Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

Ketika ini, dua syarikat gergasi automotif dengan operasi global sedang membida untuk mendapatkan pegangan majoriti dalam Proton. Untuk itu, kedua-duanya memberikan tawaran yang dirasakan terbaik untuk “memenangi” Proton. Di dalam satu rencana diterbitkan oleh Bernama, penulisnya memberi perhatian kepada pertanyaan ini; mengapa Proton dianggap sangat bernilai?

Ini berbeza sekali dengan rata-rata kita di Malaysia, yang lebih kerap mendengar tentang hal-hal kerugian yang ditanggung Proton Holdings Berhad. Berlainan sekali dengan kedua-dua pembida ini; mereka malahan melihat Proton sebagai sebuah syarikat pengeluaran yang sangat bernilai jika diletakkan dalam konteks global, berbeza dengan jika dilihat dari sudut operasi pasaran tempatan semata-mata, menurut pengalisa.

Dua syarikat antarabangsa yang berminat itu – Zhejiang Geely Holdings Group dari China dan PSA Group dari Perancis – melihat Proton dengan cara yang berbeza, dan disifatkan sebagai padanan yang cukup strategik di dalam perancangan global yang lebih besar bagi dominasi automotif yang kini sedang rancak berlaku serata dunia oleh pemain-pemain utama industri.

Di sinilah Proton menjadi begitu penting; sebagai strategi di mana Proton akan dijadikan “sauh” operasi mereka di Asia, selain jejak mereka di benua lain diperingkat global, ujar seorang penganalisis yang sudah terbiasa dengan usaha sama seperti itu.

Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

Alasan yang membolehkan perkara ini berlaku sangat mudah. Proton sehingga hari ini kekal menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan Asean yang lengkap dengan keupayaan kajian dan pembangunan (R&D), rekaan, pengilangan, pengedaran dan jualan kenderaan. Tiada lagi dalam kalangan 10 negara anggota Asean yang berhasil melakukan hal ini.

Ini meletakkan Proton dalam posisi unik; Asean merupakan pasaran yang sedang berkembang dengan 600 juta orang, yang mana peningkatan pendapatan kini akan mendorong warganya untuk membeli kereta pertama mereka. Proton sangat strategik dari beberapa sudut – pertama, menjadi satu-satunya pengeluar kenderaan dari Asean dan kedua, operasinya akan membawakan manfaat yang lebih besar kepada pemain global seperti Geely dan PSA. Ketiga, ia terletak di tengah-tengah rantau Asia – rantau pertumbuhan ekonomi paling cepat di dunia kini.

Selain itu juga, kapasiti pengeluaran kilang Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim jika digabungkan mampu mencapai angka 400,000 setahun. Pemain automotif utama dari luar menyedari perkara ini, bahawa Proton memiliki sebuah kitaran sistem dan kemudahan pengeluaran yang siap tersedia untuk mana-mana pengeluar automotif melanjutkan operasi mereka di Asean.

Turut kedengaran sebelum ini, adalah lebih baik bagi PSA dan Geely untuk memulakan pembinaan kilang dan operasi baru sahaja, misalnya di Indonesia yang banyak tenaga kerjanya, serta populasi warga seramai 250 juta. Penganalisa berpendapat, kos yang terlibat untuk ini akan mencecah US$2 bilion, dan akan mengambil masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.

Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

Ini juga perlu mengambil kira latihan yang perlu diberikan kepada ribuan tenaga kerja bermula dari kosong, serta keperluan untuk membangunkan satu kitaran sistem bagi vendor. Memulakan operasi dari sifar ini asalnya dinyatakan oleh PSA sebagai pilihan utamanya untuk mewujudkan jejaknya di Asia, sehinggalah Proton muncul dengan rancangan untuk mencari rakan strategik asing.

Ia menjadi titik penting di mana PSA memberi tumpuan kepada Proton, sebuah jenama yang sudah 30 tahun usianya dan hadir dengan pengalaman dan kitaran vendor secara menyeluruh bagi setiap peringkat pemasangan dan pengeluaran kenderaan. Pilihan ini adalah lebih baik kepada syarikat itu, yang menjelaskan bahawa langkah ini bertujuan untuk mengelakkan “kesilapan pemula” ketika memulakan operasi di Asean.

