Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • AXCR 2024: Toyota Hilux Revo GR Sport TGR Thailand menang, Triton Mitsubishi Ralliart tidak bernasib baik

    AXCR 2024: Toyota Hilux Revo GR Sport TGR Thailand menang, Triton Mitsubishi Ralliart tidak bernasib baik

    Asia Cross Country Rally 2024 yang melibatkan perjalanan sejauh 2,100 km akhirnya tamat semalam iaitu pada 17 Ogos selepas ia bermula pada 11 Ogos lalu. Rali selama enam hari tersebut berlangsung sepenuhnya di Thailand, bermula di Surat Thani menuju ke Hua Hin, dan berakhir di Kanchanaburi. Ini merupakan laluan alternatif yang diumumkan selepas laluan asal dari Thailand ke Kuala Lumpur, Malaysia dibatalkan kerana terjadinya insiden pengeboman di Selatan Thai pada 6 Mei lalu.

    Rali kali ini dimenangi oleh pemandu veteran Thailand, Mana Pornsiricherd yang bergandingan dengan juru arah Kittisak Klinchan. Pasangan dari pasukan Toyota Gazoo Racing (TGR) Thailand ini memandu Toyota Hilux Revo GR Sport Wide Thread, iaitu Hilux GR Sport dengan badan lebih lebar yang baru sahaja dilancarkan di sana pada Mac lalu.

    Mana menunjukkan potensi jentera baharu berkenaan seawal SS 1 yang melibatkan perjalanan 162 km dengan catatan masa 1:26:44. Dia meninggalkan Thongchai Klinkate yang memandu Isuzu D-Max di tempat kedua dengan perbezaan masa 1 minit 36 saat.

    Manakala juara AXCR 2022, Chayapon Yotha dari pasukan Mitsubishi Ralliart yang mensasarkan kedudukan juara buat kali kedua tahun ini mencatatkan masa 1:29:29 untuk berada di tempat ketiga di dalam SS yang berlangsung pada laluan ladang kelapa sawit tersebut, selepas memandu mengikut arah yang salah.

    AXCR 2024: Toyota Hilux Revo GR Sport TGR Thailand menang, Triton Mitsubishi Ralliart tidak bernasib baik

    Pada SS kedua, ia masih berlangsung di atas permukaan batu kerikil meredah ladang sawit dan durian serta kawasan perkampungan, tetapi dengan jarak lebih singkat iaitu hanya 84 km. Kali ini Mana mencatatkan masa yang tidak memberangsangkan dan jatuh ke tempat ke-17. Chayapon juga hanya berjaya mencatatkan masa ke-10 terbaik, tetapi masih kekal di tempat ketiga secara keseluruhan.

    SS ini dimenangi oleh pelumba Jepun Ikuo Hanawa yang memandu Toyota Fortuner pasukan Toyota Gazoo Racing Indonesia dengan masa 1:21:36, bagi membolehkan dia terus berada di atas sebagai pendahulu rali. Manakala Klinkate kekal di tempat kedua.

    Hanawa mengekalkan kedudukannya di SS 3 dengan mencatatkan masa terpantas 2:26:29. Namun dia diikuti rapat oleh Chayapon dengan masa 2:27:56 di tempat kedua dan Mana di tempat ketiga dengan catatan masa 2:28:05. Ini membolehkan Chayapon naik satu lagi kedudukan iaitu kedua untuk keseluruhan, dan Mana pula naik ke tangga ke-tujuh.

    Masuk SS ke-4, rali ini mula masuk ke kawasan hutan dengan permukaan yang bukan sahaja berbatu dan lebih lasak, malah ia turut melibatkan pendakian bukit yang mencabar serta meredah sungai. Kali ini Hanawa tidak begitu bernasib baik kerana tayar Fortuner yang dipandu pancit sebanyak tiga kali.

    AXCR 2024: Toyota Hilux Revo GR Sport TGR Thailand menang, Triton Mitsubishi Ralliart tidak bernasib baik

    Sementara itu persaingan antara Triton Ralliart yang dipandu Chayapon dan juga Hilux GR Sport TGR Thailand dipandu Mana pula semakin sengit. Mana mencatatkan masa terpantas dalam SS ini dengan masa 3:26:45, berbanding Chayapon yang mencatatkan masa 5 saat lebih perlahan.

    Tetapi untuk kedudukan keseluruhan, dengan Hanawa jatuh kedudukan yang agak jauh di bawah membolehkan Chayapon mendahului perlumbaan dengan berada sekitar 24 minit di hadapan Mana.

    Namun nasib malang pula menimpan Chayapon pada SS 5, apabila enjin Triton pasukan Ralliart tersebut rosak 2 km sebelumnya tiba garis penamat, dan Chayapon sebenarnya sedang mendahului dengan kelebihan 19 minit ketika itu. Chayapon menghabiskan SS tersebut dengan Tritonnya ditunda rakan sepasukan, Kazuto Koide tetapi dikenakan penalti selama tiga-jam, menyebabkan kedudukannya jatuh ke tempat ke-20.

    Manakala untuk Mana, dia menghabiskan SS 5 tersebut dikedudukan pertama dengan catatan 3:27:54, sedikit lebih pantas dari rakan sepasukan Natthaphon Angritthanon yang mencatatkan masa 3:28:10.

    AXCR 2024: Toyota Hilux Revo GR Sport TGR Thailand menang, Triton Mitsubishi Ralliart tidak bernasib baik

    Ini membolehkan Mana berada kedudukan lebih selesa ketika memulakan SS terakhir iaitu SS 6, dan dengan pemanduan yang selamat; walaupun hanya mencatatkan masa ke-6 terpantas, Mana berjaya kekal berada dikedudukan pertama secara keseluruhan dengan masa 14 jam 22 minit, seterusnya dinobatkan sebagai juara AXCR 2024.

