Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

Baru sahaja gambar intipan tanpa sebarang pelekat penyamarannya tersebar tempoh hari, dan kini Peugeot 308 generasi terbaharu sudahpun didedahkan secara rasmi. Model generasi sedia ada hatchback tersebut boleh dikatakan masih lagi handsome sehingga sekarang, manakala versi generasi ketiga ini tampil dengan rupa lebih agresif, bersama pelbagai teknologi baharu serta ditawarkan dengan teknologi elektrifikasi buat pertama kali.

Kereta yang didedahkan ini merupakan model dengan spesifikasi sama seperti imej intipan tempoh hari. Ia tampil dengan warna Olivine Green dan juga rim aloi 18-inci berwarna hitam, dan juga menjadi model pertama yang mengenakan logo kepala singa baru Peugeot yang diletakkan pada gril hadapan (menempatkan penderia radar), pada pintu tailgate belakang dan juga pada setiap sisi fender hadapan.

Model generasi baharu ini sebenarnya masih diasaskan dari Efficient Modular Platform (EMP2) seperti generasi sebelumnya. Sebab itulah ia masih tampil dengan badan hatchback bersama rekabentuk muncung panjang serta tiang-C yang kelihatan tak jauh berbeza dari 308 sebelum ini.

Rupa lebih agresif yang diberikan pada 308 2021 pula dilihat seakan mengambil inspirasi dari model 508 dan 208 baharu. Pada bahagian muka, ia menerima sepasang lampu LED yang cukup nipis (lampu opsyen LED matrix lebih nipis) bersambung dengan lampu nyalaan siang yang kelihatan seperti gigi taring. Lampu utama ini juga direka seakan tertusuk pada gril hadapan yang bersaiz besar.

Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

Lampu belakang juga direka jauh lebih nipis dari sebelum ini dan ia seakan bersambung merentangi pintu tailgate belakang (perumah nombor pendaftaran kini pada bampar), bersama grafik LED tiga cakaran signatur terkini Peugoet. Model generasi baharu ini juga nampak lebih rendah dari sebelumnya kerana ia ditala 20 mm lebih rendah serta jarak rodanya kini 55 mm lebih jauh bersama badannya kini 11 mm lebih panjang.

Pada bahagian dalaman, model generasi baharu ini masih mengekalkan konsep rekaan avant-garde Peugoet, menampilkan rekaan signatur i-Cockpit. Paparan instrumen digital (boleh ditingkat taraf dengan pilihan skrin 10-inci) diletakkan tinggi dari roda stereng, bersama corong udara dan skrin infotainmen bersaiz 10-inci yang bukan sahaja memberikan lebih keselesaan pada penumpang, malah skrin sesentuh tersebut lebih mudah dicapai oleh pemandu.

Kalau anda perhatikan dengan teliti, papan pemuka ini sebenarnya diberikan satu lagi skrin sesentuh yang terletak di bawah skrin infotainmen utama. Skrin tersebut menyediakan ikon pintas pelbagai fungsi seperti sistem pendingin hawa, sistem navigasi, telefon dan pelbagai lagi yang boleh anda pilih dan atur sendiri.

Tiada tombol gear diletakkan di konsol tengah di mana ia diganti dengan suis toggle, yang diletakkan berhampiran dengan suis penghidup enjin serta pemilih mod pemanduan. Rekaan lebih ringkas tersebut membolehkan ia memberikan fungsi dan storan lebih banyak pada konsol tersebut seperti slot pengecas peranti tanpa wayar, dua pemegang cawan besar, serta storan berkapasiti 34 liter.

Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

Menurut Peugeot, kabin 308 ini diberikan kemasan-kemasan dengan material bermutu tinggi seperti plastik sentuhan lembut, panel aluminium sebenar serta balutan-balutan fabrik, Alcantara dan kulit Nappa.

Sistem infotainmen i-Connect pada 308 ini juga sebenarnya adalah perincian baharu. Ia memberikan lapan profil pemandu berbeza yang boleh disimpan serta screen mirroring tanpa wayar (mungkin Apple CarPlay dan Android Auto) serta hubungan Bluetooth yang boleh dibuat pada dua telefon serentak.

Ia juga menampilkan sistem arahan suara “Ok Peugeot”, sistem navigasi TomTom serta kemaskini perisian yang boleh dibuat secara over-the-air. Sepuluh pembesar suara Focal pula ditawarkan sebagai ciri opsyen.

Untuk keselamatan, Peugeot 308 menerima pek Drive Assist 2.0 baharu, yang ditambah dengan kemampuan pemanduan separa autonomous. Selain dari adaptive cruise control dan bantuan kekal lorong, sistem ini turut dilengkapkan dengan penasihat had laju dan penukaran lorong serta boleh memperlahankan sendiri kelajuan ketika ia dipandu mengambil selekoh pada kelajuan 180 km/j.

Sistem-sistem lain seperti pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, pembersih kamera undur, kamera 360-darjah, dan fungsi panggilan kecemasan masih lagi diterapkan pada model generasi baharu ini.

Peugeot 308 2021 ini menerima pilihan sistem rangkaian kuasa petrol dan diesel bersama pilihan transmisi manual dan automatik serta penjana hibrid plug-in (PHEV). Bagi model petrol sepenuhnya, ia hadir dengan enjin 1.2 liter tiga silinder PureTech Turbo dalam versi talaan 110 PS, dan 130 PS.

Manakala versi diesel, ia diberikan enjin 1.5 liter empat-silinder BlueHDi turbodiesel juga menghasilkan 130 PS. Kesemua pilihan enjin pembakaran dalam ini boleh dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan sama ada manual atau automatik.

Manakala untuk versi PHEV, ia ditawarkan dalam dua versi iaitu Hybrid 180 dan Hybrid 225. Kedua-dua versi ini menerima enjin Prince 1.6 liter empat-silinder turbo, di mana model 180 menghasilkan 150 PS/250 Nm, manakala model 225 pula menjana 180 PS.

Peugeot 308 2021 didedahkan – rupa lebih garang, guna logo baru, tampil dengan dua varian PHEV

Kedua-duanya menerima sistem elektrifikasi yang sama terdiri dari motor elektrik dengan tambahan kuasa 110 PS dan bateri 12.4 kWj. Ini membolehkan kedua-dua model berkenaan dibekalkan dengan tork maksima gabungan 320 Nm, dan masing-masing boleh bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada jarak 59 dan 60 km menerusi kiraan kitaran WLTP.

Model-model hibrid ini juga dibekalkan dengan pengecas on-board 3.7 kW , tetapi boleh ditingkat taraf dengan sistem opsyen 7.4 kW yang memerlukan wallbox fasa-tunggal membolehkan caj penuh dicapai dalam masa hanya 1 jam 55 minit. Dengan soket domestik 8-ampere pula, caj penuh memerlukan masa 7 jam 5 minit, atau 3 jam 50 minit sekiranya menggunakan soket 16-ampere.

Peugeot juga menawarkan keahlian jaringan pengecaj Free2Move – dengan 225,000 stesen pengecaj di seluruh Eropah – dan waranti bateri selama lapan tahun/160,000 km. Aplikasi telefon pintar MyPeugeot juga membolehkan pengguna untuk melakukan pra-kondisi sistem kawalan iklim serta menjadualkan masa mengecaj.

Ini adalah barisan-barisan perincian yang ditawarkan ketika dilancarkan nanti. Namun platform EMP2 yang telah ditingkat taraf ini turut mampu untuk dijana oleh sistem elektrik sepenuhnya (EV), dan tidak mustahil versi berkenaan akan ditawarkan kemudian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required