Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ peroleh lebih RM101.9j menerusi Kompaun Khas Kadar Rata sejak Jan 2025 – dilanjutkan hingga 31 Dis

    JPJ peroleh lebih RM101.9j menerusi  Kompaun Khas Kadar Rata sejak Jan 2025 – dilanjutkan hingga 31 Dis

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperoleh lebih RM101.9 juta melalui inisiatif Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang diperkenalkan sejak Januari lalu.

    Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi ) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi, kompaun itu membabitkan tiga kategori saman iaitu Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), Notis 114 dan 115, laporan Bernama.

    “Bagi saman AwAS merekodkan kutipan lebih RM95.3 juta membabitkan 635,294 notis, manakala bagi Notis 114 adalah sebanyak 35,183 notis membabitkan kutipan RM5.2 juta dan Notis 115 pula berjumlah 8,266 notis membabitkan lebih RM 1.23 juta,” katanya.

    Pada awal Julai lalu, JPJ mengumumkan tawaran bayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang sepatutnya berakhir 30 Jun, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025.

    JPJ peroleh lebih RM101.9j menerusi  Kompaun Khas Kadar Rata sejak Jan 2025 – dilanjutkan hingga 31 Dis

    Seperti sebelum ini, kadar kompaun khas ini adalah untuk tiga kesalahan yang melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115), kedua-duanya untuk tahun 2024 dan sebelumnya.

    “Orang ramai disaran untuk tidak melepaskan peluang lanjutan tawaran ini dengan menyelesaikan saman tertunggak sebelum tempoh tawaran berakhir pada 31 Disember 2025.

    “Kegagalan menyelesaikan mana-mana saman yang boleh dikompaun sama ada yang tertunggak atau telah melebihi tarikh kompaun boleh menyebabkan kenderaan disenarai hitam oleh JPJ secara automatik oleh sistem bermula 1 Julai 2025,” kata Ketua Pengarah JPJ, Dato’ Aedy Fadly Ramli.

    Pembayaran kompaun ini boleh dilakukan melalui pelbagai saluran antaranya di kaunter JPJ, portal awam, kios JPJ, kaunter mobile JPJ serta aplikasi myJPJ. Walau bagaimana pun, urusan pembayaran kompaun ini tidak boleh dilakukan melalui saluran MyEG dan di Pos Malaysia.

     
     
  • Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

    Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

    Nio secara rasmi membuka tempahan untuk model SUV elektrik tiga baris tempat duduk mereka, ES8 generasi ketiga, di pasaran China. Model ini ditawarkan pada harga bermula 416,800 yuan, bersamaan kira-kira RM244,000 untuk versi enam dan tujuh tempat duduk. Selain itu, terdapat juga varian Signature Edition dengan konfigurasi enam tempat duduk yang dijual pada harga lebih tinggi, iaitu 456,800 yuan atau sekitar RM268,000.

    Menariknya, pembeli di China turut ditawarkan pilihan untuk memiliki ES8 melalui program penyewaan bateri. Dengan kaedah ini, harga pembelian dapat dikurangkan sebanyak 108,000 yuan atau kira-kira RM63,000. Namun begitu, pelanggan perlu membayar yuran bulanan untuk menyewa bateri tersebut dan buat masa ini, Nio masih belum mendedahkan kadar yuran yang dikenakan.

    Dari sudut kejuruteraan, ES8 dibina berasaskan seni bina elektrik 900 volt dan dilengkapi satu pilihan penggerak sahaja ketika ini. Ia hadir dengan bateri berkapasiti 102 kWh, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga 635 km mengikut piawaian CLTC. Bateri ini juga menyokong kadar pengecasan pantas 5C sehingga 600 kW, membolehkan tambahan jarak sejauh 250 km hanya dengan pengecasan selama lima minit.

    Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

    Sistem pacuannya terdiri daripada dua motor elektrik – satu di gandar hadapan dan satu di gandar belakang – sekaligus memberikan pemanduan semua roda (AWD) secara standard. Motor di bahagian hadapan menjana 245 PS dan 300 Nm, manakala motor belakang lebih berkuasa dengan 462 PS dan 400 Nm. Secara keseluruhan, sistem ini menghasilkan kuasa gabungan 707 PS dan 700 Nm, membolehkan SUV ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 3.97 saat.

    Sebagai sebuah SUV premium yang turut ditawarkan dengan ciri separa off-road, ES8 mempunyai kelegaan tanah 165 mm serta mampu meredah air setinggi 650 mm. Ia turut dilengkapi sistem suspensi udara dengan pelarasan sehingga 50 mm bagi memudahkan penumpang keluar masuk dan memudahkan proses memuatkan barang.

    Ruang kargo utama memiliki kapasiti 547 liter dan boleh diperluaskan sehingga 3,230 liter apabila kerusi baris belakang dilipat rata. Sebagai tambahan, terdapat juga ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 230 liter untuk menambah praktikaliti.

    Nio ES8 2025 masuk pasaran China sebagai SUV EV paling besar – kuasa 707 PS, jarak gerak CLTC 635 km

    Berbanding model sebelumnya, Nio ES8 generasi baru ini hadir dengan dimensi lebih besar. Ia kini berukuran 5,280 mm panjang, 2,010 mm lebar dan 1,800 mm tinggi, sementara jarak antara roda ditingkatkan kepada 3,130 mm, menjadikannya lebih lapang dan selesa untuk kegunaan keluarga besar.

    Rekaan luaran model ini mengikut falsafah rekaan terkini Nio yang dikenali sebagai “Design for Success“. Ia menampilkan lampu nyalaan siang LED yang nipis di bahagian atas, dipadankan bersama lampu utama berteknologi LED matriks. Antara elemen lain yang menyerlah termasuk rim bersaiz 21 inci, pemegang pintu jenis pop-out, sensor LiDAR yang dipasang di bumbung serta lampu belakang yang menggunakan sehingga 600 unit LED.