    Tempat kedua dan ketiga pula adalah milik dua Isuzu D-Max pasukan Isuzu Suphan Explorer Liqui Moly Rally Team yang masing-masing dipandu oleh Suwat Limjirapinya dan Thongchai Klinkate. Manakala Ikuo Hanawa pula berjaya bangkit semula untuk berada ditempat keempat secara keseluruhan, sementara pemandu Jepun Katsu Taguchi menjadi pelumba terbaik pasukan Mitsubishi Ralliart dengan berada di tempat kelima.

    “Terima masih untuk semua yang sekali lagi menyokong pasukan Mitsubishi tahun ini. Kami tidak gembira sepenuhnya dengan keputusan, tetapi Taguchi berada di tempat kelima secara keseluruhan, jadi saya rasa kami ada juga keputusan dengan cara lain. Kami akan gunakan kekalahan dalam rali tahun ini sebagai papan anjal untuk membolehkan kami buat yang terbaik sekali lagi tahun hadapan, jadi tolong berian sokongan anda,” kata pengarah pasukan Mitsubishi Ralliart iaitu lagenda dan juara Rali Dakar dua kali, Hiroshi Masuoka.

     
     
  • JPJ tambah waktu operasi di kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih berkuatkuasa hari ini

    JPJ tambah waktu operasi di kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih berkuatkuasa hari ini

    Berkuatkuasa hari ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah waktu pengoperasian kaunter selama satu jam di beberapa negeri terpilih bagi memudahkan urusan pelanggan.

    Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata kaunter itu akan dibuka setiap hari Isnin dan Jumaat di JPJ Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, manakala setiap hari Ahad dan Khamis di JPJ Johor.

    “Semua hari tersebut dikategorikan sebagai ‘hari sesak atau sibuk’ dengan trend pelanggan yang tinggi. Pertambahan waktu operasi kaunter di JPJ ini akan dilaksanakan secara berperingkat yang seterusnya akan membabitkan JPJ Negeri yang lain,” katanya.

    Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Tadbir Urus yang berfokus bagi peningkatan kualiti JPJ terutamanya penyampaian kaunter bagi memantau, melihat dan menambah baik perkhidmatan kerajaan dari semasa ke semasa.

    “JPJ komited memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan cekap demi menjamin kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat, selaras dengan Aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri PRL dan KFW dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Pulau Pinang, PRL, telah dibuka bidaannya sejak 17 Ogos 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 21 Ogos ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 22 Ogos 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kedah pula, KFW, bidaannya akan dibuka mulai 23 Ogos 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 27 Ogos 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 28 Ogos ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Tun Mahathir pandu Proton S70 dalam spesifikasi lain daripada biasa, tidak terdapat di bilik pameran

    Walaupun umurnya sudah mencapai 99 tahun, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad masih aktif memandu kereta. Terbaharu, Tun M dilihat memandu sedan segmen-C Proton S70 menerusi foto yang dikongsi hantaran Facebook oleh pemilik akaun Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin.

    Namun jika anda perhatikan dengan teliti, Proton S70 yang dipandu Tun Mahathir ini menampilkan spesifikasi yang tak boleh kita beli di bilik pameran Proton. Berdasarkan tempat duduk yang dibalut dengan upholsteri leatherette, skrin infotaimen bersaiz lapan-inci dan juga paparan instrumen analog biasa, S70 tersebut adalah dari varian Premium.

    Tetapi unit yang dipandu oleh Tun M ini turut dibekalkan dengan bumbung suria yang hanya ditawarkan untuk varian Flagship X. Rare kan? Namun mungkin saja ia merupakan aksesori yang ditambah selepas kereta ini keluar dari kilang.

    Tidak mustahil spesifikasi istimewa Proton S70 ini dihasilkan khas oleh Proton untuk Tun Mahathir. Tidak hairan untuk Tun M mendapat layanan istimewa Proton kerana beliau merupakan pengasas jenama automotif nasional tersebut. Malah ketika bersara dari jawatan Perdana Menteri pada 2003, Tun masih lagi merupakan pengerusi Proton sehingga beliau meletak jawatan pada 2016.

    Bahagian dalaman Proton S70 Premium (kiri) dan Flagship X (kanan)

    Pemilihan spesifikasi ini juga mungkin membayangkan Tun memang benar-benar suka memandu dan memilih S70 yang bukan sahaja tampil dengan paparan meter analog, malah tidak ada sebarang sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang mungkin boleh ‘mengacau’ pemanduan sebenar.

    Proton S70 dilancarkan ke pasaran tempatan pada penghujung November 2023, dan ia merupakan sedan yang diasaskan dari platform B-segment Modular Achitecture (BMA) yang sama seperti SUV Proton X50. Walaupun dari bahagian luaran ia nampak sama seperti Geely Emgrand untuk pasaran China, Filipina dan beberapa negara Timur Tengah, S70 sebenarnya dibangunkan semula oleh Proton dengan pelbagai perubahan drastik.

    Antaranya enjin 1.5L NA dan kotak gear CVT yang digantikan dengan enjin 1.5L tiga-silinder turbo yang lebih berkuasa dan transmisi klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang lebih responsif, ruang kabin yang lebih sesuai untuk pasaran Malaysia, talaan suspensi “Proton Ride Handling”, kelengkapan keselamatan lebih canggih dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dan pelbagai lagi.

