Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Wanita dan penumpang Pajero Sport warga China ditahan Polis susulan kemalangan maut di LPT

    Wanita dan penumpang Pajero Sport warga China ditahan Polis susulan kemalangan maut di LPT

    Susulan kemalangan yang berlaku di Lebuhraya Pantai Timur semalam menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas merempuh sebuah trak pikap yang berhenti mengejut, polis mengesahkan bahawa seorang wanita yang menyebabkan insiden itu berlaku sudahpun ditahan, lapor Bernama.

    Kemalangan tersebut disahkan berlaku di Kilometer 98.6 Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Satu, dekat susur keluar Lanchang, Pahang pada pukul 4.45 petang semalam. Menurut Ketua Polis Daerah Temerloh, ACP Mazlan Hassan berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila seorang wanita berusia 35 tahun yang memandu sebuah SUV Mitsubishi Pajero Sport telah berhenti di tepi jalan dan melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan jalan.

    “Akibat perlakuan wanita itu, sebuah pikap telah membrek secara mengejut. Dalam masa sama datang sebuah motosikal dari arah belakang terus merempuh bahagian belakang pikup tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan dan menambah bahawa penunggang motosikal itu terjatuh di lorong laju manakala motosikal mangsa tercampak ke atas bahagian belakang pikap.

    Wanita dan penumpang Pajero Sport warga China ditahan Polis susulan kemalangan maut di LPT

    Mazlan turut menyatakan bahawa hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pemandu wanita tersebut yang berhenti di bahu jalan dan melintas jalan. Beliau turut mengesahkan bahawa wanita tersebut direman selama dua hari, manakala penumpang Pajero Sport yang bersamanya, iaitu seorang lelaki warga China berusia 35 tahun turut direman selama tiga hari di Pejabat Trafik Temerloh.

    Mangsa yang menunggang motosikal jenis Suzuki GSX-R1000 itu merupakan seorang lelaki berusia 34 tahun yang bertugas sebagai pemuzik di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Mazlan menyatakan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.

     
     
  • Persimpangan Ijok-Puncak Alam di Lebuhraya LATAR ditutup pada 29-30 April dan 2-3 Mei, 12.01 pagi-5 pagi

    Klik untuk besarkan

    Pengendali Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) mengumumkan bahawa penutupan jalan dari Persimpangan Ijok ke Persimpangan Puncak Alam akan dilaksanakan pada 29 hingga 30 April dan 2 hingga 3 Mei 2024, dari jam 12.02 pagi hingga 5 pagi. Di mana penutupan jalan tersebut melibatkan laluan dari KM0.0 hingga KM12.3 bagi kedua-dua arah di lebuhraya berkenaan.

    Ia adalah untuk memberi laluan pelaksanaan kerja-kerja pemasangan rasuk jambatan (beam) bagi menyiapkan persimpangan ‘Eco Business Park V’ oleh pihak Eco World Development Group Berhad.

    Sepanjang penutupan itu, trafik dari arah Kuala Lumpur/Rawang/LATAR akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor melalui Persimpangan Puncak Alam untuk ke Ijok/Kuala Selangor/Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) manakala trafik dari arah Puncak Alam menghala ke Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor.

    Bagi trafik dari arah Ijok/Kuala Selangor/WCE (LATAR) pula akan dilencongkan ke Jalan Kuala Selangor untuk ke Kuala Lumpur/Rawang. Papan tanda arah sementara juga akan ditempatkan di lokasi terbabit bagi memberi panduan kepada pengguna.

    “Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mematuhi isyarat papan tanda arah trafik sementara sebagai panduan dan langkah keselamatan. Pihak kami memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi,” kata pengendali LATAR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Kerajaan berhasrat laksana projek KTM Komuter di JB yang diintegrasikan dengan RTS Link – Menteri MOT

    Kerajaan berhasrat laksana projek KTM Komuter di JB yang diintegrasikan dengan RTS Link – Menteri MOT

    Kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MOT) berhasrat untuk melaksanakan projek perkhidmatan KTM Komuter di bandaraya ini bagi mengintegrasikan dengan perkhidmatan Rapid Transit System Link (RTS Link), laporan Bernama.

    Menurut Menterinya, Anthony Loke, langkah memperkenalkan KTM Komuter itu adalah satu keperluan bagi menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar mudah diakses pengguna yang tinggal di pinggir bandaraya. Perkhidmatan RTS Link dijangka bakal beroperasi sepenuhnya mulai 1 Januari 2027.

    Dalam masa yang sama, kerajaan juga berhasrat menjadikan Stesen RTS Bukit Chagar sebagai hab pengangkutan awam bersepadu sekali gus ia dihubungkan pelbagai mod pengangkutan. Selain itu, stesen ini juga menempatkan stesen Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-JB.

