Sebelum ini, Mazda menegaskan mereka tidak akan terikut-ikut dengan trend penghasilan enjin kecil dengan induksi paksaan (turbo atau supercharger) dan akan terus menghasilkan enjin petrol NA dengan nisbah mampatan sangat tinggi menerusi teknologi Homogeneous Charge Compression Ignition (HCCI) – iaitu sistem pembakaran tanpa palam pencucuh seakan sistem pada enjin diesel.

Namun pada pendedahan enjin SkyActiv-X baru-baru ini, jenama berkenaan mendedahkan enjin dengan teknologi HCCI tersebut turut akan dibantu sebuah unit supercharger yang didakwa akan menawarkan respon lebih baik serta 10% hingga 30% lebih tork berbanding enjin SkyActiv-G. Setelah itu, kini satu lagi rekaan enjin Mazda telah ditemui dipatenkan di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat – menampilkan enjin dengan dua pengecas turbo serta sebuah lagi supercharger yang digerakkan secara elektrik.

Enjin tersebut akan disuap dengan dua pengecas turbo konvensional iaitu digerakkan menggunakan gas ekzos untuk menghasilkan kuasa tinggi. Manakala untuk supercharger eletrik berkenaan pula ia akan membekalkan kuasa pada takat rpm rendah untuk meningkatkan respon pada bahagian berkenaan.

Apa yang menarik lagi, bekalan kuasa elektrik yang menjana supercharger tersebut akan disuap oleh sistem bekalan kapasitif yang seiras dengan sistem i-ELOOP pada Mazda 6 sedia ada. Untuk sistem yang digunakan kini pada Mazda 6, kuasa elektrik dijana menerusi sistem regenerative braking dan kemudian akan disimpan pada kapasitor. Kuasa tersebut kemudiannya akan digunakan untuk sistem elektrikal seperti pendingin hawa, sistem audio dan juga lampu.

Satu lagi aspek yang membuatkan ia lebih menarik untuk ditunggu ialah pada konfigurasi susunan enjin tersebut. Ia nampaknya akan diletakkan secara menegak – bermaksud konfigurasi untuk enjin hadapan pacuan belakang (FR). Setakat ini, kesemua model Mazda sedia ada menggunakan konfigurasi enjin melintang (sama ada untuk pacuan hadapan atau untuk semua roda) kecuali kereta sport roadster Mazda MX-5.

Adakah enjin ini dibina untuk MX-5 akan datang? Atau Mazda akan hadir dengan platform kereta sport lain yang lebih besar dari roadster berkenaan? Masih lagi terlalu awal untuk dijangka kerana ia baru pada peringkat paten. Mazda sebelum ini juga pernah mempatenkan rekaan enjin wankel rotary turbo generasi baharu digelar SkyActiv-R, namun selepas itu menegaskan mereka tidak akan membina kereta sport siri RX baharu untuk menggantikan model RX-8.