    Proton S70 2024 Executive

    Proton S70 2024 Premium

    Proton S70 2024 Flagship X

     
     
  • Kes lumba haram maut di Elmina: Ibu bapa dua remaja lelaki akan dipanggil untuk siasatan – IPD Sg Buloh

    Kes lumba haram maut di Elmina: Ibu bapa dua remaja lelaki akan dipanggil untuk siasatan – IPD Sg Buloh

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor mengesahkan pihaknya akan memanggil ibu bapa dua remaja lelaki berusia 13 tahun yang maut ketika berlumba dan melakukan aksi berbahaya di Jalan Elmina Business Park, Aman Putri, Sungai Pelong pada Rabu lalu untuk siasatan lanjut.

    Menurut Mohd Hafiz, pihaknya akan menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan tindakan akan diambil sekiranya berlaku kesalahan dari sudut pengabaian terhadap anak-anak, laporan Harian Metro.

    “Pihak IPD Sungai Buloh memang dalam usaha menjalankan siasatan ke arah itu (siasatan terhadap ibu bapa) dan tidak akan sesekali memandang remeh setiap perkara yang terjadi. Siasatan sedang dijalankan ke atas ibu bapa remaja itu bermula dengan merakam keterangan mereka dan jiran terdekat.

    “Sekiranya hasil siasatan mendapati berlakunya kesalahan dari sudut pengabaian kanak-kanak, polis tidak akan teragak-agak membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) di bawah Akta Kanak Kanak 2001,” katanya sambil menegaskan usaha berterusan untuk mendidik masyarakat juga perlu dalam usaha memberi kesedaran kepada semua ibu bapa di luar sana.

    Pada malam Rabu lalu, dua remaja berasal dari Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh, maut ketika berlumba. Menurut polis, siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal itu bertembung di laluan bertentangan arah ketika melakukan aksi ‘wheelie’ dan akhirnya bertembung secara berdepan.

     
     
  • Jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2024 naik 24%

    Jualan kenderaan di Malaysia bagi Julai 2024 naik 24%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Julai 2024, menyaksikan sejumlah 71,730 unit kenderaan telah dihantar kepada para pelanggan. Menurut persatuan tersebut, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 24% berbanding 58,046 unit yang direkodkan pada Jun 2024.

    Tempoh waktu bekerja yang lebih panjang dan pelancaran pelbagai model baharu disebut sebagai penyebab peningkatan jualan kenderaan pada bulan lalu. Termasuk melibatkan jenama seperti Mercedes-Benz, smart, MINI, Great Wall Motor, Jaecoo, Lexus, Neta dan Suzuki yang menambahkan jumlah varian di dalam barisan model mereka, walau pun ada beberapa pelancaran yang disempurnakan pada hujung bulan.

    Bagi rekod jualan tahunan setakat ini, peningkatan sebanyak 11% turut dicatatkan bagi Julai 2024 berbanding 64,790 unit yang direkodkan pada bulan yang sama tahun lalu. Jumlah keseluruhan jualan bagi tujuh bulan pertama tahun ini mencecah 462,088 unit, naik 7% berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan sekitar 430,966 unit kenderaan yang didaftarkan.

    Untuk Ogos 2024, MAA menjangkakan momentum jualan mampu dikekalkan, berdasarkan kempen promosi yang diperkenalkan oleh beberapa syarikat kereta sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

     
     
  • Federal Auto buka bilik pameran Jaecoo, FA Sino Premium di lokasi ikonik Menara MBMR Kuala Lumpur

    Federal Auto buka bilik pameran Jaecoo, FA Sino Premium di lokasi ikonik Menara MBMR Kuala Lumpur

    Federal Auto Group, anak syarikat MBM Resources telah mengumumkan kerjasamannya dengan Jaecoo Malaysia dan telah membuka sebuah bilik pameran jualan bagi jenama SUV dari China berkenaan.

    Fasiliti tersebut dibuka di Menara MBMR yang terletak di Jalan Syed Putra Kuala Lumpur, diuruskan oleh subsidiari Federal Auto iaitu FA Sino Premium. Lokasi berkenaan agak ikonik dengan Federal Auto yang selama ini dikenali sebagai pengedar jenama Volvo di Malaysia.

    Dengan kerjasama terbaharu bersama Federal Auto ini membolehkan Jeacoo mempunyai 35 jaringan pengedar dan servis selepas jualan di seluruh Malaysia yang disertai oleh 30 syarikat pengedaran.

    “Kedudukan tersendiri Jaecoo sebagai jenama SUV yang menjadikan pencabar, digandingkan dengan legasi Federal Auto sebagai pengedar automotif premium yang berpengalaman, adalah sinergi yang berjaya. Perkongsian strategik ini menjadi teras dalam semangat perkongsian kami untuk kecemerlangan dan pertumbuhan jangka panjang. Bersama-sama, kami teruja untuk meningkatkan tahap dalam memberikan pengalaman pemilikan yang benar-benar premium untuk dimanfaatkan oleh pelanggan,” kata naib presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Federal Auto buka bilik pameran Jaecoo, FA Sino Premium di lokasi ikonik Menara MBMR Kuala Lumpur

    “Jaecoo telah membuktikan diri mereka sebagai jenama yang tidak teragak-agak dan pantas dalam menyediakan infrastruktur pengedaran dan membawa model kenderaan yang dijanjikan ke Malaysia. Kami berbangga dan teruja untuk memulakan perkongsian kami dengan Jaecoo Malaysia,” kata pengerusi Federal Auto Wong Fay Lee.

    Selepas pembukaan bilik pameran di Menara MBMR ini, Federal Auto menyatakan bahawa ia turut merancang untuk membuka sebuah pusat 4S Jaecoo di Segambut tahun hadapan.

    Federal Auto telah memulakan perniagaannya sejak tahun 1960 dengan menjadi pengedar terawal dan terbesar untuk Volvo di Malaysia. Selain itu Federal Auto juga mempunyai jaringan pengedaran dan pusat servis selepas jualan untuk jenama Volkswagen di sini.