    Bahagian dalam kabin merupakan antara tarikan utama ES8. Pembeli boleh memilih antara susun atur tempat duduk enam tempat duduk dalam konfigurasi 2-2-2 atau tujuh tempat duduk dalam format 2-3-2. Bagi model enam tempat duduk, kerusi baris kedua boleh direbahkan sehingga 151 darjah dan dilengkapi dengan perehat kaki berhaba, memberikan pengalaman umpama ruang bilik tidur apabila kerusi baris hadapan turut dilipat sepenuhnya.

    Dari segi teknologi, SUV ini dilengkapi paparan Skyline berukuran 48 inci yang merentangi papan pemuka, berfungsi sebagai panel instrumen digital serta paparan untuk penumpang hadapan. Ia turut hadir dengan skrin sesentuh infotainmen AMOLED 16.4 inci dan paparan kepala 38 inci yang menyokong teknologi realiti tambahan (AR).

    Antara ciri premium lain yang ditawarkan termasuk pad pengecas tanpa wayar berkembar, penyaman udara lima zon, meja lipat di belakang tempat duduk hadapan, peti sejuk mini, sistem bunyi dengan 27 pembesar suara yang menjana kuasa sebanyak 2,600 watt serta sokongan Dolby Atmos. Untuk penumpang belakang, terdapat paparan siling berukuran 21.4 inci dengan resolusi 3K.

    Sistem penderia LiDAR pada ES8 berfungsi sebagai komponen utama dalam sistem bantuan pemandu Nio yang dikenali sebagai Nio World Model (NWM) dan ia dioperasikan melalui cip Shenji NX9031. Sistem ini membolehkan pelbagai fungsi pemanduan pintar termasuk bantuan parkir automatik dan pemanduan dari titik ke titik secara separa autonomous. Menariknya, cermin sisi luaran turut dilengkapi lampu penunjuk berwarna biru untuk memberi isyarat kepada pengguna jalan raya lain bahawa kenderaan sedang beroperasi dalam mod pemanduan sendiri.

     
     
  • Mitsubishi Delica Mini, eK Space 2025 di Jepun – kei car generasi baru diberi pembaharuan, dari RM50k

    Mitsubishi Delica Mini, eK Space 2025 di Jepun – kei car generasi baru diberi pembaharuan, dari RM50k

    Mitsubishi mendedahkan Delica Mini generasi kedua bersama eK Space generasi ketiga di Jepun. Kedua-dua model kategori kei car ini sudah dibuka untuk tempahan awal. Bagi Delica Mini, harga anggaran bermula dari 1.95 juta yen hingga 2.95 juta yen (sekitar RM56,000 hingga RM84,000), manakala eK Space dijangka dijual antara 1.75 juta hingga 1.95 juta yen (lebih kurang RM50,000 hingga RM56,000).

    Meskipun Delica Mini ini kelihatan mirip model terdahulu yang menggantikan eK X Space sejak pelancarannya pada Mei 2023, ia tampil dengan beberapa perubahan menarik. Bahagian hadapan kini dilengkapi lampu utama lebih besar bersama lampu nyalaan siang LED separa bulat, gril diberi sentuhan baru dengan rekaan lebih lasak, bampar depan menampilkan elemen Dynamic Shield manakala pelindung bawah (skid plate) dibuat lebih menonjol.

    Rekaan bonet, fender dan pintu turut dipertingkat dengan garisan lebih jelas, manakala A-pillar kini lebih tegak dan ditolak ke depan sejauh 115 mm untuk ruang kabin yang lebih luas. Bahagian belakang pula menampilkan tiang D yang kini lebih kukuh dan tidak lagi menggunakan rekaan melengkung. Ia dipadankan dengan lampu belakang LED baru, pelindung bawah lebih besar dan kemasan badan pada pintu but belakang.

    Mitsubishi Delica Mini, eK Space 2025 di Jepun – kei car generasi baru diberi pembaharuan, dari RM50k

    Dimensi keseluruhan masih mengekalkan saiz kei car mengikut peraturan Jepun; panjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak roda 2,495 mm. Kabin Delica Mini menerima pembaharuan dengan papan pemuka yang menempatkan dua paparan digital – kluster instrumen digital tujuh inci dan skrin infotainmen sesentuh 12.3 inci.

    Corong udara kini direka semula dengan sirip mendatar yang menyambungkan kedua-dua sisi secara visual manakala kedudukan butang kawalan penyaman udara diubah bagi memberi ruang kepada tombol kawalan mod pemanduan, yang menawarkan pilihan Power, Normal, Eco, Gravel dan Snow.

    Turut diperkenalkan bersama Delica Mini adalah model eK Space. Ia berkongsi platform, bahagian dalaman dan kebanyakan panel badan dengan Delica, tetapi tampil dengan wajah berbeza serta gaya lebih sederhana.

    Mitsubishi Delica Mini, eK Space 2025 di Jepun – kei car generasi baru diberi pembaharuan, dari RM50k

    eK Space mempunyai ketinggian lebih rendah dan tidak dilengkapi pelindung bawah atau kemasan plastik luar, menjadikannya lebih sesuai untuk kegunaan bandar.

    Setakat ini, Mitsubishi belum mengumumkan spesifikasi enjin untuk model baru ini, namun Delica Mini sebelum ini ditawarkan dengan enjin petrol tiga silinder turbo BR06 berkapasiti 659 cc, menghasilkan 64 PS dan 100 Nm tork.

    Terdapat juga versi tanpa turbo yang menjana 52 PS dan 60 Nm. Kedua-dua varian menggunakan transmisi CVT dan ditawarkan dengan pilihan pacuan dua roda (FWD) atau semua roda (AWD).