    “Perkhidmatan komuter sudah ada di Kuala Lumpur dan utara, di selatan belum ada. Kita (bakal) ada ETS antara Gemas dan Johor Bahru, kita sedang berbincang bagaimana untuk mengintergrasikan (laluan ETS) dengan RTS. Jadi, orang yang tinggal di Senai, Kluang dan Kulai boleh menggunakan perkhidmatan komuter hingga ke Bukit Chagar, kemudian mengambil RTS ke Singapura.

    Kerajaan berhasrat laksana projek KTM Komuter di JB yang diintegrasikan dengan RTS Link – Menteri MOT

    “Apabila landasan ETS antara Gemas dan Johor Bahru siap, kita tidak mahu ia hanya digunakan untuk satu perkhidmatan sahaja, alangkah baiknya jika digunakan untuk komuter sekali. Perkara ini sedang diteliti, kita akan kaji dengan mendalam untuk perkenalkan perkhidmatan ini di Johor Bahru,” katanya.

    Menurut Loke, setakat 31 Mac 2024 kerja pembinaan infrastruktur rel RTS Link mencapai 70.45%, manakala pembinaan superstruktur Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar serta penyuraian infrastruktur adalah 7.02%.

    “Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) sedang membina kemudahan parkir bertingkat ‘Park ‘N Ride’ yang baharu di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link merangkumi 1,000 ruang tempat letak kenderaan.

    “Selain itu, sebanyak 700 ruang tempat letak kenderaan khusus untuk penumpang RTS Link akan disediakan di Coronation Square yang terletak hanya 400 meter dari Bukit Chagar. Ini bermaksud sejumlah 1,700 ruang parkir disediakan untuk penumpang RTS Link kelak,” katanya.

    RTS Link adalah projek bernilai RM10 bilion membabitkan sistem LRT moden yang menjangkau 4KM dari Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura.

     
     
  • Royal Enfield Bullet 350 dilancarkan di M’sia – RM24k

    Royal Enfield Bullet 350 dilancarkan di M’sia – RM24k

    Royal Enfield hari ini melancarkan model Bullet 350 baru untuk pasaran Malaysia, dengan diperkenalkan dalam dua versi iaitu Bullet Standard dalam pilihan warna hitam atau emas, pada harga RM23,500 dan Bullet Black Gold berwarna hitam matte, pada harga RM23,900 (tidak termasuk insurans).

    Model yang tiba di Malaysia ini adalah daripada versi yang lebih tinggi, bermakna ia datang dengan brek cakera hadapan dan belakang (300 mm, 270 mm), serta sistem ABS dual channel secara standard. Rim menggunakan saiz 19 inci (tayar 100/90) di hadapan, dan 18 inci di belakang (tayar 120/80), dan ia dipegang masing-masing oleh fork 41 mm dan dua penyerap hentak.

    Pada Bullet 350 ini, antara peningkatan utama yang dibuat berbanding Bullet sebelumnya adalah enjin baru, iaitu dari siri J dengan kapasiti 350 cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api elektronik dan SOHC. Selain mampu memberikan tork lebih baik, enjin yang berkuasa 20.2 hp dan 27 Nm ini juga diberikan dengan counter balancer serta masih menghasilkan bunyi unik sebuah Bullet. Ia dipadankan bersama transmisi lima kelajuan.

    Panel meter menggunakan unit gabungan analog dan digital, sementara tempat duduk pula dibentukkan semula untuk menjadi lebih selesa. Demi memudahkan pengguna, model ini sekarang datang dengan pengecas USB pada bahagian pemegang dan tangki bahan api mempunyai kapasiti 13 liter.

    Perbezaan antara versi Standard dengan Black Gold boleh dilihat pada kemasan cat serta lencana, dan Black Gold juga menerima enjin serta ekzos yang digelapkan. Untuk menyesuaikan motosikal dengan penggunaan, pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai aksesori rasmi keluaran Royal Enfield untuk Bullet 350.

     
     
  • Toyota catat rekod jualan tahun fiskal tertinggi dalam sejarah pada 2023; lepasi 10 juta unit buat pertama kali

    Toyota catat rekod jualan tahun fiskal tertinggi dalam sejarah pada 2023; lepasi 10 juta unit buat pertama kali

    Selepas tamat tahun kewangan 2023 pada hujung Mac lalu, Japan Times yang memetik sumber dari Bloomberg melaporkan bahawa Toyota telah sekali lagi mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarah, dan kali ini buat pertama kali ia berjaya menjual lebih dari 10 juta unit kenderaan setahun.

    Laporan itu menyebut berdasarkan data yang disiarkan pada Khamis, jualan global Toyota termasuk dua jenama di bawah naungannya iaitu Daihatsu dan Hino telah berjaya menjual sebanyak 11.1 juta unit kenderaan diseluruh dunia sepanjang tahun fiskal 2023 (Mac 2022-Mac 2023), atau naik sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya.

    Akhbar itu menyatakan bahawa kejayaan ini didorong oleh faktor isu bekalan cip semikonduktor yang kini semakin pulih. Ini membolehkan produksi di Amerika Utara, Eropah dan India naik 4.5% kepada 11.2 juta bagi memenuhi permintaan pasaran.

