Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

Ini adalah berita yang kami dapat terus dari Bangkok International Motor Show (BIMS) 2017, iaitu penampilan Honda CR-V 2017, selepas pelancaran rasminya yang berlaku minggu lalu. Model terbaru SUV saiz sederhana popular Honda ini akan tiba di Malaysia tidak lama lagi, dan akan memberi pandangan awal bagaimana ia akan kelihatan nanti.

Ini bukan sekadar CR-V yang disalin kulitnya – model generasi kelima ini mempunyai tempat duduk baris ketiga, menjadikan keseluruhannya tujuh tempat duduk. Ia juga adalah pertama kali CR-V mempunyai lebih daripada lima tempat duduk, dan ia sekaligus meletakkannya sama dengan Nissan X-Trail T32 yang menggunakan formasi 2-3-2.

Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga pada kenderaan ini boleh disandar, dengan baris kedua juga boleh dilungsur supaya lebih fleksibel dan boleh dilipat ke hadapan untuk akses ke baris ketiga. Pada model yang dijual di Amerika Syarikat (Thailand adalah negara ketiga di dunia yang melancarkan CR-V selepas AS dan Kanada), ia turut didatangkan dengan corong pendingin hawa untuk baris ketiga, manakala untuk baris ketiga, corong ini terletak di atas bumbung.

Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

Baris ketiga CR-V 2017 boleh dilipat 50:50 secara berasingan, dan lantai bahagian but boleh ditetapkan dalam dua posisi – posisi tinggi memberikan lantai yang rata apabila baris ketiga dilipat. Tayar ganti bersaiz penuh terletak dalam kenderaan, iaitu di bawah tempat duduk baris ketiga.

Pada bahagian depan, sementara bentuk asas dalaman CR-V Thailand ini sama seperti yang dijual di AS, dengan adanya skrin tengah ‘terapung’, paparan instrumen virtual TFT LCD dan roda stereng tiga cabang seperti Civic, tombol gear automatik biasa walaubagaimanapun telah diganti dengan unit butang seperti NSX, dengan butang undur diletakkan lebih dalam supaya tidak ditekan secara tidak sengaja. ‘Pemilih gear elektronik’ ini hanya untuk varian berenjin diesel, manakala varian petrol mendapat tombol gear biasa.

Rekaan luar kenderaan ini juga lebih moden. Seperti model yang dijual di AS, CR-V Thai datang dengan pilihan lampu utama LED (bersepadu baik dengan penampilan Solid Wing Face Honda), lengkuk roda lebar, D-pillar yang condong dan lampu belakang LED berbentuk L. Kereta varian paling tinggi mendapat rim 18 inci (tayar 235/60) manakala varian asas mendapat rim 17 inci (tayar 235/65).

Bangkok 2017: Honda CR-V – galeri langsung dari Thailand; pilihan enjin 2.4L petrol dan 1.6L diesel

Perkara baru lain pada CR-V Thailand adalah pilihan enjin diesel. Unit N16 1.6 liter DOHC i-DTEC turbodiesel yang digunakan diambil daripada model di Eropah dan ia mampu menghasilkan 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm tork pada 2,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear automatik sembilan kelajuan ZF, bersama pedal penukar gear di stereng dan ciri idle stop.

Enjin i-DTEC ini juga sepatutnya dapat memberikan kuasa tarikan lebih daripada cukup, tetapi bukan semua orang selesa dengan enjin diesel. Oleh itu, Honda menawarkan pilihan enjin petrol K24 2.4 liter N/A DOHC i-VTEC sama seperti sebelum ini, dengan kuasa sebanyak 175 hp pada 6,200 rpm dan 225 Nm tork pada 4,000 rpm. Kotak gear CVT Earth Dreams seperti yang digunakan pada model facelift generasi sebelum ini di Thailand juga dikekalkan (model di Malaysia menggunakan kotak gear automatik lima kelajuan).

Kedua-dua enjin ini boleh didapati dengan pilihan AWD, dan terdapat dua pilihan kemasan untuk setiap satunya, menjadikan keseluruhannya terdapat empat varian untuk CR-V 2017 di Thailand – 2.4 E 2WD, 1.6 Turbo E 2WD, 2.4 EL 4WD dan 1.6 Turbo EL 4WD. Harga pula terletak di antara 1.399 juta baht (RM179,511) hingga 1.699 juta baht (RM217,974).

Barangan standard yang diberikan pada CR-V Thailand adalah lampu utama dan lampu siang LED, pintu but elektrik, tempat duduk dibalut kulit, meter digital dengan MID, kunci pintar dan butang pemula enjin, sistem kunci automatik apabila beredar, cruise control, tempat duduk pemandu larasan elektronik lapan arah dengan sokongan pinggang, sambungan Bluetooth, brek letak kenderaan elektronik, auto brake hold dan enam beg udara.

Bagi yang memilih varian EL, mereka akan menerima barangan seperti lampu utama dan pengelap cermin automatik, pintu but yang boleh dibuka dengan menghayunkan kaki di bawahnya, rim 18 inci, kemasan kayu, pendingin hawa dua zon, tempat duduk penumpang hadapan larasan elektronik, skrin sesentuh tujuh inci lengkap dengan navigasi dan Apple CarPlay, penyambung HDMI, LaneWatch dan Driver Attention Monitor. Sudah tentu, terdapat juga pilihan kit Modulo.

Honda Thailand menjangkakan 40% pembeli akan memilih varian diesel yang lebih mahal. Bagaimana pula keadaan dengan Malaysia? Adakah pengguna lebih terbuka untuk menerima enjin diesel? Kami jangkakan tidak, jadi berkemungkinan enjin 1.5 liter VTEC Turbo petrol seperti pada Civic akan menjadi varian paling tinggi CR-V apabila ia tiba di Malaysia nanti.

GALERI: Honda CR-V 1.6L i-DTEC EL 4WD

GALERI: Honda CR-V 2.4L i-VTEC E 2WD

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required