Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

Selain dari Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada, Australia juga terpilih sebagai pasaran yang menerima model istimewa, Honda Civic Type R Limited Edition yang didedahkan awal tahun ini. Seperti pasaran UK yang menerima 20 unit dari 100 unit keseluruhan ditawarkan di Eropah, Australia juga menerima Type R Limited tersebut dalam jumlah yang sama.

Walau bagaimanapun Honda Australia memberitahu hanya 19 unit yang akan dijual, manakala 1 unit akan disimpan sebagai bahan untuk promosi. Dan masalahnya, sejak model ini diumumkan akan di bawa ke negara berkenaan pada Februari lalu, sebanyak lebih dari 700 orang telah mendaftarkan minat untuk membeli kereta ini di laman sesawang rasmi jenama berkenaan.

Jadi bagi memastikan peluang untuk membeli Honda Civic Type R Limited Edition adalah adil untuk semua orang, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 yang masih belum reda, Honda Australia akan membuat satu sistem loteri bagi memilih pembeli yang layak bagi membelinya.

Buat masa sekarang, pautan untuk mendaftarkan minat untuk membeli kereta ini sudahpun dipadam dari laman sesawang tersebut, manakala mereka yang berminat untuk menyertai loteri ini perlu mendaftar sekali lagi, bakal dibuka bermula 1 Oktober sehingga 31 Oktober 2020.

Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

Jemputan akan dihantar kepada mereka yang telah melengkapkan pendaftaran dengan deposit AUD5,000 bagi menyertai loteri berkenaan, dan cabutannya akan dibuat pada November nanti.

“Dengan jumlah Civic Type R Limited Edition yang sangat kecil ditawarkan pada pasaran kita, kami mahu memberikan peluang yang adil kepada semua pelanggan yang mahu membeli salah satu kereta-kereta ini, tidak kira di mana lokasi mereka, akses pengedar atau hubungan internet,” kata pengarah Honda Australia, Stephen Collins.

“Kami percaya pertandingan loteri ini akan memberikan semua peminat Type R di Australia peluang yang adil untuk membeli salah sebuah model istimewa ini, sambil merasa debaran yang hanya boleh diberikan oleh cabutan loteri,” tambahnya lagi.

Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini selain dari dihasilkan dalam jumlah terhad? Honda Civic Type R FK8 Limited Edition ini dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya.

Honda Civic Type R Limited Edition – Honda Australia buat sistem loteri bagi pilih pelanggan yang layak beli

Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di Australia). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.

Apa yang dibuat terhadap Honda Civic Type R Limited Edition ini bukan hanya gimik semata-mata, dan ianya telah pun dibuktikan dengan merampas semula gelaran kereta produksi pacuan hadapan terpantas di litar Suzuka dari Renault Megane RS Trophy-R, dengan catatan masa hampir 2 saat lebih laju.

Hanya 1,020 unit Type R Limited ini dihasilkan untuk pasaran seluruh dunia, dan ‘hype‘ untuk model ini bukan sekadar di Australia – di Kanada misalnya, kesemua 100 unit yang dibawa ke pasaran berkenaan habis dijual dalam masa empat minit sejurus tempahannya dibuka, walaupun harga sebenarnya masih di umumkan.

Di Australia, Honda Civic Type R Limited Edition ini akan dijual pada harga AUD70,000 (RM206k), berbanding model standard yang dijual pada harga AUD54,990 (RM162k). Mereka yang berjaya untuk membeli model istimewa ini dijangka akan menerima kereta mereka pada April hingga Jun tahun hadapan.


GALERI: Honda Civic Type R Limited Edition

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required