Toyota Indonesia telah menyiarkan imej rasmi bagi Toyota Rush 2018, dan ia dimuat naik sebagai gambar utama laman Facebook syarikat tersebut. Satu gambar penuh kenderaan tersebut kemudiannya diikuti pula oleh gambar teaser lampu belakang yang diletakkan dengan tajuk “cutting edge vehicle illumination system”.

Toyota Rush ini juga dikenali sebagai Daihatsu Terios di beberapa pasaran lain, dan sebelum ini, gambarnya pernah bocor sebelum pelancaran di Indonesia. Gambar rasmi yang disiarkan oleh Toyota Indonesia ini mengesahkan Rush 2018 sudah beralih lebih kepada sebuah MPV berbanding sebelum ini sebuah SUV. Ada juga bahagian yang kelihatan seperti daripada Toyota Fortuner.

Maklumat yang tersebat mengatakan Rush 2018 akan dilengkapi dengan lampu utama bi-beam LED reflector, lampu siang LED berbentuk L, lampu belakang LED dan lampu LED di bawah cermin sisi. Mungkin inilah yang dimaksudkan oleh Toyota pada tajuk gambar teaser tersebut.

Dua varian Rush 2018 sudah pernah dilihat sebelum ini iaitu G dan TRD Sportivo. Sebagai tambahan kepada kelengkapan yang dinyatakan tadi, varian G mendapat fungsi enjin start/stop dan pengawal suhu manual digital dengan fungsi memori, manakala TRD Sportivo mendapat pengawal suhu automatik, bahan lembut pada papan pemuka dan sistem masuk tanpa kunci.

Kedua-dua varian mendapat kamera undur, pengesan undur dan sistem informasi dan hiburan dengan skrin tujuh inci, manakala varian lebih tinggi, boleh disambung dengan peranti yang mempunyai sistem NFC, berserta sistem bunyi lapan pembesar suara. Di dalam kenderaan ini terdapat tiga tempat mengecas peranti elektronik.

Untuk pemandu, terdapat stereng pelbagai guna yang boleh dilaras, panel instrumen analog serta paparan informasi digital. Bagi aspek keselamatan pula, ia dilengkapi dengan ABS, EBD, VSC, Hill-start Assist dan enam beg udara – lebih dua beg udara tetapi tiada kamera 360 darjah.

Di sini, kita juga boleh melihat bahagian dalam Rush 2018, hasil daripada Rockomotif. Untuk yang di dalam gambar ini, skema warna dua tona krim dan hitam digunakan, bersama kemasan yang kelihatan seperti besi pada roda stereng dan keliling tombol gear. Panel istrumen kelihatan seperti daripada Innova dan Fortuner.

Harga Toyota Rush 2018 di Indonesia masih lagi belum disahkan, tetapi Rockomotif mengganggarkan ia berada di sekitar 250 hingga 300 juta Rupiah (RM76,111 hingga RM91,333). Jumlah ini juga dikatakan meningkat sebanyak 10-15 juta Rupiah (RM3,044 hingga RM4,566) berbanding model sebelum ini.