     
     
  • LRT, MRT, BRT, laluan bas terpilih dan beberapa zon Rapid KL On-Demand beroperasi 24 jam, 30-31 Ogos

    LRT, MRT, BRT, laluan bas terpilih dan beberapa zon Rapid KL On-Demand beroperasi 24 jam, 30-31 Ogos

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan semua perkhidmatan tren LRT dan MRT, BRT Laluan Sunway, beberapa laluan bas Rapid KL, serta van Rapid KL On-Demand (ROD) untuk zon terpilih akan beroperasi tanpa henti selama 24 jam mulai 6 pagi pada 30 Ogos hingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2025. Ia adalah untuk memastikan kelancaran pergerakan orang ramai terutamanya yang ingin meraikan sambutan Hari Merdeka ke-68.

    “Bagi perkhidmatan bas tambahan pula, sebanyak 86 laluan melibatkan 235 buah bas akan beroperasi pada malam Ambang Merdeka (30 Ogos). Manakala pada Hari Merdeka (31 Ogos) jumlahnya akan ditingkatkan kepada 100 laluan dengan 308 buah bas bagi menampung keperluan orang ramai.

    “Sementara itu, bagi perkhidmatan ROD, sebanyak 20 buah van akan disediakan merangkumi lima zon dari Stesen Putrajaya Sentral dan satu (1) zon di Daerah Pusat Perniagaan. Tempahan boleh dibuat melalui aplikasi MyRapid PULSE dengan kadar bayaran hanya RM1,” kata syarikat berkenaan menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, “Pengalaman menjalankan operasi 24 jam pada tahun lalu menjadi rujukan penting untuk kami menambah baik persiapan kali ini. Dengan menempatkan lebih 5,000 kakitangan barisan hadapan, kami yakin perkhidmatan tahun ini akan lebih lancar dan selamat.

    “Harapan kami agar rakyat Malaysia dapat memanfaatkan kemudahan ini, hadir beramai-ramai, dan bersama-sama menghayati semangat kemerdekaan dalam suasana yang penuh muhibah,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Prasarana turut mengumumkan bahawa Rapid KL akan menyediakan 96 bas perantara percuma melibatkan tiga laluan untuk ke Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini. Laluan terbabit melibatkan Taman Botani-Putra Square dan Lobi utama Putrajaya International Convention Centre (PICC)-Jalan Tun Hussien Presint 3 yang kedua-duanya beroperasi dari jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos, dengan kekerapan ketibaan setiap 10 minit.

    Manakala zon ketiga pula melibatkan laluan MRT Putrajaya Sentral-Jalan Tun Abdul Razak Presint 2 dari jam 12 tengahari pada 30 Ogos sehingga 2 petang pada 31 Ogos. Dengan kekerapan ketibaan setiap 10-15 minit mulai 12 tengahari hingga 9 malam pada 30 Ogos, setiap 10 minit mulai 9 malam pada 30 Ogos hingga 4 pagi pada 31 Ogos dan setiap lima minit mulai 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

    Senarai penuh laluan bas dan zon ROD boleh dirujuk di laman web www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.

     
     
  • KLIA Transit tawar diskaun 50% untuk tiket ke Putrajaya sempena Hari Kemerdekaan – 30-31 Ogos

    KLIA Transit tawar diskaun 50% untuk tiket ke Putrajaya sempena Hari Kemerdekaan – 30-31 Ogos

    Bagi yang ingin meraikan hari Kemerdekaan ke-68 di Putrajaya, mungkin boleh menggunakan pengangkutan awam di sana memandangkan agak sukar untuk mendapatkan parkir dan banyak jalan utama di sana ditutup bagi kelancaran acara. Antara pengangkutan awam yang boleh anda gunakan ialah menaiki tren KLIA Transit.

    Sempena dengan Hari Kemerdekaan ini, KLIA Transit menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk pembelian tiket dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan atau Salak Tinggi untuk ke stesen Putrajaya dan Cyberjaya pada 30 dan 31 Ogos ini. Tawaran diskaun tersebut untuk penumpang dewasa dan kanak-kanak (namun yang berusia enam tahun ke bawah tidak dikenakan sebarang tambang). Tempoh tempahan mulai hari ini (25 Ogos) hingga Hari Merdeka.

    Manakala jika anda membeli tiket perkhidmatan tren KLIA Ekpres pula, bendera mini Jalur Gemilang dan pek istimewa Merdeka akan diberikan untuk 200 penumpang pertama yang menempah tiket tersebut.

    Tiket boleh dibeli menerusi laman web rasmi www.kliaekspres.com atau aplikasi KLIA Ekspres. Bagi yang mungkin tidak tahu, KLIA Ekpres ialah tren tanpa henti dari KLIA Sentral ke KLIA, sementara KLIA Transit pula akan berhenti di tiga stesen dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang.

     
     
  • PROLINTAS rancang pasang pagar tambahan di Lebuhraya DASH bagi tingkatkan aspek keselamatan

    PROLINTAS rancang pasang pagar tambahan di Lebuhraya DASH bagi tingkatkan aspek keselamatan

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (PROLINTAS) selaku pengendali Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) menjelaskan bahawa struktur lebuhraya berkenaan termasuk di bahagian selekoh struktur bertingkat, telah dibina mengikut spesifikasi yang diluluskan oleh pihak berkuasa dan disahkan oleh jurutera bertauliah.

    Kenyataan ini dikeluarkan selepas terdapat beberapa kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal yang terjatuh dari struktur bertingkat DASH sejak lebuhraya ini mula dibuka pada 14 Oktober 2022. Kejadian terkini berlaku kelmarin selepas seorang pelajar lelaki kolej swasta berusia 19 tahun dilapor maut selepas motosikal ditunggang terbabas sebelum terjatuh dari struktur bertingkat DASH pada ketinggian 21 meter di susur 1/B 0.5 berhampiran Persiaran Pulau Angsa.

    Malah ini merupakan kejadian kedua dalam tempoh sebulan selepas seorang penunggang motosikal turut terjatuh dan maut di lokasi yang sama pada 26 Julai lalu.

    PROLINTAS rancang pasang pagar tambahan di Lebuhraya DASH bagi tingkatkan aspek keselamatan

    Susulan insiden seumpama itu, POROLINTAS memaklumkan bahawa beberapa langkah keselamatan tambahan sedang dilaksanakan.

