalui pintu utama Dewan A anda akan disambut oleh tiga motosikal yang diletakkan dalam kategori “Custom Craft”, dengan dua daripadanya datang dari Jepun, iaitu BMW R18 “Ground 0” oleh Custom Works Zon dan Harley-Davidson Knucklehead kustom hasil buatan Masa Sugihara daripada Luck MC. Menyertai dua motosikal menarik ini adalah Harley-Davidson Flathead yang diubah suai oleh Ben Forster daripada Benflathead, Australia.

    Selain tiga motosikal yang menjadi tarikan utama ini, banyak lagi motosikal dan kereta ubah suai dipamerkan dalam dewan, menyertai pertandingan Show & Shine yang menawarkan hadiah perjalanan ke Yokohama Hot Rod Custom Show untuk pemenang pertama.

    Untuk kategori motosikal, bukan setakat jentera kustom bergaya chopper, cafe racer atau klasik yang turut serta, tetapi juga skuter dan kapcai, menjadi platform untuk kebanyakan pembina tempatan untuk menunjukkan bakat dan kreativiti mereka.

    Bahagian kereta juga tidak kurang menariknya dengan pengunjung boleh menyaksikan depan mata pelbagai model termasuk jentera lagenda Jepun, Eropah dan tempatan, serta bermacam jenis kenderaan seperti van, kereta sports klasik dan ubah suai khas.

    Jika anda tidak berkesempatan untuk datang hari ini, AOS masih berlangsung esok dan di sini kami sediakan sedikit gambar untuk menunjukkan anda variasi kenderaan yang ada. Tidak kiralah apa minat anda dalam dunia automotif, pasti ada sesuatu untuk anda.

    Selain pameran dalam dewan, di bahagian luar juga ada berlangsung aktiviti lain seperti perkumpulan kelab kereta dan motosikal (termasuk kawasan khas untuk Santai Scooterist), jualan alat ganti serta pandu uji (motosikal).

     
     
  • Moda Shifter 400X dilancarkan di Malaysia – RM23,888

    Moda Shifter 400X dilancarkan di Malaysia – RM23,888

    Selepas dipamerkan beberapa kali sebelum ini, Moda Shifter 400X akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM23,888 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan, iaitu Ninja Black dan Ultra White, dengan jaminan diberi selama dua tahun atau 20,000 km.

    Shifter 400X adalah sebuah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder 333 cc SOHC penyejukan cecair, mampu menghasilkan kuasa maksimum 26.8 hp pada 7,500 rpm dan tork 33.5 Nm pada 5,500 rpm. Transmisi menggunakan unit automatik CVT dan kuasa disampaikan kepada roda belakang melalui sistem tali sawat.

    Bahagian roda skuter ini menggunakan rim 14 inci di hadapan, dibalut tayar 120/70 manakala di belakang menggunakan rim 13 inci dengan tayar 150/70. Ia kemudiannya dipegang oleh masing-masing fork teleskopik dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang.

    Brek di kedua-dua roda menggunakan unit cakera dan sistem ABS dual-channel diberikan secara standard. Menambah lagi keselamatannya adalah sistek kawalan cengkaman (boleh ditutup dengan butang di bahagian kanan pemegang).

    Pelbagai kemudahan disediakan melalui skuter ini termasuk soket pengecas 12V, soket pengecas USB, sistem tanpa kunci, ruang simpanan bawah tempat duduk (boleh memuatkan dua helmet), poket barangan serta lampu hadapan LED adaptif.

    Selain ABS, sistem keselamatan turut dibantu oleh kawalan cengkaman, manakala informasi penting dipaparkan melalui meter TFT yang juga boleh disambung kepada telefon pintar dengan aplikasi CarbitRide. Tangki bahan api berkapasiti 13 liter.

     
     
  • Nissan X-Trail T33 dilancarkan di Indonesia – hanya varian e-Power dengan e-4orce, bermula RM205k

    Nissan X-Trail T33 dilancarkan di Indonesia – hanya varian e-Power dengan e-4orce, bermula RM205k

    Selepas Singapura, kini giliran Indonesia pula dalam rantau ASEAN menerima SUV segmen-C Nissan X-Trail generasi ke-empat, iaitu model yang telah membuat penampilan sulungnya di Amerika Syarikat lima tahun lalu. Model yang dikenali dengan kod T33 ini dilancarkan ketika berlangsungnua Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025, ditawarkan hanya dalam varian hibrid e-Power tanpa pilihan enjin petrol penuh, dan masih tampil dengan muka asal, bukan versi facelift 2024.

    Seperti yang diketahui, unit rangkaian kuasa e-Power Nissan merupakan sistem hibrid jenis range extender di mana enjin petrol yang dibekalkan hanya bertugas sebagai generator untuk mengecas bateri, manakala tayar dipacu sepenuhnya oleh motor elektrik seperti sebuah EV sebenar. X-Trail e-Power ini datang dengan sistem pacuan semua roda e-4orce, jadi SUV ini menerima dua motor elektrik.

    Gandar hadapan dipacu oleh motor elektrik berkuasa 203 PS dan tork maksima 330 Nm, manakala gandar belakang pula dipacu oleh motor elektrik berkuasa 135 PS dan tork maksima 195 Nm. Motor-motor berkenaan menerima kuasa dari bateri litium-ion 1.8 kWj, yang menerima cas menerusi enjin 1.5 liter KR15DDT tiga-silinder turbo dengan teknologi nisbah mampatan bervariasi (VC-Turbo), menghasilkan kuasa 158 PS/250 Nm.

