Honda Civic generasi ke-10 membuat penampilan pertamanya di Malaysia sebelum dilancarkan

Honda_Civic-2

Ia bukanlah kejutan seperti Perdana 2016 dan Toyota Sienta, namun kemuculan Honda Civic generasi ke-10 yang telah diumumkan sebelum ini merupakan salah satu daya penarik untuk pengunjung yang datang ke My Auto Fest 2016.

Model yang ditayangkan pada hari ini merupakan model tertinggi 1.5L VTEC Turbo. Dapat dilihat, untuk model pasaran Malaysia ini, sedan dengan rekaan belakang fastback ini dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan kombinasi lampu nyalaan siang LED, roda aloi dua ton (hitam-aloi digilap) berdiameter 17-inci serta lencana ‘VTEC Turbo’ pada bahagian penutup but belakang. Tiada varian RS seperti spsesifikasi pasaran Thailand untuk pasaran Malaysia, oleh itu model yang ditayangkan ini juga tidak dilengkapi dengan gril hadapan hitam berkilat serta spoiler bersaiz sebenar pada bahagian belakang.

Agak sukar untuk melihat bahagian dalaman kereta ini kerana cerminnya dilengkapi dengan filem penapis haba yang sangat gelap. Namun, apa yang dapat kami lihat, sedan ini dilengkapi dengan tempat duduk dibalut dengan kulit (dengan kemasan bermotif gentian karbon pada jalur tengah), penukar gear, butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik dua zon dan sistem infotaimen Honda Display dengan skrin sesentuh tujuh-inci. Dapat diperhatikan juga, Civic ini dilengkapi dengan liang penghawa dingin bahagian belakang, yang mana ciri ini tidak terdapat pada Civic pasaran Thailand.

Honda_Civic-15

Sedan segmen-C yang paling ditunggu-tunggu ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 173 hp pada takat 5,500 rpm dan tork 220 Nm maksima bermula 1,700 dan 5,500 rpm. Untuk varian 1.8L pula, ia masih lagi dijana oleh enjin 1.8 liter i-VTEC empat-silinder berkuasa 141 hp pada takat 6,500 rpm dan tork 174 Nm pada takat 4,300 rpm. Tiada lagi kotak gear automatik lima-kelajuan torque-converter untuk Civic pasaran Malaysia di mana kedua-dua enjin tersebut kini dipadankan dengan hanya transmisi CVT automatik.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan banyak ciri premium, malahan untuk varian asas 1.8L, Civic turut dilengkapi dengan penghidup enjin kawalan jauh dan kunci automatik Walk Away. Penghidup enjin kawalan jauh boleh digunakan untuk menghidupkan enjin diluar kereta pada lingkungan jarak 40 meter manakala kunci automatik Walk Away pula akan mengunci kesemua pintu secara automatik setelah pemandu beredar dalam jarak 2.5 meter dari kereta. Brek parkir elektronik dengan fungsi brake hold dan tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala turut dilengkapi secara standard untuk semua varian.

Ciri keselamatan standard untuk kesemua model juga merangkumi enam-unit beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan cagak ISOFIX pada tempat duduk belakang.

Honda Civic Generasi ke-10 kini sudah boleh mula ditempah dan dijangka akan dilancarkan pada suku kedua tahun ini. Sebelum itu anda boleh membaca dahuluulasan pandu uji awalan kami di Thailand baru-baru ini, dan galeri penuh Civic FB (generasi kesembilan) vs Civic FC (generasi kesepuluh).

Honda Malaysia kini sedang mempamerkan kereta tersebut di My Auto Fest 2016 yang berlangsung bermula hari ini hingga 22 Mei di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required