Selepas hatchback segmen-B Hyundai i20 generasi baharu didedahkan pada Februari lalu, kini ia tampil pula dalam kemasan N Line dengan gaya yang lebih garang. Untuk versi ini, ia datang dalam dua pilihan enjin iaitu 1.2 liter NA MPI berkuasa 84 PS, dan juga pilihan lebih berkuasa 1.0 liter tiga-silinder Turbo GDI dengan dua talaan; 100 PS dan 120 PS.
Model 1.0L T-GDI berkuasa 120 PS didatangkan standard dengan sistem hibrid ringkas 48-volt, manakala untuk versi 1.0L T-GDI 100 PS pula sistem tersebut ditawarkan secara opsyen. Juga, sistem hibrid ringkas 48-volt berkenaan juga disertakan dengan kotak gear manual pintar iMT Hyundai yang menawarkan lebih penjimatan bahan api. Manakala untuk model i20 standard pula, ia boleh dipilih dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh-kelajuan atau enam-kelajuan manual.
Rekaan asas untuk i20 yang dihasilkan dari prinsip rekaan ‘Sensuous Sportiness’ terkini Hyundai sebenarnya sudah pun cukup agresif. Pakej penggayaan N-Line ini pula menambah lagi imej garang berkenaan dengan elemen gril tersendiri berwarna hitam, skirt sisi lebih besar dan juga rim dua tona bersaiz 17-inci.
Pada bahagian belakang, i20 N Line ini diberikan bampar yang direka diinsiparasikan dari sukan permotoran, bersama lampu kabus tunggal diletakkan di tengah, serta tip ekzos krom berkembar diserlahkan pada diffuser.
Dalam kabin pula, i20 N Line ini menerima roda stereng dan tempat duduk lebih sporty dengan logo N serta serlahan jahitan benang merah. Selain itu, imej sukan permotoran pada i20 N Line ini diserlahkan dengan pemadanan perincian seperti pedal aloi, tuil penukar gear dengan lencana N, serta serlahan-serlahan kemasan merah pada liang pendingin hawa serta panel pintu.
Sama seperti model standard, i20 N Line ini turut menerima teknologo Bluelink terkini Hyundai, yang memberikan fungsi kenderaan terhubung seperti Hyundai Live Services, yang menawarkan informasi trafik masa-sebenar, harga bahan api terkini, cuaca, informasi parkir, dan juga fungsi kawalan jauh menerusi aplikasi telefon pintar Bluelink.
Kereta ini juga dibekalkan dengan dua skrin 10.25-inci ‘visual digabungkan’ untuk sistem infotainmen dan juga paparan instrumen digital, sistem hubungan disokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas tanpa wayar port USB kabin belakang dan sistem bunyi Bose dengan lapan pembesar suara.
Versi N Line ini juga dibekalkan sistem bantuan pemanduan Hyundai Smartsense, terdiri dari fungsi seperti cruise control adaptif berasaskan sistem navigasi, pengenal tanda trafik, bantuan kekal di tengah lorong, pemantau titik buta dengan brek enjin, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, amaran lintasan belakang, bantuan parkir dan juga penderia parkir dengan brek automatik.
Model ini bakal dijual pada pasaran Eropah bermula dari Hemisfera Utara pada 2021. Ia akan ditawarkan dalam warna Phantom Black, Aurora Grey, Polar White dan Brass, manakala untuk warna Polar White, ia turut boleh dipilih dengan bumbung kontras Phantom Black.
Cukup garang? Seperti yang disebut tadi, model N Line ini hanya menerima penggayaan astetik yang lebih sporty. Hyundai juga bakal melancarkan model prestasi sebenar i20 N yang diispirasikan dari jentera WRC mereka, diberikan enjin yang jauh lebih berkuasa bersama suspensi yang lebih fokus untuk pemanduan prestasi; teaser dalam bentuk imej dan video untuk model tersebut telah pun disiarkan sebelum ini.
GALERI: Hyundai i20 2021 standard
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.