Akaun Twitter Toyota Eropah telah membuat pengumuman bahawa pewaris kereta sport ikonik mereka – Toyota Supra generasi baharu akan membuat kemunculannya pada Goodwood Festival of Speed di UK minggu hadapan.

Berbeza dengan kemunculannya di Geneva Mac lalu yang tampil sebagai jentera konsep perlumbaan Gazoo Racing, kehadirannya di Goodwood berkemungkinan dengan badan prototaip produksi sebenar tetapi masih lagi diberi pelekat penyamaran – berdasarkan gambar yang dimuat naik pada laman media sosial berkenaan.

Apa yang menarik, Toyota nampaknya akan terus memberikan kod casis ‘A’ kepada Supra generasi baharu ini dengan memaparkan kod casis A90 pada badan kereta berkenaan – menandakan ia adalah ‘waris’ sebenar Supra generasi-generasi terdahulu. Kod casis ‘A’ ini diberikan buat pertama kali kepada Toyota Celica generasi pertama (A2#/A3#) bagi memberitahu bahawa ia adalah kereta sport flagship mereka dan diletakkan pada tangga paling atas.

Nama ‘Supra’ muncul pada Celica generasi kedua pada model Celica Supra/Celica XX, bagi menunjukkan ia dari versi dengan enjin enam-silinder sebaris. Celica dan Supra dipisahkan pada generasi keempat di mana model enam-silinder terus menggunakan nama Supra dengan kod casis ‘A’ (A70), manakala nama Celica diberikan kepada kereta sport dalam segmen yang lebih kecil dengan kod casis ‘T’. Supra generasi baharu ini diberikan kod casis A90 sebagai sambungan dari kod casis A80 (JZA80) model sebelumnya.

Prototaip Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji (kiri) dan Toyota Supra JZA80 generasi sebelumnya (kanan)

Supra generasi baharu dibina bersama oleh Toyota dan BMW di mana pengeluar dari Jerman berkenaan membangunkan roadster Z4 generasi terkini di atas platform kereta sport yang sama sejak 2012, walau bagaimanapun pembinaan akhir Z4 dan Supra dilakukan secara berasingan.

Walau bagaimanapun, tidak seperti apa yang terjadi pada kembar Toyota 86 dan Subaru BRZ, rekaan Supra ini jelas berbeza dari BMW Z4 yang tampil dengan bentuk badan roadster.

Sehingga kini, tiada lagi perincian teknikal menyeluruh dari Toyota berkenaan Supra tersebut. Tetapi, ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, mempunyai nisbah berat 50:50 dan difokuskan lebih terhadap pengendalian – berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF seperti Z4 atau kotak gear automatik klac berkembar.

GALERI: Toyota Supra generasi baharu dalam bentuk konsep perlumbaan Gazoo Racing

GALERI: Spyshot prototaip Toyota Supra generasi baharu yang sedang diuji