Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

Setelah beberapa siri teaser, Kia akhirnya mendedahkan XCeed secara penuh. Menyertai barisan model Ceed segmen C lain oleh Kia di Eropah seperti Ceed hatchback lima pintu, Ceed Sportswagon dan ProCeed shooting brake lima pintu, XCeed ini juga akan dibina di Slovakia untuk benua itu.

Jadi, apakah sebenarnya XCeed ini sedangkan Kia sudah mempunyai SUV Stonic, Niro (hibrid, PHEV dan EV) serta Sportage? Kia memanggilnya sebagai Crossover Utility Vehicle (CUV) Urban yang “menyediakan alternatif sporty kepada SUV biasa”, menggabungkan praktikaliti SUV kompak dengan pakej sport dan pengendalian memuaskan sebuah hatchback.

Direka di pusat rekaan Kia Eropah di Frankfurt, Kia XCeed mempunyai penampilan yang berbeza berbanding model yang lain. Semua bahagian atasnya adalah tersendiri dan cuma pintu hadapan sahaja yang dikongsi bersama dengan Ceed hatchback lima pintu.

Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

Meskipun jarak rodanya masih lagi sama dengan Ceed biasa iaitu 2,650 mm, jarak dari roda ke hadapan kenderaan ditambah 25 mm manakala dari roda ke hujung belakang kenderaan ditambah 60 mm. Selain daripada itu, ia juga 26 mm lebih lebar berbanding Ceed.

Pintu bahagian but dan cermin belakang XCeed dijadikan lebih curam memberikan penampilan yang lebih menarik berbanding SUV biasa, dan pemilik diberikan pilihan untuk mendapatkan rim bermula dari saiz 16 inci hingga 18 inci (bersama tayar Continental SportContact 5) seperti di dalam gambar.

‘Muka’ XCeed ini juga berbeza berbanding model Ceed yang lain. Grilnya lebih menyerlah dan bukaan udara di bawah bampar adalah lebih besar. Unit lampu adalah baru, dengan di dalamnya terdapat petak lampu LED yang disengetkan sedikit. Di belakang pula ia lebih nipis dan menggunakan jalur melintang untuk menampakkannya seperti lebar.

Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

XCeed terletak 174 mm daripada tanah apabila menggunakan rim 16 inci, dan bila menggunakan 18 inci, ia menjadi 184 mm – peningkatan sehingga 42 mm berbanding Ceed hatchback. Kemasan pada keliling lengkuk roda, bawah pintu serta rel bumbung menjadikannya lebih seperti sebuah SUV, dan hiasan di bawah bampar yang berwarna metalik meningkatkan ciri ranggi. Keseluruhannya terdapat 12 warna luar untuk XCeed baru ini.

Di dalam, XCeed menggunakan semula papan pemuka seperti model Ceed yang lain, dengan konsol tengah yang dipalingkan kepada pemandu. Dengan kedudukan pemandu yang lebih rendah berbanding SUV dan jarak dari tengah lebih tinggi berbanding hatchback biasa, Kia menyatakan XCeed dapat memberikan kedudukan pemanduan lebih sporty, tapi dengan pandangan yang lebih jelas kepada jalan.

Terdapat juga pakej kuning baru khas untuk CUV ini, di mana terdapat jalur serta jahitan kuning pada tempat duduk, tepi pintu dan juga papan pemuka untuk menyerikan kulit serta panel plastik warna hitam yang digunakan dalam kabin.

Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

Dalam barisan model Kia, XCeed diletakkan antara Ceed hatchback lima pintu dan Sportage. Dimensi keseluruhannya adalah 4,395 mm panjang (85 mm lebih panjang berbanding Ceed dan 90 mm lebih pendek berbanding Sportage) dan 1,490 mm tinggi (43 mm lebih tinggi berbanding Ceed dan 155 mm lebih rendah berbanding Sportage.

Dengan jarak dari roda ke bahagian belakang yang lebih panjang, ruang barangan juga menerima manfaat di mana ia sekarang 31 liter lebih besar berbanding Ceed, menjadi 426 liter. Apabila tempat duduk belakang dilipat, ia bertambah menjadi 1,378 liter. Pintu but boleh dibuka secara elektrik.

Pembeli di Eropah boleh memilih tiga enjin petrol turbo T-GDi untuk XCeed ini, bermula dengan unit tiga silinder 1.0L 120 PS/172 Nm tork, empat silinder 1.4L 140 PS/242 Nm dan 1.6L 204 PS/265 Nm sama seperti Ceed GT dan Proceed GT.

Kia XCeed – alternatif lebih sporty untuk SUV kompak

Bagi yang lebih menggemari enjin diesel pula, terdapat dua pilihan unit Smartstream, iaitu enjin diesel paling bersih pernah dihasilkan oleh Kia. Kedua-duanya adalah unit 1.6L, tetapi dengan kuasa sama ada 115 PS ataupun 136 PS. Kesemua enjin yang disebutkan boleh dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan ataupun klac berkembar tujuh kelajuan, kecuali varian petrol manual paling asas. Sistem Idle Stop & Go diberikan secara standard. Versi hibrid ringkas 48V dan PHEV akan menyusul kemudian.

Siaran akhbar XCeed ini memberikan banyak fokus kepada dinamik pemanduan, dengan mengatakan ia telah diuji di lebih banyak kawasan berbanding model Kia lain yang dibangunkan di Eropah. Suspensi independent penuh masih lagi sama seperti model Ceed yang lain, tapi Kia telah melembutkan kadar spring depan dan belakang sebanyak masing-masing 7% dan 4% demi memberikan keseimbangan antara keselesaan dan stabiliti.

Walaupun nampak menarik, sebenarnya XCeed ini adalah model khas yang dibangunkan di Eropah, untuk pasaran sana sahaja.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required