    “Walaupun reka bentuk lebuhraya ini telah memenuhi semua keperluan keselamatan, kami telah mengambil langkah proaktif seperti pemasangan papan tanda amaran tambahan di lokasi strategik, mempertingkatkan hebahan kesedaran awam, serta merancang pemasangan pagar tambahan bagi meningkatkan lagi aspek keselamatan,” kata syarikat itu yang menambah pihaknya telah menyerahkan semua bukti berkaitan, termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

    Dalam masa yang sama, PROLINTAS turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi had kelajuan yang ditetapkan dan memandu dengan berhemah, khususnya di bahagian lebuh raya yang bertingkat dan berselekoh.

     
     
  • Suzuki Fronx dijangka tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini, SUV e-Vitara pula tahun depan

    Suzuki Fronx dijangka tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini, SUV e-Vitara pula tahun depan

    Teaser untuk Fronx sudah dikeluarkan oleh Suzuki Malaysia melalui laman media sosial mereka, tapi bila pelancaran rasminya? Melalui maklumat yang kami terima, ia akan berlaku pada suku keempat tahun ini (berkemungkinan seawal Oktober).

    Semasa liputan acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) baru-baru ini, kami telah menunjukkan pasaran Indonesia menerima Fronx dalam tiga varian iaitu GL, GX dan SGX, dengan harga antara 259 juta hingga 321.9 juta rupiah (sekitar RM67,000 hingga RM84,000), dan ia dipasang di dalam negara itu sendiri (CKD).

    Sementara itu, sumber kami pula menjangkakan Malaysia hanya akan menerima varian paling tinggi, dengan harga yang melebihi RM100k kerana import dari luar negara. Melihat kepada pasaran negara jiran itu, Fronx SGX (paling tinggi) menggunakan enjin petrol empat silinder sebaris K15C 1.5 liter NA yang menghasilkan 101 PS dan 135 Nm, bersama sistem hibrid yang terdiri daripada bateri lithium-ion 12 volt dan generator pemula bersepadu (ISG).

    Suzuki Fronx dijangka tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini, SUV e-Vitara pula tahun depan

    Kuasa disalurkan ke roda hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan dan perincian lain adalah termasuk tangki bahan api 37 liter, tayar bersaiz 195/60, suspensi hadapan jenis MacPherson dan torsion beam di belakang, brek cakera hadapan berliang serta brek dram di belakang.

    Sebagai varian paling tinggi, Fronx SGX datang dengan stereng balutan kulit, skrin pelbagai info 4.2 inci, skrin infotainmen sembilan inci, cruise control, pendingin hawa automatik, penukar gear di stereng dan tambahan dua tweeter menjadikan jumlah pembesar suara kepada enam.

    Ia juga hadir dengan spoiler bawah di depan dan belakang, visor pintu, pilihan warna luaran dua tona, lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik dan pengecas telefon tanpa wayar.

    Suzuki Fronx dijangka tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini, SUV e-Vitara pula tahun depan

    Dari aspek keselamatan, sistem bantuan pemandu lanjutan (ADAS) disediakan secara eksklusif untuk SGX. Ini termasuk Adaptive Cruise Control, kamera 360 darjah, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, amaran pemanduan tidak stabil, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang, bantuan lampu tinggi, head-up display dan sistem brek kecemasan Suzuki (Dual Sensor Brake Support II).

    Sementara itu, satu lagi model baru iaitu SUV elektrik e-Vitara juga diberitahu dalam perancangan untuk kemasukan ke Malaysia, tapi hanya akan berlaku tahun hadapan. Model ini juga ada dipamerkan di GIIAS, dan diberitahu akan ditawarkan dalam dua pilihan kapasiti bateri iaitu 49 kWh dan 61 kWh.

    Suzuki Fronx dijangka tiba di pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini, SUV e-Vitara pula tahun depan

    Versi dengan bateri 49 kWh dipadankan dengan motor elektrik hadapan yang menghasilkan kuasa sebanyak 144 PS (bersamaan 142 hp atau 106 kW) serta tork 189 Nm. Sementara itu, varian 61 kWh pula hadir dengan motor elektrik yang lebih berkuasa, menjana 174 PS (172 hp atau 128 kW) dengan tork yang sama.

    Bagi mereka yang inginkan lebih kuasa dan cengkaman, bateri berkapasiti lebih besar ini juga ditawarkan dalam konfigurasi pacuan semua roda menerusi sistem ALLGRIP-e. Ia menerima tambahan motor elektrik pada gandar belakang yang menjana 65 PS (64 hp atau 48 kW), menjadikan jumlah kuasa keseluruhan sistem kepada 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan tork mencecah 300 Nm. Suzuki mendakwa bahawa varian 61 kWh mampu mencapai jarak pemanduan sehingga 500 km bagi satu cas penuh, namun angka rasmi masih belum diumumkan.

     
     
  • Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

    Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

    Selepas beberapa kali dipertontonkan kepada umum, hari ini akhirnya Zeekr 7X dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Ia ditawarkan dalam tiga varian, bermula varian paling asas RWD Standard Range dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM179,800, varian pertengahan RWD Long Range berharga RM190,800 dan yang paling lengkap, AWD Performance berharga RM226,800.

    Zeekr 7X merupakan SUV EV yang akan berentap terus dengan Tesla Model Y yang dijual dengan harga bermula RM195,450 hingga RM242,450 dan juga BYD Sealion 7 yang dijual bermula RM187,710 hingga RM203,710. Ia dihasilkan dengan ukuran panjang 4,825 mm, lebar 1,930 mm, tinggi 1,666 mm dan jarak roda sejauh 2,925 mm, dengan platform yang beroperasi menggunakan asas elektrikal 800-volt.

