Seperti kebanyakkan model-model Proton sebelum ini, semakin dekat dengan hari pelancarannya, semakin banyak gambar intipan prototaip-prototaip ujiannya di rakam sedang diuji di atas jalan raya. Nah, ini dia satu lagi gambar untuk Proton Iriz dan Persona facelift 2021 yang disiarkan oleh Zola di Facebook Group Proton Persona Community Malaysia.

Iriz facelift 2021 ini nampaknya ditawarkan dengan lampu hadapan LED, mungkin untuk menyamai penawaran pada saingan utamanya iaitu Perodua Myvi yang melengkapkan ciri berkenaan secara standard untuk semua varian. Kluster lampu tersebut nampak tidak berubah berbanding lampu halogen sedia ada, namun jika anda perhatikan di dalamnya, ia tampil dengan reflektor yang lebih kompleks.

Rekaan asas pada bampar mungkin tidak berubah, begitu juga dengan lampu nyalaan siang yang masih tampil dengan bar LED melintang. Namun dengan kedudukan bar LED tersebut yang dilihat berada pada posisi lebih tinggi berbanding model sedia ada, berkemungkinan ada perubahan dibuat pada kemasan perumahnya. Rekaan gril sebenar untuk model baharu ini masih lagi sukar untuk dibayangkan di mana ia masih terlindung pada gambar ini.

Proton Iriz facelift 2021 ini juga mungkin akan ditawarkan dengan skrin infotainmen yang lebih besar dan direka sebagai skrin berdiri sendiri seperti yang diberikan pada Saga 2019, berbanding skrin yang tenggelam dalam papan pemuka pada model sedia ada. Anda boleh lihat dalam imej di atas, walaupun gambar ini diambil dari cermin sisi pandang belakang, skrin tersebut masih nampak terjojol di tengah.

Perincian lain yang sudah diketahui menerusi gambar-gambar intipan sebelum ini, Iriz akan ditawarkan dalam versi psedo-SUV, iaitu varian yang dipadankan dengan kit badan seakan crossover seperti Perodua Axia Style dan Volvo V40 Cross Country.

Kit yang dipadankan termasuk pelindung plastik pada setiap ruang roda, kemasan seakan rel bumbung dan juga set roda lebih besar untuk menjadikan ia lebih tinggi. Idea untuk menghasilkan crossover Iriz ini sudahpun dibuat sekian lama di mana Proton pernah mendedahkan model tersebut dalam bentuk konsep pada 2014, digelar sebagai Proton Iriz Active (dikemaskini sebagai Iriz Active Mk.2 pada 2015).

Selain itu, Iriz dan Persona facelift bakal menerima pilihan rim aloi 16-inci, sama seperti yang telah dipadankan pada Iriz R3 Limited Edition yang dilancarkan bulan lalu. Untuk Persona, ia juga bakal menerima lampu belakang LED baharu serta bampar belakang yang direka semula.

Kedua-dua kembar sedan dan hatchback segmen-B ini dijangka akan terus dibekalkan enjin sedia ada iaitu unit VVT 1.6 liter berkuasa 109 PS/150 Nm dan VVT 1.3 liter (hanya untuk Iriz) berkuasa 95 PS/120 Nm. Namun ada kemungkinan besar kotak gear CVT automatik sedia ada akan ditukar menggunakan transmisi 4AT dari Hyundai sama seperti apa yang dibuat pada Saga 2019.

Kami juga menjangkakan Proton turut akan membekalkan sistem brek kecemasan automatik, bagi menyaingi fungsi ASA 2.0 yang telah dilengkapkan pada Myvi. Tiada sebarang kamera pada bahagian atas cermin hadapan untuk sistem tersebut dilihat pada unit-unit prototaip ini, namun tidak mustahil ia dibekalkan dengan penderia radar yang diletak pada bampar hadapan. Proton juga sebelum ini sudahpun menghantar semula Iriz dan Persona untuk ujian penilaian ASEAN NCAP, mengekalkan penarafan lima bintang yang diterima sebelum ini.