    Nissan X-Trail T33 dilancarkan di Indonesia – hanya varian e-Power dengan e-4orce, bermula RM205k

    Lima mod pemanduan diberikan pada unit rangkaian kuasa e-Power pada X-Trail ini termasuk Off-road, Snow, Auto, Eco dan Sport, yang turut berinteraksi dengan sistem e-4orce untuk mengagihkan tork secara tepat pada gandar hadapan dan belakang bergantung pada mod yang dipilih. Ia juga diberikan mod pemanduan satu pedal, membolehkan ia bergerak dan berhenti dengan kawalan hanya pada pedal pendikit.

    Antara perincian yang diberikan pada model pasaran Indonesia ini termasuk rim aloi 19-inci, penutup aliran udara pada gril hadapan aktif dan bumbung suria panaromik kawalan elektronik. Ia juga diberikan skrin sesentuh 12.3-inci untuk sistem infotainmen yang menerima sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, disambungkan kepada sistem bunyi premium Bose dengan sembilan pembesar suara.

    Pemandu pula diberikan paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.3-inci, paparan head up 10.8-inci yang dipancarkan ke cermin hadapan, roda stereng dan tombol gear balutan kulit.

    Nissan X-Trail T33 dilancarkan di Indonesia – hanya varian e-Power dengan e-4orce, bermula RM205k

    Tujuh tempat duduk X-Trail ini disusun dengan konfigurasi 2-2-3, di mana tempat duduk baris ketiga boleh dilipat sepenuhnya ke dalam lantai bagi membolehkan ruang kargo belakang disediakan dengan kapasiti 485 liter. Kedua-dua tempat duduk paling hadapan boleh dilaras secara elektrik dalam 10-hala dengan larasan lumbar.

    Selain itu kabin X-Trail ini menerima upholsteri kulit berwarna hitam, sistem pendingin hawa tiga-zon, lampu suasana kabin, cermin pandang belakang auto-malap, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta port-port pengecas USB-A dan USB-C.

    Bagi keselamatan pula, X-Trail ini menerima enam-beg udara, kawalan menurun bukit, bantuan mula mendaki, kamera pemantau sekeliling dengan pengesan objek dan sistem pemantau tekanan angin tayar.

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri dari fungsi amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, cruise control pintar, amaran keluar lorong, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, sistem kewaspadaan pemandu pintar dan bantuan lampu tinggi.

    Nissan X-Trail e-Power dengan e-4orce 2025 pasaran Indonesia ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna badan iaitu Diamond Black, Dark Metal Grey, Brilliant Silver, Champagne Silver, White Pearl, Milky Grey, Diamond Red dan Caspian Blue. Khas untuk warna White Pearl, Caspian Blue, Champagne Silver dan Ceramic Grey, ia turut boleh dipilih dengan bumbung berwarna hitam. Ia dijual pada harga Rp795,000,000 atau sekitar RM205k.

    Di Malaysia, Edaran Tan Chong Nissan (ETCM) sudahpun mempertontonkan Nissan X-Trail generasi keempat ini ketika berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2024 pada Disember lalu. Unit yang ditunjukkan tersebut masih dibalut dengan pelekat penyamaran, dan ia dibawa dari Singapura juga dalam versi e-Power dengan e-4orce. Namun ETCM masih belum mengumumkan bila ianya akan dilancarkan di sini.

     
     
  • Program Blackspot berjaya kurangkan hingga 60% kemalangan jalan raya; RM37j bagi tahun ini – KKR

    Program Blackspot berjaya kurangkan hingga 60% kemalangan jalan raya; RM37j bagi tahun ini – KKR

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan bahawa program Blackspot iaitu inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) bagi mengurangkan kadar kemalangan di lokasi berisiko tinggi berjaya mengurangkan 25% hingga 60% kemalangan jalan raya.

    Jelasnya, program itu dilaksanakan berdasarkan analisis data kemalangan yang dikumpul daripada pelbagai agensi berkaitan, laporan Bernama.

    “Program ini terbukti berkesan apabila berjaya mencatatkan penurunan purata kadar kemalangan antara 25% hingga 60%, sekali gus menyelamatkan nyawa dan harta, meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya secara signifikan,” katanya.

    Program Blackspot berjaya kurangkan hingga 60% kemalangan jalan raya; RM37j bagi tahun ini – KKR

    Nanta berkata, kerajaan memperuntukkan RM37 juta bagi melaksanakan Program Blackspot Fasa 1 dan 2 pada tahun ini. Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM27.1 juta sudah dibelanjakan bagi 76 kerja pembaikan di Kedah, Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Johor, Perlis, Melaka dan Pahang.

    “Kita sudah laksanakan 76 kerja pembaikan di kawasan blackspot tetapi masih banyak lagi kawasan yang ada namun kita utamakan mengikut keperluan yang paling mendesak. Kita buat ini dahulu dan berharap akan dapat peruntukan pada tahun hadapan bagi menyelesaikan kawasan yang belum dilaksanakan,” katanya.

    Pada Jun lalu, Alexander berkata, kementeriannya berhadapan dengan kekangan kewangan setiap tahun untuk baikpulih jalan raya yang mengalami kerosakan kritikal. Menurut beliau, jika ingin membaikpulih jalan raya yang rosak di seluruh negara secara serentak, KKR memerlukan hampir RM4 bilion. namun disebabkan kekangan kewangan, pihaknya menjalankan kerja baikpulih jalan raya secara berperingkat berdasarkan peruntukan sedia ada.

     
     
  • 16 laluan di sekitar ibu kota dijangka dilencongkan susulan Himpunan #TurunAnwar esok – Polis KL

    16 laluan di sekitar ibu kota dijangka dilencongkan susulan Himpunan #TurunAnwar esok – Polis KL

    Seperti yang diketahui umum, esok, 26 Julai 2025, bakal berlangsungnya Perhimpunan #TurunAnwar di Dataran Merdeka. Para peserta dijangka akan berkumpul di lima lokasi terpilih iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks membeli-belah Sogo, sebelum berarak ke Dataran Merdeka.