PSA juga sedar satu perkara. Selepas pembeliannya ke atas jenama Vauxhall di UK dan Opel di Jerman dari General Motors, ia menjadi pengeluar kenderaan kedua terbesar di Eropah. Bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi di Eropah sangat perlahan, manakala di Asia pula adalah sebaliknya dan jauh lebih pesat – dan di Asia jugalah PSA kekurangan kemudahan pengilangan automotif yang lengkap. “Jika PSA berjaya melamar Proton, maka jenama Malaysia ini akan menyertai kisah jenama global seperti Peugeot, Citroen, DS Automobiles, Vauxhall dan Opel,” jelas penganalisis itu.

Sebuah lagi syarikat yang berminat ke atas Proton ialah Geely. Sebuah jenama yang agak muda dalam industri, yang mengeluarkan kereta pertamanya pada 1998, dan mengambil langkah berani untuk membeli jenama Volvo – yang ketika itu sedang bermasalah – daripada Ford pada 2010. Dalam masa yang agak singkat ia telah berjaya mengubah Volvo untuk kembali berdaya saing diperingkat global. Geely juga kemudiannya membeli pengeluar teksi British, The London Taxi Company.

Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

The new Volvo XC60

Melalui Volvo, Geely mempunyai jenama global yang kuat, tetapi tidak mempunyai kemudahan pemasangan di rantau Asean, menjadikannya kuat di China tetapi lemah di rantau Asean yang pesat berkembang. Sekali lagi, Proton boleh merapatkan jurang ini.

Pengalisis RHB Research, Alexander Chia baru-baru ini menjelaskan, bahawa Proton memerlukan rakan strategik asing yang boleh membantunya dengan pembangunan model baru, pemindahan teknologi, pengurusan kos pembangunan, pelaksanaan proses pengilangan yang lebih cekap kos, menembusi pasaran baru dan membangkitkan semula jenama Proton.

“Produk-produk Proton biasanya mempunyai kitaran hayat yang dilanjutkan, disebabkan oleh kekurangan jumlah kenderaan yang dijual (economies of scale), di mana ia memerlukan masa yang lebih lama untuk menjual bilangan yang sepatutnya untuk mengimbangi kos pembangunan,” ujar beliau.

Dengan rakan strategik asing, masa depan Proton akan menjadi sangat berlainan daripada imej sebelum ini. Dalam tempoh tiga tahun, penganalisa berkenaan menjangkakan Proton akan hadir dengan beberapa model baru melalui perkongsian teknologi dan platfrom, begitu juga dengan barisan model baru SUV yang tiada sebelum ini.

Mengapa dua gergasi automotif anggap Proton bernilai

Menurut beliau lagi, dalam tempoh itu, Proton akan dapat mengukuhkan kedudukannya di Asean dengan 300,000 unit atau tiga kali ganda jualan berbanding sekarang. Dalam tempoh lima tahun pula, angka berkenaan ialah meningkat kepada 500,000 unit, dengan Proton mula mengeksport kenderaannya ke luar Asean, memasuki pasaran Asia yang lebih besar.

Dan, menjelang 2020, Tanjung Malim akan menjadi hab automotif utama dengan majoriti populasinya akan terlibat dengan lebih ramai sebagai pekerja di sana, untuk memenuhi kadar pengeluaran yang tiga hingga lima kali ganda berbanding yang dikeluarkan hari ini.

DRB-Hicom Berhad juga betul dalam melihat Proton sebagai sebuah syarikat yang bernilai. Selepas membelinya pada 2012, dan mengharungi beberapa tahun yang sukar, akhirnya syarikat itu digandingkan dengan jenama antarabangsa yang berminat.

Tiga tahun ke depan, ketika melihat semula tahun 2017 ini, akan menjadi sangat jelas bahawa membuka Proton untuk berkerjasama dengan jenama global telah meletakkannya di landasan yang betul untuk menempa nama diperingkat antarabangsa, berbanding jika ingin mengekalkannya sebagai pemilikan Malaysia sepenuhnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required