Syarikat teknologi terkenal, Apple telah dilaporkan mengambil bekas pengurus pereka kanan Tesla, Andrew Kim sebagai pekerja sekaligus menimbulkan kembali tanggapan bahawa syarikat itu akan cuba untuk membina kereta sendiri. Pengambilan Kim ini juga dilihat berlaku dalam masa sama dengan pengambilan semula bekas ketua jurutera kenderaan Tesla, Doug Field oleh Apple, tetapi tugas masing-masing masih belum didedahkan.

Menurut profail LinkedIn, Kim sebelum ini telah menyumbang rekaan untuk Model 3, Model S, Model X, Model Y serta juga Roadster V2 dan Semi. Sebelum Tesla, Kim bekerja dengan Microsoft, di mana beliau telah membantu membangunkan interface Windows 10 dan produk seperti HoloLens dan Xbox One S.

Pengambilan Kim dan Field oleh Apple ini ternyata mengejutkan ramai orang – tahun lepas dalam satu temu ramah dengan Bloomberg, CEO Apple, Tim Cook telah berkata, “kami sedang fokus kepada sistem autonomous. Ia adalah teknologi utama yang kami anggap sangat penting,” sambil menambah ia juga “berkemungkinan adalah projek AI yang paling susah pernah mereka usahakan.”

Sebelum ini juga Apple pernah memasang tiga SUV Lexus RX450h dengan roda stereng serta pedal Logitech G27 untuk program pemanduan sendirinya. Walaubagaimanapun, rancangan mereka untuk mengeluarkan kereta sendiri telah terbantut kerana penukaran fokus kepada teknologi autonomous.

Menurut laporan The Verge, Cook sebelum ini menyatakan hasrat syarikat adalah lebih daripada setakat kereta, sambil menekankan “sistem autonomous” sebagai bahagian utama untuk semua projek pembelajaran mesin yang memberi manfaat kepada semua benda yang dilakukan oleh Apple. Selain Kim dan Field, Apple juga dilaporkan ada mengambil beberapa lagi bekas pekerja Tesla lain.