Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda BR-V terima penarafan 5-bintang dari ASEAN NCAP dengan ESC, 72% pematuhan bagi COP

    Screen Shot 2016-04-01 at 9.20.04 AM

    Jika anda tertunggu-tunggu ketibaan Honda BR-V di Malaysia, ada satu perkembangan terkini mengenai model crossover ini berkaitan dengan keselamatan. Hari ini, ASEAN NCAP telah mengeluarkan keputusan ujian bagi BR-V, dan ia boleh dianggap sebagai berita gembira untuk pembeli prospektif.

    Di mana BR-V dengan konfigurasi tujuh- dan lima-tempat duduk (bergantung pada pasaran), telah menerima penarafan lima-bintang, dengan memperoleh 14.79 mata dari 16 mata penuh bagi Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP). Bagi Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) pula, BR-V berupaya mencakupi 72% pematuhan.

    Walau bagaimana pun, bagi mencapai syarat-syarat yang ditetapkan oleh ASEAN NCAP, di mana Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dikehendaki bagi menerima penarafan, crossover terbabit hanya akan menerima dua penarafan sahaja bergantung pada varian yang ditentukan.

    Bagi BR-V yang didatangkan tanpa ESC dan pengingatan tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, penarafan empat-bintang bagi AOP bakal diberikan (dengan jumlah markah masih 14.79). Manakala bagi varian tertinggi BR-V yang dilengkapi dengan teknologi itu pula menerima penarafan lima-bintang bagi AOP. Dua beg udara hadapan, Isofix dan tali penambat teratas (top tether) adalah standard untuk semua varian.

    Screen Shot 2016-04-01 at 9.19.46 AM

    Menurut ASEAN NCAP, BR-V menerima markah yang lebih tinggi berbanding model SUV lain yang diuji iaitu Subaru XV (14.31, lima-bintang), Mitsubishi Pajero Sport (12.08, empat-bintang), Toyota Rush (12.47, empat-bintang) dan Haval M4 (9.64, tiga-bintang).

    Daripada model yang disenaraikan, hanya Rush dan M4 sahaja yang menerima keputusan lebih baik dari BR-V bagi kategori COP dengam pematuhan 82% dan 79%.

    Honda BR-V bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Tidak dinafikan ia memiliki banyak kelebihan termasuk varian spesifikasi tertinggi yang banyak menampilkan pilihan dengan elemen keselamatan. Cuma, apa yang menjadi persoalan, bila ia bakal dilancarkan dan bagaimana dengan harganya.

    GALERI: Honda BR-V ketika dipandu uji di Jepun

     
     
  • Penunggang motosikal dilarang guna lorong laju?

    FW302026_SG14_301013_JELAJAH

    Penunggang motosikal di Malaysia mungkin bakal dilarang menggunakan lorong laju atau memotong di lebuh raya, berdasarkan permintaan dari Kementerian Pengangkutan. Menurut The Sun Daily, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Karpawi, kementeriannya akan membuat permohonan kepada pihak berkuasa lalu lintas untuk menguatkuasakan larangan ini tanpa tertangguh.

    Aziz berkata, penguatkuasaan ini perlu dilakukan memandangkan kadar kemalangan jalan raya di kalangan penunggang motosikal kian membimbangkan. “Penunggang motosikal sepatutnya tidak menggunakan lorong laju atay lorong kanan,” ujarnya kepada pemberita dalam pelancaran kempen keselamatan jalan raya “Visibility Makes a Difference” untuk penunggang motosikal oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya dan Linda Group.

    Turut disebut, satu perbincangan akan dilakukan di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis untuk menentukan implementasi dan penguatkuasaan ini. Mengikut statistik, sejumlah 62% kematian daripada 6,706 kemalangan jalan raya pada tahun 2015 membabitkan penunggang motosikal iaitu sebanyak 4,203 kes. Ia meningkat sebanyak 32 kes berbanding tahun sebelumnya.

    Penunggang motosikal perlu mempertingkatkan lagi tahap keselamatan mereka, ujar Aziz. “Ramai di antara mereka yang kerap melanggar undang-undang jalan raya termasuk melanggar lampu isyarat merah, menunggang laju melebihi had kelajuan, menukar lorong tanpa menggunakan lampu isyarat membelok, memotong kenderaan lain tanpa berhemah, berlumba di jalan raya dan banyak lagi,” ujarnya.

