Selain Proton Saga, produk pertama Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) – Perodua Kancil – antara yang mengubah lanskap keseluruhan corak mobiliti rakyat Malaysia. Begitu cepat masa berlalu, kumpulan pertama Kancil yang keluar dari kilang jenama berkenaan kini telah pun berusia 23 tahun, kurang setahun dari usia Perodua itu sendiri.

Selain dari pelancaran Axia facelift 2017, karnival MYPerodua Nation yang kini sedang berlangsung di AEON Mall Shah Alam turut menyediakan satu ruang khas untuk menyelurusi kembali perjalanan Perodua bermula pada tahun 1993 sehinggalah kejayaan besar yang dikecapi oleh Perodua sekarang, terletak di belakang ruang pameran utama model-model Perodua terkini.

Selepas sahaja daun pintu ruang pameran ini dibuka, anda terus sahaja diperkenalkan kepada model pertama Perodua Kancil 660 yang dilancarkan pada tahun 1994. Dengan sepasang lampu kaca hadapan, gril dengan logo ‘kancil lompat’ bersama bampar-bampar yang tidak diwarnakan, serta rim 12-inci dengan lebar hanya 4jj dibaluti tayar 155/70R12, Kancil dijual dengan harga yang sangat mampu milik ketika era tersebut.

Dengan bayaran bulanan lebih mahal sedikit dari sebuah motosikal kapcai, rakyat Malaysia dari golongan berpendapatan rendah, orang bujang yang baharu sahaja mula berkerja, serta pelajar-pelajar kolej mula mengubah mod pengangkutan mereka. Walaupun bersaiz kecil dan juga kuasa enjin hanya 31 PS berserta kotak gear manual empat kelajuan, Kancil masih mampu memuatkan empat orang dewasa, boleh membawa barang yang lebih banyak, selesa dan mempunyai penghawa dingin serta tidak perlu berteduh sekiranya hari hujan berbanding menggunakan motosikal, sesuai dengan cogan katanya ketika itu – ‘Sebijak Anda’.

Diasaskan dari Daihatsu Mira L200, memberikan satu lagi kelebihan buat Kancil – kegilaan terhadap budaya ubahsuai K-Car dari Jepun mula berjangkit ke dalam masyarakat Malaysia. Daihatsu bukan sahaja menghasilkan model asas Mira untuk penggunaan dalam bandar di Jepun, malah turut membina model-model berprestasi menggunakan enjin 660 cc dengan pengecas turbo dan juga lambakan varian serta edisi-edisi istimewa seperti Parco, TRXX, Felix The Cat, Hello Kitty, dan pelbagai lagi. Industri kereta potong atau ‘halfcut’ yang dibawa dari Jepun menyumbang kepada meriahnya modifikasi Kancil di Malaysia ketika itu (masih lagi bertahan dan menjadi kegilaan sehingga kini!).

Kancil menerima pelbagai facelift sepanjang hayat produksinya, dan perubahan terbesar dibuat pada tahun 2002 di mana keseluruhan badan dan dalamannya direka dengan lebih elemen bulat termasuk lampu hadapan, papan pemuka dengan liang penghawa dingin bulat, serta paparan instrumen yang juga dibulatkan serta diletakkan seperti papan pemuka Toyota Vios generasi kedua. Produksi Kancil berakhir pada tahun 2009 setalah 708,527 unit dihasilkan dan tempatnya kemudiannya diambil oleh Perodua Viva 660.

Selain dari Van Rusa, Perodua turut memproduksi sebuah lagi kenderaan ‘bukan kereta’ menerusi pengenalan SUV Kembara pada tahun 1998. Diasaskan dari Daihatsu Terios, Kembara merupakan SUV pertama keluaran syarikat nasional.

Seperti namanya, Kembara bukan dibina seperti kebanyakkan SUV pada masa sekarang yang direka untuk kegunaan bandar. Ia merupakan kenderaan off-road sebenar yang boleh digunakan untuk masuk ke kawasan hutan pada bila-bila masa, diberikan sistem pacuan empat roda sepenuh masa dan disertakan pengunci karbeda tengah (center differential lock) yang boleh diaktifkan dengan suis (digunakan pada permukaan licin/berlecak teruk untuk mengekalkan tork yang sama pada gandar hadapan dan belakang), dijana oleh enjin 1.3 liter SOHC.

Kembara kemudiannya diberikan tingkat taraf pada tahun 2003 dengan sedikit perubahan pada bahagian luaran dan juga diberikan enjin yang lebih moden, 1.3 liter DOHC K3-VE yang turut dilengkapi sistem pemasaan injap bervariasi DVVT. Model ini dihentikan pengeluarannya pada tahun 2008 dengan jumlah produksi keseluruhan 77,889 unit dan kemudiannya digantikan dengan model Perodua Nautica.