    Jaecoo baru sahaja melancarkan model pertamanya untuk pasaran Malaysia bulan lalu, iaitu SUV segmen-C dengan kebolehan off-road sebenar iaitu Jaecoo J7. Model berkenaan dihasilkan terus dalam versi pemasangan tempatan menerusi kilang Chery di Shah Alam, dijual pada harga bermula RM138,800 hingga RM148,800.

     
     
  • Pengecas EV Tesla di rumah disalah pasang sebelum meter TNB di Malaysia — ia merupakan satu kesalahan

    Pengecas EV Tesla di rumah disalah pasang sebelum meter TNB di Malaysia — ia merupakan satu kesalahan

    Pemasangan pengecas EV di rumah dengan cara yang betul adalah sangat penting untuk memastikan keselamatan semua. Untuk itu, pengguna dan pemilik perlu memastikan pengecas berkenaan dipasang dengan betul dan mengikut spesifikasi. Namun, tetap ada kemungkinan berlaku yang sebaliknya.

    Misalnya situasi seperti yang dihadapi oleh seorang pemilik Tesla ini, yang telah dikunjungi oleh petugas Tenaga Nasional kerana pemasangan kotak sambungan yang salah. Dalam satu klip video yang tular, petugas TNB menjelaskan kepada pemilik yang bekalan elektrik untuk pengecasnya telah dipintas sebelum meter, bermaksud penggunaan elektrik untuk pengecas EV itu tidak akan direkod, menjadikannya satu kesalahan yang akan menyebabkan kerugian kepada TNB.

    Pemilik berkenaan memaklumkan bahawa dia tidak tahu yang pemasangan itu tidak betul, dan menyatakan itu adalah kerja yang dilakukan oleh juruteknik yang memasang unit terbabit, yang menyebabkan berlakunya kesilapan tersebut. Mungkin betul, tetapi pemilik tetap bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada juruteknik terbabit bahawa itu adalah satu kesalahan dan ia perlu diperbetulkan segera.

    Tidak jelas jika ada tindakan yang dikenakan oleh TNB dalam kes ini. Namun, pengajarannya adalah, jika anda ingin memasang pengecas EV di rumah, anda perlu ambil tahu bagaimana itu dilakukan dengan sambungan laluan telah dilakukan dengan betul. Dan, jika ada yang fikir mereka boleh menipu TNB dengan cara itu, mereka silap. Meter pintar yang digunakan boleh mengesan pemasangan yang melanggar peraturan, yang kemudiannya akan memaklumkan TNB untuk pemeriksaan lanjut.

    Sambungan tidak sah dengan niat mencuri elektrik boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang membawa hukuman denda antara RM1,000 hingga RM5,000, atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya bagi pesalah kali pertama bagi penggunaan domestik.

     
     
  • Lotus Kuala Lumpur kini dibuka secara rasmi – bilik pameran flagship terletak di Glenmarie, Shah Alam

    Lotus Kuala Lumpur kini dibuka secara rasmi – bilik pameran <em>flagship</em> terletak di Glenmarie, Shah Alam

    Serentak dengan pelancaran Hyper-GT Lotus Emeya hari ini, Lotus Cars Malaysia turut merasmikan sekali pusat pameran flagship terbaharunya iaitu Lotus Kuala Lumpur.

    Ini merupakan ruang pameran kedua bagi Lotus selepas ruang pameran Pavilion Damansara Heights dibuka pada Februari lalu oleh jenama kereta sport British berkenaan sejak ia mula bertapak kembali di sini pada 2021.

    Pusat ini terletak di Jalan Juruhebah U1/50, Temasya Industrial Park, 40150 Section U1, Shah Alam. Ia dibina dengan keluasan 1,765 kaki persegi, di mana 987 kaki persegi dikhususkan untuk ruang pameran utama.

    Selain dari ruang pameran, pusat ini turut dilengkapi dengan dua ruang khas untuk penyerahaan kenderaan, ruang rehat untuk pelanggan, bahagian khas untuk jualan barangan dan cenderamata Lotus dan sebuah ruang konfigurator yang membolehkan pembeli-pembeli menentukan spesfikasi pelbagai peralatan dan aksesori tambahan untuk kenderaan Lotus baharu yang akan dibeli.

    Ini termasuklah pemilihan komponen dan aksesori bahagian luaran dan dalaman kenderaan, dan komponen-komponen berprestasi tinggi serta peralatan keselamatan tambahan.

    Lotus Cars Malaysia ini dibuka setiap hari dengan waktu operasi bermula 9 pagi hingga 6 petang.

     
     
  • Mercedes-Benz EQS450 4Matic SUV 2024 dilancar di Malaysia — 360 PS, jarak EV 673 km; dari RM626k

    Mercedes-Benz EQS450 4Matic SUV 2024 dilancar di Malaysia — 360 PS, jarak EV 673 km; dari RM626k

    Selepas memperkenalkan model EQS 580 SUV untuk pasaran Malaysia pada Oktober 2023, kini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkenalkan pula tambahan varian baru yang lebih rendah bagi model berkenaan, iaitu EQS 450 4Matic SUV yang ditawarkan dengan harga RM625,888 tidak termasuk insurans.

    Menggunakan platform EV “EVA2” (Electric Vehicle Architecture), EQS 450 4Matic SUV dilengkapi dengan tetapan dua motor elektrikvyang mampu memberikan keseluruhan kuasa sebanyak 360 PS (355 hp atau 265 kW) dan tork 800 Nm. Ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dengan laju maksimum mencech 210 km/j.