    Bagi kedua-dua varian RWD, 7X diberikan motor elektrik tunggal berkuasa 421 PS (310 kW) dan tork maksima 440 Nm bagi memacu roda belakang, membolehkan kedua-duanya memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6 saat. Apa yang berbeza ialah bateri, di mana varian Standard diberikan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 75 kWj untuk jarak gerak sejauh 480 km dalam kitaran ujian WLTP, manakala varian Long Range pula menerima bateri nikel kobalt mangan (NMC) dengan kapasiti 100 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 615 km WLTP.

    Manakala bagi varian AWD Performance, ia diberikan satu lagi motor elektrik untuk memacu roda hadapan, memberikan kebolehan pacuan semua roda dan kuasa keseluruhan 646 PS (475 kW) dan tork maksima 710 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat. Varian ini masih menggunakan bateri NMC 100 kWj yang memberikan jarak gerak 543 km WLTP.

    Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

    Untuk mengecas pula, Zeekr 7X RWD Standard Range dengan bateri LFP boleh menerima pengecas pantas DC 450 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10%-80% dalam masa 10.5 minit, manakala dengan pengecas AC 22 kW kuasa boleh dipenuhkan dari 10%-100% dalam masa 4.5 jam.

    Manakala bagi varian RWD Long Range dan AWD Performance yang diberikan bateri NMC, ia boleh menerima pengecas pantas DC 420 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa 16 minit, dan juga pengecas AC 22 kW yang membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 100% dalam masa 5.5 jam. Ketiga-tiga varian turut menerima sistem Vehicle-to-load (V2L) yang membolehkan bateri pada EV ini mengoperasikan perlatan elektrik lain dengan output 3.3 kW.

    Casis SUV ini menampilkan konfigurasi suspensi jenis double wishbone di hadapan dan juga multilink di belakang. Ia juga datang standard dengan set bushing hidraulik yang dioptimakan untuk pemandu merasai keadaan jalan raya. Namun hanya varian AWD Performance yang diberikan suspensi adaptif Continous Control Damping System (CCDS) menerusi sistem suspensi udara dengan kebuk tunggal.

    Zeekr 7X dilancar di Malaysia – lawan Tesla Model Y, 3 varian, RM180k-RM227k, hingga 646 PS, 615 km WLTP

    Perincian standard yang diberikan pada SUV ini untuk semua varian termasuk pintu belakang larasan kuasa dan bumbung kaca panoramik dengan pelindung matahari larasan kuasa. Kesemua lampu luaran termasuk lampu hadapan, lampu nyalaan siang dan lampu belakang diberikan dengan teknologi LED.

    Kedua-dua varian pacuan roda belakang diberikan set rim aloi 19-inci, manakala varian pacuan semua roda pula diberikan set rim aloi 20-inci bersama tayar Michelin Pilot EV serta angkup brek Akebono di hadapan dengan kemasan oren. Zeekr Malaysia turut menawarkan pilihan rim aloi 21-inci ditawarkan dengan harga RM14.8k.

    Selain itu varian AWD Performance juga datang dengan Zeekr Stargate Integrated Smart Light Curtain yang menampilkan 1,831 LED di panel depan di bawah lampu utama, membolehkan pemilik membuat pelbagai corak grafik pada lampu tersebut, termasuk memaparkan tulisan. Walau bagaimana pun fungsi tulisan tersebut masih belum boleh digunakan di Malaysia kerana tidak mendapat pelepasan dari pihak berkuasa, namun mungkin dapat digunakan pada masa depan dengan kemaskini secara OTA.

    Manakala dalam kabin semua varian diberikan lampu suasana dinamik RGB, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori, kerusi belakang larasan kuasa dengan larasan 10-darjah untuk penyandar, kluster instrumen digital 13.02-inci, skrin sentuh infotainmen 16-inci dengan paparan 3.5K mini-LED dikuasakan cip Qualcomm 8295 dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa tiga zon, serta mempunyai 36 ruang storan di dalam kabin, termasuk dua di bawah kerusi belakang.

    Bagi varian Standard ia diberikan roda stereng balutan kulit larasan manual, upholsteri kulit pada tempat duduk dan sistem bunyi dengan 10-pembesar suara. Manakala varian RWD Long Range ia menerima perincian lebih baik termasuk roda stereng dengan larasan kuasa, tempat duduk hadapan dengan liang udara dan fungsi urut, paparan head-up AR dengan pancaran 36.21-inci, sistem bunyi Zeekr Sound 21-pembesar suara dan dua pengecas tanpa wayar 50-watt.

    Varian AWD Performance pula menerima tambahan upholsteri tempat duduk kulit Nappa serta pelindung matahari larasan kuasa untuk tingkap sisi di belakang.

    Ketiga-tiga varian Zeekr 7X ini menerima kelengkapan keselamatan yang sama iaitu tujuh beg udara, cruise control adaptif dengan kawalan ke tengah lorong, bantuan kekal lorong, penukaran lorong automatik, brek kecemasan automatik dengan amaran serta penghindaran perlanggaran depan, brek parkir kecemasan, amaran bukaan pintu, pemantau titik buta, sokongan pengelak pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik di depan dan belakang, pemantau pemandu, bantuan parkir automatik dan kamera 360-darjah.

    Pembeli ditawarkan dengan lima pilihan warna badan – warna Crystal White, Onyx Black, Tech Grey dan Forest Green disediakan untuk semua varian, namun warna Brooke Blue yang dipadankan dengan bumbung warna perak hanya khusus untuk varian AWD Performance, dan ia memerlukan bayaran tambahan sebanyak RM3,000. Walau bagaimanapun warna Crystal White ditetapkan sebagai warna badan standard, manakala untuk pilihan warna lain akan dikenakan bayaran tambahan.

    Manakala untuk kabin, ia datang standard dengan tema warna hitam, namun bagi varian paling tinggi pembeli diberikan opsyen kombinasi putih dan ungu tetapi dengan tambahan kos. Khas sempena pelancaran model ini di Malaysia, Zeekr 7X turut diberikan pengecas wallbox 22 kW dan juga filem penapis haba secara percuma. Juga, 500 pelanggan pertama turut akan menerima aksesori berupa peti sejuk untuk SUV ini yang ditawarkan secara percuma.

