Toyota failkan tanda dagangan ‘Celica’ di Amerika, petanda kemunculan semula jentera sport tersebut?

Toyota failkan tanda dagangan ‘Celica’ di Amerika, petanda kemunculan semula jentera sport tersebut?

Menerusi carian di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat, The Drive telah menemukan empat hasil – dua adalah untuk perisian, satu fail asal nama Celica generasi pertama yang didaftarkan pada tahun 1973 (kini telah mencapai tarikh luput), dan satu lagi fail baharu yang juga dibuat oleh Toyota bertarikh 31 Ogos 2017.

Adakah permohonan baharu ini menandakan siri kereta sport Toyota tersebut akan kembali dalam barisan model-model baharu jenama dari Jepun berkenaan? Era 90’an dahulu, Toyota terkenal dengan rangkaian kereta sport ‘tiga-beradik’ mereka iaitu Celica-MR2-Supra. Semasa membayangkan kemunculan semula Toyota Supra generasi baharu sebelum ini, ketua jurutera Bahagian Pengurusan Kenderaan Sport Toyota dan juga bos yang menerajui Gazoo Racing, Tetsuya Tada, juga membayangkan ‘tiga-beradik’ berkenaan turut akan diperkenalkan semula.

Untuk generasi baharu ini, Toyota 86 telah diperkenalkan sejak 2012 manakala ‘Abang Long’ Toyota Supra pula kini sedang giat di uji dan versi produksinya bakal membuat kemunculan pada tahun hadapan. Yang menjadi persoalan sekarang adalah tentang satu lagi kekosongan yang perlu diisi untuk barisan tiga beradik berkenaan, sama ada Toyota akan mengembalikan semula MR2 atau Celica?

Pada Tokyo Motorshow 2015, sebuah kereta sport pacuan roda belakang yang lebih kecil dari 86 telah membuat penampilan. Coupe ringan, 2+2, enjin hadapan pacuan roda belakang tersebut digelar S-FR itu kelihatan bersedia untuk mencabar Mazda MX-5. Tiada perincian spesifikasi berkenaan model tersebut, tetapi menurut satu laporan dari media Jepun, ia dilengkapi dengan enjin 1.5 liter empat silinder dengan sistem suntikan bahan api terus berkuasa 130 PS/148 Nm, kotak gear manual enam-kelajuan dan berat bersih hanya 980 kg.

Walau bagaimanapun, idea FR-S tersebut terpaksa diubah kerana undang-undang emisi akan datang dan Toyota sedang berusaha untuk menggunakan teknologi hibrid dari jentera perlumbaan LMP mereka. Tada menjelaskan pihaknya kini “sedang berusaha keras” untuk menjadikan kereta sport tersebut realiti.

Oleh itu, boleh ditafsirkan Toyota sedang membina sebuah kereta sport dengan bentangan enjin tengah yang lebih sesuai untuk memuatkan unit janakuasa tersebut, dan ia mungkin sebuah model gantian MR2 (nama MR2 itu sendiri bermaksud Mid-engine, Rear wheel drive, 2 seater).

Celica generasi pertama (gambar) diperkenalkan buat pertama pada tahun 1970, dan merupakan kereta sport flagship Toyota ketika mula diperkenalkan ketika itu. Nama Celica berasal dari bahasa Latin bermaksud “dari syurga” diberikan sempena kedudukan yang paling atas dalam hieraki barisan model keluaran Toyota.

Walau bagaimanapun, generasi pertama Celica ini sebenarnya secara spiritualnya merupakan moyang kepada Toyota Supra – menggunakan kod casis ‘A’ (TA22 untuk Celica generasi pertama, JZA80 untuk Supra terakhir dalam pasaran), dan kereta sport tertinggi dalam hieraki model Toyota.

Pada model generasi kedua Celica, Toyota telah memperkenalkan Celica Supra (dikenali juga sebagai Celica XX untuk versi JDM), menggunakan enjin enam-silinder siri M. Seterusnya pada generasi keempat, nama Celica dan Supra dipisahkan – Supra kekal sebagai kereta sport flagship enam silinder pacuan belakang, Celica pula sebagai kereta sport lebih kecil dengan enjin empat silinder, memacu roda hadapan serta versi lebih hardcore diberikan pengecas turbo dan pacuan semua roda digelar GT-4.

Generasi keempat Celica popular setelah Toyota membawa GT-4 ke pentas rali dunia (WRC) untuk bertempur dengan Subaru Impreza WRX dan juga Mitsubishi Lancer Evolution. Walau bagaimanapun, generasi ketujuh Celica hadir tanpa versi GT-4 dan model yang dijana oleh 1.8 liter NA 2ZZ-GE tersebut lebih dilihat sebagai pencabar Honda Integra Type R DC2, sebelum pengeluarannya dihentikan pada tahun 2006.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required