    Sehubungan itu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad mengumumkan bahawa pihaknya dijangka akan melaksanakan lencongan trafik yang melibatkan 16 laluan di sekitar ibu kota, walau bagaimana pun ia bergantung kepada situasi dari semasa ke semasa.

    “Beberapa lencongan kenderaan akan diaktifkan sekiranya keadaan memerlukan demi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    16 laluan di sekitar ibu kota dijangka dilencongkan susulan Himpunan #TurunAnwar esok – Polis KL

    Antara laluan yang dijangka terlibat dengan pelaksanaan lencongan adalah Jalan Maharajalela susur ke Jalan Syed Putra, Jalan Kinabalu /pusingan-U Public Bank, Bulatan Sultan Mohamad. Ia turut melibatkan Jalan Kinabalu susur ke Terowong Bukit Aman Jalan Kinabalu / susur ke Bulatan Dato’ Onn, atas Bulatan Dato’ Onn (kiri dan kanan) serta Bulatan Dato’ Onn (Dari arah Jalan Parlimen).

    Selain itu, laluan lain yang terlibat termasuklah Jalan Sultan Salahuddin /Bulatan Dato’ Onn, Jalan Kuching /Susur ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Kinabalu (dari arah Bulatan Segambut ke arah Bulatan Dato’ Onn), Jalan Kinabalu (dari arah Masjid Negara ke arah Bulatan Dato’ Onn), Jalan Lebuh Pasar Besar/Jalan Hang Kasturi, Jalan Hishamudin /Jalan Raja, Jalan Parlimen /Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman /Jalan Tun Perak dan Jalan Lebuh Ampang /Jalan Tun Perak.

    Sehubungan itu, beliau turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas dan menggunakan pengangkutan awam bagi meminimumkan kesesakan di pusat bandar.

    16 laluan di sekitar ibu kota dijangka dilencongkan susulan Himpunan #TurunAnwar esok – Polis KL

    “Orang ramai perlu mematuhi arahan-arahan anggota polis Trafik bertugas di lokasi. Kerjasama dan keprihatinan semua pihak amat dihargai demi menjaga ketenteraman dan keselamatan bersama. Jika mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat, boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Balai PolisTrafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

    Bagi yang menyertai perhimpunan terbabit, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menasihati anda agar sentiasa peka dengan peraturan ditetapkan, sekali gus memastikan ketenteraman dan keselamatan terpelihara. Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai kerjasama semua pihak dalam menjamin suasana harmoni dapat dikekalkan sepanjang tempoh himpunan berlangsung.

    “PDRM komited menjadi pemudah cara bagi memastikan perhimpunan terbabit berjalan dengan lancar, selamat dan menghormati ruang awam yang dikongsi bersama,”katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Anda juga disarankan menggunakan pengangkutan awam terutamanya perkhidmatan rel yang disediakan oleh KTMB dan Prasarana termasuk LRT, MRT, Monorel dan Komuter. Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mengarahkan semua stesen KTMB dan Prasarana beroperasi seperti biasa esok.

     
     
  • Semua pengangkutan awam termasuk stesen KTMB, Prasarana diarah terus beroperasi esok – Loke

    Semua pengangkutan awam termasuk stesen KTMB, Prasarana diarah terus beroperasi esok – Loke

    Mungkin ada di antara anda yang merancang untuk berjalan-jalan di sekitar ibu kota KL esok, atau pun yang ingin menyertai perhimpunan #TurunAnwar yang dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, pengangkutan paling afdal untuk digunakan ialah perkhidmatan awam.

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau telah mengarahkan semua pengangkutan awam termasuk stesen-stesen keretapi KTMB and Prasarana untuk terus beroperasi seperti biasa esok, 26 Julai 2025.

    “Kerajaan Madani mempertahankan hak kebebasan berhimpun, termasuk mereka yang tidak sehaluan dengan Kerajaan. Kita tidak boleh kembali kepada zaman yang menindas demokrasi sehingga Parlimen pun ditutup. Yang lebih penting, pengangkutan awam kita harus terus berfungsi agar majoriti rakyat boleh menjalankan urusan hujung minggu tanpa diganggu oleh perhimpunan pembangkang.

    “Bagi mereka yang akan datang ke ibu kota, jangan lupa Pas MY50 kini boleh diperbaharui secara atas talian melalui aplikasi Touch N’ Go. Setiap pas bernilai RM150, pengguna hanya bayar RM50, kerajaan subsidikan RM100. Bagi yang datang ke ibu kota buat pertama kali, boleh menikmati perkhidmatan LRT, MRT, BRT, Monorel dan RapidBas tanpa had untuk sehari menggunakan MyCity Pass yang harganya hanya RM6. Pass ini akan kita digitalkan juga pada hujung tahun,” katanya seperti yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya.

    Beliau turut menambah, para peserta perhimpunan esok digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam supaya kesesakan lalu lintas di ibu kota dapat diminimakan.

    Sebelum ini, terdapat ura-ura mengatakan bahawa KTMB bakal menutup Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur dari jam 9 pagi hingga 5 petang esok dan perkhidmatan tren Komuter tidak akan berhenti di kedua-dua stesen berkenaan. Walau bagaimana pun, KTMB kemudiannya mengesahkan perkhidmatan tren kendaliannya termasuk Komuter dan ETS akan beroperasi seperti biasa seperti yang disarankan oleh Loke.

     
     
  • Subaru Forester 2025 dilancarkan di Indonesia – hanya satu varian 2.5L NA 185 PS, ADAS, harga dari RM190k

    Subaru Forester 2025 dilancarkan di Indonesia – hanya satu varian 2.5L NA 185 PS, ADAS, harga dari RM190k

    Subaru Forester generasi keenam kini dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia dan ditawarkan dalam satu varian iaitu 2.5i-S EyeSight. SUV ini dijual pada harga 735.5 juta rupiah, bersamaan kira-kira RM190,000, namun sempena promosi di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS), ia ditawarkan pada harga pengenalan yang lebih rendah iaitu 695.5 juta rupiah (RM180,000).