    Satu lagi implementasi yang patut dilaksanakan bagi keselamatan penunggang motosikal ialah mewajibkan pemakaian vest lut sinar. “Penunggang motosikal harus boleh dilihat oleh pengguna jalan raya yang lain. Penglihatan membawakan perbezaan. Pada masa ini, kami sedang melakukan program advokasi untuk menggalakkan mereka memakai vest lut sinar atau jaket yang berwarna terang,” tambah Aziz lagi.

     
     
  • Harga bahan api April 2016: semua melibatkan kenaikan harga, RON 95 kini RM1.70

    RON_95_vs_RON_97_Fuel_Test_Malaysia_ 023

    Selepas beberapa bulan harga bahan api turun, kini ia naik semula. Harga bagi bulan April 2016 melihatkan peningkatan bagi ketiga-tiga bahan api utama iaitu RON 95, RON 97 dan diesel.

    Bagi April ini, RON 95 berharga RM1.70 seliter (menyaksikan kenaikan sebanyak 10 sen berbanding bulan Mac), RON 97 pula RM2.05 seliter (naik 10 sen), diesel RM1.55 seliter (naik 20 sen) dan diesel Euro 5 RM1.65 seliter (naik 20 sen). Seperti sebelum ini, RON 100 Petron Blaze masih RM2.60 seliter.

     
     
  • Video awalan Honda Civic 2016 disiar sebelum pengenalannya di Indonesia minggu hadapan

    Show Who You Really Are

    Posted by HONDAISME on Wednesday, 30 March 2016

    Sebelum ini sebuah Honda Civic 2016 dilihat tanpa apa-apa penyamaran di Indonesia, menandakan sedan segmen-C generasi kesepuluh tersebut akan menerjah pasaran Indonesia tidak lama lagi. Kini, Honda Indonesia telah menyiarkan secara rasmi video awalan Civic baharu tersebut di laman facebook mereka. Model tersebut dijangkakan akan membuat penampilan sulungnya di Indonesia International Motor Show minggu hadapan.

    Video berdurasi 16 saat berkenaan memberikan gambaran awal berkenaan ciri-ciri yang bakal diterapkan pada Civic spesifikasi Indonesia, yang bakal diproduksi oleh kilang Honda di Karawang, bersama CR-V, Mobilio, Jazz, dan lain-lain.

    Antara ciri yang saksikan adalah paparan instrumen TFT LCD, penghawa dingin automatik, sistem kunci pintar dan lampu hadapan LED-penuh. Beberapa babak dalam video tersebut juga mendedahkan roda aloi seiras dengan roda aloi spesifikasi tertinggi di Thailand iaitu Civic Turbo RS.

    Dalam pasaran Thai, Civic ditawarkan dengan pilihan enjin NA 1.8 liter SOHC i-VTEC dan 1.5 liter VTEC Turbo, kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT auto yang menggantikan kotak gear automatik lima-kelajuan torque converter sebelum ini.

    Sejumlah empat varian ditawarkan iaitu 1.8E, 1.8 EL, Turbo dan Turbo RS untuk Civic spesifikasi Thailand. Manakala untuk pasaran Filipina pula, hanya varian 1.8 E dan Turbo RS ditawarkan.

    Mengikut trend tersebut, kami jangkakan Civic spesifikasi Indonesia akan turut sama seperti apa yang terdapat di Thailand dan Filipina, begitu juga untuk pasaran Malaysia kelak. Civic serba baharu ini dikhabarkan akan melakukan penampilan sulungnya di Malaysia sebagai sebuah model pemasangan tempatan yang diproduksi oleh kilang Honda di Pegoh, Melaka. Walau bagaimanapun bila ianya akan dilancarkan masih lagi belum diketahui.

    GALERI: 2016 Honda Civic Turbo RS di Bangkok International Motor Show

     
     
  • Tun Mahathir letak jawatan sebagai pengerusi Proton

    Press Conference with YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad and Dato' Abdul Harith Abdullah

    Proton telah mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi PROTON, berkuatkuasa serta merta. Dalam masa yang sama, Tun Mahathir turut melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh Proton.

    Dalam kenyataannya, PROTON berkata, “Kita menghormati hasrat Yang Amat Berbahagia Tun untuk berundur. Malah kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan, komitmen dan dedikasi beliau sebagai Pengerusi sejak 2014 dan juga sebagai Penasihat sejak tahun 2003. Kami ingin mengucapkan terima kasih dan mengiktiraf peranan Tun Dr. Mahathir sebagai pencipta syarikat kereta nasional.”