    Setiap pembelian Zeekt 7X ini akan dilindungi oleh waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000 km, manakala untuk bateri bervoltan tinggi ia diberikan waranti selama lapan-tahun atau 160,000 km. Ia juga diberikan servis terhubung untuk akses kepada Zeekr App, sistem navigasi onboard dan juga kemaskini perisian menerusi over-the-air (OTA) secara percuma selama setahun – bayaran selepas tahun pertama masih belum diumumkan.

    Ketika majlis pelancaran hari ini, Zeekr Malaysia mengumumkan bahawa sebanyak 1,000 unit model ini telahpun ditempah. Jadi untuk mereka yang baru menempah, masa menunggu dianggar akan mencecah selama tiga hingga empat bulan. Penghantaran pertama untuk Zeekr 7X ini akan bermula pertengahan September nanti.

    GALERI: Zeekr 7X AWD Performance

    GALERI: Zeekr 7X RWD Long Range

    GALERI: Zeekr 7X RWD Standard

     
     
  • Himpunan Selawat Bersama Gaza – Stesen Pasar Seni, Masjid Jamek beroperasi hingga 1 pagi, 23-24 Ogos

    Himpunan Selawat Bersama Gaza – Stesen Pasar Seni, Masjid Jamek beroperasi hingga 1 pagi, 23-24 Ogos

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi Stesen LRT Masjid Jamek dan Pasar Seni sehingga jam 1 pagi pada 23 dan 24 Ogos 2025.

    Lanjutan operasi ini dilaksanakan sempena program Malam Himpunan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 22 hingga 24 Ogos. Malam kemuncak acara ini iaitu pada 24 Ogos akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Walau bagaimana pun, Rapid Rail berkata, stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa namun penumpang masih boleh keluar di semua stesen untuk meneruskan perjalanan pulang mereka.

    Himpunan Selawat Bersama Gaza – Stesen Pasar Seni, Masjid Jamek beroperasi hingga 1 pagi, 23-24 Ogos

    Selain itu, Rapid Rail turut menggalakkan para penumpang untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen. Bagi yang menggunakan token, disarankan agar membeli token pergi dan balik lebih awal, sebelum meninggalkan stesen.

    “Kakitangan tambahan juga akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar. Penumpang yang memerlukan bantuan digalakkan untuk mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen.

    “Penumpang juga disarankan untuk mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah,” kata Rapid Rail menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri VPR dan TDE dibuka untuk bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari WP Kuala Lumpur dan Terengganu yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari WPKL, VPR dibuka bidaan sejak semalam, 21 Ogos 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 25 Ogos. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 26 Ogos 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Terengganu, TDE, dibuka bidaan bermula hari ini, 22 Ogos 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 26 Ogos, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 27 Ogos 2025.

    Memandangkan kini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Nissan X-Trail Nismo dilancarkan di Jepun – naik taraf bahagian stereng, suspensi, enjin masih e-Power 1.5L

    Nissan X-Trail Nismo dilancarkan di Jepun – naik taraf bahagian stereng, suspensi, enjin masih e-Power 1.5L

    Nissan telah melancarkan model X-Trail Nismo buat julung kalinya di Jepun. Walaupun ia membawa lencana Nismo yang sinonim dengan prestasi, model ini tidak menerima sebarang peningkatan kuasa. Ia masih mengekalkan sistem hibrid siri e-Power yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo tiga silinder bersama dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 204 PS dan tork 330 Nm, serta sistem pacuan semua roda (AWD).

    Namun begitu, aspek pengendalian diberi penekanan utama. Buat pertama kalinya dalam sejarah Nissan, X-Trail Nismo dilengkapi penyerap hentak Kayaba Swing Valve yang berfungsi mengurangkan olengan badan semasa mengambil selekoh.

    Sistem AWD elektrik e-4ORCE turut ditala semula dengan lebih keutamaan kepada roda belakang, memberikan kawalan lebih jitu ketika memecut di selekoh. Unit kawalan kenderaan khas yang telah ditala ini juga menawarkan dua mod pemanduan – Sport dan Auto – yang mengawal corak pecutan dan agihan kuasa antara gandar depan dan belakang.

    Dari segi kelengkapan luaran, X-Trail Nismo tampil dengan rim Enkei 20 inci eksklusif yang dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport EV. Rekaan rim ini bukan sahaja sporty, tetapi turut direka untuk menyejukkan brek dengan lebih cekap serta meningkatkan aliran udara. Menurut Nissan, perubahan ini menjadikan daya angkat berkurang sebanyak 29%, selain memberikan stereng yang lebih responsif.

    Penampilan luarannya jelas memperlihatkan DNA Nismo – terdapat kemasan krom gelap pada bahagian atas gril, spoiler hadapan dengan lencana Nismo yang menjana daya mendap, serta jalur merah yang mengelilingi bahagian bawah badan kenderaan. Di belakang pula, terdapat elemen menyerupai diffuser bersama lampu kabus belakang gaya perlumbaan yang diletakkan di tengah.

    Masuk ke ruang dalaman, terdapat stereng berbentuk D dengan penanda merah pada kedudukan jam 12, bersama beberapa kemasan merah lain termasuk pada butang penghidup enjin. Pelanggan turut boleh memilih tempat duduk Recaro Nismo sebagai pilihan tambahan, lengkap dengan ciri pelarasan elektrik dan pemanas.

