Pemilik jenama Peugeot dan Citroen, PSA Group dari Perancis kini sah telah mengambil alih jenama Jerman – Opel serta subsidiari Britain mereka iaitu Vauxhall dari penguasaan gergasi automotif Amerika Syarikat iaitu General Motors (GM).

Perjanjian pengambilalihan yang bernilai 2.2 bilion euro tersebut secara tidak langsung menjadikan PSA sebagai kumpulan automotif kedua terbesar di Eropah, di belakang Volkswagen Group dan mengatasi Pakatan Renault-Nissan.

Menurut kenyataan rasmi dari PSA, pengambilalihan berkenaan turut termasuk kesemua operasi automotif Opel-Vauxhall, meliputi jenama Opel dan Vauxhall, enam-fasiliti pemasangan dan lima-fasiliti penghasilan komponen, satu pusat kejuruteraan (di Rüsselsheim, Jerman) serta kira-kira 40,000 orang tenaga kerjanya. Fasiliti pusat kejuruteraan di Torino, Itali masih lagi kekal milik GM kerana ia digunakan untuk projek-projek antarabangsa.

Produk-produk Opel akan terus menggunakan teknologi GM yang dihasilkan sebelum ini menerusi lesen harta intelek dari pembuat automotif tersebut sehingga kesemua modelnya dialihkan secara progresif kepada platform PSA dalam masa berberapa tahun akan datang. Ini bermaksud, SUV Crossland X dan Grandland X yang dibina bersama PSA berasaskan SUV Peugeot 2008 sebelum ini merupakan siri pertama model yang diasaskan dari teknologi PSA.

“Kami bangga untuk berkerjasama dengan Opel/Vauxhall dan sangat komited untuk terus membangunkan syarikat yang hebat ini dan mempercepatkan keuntungannya,” kata pengerusi lembaga pengurusan PSA, Carlos Tavares.

Sebelum ini, spekulasi berkenaan pengambilalihan ini turut menimbulkan kegusaran tentang kemungkinan akan menyebabkan dua kilang Vauxhall di UK akan ditutup. Kerajaan Perancis merupakan pemegang saham sebanyak 14% di dalam PSA, dan mereka berpendapat dengan memindahkan kilang produksi Vauxhall dari UK ke Perancis dapat mengurangkan kadar tarif selepas UK sah meninggalkan Kesatuan Eropah (Brexit) kelak.

Selain dari pengambilalihan Opel/Vauxhall ini, PSA turut mengesahkan mereka kini sedang membida untuk menjadi rakan strategik Proton bagi mendapatkan 51% pegangan saham pada kilang Tanjong Malim milik pengeluar automotif nasional Malaysia tersebut, mensasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluarannya di Asia.

Zhejiang Geely dari China yang menjadi pesaing terdekat PSA dalam perlumbaan untuk mendapatkan tawaran tersebut baru-baru ini dilaporkan mahu menarik diri dari bidaan berkenaan, yang mungkin akan memberikan harapan cerah kepada PSA.