    Varian EQS 450 4Matic ini bagaimanapun dikuasakan oleh bateri lithium-ion berkapasiti lebih besar dengan 118 kWh (dari 107.8 kWh), dengan jarak EV yang boleh dicapai antara 594 km hingga 673 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Penggunaan elektrik untuk varian SUV ini juga berbeza dengan sebelumnya, iaitu sekitar 22.8-20.1 kWh bagi setiap 100 km.

    Varian ini juga dilengkapi dengan electric drive train (eATS) di gandar depan dan belakang, begitu juga dengan ciri Torque Shift yang mengagihkan tork untuk kedua-dua gandar yang sama secara elektronik.

    Mercedes-Benz EQS450 4Matic SUV 2024 dilancar di Malaysia — 360 PS, jarak EV 673 km; dari RM626k

    Seperti juga varian EQS SUV yang lain, EQS 450 4Matic menggunakan bateri lithium-ion dengan 12 modul sel yang disertakan dengan perisian pengurusan bateri inovatif oleh Mercedes-Benz, yang boleh dikemaskini secara over the air (OTA) — ia didakwa mempunyai jangka hayat penyelenggaraan setiap 10 tahun atau 250,000 km, dan mampu mengekalkan kapasiti sebanyak 70%.

    Untuk pengecasan, bateri ini boleh menggunakan pengecas AC 22 kW dengan status pengecasan (SoC) 0%-100% mencecah enam jam 15 minit. Sekiranya menggunakan pengecas pantas DC 200 kW pula, SoC bagi 0%-80% hanyalah 31 minit. Semua spesifikasi teknikal ini sahaja yang membezakan antara varian 580 dan 450 terbaru bagi EQS SUV ini — janaan kuasa, kapasiti bateri (unit baru yang lebih cekap), serta jarak perjalanan — manakala kelengkapan selebihnya adalah sama.

    Dari segi rekaan, bahagian hadapannya menampilkan unit ‘Panel Hitam’ dengan lampu utama Digital LED dan jalur lampu yang disepadukan bersama gril hitam bercorak bintang tiga-dimensi yang menyerlah. Selain itu, kemasan AMG Line menghiasi penampilan keseluruhannya. Untuk roda, ia menggunakan rim AMG 22-inci dua-tona.

    Pemegang pintu jenis flush yang tersorok dan bumbung panoramik juga diberikan secara standard. Untuk bahagian belakangnya, lampu LED diberikan dengan rekaan 3D Helix sama seperti wajah hadapannya, dengan bentuk melintang. Diffuser dengan elemen krom kualiti-tinggi dengan spoiler lip di bahagian bawah badan turut disertakan.

    Mercedes-Benz EQS450 4Matic SUV 2024 dilancar di Malaysia — 360 PS, jarak EV 673 km; dari RM626k

    Varian EQS SUV ini juga memanfaatkan casis yang merangkumi suspensi jenis four-link di hadapan dan jenis multilink di belakang. Jarak kelegaaan tanah untuk SUV ini juga dipertingkatkan sehingga 25 mm. Selain itu, ia juga diberikan mod pemanduan Dynamic Select yang merangkumi mod Eco, Comfort, Sport dan Individual, dan menampilkan ciri Off Road. Ia boleh digunakan dengan atau tanpa ESP®. Ciri standard lain termasuk stereng gandar belakang dengan sudut stereng hingga 10-darjah untuk memberikan kendalian yang lebih tangkas.

    EQS SUV mempunyai ukuran dimensi 5,125 mm panjang, 1,959 mm lebar dan tinggi 1,718 mm dnegan jarak rodanya 3,210 mm (+20 mm berbanding versi sedannya). Ini memberikannya ruang dalaman yang luas. Barisan pertama tempat duduk, ruang kepalanya mencecah 1,035 mm, manakala 1,031 mm pada barisan kedua dan ketiga dengan 900 mm. Barisan kedua tempat duduk pula boleh dilaras ke hadapan dan belakang secara elektrikal hingga 130 mm secara standard. Ini menyediakan ruang lutut antara 830 mm dan 960 mm.

    Ruang barangan di belakang yang tersedia ialah 195 liter dengan tempat duduk berada dalam keadaan normal. Jika tempat duduk barisan kedua dan ketiga dibaringkan sepenuhnya, kapasiti kargonya mencecah 2,100 liter.

    Di dalam, elemen kemasan kayu dengan Mercedes-Benz Pattern menghiasinya. Selain itu MBUX Hyperscreen dengan panel paparan melengkung yang terdiri daripada tiga unit skrin untuk pemandu (12.3-inci), tengah (17.7-inci) dan untuk penumpang belakang (12.3-inci) tersedia. Dengan rekaan zero-layer, MBUX Hyperscreen menawarkan operasi sentuhan intuitif dengan haptic feedback dan force feedback.

    Mod paparan alternatif juga dihadirkan dengan mod “Pure EV” yang merupakan graf palang untuk memaparkan status pemanduan (Drive, Accelerate, Charge). Skrin paparan tersebut boleh ditetapkan secara individual dengan tiga gaya paparan (Discreet, Sporty, Classic) dan tiga mod (Navigation, Assistance, Service).

    Kabinnya turut dilengkapi dengan kelengkapan Electric Art termasuk balutan tempat duduk yang mewah dalam kemasan kulit Nappa hitam/kelabu. Selain itu, pencahayaan dalaman juga ada termasuk ketika pintu dibuka, pancaran pencahayaan tersebut akan memantulkan paten Mercedes-Benz pada lantai.

    Seperti EQS versi sedan, EQS SUV elektrik ini juga diberikan MBUX (Mercedes-Benz User Experience) generasi kedua. Sistem bunyinya menggunakan jenis Dolby Atmos® yang untuk sistem bunyi sekeliling Burmester® dengan 15 unit pembesar suara.