     
     
  • Suzuki Swift Sport Final Edition khas untuk pasaran Malaysia mula dijual – kemasan istimewa, RM138k

    Suzuki Swift Sport Final Edition khas untuk pasaran Malaysia mula dijual – kemasan istimewa, RM138k

    Memandangkan ini adalah tahun terakhir Suzuki Swift Sport (asas generasi ketiga) akan dijual kepada awam, Suzuki Malaysia telah mengeluarkan satu versi khas yang dipanggil sebagai Final Edition. Ia dijual pada harga RM137,900 tidak termasuk insurans dan disasar hanya akan dikeluarkan sebanyak 30 unit sahaja.

    Perlu diketahui model ini bukanlah versi Final Edition seperti yang dikeluarkan di Jepun, tetapi khas keluaran Malaysia dengan yang menjadikannya istimewa pertamanya adalah warna hitam Pearl Super Black – pertama kali ditawarkan untuk pasaran Malaysia – dan ditambah dengan jalur pelekat warna emas di bahagian bawah pintu serta bonet hadapan.

    Penampilan model ini dijadikan lebih kemas dengan lip bawah bampar serta skirting bercorak gentian karbon, bersama dua muncung ekzos seperti Silver Edition yang dikeluarkan pada tahun 2023, sementara di bawah cermin sisi dan but belakang anda akan melihat logo Final Edition bersama nombor 68 bersempena sambutan kemerdekaan tahun ini.

    Masuk ke bahagian dalam, keadaannya sama sahaja seperti Swift Sport biasa yang dijual sebelum ini, tetapi kemasan pada papan pemuka, panel pintu serta konsol gear diubah menggunakan karbon forged. Kemudiannya, walaupun logo tidak kelihatan, pembesar suara menggunakan unit daripada Soundstream bersama skrin sesentuh 10 inci, berbanding Blaupunkt pada model biasa.

    Perincian lain masih lagi sama dimana ia dijana oleh enjin K14C 1.4 liter turbo Boosterjet berkuasa 140 hp pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 230 Nm bermula 2,500 hingga 3,500 rpm, ditawarkan hanya dengan kotak gear automatik enam-kelajuan.

    Untuk kelengkapan luaran, model ini menggunakan lampu hadapan automatik dengan projektor LED, lampu kabus hadapan halogen, sistem kunci pintar, kamera undur, pembuka but belakang elektromagnetik dan juga rim aloi 16-inci dengan tayar Yokohama Advan A13 195/50R16.

    Suzuki Swift Sport Final Edition khas untuk pasaran Malaysia mula dijual – kemasan istimewa, RM138k

    Pada bahagian dalaman pula pembeli dapat menikmati tempat duduk separa bucket dan roda stereng rata di bawah dengan upholsteri kulit dan serlahan benang merah serta set pedal aluminium. Turut dibekalkan adalah cruise control, skrin MID ditengah yang turut memberikan bacaan boost turbo dan daya G-Force, butang penghidup enjin dan sistem pendingin hawa automatik.

    Bagi sistem keselamatan pula, Suzuki Swift Sport dibekalkan dengan enam beg-udara, cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix, penderia parkir belakang, Hill Hold Assist, sistem brek ABS, EBD dan EBA, serta Program Kestabilan Elektronik (ESP). Setiap pembelian model ini menerima perlindungan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km.

     
     
  • BYD Seal 2025 terima kemaskini di Malaysia — rim baru, angkup brek merah, DiSus-C; dari RM171,800

    BYD Seal 2025 terima kemaskini di Malaysia — rim baru, angkup brek merah, DiSus-C; dari RM171,800

    BYD Sime Motors selaku pengedar kenderaan BYD di Malaysia hari ini memperkenalkan model BYD Seal 2025 yang telah diberikan kemaskini. Dua varian ditawarkan, iaitu Premium dan Performance, masing-masing dengan harga jualan RM171,800 dan RM191,800. Tiada lagi varian Dynamic ditawarkan.

    Berbanding penawaran sebelum ini, BYD Seal 2025 adalah RM8,000 lebih murah — ketika dilancarkan dulu, Seal Premium dijual dengan harga RM179,800, sementara Performance dengan harga RM199,800.

    Kemaskini yang diberikan juga tidak terlalu banyak, hanya melibatkan antaranya rim 19-inci rekaan baru dengan saiz tayar yang sama, 235/45. Bagi varian Performance pula, angkup breknya didatangkan dengan warna merah.

    BYD Seal 2025 terima kemaskini di Malaysia — rim baru, angkup brek merah, DiSus-C; dari RM171,800

    Perkara paling utama yang hadir kali ini adalah penggunaan sistem suspensi DiSus-C untuk varian Performance — sistem yang sama digunakan oleh Denza D9 — sementara Premium menerima sistem Frequency Selective Damping (FSD) yang sebelum ini digunakan oleh varian Performance.

    Kemudian, ada beberapa ciri tambahan untuk bahagian dalam kabin. Ini termasuklah penghadang matahari larasan elektrik untuk bumbung panoramiknya, akses kunci pintar (BYD Digital Key dan Bluetooth Key) dan juga ruang storan cermin mata hitam.

    Selebihnya masih sama untuk BYD Seal. Varian Premium menggunakan tetapan motor tunggal yang memacu roda belakang, dengan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan 360 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat. Dengan menggunakan bateri lithium-iron phospate (LFP) Blade 82.5 kWh, ia boleh memberikan jarak gerak sehingga 650 km mengikut NEDC dan 570 km mengikut WLTP.

    Varian Performance bagi sedan EV ini adalah Performance AWD, yang datang dengan tetapan dua motor dan pacuan semua-roda, mampu menghasilkan kuasa keseluruhan 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 670 Nm, manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 3.8 saat. Ia menggunakan bateri 82.5 kWh sama seperti varian Premium RWD, tetapi jarak geraknya berkurang sedikit menjadi 580 km (NEDC) atau 520 km (WLTP).

    BYD Seal 2025 terima kemaskini di Malaysia — rim baru, angkup brek merah, DiSus-C; dari RM171,800

    BYD Seal boleh dicas menggunakan pengecas AC 7 kW (15.2 jam untuk penuh), tetapi DC meningkat sehingga 150 kW, membolehkan baterinya naik dari 10-80% dalam masa 37 minit.