    Pada 24 April lalu, Proton turut mengumumkan perlantikan Dato’ Ahmad Fuaad Mohd. Kenali sebagai Ketua Pegawai Operasi (CEO) baharu, yang menggantikan Datuk Abdul Harith Abdullah, berkuatkuasa 1 April ini.

     
     
  • Isu berkenaan aplikasi perkongsian kenderaan dan pemandu teksi akan diselesaikan tidak lama lagi – PM

    Tesla_Najib_02

    Berikutan penentangan pemandu teksi dan pengendali aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mencari jalan untuk menyelesaikan konflik antara dua pihak tersebut. Isu berkenaan telah mendorong pemandu teksi mengadakan bantahan jalanan disepanjang Jalan Bukit Bintang selasa lalu, menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk.

    Najib berkata kepentingan untuk kedua pihak iaitu pengguna dan pengendali teksi akan dipertimbangkan apabila jalan penyelesaiannya diumumkan kelak tidak lama lagi, setelah kerajaan meneliti pelbagai cadangan.

    Menerusi catatan terbaharu di dalam blognya, Perdana Menteri berkata, “Saya faham dan mengambil berat berkenaan masalah dan rasa tidak puas hati pemandu-pemandu teksi ini yang berpunca dari servis Uber dan GrabCar di Malaysia yang dilihat mengganggu pendapatan mereka.”

    Beliau juga turut menambah isu tersebut bukan hanya berlaku di Malaysia malah di serata dunia. Beberapa negara di dalam dunia seperti Perancis dan Indonesia, masih lagi bergelut dengan isu ini. Sesetengah negara telah pun mengharamkan terus servis aplikasi tersebut secara keseluruhannya.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Najib berkata kerajaan akan menimbangkan pelbagai faktor sebelum hadir dengan jalan penyelesaian. Ini termasuklah elemen inovasi, persaingan dan lain-lain lagi. “Dalam era canggih dan inovasi, kita perlu mengekalkan rentak dengan pembangunan teknologi,” tambah beliau.

    Tambahan lagi, beliau mengalu-alukan persaingan antara pemandu teksi dan servis perkongsian kenderaan berdasarkan aplikasi tersebut, menjadikan ia sebagai batu loncatan ke arah meningkatkan mutu servis mereka kepada orang awam dan bukan dijadikan sebagai penghalang.

    “Saya harap tidak ada pihak yang mengikut emosi mereka sendiri dan mengambil langkah drastik seperti memulakan demonstrasi jalanan yang akan hanya memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan imej mereka. Ia tidak akan membawa apa-apa faedah, terutamanya untuk pengguna perkhidmatan teksi,” kata Najib.

     
     
  • GrabCar M’sia sedia bekerjasama dengan kerajaan

    StarWarsGrabCar-e1450774455652

    Syarikat pengendali aplikasi teksi GrabCar, Grab Malaysia, telah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan kerajaan dan mematuhi peraturan bakal digubal.

    Menurut Pengurus Negara Grab Malaysia, Jaygan Fu, pihaknya komited membantu mana-mana kementerian atau agensi bagi menaik taraf industri teksi di negara ini, laporan Berita Harian.

    “Kami mengalu-alukan peluang untuk menyumbang idea, cadangan dan maklum balas kepada pembuat dasar dalam usaha mentransformasi industri teksi, baik membabitkan pemandu atau penumpang.

    “Grab komited memastikan pemandu menjalankan tugas secara amanah di samping menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat berkenaan.

    Semalam Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menyarankan agar pengusaha dan pemandu teksi supaya memperbaiki perkhidmatan masing-masing untuk bersaing dengan Grabcar dan Uber. Katanya, terdapat banyak aduan dari orang ramai termasuk pelancong yang diterima berhubung dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi termasuk tidak menggunakan meter, suka memilih laluan sendiri dan tidak menjaga kebersihan.

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Selasa lalu, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian iaitu Uber dan GrabCar dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang.

    Hari ini pula, pemandu teksi menyeru agar Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memfailkan injunksi menentang Uber dan GrabCar sebelum mereka mempertimbangkan untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut beroperasi.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

     
     
  • LPT2 dipertingkatkan dengan ciri mesra hidupan liar

    LPT2_PTBM

    Kementerian Kerja Raya telah mengesahkan laluan di bawah jambatan dan terowong kenderaan (VBC) di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) akan ditambah baik dengan ciri-ciri mesra hidupan liar.

    Menurut Timbalan Menterinya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata cadangan itu dipersetujui bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada 16 Februari lepas, laporan Bernama.

