Seperti yang dijanjikan pada teaser semalam, hari ini jentera rali Proton Iriz R5 binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) dengan livery perlumbaan baharu telah didedahkan di Auto Sport International Show 2018.

Seperti yang anda boleh lihat, livery baharu berkenaan jelas menaikkan identiti Iriz R5 ini sebagai ‘rakyat Malaysia’ walaupun transformasinya untuk menjadi sebuah jentera rali dilakukan di ibu pejabat MEM yang terletak di UK.

Iriz R5 ini didaftarkan dengan nombor pendaftaran “PRO7 TON” (nombor ini sah digunakan diatas jalan raya dan ia perlu membayar cukai jalan) dan masih lagi kekal dengan warna badan perak. Namun keseluruhan bahagian muka kereta ini telah diberikan elemen rekaan bendera Malaysia iaitu Jalur Gemilang dan jalur merah putih berkenaan kelihatan ‘berkibar’ hingga ke bahagian pintu.

Logo kepala harimau bersaiz besar tidak lagi kelihatan, namun nama ‘Proton Motorsport’ masih lagi tertera dipintu. MEM hanya mendedahkan rupa hadapan kereta ini yang diletakkan pada podium mock-up ‘Wales Rally GB’ untuk pusingan WRC 2018, tanpa imej untuk bahagian belakang.

Musim baharu Kejuaraan Rali Dunia (WRC) 2018 bakal bermula tidak lama lagi, debaran makin terasa kerana MEM dan Iriz R5 akan bertanding dalam kategori WRC2. Sebelum muncul dalam musim WRC tahun ini, Iriz R5 telah pun berlumba dalam tiga perlumbaan – juara di Rally Stage Goodwood Festival of Speed, podium di Malton Forest Rally, dan juara di Grizedale Stages Rally. Ia juga telah diuji oleh lagenda serta juara dua kali WRC, Marcus Gronholm dan diberikan maklum balas yang sangat positif.

Jentera ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

GALERI: Proton Iriz R5