    Sempena pelancaran BYD Seal kemaskini terbaru ini, 300 pelanggan terawal juga akan menikmati promosi pelancaran yang melibatkan penjimatan sebanyak RM10,888, yang terdiri daripada pengecas wallbox, pakej servis dan rebat pelancaran.

    Sama seperti sebelum ini, BYD Seal 2025 juga didatangkan dengan jaminan enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, jaminan lapan-tahun/160,000 km untuk bateri dan jaminan lapan-tahun/150,000 km untuk unit janaan kuasa.

    BYD Seal Premium 2025

    BYD Seal Performance 2025

     
     
  • BYD buka kilang CKD di Tanjong Malim — 600,000 meter persegi, mula pengeluaran separuh kedua 2026

    BYD buka kilang CKD di Tanjong Malim — 600,000 meter persegi, mula pengeluaran separuh kedua 2026

    BYD Sime Motors selaku pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia hari ini mengumumkan pembukaan kilang pemasangan tempatan (CKD) syarikat itu di Malaysia. Terletak di Tanjong Malim, Perak, kilang tersebut mempunyai keluasan 600,000 meter persegi, dengan pengeluaran kenderaan dijangka bermula pada separuh kedua tahun 2026.

    Perkembangan ini mencerminkan komitmen BYD serta rancangan jangka panjang syarikat itu untuk memperkukuhkan kedudukannya di pasaran Malaysia. Kilang berkenaan merupakan kilang ketiga yang dibina oleh BYD di rantau Asia Tenggara.

    Walaupun Tanjong Malim sinonim dengan kilang pemasangan EV Proton, kilang BYD ini tidak berkait dengan projek AHTV oleh DRB-Hicom, dan akan dibina di atas tanah yang berbeza.

    Pengurus Besar, BYD Asia Pacific Auto Sales Division, Liu Xueliang berkata: “Malaysia adalah pasaran penting bagi kami di Asia Tenggara, dan pengumuman ini serta pengenalan rasmi model BYD Seal terbaru menandakan lembaran baru bagi kami di sini. Komitmen ini tidak hanya tentang menawarkan barisan produk yang inovatif, tetapi yang lebih penting adalah untuk melabur dalam ekosistem EV di Malaysia — melibatkan pemasangan tempatan, pembangunan bakat tempatan serta mobiliti elektrik.”

    BYD buka kilang CKD di Tanjong Malim — 600,000 meter persegi, mula pengeluaran separuh kedua 2026

    Bagaimanapun, belum dinyatakan model mana yang pertama sekali akan dipasang di sini. Namun, perkembangan ini akan membuka lebih banya kemungkinan untuk BYD memasang lebih banyak kenderaannya di sini, termasuk model-model PHEV jenama itu. Dan, lebih penting, mungkin akan ada juga pemasangan kenderaan BYD untuk pasaran eksport ke pasaran luar, dari Malaysia.

    Ketika ini, BYD menjual enam model keluarannya di Malaysia, dan semuanya adalah EV dan diimport dari China — didorong juga oleh tempoh pengecualian duti import dan duti eksais yang akan berakhir hujung tahun ini pada 31 Disember 2025.

    Selepas tempoh itu, nampaknya BYD akan mengorak langkah baru yang selari dengan hasrat kerajaan, supaya pengeluar EV yang terlibat memulakan pemasangan tempatan, yang juga akan menerima pengecualian duti eksais dan cukai jualan hingga 31 Disember 2027.

    Dalam majlis yang sama, BYD turut memperkenalkan secara rasmi model BYD Seal 2025 terbaru, dan juga pembukaan bilik pameran 3S terbesar BYD di Malaysia di Balakong, yang dikendalikan oleh Wing Hin Auto.

     
     
  • JPJ Melaka sita kenderaan mewah bernilai RM1 juta kerana cukai jalan luput, tiada perlindungan insurans

    JPJ Melaka sita kenderaan mewah bernilai RM1 juta kerana cukai jalan luput, tiada perlindungan insurans

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka telah menyita kenderaan mewah bernilai RM1 juta atas kesalahan cukai jalan luput dan tiada perlindungan insurans, dalam Op Luxury yang berlangsung dari 17 hingga 19 Ogos lalu. Antara kenderaan mewah yang disita termasuklah Porsche Taycan Turbo S Cross Turismo, Toyota Alphard, Mercedes-Benz C-Class dan Audi A5 Sportback.

    Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, JPJ Melaka berkata operasi ini dijalankan secara Snap n Check bagi memastikan pemilik kenderaan mewah juga mematuhi undang-undang jalan raya.

    Memetik laporan Harian Metro, Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, apabila disoal pengawai JPJ, pemilik memberikan alasan klise iaitu terlupa dan tidak menyedari cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

    JPJ Melaka sita kenderaan mewah bernilai RM1 juta kerana cukai jalan luput, tiada perlindungan insurans

    “Dua daripada kenderaan iaitu Porsche dan Toyota Alphard, masing-masing dipandu lelaki berusia 33 dan 43 tahun yang ditahan di Jalan Tun Ali dan Jalan Taming Sari, didapati tidak memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak 15 Ogos dan 30 Julai 2024.

    “Kereta Mercedes dipandu lelaki berusia 54 tahun pula ditahan di Jalan Tun Abd Razak kerana cukai jalan dan insurans tamat tempoh sejak 10 bulan lalu manakala kereta Audi dipandu wanita berusia 25 tahun ditahan di Jalan Melaka Sentral dan didapati tiada cukai jalan dan perlindungan insurans sejak 4 Disember 2024,” katanya.

    Dalam masa yang sama, JPJ ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan agar sentiasa memastikan cukai jalan dan insurans kenderaan diperbaharui demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain. “Ingatlah, memandu tanpa LKM dan insurans bukan sahaja satu kesalahan undang-undang, tetapi juga boleh mengundang risiko besar kepada nyawa,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025