    “Lokasi terlibat sedang dikenal pasti oleh Jabatan Perhilitan Terengganu dan tindakan penambahbaikan akan dilaksanakan oleh jabatan tersebut,” katanya ketika menjawab soalan Wan Hasan Mohd Ramli (PAS-Dungun) dalam persidangan Dewan Parlimen hari ini, yang ingin tahu langkah untuk mengelakkan pencerobohan haiwan demi keselamatan pengguna di LPT2.

    Rosnah turut berkata, bagi tempoh 1 Februari 2015 hingga 29 Februari 2016, terdapat 133 kes kemalangan termasuk satu kes kemalangan maut membabitkan pencerobohan haiwan ternakan atau binatang liar dicatatkan di LPT2 sepanjang 180 kilometer itu.

    Pencerobohan haiwan ternakan dan binatang liar itu dikatakan berpunca daripada pagar rizab lebuh raya yang telah dimusnahkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga membuka ruang haiwan tersebut menceroboh masuk.

    Bagi mengatasi masalah tersebut kementerian telah meningkatkan kekerapan rondaan di sepanjang lebuh raya itu terutama di kawasan berisiko tinggi serta membaik pulih segera pagar rizab yang dirosakkan, katanya.

    Rosnah berkata pengedaran risalah kesedaran kepada penternak berhampiran lebuh raya, pemasangan papan tanda amaran dan peringatan kepada pemandu menerusi Papan Tanda Elektronik VMS serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tertentu turut dilaksanakan.

    Sebelum ini, beberapa kes kemalangan jalan raya dilaporkan di sepanjang LPT2 membabitkan kematian beberapa ekor haiwan liar seperti harimau belang dan tapir.

     
     
  • Ferrari bakal membangunkan model Dino GT baharu?

    CaliforniaT_Ext_05

    Ferrari California T

    Menurut laporan The Motor Report, Dieter Knechtel selaku Pengarah Urusan Ferrari Far East, berkata, “Satu lagi model baharu selepas California akan dibangunkan di dalam segmen GT.” Beliau berkata demikian ketika menghadiri Australia Grand Prix baru-baru ini.

    Ada sumber mengatakan model baharu yang diperkatakan ini adalah kebangkitan semula Ferrari Dino iaitu jentera sport pacuan roda-belakang yang pernah diproduksikan oleh Ferrari dari tahun 1968 hingga 1976.

    Walau bagaimana pun Knechtel enggan mendedahkan lebih lanjut mengenai model baharu Ferrari yang bakal dibangunkan itu. Namun mengakui model California T telah mencatatkan rekod kejayaan yang besar dan banyak membantu Ferrari bagi menarik pelanggan baharu termasuk mereka yang tidak pernah memiliki mana-mana model Ferrari tetapi ingin membelinya buat pertama kali.

    Screen Shot 2016-03-31 at 3.48.17 PM

    Ferrari Dino 246 GT 1969

    Walau bagaimana pun, model misteri ini dikatakan tiada dalam perancangan Ferrari dalam tempoh lima tahun ini. Namun Pengerusi Ferrari Sergio Marchionne pernah berkata sebelum ini, berkenaan dengan kebangkitan Dino “ia bukan persoalannya mengapa tetapi bila”.

    Ada laporan menyebut, model kebangkitan semula Dino akan dipadankan dengan enjin-pertengahan dengan biturbo V6 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 500 hp. Terdapat perkhabaran yang mencadangkan agar jentera ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam kurang 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 322 km/j.

    Baca ulasan pandu uji Ferrari California T di sini.

     
     
  • Penarafan baharu lampu kenderaan di US dinilai

    IIHS

    Institut Insurans Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) di Amerika Syarikat, telah melakukan kajian terhadap lampu utama yang melibatkan lebih 30 jenama kereta bersaiz sederhana. Ia bagi menentukan penilaian penarafan baharu bagi lampu kenderaan yang didorong oleh faktor kebanyakan pemandu sukar melihat semasa memandu pada waktu malam dan ia bukan disebabkan oleh penglihatan mereka.

    Menurut kajian tersebut, daripada lebih 30 jenama kenderaan yang terlibat, hanya satu model sahaja yang didapati mendapat penarafan yang baik. Iaitu daripada jumlah keseluruhan tersebut, satu pertiga hanya mendapat penarafan ‘boleh diterima’, satu pertiga lagi ‘antara boleh dan tidak’ dan bakinya adalah ‘sangat lemah’.

