Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

Hampir setahun setelah Ford Focus generasi keempat diperkenalkan, kini model berprestasi tingginya, Sport Technologies atau Focus ST telah membuat kemunculan secara rasmi. Seperti model generasi sebelumnya, Focus ST baharu ini tampil dengan dua pilihan janakuasa petrol turbo EcoBoost dan turbodiesel EcoBlue – kedua-duanya menghasilkan kuasa yang lebih besar.

Untuk model petrol, Focus ST dijana enjin 2.3 liter EcoBoost dibina dengan bahan aluminium keseluruhannya, sama seperti Focus RS pada model generasi ketiga dan juga Mustang EcoBoost. Namun ia ditala lebih ‘jinak’ bagi menjana 280 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 420 Nm bermula 3,000 hingga 4,000 rpm, membolehkan hot-hatch ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa di bawah enam saat.

Ford menghasilkan enjin ini sebagai sebuah enjin yang mempunyai respon yang baik. Ia dipadankan dengan pengecas turbo twin scroll inersia rendah yang digerakkan oleh aliran ekzos lebih efektif, menampilkan saluran tambahan bagi ‘mengaut’ lebih gas ekzos bagi meminimakan gangguan antara aliran.

Waste-gate sistem turbo ini beroperasi secara elektronik bagi membolekan tekanan boost dikawal dengan lebih tepat sekaligus mengotimakan penghasilan kuasa. Saluran kemasukan udara direka bagi mengoptimakan fungsi unit intercooler, manakala ekzos pula dihasilkan bagi mengurangkan back pressure sistem berkenaan.

Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

Focus ST EcoBoost turut menerima sistem turbo anti-lag bagi memastikan boost sentiasa tersedia walaupun pada rpm rendah. Sistem ini diambil dari supercar Ford GT dan trak F-150 Raptor. Dalam mod pemanduan Sport dan Track, sistem anti-lag ini akan membuka injap pendikit walaupun pemandu telah melepaskan pedal. Dengan cara ini, pengecas turbo akan terus berputar pada kelajuan tinggi, membolehkan boost diberikan sejurus selepas pedal pendikit ditekan semula.

Bagi model diesel pula, enjin 2.0 liter EcoBlue tersebut diberikan pengecas turbo geometri bervariasi (VGT) inersia rendah dan juga omboh besi (bukan aloi) yang kurang mengembang pada suhu panas. Manifold kemasukan bersepadu enjin ini pula menerima proses porting berkilat bagi mengoptimakan pembakaran dan menghasilkan 10 peratus lebih kuasa.

Secara keseluruhan, enjin EcoBlue ini mampu menjana 190 PS pada takat 3,500 rpm dan tork 360 Nm bermula 1,500 rpm dan tork maksima 400 Nm hadir pada 2,000 hingga 3,000 rpm, memberikan karekter pecutan linear pada enjin ini. Tork yang dihasilkan ini juga adalah lebih dua kali ganda berbanding enjin petrol 2.0 liter Duratec ST pada Focus generasi pertama ST170.

Dua pilihan kotak gear diberikan untuk Focus ST generasi baharu ini iaitu enam-kelajuan manual dan juga tujuh-kelajuan automatik. Buat pertama kali juga Focus ST ditawarkan dengan teknologi Selectable Drive Modes yang akan menala semula karekter kereta ini berdasarkan pilihan dan senario pemanduan.

Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

Untuk versi manual, Focus ST diberikan short-shifter (7 peratus lebih pendek dari model standard), teknologi rev-match (membolehkan teknik heel and toe dilakukan secara automatik) dan juga LSD sebenar yang dikawal secara elektronik (eLSD) dari Borg Warner berbanding ‘LSD palsu’ Torque Vectoring pada model sebelumnya.

Manakala untuk versi automatik, ia hadir dengan teknologi Adaptive Shift Scheduling yang sentiasa menilai gaya pemanduan oleh pemandu bagi memberikan pemasaan tukaran gear yang sesuai. Pemandu turut boleh bertukar ke mod manual dan menukar sendiri gear dengan pedal pada roda stereng. Namun versi ini tidak menerima eLSD, sebaliknya masih dibekalkan denga sistem Torque Vectoring yang akan memberikan sedikit brek pada roda sebelah dalam ketika mengambil selekoh bagi mengelakkan berlakunya understeer.

