Pemenang bagi anugerah Kereta Tahunan Dunia 2020 telah pun diumumkan secara rasmi, dengan jenama Kia dan Porsche masing-masing memonopoli dua gelaran daripada lima kategori yang dipertandingkan, manakala Mazda pula memenangi satu kategori.

Selepas peringkat terakhir undian, ternyata semua juri sepakat untuk memilih Kia Telluride mengungguli kategori keseluruhan dengan menerima gelaran Kereta Tahunan Dunia 2020. SUV bersaiz besar yang diperkenalkan pada Januari tahun lalu (juga merupakan pemenang NACOTY) berjaya menumpaskan Mazda 3 (745 mata) dan CX-30 (738 mata) dengan jumlah markah keseluruhan sebanyak 758 mata.

Kia Soul EV (atau juga dikenali sebagai e-Soul) turut memenangi kategori Kereta Urban Dunia 2020. Ia menerima sejumlah 751 mata, menewaskan pesaingnya dalam kategori yang sama seperti MINI Cooper SE (574 mata) dan Volkswagen T-Cross (702 mata).

Manakala Porsche terus mengungguli kategori Kereta Mewah Dunia 2020 dan Prestasi Dunia, kedua-duanya menerusi model Taycan. Bagi kategori Kereta Mewah Dunia, sedan sport elektrik sepenuhnya ini menewaskan abangnya yang dijanakan oleh enjin petrol iaitu model 911 992-generation, dan juga Mercedes-Benz EQC.

Kenderaan elektrik pertama yang dihasilkan oleh pengeluar tersebut menerima sejumlah 846 mata, berbanding 911 (786 mata), sementara EQC pula dengan 778 mata. Malah Taycan juga sekali lagi menewaskan 911 bagi kategori Kereta Prestasi Dunia, sama seperti 718 Boxster Spyder/Cayman GT4.

Taycan juga memberikan persaingan terbaik dalam kategori Rekaan Kereta Tahunan Dunia, dengan memperoleh 177 mata, untuk melawan Kereta Tahunan Eropah 2020, Peugeot 208 (144 mata). Walau bagaimana pun, catatan markah berkenaan tidak mencukupi baginya untuk membolot anugerah berkenaan dan tumpas kepada Mazda 3 (179 mata) yang telah pun menerima tiga anugerah yang sama sebelum ini.