    Forester baru yang pertama kali didedahkan pada November 2023 ini berada di tengah-tengah segmennya jika melihat kepada harga. Ia lebih mahal berbanding Mazda CX-5 yang bermula dari 647.7 juta rupiah (RM167,000), tetapi masih lebih murah daripada Honda HR-V yang dijual dari 759 juta rupiah (RM196,000).

    Dari sudut spesifikasi, Subaru Forester 2.5i-S hadir dengan enjin boxer petrol empat silinder 2.5 liter tanpa turbo yang menghasilkan 185 PS (182 hp atau 136 kW) pada 5,800 rpm dan tork maksimum 247 Nm pada 3,700 rpm. Kuasa disalurkan menerusi kotak gear CVT Lineartronic dan sistem pacuan semua roda (AWD). Pecutan dari 0 hingga 100 km/j dicapai dalam masa 9.7 saat, manakala kelajuan maksimum mencecah 205 km/j.

    Antara kelengkapan standard yang ditawarkan termasuk rim aloi 18 inci, lampu utama LED, rel bumbung, pintu but belakang berkuasa dengan fungsi bebas tangan, tempat duduk pemandu larasan kuasa, bumbung kaca boleh laras, pengecas tanpa wayar dan sistem X-Mode dwifungsi. Ia juga dilengkapi Subaru Intelligent Drive (SI-Drive) serta skrin infotainmen bersaiz 11.6 inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay secara tanpa wayar.

    Dari aspek keselamatan dan bantuan pemandu, Subaru memberikan teknologi EyeSight yang merangkumi kamera stereo, kamera monokular sudut lebar dan penderia radar. Antara sistem bantuan pemandu lain termasuk lampu membelok LED, lampu utama adaptif mengikut arah stereng, amaran lintasan trafik belakang, kamera pandangan pelbagai sudut, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, bantuan lampu tinggi, pencegahan keluar lorong, stereng automatik kecemasan, kawalan jelajah adaptif, amaran pergerakan kenderaan hadapan, kawalan kekal lorong dan pengurusan pendikit sebelum pelanggaran.

    Pembeli boleh memilih daripada enam warna luaran iaitu Crystal White Pearl, Crystal Black Silica, Daybreak Blue Pearl, Autumn Green Metallic, Brilliant Bronze Metallic dan River Rock Pearl. Tempat duduk balutan kulit adalah ciri standard dengan pilihan warna hitam atau coklat. Namun, pilihan kulit berwarna coklat hanya tersedia jika Forester dipilih dalam warna luaran Crystal Black Silica atau Brilliant Bronze Metallic.

     
     
  • Geely Galaxy E5/EX5 2026 – kembar eMas 7 dapat bateri lebih besar, jarak gerak CLTC sehingga 610 km

    Geely Galaxy E5/EX5 2026 – kembar eMas 7 dapat bateri lebih besar, jarak gerak CLTC sehingga 610 km

    Selepas hampir satu tahun dilancarkan di China, Geely Galaxy E5 menerima kemas kini untuk model tahun 2026. Perubahan paling ketara bagi versi baru ini adalah penggunaan bateri lebih besar, berkapasiti 68.39 kWh jenis lithium iron phosphate (LFP) “short blade” Aegis, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 610 km mengikut kitaran CLTC. Namun dalam situasi pemanduan dunia sebenar, anggaran jarak yang lebih realistik adalah sekitar 500 kilometer.

    Menariknya, varian bateri 60.22 kWh sebelum ini yang ditawarkan sebagai pilihan model jarak jauh kini menjadi pilihan asas. Bateri ini masih mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 530 kilometer (CLTC), atau sekitar 410 kilometer berdasarkan piawaian WLTP seperti kembarnya, Proton eMas 7. Sementara itu, bateri paling kecil sebelum ini iaitu 49.52 kWh yang mampu mencatat jarak 440 kilometer (CLTC) atau 345 kilometer (WLTP) telah dikeluarkan daripada pilihan.

    Kedua-dua varian bateri menyokong pengecasan pantas DC dari 30% ke 80% dalam masa hanya 20 minit. Ini memberikan petunjuk bahawa kapasiti pengecasan bagi bateri 68.39 kWh telah dipertingkatkan berbanding kadar pengecasan 100 kW pada bateri 60.22 kWh. Menurut laman Autohome, fungsi Vehicle-to-Load (V2L) juga telah dipertingkatkan dari 3.3 kW kepada 6.6 kW, memberikan lebih banyak fleksibiliti untuk penggunaan tenaga luaran.

    Geely Galaxy E5/EX5 2026 – kembar eMas 7 dapat bateri lebih besar, jarak gerak CLTC sehingga 610 km

    Walaupun menerima kemas kini bateri, sistem penggerak Galaxy E5 tidak mengalami perubahan. Ia masih dipacu oleh satu motor elektrik di hadapan dengan kuasa maksimum 218 PS (160 kW) dan tork 320 Nm. Pecutan dari 0 ke 100 km/j dicapai dalam masa 6.9 saat, dan kelajuan maksimum mencecah 180 km/j.

    Sebagai tambahan kepada peningkatan teknikal, dua warna baru turut diperkenalkan untuk model ini, iaitu Evening Forest Green dan Dawn Blue. Warna ini menyertai pilihan sedia ada seperti Dawn White, Midnight Black, Evening Cherry Pink, Sky Green, Morning Mist Gray dan Streamer Silver.

    Menariknya, kemas kini bateri ini tidak melibatkan sebarang peningkatan harga. Galaxy E5 masih ditawarkan pada harga antara 109,800 yuan (sekitar RM64,600) hingga 145,800 yuan (sekitar RM85,800). Persoalan yang timbul sekarang adakah Proton eMas 7 juga bakal menerima peningkatan bateri ini. Kemungkinannya adalah besar, terutama sekali dengan perancangan untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) SUV elektrik ini di Tanjung Malim menjelang hujung tahun.