    Produksi di Jepun juga mencatatkan angka yang baik diperingkat awal, namun ia terganggu apabila Daihatsu dikesan terpalit dengan skandal penyelewengan ujian keselamatan yang menyaksikan produksinya di negara itu terpaksa dihentikan pada Disember lalu.

    Jualan Toyota di China juga naik sebanyak 1.4%, walaupun ia kini disaing hebat oleh jenama tempatan yang sedang meningkat naik khususnya dalam pasaran EV iaitu BYD. Toyota juga dilaporkan telah berjaya menjual sebanyak 116,654 unit EV untuk peringkat global.

    Divisi mewah Toyota iaitu Lexus turut mencatatkan peningkatan prestasi di mana jualannya meningkat sebanyak 7.3%, manakala produksinya pula naik sebanyak 9.2%

     
     
  • Seorang pemilik stesen minyak di Rawang didenda RM30k kerana jual RON95 kepada kenderaan Thai

    Seorang pemilik stesen minyak di Rawang didenda RM30k kerana jual RON95 kepada kenderaan Thai

    Mahkamah Sesyen Selayang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 terhadap seorang pemilik sebuah stesen minyak kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada sebuah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand, tiga bulan lalu, laporan Bernama.

    Hakim Nor Rajiah Mat Zin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohammad Naziruddin Abu Hassan, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Di mana Mohammad Naziruddin didakwa sebagai pemegang lesen runcit barang kawalan berjadual iaitu petrol dan diesel, gagal mematuhi arahan pengawal bekalan dengan menjual petrol RON95 sebanyak 48.78 liter kepada kenderaan berkenaan, yang melanggar Peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di Rawang, Selangor jam 9.16 pagi pada 1 Januari lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya dan untuk kesalahan kedua atau seterusnya boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

    Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) acapkali mengeluarkan peringatan kepada para pengusaha stesen minyak di negara ini agar mematuhi larangan penjualan petrol RON 95 kepada kenderaan asing. Ia adalah bagi mengelak berlaku ketirisan penjualan minyak petrol bersubsidi kepada kenderaan asing.

     
     
  • Beijing 2024: Mazda EZ-6 diperkenalkan sebagai EV bagi ganti Mazda 6 di China – PHEV turut ditawarkan

    Beijing 2024: Mazda EZ-6 diperkenalkan sebagai EV bagi ganti Mazda 6 di China – PHEV turut ditawarkan

    Kelahiran Mazda EZ-6, sedan baharu yang terhasil dari kerjasama antara Mazda dan Changan ini adalah bagi menggantikan model Mazda 6 di China. Setakat ini, tidak dapat dipastikan adakah ia juga akan dipasarkan ke negara lain, termasuk untuk versi pemanduan sebelah-kanan.

    EZ-6 ini berkongsi platform dengan Deepal SL03 (satu lagi EV dari sub-jenama Changan) tetapi memiliki rekaan hadapan dan belakang yang unik. Penampilannya cukup terserlah dengan rekaan gril yang lebih besar, dan disambungkan ke lampu nyalaan siang LED, sementara lampu utamanya diposisikan sedikit ke bawah.

    Terdapat kepingan menegak pada sisi bampar, sementara corong intake berbentuk trapezoidal berada di apron bawah. Di belakangnya, kelihatan lampu dan palang lampu yang tidak terdapat pada SL03, tetapi lekuk bampar belakangnya masih dikekalkan.

    Bagi dimensinya, EZ-6 berukuran 4,921 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,485 mm tinggi dan jarak rodanya mencecah 2900 mm. Ini menjadikan ia 56 mm lebih panjang, 50 mm lebar lebar dan 35 mm lebih tinggi berbanding model semasa Mazda 6 sedan, juga mempunyai jarak roda yang lebih panjang sebanyak 70 mm.

    Di dalamnya, EZ-6 menerima rekaan papan pemuka yang lebih minimalis, dengan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci yang diposisikan di atas corong udara tengah. Konsol tengah juga direka ringkas dan mempunyai tempat letak cawan dan storan yang sedikit kecil. Sementara roda stereng dan kluster instrumen digital 10.2-inci pula memang mirip dengan SL03.

    Spesifikasi penuh masih belum didedahkan, namun EZ-6 juga seperti SL03 yang akan ditawarkan dengan dua penjana kuasa. Kalau seperti SL03, ia diberikan larasan elektrik sepenuhnya dengan motor elektrik yang dipasang di belakang dengan hamburan kuasa sama ada 218 PS (215 hp atau 160 kW) atau 258 PS (255 hp atau 190 kW). Kedua-duanya dengan puncak tork cecah 320 Nm. Pilihan bateri sama ada pek 58.9 kWh atau 66.8 kWh yang menawarkan jarak gerak antara 530 km hingga 610 km mengikut standard CLTC.

