Sebelum pendedahan rasmi sulungnya pada 8 Julai ini di Amerika Syarikat, berberapa spesifikasi penting untuk Mazda 3 Turbo nampaknya telah dinyatakan menerusi satu video yang disiarkan oleh Mazda Mexico.

Unit janakuasa untuk model tersebut kini bukan lagi teka-teki dan ia telah disahkan akan digerakkan oleh enjin petrol SkyActiv-G 2.5 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 227 hp dan tork maksima 420 Nm. Enjin tersebut akan digandingkan dengan kotak gear automatik konvensional enam-kelajuan SkyActiv-Drive, dan kuasa dialirkan ke kesemua roda dengan sistem AWD.

Konfigurasi janaan kuasa tersebut nampak seiras dengan apa yang ditawarkan pada SUV-SUV Mazda seperti CX-9 dan CX-5 – kedua-dua model dengan unit janakuasa berkenaan sudahpun berada di Malaysia. Bagaimana prestasinya bila disumbatkan pada hatchback yang lebih ringan? Angka-angka seperti masa pecutan 0-100 km/j dan juga kelajuan maksima dijangka akan didedahkan ketika pendedahan sepenuhnya nanti.

Untuk pasaran Mexico, Mazda 3 Turbo hadir dengan perincian seperti rim aloi 18-inci, tujuh beg-udara, sistem infotainmen MZD Connect dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu hadapan LED automatik, bumbung suria elektrik, pemantau titik buta, cermin sisi elektrokromik, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, upholsteri kulit dan pedal penukar gear.

Model dengan enjin paling berkuasa ini ditawarkan dalam dua varian di Mexico iaitu S Grand Touring di jual pada harga 489,000 peso (RM94,060), manakala versi tertinggi Signature dijual pada harga 529,900 peso (RM101,742). Sebelum model turbo ini diperkenalkan, pasaran berkenaan sudahpun menerima versi yang dijana oleh enjin NA 2.5 liter berkuasa 186 hp/252 Nm dalam dua varian iaitu i Sport dan i Grand Touring.

Bagi memudahkan anda membayangkan tahap premium model Turbo ini, model i Sport yang hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dijual pada harga 379,900 pesp (RM72,886), manakala versi Grand Touring yang hanya diberikan kotak gear automatik pula dijual pada harga 429,000 peso (RM82,279).

Buat masa sekarang, model tertinggi pada pasaran Malaysia adalah hatchback 2.0 High Plus, dijana oleh enjin NA 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 162 hp/213 Nm, dijual pada harga RM154,679 setelah menerima pengecualian SST. Sekiranya Mazda Malaysia mahu membawa masuk varian yang lebih mahal, enjin mana yang anda lebih suka, versi SkyActiv-X dengan teknologi Spark Controlled Compression Ignition (SPCCI) atau versi turbo paling berkuasa ini?