Perodua mula hadir dengan model MPV pada tahun 2000, menerusi Perodua Kenari. Diasaskan dari Daihatsu Move L900, rekaan MPV bersaiz kecil dengan empat tempat duduk, tinggi dan berkotak ini mengundang pelbagai reaksi rakyat Malaysia ketika itu kerana konsep yang agak pelik pada Kenari ini merupakan yang pertama seumpanya di sini.

Kenari ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 850 cc dan juga 1000 cc. Model ini kemudiannya menerima facelift pada tahun 2004 dengan muka hadapan menerima lampu utama berbentuk ‘kacang’, menggantikan lampu bulat kembar berasingan sebelum itu. Kegilaan rakyat Malaysia dalam mengubahsuai Kenari kepada Move seperti yang terjadi pada Kancil akhirnya menarik perhatian Perodua sendiri, yang kemudiannya mereka menghasilkan Kenari RS, menampilkan kit luaran yang sporty seiras dengan Daihatsu Move Custom di Jepun.

Rupa pelik pada Kenari ini akhirnya boleh diterima dengan baik oleh rakyat Malaysia secara beransur-ansur. Buktinya, model ini berjaya bertahan selama sembilan tahun dalam pasaran, setelah produksinya dihentikan pada tahun 2009.

Perodua mula mengeluarkan hatchback kompak keduanya selepas Kancil, diberi nama Perodua Kelisa pada tahun 2001. Kelisa diasaskan dari Daihatsu Mira L700, ditawarkan dengan enjin sama seperti Kenari iaitu 850 cc dan 1000 cc.

Dengan enjin lebih berkuasa berbanding berat keseluruhannya yang hanya sekitar 70 kg lebih berat dari Kancil serta dimensinya yang lebih panjang dan lebar, Kelisa ternyata sebuah kereta kompak yang sangat seronok untuk dipandu. Produksi Kelisa dihentikan pada 2007, setelah enam tahun dalam pasaran dan sejumlah 166,588 unit telah dihasilkan sepanjang tempoh tersebut.

Atas faktor seronok untuk dipandu, tahap reliabiti yang tinggi serta kos selenggara yang rendah, kebanyakkan Kelisa masih kekal dengan tuan asalnya, tetapi mendapat permintaan tinggi dalam pasaran kereta terpakai, menjadikan harganya kekal tinggi sehingga sekarang.

Jika di luar negara ada Mini Mk1 dan Volkswagen Type-1 Beetle yang dianggap sebagai kereta ikonik di negara masing-masing, kita di Malaysia ada Perodua Myvi. Sejak dari mula diperkenalkan pada 2005 sehingga hari ini, sejumlah lebih dari 935,304 unit Myvi telah berkeliaran di atas jalan raya seluruh Malaysia, dan memegang takhta sebagai kereta paling laris dalam pasaran tempatan selama sembilan tahun berturut-turut!

Dengan angka berkenaan, secara purata, satu dari sepuluh buah kenderaan di Malaysia pastinya adalah Myvi, dan jumlah keseluruhan Myvi di dalam Malaysia sahaja lebih banyak dari himpunan populasi manusia di Brunei, Iceland dan Aruba. Oleh itu, tidak hairanlah kisah suka-duka, perit-getir rakyat Malaysia sejak 17 tahun lalu pastinya ada disulami dengan Perodua Myvi.

Sehingga kini, Myvi telah dihasilkan dalam dua generasi dan pelbagai versi facelift. Pembinaan Myvi generasi pertama diasaskan dari Daihatsu Boon/Toyota Passo, ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu 1.0 liter tiga-silider DOHC DVVT dan juga 1.3 liter empat-silinder DOHC DVVT.

Myvi generasi kedua hadir dalam pasaran bermula pada tahun 2011 dan masih diproduksi dan dijual sehingga sekarang. Model ini diberikan dimensi hampir sama seperti model sebelumnya, dan penggayaannya yang kini lebih bulat dan sporty. Pelbagai peningkatan ketara diberikan pada ciri-ciri dan sistem mekanikal antaranya sistem stereng berkuasa hidraulik kini telah digantikan dengan stereng kuasa elektrik. Dua beg udara hadapan kini diberikan standard untuk semua varian, manakala brek ABS dan EBD diberikan untuk model 1.3 Premium keatas.

Varian asas model baharu ini juga tidak lagi menggunakan enjin 1.0 liter, tetapi telah digantikan dengan enjin K3-VE 1.3 liter DOHC DVVT. Manakala untuk model varian lebih tinggi, Myvi kini diberikan enjin lebih bertenaga – 3SZ-VE 1.5 liter DOHC DVVT. Versi transmisi manual model 1.5 liter ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 9.98 saat, menjadikannya kereta produksi paling pantas pernah dihasilkan Perodua.