    Di mana Toyota Prius V menjadi satu-satunya model yang mendapat penarafan paling baik daripada keseluruhan 30 kenderaan yang diuji. Prius V menggunakan lampu utama LED dan ia berupaya menerangi jalan lurus yang mencukupi untuk melihat pejalan kaki, penunggang basikal atau halangan lain dalam jarak 118 meter di hadapan. Pada jarak tersebut, biasanya kenderaan akan bergerak selaju 112 km/j dan mempunyai masa yang cukup untuk berhenti dari melanggar halangan tersebut.

    Kajian yang sama turut dilakukan terhadap BMW 3 Series namun didapati model ini cuma menerangi jalan sejauh 39 meter. Pada jarak itu, sebuah kenderaan sepatutnya tidak boleh bergerak melebihi 56 km/j untuk masa berhenti yang cukup.

    IIHS_4

    Kajian yang sama turut mendapati model kenderaan mewah tidak semestinya dilengkapi dengan lampu utama yang baik.

    IIHS membuat kajian lampu tinggi ini di trek iaitu dalam keadaan gelap. Peranti khas digunakan untuk mengukur jarak pencahayaan dari lampu rendah hingga lampu tinggi dengan kenderaan dipandu dalam lima keadaan jalan iaitu laluan lurus, laluan selekoh kiri tajam, laluan selekoh kanan tajam, selekoh kiri berbengkang-bengkok dan selekoh kanan berbengkang-bengkok.

    Kesan silau daripada kenderaan yang datang dari arah hadapan turut diukur iaitu dari lampu rendah dengan senario pemanduan yang sama bagi memastikan ia tidak berlebihan.

    Lampu utama yang diuji adalah diterima daripada pihak pengedar. Walaupun lampu utama pada kebanyakan kenderaan boleh dilaraskan, namun IIHS tidak mengubah sasaran lampu tersebut kerana tidak semua pemandu melakukannya dan sesetengah pengeluar kenderaan juga ada menasihati pengguna supaya tidak berbuat demikian.

    Selepas kenderaan terbabit diuji di trek, jurutera IIHS yang terlibat akan membuat perbandingan antara ukuran jarak penglihatan dan kesan silau untuk mengenal pasti sistem lampu utama yang lebih ideal dan menggunakan satu skim demerit bagi menentukan penarafan.

    Keputusan ujian mendapati, lampu rendah lebih berat berbanding lampu tinggi kerana ia sering kali digunakan. Malah laluan lurus juga lebih berat berbanding jalan berselekoh kerana kebanyakan kemalangan jalan raya berlaku pada jalan lurus.

    Manakala kenderaan yang dilengkapi dengan bantuan lampu tinggi, biasanya secara automatik akan menukar antara lampu tinggi-rendah mengikut keadaan jalan. Begitu juga dengan kenderaan yang dilengkapi dengan sistem anti-silau dalam apa jua keadaan jalan, tidak menerima sebarang rating dengan jumlah markah melebihi margin.

    Menurut IIHS, tahap pencerahan lampu kenderaan adalah penting kerana ia memberikan impak yang tinggi terhadap pemanduan khususnya pada waktu malam. Malah di negara berkenaan, dianggarkan separuh daripada 32,000 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu sering berlaku pada waktu fajar, senja mahu pun malam iaitu disebabkan jarak penglihatan yang rendah.

     
     
  • Pemandu teksi mahu SPAD fokus kepada prosiding mahkamah sebelum benar aplikasi Uber dan GrabCar

    Taxi-drivers-protest-jalan-bukit-bintang-4_BM

    Pemandu teksi mahu Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) untuk memfailkan injunksi menentang Uber dan GrabCar sebelum mereka mempertimbangkan untuk membenarkan aplikasi perkongsian kenderaan tersebut beroperasi.

    “SPAD perlu fokus untuk berhadapan dengan kami di mahkamah dan bukan bercakap berkenaan mengambil langkah untuk mengawal selia Uber,” kata presiden Jawatankuasa Bertindak Pemandu-pemandu Teksi Lembah Klang (JBPTLK) Zailani Isa Usuluddin menurut laporan The Sun.

    Sekumpulan 102 orang pemandu teksi memfailkan injunksi menentang SPAD pada 30 Disember 2015 kerana didakwa cuai dalam mengambil tindakan mengharamkan servis perkongsian kenderaan Uber, Grab dan Blacklane. Kumpulan tersebut mahukan perintah Mahkamah Tinggi untuk mengharamkan servis-servis berkenaan.

    Taxi Drivers Protest Against GrabCar 1

    Zailani berkata kumpulan tersebut tidak akan berhenti menjaga hak pemandu teksi, termasuk akan mengadakan lebih perhimpunan jalanan. Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan protes sebelum ini yang diadakan oleh pemandu teksi sepanjang Jalan Bukit Bintang pada selasa lalu.