     
     
  • Kia EV4 sedan buat penampilan di GIIAS 2025 – FWD 204 PS, bateri 81.4 kWh, jarak gerak sehingga 630 km

    Kia EV4 sedan buat penampilan di GIIAS 2025 – FWD 204 PS, bateri 81.4 kWh, jarak gerak sehingga 630 km

    Kia EV4 dipertontonkan secara rasmi di Pameran Motor Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2025 selepas membuat penampilan sulung global pada Februari lalu. Model yang dipamerkan di Indonesia ini hadir dalam bentuk sedan, salah satu daripada dua varian bentuk badan yang ditawarkan, selain versi hatchback.

    EV4 menggunakan sistem binaan elektrik 400 volt yang sama seperti model EV3 dan EV5. Ia berbeza daripada platform E-GMP Kia yang menyokong sistem 800 volt, seperti pada model-model premium jenama itu.

    Terdapat dua pilihan bateri untuk Kia EV4. Varian asas hadir dengan bateri 58.3 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 430 kilometer mengikut piawaian WLTP. Sementara itu, varian Long Range menawarkan kapasiti bateri lebih besar iaitu 81.4 kWh, membolehkan pemanduan sejauh 630 kilometer dengan sekali cas penuh.

    Kia EV4 sedan buat penampilan di GIIAS 2025 – FWD 204 PS, bateri 81.4 kWh, jarak gerak sehingga 630 km

    Kedua-dua versi bateri ini menggunakan penggerak yang sama, iaitu motor tunggal berkuasa 204 PS. Varian asas boleh memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa 7.4 saat, manakala varian Long Range mencatat 7.7 saat. Kelajuan maksimum bagi kedua-dua varian adalah 170 km/j.

    Untuk pengecasan pantas DC, Kia EV4 boleh menerima sehingga 305 kW. Pengecasan dari 10% ke 80% mengambil masa sekitar 29 minit bagi varian asas dan 31 minit untuk varian Long Range. Bagi pengecasan AC, ia menyokong sehingga 11 kW, dengan tempoh pengecasan penuh dari 10% ke 100% mengambil masa kira-kira lima jam 20 minit untuk bateri kecil dan tujuh jam 15 minit untuk bateri lebih besar.

    Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) disokong pada kadar 3.6 kW, manakala Vehicle-to-Grid (V2G) mampu menyokong sehingga 10 kW, memberikan lebih fleksibiliti daripada aspek penggunaan tenaga.

    Melihat kepada saiz, Kia EV4 versi sedan mempunyai panjang 4,730 mm, lebar 1,860 mm dan tinggi 1,480 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,820 mm. Model pameran di GIIAS dilengkapi rim aloi 19 inci bersama tayar bersaiz 215/50R19. Ruang but belakang pula berkapasiti 490 liter.

    Bahagian dalam kabin menampilkan susunan skrin digital dalam satu panel yang merangkumi panel instrumen 12.3 inci, skrin infotainmen 12.3 inci serta skrin kawalan pendingin hawa bersaiz 5.3 inci. Menurut laporan media tempatan di Indonesia, EV4 sedan turut dilengkapi sistem audio Harman Kardon, serta tempat duduk hadapan dengan fungsi santai, pengudaraan, pemanas dan memori.

    Dari aspek keselamatan dan bantuan pemandu, EV4 dibekalkan dengan sistem Highway Driving Assist 2, Driver Attention Warning, Forward Collision Avoidance Assist 2, Lane Following Assist 2, Intelligent Speed Limit Assist dan Remote Parking Assist Entry. Ia juga dilengkapi teknologi i-Pedal 3.0 yang menyokong fungsi brek regeneratif pintar adaptif di semua tahap, termasuk ketika kenderaan bergerak ke belakang.

     
     
  • Mitsubishi dakwa 5 mod pemanduan pada Destinator diwarisi dari Lancer Evolution VII dan teknologi WRC

    Minggu ini Mitsubishi baru sahaja melancarkan SUV tujuh-tempat duduk baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran ASEAN iaitu Mitsubishi Destinator. Dalam video yang baharu sahaja disiarkan menerusi saluran YouTube rasmi Mitsubishi Motors, lima mod pemanduan yang diberikan pada SUV ini sebenarnya diwarisi dari kereta rali jalan raya yang pernah dijual oleh jenama berkenaan iaitu Mitsubishi Lancer Evolution VII dan pengetahuannya ketika bertanding dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) satu ketika dahulu.

    Lima mod pemanduan tersebut adalah Normal, Wet, Gravel, Tarmac dan juga Mud – ketika dilancarkan pada 2001, Lancer Evolution VII merupakan Evo pertama yang diberikan mod pemanduan Gravel, Tarmac dan Snow. Mod-mod ini boleh dipilih menerusi suis khas yang diletakkan berhampiran dengan tombol gear.

    Untuk mod Normal, penghantaran tork dari enjin ke roda dioptimakan untuk pemanduan di atas permukaan tar yang kering, di mana ia diseimbangkan antara prestasi dan penggunaan bahan api yang efisien. Manakala untuk mod Wet, ia didakwa memberikan cengkaman yang tinggi pada permukaan jalan basah atau jalan yang dibanjiri air, serta memberikan kawalan yang tepat menerusi respon pada pedal pendikit.

    Mitsubishi dakwa 5 mod pemanduan pada Destinator diwarisi dari Lancer Evolution VII dan teknologi WRC

    Mod Gravel pula didakwa lahir dari permukaan jalan yang mencabar dalam perlumbaan WRC. Mod ini akan memberikan cengkaman yang stabil pada permukaan kering dan tidak ditar bersama batu-batu kecil. Mod Tarmac pula memberikan cengkaman paling tinggi pada permukaan jalan tar untuk memecut dan memberikan pengendalian stereng terbaik, terutama nya ketika meredah selekoh tajam.