    Selain itu, ia juga menawarkan versi plug-in hybrid (PHEV) yang menampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder sebaris petrol, sama ada dengan bateri 19 kWh atau 28.4 kWh, dan motor elektrik sama ada 218 PS (215 hp atau 160 kW) atau 238 PS (235 hp atau 175 kW), dengan puncak tork juga 320 Nm.

    Pek bateri yang lebih kecil menawarkan 135 km dalam mod EV sepenuhnya dan hingga 1,140 km dengan mod hibrid. Sementara bateri yang lebih besar pula menawarkan 200 km dalam mod EV sahaja, atau 1,200 km dalam mod hibrid. Secara rasminya, Mazda berkata model EV ini akan mempunyai jarak gerak kira-kira 600 km (mungkin mengikut piawaian CLTC), manakala versi PHEV dijangka mempunyai jarak lebih 1,000 km.

    EZ-6 ini merupakan model EV ketiga jenama ini selepas MX-30 dan CX-30 EV yang dihasilkan dengan kerjasama antara Mazda-Changan. Adakah ia cukup menarik sekiranya turut dipasarkan ke negara lain?

     
     
  • Hentian Sebelah Lagong arah utara di Lebuhraya GCE ditutup 4 bulan mulai 29 April untuk kerja baikpulih

    Hentian Sebelah Lagong arah utara di Lebuhraya GCE ditutup 4 bulan mulai 29 April untuk kerja baikpulih

    Pengendali Lebuhraya Guthrie (GCE), Prolintas, memaklumkan bahawa Hentian Sebelah Lagong arah utara di lebuhraya berkenaan ditutup sementara selama empat bulan bermula 29 April 2024 (Isnin ini) untuk kerja-kerja baikpulih.

    “Susulan itu, semua kemudahan seperti tandas dan surau akan ditutup sementara dalam tempoh berkenaan. Kerja-kerja membaikpulih ini adalah komitmen berterusan Prolintas dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna lebuh raya.

    “Sebagai alternatif, pengguna Lebuhraya GCE disarankan untuk menggunakan kemudahan di hentian yang berdekatan seperti R&R Rawang Arah Utara (PLUS) atau R&R Kundang Arah Barat (LATAR),” kata Prolintas dalam kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Tesla Malaysia umum turunkan harga hingga RM8k – Model 3 kini dari RM181k, Model Y dari RM191k

    Tesla Malaysia umum turunkan harga hingga RM8k – Model 3 kini dari RM181k, Model Y dari RM191k

    Susulan laporan penurunan harga di beberapa pasaran global, Tesla turut mengumumkan pengurangan harga untuk modelnya di Malaysia. Ia melibatkan penurunan harga mencecah RM8,000 untuk barisan modelnya, kecuali untuk Model 3 Performance 2024 yang diumumkan berharga dari RM242,400 baru-baru ini.

    Bermula barisan Model 3 ‘Highland’, spesifikasi asas Model 3 RWD kini ditawarkan pada harga bermula RM181,000, berbanding harga yang diumumkan sewaktu pelancaran yang mencecah RM189,000. Sementara untuk Model 3 Long Range AWD kini pula dari RM210,000, turun dari RM218,000 sewaktu dilancarkan. Model 3 Performance 2024 pula berharga RM242,000 ketika dilancarkan.

    Seterusnya, bagi barisan Model Y pula, varian asas RWD kini berharga dari RM191,000, turun dari RM199,000 ketika dilancarkan. Manakala harga terkini bagi Model Y Long Range AWD pula dari RM238,000, turun dari RM246,000 ketika dilancarkan. Untuk Model Y Performance pula, kini ia berharga dari RM280,000 berbanding RM288,000 sewaktu dilancarkan.

    Kesemua unit kenderaan elektrik (EV) yang dimport sepenuhnya (CBU) di Malaysia menerima pengecualian cukai hingga akhir tahun 2025, di mana EV dari Tesla ini turut dikecualikan cukai import, eksais dan jualan.

     
     
  • BMW iX3 Final Edition baharu kini di M’sia – M Performance standard, suspensi Adaptive M; RM300k

    BMW iX3 Final Edition baharu kini di M’sia – M Performance standard, suspensi Adaptive M; RM300k

    BMW Malaysia telah pun melancarkan BMW iX3 Final Edition baharu yang kini ditampilkan dengan kemasan tambahan M Performance yang melengkapkan pakej M Sport, sekaligus meningkatkan lagi penampilan atletik Kenderaan Aktiviti Sukan (SAV) elektrik penuh premium tersebut.

    Ia ditawarkan dengan harga atas jalan tanpa insurans bermula RM299,800. Ia diberikan waranti standard dua-tahun, perbatuan tanpa had, atau pun jika pembeli memilih pakej Servis & Pembaikan Inklusif BMW yang merangkumi waranti lima-tahun dan pakej selenggara, kos tambahan sebanyak RM19,800 akan dikenakan.