    “Kami akan menggunakan semua saluran yang ada termasuk menghantar memorandum kepada kerajaan, menggunakan cara yang dibenarkan dan kami perlu turun ke jalan untuk memastikan suara kami kedengaran,” kata beliau.

    Zailani turut menzahirkan rasa tidak puas hati beliau terhadap menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang sebelum ini menggesa SPAD untuk menyegerakan proses mengawal selia Uber, dan mengatakan, “Menteri berkenaan tidak menghormati proses undang-undang sedia ada. Beliau harus berhenti dari membuat kenyataan mengelirukan kerana masalah ini adalah di bawah SPAD.”

    Big-Blue-Taxi-01

    Kumpulan tersebut juga mendakwa yang SPAD terlalu berlembut dengan servis perkongsian kenderaan tersebut dan tidak mempedulikan hak dan kebajikan pemandu teksi. Ini turut termasuk gagal untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang menyediakan servis berkenaan menggunakan kereta persendirian sebagai teksi.

    Pemilik Big Blue Capital Datuk Shamsubahrin Ismail (gambar diatas) berkata beliau akan memfailkan semula injunksi untuk menghentikan pemandu Grab dan Uber dari menyediakan servis mereka di Suria KLCC, di mana syarikat terbabit mempunyai hak ekslusif di situ.

     
     
  • Fasa pertama BRT di Iskandar Malaysia dijangka siap menjelang 2020 – fokus kurangkan kesesakan trafik

    transiskandar

    Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim, telah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan sudah memberikan ‘lampu hijau’ untuk melaksanakan sistem Bas Rapid Transit (BRT) yang diyakini mampu menyuraikan kesesakan trafik di wilayah pembangunan Iskandar Malaysia iaitu di negeri Johor.

    Katanya, projek BRT itu diharap dapat dimulakan tahun depan menerusi tiga fasa dengan fasa pertama projek tersebut dijangka siap menjelang tahun 2020, laporan Bernama.

    Walau bagaimana pun IRDA masih belum memuktamadkan kos pelaksanaan projek kerana memerlukan masa untuk menyediakan kertas cadangan termasuk modul pembiayaan dan reka bentuk kejuruteraan.

    “Setakat ini kami sudah mendapat mandat daripada kerajaan untuk meneruskan usaha dan menyediakan cadangan asas bagi membolehkan kami menawarkan cadangan kepada mana-mana pihak yang mahu melabur untuk membangunkan sistem ini,” katanya.

    Ismail berkata, IRDA setakat ini juga sudah menentukan jajaran laluan dan rangkaian BRT tersebut yang akan meliputi hampir 90 peratus keseluruhan keluasan wilayah Iskandar Malaysia.

    Beliau berkata sistem BRT terbabit akan berasaskan model yang terdapat di beberapa negara di Eropah dan Asia Pasifik termasuk mengkaji sistem BRT di Brisbane, Australia yang dilihat begitu efisien.

    Ismail berkata fasa pertama pembangunan BRT tersebut merupakan tempoh yang paling penting kerana ia melibatkan jajaran utamanya.

    Menurut Ismail, berdasarkan kajian, kos pembangunan BRT itu dijangka antara lima hingga 10 kali ganda lebih rendah daripada sistem projek landasan transit aliran massa (MRT) atau monorel.

    “Pembinaan infrastruktur sistem ini melibatkan pelaburan daripada kerajaan, namun, kami turut membuka peluang kepada mana-mana pihak yang berminat untuk bersama-sama menyertai pelaksanaannya,” katanya.

     
     
  • PSA Peugeot Citroen dilapor akan membina trak pikap

    Peugeot 504 pick-up

    Autocar UK dan Auto Express melaporkan PSA Peugeot Citroen mungkin akan membina trak pikap dalam usaha untuk mengembangkan lagi pasaran mereka.

    Menurut laporan Autocar, syarikat pengeluar kenderaan dari Perancis tersebut dijangka akan mendedahkan pelan pertumbuhan enam-tahun, diberi nama “Push to Pass” pada 5 April akan datang, dengan menjangkakan sebuah trak pikap satu-tan sebagai salah satu strategi.

    Apabila ditanya berkenaan kenderaan sedemikian, CEO Peugeot Maxime Picat berkata, “Kami sentiasa mempertimbangkan pasaran trak pikap sebagai satu peluang, ia sebahagian dari sejarah kami. Kami akan berfikir berkenaannya. Kami akan mengemaskini strategi kumpulan kami pada hari selasa, 5 April, dan kami akan maklumkan kereta mana yang kami sasarkan. Saya akan mendedahkan selanjutnya kemudian.”