    Ciri kelengkapan dalaman lain termasuk kawalan suhu automatik Thermotronic, bantuan suara Hey Mercedes, MBUX High-End Rear Seat Entertainment Plus yang merangkumi dua paparan 11.6-inci dengan butang kawalan, tablet MBUX untuk penumpang belakang, MBUX Interior Assistant dan MBUX Augmented Reality Navigation yang membolehkan pemandu mengetahui situasi trafik yang rumit.

    Ia juga didatangkan dengan pakej Energizing secara standard yang merangkumi Energizing Comfort, Energizing Coach dan Air-Balance Package yang menawarkan aroma yang mengharumkan.

    Bagi aspek keselamatan, ciri Parking Package bersama kamera 360-darjah adalah standard, yang disepadukan dengan Bantuan Parkir di dalam MBUX, Pakej Bantuan Pemanduan, fungsi brek kecemasan dan Bantuan Parkir Aktif. Ia juga datang dengan tujuh beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan, Kawalan Kelajuan Adaptif, Pemantauan Titik Buta Aktif, Pengelak Pelanggaran Hadapan dengan Amaran Trafik, Sistem Pengesan Pejalan Kaki, dan Paparan Informasi Isyarat Trafik.

    Ia juga hadir dengan Driving Assistance Package Plus yang terdiri daripada Distronic Plus, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support, PRE-SAFE® Impulse Side, dan sensor belakang.

    Gambar rasmi

     
     
  • Puspakom lancar tempoh percubaan operasi 16 jam sehari untuk cawangan Glenmarie mulai 2 Sept 2024

    Puspakom lancar tempoh percubaan operasi 16 jam sehari untuk cawangan Glenmarie mulai 2 Sept 2024

    Puspakom mengumumkan pelancaran tempoh percubaan operasi selama 16 jam sehari di cawangan Glenmarie mulai 2 September 2024 hingga 3 Januari 2025. Ini merupakan langkah proaktif syarikat bagi menampung permintaan pemeriksaan yang semakin meningkat dan juga salah satu langkah strategik Puspakom ke arah skop pasaran terbuka di dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

    Menurut Puspakom, sepanjang tempoh percubaan ini, pelanggan yang ingin membuat pemeriksaan di cawangan Glenmarie boleh membuat temujanji pemeriksaan dengan lebih awal bermula 16 Ogos 2024 di www.mypuspakom.com.my . Dengan waktu operasi yang baharu ini, secara tidak langsung dapat menyediakan lebih banyak slot temujanji pemeriksaan kepada pelanggan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman, berkata penambahan waktu operasi ini merupakan sebahagian daripada projek percubaan Puspakom untuk menilai kesesuaian pelaksanaan waktu operasi yang lebih panjang.

    “Kami sedang cuba untuk melanjutkan waktu operasi yang lebih panjang bagi mengurangkan kesesakan di cawangan-cawangan Puspakom yang mempunyai trafik yang tinggi dan untuk permulaan ini, kami memilih Puspakom Glenmarie sebagai cawangan percubaan bagi mengenal pasti ruang-ruang penambahbaikan.

    Puspakom lancar tempoh percubaan operasi 16 jam sehari untuk cawangan Glenmarie mulai 2 Sept 2024

    “Kami ingin melihat sambutan pelanggan terhadap lanjutan waktu operasi ini dan sekiranya mendapat sambutan yang baik, kami akan melaksanakan secara berperingkat di cawangan-cawangan lain,” kata Mahmood.

    Inisiatif ini bukan sahaja mencerminkan komitmen Puspakom dalam memberikan perkhidmatan yang lebih baik, bahkan juga sebagai usaha untuk memastikan pelanggan dapat merancang pemeriksaan dengan lebih fleksibel dan selesa.

    Tambahnya, Puspakom mengalu-alukan kedatangan pelanggan ke cawangan Puspakom Glenmarie dengan waktu operasi baharu ini dan akan terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pelanggan. Sebagai makluman, waktu operasi di cawangan-cawangan Puspakom yang lain kekal sama dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

     
     
  • Proton sahkan Saga baharu yang dipertingkat sedang dibangunkan bersama Geely di fasiliti R&D China

    Proton sahkan Saga baharu yang dipertingkat sedang dibangunkan bersama Geely di fasiliti R&D China

    Proton menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan mengesahkan bahawa ia kini sedang membangunkan Proton Saga baharu dengan kerjasama Geely dan usaha ini dapat dipercepatkan menerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Proton yang baru dibuka di Teluk Hangzhou, China April lalu.

    Tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah model tingkat taraf model generasi sedia ada atau model generasi baharu, namun Proton menyatakan Saga baharu yang sedang dibangunkan tersebut masih diasaskan dari platform sedia ada, dan projek ini diketuai oleh jurutera R&D dari Malaysia.

    “Keupayaan untuk mencipta, mereka bentuk, membangunkan, dan mengeluarkan kenderaan baru dari awal adalah unik bagi Proton sebagai jenama nasional. Keupayaan ini kini telah diperkukuhkan dengan meningkatkan sinergi kecekapan dalaman sedia ada Proton dengan sumber dan pengetahuan Geely. Peningkatan model-model tempatan Proton akan melibatkan penggunaan sumber bersama dengan Geely untuk menyokong kerja yang diketuai oleh jurutera R&D Proton di Malaysia,” kata Proton dalam kenyataan tersebut.

    Tidak ada bayangan masa bila model ini akan dilancarkan, namun ada kemungkinan Saga berkenaan akan diperkenalkan pada 2026. Ini kerana sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan model Saga sedia ada akan dihentikan pengeluarannya di Shah Alam, dan ia akan berpindah sepenuhnya ke Tanjong Malim pada 2026 – bermakna kilang baharu berkenaan akan disediakan untuk produksi model baharu ini.