Model 1.5 liter ini juga diberikan varian Extreme, diberikan kit badan penuh dengan spoiler belakang lebih tinggi dan juga spoiler hadapan lebih agresif pada bampar hadapan, bersama warna kuning signatur rasmi Solid Majestic Yellow. Percaya atau tidak, seorang rakyat Jepun telah membeli Myvi Extreme ini di Malaysia, dan membawanya pulang ke Jepun, kemudiannya dihantar ke Fujita Engineering (FEED) untuk diubahsuai! Walau bagaimanapun, varian Extreme ini dihentikan semasa pengenalan versi facelift pada tahun 2015, dan digantikan dengan varian Advance yang hanya hadir dalam versi transmisi automatik.

Selepas Kenari, Perodua menghasilkan sebuah lagi MPV, kali ini dengan tujuh-tempat duduk digelar Perodua Alza. Menerjah pasaran pada tahun 2009, Alza diasaskan dari model Dihatsu Boon Luminas/Toyota Passo Sette. Alza hanya ditawarkan dengan enjin 1.5 liter DOHC DVVT, dipadankan sama ada dengan transmisi automatik empat-kelajuan atau manual lima-kelajuan.

Semasa dilancarkan, Alza tampil dengan dua varian iaitu Standard dan Premium. Pada tahun 2010, Alza Advance yang diberikan aksesori lebih mewah seperti tempat duduk kulit dan lain-lain mula ditawarkan. Manakala pada tahun pada tahun 2012, Alza versi lebih mampu milik dari varian SR diperkenalkan, hadir tanpa brek ABS, EBD dan BA, serta lain-lain aksesori.

Versi facelift Alza hadir pada tahun 2014, ditawarkan hanya dalam tiga varian iaitu Standard, SE, dan Advance. Perubahan yang dilakukan pada versi ini hanya melibatkan rupa, tanpa apa-apa perubahan mekanikal. Varian Standard kemudiannya digantikan dengan Alza S, yang diberikan pelbagai aksesori seperti kita badan dari SE dan lain-lain, tanpa apa-apa perubahan harga. Alza masih lagi diproduksi sehingga kini setelah lapan tahun dalam pasaran, dan Perodua masih lagi belum mengumumkan bila generasi baharu MPV ini akan diperkenalkan.

Tahun lalu, Perodua mencatatkan satu lagi detik bersejarah dalam hayatnya sebagai pengeluar automotif nasional dengan menghasilkan sedan pertamanya – Perodua Bezza.

Bezza diasaskan dari platform yang sama seperti Perodua Axia/Daihatsu Ayla/Toyota Agya, tetapi kerangka atas bahagian atas model sedan ini, dihasilkan sendiri oleh pasukan jurutera Perodua – Daihatsu dan Toyota masih lagi belum membina sedan menggunakan platform berkenaan.

Selain dari kerangka, Perodua turut menghasilkan sendiri sistem auto start/stop untuk enjin, serta sistem regenerative braking bagi menyokong fungsi ‘Eco-Idle’ tersebut. Perodua Bezza ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 1KR-VE 1.0 liter SOHC VVT-i dan juga 1NR-VE 1.3 liter DOHC Dual VVT-i – enjin yang sama menjana Toyota Avanza facelift.

Perjalanan Perodua tidak terhenti setakat ini. Di penghujung pameran ini, Perodua turut mempamerkan model skala tanah liat sebuah MPV digelar Perodua Concept-X. Menurut Perodua, model ini bukan petunjuk pada mana-mana model gantian dalam masa terdekat, tetapi sebagai untuk menunjukkan kemampuan sebenar pasukan pereka bentuk mereka dalam menghasilkan rekaan-rekaan baharu.

Walau bagaimanapun kami turut diberitahu, sebahagian elemen rekabentuk pada model ini akan diterapkan pada model-model Perodua generasi akan datang. Sebelum ini, Perodua pernah mengumumkan program transformasi pertama mereka untuk tempoh lima tahun, dan menyaksikan unit R&D mereka telahpun diperkasakan dengan kejayaan pertama membina Bezza.

Perodua telah mengumumkan satu lagi rancangan lima-tahun mereka selepas itu digelar “Pelan Transformasi 2.0” yang akan bermula tahun ini, di mana salah satu cabangnya adalah untuk memperkasakan unit R&D dalaman. Jadi penghasilan model konsep baharu ini mungkin menunjukkan visi mereka kearah yang disasarkan berkenaan, dan selepas ini mungkin kita akan dapat lihat banyak lagi model yang dibangunkan oleh Perodua sendiri.

Bagi mereka yang berminat untuk melihat sendiri pameran Perjalanan Perodua ini, anda masih lagi berpeluang kerana karnival MYPerodua Nation yang bermula semalam ini hanya akan berakhir pada hari esok – 22 Januari 2017. Masuk adalah percuma, cuma sediakan duit untuk bayar parkir di AEON Mall Shah Alam, hah!