Serentak dengan pengumuman secara rasmi Honda Jazz/Fit yang akan masuk ke pasaran Jepun esok (14 Februari), pengeluar peralatan prestasi yang sinonim dengan jenama tersebut, Mugen turut memperkenalkan secara rasmi dua kit untuk yang direka khas untuk hatchback tersebut yang digelar sebagai Dash dan Skip.

Kedua-dua kit berkenaan sudahpun didedahkan sebagai prototaip pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2020 yang berlangsung bulan lalu, dan nampaknya versi produksi ini menampilkan rupa yang sama. Antara dua kit ini, Dash menampilkan rupa yang paling garang.

Berbanding diserlahkan dalam warna merah menyala ketika di TAS tempoh hari, versi produksi Dash ini dipersembahkan dalam warna putih dan ia masih meriah dengan panel-panel yang diperbuat dari gentian karbon. Kit badan versi ini dimulakan dengan pemadanan kemasan tambahan pada bampar hadapan yang memberikan apron dan spoiler yang lebih agresif.

Kemudian ia bersambung dengan skirt sisi lebih labuh, diakhiri dengan diffuser udara pada bampar belakang, dan juga spoiler belakang bersaiz besar di atas. Gril hadapan, penutup cermin sisi dan juga panel kemasan nombor plat belakang digantikan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon.

Anda jangan tertipu dengan sirip pada bahagian atas fender hadapan Fit ini, kerana ia bukan sirip sebenar, sebaliknya hanyalah sekadar pelekat badan, begitu juga jalur sirip yang sama ditampal pada bahagian bawah pintu. Tetapi tidak dapat pastikan sama ada untuk versi produksi ini masih hadir dengan pilihan muffler S Flow Mugen atau tidak seperti unit yang di bawa ke TAS tempoh hari.

Berlainan dari Dash, Skip menampilkan rekaan yang ‘lebih jinak’. Ia tidak diberikan panel yang menutup bampar hadapan, tetapi hanya menerima spoiler di bahagian bawah. Skirt sisi Skip ini juga tidak selabuh Dash, namun spoiler belakang antara kedua mereka adalah sama – kesemua kit badan dan juga bahagian dari tiang-A hingga tiang-C diwarnakan hijau, kontras dengan warna badan putih.

Manakala panel-panel karbon pada Dash digantikan dengan panel plastik pada Skip, dengan rekaan yang lebih sopan, juga diberikan kemasan berwarna hijau, bersama hitam pada kawasan tertentu. Walau bagaimanapun, set rim dan tayar pada Skip ini adalah sama dengan Dash – ia disudahkan dengan rim asli Mugen MDE bersaiz 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 205/45R17.

Model generasi keempat ini telah membuat kemunculan sulungnya ketika berlangsung Tokyo Motor Show 2019 pada Oktober tahun lalu. Namun perincian penuhnya baru sahaja didedahkan oleh Honda di Jepun hari ini, ditawarkan dalam versi petrol dan hibrid yang digelar e-HEV. Kedua-dua kit Dash dan Skip ini nampaknya dipadankan oleh Mugen pada model hibrid.

Bagi versi petrol, model JDM ini hanya menerima enjin 1.3 liter empat silinder berkuasa 98 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 118 Nm bermula pada takat 5,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT dan pembeli boleh memilih sama ada dalam konfigurasi pacuan hadapan atau pacuan semua roda.

Untuk model hibrid e-HEV pula, versi generasi baharu ini tidak lagi menggunakan unit penjana Sport Hybrid i-DCD seperti model sebelumnya, sebaliknya ia diberikan sistem baharu yang digelar sebagai i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive), iaitu versi lebih kecil sistem Sport Hybrid i-MMD pada Accord dan CR-V Hybrid baharu yang menampilkan dua motor elektrik.

Sistem berkenaan terdiri dari enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC empat-silinder berkuasa 98 PS/127 Nm, digandingkan terus dengan sebuah motor elektrik yang bertindak sebagai generator untuk mengecas bateri lithium-ion.

Manakala sebuah lagi motor elektrik yang berkuasa 80 kW (109 PS) dan tork maksima 253 Nm akan dihubungkan terus ke roda hadapan menerusi transmisi nisbah gear tunggal bersama klac lock-up. Motor ini akan mengambil tugas untuk menggerakkan kereta hanya pada kelajuan tinggi.

GALERI: Mugen Fit Dash Prototype di TAS2020

GALERI: Mugen Fit Skip Prototype di TAS2020