Bukan selalu ada model baru Suzuki di Bangkok Motor Show, tapi kali ini jenama itu membawa Swift generasi baru ke pameran tersebut. Model ini dikategorikan sebagai kereta Eco yang lebih murah di sana, dan ia dikuasakan oleh enjin Dualjet K12M 1.2 liter NA empat-silinder.

Ia kemudiannya dipadankan bersama kotak gear automatik CVT (tiada pilihan kotak gear manual), menghasilkan kuasa 83 PS dan tork maksima 103 Nm pada tahap 4,400 rpm. Enjin MPI ini juga dilengkapi dengan sistem start/stop dan boleh menggunakan bahan api campuran Ethanol E20.

Jika diperhatikan sebenarnya, enjin baharu ini juga dilihat kurang berkuasa dari model sebelumnya. Ini adalah kerana undang-undang Kereta Eco Thai kini sudah masuk ke peringkat kedua dan semua kenderaan di bawah regulasi berkenaan perlu mencapai penggunaan bahan api 23 km/l dan kadar emisi CO2 100 g/km.

Swift generasi baru ini mempunyai berat hanya antara 875 ke 910 kg, dan ia akan memberi saingan kepada hatchback Eco lain seperti Mazda 2, Mitsubishi Mirage, Nissan March dan paling popular, Toyota Yaris. Empat trim ditawarkan iaitu GA, GL, GLX dan GLX-Navi, dengan harga antara 499,000 baht (RM61,736) hingga 629,000 baht (RM77,820).

Model asas Swift GA didatangkan dengan lampu hadapan reflektor, rim besi, dua pembesar suara, tiada cermin solek, tiada pemegang tangan untuk penumpang belakang, tiada cermin tingkap berkuasa pada bahagian belakang serta tiada kunci kawalan jauh bersama sistem kunci pusat. Namun ia tetap diberikan dengan dua-beg udara, ABS dan ESP.

Model GLX yang dijual pada harga 609,000 baht (RM75,373) pula menerima kelengkapan standard seperti roda stereng balutan kulit dengan larasan teleskopik bersama butang kawalan audio, cruise control, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, penghawa dingin automatik, enam pembesar suara, panel LCD pada meter, lampu kabus, lampu nyalaan siang LED, lampu hadapan LED projektor dan pelbagai lagi.

Model GLX yang anda lihat dalam gambar ini menggunakan rim 16 inci dan kemasan luar yang lebih sporty bersama garisan merah di bahagian gril barunya. Jika memilih GLX-Navi pula, pemilik diberikan tambahan skrin infotaimen tujuh-inci bersama sistem navigasi, dan turut menyokong fungsi Apple CarPlay serta Mirrorlink.

Malangnya, nampak seperti tiada harapan untuk Swift baru ini (termasuk model turbo dan Swift Sport) masuk ke Malaysia kerana Suzuki sudah keluar dari pasaran kita sejak bekerjasama dengan Proton beberapa masa dulu. Saksikan juga dalam galeri di bawah ini sebuah Swift yang menggunakan corak grafik pasukan MotoGP Suzuki.