    Saga merupakan model Proton paling laris buat masa sekarang. Untuk bulan lalu sahaja, sebanyak 7,855 unit Saga telah berjaya dijual, mencatatkan jualan bulanan terbaiknya sejak Oktober 2013. Malah sedan segmen-A ini juga merupakan model paling mampu milik dijual oleh Proton buat masa ini, ditawarkan dengan harga bermula RM34,800 sehingga RM41,800.

     
     
  • JPJ catat kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi MyJPJ pada Julai 2024; tambahbaik hujung 2025

    JPJ catat kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi MyJPJ pada Julai 2024; tambahbaik hujung 2025

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi digital MyJPJ pada Julai 2024 iaitu sebulan selepas transaksi dalam talian diperkenalkan pada Jun lalu.

    Di mana jumlah bayaran yang diperoleh selepas kaedah pembayaran Payment Gateway (FPX) diperkenalkan itu adalah sembilan kali ganda daripada kutipan hasil menerusi portal MySikap iaitu lebih RM3 juta dalam tempoh sama, kata Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.

    “Kita mendapat reaksi positif daripada pengguna aplikasi MyJPJ apabila mereka memilih melakukan transaksi secara dalam talian, ini adalah kejayaan baharu kepada JPJ. Ini juga membuktikan rakyat sudah nampak kemudahan yang disediakan JPJ dalam memudahkan urusan mereka secara digital dan mengurangkan bilangan orang ke kaunter atau pejabat POS untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Bagi menambah baik aplikasi yang lebih setahun diperkenalkan itu, Aedy Fadly berkata kerajaan menerusi JPJ akan memperkenalkan MyJPJ versi dua yang dijangka dapat disediakan kepada pengguna pada hujung tahun hadapan.

    “Ketika ini perancangan untuk tender baharu bagi MyJPJ versi kedua sudah siap tetapi perlu disemak oleh Jabatan Digital Negara (Kementerian Digital). Versi kedua ini nanti dapat menyelesaikan banyak isu (aduan) berkaitan oleh pengguna aplikasi MyJPJ,” katanya.

     
     
  • Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

    Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

    Lotus Cars Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan model Hyper-GT terbaharunya iaitu Emeya ke pasaran tempatan. Model ini telah membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat pada September 2023, dan sesi pratonton untuk pelanggan yang berminat telah pun bermula bulan lalu.

    Ketiga-tiga varian Emeya ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia. Ia bermula dengan varian asas Lotus Emeya dijual pada harga bermula RM555,000, diikuti Emeya S dengan harga RM643,000, manakala varian paling pantas dan berkuasa Emeya R boleh dibeli pada harga bermula RM777,000. Harga yang disebut ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia.

    Sama seperti Hyper-SUV EV Lotus Eletre, Emeya yang merupakan Grand Tourer-empat pintu ini juga diasaskan dari platform Electric Premium Architecture (EPA) yang dibangunkan Lotus menampilkan asas sistem elektrikal 800-volt. Jadi dalam dunia sebenar, Emeya adalah jawapan Lotus terhadap Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

    Bagi model asas Emeya, ia menerima tetapan dua motor elektrik yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda, serta kuasa keseluruhan 612 PS dan tork maksima 710 Nm. Konfigurasi yang sama dikongsi bersama Emeya S, dan ia juga sebenarnya sama seperti unit rangkaan kuasa pada Eletre dan Eletre S.

    Untuk Emeya dan Emeya S, gandingan ini cukup membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.15 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Manakala untuk Emeya R, kuasa yang dihasilkan dari kedua-dua motor adalah 918 PS dan tork maksima 985 Nm, membolehkan pecutan sama dicapai dalam masa hanya 2.78 saat dan kelajuan maksima pula adalah 256 km/j.

    Ketiga-tiga varian ini menerima sistem Lotus ICC bagi memastikan agihan tork yang tepat diberikan pada setiap roda. Manakala untuk Emeya R, motor elektrik yang diberikan bukan hanya lebih berkuasa, malah unit rangkaian kuasa tersebut juga turut diberikan transmisi dua kelajuan.

    Kesemua varian menerima bateri 102 kWh, yang membolehkan Emeya dan Emeya S bergerak sejauh 610 km mengikut kitaran WLTP dengan satu cas penuh, manakala Emeya R yang lebih berkuasa pula hanya boleh bergerak sejauh 485 km. Unit rangkaian kuasa ini berfungsi menerusi asas seni bina elektrikal 800-volt. Ini membolehkan pengecas pantas DC 350 kW, memenuhkan bateri dari 10-80% dalam masa 18 minit, sementara jika menggunakan pengecas AC 22 kW pula cas dari 0% boleh dipenuhkan dalam masa 5.8 jam.

    Untuk brek, varian asas Emeya diberikan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup empat omboh di hadapan dan cakera 367 mm di belakang. Manakala untuk Emeya S dan Emeya R, ia diberikan brek lebih besar dengan cakera 412 mm dan angkup enam omboh di hadapan bersama cakera 397 mm di belakang. Lotus turut menawarkan tingkat taraf sistem brek seramik karbon dengan angkup 10-omboh untuk Emeya.

    Model asas Emeya turut boleh dikenali menerusi pemadanan set rim aloi 20-inci dengan bersama tayar Pirelli P-Zero bersaiz 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang, manakala Emeya S dan Emeya R menerima set rim aloi forged 21-inci dengan tayar 265/40R21 di hadapan dan 305/35R21 di belakang.

    Untuk suspensi, kesemua varian Emeya menerima suspensi udara tiga-kebuk dengan penyerap hentak adaptif yang sangat aktif bagi bertindak balas dan terhadap permukaan jalan dengan pantas. Ia juga menyediakan lima mod pemanduan iaitu Range, Tour, Sport, Individual dan Track bagi melaras talaan suspensi seperti ketinggian dan kekerasan serta mengambil. kira sekali respon pendikit.

