Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

Selepas perinciannya didedahkan bulan lalu, kini Mazda Amerika mengumumkan pula harga untuk Mazda 3 kemaskini 2021, termasuk untuk model yang paling berkuasa dijana enjin petrol turbo empat-silinder 2.5 liter SkyActiv-G, ditawarkan dalam kedua-dua bentuk badan sedan dan hatchback.

Model paling asas Mazda 3 2.0 FWD dijual pada harga USD20,500 (RM86,243). Manakala untuk versi Turbo AWD dalam bentuk badan sedan, ia dijual pada harga USD29,900 (RM125,789), USD9,400 (RM39,546) atau 46% lebih mahal dari versi standard tadi. Untuk Mazda 3 hatchback Turbo pula, ia dijual pada harga USD1,000 (RM4,207) lebih mahal dari sedan.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat ini dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.5 liter SkyActiv-G yang sama pada Mazda 6, CX-5 dan juga CX-9. Ia menghasilkan 250 hp dan tork maksima 434 Nm jika pemiliknya menggunakan petrol premium oktana 93 (lebih kurang sama dengan RON 98 di Eropah dan Asia) di negara berkenaan. Enjin tersebut tidak mempunyai masalah untuk beroperasi dengan petrol biasa oktana 87 (RON 95 di Eropah dan Asia), namun ia hanya menghasilkan 227 hp/420 Nm.

Enjin berkenaan digandingkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik SkyActiv-Drive dan kuasa diagihkan ke kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda. Namun, Mazda masih belum mengumumkan sebarang angka prestasi dengan pemadanan unit janakuasa yang lebih bertenaga ini.

Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

Walaupun model turbo ini dibekalkan dengan kuasa yang lebih besar dari versi NA mahupun SkyActiv-X, ia masih belum dianggap sebagai model prestasi hardcore atau fokus untuk kegunaan prestasi tinggi seperti MazdaSpeed 3 (MPS) yang dihasilkan pada dua generasi Mazda 3 terawal.

Model turbo pasaran Amerika Syarikat ini ditawarkan hanya dalam satu varian iaitu Mazda 3 2.5 Turbo, dan ia hadir standard dengan kelengkapan seperti sistem infotainmen MZD Connect dilengkapi skrin 8.8-inci, sistem bunyi Bose dengan 12-pembesar suara, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan head-up, upholsteri kulit, pakej bantuan pemanduan Mazda i-Activsense dan pelbagai lagi.

Versi hatchback dan sedan turbo tersebut juga diberikan rim aloi 18-inci kemasan hitam, cermin sisi hitam berkilat, lencana-lencana “Turbo” serta lampu hadapan dan lampu nyalaan siang LED. Model sedan turut diberikan gril hadapan kemasan hitam berkilat dan juga kemasan pada bawah bampar hadapan.

Pelanggan turut ditawarkan dengan perincian opsyen Premium Plus Package dengan bayaran tambahan USD1,075 (RM4,522) yang menampilkan kelengkapan kosmetik tambahan terdiri dari lip spoiler untuk penutup but belakang bagi model sedan manakala hatchback pula menerima spoiler bumbung dan spoiler bawah bampar hadapan berwarna hitam berkilat.

Mazda 3 Turbo 2021 pasaran Amerika Syarikat dijual 46% lebih mahal berbanding model asas 2.0L NA FWD

Selain itu pilihan rim aloi forged 18-inci dari BBS dalam kemasan hitam berkilat juga boleh dipilih oleh pembeli dengan tambahan harga USD918.95 (RM3,866) sebuah. Tipikal sebuah Mazda, pembeli juga boleh memilih warna-warna premium juga dengan tambahan harga seperti Snowflake White Pearl Mica (USD395 atau RM1,662), Machine Grey Metallic (USD495 atau RM2,083) dan Soul Red Crystal (USD595 atau RM2,504).

Jika pembeli memilih semua opsyen yang ditawarkan, Mazda 3 Turbo hatchback berkenaan dijual dengan harga keseluruhan USD39,095.80 (RM164,534.67), atau lebih mahal dari model asas Honda Civic Type R yang dijual dengan harga bermula USD36,955 (RM155,543) pada pasaran Amerika Syarikat.

Buat masa sekarang, model tertinggi pada pasaran Malaysia adalah hatchback 2.0 High Plus, dijana oleh enjin NA 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 162 hp/213 Nm, dijual pada harga RM154,679 setelah menerima pengecualian SST. Jadi, anda bolehlah agak-agak sendiri berapa anggaran harganya jika model Turbo ini di bawa ke Malaysia. Amacam? Ada yang berminat?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required