Karamjit Singh akan kembali ke APRC, Kementerian Belia dan Sukan bakal beri peruntukan RM3 juta

Karamjit Singh akan kembali ke APRC, Kementerian Belia dan Sukan bakal beri peruntukan RM3 juta

Selepas berita berkenaan kereta Proton Waja miliknya terpaksa dijual untuk membeli Proton Saga bagi membolehkan beliau membuat servis e-Hailing, nampaknya ramai yang membuka mata tentang keadaan lagenda Rali kita, Karamjit Singh.

Tempoh hari Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) memberi respon akan memainkan peranannya bagi membantu juara dunia berkenaan dalam pelbagai cara, dan kini pihak Kementerian Belia dan Sukan pula berjanji sejumlah peruntukan yang besar untuknya bagi berlumba semula di peringkat antarabangsa.

Menurut laporan dari Berita RTM, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Reezal Merican Naina Merican berjanji akan membantu mencari dana sebanyak RM3 juta yang diperlukan bagi membolehkan Karamjit Singh berlumba semula di Kejuaraan Rali Asia Pacific (APRC) tahun hadapan.

Dengan bajet yang besar ini, nampaknya Karamjit bukan mensasarkan kategori-kategori kecil, ada peluang untuk beliau bertanding dalam kategori utama yang menggunakan jentera AP4 atau R5!

Karamjit Singh akan kembali ke APRC, Kementerian Belia dan Sukan bakal beri peruntukan RM3 juta

Jadi, apa pilihan jentera Karamjit Singh untuk mengejar gelaran dalam APRC nanti? Buat masa sekarang, banyak pilihan jentera AP4 yang boleh dipilih, antaranya mungkin Mitsubishi Mirage AP4 yang dibangunkan oleh Ralliart New Zealand, atau mungkin barisan jentera AP4 dari Cusco seperti Toyota C-HR AP4 atau Toyota Yaris AP4.

Namun untuk seorang yang begitu patriotik dengan jenama Proton, ada kemungkinan besar Karamjit Singh akan kembali dengan jenama automotif nasional itu. Dengan kepakaran yang ada pasukan Proton R3 di Shah Alam, tidak mustahil mereka boleh menghasilkan jentera AP4 sendiri berdasarkan Proton Iriz.

Tetapi yang menjadi mustahil adalah tempoh masa yang terlalu singkat untuk membina jentera berkenaan kerana Karamjit Singh perlu berlumba untuk musim 2021. Oleh itu, ada kemungkinan besar Karamjit Singh mungkin boleh memilih Proton Iriz R5 yang sudahpun siap dibangunkan oleh Mellors Elliot Motorsport (MEM) di UK.

Malah, MEM sendiri sudahpun kenal rapat dengan Karam kerana gabungan kedua-dua nama ini telah menghasilkan kejayaan di mana Karamjit Singh bergelar juara dunia dalam Kejuaraan Rali Dunia untuk kategori Produksi (PWRC) 2002 dengan memandu Proton PERT Evo VI yang dibangunkan oleh MEM.

Apa pun, kita tunggu sendiri perkembangan selanjutnya selepas ini, selepas bajet tersebut benar-benar diterima oleh Karamjit Singh. Sama-sama kita nantikan!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required