UMW Toyota akan memperkenalkan empat model baharu untuk tahun 2016 – Sienta bulan ini; Innova generasi baharu; Vios dan Camry versi kemaskini

Toyota_Sienta_Ext-2

UMW Toyota akan melancarkan empat lagi model baharu tahun ini iaitu Sienta (Ogos), Innova serba baharu (akhir 2016) serta Vios dan Camry versi yang dikemaskini. Perkara ini telah didedahkan sendiri oleh Presiden UMW Toyota selepas pelancaran Toyota Alphard dan Vellfire 2016 pagi tadi.

MPV Toyota Sienta sebelum ini telah pun membuat beberapa kemunculan dikhalayak ramai iaitu semasa My Auto Fest 2016 Mei lalu, dan di bilik pameran Toyota Mitsui Outlet Park. Harga untuk Sienta juga telah diumumkan sebelum ini, jadi tidak mengejutkan pengumuman pelancarannya akan dibuat pada bulan ini.

Sienta bakal ditawarkan dengan dua varian iaitu varian asas yang bakal dijual pada harga bermula RM92,900, manakala varian tertinggi 1.5V akan dijual pada harga RM99,900. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Walau bagaimanapun, model yang dipamerkan sebelum ini hanyalah varian 1.5V.

Untuk model Vios yang dikemaskini, ia berkemungkinan besar model Vios yang dipertingkatkan seperti model yang dijual di pasaran Thailand sekarang. Kami sudahpun melihat model berkenaan ketika ianya dipamerkan pada Bangkok Motor Show 2016 Mac lalu, yang ditawarkan dengan pelbagai ciri baharu.

Vios 2016 pasaran Thailand dilengkapi dengan Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC), hadir bersama sistem ABS, EBD dan BA. Kotak gear empat kelajuan automatik juga digantikan dengan kotak gear CVT dengan tujuh-kelajuan maya. Enjin 2NR-FBE 1.5 liter Dual VVT-i yang menjana Vios tersebut juga dikatakan mampu beroperasi menggunakan bahan api-bio E85.

Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 108 hp/140 Nm, kurang 1 Nm tork berbanding enjin 1NZ-FE pada Vios sedia ada. Walau bagaimanapun, dijangka model baharu pasaran Malaysia bakal menggunakan enjin 2NR-FE kerana ketiadaan bekalan bahan api-bio E85 di sini.

Untuk Camry, agak sukar untuk diagak pembaharuan yang dilakukan. Tetapi jika kami membuat jangkaan, ia mungkin model seperti Camry pre-facelift 2.0G X (gambar diatas) sebelum ini. Varian 2.0G X berkenaan akan diletakkan antara model 2.0G sedia ada dengan model tertinggi 2.5 Hybrid, dan dilengkapi pelbagai lagi kit.

MPV Innova generasi baharu sebelum ini telahpun dilancarkan di Indonesia. Ia menampilkan rekaan serba baharu pada bahagian luaran dan dalaman, dan dilengkapi pelbagai ciri-ciri premium. Sistem keselamatan juga dipertingkatkan, termasuk dilengkapi tujuh-beg udara dan VSC untuk varian tertinggi.

Innova serba baharu untuk pasaran Indonesia dikuasakan dengan dua pilihan enjin sama ada enjin petrol 1TR-FE 2.0 liter empat-silinder (139 PS/183 Nm) atau enjin turbo diesel 2GD-FTV 2.4 liter baharu (149 PS/359 Nm) seperti yang terdapat pada Toyota Hilux terkini. Enjin-enjin tersebut dipadankan dengan pilihan kotak gear enam-kelajuan automatik torque converter dengan mod manual atau transmisi manual lima-kelajuan. Kesemua varian boleh dipilih dengan kesemua pilihan enjin dan transmisi tersebut, kecuali Type Q yang hanya hadir dengan enjin petrol 2.0 liter beserta transmisi automatik.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required