    Untuk mod Mud pula, ia direka untuk permukaan lecak di mana ia akan mengurangkan tayar tergelincir dan meningkatkan cengkaman.

    Walau bagaimanapun Destinator hanyalah sebuah SUV pacuan roda hadapan di mana agihan tork antara roda kiri dan kanan dikawal oleh sistem Active Yaw Controller (AYC) berdasarkan mod-mod pemanduan yang dipilih. Manakala pada Lancer Evolution dengan sistem pacuan semua roda, kesemua mod pemanduan turut membabitkan agihan tork antara gandar hadapan dan belakang menerusi Active Center Differential (ACD).

    Mitsubishi Destinator masih dibina berdasarkan platform yang sama seperti MPV Xpander dan SUV lima-tempat duduk Xforce. Namun ia dijana oleh enjin 4B40 1.5 liter MIVEC Turbo yang lebih berkuasa menghasilkan 163 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 2,500 hingga 4,000 rpm. Lebih perincian berkenaan Mitsubishi Destinator boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Tiada sebarang keputusan berkenaan tol percuma untuk musim perayaan tahun depan – Menteri KKR

    Tiada sebarang keputusan berkenaan tol percuma untuk musim perayaan tahun depan – Menteri KKR

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa buat masa ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berkenaan pemberian tol percuma bersempena musim perayaan untuk tahun depan, laporan Berita Harian.

    Menurut beliau, dalam mesyuarat Kabinet 2024, beliau memutuskan menghentikan pemberian tol percuma pada tahun ini tetapi dilonggarkan untuk tahun ini.

    “Jadi belum lagi dibincang sama ada tahun depan akan ada lagi tol percuma musim perayaan atau tidak. (Sekarang ini) belum masanya lagi untuk kita buat kertas Kabinet,” katanya.

    Pada Januari lalu, kerajaan mengambil keputusan untuk menamatkan pemberian tol percuma bersempena dengan musim perayaan seperti yang dilaksanakan sebelum ini. Di mana perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat kabinet tahun lalu dan Krismas 2024 menjadi musim perayaan terakhir dengan pemberian tol percuma itu.

    Kemudian, Timbalan Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata, keputusan untuk menamatkan pengecualian tol di lebuhraya semasa musim perayaan belum muktamad dan mungkin masih disemak semula.

    Tiada sebarang keputusan berkenaan tol percuma untuk musim perayaan tahun depan – Menteri KKR

    Berkenaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat keputusan mengekalkan kadar tol membabitkan 10 konsesi lebuh raya baru-baru ini, Alexander berkata beliau berharap agar pihak konsesi lebuhraya yang terlibat faham akan objektif Kerajaan Madani yang membuat keputusan sedemikian.

    “Jika sebagai model perniagaan memang mereka tidak suka sebab (kenaikan) ditangguhkan kerana dari awal apabila membuat cadangan perniagaan sudah diambil kira sekali aliran tunai. Kita faham dan ini memang tidak dinafikan mengganggu aliran tunai mereka tetapi saya harap mereka faham kenapa kerajaan buat keputusan seperti ini.

    “Yang pertama adalah untuk ringankan beban pengguna jalan raya terutama golongan B40. Jadi saya berterima kasih atas kerjasama syarikat konsesi ini,” katanya.

    Antara lebuhraya yang terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

     
     
  • VinFast VF7 2025 dilancar di Indonesia – SUV EV segmen-C; 354 PS, jarak gerak 417 km; dari RM129k

    VinFast VF7 2025 dilancar di Indonesia – SUV EV segmen-C; 354 PS, jarak gerak 417 km; dari RM129k

    VinFast VF7 telah pun dilancarkan menerusi acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) yang sedang berlangsung. SUV elektrik yang diposisikan di bawah segmen-C ini pertama kali diperkenalkan di peringkat globat di Consumer Electronics Show (CES) 2022. Dengan penawaran dua varian untuk pasaran Indonesia, VF7 menyertai barisan model VinFast yang telah dilancarkan sebelum ini iaitu VF6, VF5, VF3 dan VF e34.

    Barisan VF7 bermula dengan varian Eco yang berharga 499 juta rupiah (sekitar RM129k), diikuti dengan Plus dengan harga 599 juta rupiah (RM155k). Sebagai sebahagian daripada promo pembelian awal, kedua-duanya ditawarkan dengan diskaun sehingga 31 juta (RM8k), yang diberikan untuk 200 pelanggan pertama saja dengan penghantarannya bermula 1 September ini.

    Dari segi spesifikasi, varian Eco dilengkapi dengan motor elektrik hadapan yang menjana 177 PS (174 hp atau 130 kW) dan 250 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 10 saat. Kuasa motor ini dibekalkan oleh bateri berkapasiti 59.6 kWh yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 430 km mengikut piawaian NEDC.

    Sementara itu, varian Plus hadir dengan tetapan pacuan semua roda dwi-motor yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 354 PS (349 hp atau 260 kW) dan 500 Nm, yang secara ketara mengurangkan masa pecutan 0-100 km/j kepada hanya 5.8 saat. Varian tertinggi ini dilengkapi dengan bateri 70.8 kWh, iaitu sedikit lebih rendah berbanding kapasiti tenaga bagi varian VF7 AWD Plus yang dijual di Vietnam (75.6 kWh di sana). Oleh itu, jarak pemanduan mengikut standard NEDC sekitar 471 km berbanding 496 km.