    SAV ini dibina berdasarkan versi ‘Impressive’ dan kini menampilkan kemasan baharu M Performance sebagai standard. Diperbuat daripada gentian karbon, penutup cermin karbon M Performance menekankan generasi berteknologi tinggi SAV ini dan menambahkan sentuhan atletik pada reka bentuk dinamiknya. Kemasan ambang pintu gentian karbon M Performance juga kini dilengkapi dengan sisipan karbon dan meningkatkan penampilan gaya sporty di samping logo berwarna M Performance yang menyerlah.

    Manakala reka bentuk spoiler belakang M Performance yang hitam berkilat memberikan penampilan agresif pada SAV ini yang pastinya menarik perhatian ramai. Selain itu, ia juga diberikan suspensi Adaptive M yang baharu dengan ciri naik taraf seumur hidup, membolehkan pemandu memilih antara tetapan standard yang selesa atau beralih kepada mod Sport untuk pengendalian yang lebih sporty.

    Ciri kelengkapan luaran lain yang turut diberikan termasuklah bumbung kaca panoramik, tayar aerodinamik M bersaiz 20-inci dengan 890 M Bicolour, dan lampu laser BMW.

    Untuk dalaman pula, antara ciri yang diberikan termasuklah pendingin hawa automatik dengan kawalan tiga-zon, tempat duduk sport elektrik untuk pemandu dan penumpang hadapan, Bantuan Pemandu Profesional, Bantuan Parkir Kereta Plus, lampu laser BMW, sistem bunyi sekeliling Harman Kardon, paparan hadapan BMW dan kaca akustik.

    BMW iX3 Final Edition baharu ini dipacukan roda belakang yang masih dijana oleh motor elektrik dengan hamburan kuasa sehingga 286 hp (210 kW) dan tork puncak 400 Nm. Hasilnya, pecutan dari 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 6.8 saat sahaja.

    Bateri voltan tinggi yang ringan juga menawarkan kapasiti kasar 80 kWj yang membolehkan jarak gerak sehingga 461 km (WLTP) dalam satu cas penuh, di samping merekodkan penggunaan tenaga serendah 18.5 kWj setiap 100 km perjalanan.

    Ia boleh didapati dalam enam warna luaran iaitu M Carbon Black Metallic, Cashmere Silver, Sophisto Grey, Mineral White, Phytonic Blue dan Piemont Red. Upholstery dalaman boleh didapati sama ada dalam Leather Vernasca Mocha dengan jahitan Décor atau Leather Vernasca Black dengan jahitan kontras biru.

     
     
  • Dua simpang masuk Elmina ke Lebuhraya Guthrie ditutup untuk tambahbaik aliran trafik, 27 April-26 Julai

    Prolintas selaku pengendali Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) mengumumkan penutupan dua simpang masuk di Elmina terbabit akan ditutup selama tiga bulan bermula 27 April hingga 26 Julai 2024. Laluan yang terlibat ialah simpang masuk dari Elmina Timur ke arah Rawang dan juga simpang masuk dari Elmina Barat ke arah Shah Alam.

    Menurut Prolintas, penutupan simpang terbabit adalah bagi usaha untuk menambah baik aliran lalu lintas di kawasan berkenaan.

    Di mana pengguna yang datang dari Elmina Timur yang melalui Persiaran Elmina dan mahu ke Rawang diminta untuk membuat pusingan-U di bulatan berhampiran dengan Jambatan Ikonik Elmina. Manakala bagi pengguna yang datang dari Elmina Barat yang ingin ke Shah Alam perlu membuat pusingan-U di bulatan Elmina TEMU (berhampiran pusat komersial Elmina TEMU iaitu selepas simpang yang ditutup itu) sebelum memasuki susur ke Shah Alam.

    “Sekiranya langkah ini dilihat berjaya mengatasi isu kesesakan yang berlaku di lokasi, pihak pengendali lebuhraya bercadang untuk membuat penutupan kekal simpang berkenaan,” kata Prolintas menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sebelum ini terdapat rungutan dari penduduk Denai Alam/Bukit Subang yang mendakwa laluan di kawasan perumahan tersebut menjadi sesak teruk pada waktu puncak pagi dan petang ekoran pengguna jalan raya dari arah Saujana Utama yang menggunakan laluan Denai Alam/Bukit Subang dan Elmina Barat untuk memasuki GCE. Malah banyak perdebatan di kalangan para netizen yang merupakan penduduk di kawasan sekitar termasuk Elmina berhubung dengan isu ini.

    Adakah dengan usaha yang dilaksanakan oleh Prolintas mampu membantu mengurangkan kesesakan trafik di kawasan sekitar, kenalah tunggu dan lihat keberkesanannya kelak.

     
     
  • Beijing 2024: Toyota bZ3C dan bZ3X Concept didedah

    Beijing 2024: Toyota bZ3C dan bZ3X Concept didedah

    Semasa acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung sekarang di Beijing sekarang, Toyota telah mendedahkan dua model konsep yang memberi petunjuk awal kepada kenderaan elektrik (EV) yang akan dikeluarkan untuk pasaran tidak lama lagi.