Selain dari enjin dan transmisi, Selectable Drive Modes turut berhubung dengan sistem suspensi Continuously Controlled Damping (CCD). Teknologi CCD akan memantau bukan sahaja suspensi, malah badan, stereng dan input brek setiap dua milisaat dan melaras kembali respon penyerap hentak.

Bahagian belakang Focus generasi baharu ini menerapkan suspensi gantungan bebas short long arm (SLA) yang direka bagi memberikan tindak balas yang baik tanpa mengorbankan keselesaan. Berbanding versi standard, Focus ST ini diberikan talaan suspensi lebih keras – 20 peratus di hadapan dan 13 peratus di belakang. Ia juga 10 mm lebih rendah dari model biasa yang bukan sahaja memberikan cengkaman lebih baik, malah turut tampil dengan stance lebih agresif.

Ford Focus ST 2019 – 2.3L Ecoboost petrol dengan antilag 280 PS/420Nm, 2.0L turbodiesel 190 PS/400 Nm

Ford menala sistem stereng berkuasa elektrik (EPAS) Focus ST ini 15 peratus lebih pantas, manakala perisian Steering Torque Disturbance Reduction pada sistem EPAS berkenaan direka bagi mengurangkan torque steer ketika memecut.

Brek hadapan menerima cakera berdiameter 330mm x 27mm dengan angkup dua omboh, manakala belakang pula diberikan cakera 302mm x 11mm. Ia turut dilengkapkan dengan booster brek elektronik yang mempunyai respon yang lebih cepat dari booster vakum konvensional, manakala sistem brek ini secara keseluruhan telah diuji dan disahkan empat kali lebih tahan fade berbanding ST sebelum ini.

Tiga mod pemanduan hadir secara standard iaitu Slippery/Wet, Normal, Sport. Jika anda memilih opsyen Performance Pack, ia turut mempunyai Launch Control dan mod Track Drive yang mampu melaras semula eLSD, CCD, EPAS, mapping pendikit, pemasa tukaran gear automatik, ESC dan electronic sound enhancement (ESE) serta. Anda tidak perlu tercari-cari cara untuk memilih mod Sport kerana butang berkenaan terletak pada roda stereng, manakala butang “mode” pula membolehkan anda mengalih kepada mod lain.

Berbanding model standard, Focus ST direka lebih agresif dengan elemen sarang lebah pada gril trapezoid, liang kemasukan udara lebih besar dengan kemasan matte disekeliling, spoiler bumbung lebih besar dengan kemasan hitam berkilat bersama diffuser belakang lebih agresif yang turut menempatkan sepasang tip ekzos pada kedua-dua sisi (hanya satu ditengah untuk model biasa).

Hot-hatch ini turut menerima skirt sisi lebih labuh, pembuka pintu berwarna hitam dan juga roda lebih garang dengan pilihan rim aloi 18-inci Dark Sparkle atau Magnetite yang turut ditawarkan dalam saiz 19-inci. Set rim berkenaan dibaluti dengan tayar berprestasi tinggi Michelin Pilot Sport 4S. Tujuh warna badan ditawarkan untuk Focus ST ini iaitu Ford Performance Blue, Orange Fury, Frozen White, Magnetic grey, Race Red, Ruby Red dan Shadow Black.

Pada bahagian kabin, anda dapat lihat panel instrumennya direka diinspirasikan dari Ford GT, manakala skrin Ford Performance memaparkan bacaan digital untuk tekanan boost turbo, tekanan dan juga suhu minyak pelincir. Seperti model sebelumnya, ST baharu ini juga menerima tempat duduk hadapan dari Recaro.

Ciri lain yang turut ditampilkan pada bahagian dalaman model baharu ini adalah roda stereng sport rata di bawah, tombol gear aloi dan scuff plate berlogo ST, set pedal aloi, elemen-elemen dekoratif metallic hexagonal dan satin silver, serta serlahan jahitan benang metal grey pada tempat duduk, kemasan pintu serta konsol tengah.

Kelengkapan lain dari Focus Mk4 standard turut dibawa ke model lebih pantas ini seperti sistem infotaimen Ford SYNC 3 dengan skrin sesentuh lapan-inci, paparan Head-up, serta sistem-sistem keselamatan seperti Adaptive Cruise Control bersama fungsi Stop & Go, Speed Sign Recognition, Lane-Centring serta Adaptive Front Lighting System yang berfungsi menggunakan kamera bagi mengagak lengkung cahaya. Ford Focus ST akan mula di jual di Eropah bermula musim panas 2019.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required