    Walau bagaimana pun spesifikasi lengkap masih belum dipaparkan di laman web rasmi VinFast Indonesia, namun berdasarkan laporan media tempatan, VF7 ditawarkan dengan tujuh beg udara, skrin sentuh infotainmen bersaiz 12.9-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, kawalan suhu dua zon, paparan head-up serta pintu but belakang berkuasa.

    Varian Plus pula hadir dengan pakej ADAS yang menyeluruh, termasuk kawalan kelajuan adaptif, pemantauan keletihan pemandu, lampu tinggi automatik, pemantauan titik buta, kamera 360-darjah, amaran lintasan trafik belakang, bantuan parkir belakang, bantuan pertukaran lorong, brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong serta kawalan pemusatan lorong.

    VF7 berukuran 4,545 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,636 mm tinggi dengan jarak antara roda sepanjang 2,840 mm serta kelegaan tanah 190 mm (satu angka penting untuk pasaran Indonesia). Lima warna luaran dan dua tema dalaman ditawarkan, dengan varian Plus menampilkan palet dalaman dwi tona.

     
     
  • Lepas bertapak di Indonesia secara rasmi – satu lagi sub-jenama dari Chery, SUV L8, L6, L4 akan dilancar

    Lepas bertapak di Indonesia secara rasmi – satu lagi sub-jenama dari Chery, SUV L8, L6, L4 akan dilancar

    Selepas dilancarkan pada peringkat global di China April lalu, satu lagi sub-jenama dari Chery iaitu Lepas secara rasminya kini bertapak di Indonesia menerusi penampilan pertama di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2025 yang sedang berlangsung minggu ini.

    Lepas bermaksud “Leap” dan “Passion”, dan ia turut merujuk kepada asas rekaan luaran barisan model jenama ini iaitu “Leopard Aesthetic” atau estetika harimau bintang. Jenama ini masih lagi akan menggunakan asas platform dan pilihan unit rangkaian kuasa yang sama dengan siri atau sub-jenama Chery yang lain termasuk Tiggo, Jaecoo dan Omoda, namun tampil dengan gaya dan bahasa rekaan yang lebih tersendiri.

    Tiga SUV jenama Lepas yang muncul di China April lalu iaitu L8, L6 dan L4 sekali lagi di bawa ke pelancaran jenama ini di Indonesia. Antara tiga model tersebut, L8 disahkan akan menjadi model pertama Lepas untuk dijual di Indonesia kelak.

    Lepas L8 merupakan SUV segmen-D yang diasaskan dari platform sama seperti Chery Tiggo 8. Ia menampilkan dimensi 4,688 mm panjang, 1,860 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak roda 2,800 mm. Menurut laporan media-media Indonesia, Lepas L8 untuk pasaran negara itu akan ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa “Super Hybrid System”, merujuk kepada sistem Chery Super Hybrid (CSH) yang tampil bukan sahaja dengan sistem hibrid biasa, malah ada juga pilihan sistem plug-in hybrid (PHEV).

    Selepas L8, Lepas L6 akan menyusul sebagai SUV segmen-D dan diikuti Lepas L4 sebagai model paling kompak disasarkan untuk pembeli SUV segmen-A. Walau bagaimanapun garis masa bila model-model ini akan dilancarkan masih belum diumumkan, malah unit-unit yang ditayangkan masih dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).

    Sesuai dengan namanya, kesemua model dengan jenama Lepas ini akan menerima lampu rekaan siang yang nipis bersama grafik LED yang kelihatan seperti mata harimau bintang yang sedang menumpukan pandangan terhadap sesuatu.

    Selain itu, bahagian sisi model-model Lepas ini juga akan tampil dengan tiga garis lengkung utama yang diambil dari otot-otot lengan kaki hadapan dan paha belakang serta bahagian bawah perut seekor harimau bintang. Dan permukaan badan model-model lepas ini nampak licin dan ringkas serta melengkung dengan inspirasi diambil dari barangan tembikar.

    Manakala pada bahagian dalaman, setiap model-model Lepas ini akan diberikan papan pemuka ringkas dengan rekaan asas diinpirasikan dari latar langit bumi, dan disertakan dengan konsol tengah yang bersepadu dengan skrin tengah utama dalam posisi potret serta dicondongkan seakan air terjun yang mengalir ke bawah.

    Sementara pada pintu dan papan pemuka, Lepas akan memberikan balutan fabrik yang tidak pernah ada pada mana-mana jenama sebelum ini, menampilkan tekstur seakan kulit bayi.

    GALERI: Lepas L8

    GALERI: Lepas L6

    GALERI: Lepas L4

     
     
  • DBKL percepat proses lupus kenderaan tak dituntut melalui pewartaan – 1,009 aduan dari Jan-Mei 2025

    DBKL percepat proses lupus kenderaan tak dituntut melalui pewartaan – 1,009 aduan dari Jan-Mei 2025

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempercepatkan proses pelupusan untuk kenderaan buruk atau terbiar di ibu negara yang tidak dituntut melalui pewartaan. Ia merupakan salah satu langkah penambahbaikan sistematik yang sedang diambil, ujar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

    Namun, katanya, proses pewartaan ini memerlukan masa kerana DBKL perlu memastikan pemilik atau waris benar-benar tidak akan menuntut kembali kenderaan sebelum dilupuskan atas dasar menjaga kepentingan hak milik.

    “Sehubungan itu, penyelesaian sebenar adalah apabila semua pemilik kenderaan buruk atau terbiar memainkan peranan masing-masing dalam melupuskan kenderaan mereka sendiri,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Tambah beliau, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum ini telah memperkenalkan satu kemudahan baharu dikenali sebagai sistem eDereg. Di mana sistem itu membolehkan pemilik membatalkan pendaftaran kenderaan atas talian melalui platform digital JPJ, dan seterusnya menghantar kenderaan itu ke Kemudahan Rawatan Automatif Berlesen (AATF) yang berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar.