    Jika ada yang mengatakan rekaannya nampak familiar, ini adalah kerana ia merupakan model evolusi daripada bZ Crossover Concept dan bZ FlexSpace Concept yang pernah ditunjukkan pada tahun lepas di Shanghai.

    Bermula dengan bZ3C, ia adalah sebuah fastback crossover yang menggunakan rekaan lampu berbentuk C yang bersambung di tengah, bersama pembuka pintu sama rata dengan badan, sensor ADAS pada bumbung (berkemungkinan lidar) serta elemen diffuser di belakang.

    Masuk ke dalam, model konsep ini menggunakan rekaan papan pemuka minimalis bersama skrin sesentuh untuk sistem infotainmen yang turut boleh digunakan untuk melaras pelbagai fungsi kenderaan termasuk pendingin hawa.

    Pada bahagian tengah terdapat konsol bertingkat yang turut menempatkan beberapa ruang barangan seperti cawan, berhampiran pemilih gear. Lampu suasana bagaimanapun maish tidak diketahui sama ada akan digunakan untuk model produksi ataupun tidak.

    Beijing 2024: Toyota bZ3C dan bZ3X Concept didedah

    Pergi kepada model konsep kedua bZ3X, ia adalah sebuah SUV dua baris tmpat duduk yang juga menggunakan rekaan lampu seperti bZ3C. Di belakang pula terdapat jalur lampu panjang yang bersambung dari kiri ke kanan.

    Sekali lagi, semua fungsi kenderaan boleh diakses menggunakan skrin sesentuh di bahagian tengah dan konsol tengah juga mempunyai rekaan yang bertingkat. Kedua-dua bZ3c dan bZ3X mempunyai bumbung panoramik besar di bahagian atas.

    Buat masa ini, Toyota masih belum memberitahu sebarang perincian berkenaan penggerak, tetapi ia dikatakan dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu maju yang terkini serta kokpit pintar di dalam.

    Selain daripada itu, Toyota juga menjelaskan bahawa kedua-dua kenderaan konsep ini dibuat dengan kerjasama pengeluar tempatan di China. Bagi bZ3C, antara syarikat lain yang terlibat adalah seperti BYD Toyota EV Technology, FAW Toyota Motor dan Pusat R&D Elektromobiliti Pintar Toyota (IEM by Toyota).

    Sementara itu, bZ3X pula dibangunkan oleh Toyota dengan kerjasama Guangzhou Automobile Group (GAC Group), GAC Toyota Motor serta IEM by Toyota. Versi produksi bagi kedua-dua model konsep ini dijangka memasuki pasaran pada tahun ini di China.

     
     
  • Beijing 2024: Neta L — SUV ‘range extender’ terbaru dengan jarak gerak 1,050 km, dibantu enjin petrol 1.5L

    Beijing 2024: Neta L — SUV ‘range extender’ terbaru dengan jarak gerak 1,050 km, dibantu enjin petrol 1.5L

    Neta memperkenalkan sebuah SUV baru sempena Beijing Motor Show 2024 yang mula dibuka untuk media hari ini. Ia merupakan sebuah SUV ‘range extender’ yang disasarkan untuk golongan muda yang berkeluarga dan bakal menjadi model global untuk Neta yang akan mula dilancarkan di beberapa negara bermula separuh pertama 2024.

    Neta L memanfaatkan sistem range extension HOZI 2.0 baru dan turut dilengkapi enjin 1.5 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol. Neta mendakwa SUV terbaru ini mampu memberikan bacaan penggunaan minyak serendah 4.85 liter per 100 km, serta kecekapan minyak-kepada- elektrik sebanyak 3.26 kWh per liter.

    Ketika ini, Neta L diperkenalkan dalam dua varian iaitu dalam versi ‘range extender’ dengan — EREV 1070 Comfort dan EREV 1070 Luxury. Dua lagi varian EV sepenuhnya pula akan diperkenalkan kepada pasaran global pada Mei nanti.

    Dari segi dimensi ukuran, Neta L mempunyai 4,770 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,660 mm tinggi dengan jarak roda 2,810. Jarak kelegaan tanah dengan beban penuh pula ialah sekitar 140 mm.

    Beijing 2024: Neta L — SUV ‘range extender’ terbaru dengan jarak gerak 1,050 km, dibantu enjin petrol 1.5L

    Neta L menggunakan sebuah motor elektrik untuk pacuan belakang dengan kuasa 145 kW dan 310 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat, dengan laju maksimumnya 180 km/j. Kapasiti tangki minyak untuk model Neta L extended range ini ialah 50L.

    Model ini mampu memberikan jarak bergerak elektrik sepenuhnya sejauh 200 km, manakala jarak perjalanan dengan bantuan enjin sejauh 1,070 km. Ia menggunakan bateri CATL190 lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 30.06 kWh.

    Kapasiti pengecas dalaman yang tersedia ialah 6.6 kW. Tiada perincian pengecasan Neta L diberikan, tetapi mereka menyatakan dengan pengecasan pantas DC, kadar 30%-80% bateri boleh dicapai dalam masa 30 minit bagi model ‘range extender’ ini.

