Tahun lalu, berberapa laporan telah menyebut Mitsubishi bakal menghasilkan Mirage generasi baharu menggunakan platform CMF-B, berkongsi dengan Renault Clio dan Nissan March setelah menjadi sekutu kepada Pakatan Renault-Nissan. Tapi apa yang mengejutkan, Mirage generasi sedia ada yang telah pun berada dalam pasaran sejak 2011 dijumpai di Thailand sedang diuji dengan mengenakan muka Dynamic Shield terbaharu!

Apa yang dilakukan Mitsubishi terhadap Mirage ini sama apa yang dibuat untuk ASX di mana SUV segmen-B yang telah pun berada dalam pasaran sejak 2010 berkenaan turut diberikan muka Dynamic Shield seperti SUV/MPV Xpander dan juga Triton terbaharu ini untuk facelift 2019.

Pada Mirage, nampak lampu hadapannya tidak direka senipis muka-muka Dynamic Shield pada model-model lain. Namun kemasan krom berbentuk ‘X’ pada muka dan juga gril yang kelihatan bersambung dari atas hingga bawah menzahirkan DNA rekaan signatur berkenaan.

Mitsubishi Mirage 2011 (kiri) dan model facelift 2015 (kanan)

Seperti juga ASX, profil sisi hatchback lima-pintu ini masih lagi nampak sama dengan model sedia ada. Ia juga dilihat mengenakan rim dengan kemasan dua-tona baharu, berbeza dari sebelumnya.

Berdasarkan laporan dari media Thailand, Headlightmag, Mirage facelift ini dijangka akan didedahkan pada Motor Expo 2019 yang bakal berlangsung pada bulan hadapan. Model ini juga dikatakan akan didedahkan bersama kembar sedannya iaitu Mitsubishi Attrage yang turut akan mengenakan muka Dynamic Shield.

Mitsubishi Mirage dikelaskan sebagai Kereta Eco Fasa 2 di Thailand, dan model baharu ini dijangka masih dijana oleh enjin 1.2 liter tiga-silinder yang sama, digandingkan dengan pilihan kotak gear sama ada CVT automatik atau manual lima-kelajuan. Undang-undang untuk Kereta Eco Fasa 2 ini mensyaratkan kereta berkenaan perlu beroperasi dengan menghasilkan emisi CO2 tidak melebihi 100 g/km dengan ekonomi bahan api sekurang-kurangnya 23.25 km/l.