    “Sistem ini memudahkan proses kerana pemilik tidak perlu hadir di pejabat JPJ. Tambahan pula AATF akan menanggung kos angkut dan pelupusan. Proses ini akan selesai dalam masa kurang daripada sejam. Pemilik juga akan dibayar saguhati berdasarkan keadaan kenderaan. Saguhati yang diterima boleh digunakan kembali untuk membayar saman tertunggak sekiranya ada,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, DBKL menerima 1,009 aduan awam berkaitan kenderaan buruk atau terbiar di kawasan Parlimen ibu negara setakat Januari hingga Mei lalu. Dimana daripada jumlah itu, katanya, 992 aduan berjaya diselesaikan manakala bakinya masih dalam siasatan dan proses tindakan lanjut.

    Jelasnya, aduan berkenaan datang dari semua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur, dengan jumlah tertinggi direkodkan di Segambut sebanyak 163, diikuti Seputeh (143) dan Setiawangsa (113).

    “Bagi kawasan Bukit Bintang, sebanyak 81 aduan diterima dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Jabatan Penguatkuasaan DBKL mempunyai tiga depoh khas dengan kapasiti keseluruhan 3,100 kenderaan. Setakat ini, ia menempatkan 1,945 kenderaan.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 1,504 kenderaan ditempatkan di Depoh Taman Connaught yang berkapasiti 1,600 kenderaan,” katanya di Dewan Rakyat semalam. Ia adalah bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang ingin tahu jumlah kenderaan buruk atau terbiar yang dikenalpasti dan dilaporkan di DBKL untuk tahun ini.

     
     
  • Toyota Urban Cruiser EV di GIIAS 2025 – kembar eVitara dengan pilihan FWD, AWD, jarak gerak 400 km

    Toyota Urban Cruiser EV di GIIAS 2025 – kembar eVitara dengan pilihan FWD, AWD, jarak gerak 400 km

    Toyota Urban Cruiser EV secara rasmi dipamerkan kepada umum di Pameran Auto Antarabangsa Gaikindo Indonesia (GIIAS) 2025. Model ini merupakan SUV elektrik kompak terbaru Toyota dan berkongsi asas dengan Suzuki eVitara, sekaligus meletakkannya dalam saingan segmen yang sama dengan model seperti Volvo EX40 (sebelum ini dikenali sebagai XC40 Recharge), Peugeot e-3008, Hyundai Kona dan MINI Aceman.

    Melihat kepada dimensi, Urban Cruiser EV mencatat ukuran panjang 4,285 mm, lebar 1,800 mm dan tinggi 1,640 mm, dengan jarak roda 2,700 mm. Ini menjadikannya lebih kecil berbanding Toyota bZ4X, tetapi besar sedikit daripada Yaris Cross. Perkongsian platform dengan eVitara turut bermaksud sistem janaan kuasa yang sama digunakan.

    Tiga pilihan penggerak ditawarkan, bermula dengan varian asas yang menggunakan motor elektrik tunggal berkuasa 144 PS dan 189 Nm, memacu roda hadapan dan menerima tenaga daripada bateri 49 kWh. Satu lagi varian pacuan hadapan (FWD) menghasilkan 174 PS dan 189 Nm, dengan bateri 61 kWh, manakala versi paling berkuasa adalah pacuan semua roda (AWD), yang menggunakan dua motor – termasuk satu motor 65 PS di gandar belakang – menghasilkan jumlah kuasa 184 PS dan 300 Nm, juga dipadankan dengan bateri 61 kWh.

    Toyota Urban Cruiser EV di GIIAS 2025 – kembar eVitara dengan pilihan FWD, AWD, jarak gerak 400 km

    Menurut laporan dari portal Detik Oto, Urban Cruiser EV dengan konfigurasi FWD dan bateri 61 kWh mampu memberi jarak gerak maksimum 400 km, manakala versi asas dengan bateri 49 kWh pula menawarkan 300 km. Versi AWD mampu mencapai sekitar 350 km. Dari segi pengecasan, maklumat awal dari pasaran UK menyatakan model ini boleh menerima pengecasan pantas sehingga 150 kW, bergantung pada varian.

    Rekaan luar Urban Cruiser menampilkan gaya muka “Hammerhead” seperti yang dilihat pada model baru Toyota Camry. Ciri-ciri seperti kemasan plastik hitam pada lengkung roda dan bahagian bawah badan memberikan rupa SUV lasak, manakala rim bersaiz antara 18 hingga 19 inci hadir dengan penutup aerodinamik. Saiz kompaknya turut menyumbang kepada radius pusingan yang kecil, sekitar 5.2 meter.

    Dengan jarak roda 140 mm lebih panjang daripada Yaris Cross, ruang kabin Urban Cruiser lebih luas, terutama di barisan kedua. Tempat duduk belakang boleh dilaras ke depan atau belakang dan boleh dilipat dalam konfigurasi 40:20:40, membolehkan ruang kargo diperluas atau memberikan lebih ruang kaki kepada penumpang. Toyota mendakwa ruang dalamannya setara dengan SUV segmen D yang lebih besar.

    Bahagian dalaman Urban Cruiser dilengkapi lampu suasana 12 warna, kamera 360 darjah dan gabungan paparan digital yang terdiri daripada skrin sesentuh tengah 10.1 inci serta panel instrumen digital 10.25 inci. Sambungan kepada telefon pintar juga boleh dibuat menerusi Apple CarPlay dan Android Auto.

    Model pameran di GIIAS 2025 hadir dengan gabungan warna dalaman hitam, coklat dan kelabu, menggunakan kemasan kulit dan fabrik. Di Indonesia, Urban Cruiser EV turut dipamerkan bersama model Toyota bZ4X versi facelift yang diperkenalkan pada Mac lalu. Namun begitu, harga rasmi untuk Urban Cruiser EV masih belum diumumkan buat masa ini di pasaran Indonesia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025