    Beijing 2024: Neta L — SUV ‘range extender’ terbaru dengan jarak gerak 1,050 km, dibantu enjin petrol 1.5L

    Neta L juga menggunakan motor elektrik dengan lingkaran wayar rata, fungsi pacuan terus kecemasan, janaan semula kuasa pintar tiga peringkat serta Vanguard Energy-Saving Mode, selain memanfaatkan sistem pengurusan thermal suhu berterusan HozonEPT4.0 bagi mencapai kecekapan pengecasan dan juga keselesaan.

    SUV ini juga menggunakan platform pintar Shanhai dengan kerangka yang terdiri daripada 81% bahan logam dan aluminium kukuh. Menurut Neta, bahagian bumbungnya mampu menahan hentaman dengan kekuatan sehingga 8.4 tan untuk memastikan ruang kabin dan penumpang di dalam selamat.

    Untuk suspensi, Neta L menggunakan jenis MacPherson strut untuk bahagian depan dan jenis multilink untuk bahagian belakang. Rimnya menggunakan saiz 19-inci. SUV ini menampilkan rekaan dengan bacaan rintangan serendah 0.258Cd.

    Rekaan lainnya moden dengan menampilkan ciri seperti lampu utama dan DRL LED, lampu isyarat sequential dan lampu kabus belakang. Beberapa ciri unik lain Neta L termasuklah dilengkapi peti sejuk dengan suhu serendah -6 darjah celsius, pembesar suara di perehat kepala untuk penumpang belakang, pengecas telefon tanpa wayar dan kerusi urut sifar graviti dengan sudut rebah ke belakang 123-darjah untuk keselesaan.

    Sebagai sumber kuasa, terdapat beberapa pilihan yang disediakan untuk SUV ini membekalkan elektrik kepada peranti lain, termasuklah pengecasan pantas tanpa wayar 50W sejukan udara; pengecasan pantas Type-C 60W dua port — di depan dan belakang; serta soket 12V di ruang barangan serta V2L 3.3 kW.

    Aspek keselamatan lengkap juga diberikan untuk varian EREV 1070 Luxury, seperti sistem ADAS melalui lapan radar ultrasonik, empat kamera keliling dan dua radar gelombang milimeter. Cirinya antara lain terdiri daripada AEB, amaran perlanggaran depan, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh, amaran lintasan trafik di belakang dan banyak lagi — selain sistem keselamatan yang biasa seperti beg udara, ABS dan EBD, kawalan kestabilan kenderaan dan bantuan brek (BA).

    Ciri keselesan lain yang ada pada Neta L adalah seperti kaca kalis bunyi lapisan berkembar di depan, 33 ruang simpanan barang kecil, slot di panel pintu dengan panjang 13.4 cm, glove box dengan kapasiti 16 liter serta ruang barangan di belakang dengan 530 liter kapasiti.

    Lima pilihan warna badan ditawarkan — putih, perak, hitam dan biru, serta satu lagi gabungan warna badan putih dengan bumbung hitam.

     
     
  • Beijing 2024: Mazda Arata concept dipamerkan- varian EV dan PHEV; versi produksi di China pada 2025

    Beijing 2024: Mazda Arata concept dipamerkan- varian EV dan PHEV; versi produksi di China pada 2025

    Model konsep bagi Mazda Arata sedang dipertontonkan dalam penganjuran Beijing Auto Show 2024, bersama dengan EZ-6 yang dibikin hanya untuk pasaran China. Arata concept ini direka dalam bentuk kerangka crossover, dengan penggayaan yang berpotensi menggantikan model semasa CX-5.

    Ia diberikan sentuhan bahasa rekaan Kodo yang diperjuangkan oleh Mazda, menerusi tema rekaan “penuh kejiwaan, futuristik dan moden’, menurut Mazda sendiri.

    Sebagai sebahagian rancangan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) Mazda, jenama ini bakal memproduksikan Arata pada tahun hadapan di China, menurut laporan Japan Times yang memetik kenyaraan CEO Mazda Masahiro Moro. Pengeluaran Arata ini juga direncana bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu BEV sepenuhnya dan juga plug-in hybrid (PHEV).

    Sebagai rujukan, EZ-6 dilengkapi dengan penjana kuasa elektrik sepenuhnya dengam motor elektrik yang dipasang di belakang dan mampu memberikan output sama ada 218 PS atau 258 PS, mengikut varian, dan puncak tork mampu dicapai pada 320 Nm. Pek bateri bagi EZ-6 antara 58.9 hingga 66.8 kWh, menawarkan jarak gerak antara 530 km dan 610 km mengikut ujian standard CLTC.

    Bagi versi penjana kuasa plug-in hybrid untuk EZ-6, yang mungkin turutkan diberikan kepada model produksi Arata, dengan EZ-6 ditampilkan enjin 1.5 liter empat-silinder sebaris petrol dengan bateri sama ada 19 kWh atau 28.4 kWh, dan motor elektrik berkapasiti 218 PS atau 238 PS, dan tork 320 Nm.

