SPYSHOT: Hyundai i20 N muncul di Nürburgring!

SPYSHOT: Hyundai i20 N muncul di Nürburgring!

Tak lama dah rasanya Hyundai akan mendedahkan sepenuhnya hot-hatch terbaharu mereka yang lebih kecil dari i30 N, iaitu i20 N – unit prototaip sebenar kereta itu nampaknya sudah dilihat diuji di litar Nürburgring.

Sebelum ini, Hyundai dilihat menguji model tersebut dengan menyembunyikannya di sebalik badan i20 generasi kedua. Dan selepas model standard generasi ketiga didedahkan sepenuhnya tiga minggu lalu, sekarang ia muncul diuji dengan badan sebenarnya.

Apa yang boleh dilihat pada model prototaip ini, i20 N ini tampil dengan karekter hampir sama seperti i30 N – spoiler belakang lebih besar, kedudukan badan yang lebih rendah, bampar belakang dengan diffuser yang menempatkan tip ekzos berkembar (model standard tip ekzos disembunyikan) rim lebih besar dengan tayar berprofil rendah, serta angkup brek yang juga bersaiz lebih besar berwarna merah di sebalik set roda berkenaan.

Bahagian lain nampaknya masih berselindung dengan penyamaran yang sangat berat dan sukar untuk digambarkan bagaimana rupa sebenar hot-hatch yang akan memberikan saingan terus kepada Ford Fiesta ST dan Volkswagen Polo GTi ini.

Namun, bumbung kereta ini tidak dilekat dengan sebarang penyamaran dan nampak ia seperti dilayangkan dengan warna Performance Blue Hyundai seperti i30 N serta tempat duduk hadapan kelihatan direka dengan perehat kepala bersepadu bersama ‘kepak’ pada bahagian bahu seakan tempat duduk jenis bucket.

Walau bagaimanapun, awal bulan ini, Hyundai Austria secara tidak sengaja mendedahkan bayangan badan i20 N tersebut dalam video pengenalan i20 standard generasi baharu. Imej berkenaan menunjukkan bahawa berbanding model standard, spoiler belakang yang lebih besar, bampar dan skirt sisi lebih agresif bersama serlahan jalur merah di bawahnya dan juga rim yang diinspirasikan dari jentera rali i20 N WRC.

SPYSHOT: Hyundai i20 N muncul di Nürburgring!

Khabar yang bertiup sebelum ini, i20 N dijangka akan dihasilkan dengan resipi hampir sama dengan i30 N, dibekalkan dengan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar dan nisbah stereng lebih pantas.

Ia mungkin akan dijana oleh enjin 1.6 liter Turbo-GDI dengan kuasa sekitar 200 PS dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Tidak seperti seterunya dalam WRC untuk musim hadapan iaitu Toyota GR Yaris yang menggunakan sistem AWD untuk versi produksi jalan raya, i20 N dikhabarkan hanya akan memacu roda hadapan.

GALERI:Hyundai i20 2021 versi standard

GALERI:Spyshot prototaip awalan Hyundai i20 N

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required