    CEO PSA Eropah, Denis Martin turut senada dengan kenyataan Picat. “Mungkin. Anda akan melihatnya. Ia bukan persoalan untuk hari ini, tetapi anda akan lebih mengetahui pada minggu hadapan,” kata beliau.

    2016-Toyota-Hilux-preview

    Toyota Hilux 2016

    Masalah dengan skala ekonomi mungkin akan menyaksikan PSA Peugeot Citroen tidak membangunkan trak pikap berkenaan sendirian, ini bermaksud mereka mungkin akan berkerjasama dengan pihak yang pernah berkoloberasi dengan mereka sebelum sebagai pilihan yang lebih mudah untuk dilaksanakan.

    PSA sebelum ini telah pun membina van Peugeot Boxer dan Citroen Jumper berdasarkan Fiat Ducato, tetapi projek seterusnya mungkin tidak akan berdasarkan trak Fiat kerana pengeluar dari Itali tersebut hanya mempunyai sebuah trak pikap yang dibina sendiri iaitu Fiat Toro, manakala trak pikap Fiat Fullback dengan casis ladder-frame tradisional, dibina berasaskan Mitsubishi Triton.

    Oleh itu, kerjasma yang lebih praktikal untuk PSA mungkin akan dicapai dengan Toyota yang sebelum ini telah membina bersama kereta bandar Peugeot 108 dan Citroen C1 berasaskan Toyota Aygo, dan juga van Peugeot Traveller dan Citroen SpaceTourer berdasarkan Toyota Proace. Jadi ada kemungkinan trak pikap PSA akan dibina berasaskan Toyota Hilux.

    Jika PSA Peugeot Citroen mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Toyota, ia akan menjadi syarikat kedua yang dikhabarkan akan membina trak pikap berdasarkan Toyota Hilux, setelah Mazda mengumumkan sedang membina Mazda BT-50 generasi seterusnya juga berdasarkan Hilux, menamatkan hubungan kerjasama yang lama mereka bersama Ford.

     
     
  • Renault Kaptur diperkenalkan untuk pasaran Rusia – versi Captur lebih panjang, dilengkapi dengan 4WD

    Renault-Kaptur-10-e1459387899734

    Renault Kaptur akhirnya diperkenalkan bagi pasaran Rusia, selepas imej pengenalannya mula disebarkan dua minggu lalu. Nampak seperti memiliki biasan model Captur kan?

    Ditampilkan dengan gril sarang lebah pada bahagian hadapan bersama logo jenamanya, selain padanan lampu nyalaan siang dan lampu belakang dengan efek 3D memberikan sedikit kelainan buat Kaptur ini.

    Kaptur sebenarnya lebih panjang daripada segi ukurannya berbanding dengan model crossover kompak yang lain. Ia memiliki ukuran 4,333 mm panjang, 1,813 mm lebar, 1,613 mm tinggi dengan jarak roda 2,674 mm. Manakala Captur pula hanya 4,122 mm panjang, 1,778 mm lebar, 1,567 mm tinggi dan jarak roda 2,606 mm.

    Malah bagi menawan laluan yang mencabar di Rusia, Kaptur turut dilengkapi dengan sistem pacuan 4WD, tidak seperti Captur yang hanya dipacu roda hadapan. Manakala sudut pendekatan (approach) dan ketibaan (departure) ialah 20 dan 31 darjah, manakala jarak terendah dengan tanah (ground clearance) ialah 204 mm.

    Ia turut dilengkapi dengan suspensi yang lebih keras dan pengunci perbezaan pusat pada transmisi pacuan semua-roda. Namun, agak pelik kenapa Renault belum bersedia untuk mendedahkan penjana kuasanya, walau pun penah mengatakan ia bakal dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan dan automatik.

    Bahagian dalamnya juga, berkongsi sedikit bentangan rekaan dengan Captur. Ia menampilkan kluster instrumen dengan sistem hiburan bersama skrin sesentuh tujuh-inci. Ruang kargonya pula dikatakan mampu memuatkan kapasiti sehingga 387 liter, dan boleh mencecah 1,200 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

    Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem Kawalan Penghidup Enjin Renault, haba panas bagi tempat duduk hadapan dan cermin hadapan. Kaptur disasarkan mula dijual pada musim panas ini dan ia akan diproduksi di kilang Renault di Moscow.