    EZ-6 juga menawarkan jarak pacu EV antara 135 km hingga 200 km, mod hibrid antara 1,140 km dan 1,200 km, bergantung pada saiz bateri. Versi produksi bagi Arata concept pula dijangka menampilkan angka yang lebih kurang sama, menurut Japan Times.

     
     
  • Toyota Yaris G Limited kini di Malaysia – RM99,600, talaan prestasi dan pengendalian, hanya 600 unit

    Toyota Yaris G Limited kini di Malaysia – RM99,600, talaan prestasi dan pengendalian, hanya 600 unit

    Kita di Malaysia masih lagi belum menerima Yaris facelift dengan muka jerung hammerhead seperti yang sudah diterima di Thailand. Namun hari ini UMW Toyota Motor (UMWT) membuat kejutan dengan memperkenalkan Toyota Yaris G Limited ke pasaran tempatan, yang bukan sahaja hadir dengan perincian kosmetik tambahan, malah turut diberikan tingkat taraf prestasi sebenar pada casis dan unit rangkaian kuasa!

    Model ini masih lagi dijana oleh enjin Dual VVT-i 2NR-FE 1.5 liter empat silinder. Namun enjin berkenaan kini dipertingkat dengan sistem kemasukan udara lebih sejuk (cold air intake atau CAI) yang menampilkan penapis udara jenis open pod yang menerima udara dari luar terus dari pengalir, dan juga air ram baharu yang disambung ke unit throttle body.

    Sistem berkenaan didakwa dapat membekalkan udara dengan lebih banyak oksigen ke dalam enjin seterusnya memberikan pembakaran yang lebih efisien serta memberikan respon yang lebih baik. Selain itu, Yaris G Limited ini turut diberikan unit pengawal pendikit (throttle controller), yang menurut Toyota memberikan nisbah input pendikit kepada output yang turut menghasilkan respon enjin lebih baik.

    Toyota mendakwa dengan pemadanan komponen tingkat taraf ini dapat mempertingkatkan kuasa kuda dan pecutan, namun ia tidak disertakan dengan angka kuasa dan prestasi sebenar. Bagi talaan asal, enjin pada perut Yaris berkenaan menghasilkan kuasa 107 PS dan tork maksima 140 Nm. Kotak gear CVT automatik yang diberikan mod manual dengan tujuh-kelajuan maya terus digunakan tanpa sebarang peningkatan.

    Toyota Yaris G Limited kini di Malaysia – RM99,600, talaan prestasi dan pengendalian, hanya 600 unit

    Manakala untuk pengendalian, Yaris G Limited ini diberikan unit penyerap hentak baharu dalam kemasan merah yang diberikan talaan lebih keras, serta pendakap-pendakap casis Gazoo Racing bagi memperkuatkan kerangka badan kereta berkenaan. Toyota menyatakan bahawa talaan ini dapat mengurangkan olengan badan dan meningkatkan ketepatan stereng, seterusnya membolehkan “pemandu menukar lorong dengan lebih yakin” dan “mengambil selekoh tanpa gusar”.

    Pada bahagian luar, model istimewa ini boleh dikenali dengan kit aero baharu dalam kemasan serlahan merah pada splitter hadapan, skirt sisi serta diffuser belakang. Bagi warna badan Red Mica Metallic dan Platinum White Pearl ia ditawarkan dengan tema dua tona menerusi cermin sisi, bumbung dan spoiler belakang yang diwarnakan hitam. Emblem ‘Limited’ turut ditampal pada pintu hatch belakang.

    Seperti namanya, Yaris edisi khas ini diasaskan dari varian G. Jadi ia menerima perincian standard lain seperti lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang halogen, cermin sisi auto-lipat, rim aloi 16-inci,cermin hadapan akustik, penderia parkir hadapan dan juga brek cakera belakang.

    Dalam kabin, ia menerima meter Optitron, skrin pelbagai info 4.2-inci, roda stereng yang dibalut kulit, pedal penukar gear, port USB type C untuk penumpang belakang, tempat duduk fabrik, kamera perakam digital (dashcam) hadapan, tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, enam pembesar suara dan cermin pandang belakang elektrokromik.

    Untuk keselamatan pula, model ini datang dengan Sistem Telematik Kenderaan (VTS), kunci automatik berdasarkan penderia kelajuan, tujuh-beg udara, penderia parkir belakang, VSC, Traction Control, sistem brek ABS dan EBD serta BA, dan bantuan mula mendaki.

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) juga turut diberikan, menampilkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran (PCS) dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan (LDA), pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang serta kamera pemantau panaromik 360-darjah.

    Untuk semua ini Toyota Yaris G Limited dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,600, namun ia dihasilkan terhad hanya sebanyak 600 unit. Ia turut diberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan, namun aksesori tambahan yang dipadankan hanya diberikan waranti selama setahun atau 20,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024