Kia telah mendedahkan sedan segmen-C Forte generasi baharu di Detroit bulan lalu yang tampil dengan rupa lebih garang diinspirasikan dari Abang Longnya, Kia Stinger GT. Namun tidak seperti sepupu lainnya di bina dari platform J5 yang sama seperti Hyundai Elantra dan i30, Forte generasi baharu ini hanya ditawarkan dengan enjin 2.0 liter NA bersama kotak gear CVT tanpa pilihan model dengan prestasi lebih mengujakan.

Tetapi adakah barisan model Forte generasi ketiga ini akan kekal sedemikian? Menurut pengurus produk untuk Kia Forte, Derrick Ty ketika ditemuramah oleh Motortrend semasa berlangsungnya North American International Auto Show (NAIAS) 2018, ada lagi penawaran untuk model berkenaan yang masih belum didedahkan.

“Ada lagi yang belum dilengkapkan pada Forte,” kata Ty dan menambah, “kami mempunyai lagi produk yang lebih mengujakan pada masa akan datang yang tidak boleh saya perkatakan lagi.”

Tanpa menghuraikan apa yang dimaksudkan “mengujakan” tersebut, Ty menjelaskan beliau sememangnya mula untuk teruja, dan ia akan memberikan keterujaan dalam berberapa tahun akan datang.

Enjin yang menjana Forte generasi baharu ini berupaya membekalkan kuasa 147 hp/180 Nm – sama seperti model generasi sedia ada, tetapi dikatakan lebih efisen dan dijangka mencatatkan penggunaan 14.9 km/l dalam situasi gabungan, atau 1.3 km/l lebih baik dari sebelumnya. Buat pertama kali juga, Kia menggunakan kotak gear CVT dalam barisan produknya.

Hyundai Elantra juga diberikan enjin 2.0 liter NA untuk model asas. Tetapi untuk versi Elantra Sport, sedan berkenaan dijana enjin 1.6 liter turbo T-GDI yang berkuasa 204 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 265 Nm pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm, serta digandingkan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

Hatchback i30 pula jauh lebih hebat dengan diperkenalkan dalam versi berprestasi tinggi Hyundai N – digelar i30 N, dijana enjin 2.0 liter turbo berkuasa 250 hingga 270 PS dengan tork 353 Nm.

Walaupun Forte belum lagi hadir dengan versi yang lebih berkuasa, model generasi baharu ini menampilkan bahagian kabin dengan kualiti yang lebih baik dari sebelumnya, serta menawarkan pelbagai ciri elektronik baharu seperti skrin sesentuh lapan-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar serta pakej bantuan pemanduan Kia digelar Advanced Driver Assistance Systems (ADAS).