     
     
  • Mazda tidak bercadang untuk membina lebih enjin berkuasa turbo, tumpu pada teknologi SkyActiv-G

    2017-mazda-cx-9-1_BM

    Mazda menampilkan teknologi enjin SkyActiv-G empat-silinder dengan pengecas turbo pada varian CX-9 2.5T SkyActiv-G mereka. Walau bagaimanapun, ia merupakan enjin SkyActiv-G turbo tunggal dalam barisan enjin Mazda kerana pengeluar kereta dari Jepun tersebut tidak berhajat untuk mengembangkan lagi variannya buat masa sekarang.

    Menurut laporan dari Drive, Mazda tidak bercadang untuk meneruskan pembangunan enjin dengan pengecas turbo berkapasiti kecil untuk model-model utamanya bagi tujuan mendapatkan lebih kecekapan bahan api dan mengurangkan kadar emisi.

    Pengarah pemasaran Mazda Australia, Alastair Doak memberitahu Drive, “Jika anda mula menggunakan kuasa dari pengecas turbo, anda secara tidak langsung mula menggunakan lebih bahan api. Enjin turbo berkapasiti kecil bukan sebahagian dari lapangan kami.”

    “Memang benar kami telah memberikan kuasa turbo pada enjin 2.5 liter untuk CX-9 terbaharu tetapi kami percaya kami mampu memberikan kereta kompak kami dengan pembeli yang efisien selepas itu tanpa binaan kompleks pengecas turbo,” tambah beliau. Ketua pereka Mazda, Masashi Nakayama, mengesahkan kepada Drive MX-5 tidak akan menerima bantuan pengecas turbo pada masa akan datang, seterusnya menyokong kenyataan dari Doak.

    mazda_cx-9_2015_technical_see_through_with25l_ge_01-850x6381_BM

    Tanpa mengikut trend pengeluar lain yang cenderung pada pengecas turbo, Mazda kini sedang membangunkan enjin SkyActiv-G generasi seterusnya dengan mensasarkan penjimatan bahan api lebih tinggi iaitu sekitar 25-30%. Angka tersebut bakal dicapai dengan nisbah mampatan yang disasarkan melebihi 14:1, melalui homogeneous charge compression ignition (HCCI) iaitu teknologi yang membolehkan campuran bahan api dan udara di dalam kebuk pembakaran terbakar sendiri melalui tekanan yang dihasilkan oleh omboh tanpa melibatkan percikan api dari palam pencucuh, dijangkakan akan memperoleh nisbah mampatan setinggi 18:1.

    Teknologi penjanaan semula tenaga brek i-ELOOP juga akan ditingkat taraf, tetapi Mazda tidak menjelaskan bagaimana teknologi tersebut diangkat ke peringkat seterusnya, sama ada ke arah teknologi hibrid atau kenderaan berkuasa hidrogen. Teknologi hibrid Mazda sebelum ini telah ditampilkan pada model Mazda 3 Hybrid JDM, yang menggunakan teknologi hibrid disadur terus dari Toyota Prius.

    Walaupun Mazda tidak akan membangunkan enjin turbo berkapasiti kecil dalam masa terdekat, pasukan perlumbaan prototaip Mazda kini sedang membina dua kereta lumba yang dikuasakan enjin perlumbaan MZ-2.0T baharu yang mampu menjana 570 hp. Enjin turbo 2.0 liter tersebut dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus, manifold ekzos susunan 4-2-1, sistem pelinciran takungan kering dan juga pengecas turbo Garrett tunggal berdiameter 46 mm menghasilkan nisbah mampatan 13.5:1 di dalam kebuk pembakaran.

    Mazda-prototype-racer-2-e1452502693237_BM

    Enjin tersebut dilihat tidak membawa jenama SkyActiv Mazda seperti enjin perlumbaan diesel sebelum ini yang membawa nama teknologi SkyActiv-D. Enjin tersebut mungkin akan membekal data dan langkah pembangunan awal kepada Mazda jika mereka berminat untuk mengikuti trend pembangunan enjin dunia pada masa akan datang.

    Untuk peminat enjin rotari Mazda, anda tidak perlu bimbang kerana Mazda dilihat sedang berusaha ke arah itu. Pengenalan kereta konsep RX-Vision yang dikatakan akan meneruskan legasi kereta sport siri RX berkuasa rotari Mazda di Tokyo Motor Show 2015 telah pun dilengkapi dengan enjin rotari Mazda generasi baharu membawa nama Mazda SkyActiv-R.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025