    Manakala bagi varian Emeya R, ia diberikan Handling Pack secara standard yang merangkumi pemadanan sistem anti-oleng aktif dan juga stereng pada gandar belakang.

    Emeya menerima sistem aerodinamik aktif untuk semua varian dengan menampilkan perincian seperti gril hadapan aktif yang dapat memberikan kesan aerodinamik lebih baik ketika ditutup dan menyejukkan bateri serta sistem brek apabila dibuka, dan juga dam angin aktif yang digabungkan dengan diffuser belakang aktif yang memberikan downforce lebih baik pada kelajuan tinggi, serta melancarkan pergerakan udara di bawah kenderaan untuk pengendalian dan pemanduan yang lebih stabil.

    Emeya R pula datang standard dengan Carbon Pack yang menrangkumi komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, bumbung, penutup cermin sisi, Gurney Flap pada spoiler aktif belakang serta diffuser pada bahagian bawah bampar belakang.

    Jika tidak cukup dengan perincian-perincian ini, Lotus turut menawarkan Expanded Pack sebagai opsyen yang menampilkan perincian karbon lain seperti kemasan pada bampar hadapai dan belakang, panel bonet, skrit sisi.

    Kabin Emeya ini masih berkongsi banyak perincian yang diambil dari SUV Eletre. Ia diberikan papan pemuka yang direka elemen melintang dan berlapis yang kelihatan bersambung dengan panel pintu, dan juga konsol tengah “terapung”, bersama skrin sesentuh OLED 15.1-inci diletakkan di tengah-tengah papan pemuka.

    Sistem infotainmen tersebut menggunakan Lotus Hyper OS yang memberikan kuasa pemprosesas dari unit Qualcomm 8155 system-on-chip. Manakala di hadapan pemandu dan penumpang hadapan masing-masing turut diberikan skrin nipis bersaiz 12.6-inci. Skrin untuk pemandu berfungsi sebagai paparan instrumen yang turut disokong dengan paparan head-up dengan teknologi AR.

    Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

    Kesemua varian Emeya ini menerima sistem audio KEF 1,380-watt yang menampilkan 15-pembesar suara bersama sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Namun Lotus turut menawarkan tingkat taraf dengan opsyen sistem audio KEF berkuasa 2,160-watt dengan 23 pembesar suara.

    Sebagai sebuah model empat pintu, Emeya juga merupakan sebuah kereta yang praktikal untuk digunakan setiap hari, dan ia menawarkan ruang but belakang sebesar 509 liter. Pembeli boleh memilih untuk memadankan pek Comfort Seat bagi memberikan fungsi pengurut pada empat duduk hadapan dengan lima mod.

    Ada juga pilihan opsyen Executive Pack yang memberikan kerusi pengurut pada tempat duduk belakang dan juga skrin untuk kabin belakang bersaiz sembilan-inci yang boleh dilipat sepenuhnya lika tidak digunakan. Tetapi dengan pilihan ini ruang but belakang akan mengecil dengan kapasiti 426 liter.

    Emeya turut menggunakan sistem pembatalan bunyi bersepadu atau Road Noise Cancellation (RNC) bagi mengelakkan pemandu terganggu dengan bunyi dari luar. Sistem ini Menggunakan penderia getaran pada bahagian badan kenderaan bagi mengesan pergerakkan pada tayar dan suspensi dan dengan bantuan algoritma khas bagi membatalkan bunyi-bunyi yang tidak di ingini tersebut.

    Untuk keselamatan, kesemua varian Emeya menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang dikuasakan oleh cip pemproses Nvidia Drive Orin berkembar. Ia memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantaun titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran pelanggaran belakang dan kamera 360-darjah. Sistem bantuan parkir pula ditawarkan sebagai opsyen.

    Lotus Cars Malaysia menawarkan pelindungan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000km, manakala waranti untuk bateri EV ini pula diberikan selama lapan tahun atau 200,000km.

    GALERI: Lotus Emeya S pasaran Malaysia

    GALERI: Lotus Emeya R pasaran Malaysia

     
     
  • Rapid KL sediakan perkhidmatan 24 jam untuk rel dan laluan bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Merdeka

    Rapid KL sediakan perkhidmatan 24 jam untuk rel dan laluan bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Merdeka

    Rapid KL, selaku pengendali perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang telah mengumumkan semua perkhidmatan rel merangkumi LRT, MRT dan Monorel, serta BRT Laluan Sunway dan laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos 2024, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

    Perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan buat pertama kalinya sebagai inisiatif Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan. Sehubungan itu, semua servis rel akan beroperasi bermula dari jam 6.00 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.

    Menurut Rapid KL, sebanyak 60 bas perantara percuma akan disediakan dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula jam 6 petang pada 30 Ogos hingga jam 3 petang pada 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya.

    Selain itu, sebanyak sembilan buah bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos 2024.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, “Pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

    “Lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Merdeka 2024. Kami berharap semua rakyat Malaysia dapat hadir bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sebagai tanda cinta kepada negara.”

    Justeru, Prasarana menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan. Lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih. Selain itu, Prasarana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia akan memastikan kelancaran laluan bas khas ini tidak terganggu dan anggota Polis Bantuan Prasarana akan ditugaskan untuk membantu penganjur bagi kelancaran lalulintas.

    “Pengguna jalan raya sekitar Putrajaya juga dinasihati agar mematuhi arahan pihak berkuasa dengan tidak menghalang laluan bas sepanjang sambutan berlangsung. Pengguna juga disarankan untuk menggunakan kad Touch ’n Go dan memastikan baki kad Touch ‘n Go anda mencukupi,” kata Prasarana.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025